You are on page 1of 30

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA

SECARA KOGNITIF DAN MEKANIS MENGGUNAKAN TEKNIK RAMALAN

MAT RAHIM BIN MAT TAHIR


SMK SUNGKAI, 35600 SUNGKAI

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran membaca secara kognitif dan mekanis
menggunakan teknik ramalan dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 Utarid. Seramai 35 orang
pelajar terlibat dalam kajian tindakan ini, manakala guru yang terlibat seramai 9 orang sebagai
responden kajian. Tinjauan awal telah dilaksanakan terhadap guru dan pelajar. Dalam kalangan,
saya mengadakan perbincangan dengan guru-guru dan mengedarkan borang soal selidik. Bagi
mendapatkan maklumat daripada pelajar, saya menyemak kerja pelajar, peperiksaan penggal,
temu bual, soal selidik dan ujian pra. Hasil tinjauan tersebut sememangnya pelajar menghadapi
kesukaran untuk memahami kandungan teks. Minat pelajar ketika pengajaran membaca tidak
begitu aktif. Perancangan tindakan ditumpukan kepada memperkenal dan memahirkan guru
menggunakan teknik ramalan secara sistematik, menarik dan berkesan ketika pengajaran
membaca. Tindakan telah dibuat dalam 2 sesi pengajaran dengan memperkenalkan teknik
ramalan peristiwa yang akan berlaku seterusnya. Teks bacaan dibaca secara senyap dan kuat
perenggan demi perenggan. Selepas setiap perenggan akan diikuti soalan. Pelajar belajar dalam
kumpulan dan dikehendaki membentuk idea pokok pada setiap perenggan, serta membentuk
seluruh idea pokok setelah keseluruhan teks selesai dibaca. Bagi menceriakan suasana
pengajaran, penggabungjalianan teknik perlu ada, dengan dibantu bahan bantu mengajar yang
lain. Ujian pemahaman telah membuktikan bahawa keseluruhan pelajar mendapat peratusan
markah yang tinggi pada dua ujian yang telah dilaksanakan, selepas teknik ini didedahkan oleh
guru kepada pelajar. Pelajar-pelajar telah berjaya memahami teks dan pengajaran guru pula telah
berjaya menghidupkan suasana pembelajaran di kelas. Penglibatan pelajar secara aktif dalam
kumpulan, telah berjaya membentuk keyakinan diri pelajar. Oleh itu setiap pelajar boleh diajar
dan guru perlu membaiki teknik pengajaran agar kelemahan pelajar boleh diatasi. Kelemahan
pelajar itulah masalah guru, dan masalah ini perlu ditangani melalui muhasabah diri. Jangan
salahkan pelajar semata-mata, tetapi guru perlu ambil tindakan. Selepas teknik pengajaran ini
dilaksanakan, pencapaian pelajar dalam memahami teks semakin terserlah. Teknik ini
nampaknya telah berjaya meningkatkan daya ingatan pelajar, dan seterusnya meningkatkan
pemahaman, serta minat mereka terhadap pengajaran membaca. Justeru, amalan pengajaran guru
perlu diubah, dan guru dikehendaki sentiasa merefleksi diri tentang apa yang telah dilaksanakan
semasa pengajaran di kelas. Penilaian dan refleksi diri akan melahirkan guru-guru yang
berinovasi, kreatif dan kritis.
1.0 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

Isu tentang bagaimana meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar,


sering diperkatakan oleh golongan pendidik dan masyarakat pada masa ini. Berdasarkan
perbezaan pencapaian kemahiran membaca pelajar, maka saya ingin membaiki strategi
pengajaran amalan saya, dan pembelajaran amalan pelajar dalam kemahiran membaca kerana
kemahiran membaca merupakan asas kepada disiplin ilmu yang lain seperti menulis dan
perkembangan ilmu keseluruhannya. Wardhaugh (1969) menerangkan; “Success in reading is
therefore assumed to be closely related to success in living and to personal and emotional
adjusment. The successful reader is to some extent also the successful citizen.”
Sebagai guru, kita perlu mengajar pelajar kita mahir membaca untuk membina minda.
Pelajar yang cekap membaca akan berusaha mendapatkan makna daripada teks atau bahan yang
dibaca. Pelajar-pelajar saya di Tingkatan 3 Utarid semuanya tahu membaca. Masalah yang saya
hadapi ketika pengajaran dan pembelajaran membaca ialah pelajar tidak mahu membaca ketika
sesi pengajaran membaca. Apabila dipaksa dengan ugutan seperti denda, baharulah pelajar-
pelajar ini akan membaca. Ada sebahagian kecil pelajar terutama yang duduk di belakang tidak
menunjukkan minat ketika sesi pengajaran membaca. Pelajar-pelajar ini sering berbual-bual,
bergurau-senda dan tidak memberikan tumpuan ketika pengajaran membaca.
Pelajar-pelajar saya juga tidak berminat menjawab soalan-soalan pemahaman yang
memerlukan jawapan seperti memberi pendapat dan alasan. Saya sering memarahi pelajar yang
membuat kerja sambil lewa, mengelamun dan berbisik-bisik dengan rakan. Pernah satu ketika
saya memberi latihan pemahaman, jawapan yang diberi agak mengecewakan. Dalam pada itu
juga saya ada memberi ujian pemahaman, tetapi keputusan markah yang diperoleh walaupun
lulus, tetapi mengecewakan saya kerana pencapaian di luar jangkaan kerana tidak seperti yang
saya harapkan.
Apabila saya memikirkan tentang keadaan tersebut dengan lebih mendalam, saya mula
menyedari bahawa ini mungkin kesilapan saya, atau guru-guru yang terdahulu. Tambahan pula
inilah kali pertama saya mengajar mereka, kerana semasa di tingkatan satu diajar oleh guru yang
bukan opsyen bahasa Melayu, tetapi apabila di tingkatan dua baharulah diajar oleh guru yang
sememangnya opsyen bahasa Melayu. Walaupun begitu guru berkenaan tidak mahir mengajar
membaca dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Ini dapat saya ketahui melalui soal
selidik yang saya laksanakan dalam kalangan guru.
2.0 PERNYATAAN MASALAH

Isu yang sering diperkatakan dalam kalangan pelajar sekolah ini, ialah sikap
pelajar yang tidak mahu membaca. Kesannya perkembangan kemahiran menulis
karangan dan bertutur pelajar lemah. Kegagalan membaca dengan teliti juga
menyebabkan soalan-soalan pemahaman tidak dijawab dengan tepat. Hasil daripada
rumusan yang dibuat oleh guru-guru di sekolah ini, kurang menguasai kemahiran
membaca dan memahami isi-isi penting sesuatu petikan atau wacana, menyebabkan
pelajar-pelajar lemah menghasilkan sebuah penulisan yang bermutu.
Keadaan ini, perlulah diberi perhatian dalam amalan pengajaran guru supaya
pelajar menjadi lebih peka, dan minat untuk terus membaca dengan memahami isi-isi
penting, serta menghasilkan sebuah penulisan yang menepati tajuk soalan.
Berdasarkan daripada masalah yang dinyatakan di atas, saya telah pun
memfokuskan kes kajian tindakan ini kepada aspek meningkatkan strategi pengajaran
dan pembelajaran bacaan, serta faktor amalan guru dalam pengajaran bacaan. Kelas
yang terlibat dalam kajian ini adalah pelajar-pelajar Tingkatan 3 Utarid Tahun 2004
seramai 35 orang.
Guru yang terlibat secara langsung dalam kajian tindakan ini ialah guru mata
pelajaran Bahasa Melayu yang mengajar kelas berkenaan, iaitu En.Mat Rahim Bin Mat
Tahir.
Tajuk kajian tindakan yang akan dicadangkan ialah ‘Meningkatkan Kemahiran
Membaca Pelajar Tingkatan 3 Secara Kognitif dan Mekanis Melalui Teknik Ramalan’.
Laporan kajian kes ini dicadangkan akan dikemukakan kepada pihak EPRD Kementerian
Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan, Pejabat Pelajaran
Daerah Batang Padang, pihak sekolah dan Panitia Bahasa Melayu pada peringkat
sekolah.
3.0 Fokus Kajian

Membaca amatlah penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Kepentingan


membaca telah dinyatakan dengan jelas dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Sekolah Menengah iaitu;
i. membaca pelbagai jenis bahan dengan cekap dan kritis serta dapat
membuat tafsiran , penilaian dan rumusan yang wajar.
ii. Membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan sastera dan ilmiah.

