You are on page 1of 5

SKRIP TEATER BERCERITA

TAJUK : BAWANG MERAH DAN BAWANG PUTIH

PENCERITA
WATAK : MAK LABU
MAK KUNDUR
PAK ALI
BAWANG MERAH
BAWANG PUTIH
DATUK MENTERI
HULUBALANG
SULTAN

Babak 1

Pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah rumah yang agak terpencil dari kawasan
kampung. Si suami bernama Pak Ali dan Si Isteri bernama Mak Labu. Walaupun mereka sudah lama berumah tangga tetapi
mereka masih belum mempunyai cahaya mata.

Pak Ali : Labu, aku berhajat hendak beristeri seorang lagi kerana berkehendakkan seorang anak,
walaupun sudah lama engkau menjadi isteriku tetapi engkau tidak dapat melahirkan anak.

Mak Labu : Kalau bergitu niat abang, saya relalah abang berkahwin lain walaupun berat rasa hati ini.

Akhirnya Pak Ali pun beristeri baru. Isteri barunya itu bernama Mak Kundur. Setelah setahun berkahwin, Mak Kundur dan
Mak Labu telah mengandung dan melahirkan dua orang anak perempuan.

Pak Ali : Syukur kepada Allah kerana hari ini aku sudah bergelar ayah.
Mak Labu : Abang, apa nama yang abang nak berikan pada anak perempuan kita ini?
Mak Kundur : Betul tu Mak Labu. Berilah nama yang baik, agar anak perempuan kita ini menjadi seorang
gadis yang cantik dan rupawan.
Pak Ali : Ya tak, ya juga. Oleh sebab tanaman abang sangat subur pada hari ini, abang namakan
Bawang Merah dan Bawang Putih.

Masa terus berlalu. Kini umur kedua-dua anaknya telah mencapai usia remaja. Bawang Merah dan Bawang Putih menjadi
seorang gadis yang cantik. Pada suatu hari, Pak Ali pergi mengail ikan dengan Bawang Merah berdekatan dengan sebatang
sungai.

Bawang Merah : Ayah, marilah kita makan dulu. Ibu sudah sediakan bekalan untuk ayah.
Pak Ali : Sebentar ya wahai anakku. Kejap lagi ayah makan.
Bawang Merah : Baiklah ayah.
Pak Ali : Ah! Merah, cepat ambilkan ayah sebuah raga. Ayah sudah dapat tangkap seekor ikan!
Bawang Merah : Wah! Murah rezeki kita hari ini.
Pak Ali : Aduh!! Merah, Merah!
Bawang Merah : Ayah! Kenapa ayah?

Tiba-tiba, Pak Ali disengat oleh seekor ikan sembilang yang baru sahaja tersangkut pada kailnya. Pak Ali memanggil
anaknya Bawang Merah membantunya kerana tidak tahan menanggung kesakitan akibat disengat oleh ikan itu. Dengan
perasaan yang cemas, Bawang Merah memapah bapanya pulang ke rumah.

Apabila sampai di rumah, kedua-dua isterinya terperanjat melihatkan Pak Ali pulang dalam kesakitan. Mak Labu pergi
menjemput Pawang Jidun iaitu seorang pawang yang terkenal di kampung itu.

Mak Labu : Jidun, tolonglah selamatkan suami saya. Suami saya sakit tenat.
Mak Kundur : Saya tidak mahu kehilangan suami saya, Jidun.
Pawang Jidun : Baiklah, Mak Labu, Mak Kundur. Saya akan cuba sedaya upaya untuk selamatkan Pak Ali.

Walau bagaimanapun, Pawang Jidun tidak dapat menyelamatkan Pak Ali. Pak Ali pun meninggal dunia. Semenjak Pak Ali
meninggal dunia, perselisihan dan pergaduhan antara Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih selalu sahaja terjadi.

