You are on page 1of 5

ISLAMISASI ALAM MELAYU

Islam telah berperanan mencorakkan masyarakat Melayu di Alam Melayu ke arah yang
lebih dinamik dan berdaya maju. Penggerak Islamisasi yang dimulakan oleh mubaligh
dari luar Alam Melayu telah disambung kemudiannya oleh mubaligh Melayu tempatan
tanpa mengira pangkat, kedudukan dan suku kaum. Semuanya merasa
bertanggungjawab menyebar dan memahamkan Islam kepada masyarakat setempat.

Kejayaan peranan Islam ini digariskan pada faktor-faktor pemangkin Islamisasi di Alam
Melayu, antaranya seperti berikut;

3.3.1 Keunggulan dan Kemurnian Islam


Ajaran Islam bersifat syumul dan menepati keperluan manusia kerana ia diwahyukan
oleh Allah SWT Penerimaan yang terbatas di kalangan penduduk Alam Melayu pada
peringkat awal penyebaran Islam bukanlah kerana mereka tidak berminat dengan
ajaran Islam tetapi kerana tiada interaksi yang menyeluruh dengan penduduk tempatan.
Pada peringkat awal, interaksi hanya berlaku secara langsung di kalangan raja-raja dan
para pedagang menyebabkan penyebaran Islam terhad di kalangan golongan ini
sahaja.

Setelah pengaruh Islam meluas, Islam diterima baik oleh masyarakat tempatan kerana
ajarannya yang bersesuaian dengan fitrah manusia, mudah difahami dan senang
dilaksanakan. Ajaran Islam difahami penuh dengan nilai-nilai murni. (Azam Hamzah
1997: 16 ) Islam bukan sebuah agama yang rumit seperti Buddha dan Hindu yang
hanya dapat dipelajari oleh golongan tertentu sahaja seperti sami dan pendeta. Konsep
keesaan Allah S.W.T. juga menarik minat penduduk tempatan. Mereka merasa puas
kerana dapat menyembah Tuhan secara langsung dan tidak mengira tempat.
Keyakinan ini jauh berbeza dengan agama anutan masyarakat Alam Melayu sebelum
ini. Penjelasan Islam yang turut menggabungkan wahyu dan logik akal berkaitan semua
bidang kehidupan sama ada sosial, ekonomi dan politik menambah minat penduduk di
rantau Alam Melayu. (Mahayddin Hj. Yahaya 1996: 563-564 )

Ajaran Islam juga menekan konsep persamaan antara sesama manusia. Ajaran ini
membebaskan mereka dari belenggu perhambaan. Selain itu, Islam turut menjamin
keadilan sosial tanpa mengira kelas dan darjat manusia. Jaminan ini seolah-olah
mengembalikan harga diri mereka yang sekian lama dibelenggu dengan fahaman kasta
dalam ajaran Hindu. (Azam Hamzah 1997: 16)

3.3.2 Peranan Pembesar/pemimpin


Masyarakat Melayu mempunyai tradisi taat kepada pemerintah. Tradisi warisan ini
dikenali sebagai ”daulat” dan ”derhaka”. Tradisi ini lahir daripada konsep pendewaan
kepada pemerintah yang merupakan satu doktrin dewaraja dalam agama Hindu. Tradisi
taat kepada pemerintah yang telah tertanam dalam jiwa masyarakat Alam Melayu
menjadikan masyarakat tempatan mengikut setiap tindakan pemerintah tanpa bantahan
dan perdebatan. Hal ini turut terjadi apabila pemerintah Melayu menerima agama Islam,
semua lapisan masyarakat mengikut jejak pemerintah atau raja tanpa persoalan.

