You are on page 1of 11

Isu Gengsterisme di Sekolah Malaysia

 
1.0 Pendahuluan
Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah
memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
 
Demikianlah murninya hasrat dan semangat Falasafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK). Pendidikan negara bermatlamatkan dan memfokuskan penjanaan warganegara
yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada diri masing-masing, masyarakat
dan negara. Maksud yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu
diterjemahkan dalam Misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan menjadi asas
kepada usaha ke arah peningkatan dan pengukuhan sistem pendidikan negara bertaraf
dunia. Fokus yang mendasari matlamat utama ini ialah pengembangan potensi pelajar
pada tahap optimum.
 
Pencapaian matlamat utama pendidikan itu amat bergantung pada kewujudan
iklim sekolah yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Menyedari
hakikat ini, maka Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada
kepentingan pengukuhan disiplin pelajar dengan menyediakan berbagai-bagai
panduan, peraturan dan dasar disiplin yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah. Dalam
masa yang sama semua Jabatan Pelajaran Negeri dipastikan mengawal dan
membendung pembabitan pelajar dalam sebarang kegiatan berbentuk negatif.
Pendekatan-pendekatan tertentu telah dilaksanakan untuk melahirkan suasana
kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran.
 
2.0 Definisi Operasi
2.1              Kumpulan gengster bermaksud kumpulan seminat yang dianggotai oleh ahli-
ahli yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku
dan penubuhannya melibatkan upacara ritual. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan
dan undang-undang yang ketat dan kumpulan ini umumnya bergerak secara sulit, dan,
mempunyai seorang ketua yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan program dan
aktivitinya. Sementara itu kumpulan samseng merupakan kumpulan seminat yang
dianggotai oleh samseng-samseng yang berkecenderungan melakukan perlakuan
negatif atau pelbagai salah laku. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan-peraturan dan
undang-undang yang longgar. (Dr.Amir Mohd Selleh, 1999).
 
2.2              Gengsterisme di sekolah bermaksud kewujudan kumpulan gengster yang
melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif
atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran
disiplin dan undang-undang. ((Dr.Amir Mohd Selleh, 1999). Kumpulan pelajar yang
terlibat dalam kumpulan gengster dan samseng terdiri daripada pelbagai jantina, etnik,
umur, peringkat persekolahan dan jenis tempat kediaman mereka.
 
2.3              Disiplin secara amnya boleh didefinisikan sebagai latihan terutamanya
pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri. (Kamus Dewan, 1984).
Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Dasar Pendidikan (1979)
menyebut disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu menghormati undang-
undang, bekerja mengikut tatatertib, menghormati hak individu, mengamalkan
tingkah laku yang baik, saling menghormati, tolong -menolong dan membaiki
keadaan dalam usaha membina.
 
2.4              Moral pula merujuk segala tingkah laku manusia yang berkaitan dengan apa-
apa yang betul atau salah, baik atau buruk dan apa-apa yang kita harus buat dan apa-
apa yang kita harus elakkan. Moral juga berkaitan dengan cara manusia berinteraksi
antara satu sama lain, dan bagaimana tingkah laku mereka mempengaruhi perasaan
dan kepentingan orang lain. (Iheoma, 1986)
 
2.5              Akhlak ialah suatu daya kemampuan iradah yang bersifat tetap dalam diri
manusia yang melahirkan rasa cenderung untuk memilih perlakuan yang baik dan
lurus (jiwa akhlaknya baik) ataupun cenderung untuk memilih perlakuan yang jahat
dan buruk jika akhlaknya jahat. (Mohd Sulaiman Haji Yasin, 1992)
 
 
3.0 Persoalan
Persoalan yang berkait dengan isu gengsterisme di sekolah amat banyak dan
memerlukan kajian untuk menyelesaikannya. Antaranya sebagaimana senarai
berikut :-
 
3.1  Sejauh manakah tahap kegiatan gengsterisme wujud di sekolah-sekolah di
Malaysia? Adakah kegiatan gengsterisme merupakan gimik atau
sememangnya realiti yang sedang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Malaysia.
 
3.2  Siapakah kumpulan pelajar yang sering terlibat dengan kumpulan
gengsterisme? Apakah latar belakang mereka?
 
3.3  Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kewujudan kumpulan gengster
di sekolah?.
 