Babak 2
Mak Kundur sangat bencikan Mak Labu. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghapuskan Mak Kundur. Pada
suatu hari, Mak Kundur dan Bawang Putih pergi ke sebuah perigi. Berdekatan dengan perigi itu, kelihatan Mak Labu yang
sedang menceduk air di perigi itu.
Perlahan-lahan, Mak Kundur berjalan mendekati Mak Labu dan menolak Mak Labu jatuh ke dalam perigi. Mak Labu
meronta meminta tolong sambil memanggil nama Bawang Merah.

Mak Labu : Tolong! Tolong! Merah, tolong ibu! Merah!


Mak Kundur : Mampuslah engkau! Tiada seorang pun yang akan datang selamatkan kau, Labu!

Akhirnya Mak Labu mati lemas. Mak Kundur dan Bawang Putih berlari meninggalkan Mak Labu yang telah mati lemas itu.

Di rumah, Bawang Merah sedang termenung dan bersedih hati memikirkan ibunya. Tiba-tiba Mak Kundur pulang ke rumah
dan memukulnya. Bawang Merah jatuh pengsan. Mak Kundur dan Bawang Putih ketawa sepuas hati mereka melihat
Bawang Merah sambil berjalan keluar ke rumah saudara.

Apabila hari sudah semakin gelap, Bawang Merah sedarkan diri. Dia menangis tersedu-sedu sambil memangggil-manggil
nama ibunya. Dia juga hairan kerana Mak Kundur dan Bawang Putih tidak pulang ke rumah. Bawang Merah berasa takut
tinggal berseorangan di dalam rumah yang dikelilingi hutan tebal itu. Bawang Merah segera menutup pintu rapat-rapat.

Akibat terlalu penat, Bawang merah pun terlena. Dalam tidurnya, Bawang Merah terlihat Mak Labu datang kepadanya
dengan memakai telekung putih sambil berkata,

Mak Labu : Merah, ibu telah mati ditolak ke dalam sebuah perigi lama oleh Mak Kundur semasa ibu menceduk air.
Ibu tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu terhadap ibu. Ingatlah anakku, kau jagalah
dirimu baik-baik. Sekarang ibu hendak pergi dahulu.

Sebaik sahaja emaknya meminta diri, Bawang Merah pun terjaga dari tidurnya. Rupa-rupanya Bawang Merah sedang
bermimpi. Bawang Merah menangis sekuat-kuat hatinya sambil memanggil-manggil nama ibunya.

Babak 3

Keesokkan harinya, Bawang Merah pergi ke perigi tersebut. Bawang Merah menangis sambil memanggil ibunya. Tiba-tiba
timbul seekor ikan kaloi. Ikan kaloi itu boleh berkata-kata.

Ikan kaloi : Wahai anakku Bawang Merah. Akulah ibu engkau. Ibu telah mati ditolak ke dalam perigi ini oleh
Mak Kundur. Engkau datanglah bermain dengan mak pada tiap-tiap hari. Bawalah makanan
untuk mak sekepal nasi melukut dan sayur keladi. Kalu tidak, ibu tidak dapat berkata-kata lagi untuk
selama-lamanya.

Setelah itu, Bawang Merah pun pulang ke rumah. Apabila sampai di rumah, Mak Kundur dan Bawang Putih sedang
menunggu kepulangan Bawang Merah dengan muka yang bengis.

Mak Kundur : Ke mana engkau pergi?

Bawang Merah : Saya sedang mencari mak saya.

Mak Kundur : Mak engkau sebenarnya sudah mati kerana jatuh ke dalam perigi. Aku telah berusaha hendak
menolongnya tetapi tidak terdaya.

Bawang Merah tidak berkata apa-apa. Dia tidak percaya dengan kata-kata Mak Kundur. Dia yakin dengan mimpinya dan
percakapan ikan kaloi di perigi itu.

Bawang Putih : Lekas pergi ke dapur dan masak untuk kami. Ingat! Mulai hari ini, kami berdua menjadi raja dalam
rumah ini, kami tidak mahu membuat apa-apa kerja. Segala kerja seperti memasak, mencuci kain dan
mengemas rumah ialah tugas engkau!

