You are on page 1of 11

1.

REKABENTUK KEJURUTERAAN

1.1 Pengenalan

`Manusia itu mempunyai keperluan-keperluan yang harus dipenuhi. Mereka


menggunakan kemampuan daya kreatif (kreativiti) untuk mempergunakan
sumber alam bagi memperbaiki kehidupan mereka.'

Pada masa ini terdapat kekeliruan tentang pengertian istilah rekabentuk. Kepada
orang awam, pemikiran rekabentuk difahami sebagai kebolehan membuat ciptaan
teknikal (invention). Ciptaan jenis ini memerlukan bahan-bahan dan alat-alat
seperti kepingan logam, plastik, gergaji, gerudi, mesin-mesin dan sebagainya.
Sebenarnya rekabentuk terdiri daripada dua jenis:

a) Rekabentuk konkrit yang menghasilkan benda-benda sebenar seperti kereta,


pesawat pejuang, kapal selam dan seumpamanya.

b) Rekabentuk abstrak yang menghasilkan konsep strategi, taktik, prosedur,


peraturan, undang-undang,hasil perundingan, peleraian konflik dan
seumpamanya.

Rekabentuk kejuruteraan (konkrit) merupakan satu seni yang menggunakan


konsep-konsep saintifik sebagai asasnya. Rekabentuk merupakan proses yang
rasional dalam membuat keputusan, menimbangkan setiap masalah yang timbul,
mencari penyelesaian-penyelesaian yang mungkin dan kemudian cuba memilih
penyelesaian yang terbaik bersesuian dengan skop yang dikehendaki. Dalam
rekabentuk, masalah itu dilihat dari berbagai aspek dan penyelesaiannya dibuat
dalam berbagai-bagai cara seperti menggunakan analisis matematik, pengalaman
sedia ada dari penyelesaian masalah yang lalu, menggunakan keputusan
penyelidikan atau percubaan sama ada oleh perekabentuk itu sendiri atau orang
lain.

Rekabentuk kejuruteraan boleh dianggap sebagai pemusatan kegiatan dan


proses-proses kejuruteraan dari hemah pertama menangani kehendak hingga
kepada penerimaan barang-barang siap di mana proses-proses kejuruteraan
berkisar disekeliling rekabentuk itu. Rekabentuk kejuruteraan boleh juga dianggap
sebagai satu kegiatan di mana bahan-bahan mentah ditukar bentuk rupa bagi
memenuhi sesuatu kehendak/keperluan. Kegiatan ini mempunyai dua elemen
utama iaitu membuat keputusan dan menyampaikan keperluan. Secara am,
rekabentuk adalah proses memperolehi satu penentuan terperinci bagi sesuatu
mesin yang digunakan dalam kejuruteraan di mana lukisan kerja yang dihasilkan
menepati keperluan dan batas-batas penentuan seluas mungkin.
1.2 Proses Rekabentuk - Industri

Proses rekabentuk kejuruteraan adalah satu proses yang berulang-ulang


(iterative) dan agak kompleks. Ini bermakna proses rekabentuk bukanlah satu
proses sehala yang dapat dengan mudah digambarkan dalam minda kita. Bagi
peringkat ini memadailah ia dipermudahkan dan pada umumnya proses
rekabentuk akan mengikuti arah yang agak sama walaupun di peringkat akhirnya
nanti menghasilkan produk yang agak berlainan.

1.2.1 Mengenali Keperluan

Keperluan yang perlu diselesaikan biasanya timbul dari situasi kehidupan


seharian atau konteks (situasi di mana sesuatu perkara berlaku).
Sebahagiannya mungkin diset oleh pensyarah anda, walaupun begitu
sebahagian besarnya timbul dari minat diri sendiri dan dari minat dan
pengalaman orang lain.

Sebagai contoh:

Pelangan sukar mencari lokasi kedai anda kerana tiada tanda arah.

