You are on page 1of 5

Sinopsis Novel Merdeka! Merdeka!

SINOPSIS
Bab 1
Kudin terperanjat bercampur gembira dan terharu kerana dipilih untuk menyampaikan ucapan
dalam majlis perhimpunan di Kuala Lumpur. Mak Bibah, iaitu emak Kudin turut berasa bangga
walaupun suatu masa dulu dia tidak menyetujui penglibatan Kudin dalam perjuangan menentang
penjajah. Malah, Mak Bibah memberikan sebahagian wang hasil jualan kuih-muihnya kepada
pejuang-pejuang kemerdekaan. Kudin terdengar bunyi tembakan. Dia tahu bahawa komunis sedang
menyerang kubu pertahanan kampung. Pengganas memang berhasrat menawan Kampung Teras
Jernang. Bapa Kudin, Pak Awang pula diberi amaran oleh majikannya, Tuan White supaya tidak
terlibat dalam perjuangan menentang Inggeris. Sementara itu, Bustam memberitahu Kudin bahawa
Pak Karim mati dibunuh oleh dua orang pemuda yang tidak dikenali.

Bab 2
Mesyuarat Persatuan Pahlawan Kemerdekaan di rumah Tuk Ketua membincangkan tragedi
pembunuhan Pak Karim. Lantaran itu, Kumpulan Pengawal Kampung ditubuhkan untuk mengawal
keselamatan kampung dan Murad dilantik untuk mengetuainya. Seterusnya mereka berbincang
tentang persiapan ke Kuala Lumpur. Dalam perhimpunan agung di Kuala Lumpur nanti, Persatuan
Pahlawan Kemerdekaan ditugaskan mengendalikan urusan keselamatan dan penyusunan acara
program.
Kudin dijemput menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung itu. Penghormatan itu diberikan
kepadanya sebagai menghargai pengorbanannya yang mewakili generasi muda di Kampung Teras
Jernang berjuang menentang penjajah Inggeris. Kudin pernah bertungkus-lumus meyakinkan orang
ramai untuk menghidupkan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan kembali. Kepetahan Kudin berucap
dengan penuh semangat memang diakui oleh penduduk kampung.
Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Pak Awang selaku Pengerusi Persatuan Pahlawan
Kemerdekaan dijemput hadir ke Kuala Lumpur. Namun, dia tidak dapat pergi kerana bimbang
diintip oleh pihak Inggeris. Akhirnya keputusan diambil dengan mewakilkan Ibrahim pergi bersama
Kudin.

Bab 3
Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, Kudin ingin menjenguk rakan-rakannya di kubu pertahanan
di dalam hutan. Kubu tersebut dijadikan penghalang kemaraan pengganas ke kampungnya.
Sebenarnya, orang kampung menghadapi dua ancaman, iaitu pengganas komunis dan penjajah
Inggeris.
Dalam perjalanan ke khemah di dalam hutan itu, Kudin teringat akan kekejaman komunis yang
telah membunuh Pak Cik Barman selepas Jepun berundur dan ketika itu Inggeris belum tiba lagi.
Kudin juga teringat akan pengalamannya belajar menggunakan senjata api daripada ayahnya.
Orang-orang kampung kebanyakannya bersemangat tinggi untuk mempertahankan keamanan dan
keselamatan kampung, namun mereka kekurangan peralatan seperti senjata dan peluru.
Di khemah pertahanan kampung di hutan, rakan-rakan Kudin sibuk menggali kubu pertahanan.
Kudin memaklumkan pemergiannya ke Kuala Lumpur kepada mereka. Rakan-rakan Kudin berasa
bangga kerana Kudin dijemput untuk menyampaikan ucapan. Sementara itu, Ujang pula bersedih
kerana ternampak akan ayahnya di pihak komunis semasa pertempuran semalam. Ujang tidak
menyangka bahawa ayahnya menyertai perjuangan pengganas komunis.

Bab 4
Ibrahim dan Kudin bertolak ke Kuala Lumpur. Mereka menaiki bas dari Gerik ke Kuala Kangsar lalu
menaiki kereta api ke Kuala Lumpur. Ibrahim dan Kudin berjalan kaki dari stesen kereta api ke
Bangunan Sultan Sulaiman. Di sana, mereka menemui Encik Hasmun. Encik Hasmun bercerita
tentang Inggeris yang tidak menunaikan janjinya untuk memberikan kemerdekaan kepada MPAJA.
Perjuangan menuntut kemerdekaan pun bermula. Di samping orang Melayu, orang Cina juga
berjuang menuntut kemerdekaan. Kudin gembira kerana berpeluang menemui Datuk Onn, iaitu
tokoh yang menjadi pujaannya.