Diharapkan melalui kajian tindakan ini, dapat membantu guru-guru;


i. mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran supaya pelajar-pelajar
tidak bosan dengan pengajaran yang sama setiap masa.
ii. Menarik minat pelajar yang kemungkinan selama ini tidak berminat dalam
pelajaran bahasa.
iii. Membetulkan persepsi pelajar yang menganggap salama ini bacaan dan
pemahaman adalah sesuatu yang membosankan dan tidak perlu dipelajari.
iv. Menambah minat pelajar melalui penggunaan bahan-bahan yang menarik.
v. Memperkukuh dan meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa
Melayu dalam kalangan pelajar.
Jadi dalam kajian tindakan ini, saya cuba melihat sejauh mana pengajaran
kemahiran membaca dapat meningkatkan pemahaman teks, melalui penggunaan teks
terpilih dan penggunaan teknik pengajaran yang dicadangkan, agar pelajar-pelajar lebih
berminat, serta terangsang untuk menguasai kecekapan-kecekapan dalam berbahasa.

4.0 Kumpulan Sasaran

Seramai 35 orang pelajar terlibat dalam kajian tindakan ini, manakala guru yang
terlibat seramai 9 orang dari SMK Sungkai.
5.0 Rasional Kajian

Rasional kepada batasan ini kerana kami berpendapat kegagalan menguasai


kemahiran membaca, akan menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat menghasilkan
penulisan yang bermutu. Bagi memenuhi persoalan ini, aspek kemahiran berfikir dengan
menggunakan teknik ramalan dapat meningkatkan daya berfikir pelajar agar lebih kreatif
dan kritis, di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak
membosankan. Diharapkan melalui teknik ini pelajar-pelajar dapat menaakul perkara-
perkara yang tersurat, tersirat, menghubungkan idea-idea, menyoal, bertindak balas,
menilai idea dan mengaplikasi maklumat baru ke dalam situasi baru.

Berdasarkan rekod yang dicatat dalam Buku Kedatangan, majoriti pelajar


adalah terdiri daripada keluarga yang agak sederhana taraf sosio-ekonominya. Seramai
tujuh orang pelajar merupakan keluarga petani/pekebun atau bekerja sendiri, 12 orang
pelajar daripada keluarga buruh, lima orang pelajar bapa mereka berniaga dan 11 orang
pelajar keluarganya bekerja dengan kerajaan.

6.0 Objektif Kajian

6.1 Objektif Umum;

Kajian ini dharap dapat mengubah amalan pengajaran guru terhadap pengajaran
membaca ke arah pendekatan yang lebih baik, dan mengenal pasti amalan pengajaran
membaca melalui meningkatkan pemahaman teks, dan mengubah sikap belajar pelajar ke
arah yang lebih baik.
6.2 Objektif khusus;

i. Mengenal pasti dan menumpul maklumat hal-hal yang berkaitan pelajar


yang menyumbang masalah kelemahan membaca secara kognitif, iaitu
memahami isi-isi dan makna kata seta frasa dalam kalangan pelajar
tingkatan tiga.
ii. Mengenal pasti kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan untuk menarik
minat pelajar tingkatan tiga.
iii. Mengatasi masalah membaca secara mekanis, iaitu kelemahan sebutan,
intonasi dan gaya pembacaan yang baik dalam kalangan pelajar tingakatan
tiga

7.0 METODOLOGI PENYELIDIKAN

7.1 Batasan Kajian

Kajian ini lebih menumpukan kepada kaedah dan teknik yang dapat
menarik pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Utarid untuk lebih memahami sesuatu teks atau
wacana yang dibaca. Tumpuan kepada ketepatan menjawab soalan pemahaman, dengan
menggunakan bahan-bahan yang dipilih, serta terkandung di dalamnya beberapa aktiviti
yang dibina khusus untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran bacaan lebih
menarik.
Semasa pengajaran dan pembelajaran bacaan dijalankan, saya menekankan
kemahiran membaca secara kognitif dan mekanis. Membaca secara kognitif lebih kepada
pemahaman isi-isi penting dan makna perkataan melalui soalan-soalan yang perlu
dijawab oleh pelajar selepas sesuatu petikan itu dibaca. Sementara dalam bacaan mekanis
pula, tumpuan diberi kepada membaca kuat dengan sebutan, intonasi dan gaya
pembacaan yang baik. Penggunaan bahan-bahan terpilih serta mudah diperoleh, dapat
mendedahkan pelajar-pelajar mengalami dan melihat laras bahasa yang digunakan seperti
laras cerpen, novel, akhbar dan dialog.
.
Kajian ini telah dimulakan pada bulan Februari hingga Jun 2004. Jadual
pelaksanaan penyelidikan adalah seperti berikut:

JADUAL PELAKSANAAN PENYELIDIKAN

PERKARA TARIKH
1. Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan 21.2.2004
2. Memperkemaskan kertas cadangan 25.2.2004 – 28.2.2004
3. Mesyuarat perancangan untuk membuat tinjauan 4.3.2004
kajian
4. Mesyuarat pembentukan Ujian Pra/Pos 13.3.2004
5. Pelaksanaan Ujian Pra 20.3.2004
6. Memproses data ujian pra 25.3.2002 – 28.3.2004
7. Mesyuarat perancangan dan temu bual 1.4.2004
8. Melaksanakan pemerhatian pengajaran guru 2.4.2004 – 5.4.2004
9. Memproses data pemerhatian pengajaran guru 10.4.2004
10. Menjalankan sesi temu bual dengan pelajar / soal 15.4.2004 – 19.4.2004
selidik
11. Analisis data temu bual dan merumus data daripada 22.4.2004 – 30.4.2004
empat data pungutan data
12. Pelaksanaan Kaedah Pengajaran – Teknik 1 1.5.2004
13. Pelaksanaan Kaedah Pengajaran – Teknik 2 8.5.2004
14. Perancangan dan pelaksanaan ujian pos 13.5.2004 – 17.5.2004
15. Memproses data ujian pos 20.5.2004 – 24.5.2004
16. Refleksi/renungan 25.5.2004 – 4.6.2004
17. Penulisan laporan penyelidikan 10.6.2004 – 22.6.2004
18. Penyemakan terakhir 24.6.2004 – 30.6.2004
7.2 Kaedah Mengutip Data

Bagi memantapkan kajian tindakan ini, kami telah menggunakan tiga


kaedah pengutipan data iaitu;

i. Soalan-soalan Ujian

Kami menggunakan tiga set soalan ujian yang diberikan kepada pelajar-
pelajar dalam kelas pelajar yang dikaji, iaitu untuk ujian pra dan pos. Set
pertama mengandungi soalan pra bertujuan untuk mendapatkan maklum
balas tentang tahap pencapaian dan pengetahuan pelajar-pelajar terhadap
kemahiran membaca secara kognitif dan mekanis. Bagi set kedua (dua set)
pula merupakan ujian pos untuk melihat sejauh mana pencapaian pelajar
selepas pengajaran menggunakan teknik ramalan digunakan ketika
pengajaran bacaan.

ii. Temul bual

Temu bual telah diadakan secara rawak dengan memilih beberapa orang
pelajar untuk mendapatkan maklum balas tentang pengajaran guru dan
kesulitan-kesulitan yang dihadapi. Soalan yang ditanya itu berbentuk
terbuka agar pelajar-pelajar dapat menyatakan secara bebas isi hati mereka
tanpa berasa dikongkong oleh soalan.

iii. Pemerhatian

Kami juga menggunakan kaedah pemerhatian bagi melihat tingkah laku


pembelajaran pelajar-pelajar di dalam kelas semasa pengajaran dibuat.
Tujuannya untuk mengenal pasti sikap belajar mereka, dan bagaimana
mereka memberi respon terhadap pengajaran guru.
Pemerhatian juga dilakukan terhadap perlakuan guru dalam aktiviti
pengajaran. Terdapat sebelas item perlakuan pengajaran guru yang dicatat
dan dianalisis mengikut peratus kekerapan perlakuan itu dipraktikkan.