Setelah menyediakan minuman panas di dapur, anda dapati bahawa anda


terpaksa ulang alik ke anjung sebelum semua ahli keluarga dihidangkan
minuman itu dan ini menyebabkan minuman tumpah.

Anda tidak ada tempat bagi menyimpan pen dan pensil, menyebabkan ia
hilang atau patah apabila anda memerlukannya.

Semua ini adalah contoh konteks yang mencadangkan sesuatu masalah.

1.2.2 Mentakrif Masalah Keperluan

Mengenalpasti masalah yang timbul bagi memenuhi sesuatu keperluan.


Semua keperluan dan batas-batas yang dikenakan ditulis dengan terperinci
di dalam bentuk spesifikasi.

Contohnya:

Seorang pembuat perkakasan rumah berhasrat untuk memasarkan mesin


basuh jenis yang terbaru. Mesin ini diharapkan dapat melaksanakan tugas
membasuh dan juga berfungsi sebagai unit pengering. Pihak pengurusan
kilang berkenaan juga telah membuat keputusan bahawa:

a) Unit ini mestilah tidak melebehi 0.75 m lebar, 1.0 m tinggi dan 0.75 m
tebal.
b) Mesti beroperasi dengan menggunakan arus ulangalik 240V 50Hz.
c) Mesti diluluskan oleh SIRIM.
d) Kos pengeluaran mesti tidak melebehi RM400.00
e) Mesti boleh membasuh bahan tekstil asli dan sintetik dengan
memuaskan.
f) Mesti tidak rosak walaupun dioperasi secara yang salah.

Spesifikasi menggariskan keperluan asas, keadaan servis dan batas-batas


ekonomi ke atas produk yang akan dikeluarkan. Menentukan spesifikasi ini
adalah peringkat yang penting dan satu spesifikasi yang dibuat dengan teliti
akan membantu menentukan kejayaan rekabentuk.

Persoalan asas yang biasa dipertimbangkan adalah seperti:

Adakah spesifikasi yang digariskan mencukupi?

Adakah masalah yang dinyatakan merupakan masalah sebenar?

Adakah keperluan yang dinyatakan merupakan keperluan asas yang


sebenar-sebenarnya dikehendaki?

Adakah pengguna/pelangan nanti akan menghadapi masalah dalam


menggunakan hasil dari rekabentuk ini?

Sebenarnya banyak lagi soalan-soalan yang perlu dipertimbangkan bagi


menjamin hasil rekabentuk itu unggul.

Mengenalpasti (menganalisis) masalah pada umumnya lebih berkisar


kepada pengumpulan dan pemrosesan maklumat yang pada akhirnya nanti
adalah mentakrif masalah secara terperinci. Seterusnya, ia akan dapat
memberikan jalan penyelesaian yang terbaik.

1.2.3 Kajian & Siasatan (Investigation)

Perekabentuk menyelesaikan masalah itu dengan fikiran terbuka dan tidak


dipengaruhi oleh penyelesaian kepada masalah yang serupa yang mungkin
sedia ada yang telah dibuat oleh perekabentuk lain. Ini termaksuklah
membuat kajian, siasatan dan penyelidikan secara mendalam (secara
saintifik) dan seumpamanya. Semua penyelesaian-penyelesaian yang
diperolehi diteliti, dinilai, dibanding, dipertimbangkan bagi memilih satu
penyelesaian yang paling sesuai.
1.2.4 Rekabentuk Permulaan

Membina prototaip/model berdasarkan spesifikasi dan penyelesaian yang


dipilih. Bilangan prototaip adalah terhad. Prototaip ini diuji adakah ia benar-
benar memenuhi ciri-ciri sepertimana yang dikehendaki. Setiap aspek
rekabentuk diuji bagi menjamin ianya berfungsi menepati sebagaimana
sepatutnya. Di peringkat ini juga segala kelemahan diperbaiki dan
pengubahsuaian disempurnakan.