Bab 5
Mesyuarat persatuan-persatuan dipengerusikan oleh Datuk Onn. Tujuan mesyuarat itu ialah untuk
membincangkan cara yang terbaik menentang Inggeris. Datuk Onn menjelaskan sikap Inggeris yang
memaksa sultan-sultan supaya bersetuju dengan penubuhan Malayan Union.
Dalam perbincangan tersebut, mereka yang hadir telah bersepakat untuk menentang penubuhan
Malayan Union. Raja-raja Melayu juga mesti dipujuk untuk memulaukan majlis pengisytiharan
Malayan Union itu.
Dalam mesyuarat itu juga, Datuk Onn memperkenalkan Kudin sebagai seorang pemuda yang berani
menentang pengganas komunis. Datuk Onn menegaskan bahawa perjuangan mereka ialah
perjuangan serampang dua mata, iaitu menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris.
Mereka juga telah mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan raksasa di Padang Kelab
Sultan Sulaiman pada 1-4 Mac 1946. Mereka akan mencuba mengatasi masalah kewangan melalui
pungutan derma.

Bab 6
Sebaik saja tiba di kampung, Kudin terperanjat dan sedih kerana sahabatnya, Bustam telah dilarikan
oleh pengganas komunis ke dalam hutan. Walaupun masih keletihan, Kudin terus ke khemah
dengan bapanya untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kejadian penangkapan Bustam itu.
Kudin berhasrat untuk menyelamatkan Bustam tetapi keadaan amat bahaya. Kudin sedar bahawa
mereka kekurangan senjata, peluru, makanan, dan pakaian. Dia terpaksa menangguhkan hasratnya
itu lalu pulang ke rumah dengan kehampaan.

Bab 7
Kudin terdengar akan perbualan bapanya dengan Osman dan Kassim. Mereka datang ke rumah
kerana disuruh oleh Tuan White. Tuan White memberi kata dua kepada Pak Awang, iaitu berhenti
berjuang atau berhenti bekerja. Pak Awang amat marah dan mengambil keputusan nekad, iaitu
berhenti kerja.
Pak Awang pergi ke rumah Ibrahim bersama dengan Kudin. Mereka membuat pungutan derma
daripada orang kampung. Jumlah pungutan tidak begitu banyak tetapi sumbangan itu membuktikan
bahawa orang kampung menyokong perjuangan menentang Malayan Union.
Sementara itu, ayah Bustam, iaitu Pak Kasa dan saudara-maranya bertekad untuk menyelamatkan
Bustam. Pak Awang menyertai keluarga Pak Kasa dalam misi mencari dan menyelamatkan Bustam.
Kudin pula meneruskan pungutan derma bersama dengan Ibrahim.

Bab 8
Pak Awang dan keluarga Pak Kasa belum pulang setelah tiga hari masuk ke dalam hutan. Mak Bibah
dan Kudin berasa bimbang. Dalam masa yang sama Kudin bersiap-siap untuk pergi ke Kuala
Lumpur. Perbincangan di rumah Tuk Ketua untuk mencari Pak Awang tidak mencapai kata sepakat
kerana tugas itu berbahaya. Mesyuarat dihentikan apabila mereka terdengar bunyi tembakan di
kawasan pertahanan sebelah hilir. Pada malam itu Kudin tidur di khemah bersama rakan-rakannya.
Kudin tiba di Bangunan Sutan Sulaiman pada awal pagi. Mereka membincangkan persiapan dan
atur cara perhimpunan selama empat hari itu. Sultan Selangor bersetuju untuk merasmikan
perhimpunan raksasa tersebut. Datuk Onn dan Kudin akan menyampaikan ucapan. Perhimpunan
itu akan membincangkan penentangan terhadap Malayan Union dan hal pelajaran. Tugas yang
banyak di Kuala Lumpur menyebabkan Kudin lupa akan peristiwa yang berlaku di Kampung Teras
Jernang.