Bagi menilai akan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru


berkenaan, alat-alat yang disediakan termasuklah;

• Senarai semak untuk melihat perlakuan murid semasa pelajaran


berlangsung.
• Senarai semak untuk melihat amalan mengajar guru.
• Alat untuk temu bual khususnya untuk mendapatkan penjelasan lebih
lanjut tentang aspek pengjaran bacaan.
• Latihan untuk menilai perkembangan keseluruhan pelajar dalam
kemahiran yang dipelajari.

iv. Soal selidik

Soal selidik juga diedarkan kepada pelajar-pelajar bagi mendapatkan


maklum balas pelajar tentang pengajaran bacaan yang telah dijalankan
oleh guru. Sebanyak 35 soal selidik disediakan. Soalan banyak berkisar
tentang sikap belajar pelajar tentang pengajaran membaca.

Soal selidik juga diedarkan kepada sembilan orang guru yang mengajar
mata pelajaran Bahasa Melayu. Soalan banyak berkisar tentang kelulusan
dan kursus yang telah dihadiri dan masalah-masalah yang dihadapi ketika
pelaksanaan pengajaran membaca.
8.0 Pelaksanaan Kajian Tindakan

8.8.1 Tinjauan Awal

8.1.1 Mengutip Data Awal


Proses kutipan data awal telah kami jalankan melalui kaedah dan prosedur
seperti yang dinyatakan dalam metodologi kajian.

8.1.2 Analisis Data Kajian Awal


Berdasarkan pengalaman melalui pemerhatian dan perbincangan dengan
rakan-rakan sejawat serta soal selidik yang dikemukakan, masalah pengajaran
membaca adalah faktor amalan guru dan pelajar. Antara masalah yang dikenal
pasti yang dihadapi oleh guru-guru ketika pengajaran bacaan ialah;

8.1.3 Masalah Guru


Guru-guru tidak mempunyai kemahiran untuk memilih bahan-bahan yang
sesuai dengan peringkat atau tahap kebolehan pelajar. Bahan-bahan yang
dipilih adakalanya terlalu tinggi dan adakalanya terlalu mudah. Kesannya
pelajar-pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami sesuatu bahan bacaan.
i. Guru tidak berkemahiran dalam mengajar kemahiran membaca. Bagi
mereka, membaca itu cukup sekadar tahu membaca dan menjawab
soalan-soalan pemahaman.
ii. Guru tidak mahir dalam teknik, strategi dan pendekatan yang sesuai
ketika mengajar kemahiran membaca.
iii. Guru sendiri tidak berminat mengajar bacaan kerana pelajar-pelajar
tidak menunjukkan minat.
iv. Kekurangan masa dan tugas sampingan, menyebabkan beberapa
objektif pengajaran membaca tidak dapat dicapai.
8.1.4 Masalah Pelajar
a. Amalan Belajar Pelajar
Amalan belajar pelajar dikenal pasti semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlangsung dengan menggunakan catatan diari. Pemerhatian
dibuat selama tiga hari. Berdasarkan pemerhatian guru, didapati pelajar ada
menunjukkan minat, cuma sikap tidak mahu membaca secara sukarela apabila
diarahkan oleh guru. Yang hairannya pelajar-pelajar ini suka menunding jari
memberi isyarat kepada guru untuk memilih rakannyanya membaca, tetapi tidak
mencalonkan dirinya.
Apabila guru tujukan pada seseorang pelajar secara khusus untuk
membaca petikan atau wacana, baharulah pelajar berkenaan akan membacanya.
Ada juga segelintir pelajar yang kelihatan mengantuk dan membuat kerja lain
semasa pengajaran bacaan. Apabila diarahkan membuat kerja menjawab soalan
pemahaman, kebanyakannya mengeluh dan sesetengah pelajar ada yang meniru
daripada rakannya. Untuk mencari makna perkataan, apabila diarah merujuk
kamus di pusat sumber, masing-masing mengarah pihak-pihak yang lain. Apabila
aktiviti perbincangan dalam kumpulan, ada segelintir pelajar khususnya pelajar
lelaki tidak mengambil bahagian. Guru juga mendapati kerap kali latihan yang
dibuat jawapannya sama ayat demi ayat.

b. Masalah Yang Pelajar Hadapi Semasa Belajar Bahasa Melayu


Selepas guru membuat pemerhatian selama tiga hari, pelajar telah diminta
menyenaraikan masalah mereka hadapi apabila belajar bahasa Melayu. Ulasan
daripada pelajar diperlukan untuk mengukuh dan menyokong data daripada
pemerhatian guru. Pelajar diberi masa selama 15 minit semasa pelajaran Bahasa
Melayu untuk membuat senarai tersebut. Bagi mendapatkan komen yang ikhlas
daripada pelajar, mereka diberitahu bahawa tujuan komen itu untuk membaiki
cara guru mengajar.
Berdasarkan ulasan yang dibuat oleh pelajar, perkara-perkara yang
dikemukakan ialah tidak dapat memahami apa yang dibaca ( 10 orang ) , guru
lebih menumpukan lebih pada pelajar perempuan daripada lelaki ( lima orang ) ,
guru garang dan tegas ( 35 orang ), cara guru mengajar sama sahaja iaitu
membaca kuat dan senyap , kemudian buat latihan ( 22 orang ). Kaedah ini tidak
disukai oleh segelintir pelajar yang sering menimbulkan masalah dan mereka
mengatakan pengajaran guru membosankan dan membuat mereka mengantuk
( lima orang ). Guru juga suka mengutuk berlebih-lebihan. Kesannya guru itu
dibenci oleh pelajar berkenaan ( lima orang ). Guru juga suka melebih-lebihkan
pelajar yang dikenali saja ( dua orang ).

c. Tahap Penguasaan Pelajar Dalam Bacaan


Kemahiran membaca pelajar setakat memuaskan , terutama yang
melibatkan soalan kemahiran berfikir. Pelajar sukar dan bimbang untuk
memberikan pendapat dengan alasan-alasan yang boleh diterima pakai. Keadaan
ini dapat dikesan berdasarkan latihan-latihan yang diberi serta ujian-ujian
pemahaman yang dijalankan dari semasa ke semasa. Apa yang jelas jika soalan
itu meminta menyenaraikan atau memberi pendapat, pelajar sukar untuk
memberikan pendapat atau ramalan apa yang akan berlaku berasaskan bukti-bukti
yang sedia ada.
Berdasarkan latihan yang diberi “Rahsia Diari Hitam” , soalan nombor
satu yang meminta pelajar menceritakan siapakah ‘aku’ dalam cerpen dan soalan
dua yang merupakan soalan pengetahuan, 35 pelajar menjawab dengan lengkap.
Soalan tiga yang meminta pelajar memahamkan isi petikan dan kemudian
meminta ulasan, hanya 21 menjawab dengan tepat, selebihnya perlu diberikan
pemahaman. Soalan empat boleh dikatakan 35 pelajar menjawab dengan tepat
dan soalan lima yang memerlukan pelajar berfikir untuk menyelesaikan masalah,
10 pelajar menjawab ‘ya’ tetapi tidak memberikan sebarang alasan. Seterusnya
soalan enam yang meminta pelajar meramal apa yang berlaku, jawapan yang
majoriti ( 35 orang ) beri boleh diterima pakai, tetapi alasan yang diberi oleh 10
orang pelajar tidak dinyatakan.
d. Rumusan Analisis Data Tinjauan Awal.