1.2.5 Rekabentuk Terperinci

Hasil rekabentuk dalam lukisan terperinci yang terkini di mana dianggapkan


tiada lagi pengubahsuaian yang perlu dilakukan lagi. Semua maklumat
rekabentuk didokumentasikan untuk rujukan pada masa hadapan.

1.2.6 Pengeluaran

Apabila sudah dipastikan hasil rekabentuk itu berfungsi dengan baik dan
memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki barulah ianya dibuat bagi tujuan
pengeluaran.

1.2.7 Pemasaran & Pengedaran

Menerusi pengiklanan barangan yang direkabentuk diperkenalkan kepada


orang awam. Barang siap ini diedarkan kepada pengguna menerusi
wakil/pengedar.

1.2.8 Perkhidmatan Sokongan

Memberikan khidmat sokongan selepas jualan, menyediakan alatganti dan


servis.

1.2.9 Penyelidikan & Perkembangan

Dari maklumat yang diterima oleh pusat servis, cadangan dan kritikan
pelangan dan seumpamanya perekabentuk memperbaiki ciptaanya atau
mengubah/menambah berberapa ciri rekabentuk sesuai dengan selera
pelangan dan perkembangan semasa.

1.2.10 Penamatan Pengeluaran

Pengeluaran ditamatkan jika tiada permintaan dari pelanggan.


1.3 Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Rekabentuk

Terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi sesuatu rekabentuk dan


berkemungkinan besar saling bergantung di antara satu dengan lainnya. Darjah
kepentingan faktor-faktor ini bergantung kepada bagaimana rekaan itu digunakan.

1.3.1 Faktor duti/kerja

a) Jenis teknologi (prinsip kerja) yang dikehendaki (pacuan giar, pacuan


rantai, pendorong roket, enjin jet, kuasa turbin dan sebagainya).
b) Beban yang dikenakan (jumlah sama ada tetap atau berubah dan
jenisnya sama ada statik/dinamik/kejutan).
c) Kelajuan (ditetapkan atau ditentukan oleh perkiraan rekabentuk, boleh
sama ada tetap atau bolehubah).
d) Kitaran (dalam seminit/jam/minggu dan sebagainya)
e) Punca kuasa (mekanikal/elektrikal/hideraulik/pneumatik dan
sebagainya)
f) Panjang hayat dikehendaki
g) Darjah kebolehpercayaan dikehendaki (hayat operasi tanpa servis,
kemungkinan berlakunya kegagalan sebelum tamat hayat rekabentuk).

1.3.2 Faktor Persekitaran

a) Kesan disebabkan suhu yang tinggi berlebihan dari had (sifat bahan,
masalah pengembangan/pengecutan terma).
b) Kesan lembapan udarakasa (karat/kekeringan).
c) Pencemaran kimia dan debu.
d) Getaran, kebisingan dan beban kejutan.
e) Ganguan manusia/binatang.
f) Penyelenggaraan (mudah/sukar).

1.3.3 Faktor Ekonomi dan Pembuatan

a) Kedudukan dalam skop harga-mutu.


b) Bilangan dikehendaki dan tarikh (lambat/cepat).
c) Kos kapital.
d) Kos operasi/pembuatan (tenaga, kejituan, penggantian alat yang
haus).
e) Kemudahan mendapatkan bahan mentah.
f) Kebolehan menggunakan operasi pengeluaran sedia ada.
g) Komponen sama ada dibuat/dibeli.
h) Kebolehan untuk pengubahsuaian kepada kegunaan yang lebih luas.
i) Kebolehan komponen ditukar dengan alatganti mesin lain.
1.3.4 Faktor Am

a) Saiz/dimensi (panjang, lebar, tinggi).


b) Berat (adakah ia penting).
c) Ketegaran (stifness).
d) Rupabentuk (menarik).
e) Ergonomik (kajian mengenai manusia, pergerakan dan alam
sekelilingnya).
f) Ciri keselamatan.
g) Faktor keselamatan.
h) Penggunaan (mudah/sukar).