Bab 9
Perhimpunan 1 Mac 1946 mengumpulkan pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh negara. Padang
Kelab Sultan Sulaiman dan bangunannya dibanjiri oleh berpuluh-puluh ribu orang. Kudin terharu
akan semangat tinggi orang Melayu yang bersatu padu dan menentang Malayan Union. Namun
Kudin bersedih apabila mendapat berita bahawa rombongan Pak Kasa dan bapanya mati dibunuh
oleh pengganas komunis. Kudin mencuba untuk menyembunyikan kesedihannya itu.
Dalam ucapan perasmian baginda, Sultan Selangor menekankan peri pentingnya orang Melayu
bersatu padu. Za’ba selaku Pengerusi menerangkan tujuan perhimpunan, iaitu untuk menentang
Malayan Union. Datuk Onn dalam ucapannya pula menyarankan orang Melayu mengubah nasib
bangsa melalui perpaduan dalam persatuan yang dinamakan UMNO.
Kudin menyampaikan ucapannya dengan penuh semangat dan menyeru kaum bapa dan kaum ibu
supaya sanggup berkorban untuk negara. Menurutnya, generasi muda akan mengikut jejak mereka
apabila dewasa kelak. Datuk Onn dan Za’ba mengucapkan tahniah kepada Kudin. Sultan Selangor
turut memuji kebijaksanaan Kudin.

Bab 10
Dalam perhimpunan itu juga, cadangan untuk menubuhkan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu) mendapat sokongan daripada semua perwakilan. UMNO akan menentang Malayan
Union dan menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Keputusan yang dibuat ialah
meminta raja-raja Melayu memulaukan hari perasmian Malayan Union. Perarakan membantah
penubuhan Malayan Union akan diadakan juga. Mereka turut membincangkan sistem pelajaran dan
ekonomi orang Melayu yang perlu diperbaiki. Dalam pada itu, Encik Hasmun berhasrat untuk
mendidik Kudin menjadi seorang tokoh politik yang berjaya. Hasrat Encik Hasmun disokong oleh
Datuk Onn.
Kudin pulang ke kampung. Dia sedih kerana jambatan dan khemah telah dimusnahkan oleh
pengganas komunis. Kudin menziarahi pusara bapanya. Mak Bibah pula tidak membantah sekiranya
Kudin hendak tinggal di Kuala Lumpur.

Bab 11
Penduduk Kampung Teras Jernang termasuk Kudin membina kubu dan khemah di sekeliling
kampung. Pada waktu tengah hari itu, Encik Hasmun datang ke rumah Kudin dan mengajaknya
menghadiri perarakan di Kuala Kangsar. Perarakan menentang Malayan Union bermula di Padang
Polo, Kuala Kangsar hingga Bukit Chandan. Selepas perarakan, Kudin dan Encik Hasmun bertolak
ke Kuala Lumpur.
Kudin membantu kerja-kerja pejabat seperti menyusun fail, membuka surat, menaip surat, dan
menyusun agenda mesyuarat. Mesyuarat diadakan kerana pihak Inggeris telah merasmikan
penubuhan Malayan Union dan melantik Sir Edward Gent sebagai Gabenor yang pertama. Hari
perasmian Malayan Union akan diadakan pada bulan April. Raja-raja Melayu digesa supaya
memulaukan Malayan Union dan orang Melayu akan berkabung selama seminggu.
Kudin mengikut Datuk Onn dan Encik Hasmun ke Johor Bahru untuk menyertai perarakan di sana.
Seterusnya Kudin menjelajah ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Kudin mendapati semangat
orang Melayu menentang Malayan Union berkobar-kobar. Perarakan anti-Malayan Union diadakan
di seluruh negara.

Bab 12
Raja-raja Melayu bersedia menghadiri upacara perasmian Malayan Union pada 1 April 1946 di Hotel
Stesen, Kuala Lumpur. Orang Melayu dari seluruh negara berkumpul di Padang Kelab Sultan
Sulaiman. Mereka berarak ke Hotel Stesen dengan membawa ratusan sepanduk yang mengecam
penjajah. Datuk Onn menemui raja-raja Melayu dan menerangkan hasrat orang Melayu menentang
Malayan Union.
Raja-raja Melayu melihat orang Melayu berhimpun di luar Hotel Stesen. Apabila melihat
kesungguhan rakyat jelata, raja-raja Melayu mengambil keputusan memulaukan majlis perasmian
Malayan Union dan bertindak meninggalkan Hotel Stesen. Dengan itu, penubuhan Malayan Union
telah dapat digagalkan. Datuk Onn mengingatkan orang Melayu supaya terus berjuang menuntut
kemerdekaan. Perhimpunan bersurai dan Kudin terus tinggal di Kuala Lumpur untuk meneruskan
perjuangan yang belum selesai.
Tema Dalam Novel Merdeka! Merdeka!

Novel Merdeka! Merdeka! bertemakan perjuangan bagi menuntut kemerdekaan tanah air.

Contoh:

1. Seluruh rakyat di bawah pimpinan Dato' Onn bersatu membentuk UMNO bagi membebaskan
negara ini daripada belenggu penjajah dan pengganas.
2. Kudin yang merupakan seorang pemuda berusia 15 tahun begitu gigih berjuang demi kedaulatan
kampung dan tanah airnya.