Berikut adalah rumusan awal yang dibuat berdasarkan analisis data;


i. Pelajar menghadapi beberapa masalah dalam pembelajaran bahasa
Melayu seperti mengantuk, tidak memahami apa yang dibaca dan takut
pada guru.
ii. Pelajar menganggap kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru
membosankan, malah membebankan.
iii. Amalan kerja pelajar yang suka meniru kerja rakan, tidak mahu
melibatkan diri dalam perbincangan, membuat kerja lain dan tidak
menunjukkan minat.
iv. Berdasarkan latihan yang diberi, pelajar kurang mahir menjawab soalan
yang berbentuk kemahiran berfikir.

Berdasarkan analisis hasil dapatan itu, bolehlah dikatakan pelajar


menghadapi masalah menjawab soalan yang berbentuk kemahiran berfikir, dan
amalan mengajar guru yang tidak membantu menguasai kemahiran membaca.
Justeru, daripada rumusan analisis data itu, kajian ini difokuskan kepada
meningkatkan kemahiran membaca secara kognitif dan mekanis dengan
membaiki amalan pengajaran guru agar lebih menarik melalui teknik ramalan.

9.0 Perancangan
Sebelum sesuatu kajian tindakan dijalankan, saya perlu mengetahui terlebih dahulu
kedudukan sebenar bahan kajian dan mereka yang terlibat secara langsung dalam
membantu menjayakan kajian tindakan ini. Bagi melaksanakan kajian tindakan ini, saya
bercadang melaksanakan 3 langkah berikut:-
Langkah I:-
Membina beberapa aspek kemahiran membaca untuk dijadikan panduan ketika
pemerhatian guru. Sebanyak 11 item digunakan dalam skedul rakaman peristiwa dengan
blok masa. Saya juga menggunakan lakaran kedudukan pelajar untuk dijadikan fokus
kajian dalam pemerhatian berstruktur dan membina skala tingkah laku bagi pelajar-
pelajar terpilih. Ini bertujuan untuk memudahkan guru-guru yang terlibat dalam
menjayakan kajian tindakan melalui pemerhatian ini.
Saya akan membulatkan lakaran kedudukan pelajar-pelajar yang sering tidak
menumpukan perhatian ketika pengajaran guru. Dalam pada itu guru akan cuba mengenal
pasti masalah pelajar-pelajar berkenaan yang tidak menumpukan perhatian kepada
pengajaran guru. Sebanyak 10 tingkah laku yang digunakan bagi melihat dan mengkaji
tingkah laku pelajar semasa pengajaran dijalankan oleh guru di dalam kelas dan
diharapkan pemerhatian tingkah laku pelajar dapat dilaksanakan tiga kali. Pemerhatian
akan dilakukan oleh En.Wazer bin Abdullah dan Pn.Norodah Jeberi. Beliau akan
menjalankan pemerhatian ini mengikut kesesuaian waktu atau apabila diarahkan oleh
pengkaji. Dapatan analisis data ini akan diproses pada 10 April dan analisis hasil dapatan
dijangka diperoleh pada 22 April 2004.
Saya juga membina item-item soal selidik kepada guru bahasa Melayu di Sekolah
Menengah Kebangsaan Sungkai. Guru Bahasa Melayu di sekolah ini merupakan orang
yang terlibat secara langsung dengan pelajar-pelajar yang akan saya gunakan sebagai
sampel kajian ini. Pandangan serta cadangan mereka akan dijadikan bahan rujukan bagi
mengetahui secara umum masalah yang sedia ada.
Soal selidik ini akan saya serahkan kepada guru bahasa Melayu pada 15 April
2004 dan segala maklumat akan dikumpul semula pada 18 April 2004. Guru yang terlibat
seramai 9 orang dan tugas untuk mengedarkan dan mengumpul kembali borang soal
selidik ini diberi kepada Cik Mahaliza Mansor. Tempatnya di bilik guru Sekolah
Menengah Kebangsaan Sungkai. Kemudian analisis dapatan daripada soal selidik ini
akan dijalankan pada 24 April 2004.
Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Utarid merupakan kumpulan sasaran yang terlibat
secara langsung dengan kajian saya ini. Tujuan saya mengadakan soal selidik ini kepada
pelajar-pelajar untuk mengetahui secara terperinci pengetahuan, minat dan respon pelajar
terhadap pengajaran membaca dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Saya bercadang mentadbir soal selidik ini pada 16 April 2004, bertempat di kelas
Tingkatan Tiga Utarid, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai. Setelah mendapat soal
selidik ini kembali, saya bercadang akan menganalisis data pada 24 April 2004. Analisis
dapatan ini digunakan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada guru serta
pelajar yang terlibat mengenai pengajaran membaca. Analisis dapatan ini diperlukan
untuk saya mengetahui situasi dan merangka tindakan bagi meneruskan kajian tindakan
ini.
Saya juga akan menjalankan Ujian Pra dan Pos untuk melihat sejauh mana
pengajaran membaca menggunakan teknik ramalan ini dapat meningkatkan pencapaian
dan keseronokan belajar oleh pelajar. Pelaksanaan ujian pra ini akan dijalankan dengan
menjawab soalan pemahaman dan guru akan menggunakan latihan ini untuk menilai dan
membuat tindakan susulan. Selepas pelaksanaan ujian pra melalui latihan menjawab
soalan pemahaman, guru akan menguji pelajar sekali lagi melalui ujian dua dan ujian tiga
dengan 24 soalan. Hasil daripada ujian ini akan digunakan oleh guru untuk merangka
strategi seterusnya.

Langkah 2:
Setelah mendapat maklum balas daripada kedua-dua belah pihak yang terlibat,
saya bercadang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bacaan secara kognitif dan
mekanis kepada pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Utarid mengikut cara biasa amalan guru
iaitu membincangkan perkataan sukar, membaca kuat atau senyap dan seterusnya
menjawab soalan pemahaman. Saya bercadang menjalankan pengajaran ini pada 10 April
2004 di kelas Tiga Utarid, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai.
Setelah mendapat maklum balas daripada pengajaran tersebut, saya bercadang
meneruskan kajian saya ini dengan menjalankan pengajaran membaca dengan
menggunakan teknik ramalan. Teknik ini dijangka akan menggalakkan pelajar
berinteraksi antara satu sama lain dalam kumpulan bagi menghasilkan jawapan yang
munasabah. Pelajar-pelajar akan lebih melibatkan diri secara aktif. Guru hanya dianggap
sebagai pemudah cara sahaja. Ini bertepatan dengan teknik pengajaran terkini yang
menekankan penglibatan pelajar secara aktif dalam setiap pengajaran guru. Yang
dipentingkan di sini pelajar akan berbincang dan meramalkan jawapan yang ada pada
pelajar dan jawapan yang ada pada penulis. Pelajar dikehendaki membandingkan
jawapan kumpulan dan jawapan daripada penulis. Kami bercadang menjalankan
pengajaran membaca menggunakan teknik meramal pada 3 Mei 2004.

Langkah 3:-
Setelah selesai kajian ini dilaksanakan, segala maklumat akan kami kumpulkan
untuk dianalisis. Hasil analisis dapatan daripada kajian ini, akan saya laporkan dalam
bentuk Kajian Tindakan – Membaca Secara Kognitif dan Mekanis Dengan Menggunakan
Teknik Ramalan. Laporan kajian tindakan ini akan dihantar kepada Jabatan Pendidikan
Negeri Perak untuk Program Satu Sekolah Satu Kajian Tindakan dan seterusnya
dipanjangkan ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (EPRD), Kementerian
Pelajaran Malaysia.

