You are on page 1of 1

Ingat2 Wahai Huffaz

Beringatlah wahai sahabat Huffaz sekalian,

Title 'al-Hafiz' bukan penyukat keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Bukan juga tali
ukur ketinggian amalan kita di sisi-Nya. Dan bukanlah penentu mendapat ganjaran syurga secara
mutlak. Ianya sebagai sandaran dan pendorong ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Tak
diciptakan al-huffaz di muka bumi selain daripada untuk memelihara dan mengekalkan kesucian
dan kehormatan al-Quran. Jadi berusahalah menjadi para huffaz yang sejati dan diredhai-Nya.

Bukanlah dipampangkan di dada-dada para penghafaz al-Quran gelaran al-Hafiz sebagai


kebanggaan pada pemiliknya. Bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk status diri sebagai
seorang yang rajin menghafaz al-Quran, tanpa sedar yang kelebihan menghafaz itu sebenarnya
kurniaan dari Allah kepada diri yang serba kekurangan. Maka celakalah bagi mereka yang
memperlakukan sedemikian kerana mempergunakan al-Quran sebagai mahkota keangkuhan
untuk diri sendiri. Sesungguhnya hanya Allah yang layak bermegah-megah dengan kekuasaan-
Nya.

Sebaliknya apabila dikurniakan status tersebut, semakin tunduklah kita dari pandangan manusia,
semakin jauhlah kita dari segala kecelaan dan kejahatan dan semakin dekatlah diri kita dengan
Allah S.W.T. Adapun yang memuji-muji, jadikan ia sebagai ikutan untuk orang lain menjejaki,
bukan sebagai mahkota untuk mengangkat diri. Huffaz bukan sahaja mereka yang menghafaz
ayat-ayat al-Quran malah mereka juga menghayati dan beramal dengannya. Renungi diri, kitakah
al-Hafiz yang seperti berikut.

Jagalah akhlak kerana isi kandungan al-Quran adalah akhlak Rasulullah dan baginda merupakan
sebaik-baik makhluk di muka bumi. Apa gunanya jadi 'penghafaz al-Quran' kalau akhlak tidak
mencerminkan peribadi al-Quran? Apa gunanya jadi 'pemelihara kalamullah' kalau suruhan
dan perintah al-Quran tak dituruti? Bermanfaatkan menjadi 'pencinta qaulullah' jika amaran dan
larangan al-Quran tidak diendahkan?

Al-Quran merupakan hujah yang teragung kepada kita untuk menentang dan mematahkan kata-
kata kaum musyrikin dan kafirin dalam setiap perdebatan dan persoalan. Setiap dalil yang dipetik
dan dikeluarkan dari al-Quran tiada sangkalan lagi. Bahkan setiap ayat daripadanya tidak mampu
dipertikai dan diubah melalui akal manusia walau sedalam mana sekalipun. Tetapi janganlah
lupa, al-Quran juga boleh menjadi hujah keatas anda selaku pemelihara ayat-ayatnya. Takutlah
pada pensaksian al-Quran kerana al-Quran adalah saksi yang teragung kepada anda dan juga ke
atas anda di Mahsyar kelak.

Wallahu a'lam.

You might also like