4.0 Sumber Aktiviti Gengsterisme

4.1 Kertas Penyelidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (Sekarang


Kementerian Pelajaran Malaysia)

Menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan


Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan
Oktober 1999 (lampiran disertakan) terdapat 13 jenis salah laku jenayah yang sering
melibatkan pelajar kumpulan gengsterisme mengikut respons Pengetua dan Guru
(rujuk lampiran 1 dan 2) di sekolah seperti berikut :- berjudi, mencuri, melawan guru,
melawan pengawas, memeras ugut, membuli, kes pelacuran, kes salah guna dadah,
membawa senjata, mencabul kehormatan, mengancam murid, mengugut guru dan
menceroboh.
 
Sementara itu terdapat 5 salah laku lucah yang sering melibatkan kumpulan
gengster di sekolah mengikut respons Pengetua dan Guru (rujuk lampiran 3 dan 4)
sebagaimana senarai berikut :- berkhalwat, mengintai murid perempuan, membawa
bahan lucah, menggunakan kata lucah dan melukis gambar lucah.
4.3 Majalah
Sementara itu bilangan kes pelajar yang terlibat dengan perlakuan gengster
dan membakar premis sekolah dari tahun 1987 hingga 1999 menurut sumber
Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Majalah Massa
(Ogos 2000) adalah seperti jadual berikut :-
Jadual Kes Pelajar Yang Terlibat Aktiviti Gengster
dan Membakar Premis Sekolah
 
Jenis Kes 1997 1998 1999
Kes Samseng 107 77 85
Membakar Premis Sekoalah 6 19 10

Sumber : Majalah Massa (Ogos 2000)


4.3              Akhbar
Akhbar-akhbar tempatan juga sering melaporkan kejadian jenayah dan
gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah. Berita Harian pada 13 Julai 2000
mengutarakan isu gengsterisme berlaku berpunca daripada kejahilan agama dalam
kalangan remaja dan pelajar sekolah. Hal ini menyebabkan mereka mudah
dipengaruhi oleh persekitaran yang banyak mendorong kepada keruntuhan moral dan
kemusnahan jati diri dan akhlak.
 
Berdasarkan laporan di atas kita mendapati bahawa aktiviti kumpulan gengster
di sekolah agak menyeluruh dalam pelbagai kegiatan.Hakikat ini merupakan satu
fenomena yang kurang sihat terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah-
sekolah di negara kita. Masalah serius atau tidak sesuatu salah laku itu bukan menjadi
pokok perbincangan tajuk ini. Penulis tidak akan menghuraikan satu persatu sesuatu
kes gensterisme di atas. Salah laku melawan guru termasuk mengugut, merosakkan
harta benda guru sering berlaku. Baru-baru ini akhbar harian melaporkan kes
pencerobohan dan pembakaran bilik guru disiplin, mengancam guru dengan
menghantar peluru hidup dan sebagainya. Apa yang mencemaskan, kewujudan salah
laku tersebut walaupun satu kes boleh menjejaskan iklim persekolahan dan
mengganggu pelbagai peringkat proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
 
5.0 Andaian dan Pendapat Awal Perlakuan Gengsterisme
Pelbagai andaian dan faktor yang membawa kepada wujudnya aktiviti-aktiviti
salah laku dalam kalangan pelajar dalam bentuk gengsterisme ini. Antaranya boleh
kita senaraikan sebagaimana berikut :-
 
5.1 Pelajar-pelajar yang terlibat dengan pelbagai salah laku di atas merupakan mereka
yang kurang mendapat pendidikan agama dan moral serta bimbingan ibu bapa di
rumah. Ibu bapa yang bekerja tidak dapat meluangkan masa secukupnya untuk
bermesra dan membimbing anak-anak dengan didikan agama yang sewajarnya.
Tanggungjawab itu diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah.