Contoh yang jelas dapat dilihat pada pengislaman rakyat di Melaka, Kedah dan Patani.
Sejarah Melayu mengesahkan bila Raja Kecil Besar memeluk Islam, rakyat pun turut
mengikut jejak langkah baginda. Begitu juga cerita Hikayat Merong Mahawangsa
mengenai pengislaman Kedah dan Hikayat Patani mengenai pengislaman Patani.
(Mahayuddin Hj. Yahaya, 1996: 562)

3.3.3 Perkahwinan.
Faktor perkahwinan turut menyumbang kepada penyebaran Islam di rantau ini.
Perkahwinan yang berlaku antara pedagang Islam dengan penduduk tempatan berlaku
ketika pedagang Islam menunggu ketibaan musim tiupan angin ke arah yang dituju.
Penantian ini mengambil masa beberapa bulan lamanya. Syarat perkahwinan yang
dijelaskan oleh pedagang Islam sudah pasti seorang wanita mestilah satu agama
dengan anutan pedagang. Justeru itu wanita tempatan mestilah menerima Islam
terlebih dahulu. Syarat ini mudah diterima oleh wanita dan keluarga masyarakat
tempatan Alam Melayu. Ini kerana para pedagang mampu menjamin kehidupan wanita
tempatan yang telah menjadi isteri pedagang Islam dengan perdagangan yang dimiliki.
Status pedagang juga merupakan golongan yang dikagumi oleh penduduk tempatan.
Pengislaman wanita yang menjadi isteri pedagang Islam mendorong pengislaman ahli
keluarga wanita tersebut. Situasi ini memberi satu perkembangan baru ke arah
penyebaran Islam secara lebih luas.

Perkahwinan pedagang Islam juga berlaku dengan puteri-puteri pemerintah tempatan.


Peristiwa ini memudahkan lagi penyebaran Islam di rantau Alam Melayu. Selain itu,
terdapat juga perkahwinan antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam. Contoh yang
jelas dapat dilihat pada perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. (Ibid)
Justru itu jelaslah bahawa Islam faktor perkahwinan ini turut memainkan peranan
penting di dalam penyebaran Islam di Alam Melayu.

3.3.4 Politik dan Penaklukan.


Faktor ini diterima oleh kebanyakan sejarawan Barat, walaupun sejarawan Islam
menolak faktor ini sebagai faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Penyebaran
Islam tidak berlaku melalui peperangan, walaupun seolah-olah kelihatan peristiwa
peperangan di satu-satu wilayah baru yang dimiliki oleh tentera Islam. Sebagai
contohnya, penaklukan Melaka ke atas Pahang seperti yang tercatat dalam buku
Sejarah Melayu. Penaklukan ini bukanlah bertujuan untuk mengislamkan Pahang, tetapi
cenderung kepada matlamat politik dan ekonomi kerana Pahang merupakan sebuah
wilayah yang kaya dengan emas. Pengislaman Pahang berlaku kerana usaha dakwah
dan perdagangan antara kedua negeri tersebut yang telah berada di bawah satu
pemerintahan. Selain itu, konsep taatkan pemerintah juga menjadi sebab mereka
mudah menerima Islam.

Contoh lain ialah kejayaan Kerajaan Islam Demak menawan Kerajaan Majapahit dan
mengambil alih pemerintahan kerajaan di timur Pulau Jawa. Penawanan ini memberi
kesan kepada pengislaman hampir seluruh rakyat di bawah jajahan takluk Kerajaan
Majapahit. Hakikat pengislaman bukanlah berlaku kerana peperangan, penaklukan dan
penawanan yang menggambarkan paksaan, tetapi faktor kesetiaan terhadap
pemerintah yang menjadi dorongan utama tindakan masyarakat rantau Alam Melayu
secara beramai-ramai nmenerima Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah
mereka (Ibid).

Jelaslah di sini bahawa Islam bukanlah tersebar dengan mata pedang sebagaimana
dakwaan para orientalis tetapi didorong oleh faktor lain sebagaimana yang telah
dijelaskan.