Rekabentuk melibatkan percubaan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang


terbaik dari satu himpunan pertalian yang rumit di mana kompromi diperlukan, dan
ini merumitkan lagi sesuatu keputusan itu dibuat. Jika sekiranya selepas semua
jalan penyelesaian dipertimbangkan dengan teliti tetapi keputusan masih belum
dapat dibuat maka harus diingat bahawa keputusan mungkin tidak begitu kritis dan
sebarang keputusa yang diambil adalah lebih baik dari tidak membuat sebarang
keputusan langsung (jika tidak memburukkan lagi keadaan).

1.4 Pemilihan Bahan Dalam Rekabentuk

Bagi sesuatu rekabentuk yang sempurna dan bijak, perekabentuk hendaklah


mengetahui jenis dan sifat-sifat bahan-bahan yang sesuai digunakan dalam
rekaannya. Pemilihan bahan bergantung kepada banyak faktor di antaranya
seperti tegasan yang akan dialami oleh komponen, bolehlentur/tegar, suhu yang
tinggi, tindakan kimia dan gayalaku bahan ketika proses pembuatan (tuangan,
tempa, pemesinan dll). Pemilihan yang dibuat oleh perekabentuk akan
mempengaruhi kekuatan, berat, rupabentuk, proses pembuatan dan kos. Harga
pula merupakan faktor terakhir yang menentukan sama ada sesuatu rekaan itu
berjaya dipasarankan. Ada tiga kumpulan bahan:

1.4.1 Logam berasaskan besi digunakan apabila kekuatan diperlukan, murah,


mudah didapati dan kebolehmesinan yang tinggi. Besi boleh dijadikan keluli
yang mempunyai sifat-sifat mekanikal baik dan meluas penggunaannya
apabila diadunkan/aloikan dengan logam-logam lain.

1.4.2 Logam bukan berasaskan besi mempunyai sifat-sifat seperti ringan,


rupabentuk, ciri-ciri elektrik, pengalir haba yang tinggi, nisbah
kekuatan/berat yang tinggi tetapi harganya agak mahal.

1.4.3 Plastik pula adalah ringan, boleh diwarna, penebat elektrik, mudah dibentuk
(injection moulding), tidak bertindak secara kimia, lutsinar walaupun begitu
pastikan bahawa rintangan kepada haba, kemuluran dan kekuatan
bukanlah faktor utama.
1.5 Proses Merekabentuk Bagi Memenuhi Keperluan Yang Mudah

Proses rekabentuk kejuruteraan adalah satu proses yang berulang-ulang


(iterative) dan begitu kompleks. Ini bermakna proses rekabentuk bukanlah satu
proses sehala (seperti pemikiran seharian/biasa) yang dapat dengan mudah
digambarkan dalam minda kita. Pada umumnya proses rekabentuk akan
mengikuti tahap-tahap tertentu. Dua orang perekabentuk yang mematuhi aturan
proses-proses rekabentuk yang sama, namun di peringkat akhir nanti
menghasilkan produk yang agak berlainan.

1.5.1 Situasi Bagi Merekabentuk

Masalah yang perlu diselesaikan biasanya timbul dari situasi kehidupan


seharian atau konteks (situasi di mana sesuatu perkara berlaku).
Sebahagiannya mungkin diset oleh pensyarah anda, walaupun begitu
sebahagian besarnya timbul dari minat diri sendiri dan dari minat dan
pengalaman orang lain.