5.2 Pengaruh media masa dan arus perdana globalisasi serta tamadun materialistik
masa kini amat banyak mencetus krisis nilai. Majalah-majalah hiburan yang tidak
bermoral dan beretika berleluasa di pasaran. Filem-filem ganas dan unsur seks
yang ditayangkan di televisyen secara bebas memberi kesan ke atas pembentukan
pelajar. Pelajar-pelajar menjadi keliru dan tidak tahu memilih maklumat yang
terbaik untuk membina kehidupan mereka. Mereka sering tenggelam dalam arus
keruntuhan akhlak dan moral lantaran tidak memiliki daya tahan spritual. Menurut
Prof. Dr.Yusof al-Qardhawi ( 1999 ) , kesan yang paling menonjol akibat daripada
tamadun hari ini ialah terungkainya ikatan akhlak. Dengan ini lahirlah masyarakat
yang tidak ada kepimpinan diri dan akhlak. Keadaan ini akhirnya akan
mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala yang antaranya berlaku
dan mempengaruhi remaja-remaja kita yang cenderung untuk melakukan pelbagai
kegiatan jenayah di sekolah yang akhirnya membawa kepada kewujudan
kumpulan-kumpulan gengster dalam pelbagai salah laku jenayah di sekolah pada
hari ini.
 
5.3 Pengaruh persekitaran seperti pusat-pusat hiburan, kafe siber, kedai-kedai
permainan video dan berbagai-bagai pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan
tanpa penguatkuasaan undang-undang telah menambahkan kemelut dan
keruntuhan akhlak dan moral sehingga akhirnya membawa remaja dan pelajar
terlibat dengan aktiviti jenayah dan kumpulan samseng atau gengster.
5.4 Pelajar-pelajar kemungkinan mempunyai sifat semula jadi yang suka
memberontak dan melanggar peraturan-peraturan sekolah dan peraturan-
peraturan lain termasuk menjadikan diri mereka sebagai tumpuan ramai
khususnya dalam kalangan rakan sebaya.

5.5 Pelajar-pelajar yang memperoleh pencapaian yang rendah dalam bidang


akademik dan gagal menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada ahli
masyarakat sekolah masing-masing kemungkinan cenderung untuk melakukan
jenayah.

5.6 Pelajar-pelajar yang mempunyai ahli keluarga dan jiran yang telah menjadi ahli
kumpulan gengster dan mempunyai pengaruh kuat ke atas pelajar itu termasuk
pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan-kawasan kediaman yang mempunyai
kumpulan gengster dan samseng yang bergerak aktif.
 
Berasaskan pelbagai andaian dan faktor yang dibincangkan ini penulis ingin
menumpukan kepada satu faktor sahaja yang merupakan asas atau punca kepada
pelbagai faktor yang lain. Pada pendapat penulis faktor pertama, iaitu pendidikan di
rumah oleh ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar
dan tingkah laku mereka sama ada di sekolah atau di mana-mana sahaja. Pendidikan
agama dan akhlak perlu diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak terlebih dahulu
sebagai persediaan awal untuk membina keperibadian dan sahsiah individu berkenaan
ke arah akhlak yang mulia.

6.0 Perbincangan
Wujudnya fenomena semasa yang menunjukkan bertambahnya perlanggaran
disiplin dan gejala salah laku dalam kalangan pelajar telah menimbulkan pelbagai
pertanyaan umum tentang kesesuaian dan keberkesanan dasar dan peraturan yang
digunakan untuk pengukuhan disiplin pada peringkat sekolah. Dalam konteks ini satu
daripada perkara yang sering dikaitkan dengan perlanggaran disiplin dan gejala salah
laku ialah kewujudan unsur gengsterisme dan aktiviti kumpulan samseng di sekolah.
Hari ini kes pelajar terlibat dengan kegiatan jenayah dianggap sebagai fenomena
biasa. Berita salah laku dan penglibatan dalam kegiatan jenayah bukan lagi bahan
panas untuk diperkatakan. Apabila masyarakat telah jemu memperkatakannya isu itu
akan hilang begitu sahaja seperti isu-isu lain yang dianggap kontroversi, tetapi yang
menanggung kesannya ialah ibu bapa dan pihak sekolah. Pelbagai teori dan andaian
telah dikaitkan dengan kewujudan kumpulan samseng ini, antaranya pengaruh media
massa, pengaruh perbandaran atau urbanisasi yang semakin cepat menular di kawasan
luar bandar, pengaruh metarialisme yang semakin meningkat, fahaman kebebasan
individu untuk perlu dihormati, pengaruh rakan sebaya, krisis nilai, ceteknya
pengayatan agama dalam diri individu, kurangnya perhatian dan bimbingan ibu bapa
terhadap anak-anak di rumah dan lain-lain lagi.
 
