You are on page 1of 2

PERISTIWA DI SEBALIK KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW

Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau
tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.Kehamilannya disedari
melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat
mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada
seluruh umat manusia.Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan
berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.
Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan
malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit
dan bumi.Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-
pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk
membincangkannya.
Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang
menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah
besar bernama Mahmudi.Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu
berhenti dan berundur dengan izin Allah.
Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan
mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan
diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.
Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke
langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang
terapung di angkasa.Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar
bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi
penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''Semasa kelahiran Nabi Muhammad
s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa
Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.Keadaan ini diterangkan
dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.Semasa
baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan
baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria.Ia dilihat seolah-olah
seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.Ada
juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat
dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu
cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.Aminah sendiri melihat
baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti
seorang yang sedang berdoa.Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya
sehingga beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan
Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat
menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan
tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.
Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ
mengalami kerosakan dan kemusnahan.
Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, ``Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba
berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding
Kaabah berkata, ``telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan
mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang
Maha Mengetahui.''Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai
Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh.
Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.
Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah
padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakanapi sembahan orang-orang Majusi yang
dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci
tenggelam ke dalam tanah.Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai
tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu
Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.
Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu,
Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala
melindungi baginda daripada panas matahari.Ketika berusia empat tahun, sedang baginda
bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu
malaikat Jibril dan Mikail.Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah
dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan
darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di
tempatnya.hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah
melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda
adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi.Perkara -perkara luar biasa ini telah
membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti
kerasulannya.Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab
terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

You might also like