Sebagai contoh:

a) Pelangan sukar mencari lokasi kedai anda kerana tiada tanda arah.

b) Setelah menyediakan minuman panas di dapur, anda dapati bahawa


anda terpaksa ulang alik ke anjung sebelum semua ahli keluarga
dihidangkan minuman itu dan ini menyebabkan minuman tumpah.
c) Ruang di papan kenyataan di sekolah ini sentiasa tidak mencukupi.
d) Tempat letak kereta bawah tanah selalu berbau petrol dan asap ekzos.

e) Ibu saya yang mengidap sakit sendi tidak dapat membuka tin susu,
botol minuman ringan dan pembungkus makanan ringan.

f) Anda tidak ada tempat bagi menyimpan pen dan pensil, menyebabkan
ia hilang atau patah apabila anda memerlukannya.

Semua ini adalah contoh konteks yang mencadangkan sesuatu masalah.

Individu mesti menyedari akan adanya kesulitan. Masalah tidak timbul


kecuali kalau kesedaran dibangkitkan. Ketika kehendak atau desakan
individu diarahkan kepada satu matlamat ia mungkin diganggu. Untuk
mengatasi halangan atau rintangan inilah timbulnya masalah.
Sekarang anda boleh memikirkan apa hendak dibuat terhadap masalah-
masalah tersebut. Perasaan dan sikap mempengaruhi keputusan anda.
JIka anda rasa masalah-masalah ini membosankan, tidak menarik dan tidak
penting, maka anda akan memilih untuk tidak berbuat apa-apa.

Biasanya masalah itu perlu diselesaikan. Kadangkala ia penting, atau ibu


bapa, rakan, guru meminta anda berbuat begitu. Kadangkala juga anda
ingin selesaikan kerana ia mencabar, ada kaitan dengan pengetahuan dan
kerjaya, mempertingkatkan kemahiran, ingin mengkagumkan rakan dan
menyeronokkan.

1.5.2 Brif Rekabentuk

Ini adalah satu pernyataan ringkas mengenai keperluan yang anda telah
dikenalpasti dari konteks atau situasi rekabentuk sebagaimana disebutkan
di atas.

Sebagai contoh, sekiranya anda membuat keputusan bahawa tidak ada


tempat bagi menyimpan pen dan pensil dalam contoh (f) di atas adalah satu
masalah rekabentuk yang sesuai, anda perlu mulai menyelesaikannya
dengan menyatakan dengan jelas apa yang anda perlu buat untuk
mengatasinya.

Pernyataannya boleh jadi merekabentuk dan membuat satu unit bekas bagi
menyimpan pen dan pensil. Pernyataan ini merupakan brif rekabentuk bagi
masalah tersebut. Pernyataan hendaklah mengelakkan dari menggunakan
perkataan yang menerangkan apa-apa idea yang diagakkan menerangkan
sesuatu penyelesaian. Mengapa?

Idea yang kabur dapat merangsang minda kita supaya imaginatif. Untuk
menjadi kreatif, kita perlu menyukai kekaburan dan sengaja mencari
kekaburan di sekitar kita. Salah satu teknik berfikir yang dapat menimbulkan
kekaburan ialah melalui perkataan yang kita gunakan. Gunakanlah perkatan
yang sengaja meminta pelbagai tafsiran, bukan satu.

Jelas sekali pernyataan yang ringkas ini tidak memberikan maklumat yang
mencukupi bagi membolehkan penyelesaian diperolehi. Justeru itu satu
penerokaan/penyiasatan yang lengkap mengenai masalah tersebut amat
diperlukan.
1.5.3 Siasatan

Bentuk penyiasatan akan berbeza-beza bergantung pada jenis masalah


rekabentuk yang diselesaikan. Pada asanya ia menghendaki anda menyoal
diri anda dengan soalan-soalan berkaitan masalah tersebut dan mencari
jawapannya. Jadi bagi masalah yang telah dinyatakan brif rekabentuknya
seperti di atas, soalan-solan yang mungkin anda cari jawapannya adalah
seperti berikut:

* berapa jumlah pen dan pensil yang perlu disimpan?