Perlanggaran displin dan perbuatan salah laku dalam kalangan pelajar bukan
sahaja berlaku secara meluas di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi kini
menular juga di sekolah-sekolah luar bandar termasuk di kawasan-kawasan Felda,
Felcra serta kawasan-kawasan perkampungan. Senario ini menunjukkan ‘trend’
perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar meningkat secara mendadak dan
membimbangkan walaupun bilangan pelajar yang terlibat masih terlalu kecil. Dalam
masa yang sama juga kes penglibatan pelajar-pelajar perempuan semakin bertambah.
 
Isu gengsterisme ini merupakan satu perkara yang amat mencabar kesabaran
dan kecekalan pihak pengurusan sekolah, kebolehan guru dalam melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan pengawalan oleh guru-guru
disiplin sekolah. Masalah ini merupakan suatu isu dari perspektif pendidikan yang
perlu diselesaikan segera secara menyeluruh. Dalam konteks negara, gejala ini
merupakan suatu jenayah yang mencabar pihak polis untuk membendungnya.
 
Banyak faktor yang menjurus kepada isu gensterisme di sekolah. Namun di
sebalik faktor-faktor tersebut ada satu faktor utama yang menjadi kunci kepada
faktor-faktor yang lain. Faktor utama tersebut ialah kurangnya bimbingan dan asuhan
agama oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah. Masalah ini bukan sahaja
terbatas kepada pelajar-pelajar Muslim sahaja, bahkan melibatkan pelajar-pelajar
bukan Muslim. Di sebabkan kekurangan asuhan dan bimbingan di rumah, maka
anak-anak kurang mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran dan rintangan
hidup. Mereka mudah terpengaruh oleh persekitaran, rakan sebaya, media massa,
internet, gaya hidup yang mengejar keseronokan dan hiburan, materialistik dan
sebagainya. Keadaan ini akhirnya menjurus kepada pelbagai gejala jenayah dan salah
laku. Di sekolah , kewujudan kumpulan-kumpulan samseng atau gengster yang sering
melakukan jenayah telah mengganggu ketenteraman dan mencemar iklim
persekolahan. Sehingga kini gengsterisme menjadi isu hangat yang perlu ditangani
segera.
 
7.0 Cadangan dan Penyelesaian
7.1 Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak-anak adalah segala-galanya bagi
mereka. Mereka pewaris kepada bangsa dan negara. Oleh yang demikian
ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mendapat bimbingan agama
dan moral yang secukupnya agar mereka mempunyai keimanan yang
mantap dan mampu membentuk keperibadian dan akhlak serta mempunyai
daya tahan dalam mengharungi hidup yang penuh dengan rintangan dan
cabaran. Keimanan yang mantap akan mencegah diri seseorang darpada
perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindar mereka daripada
terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah
atau di mana-mana sahaja. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud “
sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji
dan mungkar” (al-Ankabut : 45) merupakan manifestasi didikan dan
bimbingan yang mantap dari rumah.

7.2   Faktor agama dan moral berkait rapat antara satu sama lain dalam
membentuk kepribadian dan akhlak serta moral yang tinggi dalam
kalangan remaja. Kewujudan suatu kod moral ialah sifat penting bagi
semua agama yang utama di dunia. Dalam agama-agama seperti Islam,
Kristian, Hindu, nilai-nilai agama terjalin begitu kuat sehingga perbezaan
antara mereka menjadi tidak ketara dan tidak penting. Pendek kata agama
dapat memainkan peranan dalam pembentukan akhlak yang baik dan
mempengaruhi kelakuan akhlak seseorang individu. (W.P.Yong, 1989)
Oleh yang demikian penekanan kepada pendidikan agama amat penting
untuk membentuk individu yang seimbang sekali gus menjauhkan diri
daripada terlibat dengan aktiviti gengsterisme.