10.0 Pelaksanaan Kajian Tindakan

Kajian tindakan ini dilaksanakan dari bulan Februari hingga Jun 2004. Satu
jawatankuasa bertindak telah dibentuk bagi memastikan yang kajian ini dapat
dilaksanakan sebaik mungkin. Semasa pelaksanaan kajian ini, saya telah mendapat
kerjasama yang baik daripada semua pihak. Pihak pentadbir, guru-guru dan pelajar-
pelajar begitu prihatin terhadap kajian yang saya laksanakan ini. Cuma pada awalnya
sedikit masalah timbul iaitu perbelanjaan untuk melaksanakan kajian ini. Walaupun saya
tahu masalah kewangan tetap ada, tetapi masalah sebegitu bukan faktor penghalang besar
bagi saya untuk menjayakan kajian tindakan ini. Semasa melaksanakan kajian ini,
beberapa langkah telah saya ikuti iaitu:-
Kajian dimulakan dengan melaksanakan semua instrumen kajian, bagi
mendapatkan maklum balas daripada guru dan pelajar. Antara instrumen kajian saya
dengan menggunakan soalan-soalan ujian, pemerhatian, soal selidik dan temu bual.
10.1 Soalan-soalan Ujian
Kami telah melaksanakan satu bentuk pengajaran seperti yang menjadi amalan
setiap guru. Selepas sesi pengajaran tersebut selesai, pelajar-pelajar diminta menjawab
soalan pemahaman. Analisis hasil dapatan yang kami peroleh kebanyakan pelajar saya
tidak suka menjawab soalan yang berbentuk memberi pandangan atau pendapat. Alasan
yang diberi tidak tahu untuk membuatnya.
Kami seterusnya telah melaksanakan tiga set ujian pemahaman membaca. Set
ujian pertama 20 soalan dengan tiga petikan yang perlu dibaca. Ujian ini telah kami
laksanakan pada 13 Mac 2004. Set ujian kedua dilaksanakan pada 13 Mei 2004, yang
mengandungi 24 soalan dengan 4 petikan yang perlu difahami. Begitu juga pada set ujian
ketiga dilaksanakan pada 20 Mei 2002 dengan empat petikan yang perlu difahamkan oleh
pelajar dan diikuti 24 soalan. Jawapan soalan berbentuk objektif.
Ujian pertama dilaksanakan sebelum pengajaran membaca menggunakan teknik
meramal. Ujian kedua dan ketiga dilaksanakan selepas pengajaran membaca
menggunakan teknik ramalan. Ujian diberi kepada semua pelajar Tingkatan Tiga Utarid,
tetapi kami hanya mengambil 12 pelajar secara rawak untuk dijadikan sampel bagi kajian
kami ini.

10.2 Pemerhatian
Pemerhatian juga dilakukan oleh saya terhadap tingkah laku pembelajaran
pelajar-pelajar di dalam kelas semasa pengajaran guru dibuat. Tujuan saya berbuat
demikian untuk mengenal pasti sikap belajar pelajar dan bagaimana mereka memberi
respon terhadap pengajaran guru. Saya telah menggunakan kaedah iaitu pemerhatian
berstruktur dengan memperlihatkan rajah kedudukan pelajar di dalam kelas.
Pelajar yang melakukan pelbagai salah laku ketika pengajaran guru sedang
berjalan, akan ditandakan bulat. Pemerhatian terhadap pelajar ini telah dilaksanakan
sebanyak tiga kali pengajaran guru. Pengajaran pertama untuk melihat sejauh mana
penglibatan pelajar terhadap pengajaran membaca mengikut kebiasaan amalan guru.
Tujuan utama pemerhatian awal untuk melihat perubahan tingkah laku belajar pelajar
dalam masa satu waktu pengajaran. Setelah mendapat maklum balas daripada
pemerhatian pertama, pemerhatian seterusnya pada pengajaran sesi kedua dan ketiga.
Selain pemerhatian terhadap tingkah laku pembelajaran pelajar, pemerhatian juga
dibuat terhadap perlakuan guru dalam aktiviti pengajaran. Terdapat 11 item perlakuan
pengajaran guru yang dicatat dan item-item ini akan dianalisis mengikut peratus
kekerapan perlakuan itu dipraktikkan. Sebanyak dua kali pemerhatian telah dilaksanakan
oleh En.Wazer Bin Abdullah dan Pn. Norodah Jeberi terhadap saya yang mengajar mata
pelajaran Bahasa Melayu di kelas Tiga Utarid. Pemerhatian dilakukan pada 2 Mei 2004
dan 8 Mei 2004.

10.3 Soal selidik guru dan pelajar


Dalam peringkat pertama pelaksanaan kajian ini, saya telah cuba mendekati guru-
guru bagi mendapatkan pandangan guru-guru bahasa Melayu di Sekolah Menengah
Kebangsaan Sungkai. Hasil perbincangan tidak rasmi dengan guru-guru sekolah ini,
maklumat yang diperoleh adalah masalah pengajaran membaca ini bukan sahaja pada
pelajar, tetapi juga guru.
Bagi mendapat maklum balas secara jujur terhadap pengajaran Bahasa Melayu di
kelas-kelas, satu soal selidik telah diedarkan kepada guru-guru bahasa Melayu seramai
sembilan orang di bilik guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai. Soal selidik ini
telah diedarkan kepada guru-guru pada 15 April 2004 dan soal selidik ini dikumpul
semula pada 18 April 2004.
Soal selidik ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Bahagian A – Biodata guru ,
Bahagian B – Pengetahuan guru mengenai kaedah dan teknik pengajaran dan Bahagian C
– Permasalahan guru dalam melaksanakan pengajaran membaca.
Saya seterusnya menjalankan kajian ini dengan mengemukakan soal selidik
kepada pelajar-pelajar Tiga Utarid di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai. Tiga
puluh lima orang pelajar di kelas ini terlibat secara langsung dalam kajian saya ini.
Pelajar-pelajar ini juga menjadi sampel kajian saya. Soal selidik ini telah saya serahkan
pada 16 April 2004 dan dikumpul semula pada 18 April 2004. Pelajar-pelajar telah
diberitahu tentang soal selidik ini semata-mata untuk kajian dan jawapan yang diberi
harus jujur dan ikhlas.
10.4 Temu bual dengan pelajar
Selain soal selidik, saya juga menjalankan sesi temu bual dengan pelajar. Saya
telah mendapatkan pandangan lima orang pelajar sebagai sampel kajian ini. Soalan yang
ditanya sama kepada semua pelajar yang ditemu bual iaitu pandangan pelajar tentang
pengajaran membaca oleh guru bahasa Melayu. Hasil dapatan lima pelajar mengatakan
pengajaran sebelum ini membosankan, tetapi teknik ramalan menyeronokkan kerana
mereka bebas memberi pandangan.