* adakan item lain seperti pemadam, penajam pensil disimpan sama?
* apakah saiz item yang disimpan?
* di mana unit ini digunakan?
* adakah unit ini dibawa pada bila-bila masa?
* mungkinkah pen dan pensil atau item lain membahayakan?
* apakah bahan-bahan yang sedia ada?
* yang manakan dari bahan-bahan ini sesuai?
* berapakah kos membuat unit ini?
* berapa lama anda perlukan untuk membuat unit ini?
* dll.

Kesemua soalan ini adalah mustahak. Jawapan kepada soalan ini


menentukan titik mula dari mana idea rekabentuk didapati. Pertama kali
anda menyelesaikan masalah rekabentuk, anda mungkin diberi soalan-
soalan kunci bagi memastikan anda mengasingkan dan menyelidiki
kesemua faktor-faktor yang mustahak tetapi pengalaman akan
membolehkan anda menyediakan sendiri soalan-soalan kunci yang
diperlukan.

Dari mana maklumat tambahan diperolehi? Anda tentu pernah


menyediakan kertas projek, umpamanya Projek Tahun Akhir di universiti
tempat anda belajar. Anda sedar bahawa maklumat boleh diperolehi dari
berbagai-bagai sumber.

1.5.4 Penyelesaian

Daripada maklumat yang dikumpul pada tahap siasatan anda boleh mula
membuat lakaran idea yang meneroka secara visual jawapan yang
mungkin. Idea-idea yang terbaik dipilih dari lakaran idea dan seterusnya
dikembangkan lebih lanjut dalam bentuk lakaran bagi memberikan satu atau
lebih penyelesaian separa (partial solutions).

Satu atau lebih penyelesaian separa ini dipilih dan digabungkan bagi
memberikan penyelesaian akhir. Ia dikerjakan dengan terperinci dan
dipersembahkan sebegitu rupa di mana semua maklumat diperlukan bagi
merealisasikan (membuat) dinyatakan. Dokumen ini disebut lukisan kerja.
Ingat:

Terpulanglah pada apa yang kita cari. Jika kita hanya mencari satu jawapan
yang betul, kita akan berhenti pada satu jawapan. Oleh itu kita tidak akan
berjumpa jawapan-jawapan yang betul yang lain yang mungkin lebih murah,
lebih selamat, lebih cepat, lebih tahan lama, lebih mudah dilaksanakan,
lebih istimewa atau lebih diminati oleh pengguna.

Cara yang betul untuk mencari idea yang baik ialah dengan menghasilkan
banyak idea. Cuba kita berfikir seperti jurugambar profesional. Mereka
mengambil banyak gambar berkenaan satu objek (atau seorang model).
Kemudian barulah mereka memilih gambar yang terbaik. Bagi mendapatkan
gambar yang satu itu mereka mengambil berpuluh malah entah berapa
bilangannya. Dalam usaha menghasilkan satu gambar itu mereka menukar
sudut, lensa, penapis cahaya, fokus, masa malah kamera juga.

Lukisan kerja seharusnya mengandungi:

* dimensi
bahan-bahan
* proses-proses (e.g sambungan/sendi)
* lekatan (fittings)
* kemasan

Cara terbaik mempersembahkan maklumat ini adalah dalam bentuk


pandangan rata yang disertakan dengan nota-nota, ditambah dengan
pandangan bergambar menunjukkan bagaimana hasil siap kelihatan.
Senarai saiz bahan disertakan jika diperlukan.

1.5.5 Merealisasikan

Ini adalah pembuatan sebenar berdasarkan penyelesaian yang tertera


dalam lukisan kerja.

1.5.6 Menguji

Hasil siap diuji bagi menentukan adakah ia memenuhi/menepati brif


rekabentuk. Ini dapat dilakukan dengan menggunakannya dan membuat
pengubahsuaian jika perlu.

Keseluruhan proses ini dapat dilihat dengan jelas dengan meneliti Rajah 2.

You might also like