7.3 Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa, dan antara
guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara
peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar
tersebut. Dengan cara ini pelajar berasakan mereka dihargai dan pihak
sekolah sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh
yang demikian pelajar yang bermasalah tidak segan untuk berbincang
dengan guru mereka berkenaan masalah yang dihadapi. Keadaan ini
mengelakkan pelajar daripada melepaskan tekanan permasalahan mereka
dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman
awam seperti salah laku jenayah dan gengsterisme.

7.4 Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan.


Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk mengukuhkan,
memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan
pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan
persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu
berkesan dan ini meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran
disiplin serta hukuman dan ganjaran.

7.5 Pengawalan kumpulan gengster dan samseng perlu dilakukan secara


bersepadu atau melalui kaedah permuafakatan dengan melibatkan semua
kumpulan atau pihak, iaitu sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan
penguat kuasa undang-undang. Kerjasama perlu dibentuk melalui satu
rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti seperti penyampaian
dan penyaluran maklumat tentang sesuatu kegiatan gengster dan samseng
yang melibatkan pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah
dan pihak penguat kuasa undang-undang. Kerjasama dalam bentuk
perancangan dan penyediaan pelan tindakan secara bersama berdasarkan
kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi aktiviti geng dan
samseng dalam kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan
bersama juga perlu bagi menghapuskan aktiviti-aktiviti gengster dan
samseng di sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan
undang-undang dan disiplin.

7.6 Melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor penarik dan penolak yang


mempengaruhi pelajar untuk terlibat dalam kumpulan-kumpulan gengster
dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua
kumpulan pelajar agar sayang akan sekolah dengan menyediakan sekolah
dan persekitarannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk
belajar.

7.7 Langkah seterusnya ialah mengawal jaringan aktiviti gengster dan


samseng yang melibatkan pelajar dengan menyediakan pelan tindakan dan
melaksanakannya secara bersama melalui tindakan berkesan. Antaranya
pihak sekolah harus menentukan bahawa pelajar-pelajar tidak melepak
sama ada pada waktu persekolahan atau pada masa di luar waktu
persekolahan kerana ini akan mendedah pelajar kepada pelbagai pengaruh
yang tidak sihat. Selain itu, pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan
satu sistem kawalan mencegah ahli-ahli kumpulan gengster dan samseng
daripada menjadikan pelajar-pelajar sebagai mangsa dalam masa tiga
waktu utama, iaitu sebelum persekolahan, semasa rehat dan waktu selepas
tamat sesi persekolahan harian.
 
8.0 Penutup
Kemunculan kumpulan gengsterisme di sekolah telah membimbangkan semua
pihak. Gejala ini merupakan isu yang memerlukan penyelesaian segera. Aktiviti-
aktiviti kumpulan ini telah mengeruhkan iklim sekolah dan seterusnya memberi kesan
kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan semua pihak adalah penting
dalam menangani isu ini supaya gejala gengsterisme dapat dikawal dan dibasmi
daripada berlarutan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing dan
mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke sekolah atau
keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental dalam
menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Ketahanan iman pada
diri anak-anak ini akhirnya akan melahirkan pelajar yang bersih daripada pelbagai
gejala dan salah laku jenayah seterusnya mencapai matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan kita.

******** SMCHxxxxSMCH*******

 
 Bahan Rujukan : -

Dr.Amir Mohd Salleh, 1999, Kajian Gengsterisme di Sekolah Menengah Harian, Unit
Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Dr.Yusof al-Qurdhawi, 1999, Tamadun Islam Alternatif Masa Depan, Bangi :
Maktabah al-Qardhawi.
 
Kamus Dewan, 1984, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 
Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan (7
November 1979), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 
Mohd Sulaiman Haji Yassin, 1992, Akhlak dan Tasauf, Bangi : Yayasan Salman.
 
Yong Wai Ping, 1989, Satu Tinjauan Mengenai Hubungan di antara Masalah
Disiplin di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah dengan Tahap
Perkembangan Moral, Bangi: UKM.
 
Iheoma, E.O, “The Role of Religion in Moral Education”, Journal of Moral
Education, Vol 15, no 2, May 1986.
 
Majalah Massa, 5-11 Ogos 2000
 
Berita Harian, 13 Julai 2000
 
 
 
 

You might also like