11.0 Penilaian dan Dapatan Kajian


Untuk melihat akan perkembangan pemahaman teks oleh pelajar ketika
membaca, saya menjalankan ujian pra dan ujian pos. Hasil daripada ujian ini mendapati
jumlah markah keseluruhan pelajar yang menjadi sampel kajian tindakan ini meningkat.
Markah had lulus pelajar ditetapkan 40% dan melalui ujian pra kesemua pelajar lulus
tetapi markah keseluruhan belum begitu membanggakan saya.
Analisis Data Keseluruhan
Ujian Pemahaman Bahasa Melayu Tingkatan 3 Utarid

Bil. N0.Pelajar Ujian 1 Ujian 2 Ujian 3


(%) (%) (%)
1. Pelajar 1 11 18 15
(55%) (75%) (63%)
2. Pelajar 2 13 16 17
(65%) (67%) (71%)
3. Pelajar 3 9 13 14
(45%) (55%) (58%)
4. Pelajar 4 9 11 14
(45%) (46%) (58%)
5. Pelajar 5 13 15 13
(65%) (63%) (55%)
6. Pelajar 6 10 13 19
(50%) (55%) (80%)
7. Pelajar 7 10 15 13
(50%) (63%) (55%)
8. Pelajar 8 11 16 17
(55%) (67%) (71%)
9. Pelajar 9 13 18 16
(65%) (75%) (67%)
10. Pelajar 10 9 14 13
(45%) (58%) (55%)
11. Pelajar 11 13 21 20
(65%) (88%) (83%)
12. Pelajar 12 12 16 17
(60%) (67%) (71%)
Min 11.1 15.5 15.7
(55.4%) (64.9%) (65.6%)

Sisihan Piawai 2.2 6.6 4.2

Berdasarkan jadual tersebut, jelas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dari


segi peratus markah pencapaian. Dalam ujian pra (ujian I), peratus markah tertinggi 65%
dan yang terendah 45%. Bagi min peratus pencapaian 55.4% dengan sisihan piawai 2.2.
Ini bermakna enam orang pelajar melepasi had min sesuatu ujian. Dalam ujian pos (ujian
II), peratus markah tetinggi 88% dan terendah 46%. Bagi min untuk ujian ini ialah 64.9%
dengan sisihan piawai 6.6. Ini bermakna enam orang pelajar melepasi min. Bagi ujian pos
seterusnya (ujian III), markah peratus lulus tertinggi 83% dan markah terendah 55%,
melebihi pencapaian ujian I dan II. Bagi min 65.6% dengan sisihan piawai 4.2. Dengan
itu enam orang pelajar melepasi min.
Walau bagaimanapun terdapat dua orang pelajar iaitu Pelajar Lima dan Tujuh, yang
masih menunjukkan peratus markah yang menurun. Apabila dibandingkan Pelajar Lima
dan Tujuh ini, nampaknya Pelajar Lima masih tidak dapat menguasai kemahiran
membaca. Ini kerana pencapaian ujian pra mengatasi ujian pos II dan III. Keseluruhan
saya nampak pencapaian peningkatan peratus yang agak tinggi selepas pelaksanaan
kemahiran membaca menggunakan teknik ramalan. Selain itu, kajian juga mendapati
wujud perubahan dalam amalan pengajaran guru. Tumpuan khusus terhadap aspek yang
dikaji, membolehkan guru melaksanakan pengajaran secara terperinci.

12.0 Refleksi Aktiviti dan Aktiviti Keseluruhan

a. Refleksi Aktiviti Pemerhatian Perlakuan Guru dan Perlakuan Pelajar


Semasa kedua-dua sesi pengajaran khusus dijalankan, tingkah laku guru
diperhatikan oleh dua orang rakan pemerhati.. Daripada pemerhatian tersebut, pihak kami
mendapati wujudnya peningkatan dalam amalan pengajaran guru dalam mengendalikan
pengajaran membaca. Suasana kelas begitu ceria dan penglibatan pelajar begitu aktif dan
bersungguh-sungguh. Cuma terdapat dua hingga tiga orang pelajar yang seolah-olah tidak
mahu melibatkan diri dalam perbincangan kumpulan. Berdasarkan dapatan kajian,
nampaknya guru telah berjaya menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
dalam kalangan pelajar.

Pemerhatian juga dilakukan ke atas sikap belajar pelajar ketika pengajaran Bahasa
Melayu di kelas Tiga Utarid. Kami telah menggunakan kaedah pemerhatian berstruktur
yang menunjukkan pola-pola kedudukan sebenar pelajar. Hasil analisis dapatan yang
dapat kami rumuskan seperti berikut:-

i. Pada pemerhatian pertama yang dilakukan pada 2 April 2004, terdapat 10


orang pelajar telah melakukan pelbagai aksi ketika pengajaran sedang
berjalan. Ada antaranya suka bercakap-cakap khususnya yang duduk di
belakang, membuat kerja lain, berangan-angan dan ada segelintir tertidur
dalam kelas.
ii. Pada pemerhatian kedua iaitu pada 2 Mei 2004, nampaknya pelajar-pelajar
lelaki masih mengamalkan sikap yang seperti pemerhatian pertama. Walau
bagaimanapun pada kali ini terdapat 8 orang pelajar sahaja, dan guru telah
memberi teguran pada mereka. Nasihat dan amaran telah diberi oleh guru.
Setelah teguran diberi, pelajar-pelajar yang di hadapan khususnya, akur pada
nasihat dan teguran, tetapi pelajar-pelajar di belakang masih berusaha untuk
bercakap-cakap.
iii. Pada pemerhatian ketiga iaitu pada 8 Mei 2004, keseluruhan pelajar lebih
menumpukan tumpuan kepada pengajaran membaca. Mereka nampaknya
seronok. Walau bagaimanapun sikap pelajar yang di belakang, suka bercakap-
cakap dan membuat kerja lain walaupun dalam kerja kumpulan
Analisis Dapatan Keseluruhan Pengajaran Membaca Secara Kognitif dan Mekanis
Menggunakan Teknik Ramalan

Aspek Kemahiran Membaca P1 P2 Jumlah

Merangsang minda pelajar melalui set induksi 1 1 2/12


(16.7%)
Mengemukakan soalan yang memerlukan pelajar berfikir 4 4 8/12
(66.7%)
Menggunakan perkataan meramal 3 1 4/12
(33.3%)
Meminta pelajar mengulas idea yang dikemukakan 1 9 10/12
(83.3%)
Meminta pelajar membaca petikan sepintas lalu 0 1 1/12
(8.3%)
Membaca perenggan demi perenggan 3 3 6/12
(50.0%)
Menjawab pemahaman menggunakan teknik meramal 4 4 8/12
(66.7%)
Menggunakan penggunaan teknik pelbagai dalam aktiviti 4 4 8/12
(66.7%)
Meminta pelajar membentuk idea pokok bagi setiap 3 3 6/12
perenggan yang dibaca (50.0%)
Meminta pelajar membentuk seluruh idea pokok yang 1 1 2/12
didapati daripada perenggan (16.7%)
Merujuk kamus untuk mencari makna perkataan 2 2 4/12
(33.3)

Berdasarkan jadual ini, nampaknya guru telah berjaya menerapkan kemahiran


berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar. Suasana pembelajaran di kelas
begitu ceria dan menarik minat pelajar untuk terus berusaha menghasilkan sesuatu yang
terbaik bagi kumpulan. Teknik meramal begitu berjaya menghidupkan suasana kelas.
Pelajar-pelajar berasa seronok dan tidak tertekan.
b. Refleksi daripada Aktiviti Soal selidik Pelajar dan Guru
Selepas pengajaran membaca menggunakan teknik ramalan ini, respon yang
diperoleh ialah Amat berkesan 57.1%, Berkesan 42.9%, Kurang berkesan 0.0% dan
Tidak berkesan 0.0%. Pandangan pelajar mengenai aktiviti semasa pengajaran bacaan
dijalankan Amat berkesan 34.3%, Berkesan 57.1% Kurang berkesan 8.6% dan Tidak
berkesan 0.0%. Hasil analisis dapatan juga telah berjaya meningkatkan pemahaman
pelajar terhadap teks yang dibaca. Respon yang diperoleh ialah Amat berkesan 37.1%,
Berkesan 62.9%, Kurang berkesan 0.0%, dan Tidak berkesan 0.0%. Malah teknik ini
telah berjaya meningkatkan pencapaian pelajar dalam menjawab soalan pemahaman iaitu
respon YA – 100% dan mengikut pendapat pelajar, teknik ini wajar diteruskan dengan
respon 100%.
Pada keseluruhannya, hasil dapatan analisis pemerhatian dan soal selidik dalam
pengajaran membaca ini, pelakuan guru dalam pengajaran memperlihatkan guru lebih
memberi tumpuan khusus kepada amalan membaca secara kognitif dan mekanis ini
dengan menggunakan teknik meramal. Guru telah berjaya mengurangkan penekanan
kepada keterangan memahamkan teks. Perubahan perlakuan guru ini dapat menunjukkan
guru lebih peka kepada masalah pembelajaran pelajar dan utamakan aspek memberi
respon pelajar.