Persoalan

Semangat patriotik
Contoh:
Selain Kudin, rakyat segenap lapisan turut berjuang bagi membebaskan tanah air daripada cengkaman
musuh.

Bersatu dan bermuafakat membuahkan kejayaan


Contoh:
Penduduk Kampung Teras Jernang sama-sama melakukan kawalan di kawasan kampung bagi
memastikan kampung tersebut tidak jatuh ke tangan penjajah.
Selain itu, penduduk kampung turut membina kubu bagi menghalang serangan pihak musuh.

Pemuda harapan bangsa dan negara


Contoh:
Kudin dan rakan-rakannya bersatu tenaga bagi mempertahankan kampung mereka agar
kesejahteraannya terpelihara.

Penjajahan membawa penderitaan


Contoh:
Akibat penjajahan, rakyat hidup terkongkong kerana kebebasan mereka dalam pelbagai perkara
disekat. Selain itu, nyawa mereka terancam dan harta benda turut musnah.

Kecekalan, ketabahan dan keberanian menghadapi cabaran


Contoh:
Semasa zaman penjajahan, pelbagai dugaan dan rintangan silih berganti. Namun begitu, penduduk di
Kampung Teras Jernang tetap cekal, tabah dan berani menghadapi ancaman musuh.

Bertindak mestilah menggunakan kepintaran akal


Contoh:
Pemimpin masyarakat Melayu menggesa setiap rakyat bertindak bijak menggunakan akal dalam
melaksanakan sesuatu tindakan bagi menentang musuh.
CONTOH LATAR TEMPAT DALAM NOVEL MERDEKA! MERDEKA!

LATAR TEMPAT PERISTIWA


Kampung Teras Jernang  Pengganas komunis bergerak di dalam hutan.
 Mak Bibah menemani Kudin ketika menziarahi kubur Pak Awang.
 Penduduk mengadakan perjumpaan di rumah Tok Ketua
 Kampung kelahiran Kudin atau tempat tinggal Pak Awang, Mak Bibah dan
anak mereka iaitu Kudin.

Di dalam bas  Dalam perjalanan dari Gerik ke Kuala Kangsar, Kudin melihat gelagat seorang
lelaki India yang mabuk.

Kuala Lumpur / Bangunan Kelab Sultan Sulaiman  Orang-orang Melayu mengadakan bantahan terhadap rancangan Malayan
Union di Padang Kelab Sultan Sulaiman.

Kuala Kangsar  Tempat perhimpunan orang-orang Melayu membantah penubuhan Malayan


Union. Selepas itu mereka menemui Sultan Perak.

Padang Kilat, Johor Bahru  Tempat perhimpunan orang-orang Melayu membantah penubuhan Malayan
Union. Selepas itu Datuk Onn memimpin orang Melayu bergerak ke istana
untuk menemui Sultan Johor.

Hotel Stesen dan kawasan sekitarnya  Raja-raja Melayu berhimpun di Hotel Stesen sebelum menghadiri upacara
perasmian Malayan Union.
 Tempat orang Melayu mengadakan tunjuk perasaan menentang Malayan
Union dan cuba memujuk Raja-raja Melayu untuk memulaukan majlis
perasmian Malayan Union.

Di tebing sungai  Tempat orang kampung mendirikan khemah dan membina kubu bagi
mempertahankan kampung mereka daripada ancaman komunis.

Di rumah Pak Awang  Didiami oleh Pak Awang, mak Bibah dan Kudin

Di rumah ketua kampung  Tempat anggota Persatuan Pahlawan Kemerdekaan mengadakan mesyuarat.

Hutan  Kudin dan rakan-rakan


 Pak Awang dan beberapa orang penduduk kampung mencari Bustam yang
dilarikan pengganas.

Rumah Ibrahim  Kudin, Ibrahim dan Pak Awang berbincang cara-cara hendak ke Kuala
Lumpur.

Pekan Gerik  Kudin menaiki bas dari pekan Gerik untuk ke Kuala Kangsar.

Stesen Kereta api Kuala Kangsar  Kudin menaiki kereta api di stesen kereta api Kuala Kangsar untuk ke Kuala
Lumpur.

Padang Polo Kuala Kangsar  Ramai orang Melayu berkumpul untuk menyertai perarakan menentang
Malayan Union.

Pusat Bandaur Johor Bahr  Orang ramai berarak memasuki Bandar Johor Bahru sambil bersorak
“Hancurkan Malayan Union”.

Istana Johor  Datuk Onn menghadap Sultan Johor

You might also like