Bawang Merah hanya menurut perintah Mak Kundur dan Bawang Putih. Setiap hari, Bawang Putih melakukan kerja-kerja
rumah tanpa mengeluh.

Walau bagaimanapun, setiap pagi Bawang Merah pergi ke telaga itu sebelum Mak Kundur dan Bawang Putih bangun dari
tidur. Apabila Bawang Merah tiba di perigi itu, Bawang Merah bergurindam.
“Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari.”

Sebaik sahaja Bawang Merah bergurindam, ikan kaloi itu pun timbul. Setelah selesai, Bawang Merah pun pulang. Suatu
hari, Bawang Putih terdengar suara orang bergurindam. Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik semak. Bawang Putih
berbisik dalam hatinya,

Bawang Putih : Oh, di sini rupanya si Bawang Merah datang hari-hari. Akan aku perhatikan apa yang dibuatnya disini.

Bawang Putih dapat melihat dan mendengar segala-galanya yang berlaku. Lantas dia berlari pulang ke rumah dan mengadu
kepada emaknya. Dengan perasaan yang terkejut, Mak Kundur berkata,

Mak Kundur : Oh begitukah? Nanti aku akan tangkap ikan itu!

Segala rangkap gurindam itu dihafal oleh Mak Kundur. Pada waktu tengah hari, ketika Bawang Merah sedang bekerja di
rumah, Mak Kundur dan Bawang Putih pergi ke perigi itu dan membawa sekepal nasi melukut dan sayur keladi. Mak
Kundur pun bergurindam:

"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari.”

Ikan itu tidak timbul. Mak Kundur bergurindam lagi. Tidak timbul juga. Kemudian, Bawang Putih pula yang
bergurindam. Tidak juga timbul. Bawang Putih bergurindam lagi. Selepas beberapa lamanya, barulah ikan itu timbul. Sebaik
sahaja ikan itu timbul, ikan itu pun ditangkap oleh Mak Kundur. Secara diam-diam mereka membawa balik ikan itu pulang
ke rumah.

Mak Kundur : Bawang Merah, tengah hari ini biarlah saya masak. Engkau pergilah cari kayu api
Bawang Merah : Baiklah ibu.

Sebaik sahaja Bawang Merah keluar mencari kayu api, Mak Bawang Putih pun memasak ikan itu. Apabila Bawang Merah
pulang ke rumah, Bawang Putih mempelawa Bawang Merah memakan nasi berlaukkan ikan kaloi itu.

Babak 4

Keesokkan paginya, Bawang Merah pergi ke perigi untuk memberi ikan kaloi itu makan. Bawang Merah bergurindam.
Berkali-kali Bawang Merah mengalunkan gurindam tetapi ikan kaloi itu tidak timbul-timbul. Bawang Merah pun menangis
teresak-esak . Sedang Bawang Merah menangis, tiba-tiba muncul satu suara ghaib.

Suara ghaib : Tidak usahlah engkau menangis Bawang Merah. Ikan kaloi sudah ditangkap oleh Mak Bawang Putih
dan sudah dibuat gulai yang engkau makan semalam. Sekrang engkau carilah tulang-tulangnya
dan tanamlah.

Sebaik saja suara itu ghaib, Mak Kundur datang dan memukul Bawang Merah menggunakan kayu sambil berkata,

Mak Kundur : Anak sial! Apa yang engkau buat di tepi perigi ini? Oh, engkau hendak berjumpa mak engkau ikan kaloi
itu ya? Semalam yang engkau makan itulah ikan kaloi mak engkau! Lekas balik ke rumah dan masak
nasi!

Mak Kundur menarik tangan Bawang Merah dan memaksanya pulang ke rumah.
Babak 5

Setelah selesai memasak nasi, Bawang Merah turun ke bawah rumah untuk mencari tulang-tulang ikan itu. Puas dia
mencari, barulah Bawang Merah menjumpai tulang-tulang kemudian dihimpun dan ditanam tulang-tulang itu di atas bukit.