c.Refleksi daripada Temu Bual Guru dengan Pelajar


Berdasarkan temu bual dengan pelajar, keseluruhan pelajar menunjukkan minat
membaca, cuma pendekatan dan teknik yang digunakan oleh guru memainkan peranan
penting menjadikan pengajaran dan pembelajaran hari berkenaan berkesan atau
sebaliknya. Apabila guru yang mengajar itu telah menggunakan segala ilmu yang ada,
pemahaman dan minat belajar pelajar akan semakin menyerlah.
Berdasarkan temu bual dengan pelajar, data-data menunjukkan pelajar minat
membaca. Apabila guru yang mengajar itu telah menggunakan segala ilmu yang ada,
pemahaman dan minat belajar pelajar semakin menyerlah.
Berikut adalah sebahagian daripada transkripsi dialog temu bual antara guru dengan
beberapa orang pelajar yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas pelajar
mengenai amalan pengajaran guru.
Nota: singkatan yang digunakan dalam transkripsi
G – Guru P – Pelajar

Dialog Satu

G : Apakah pandangan anda tentang pengajaran membaca yang diajar oleh cikgu
anda?
M : Sebenarnya masa darjah empat sampai darjah lima, saya tak suka membaca.
Sebabnya bila saya sedang membaca, saya rasa mengantuk......lepas tu buat apa
membaca, bukan ada faedah langsung. Tetapi bila masuk darjah enam, saya
fikir balik...kenapa saya tak suka membaca. Lepas tu semasa darjah enam pula
Pn.Zurina guru bahasa Melayu saya dia ajar, dia kata membaca ni kamu boleh
dapat apa yang kamu nak....dalam masa yang sama ilmu pengetahuan kamu
boleh bertambah....sebab tu kalau kamu membaca...orang yang membaca ni
lebih banyak ilmu daripada orang yang tak membaca. Saya ambil daripada
itu...jadi daripada tingkatan satu sampai tingkatan tiga saya lebih berminat
kepada membaca......masa tingkatan satu......em!em! cikgu saya ajar membaca
dan saya jarang bercakap.......lepas tu masa tingkatan dua saya mula
menonjolkkan diri saya sama dengan tingkatan tiga.....hinggakan cikgu Bahasa
Melayu saya pun tahu setiap kali membaca, saya yang nak baca juga, kadang-
kadang yang saya baca juga ada silap tapi alhamdulillah sekarang ini dah o.k....
sekarang ni pun membaca ilmu saya pun dah bertambah.
Dialog Dua

G : Apakah pandangan anda tentang pengajaran membaca yang diajar oleh cikgu
anda?
M : Pada mulanya saya berasa sangat membuang masa kerana apa yang saya dapat
tu memuaskan..........ah!, yang tetapi pada tingkatan dua dan tingkatan tiga, saya
merasa semakin baiknya hasilnya kerana yang saya boleh dapat pendapat yang
lain daripada yang saya fikirkan dan lagi ialah.............saya merasa apabila
cikgu tingkatan tiga, karangan saya dapat ilmu karangan lebih daripada yang
dulu........bahan yang digunakan juga luar biasa daripada dulu, ia lebih menarik,
lagi pun pengetahuan yang dapat itu lebih mencabar.

Dialog Tiga

G : Apakah pandangan anda tentang pengajaran membaca yang diajar oleh cikgu
anda?
M : Pengajaran yang saya dapat yang diajar oleh cikgu.......saya, saya rasa lancar
membaca lagi.....saya boleh mengingat kalau ada.....kalau ada perkara yang
penting dengan apa yang cikgu ajar.......dengan ini dapat membantu saya
kalau untuk membuat sesuatu kerja........sekolah ke ataupun ulang kaji.....lagi
dapat meningkatkan sesuatu pembacaan saya dan........guru yang mengajar itu
baik, kalau dia mengajar boleh faham.....guru yang mengajar kelakar, baik
hati.......peramah, mudah mesra dengan pelajar......tentang bahan ianya bai
dan dapat macam membantu saya ibarat kawan, pelbagai bahan seperti buku
teks, buku majalah, surat khabar......dengannya lagi ia lebih menarik untuk
saya fahami....itu saja.
Dialog Empat

G : Apakah pandangan anda tentang pengajaran membaca yang diajar oleh cikgu
anda?
M : Masa tingkatan satu, saya tak berapa faham apa yang diajar oleh cikgu, tapi
masa dekat tingkatan dua dan tingkatan tiga, saya faham yang cikgu
ajar.......lepas tu saya faham dan tidak bosan yang cikgu ajar dan saya faham
nilai-nilai murni dan pengajaran yang diajar oleh cikgu....tapi masa dalam
tingkatan satu....saya tak berapa faham....lepas tu saya malas nak belajar dekat
tingkatan satu.....tingkatan dua dan tingkatan tiga, saya suka belajar......sebab
pengajaran cikgu tu yang bagus sekali.......saya faham......bahan yang cikgu ajar
tu saya suka juga sebab bahan seperti bahan dalam kumpulan....ia dapat
menambah ilmu pengetahuan saya....selain itu cikgu dalam buku teks......cikgu
juga menerangkan yang diajar dalam buku teks dan ia dapat faham untuk saya.

Dialog Lima

G : Apakah pandangan anda tentang pengajaran membaca yang diajar oleh cikgu
anda?
M : Apa yang cikgu ajar tu mudah difahami. Kalau kita dapat soalan.....kalau cikgu
tanya, cikgu jawap terang dan dengan cara yang betul. Cikgu yang ajar saya tu
tak harap sangat dengan buku teks, ambil dari sudut yang lain seperti ambil
dari buku rujukan yang lain. Contoh cikgu tahu macam.........mengambil tahu,
nasihat.....isi tu ambil dalam buku tingkatan tiga dan lima........sebagai contoh
mempunyai seorang kawan bernama Rubinee, guru bahasa Melayu saya suruh
tulis sebuah karangan, tetapi cara isi.........isi pendahuluan isi..........semuanya
diambil apa-apa yang cikgu ajar......seperti contoh dia ambil apa yang cikgu
cakap dan kemudian dia gunakan cara apa yang cikgu cakap......
Daripada analisis kelima-lima dialog di atas, dan dialog-dialog yang tidak sempat
kami siapkan transkripsi, pihak kami sedar bahawa terdapat perkara-perkara pengajaran
kami yang perlu dibaiki. Maklum balas daripada dialog dengan pelajar sungguh menarik
dan pihak kami sangat menghargainya. Dialog seperti ini berguna untuk mengetahui
reaksi dan pandangan pelajar tentang pengajaran guru dan bagaimana guru dapat
meningkatkan lagi cara berinteraksi dengan pelajar.

