You are on page 1of 3

Empangan Bakun bakal lonjak ekonomi Sarawak

Oleh Matzidi Dris


rencana@bharian.com.my
2010/08/14

Projek bernilai RM7.5 bilion mampu beri pulangan jualan tenaga elektrik, pelancongan

BIARPUN awal pembinaannya pada 1996, projek Empangan Hidro Elektrik Bakun di Sungai
Balui, Sarawak mendapat tentangan hebat pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan
(NGO) dan aktivis alam sekitar, projek itu tetap diteruskan dan hampir siap sepenuhnya.

Malah empangan yang menelan kos RM7.5 bilion dan menghasilkan 2,400 mega watt (MW)
tenaga elektrik sehari menjelang penghujung 2012 itu, bakal melonjak ekonomi Sarawak
ekoran rundingan penjualan tenaga dengan beberapa pihak termasuk negara jiran Brunei
Darussalam kini pada peringkat akhir.

Tenaga elektrik dihasilkan empangan itu akan disalurkan ke Koridor Tenaga Diperbaharui
Sarawak (SCORE) di bahagian tengah Sarawak. Selain itu, hasilnya akan dijual ke Sabah dan
Kalimantan di sempadan Sarawak dengan Indonesia. Beberapa usaha sedang dibuat untuk
membolehkan tenaga berkenaan dijual ke Semenanjung.

Kerja penyambungan kabel elektrik dasar laut sepanjang 675 kilometer (km)
menyambungkan Sematan di selatan Sarawak ke Tanjung Leman di Mersing, Johor dan
dijangka siap pada 2016 untuk menyalurkan 1,700 MW elektrik ke Semenanjung.

Jarak empangan itu dari bandar Bintulu pengeluar gas cecair utama di negara ini,
menggunakan jalan darat kira-kira 185km dari bandar raya Miri, telaga pengeluar minyak
pula kira-kira 300km manakala dari Long Segaham kawasan penempatan penduduk paling
dekat di bahagian hilirnya hanya 50 minit melalui jalan air menggunakan bot laju.

Empangan itu dibina menggunakan Concrete Face Rockfield Dam (CFRD) yang mempunyai
ketinggian 205 meter, adalah kedua terbesar di Asia selepas empangan Shibiyanu China (223
meter). Dari segi tahap keselamatan empangan itu dikatakan kukuh.

Empangan itu akan mengumpul air dari kawasan tadahan seluas 14,750km persegi atau seluas
Kelantan yang mengambil keluasan 11 peratus Sarawak. Selepas ini, kawasan berkenaan akan
menjadi kawasan hutan simpan.

Kerja menaikkan paras air di empangan itu dijangka bermula akhir bulan ini dan untuk
mencapai paras air sehingga 195 meter dari paras laut mengambil masa lapan bulan dengan
empangan itu dijangka memulakan pengeluaran 300 MW elektrik selewat-lewatnya Disember
depan.
Seperti juga pembinaan empangan besar lain di dunia, Empangan Bakun tidak terlepas
daripada serangan, baik dari aspek rasional untuk memajukan tenaga hidro mahupun dari
aspek pembinaan empangan itu sendiri.

Pembinaan Empangan Bakun turut dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar, terutama hutan,
sungai, tanah dan hidupan liar.

Empangan Bakun, yang enam kali ganda lebih besar daripada Empangan Kenyir juga pernah
didakwa golongan antiempangan atau antihidroelektrik menjejaskan lebih 800 spesies
tumbuhan, termasuk 67 spesies yang dilindungi, 104 spesies ikan, 229 mamalia dan 43
spesies burung dilindungi, memusnahkan 50 juta meter padu pelbagai jenis kayu balak dan
menjejaskan lebih 10,000 penduduk di sekitarnya.

Apapun langkah sebenar membina Empangan Bakun sejajar dasar lima sumber tenaga negara
- gas, minyak, hidro, arang batu dan tenaga diperbaharui – berbanding strategi empat sumber
tenaga sebelum ini (tidak termasuk tenaga diperbaharui). Dengan takungan seluas 69,400
hektar dan sempadan kira-kira 2,000 kilometer, Empangan Hidro Elektrik Bakun mampu
menjana 2,400 megawatt (MW) tenaga elektrik sehari.

Untuk memberi laluan kepada pelaksanaan projek itu, semua penduduk suku Orang Ulu,
terdiri dari Kenyah, Kayan, Lahanan, Ukit dan Penan yang tinggal di kawasan tadahan itu
dipindahkan ke kawasan berhampiran di Skim Penempatan Semula Sungai Asap yang
dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

Lebih 10,000 orang terdiri daripada 1,693 keluarga menetap di tiga skim penempatan semula
di kawasan itu.

Kini kebanyakan mereka tidak lagi memiliki bot panjang yang sangat berharga bagi
masyarakat penempatan tepi sungai pada satu ketika dulu. Dengan wang pampasan diterima,
mereka membeli kenderaan pacuan empat roda yang kini menjadi pengangkutan pilihan.

Anak mereka ke sekolah menaiki bas atau kenderaan pacuan empat roda dan dianggarkan
hampir 200 kenderaan seperti itu di rancangan penempatan berkenaan. Kini mereka
menikmati bekalan air bersih dan elektrik 24 jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang, berkata ekoran pelaksanaan
Empangan Bakun, kerajaan menubuhkan Tabung Amanah Bakun (TAB) bertujuan
membolehkan semua penduduk asal Belaga melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Seorang pemimpin masyarakat Sungai Asap, Penghulu Saging Bit, 52, berkata golongan tua
daripada 781 penduduk yang diurus masih tidak terlepas daripada nostalgia kehidupan di
tempat asal mereka.

"Namun, saya percaya orang ramai dari dalam dan luar negara pasti mahu melawat empangan
ini.

"Kami boleh terbabit dalam homestay, membawa pelancong memancing, menternak ikan
dalam sangkar di empangan dan menjual kraf tangan," katanya.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.    Kembali ke atas

You might also like