Selepas sebulan berlalu, tukang-tulang ikan itu tumbuh menjadi sepohon pokok beringin yang rendang. Bawang Merah
menggantungkan buaian di dahan pohon itu. Pada masa lapang, Bawang Merah bermain buaian itu. Sambil berbuai,
Bawang Merah menyanyi,

Tinggi-tinggi pohon beringin


Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu

Ketika Bawang Merah sedang menyanyi, terdapat seorang Datuk Menteri sedang berburu yang diiringi oleh beberapa
orang hulubalangnya. Sedang mereka berjalan-jalan, salah seorang hulubalang mendengar suara seorang perempuan
menyanyi.

Hulubalang : Datuk Menteri, cuba dengar suara perempuan sedang menyanyi!

Datuk Menteri : Mengarutlah engkau ini. Dalam hutan begini mana ada perempuan menyanyi!

Hulubalang : Cuba Datuk Menteri dengar sendiri.

Datuk Menteri : Jangan-jangan suara hantu!

Mereka bersepakat hendak menghampiri ke tempat suara itu, akhirnya mereka terlihat Bawang Merah. Kerana wajah
Bawang Merah yang sangat cantik, mereka berpakat untuk mempertemukan Bawang Merah dengan sultan kerana raja
masih belum beristeri. Kemudian mereka pun persembahkan perkara itu kepada sultan. Sultan berasa senang hati
mendengar cerita itu. Mereka pun beramai-ramai pergi ke rumah Bawang Merah.

Datuk Menteri : Assaalamualaikum.


Mak Kundur : Waalaikumussalam.
Datuk Menteri : Tuan hamba, sebentar tadi kami terlihat seorang gadis cantik yang sedang bermain buaian di bukit
sana.
Mak Kundur : Gadis cantik? Oh..memang ada. Gadis itu ialah anak patik.

Maka mak Bawang Putih pun memanggil Bawang Putih keluar untuk mengadap Datuk Menteri.

Datuk Menteri : Bukan yang ini. Yang lain. Dia lebih cantik!


Mak Kundur : Yang seorang lagi ada tapi dia orang gaji patik.

Apabila Mak Kundur menarik Bawang Merah menghadap Datuk Menteri, tiba-tiba Datuk Menteri menjerit.

Datuk Menteri : Haa inilah orangnya! Dialah yang berbuai dan menyanyi dengan merdunya!”
Mak Kundur : Menyanyi? Tuanku, kalau dalam soal menyanyi anak patik Bawang Putih lagi pandai.

Mereka ke bukit itu kemudian sultan meminta Bawang Putih dan Bawang Merah untuk menyanyi. Mula-mula Bawang
Putih dahulu yang menyanyi. Bawang Putih teragak-agak untuk duduk pada buaian itu. Kemudian dia pun menyanyi,

Tinggi-tinggi pohon beringin


Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu

Suara Bawang Putih sumbang sehingga Datuk Menteri dan Sultan menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiba pula giliran
Bawang Merah. Sebaik sahaja Bawang Merah menyanyi, buaian itu bergerak dengan sendirinya. Suara Bawang Merah
sengat merdu seperti yang didengari oleh Datuk Menteri dan hulubalang-hulubalang itu. Akhirnya, sultan pun bersetuju
menjadikan Bawang Merah permaisuri baginda.
Sultan : Apakah ini orang gaji Mak Cik?
Mak Kundur : Ampun tuanku, sebenarnya dia ini anak tiri patik. Walaupun anak tiri, patik menjaga seperti anak
sendiri.

Maka, berkahwinlah Bawang Merah dengan tuanku. Walau bagaimanapun Bawang Merah tidak menyisihkan Mak Kundur
dan Bawang Putih. Mereka tetap diajak tinggal bersama di istana. Mak Kundur dan Bawang Putih berasa kesal akan
perbuatan mereka dan meminta maaf kepada Bawang Merah. Akhirnya mereka pun hidup aman dan bahagia.

You might also like