d. Refleksi Aktiviti Keseluruhan

Berdasarkan pengalaman saya dalam melaksanakan kajian ini, saya telah dapat
menggunakan segala pendekatan kajian tindakan yang mencadangkan gelungan langkah-
langkah yang bermula daripada mengenal pasti isu dan masalah pelajar dalam pengajaran
membaca secara kognitif dan mekanis, diteruskan dengan perancangan, pelaksanaan
tindakan, pemerhatian dan akhirnya analisis tindakan serta membuat penilaian, refleksi
serta renungan.
Setelah menjalankan kajian ini, ringkasan refleksi saya boleh dirumuskan bahawa
anggapan pengajaran membaca itu hanya setakat membaca dan menjawab soalan-soalan
pemahaman serta mencari maksud perkataan perlulah dikikis. Sebaliknya guru
seharusnya memberi pengajaran yang khusus terhadap kemahiran membaca dalam
bahasa Melayu dengan menggunakan teknik ramalan. Teknik ramalan ini telah berjaya
meringankan beban guru, kerana kebanyakan aktiviti yang dijalankan melibatkan pelajar
keseluruhannya dan guru hanya sebagai pemudah cara. Tambahan pula teknik ini
memberi peluang yang lebih kepada pelajar untuk berinteraksi dan memberikan
pendapat, sedangkan guru pada ketika itu pula kurang bercakap tetapi memerhati akan
tingkah laku pelajar agar tidak berlaku sesuatu di luar kawalan.
Guru-guru perlu mengkaji semula amalan mereka dalam aspek-aspek
keberkesanan teknik pengajaran membaca yang selama ini mereka amalkan seperti
membaca kuat, senyap dan mencari maksud perkataan. Kemudian membuat latihan
pemahaman selepas sesuatu pengajaran berakhir.
Selama beberapa bulan membuat kajian tindakan ini, saya telah memperoleh
beberapa maklumat penting yang perlu dikongsi bersama-sama. Apa yang saya dapati
selama ini ialah saya telah banyak melakukan kesilapan ketika melaksanakan pengajaran
membaca. Patutlah pelajar-pelajar saya selama ini tidak begitu tertarik dengan pengajaran
membaca. Berikut adalah refleksi yang dapat saya luahkan, setelah saya melaksanakan
kajian ini:-
i. Saya sering menggunakan pendekatan pengajaran yang sama tanpa menilai
keberkesanan pengajaran. Sekiranya saya fikirkan kelolaan pengajaran mudah
dilaksanakan, maka saya beranggapan pengajaran pada hari itu telah berjaya.
ii. Saya tidak dapat menggunakan teknik pengajaran yang berkesan dalam kelas.
Kaedah dan teknik pengajaran membaca tidak saya pelbagaikan. Aktiviti
pengajaran banyak berpusat pada guru. Saya lebih banyak bercakap daripada
memberi peluang kepada pelajar-pelajar melahirkan pendapat.
iii. Tentang penggunaan bahan ketika pengajaran membaca, saya sering
menggunakan buku teks yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia. Saya tidak mempelbagaikan bahan, dan menimbulkan rasa bosan di
kalangan pelajar-pelajar.
iv. Pemahaman saya terhadap pengajaran membaca ialah pelajar-pelajar perlu
membaca kuat atau senyap, mencari maksud perkataan dan menjawab soalan
pemahaman. Saya tidak pernah mengajar pelajar-pelajar saya memahami isi-
isi pokok mengikut perenggan. Ini menyebabkan mereka tidak dapat membuat
andaian sendiri tentang persoalan yang terdapat dalam teks bacaan.
v. Bebanan tugas yang sedia ada dan tugas-tugas sampingan, menjadikan saya
kurang menggunakan bahan bantu mengajar ketika pengajaran membaca.
Sebenarnya bahan-bahan ini penting untuk menarik minat pelajar. Bahan
bantu yang menarik akan mencabar minda pelajar dan ini menjadikan
pengajaran itu lebih berkesan.
13.0 Cadangan-cadangan

Berdasarkan maklumat daripada kajian ini, beberapa saranan dapat dikemukakan


agar dapat meningkatkan lagi pencapaian pengajaran guru dan pembelajaran pelajar,
khususnya dalam pengajaran membaca secara kognitif dan mekanis, iaitu:-
i. Guru harus mempelbagaikan teknik pengajaran agar pengajaran akan lebih
berkesan dan menarik minat pelajar.
ii. Seseorang guru itu harus kreatif dalam mendapatkan bahan-bahan teks yang
bermutu.
iii. Guru harus memperbanyak aktiviti pengajaran membaca dan meramal serta
pengabungjlainan dengan teknik-teknik terkini.
iv. Bahan bantu mengajar seharusnya digunakan pada setiap masa pengajaran
untuk menarik minat pelajar.
v. Guru yang mengajar Bahasa Melayu seharusnya didedahkan dengan ilmu-
ilmu perkaedahan terbaru melalui Kursus Dalam Perkhidmatan atau Kursus
Dalaman peringkat sekolah.

14. KESIMPULAN

Walaupun kajian tindakan yang dijalankan ini merangkumi sebilangan kecil


pelajar sahaja, namun saya pasti kajian ini dapat menggambarkan secara umum tentang
keberkesanan pengajaran membaca menggunakan teknik ramalan. Teknik ini telah
memberi suatu dorongan baru kepada saya kerana teknik ini telah memberi peluang yang
luas kepada guru dan pelajar untuk berbincang dan meramal bagi mendapatkan sesuatu
keputusan yang tepat. Teknik ini memudahkan pelajar-pelajar memahami isi teks dan
kepuasan daripada pelajaran yang mereka ikuti pada hari itu.
Rumusan daripada penyelidikan yang saya jalankan, saya dapati bahawa terdapat
perubahan yang ketara dalam amalan pengajaran guru dan amalan pembelajaran pelajar.
Saya mencadangkan supaya Kajian Tindakan ini diteruskan lagi oleh ahli-ahli kumpulan
ini atau mana-mana guru yang berminat di sekolah saya untuk dilaksanakan pada semua
tingkatan dan setiap mata pelajaran.
Bibliografi

Abdul Kipli Ali. Meramal Semasa Membaca. Pelita Bahasa, September 1994.
Abdul Aziz Talib (1989). Pengajaran dan Pengujian Bahasa – Perspektif Untuk Perguruan.
Nurin Enterprise:Kuala Lumpur.
Ahmad Othman ( 1989). Membina Minat Membaca Kesusasteraan – Satu Pandangan Ringkas.
Pendidik dan Pendidikan, Jld.10, 1 - 7.
Ishak Ismail . Ke Arah Melahirkan Pelajar Yang Berfikiran Kritis. Pelita Bahasa. Disember:1993
Juriah Long et.al (1992). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia. Fajar Bakti: Kuala
Lumpur.
Kamarudin Hj. Husin et.al (1996). Penguasaan Kemahiran Membaca - Kaedah dan Teknik
Membaca. Kumpulan Budiman: Kuala Lumpur.
Koh Boh Boon (1989). Perspektif-perspektif dalam Pengajaran Bahasa Malaysia. Dewan Bahasa
dan Pusataka: Kuala Lumpur.
Marohaini Yusof (1989). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Karya Bistari : Kuala
Lumpur.
Nawi Ismail. Membentuk Masyarakat Yang Berbudaya Membaca dlm Pelita
Bahasa,Jld.4,Bil.12,Disember, hal.42-43, 1992.
Nesamalar Chitravelu et.al (1995). ELT Methodology Principles and Practice. Fajar Bakti: Shah
Alam.
Nuttal, C (1982). Teaching Reading Skills in Foreign Language. ELBS/Heinemann Educational
Books: London.
Safiah Osman. Peningkatan Kemahiran Membaca. Jurnal Dewan Bahasa, Mac 1992, 262-269.
Saat Md.Yasin, Dr. (1991). Bahan Pengajaran Membaca Untuk Kemahiran Berfikir dan Belajar.
Kertas Bahasa dan Sastera yang dibentangkan dalam Seminar Bahasa dan Sastera Dalam
Pendidikan VII di UKM pada 20 Mei, 1991. Anjuran bersama Persatuan Linguistik Malaysia,
Fakulti Pendidikan UKM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidang Editor (1994). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Laporan Akhbar Berita Harian. Amal Baca Buku Berkualiti dan Ada Murid Tahun Enam Lemah.
5 Jun 2002

You might also like