3.3.5 Perdagangan
Perdagangan yang menjadi sumber rezeki para pedagang Islam telah menyampaikan
mereka ke laluan laut di rantau Alam Melayu. Para pedagang berusaha mencari rezeki
melalui perdagangan dengan merentasi samudera yang luas hanya untuk memenuhi
tuntutan agama Islam yang menegaskan 9/10 daripada rezeki terkandung dalam bidang
perniagaan. Dengan berbekal iman dan fahaman agama Islam yang mantap, golongan
saudagar belayar ke mana-mana pelabohan yang menjanjikan perniagaan. Bekal iman
yang teguh ini menjadi pendorong untuk saudagar muslim turut bertindak sebagai
mubaligh Islam. Marco Polo dalam catatan pengembaraannya memberi contoh
pengislaman Alam Melayu menerusi faktor ini ialah pengislaman Perlak pada 1292M.
Para pedagang Islam telah berjaya menawan hati kebanyakan penduduk Perlak
sehingga mereka rela menganuti Islam. (Ibid) Selain itu peranan pegawai perdagangan
dalam wilayah-wilayah Islam di Alam Melayu seperti peranan Syahbandar Melaka yang
memberi layanan istimewa kepada pedagang Islam turut menyumbang ke arah
pengislaman para pedagang lain yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan wilayah
kerajaan Islam. Sebagai contohnya, pengislaman pedagang dari Brunei, Ternate, Jawa
dan Sulawesi terjadi kerana peranan Syahbandar Melaka. (Ibid )

Walaupun pengislaman menerusi faktor ini tidak meluas dan terhad di kalangan
pedagang, kota dan pelabuhan sahaja tetapi ia turut mendorong ke arah proses
Islamisasi di rantau Alam Melayu ini.

3.3.6. Pendakwahan.
Pendakwahan para ulama dan ahli sufi merupakan faktor penyebaran yang lebih
meluas dan berkesan. Curahan bakti mereka diakui dan tidak dapat dinilai dengan
material. Para ulama dan ahli sufi telah bertindak sebagai ejen perubahan yang
memperkenalkan akidah baru di Alam Melayu. Dakwah mereka dapat dijalankan
dengan mudah kerana dibantu oleh akhlak mulia yang dipenuhi dengan sifat-sifat
kerohanian. Selain itu, para ulama dan ahli sufi mudah bergaul dengan masyarakat
tempatan. Mereka mempunyai keperibadian yang sesuai dengan ajaran Islam. Situasi
ini memudahkan lagi proses Islamisasi di rantau ini. (Afifah Abu Yazid, 2003: 10)

Usaha penyebaran dakwah oleh golongan ini begitu cergas pada zaman pemerintahan
Khalifah Umar b. Abdul Aziz. Baginda telah menghantar para pendakwah ke seluruh
pelosok dunia termasuk rantau Alam Melayu. Sekitar tahun 720 M, utusan baginda
telah berjaya mengislamkan kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi ( San-fo-tsi )
dan setelah menerima Islam kerajaan ini dikenali sebagai Sribuza Islam. Pada 820 M
pula serombongan pendakwah yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah telah sampai di
Perlak dan berjaya mengislamkan pemimpin dan penduduk di situ. (Ibid)

Pergolakan dunia Islam pada abad 10 M di bawah pimpinan kerajaan Bani Abbasiyah
yang telah melemahkan empayar Islam telah mendorong sebilangan masyarakat Islam
terutama ahli sufi mengasingkan diri dari situasi ini dan keluar dari Semenanjung Tanah
Arab. Mereka telah berusaha menyebarkan Islam secara tidak langsung ke mana-mana
wilayah yang aman diduduki termasuklah Alam Melayu. Kegiatan mereka begitu rancak
pada abad 13M dan selepasnya.

Golongan ini menggunakan pendekatan pendidikan. Melaui pendekatan ini mereka


telah menubuhkan institusi pendidikan yang disesuaikan dengan masyarakat setempat.
Antara institusi pendidikan yang terkenal di wilayah Afrika Utara ialah zawiyah,
khawanik dan rabt. Usaha ahli sufi menjalankan pendidikan formal di rantau Alam
Melayu pula banyak berlaku di masjid atau di rumah mereka. Mereka berusaha
menyampaikan dan mengajar masyarakat setempat mengenai agama Islam.
Pendidikan ini akhirnya berkembang menjadi institusi pendidikan khusus yang dikenali
dengan pelbagai nama di Alam Melayu seperti pondok, langgar, pesantren dan dayah.
Kesan dakwah menerusi penubuhan institusi pendidikan telah melahirkan ramai alim
ulama tempatan atau ulama Melayu. Antara yang terkenal seperti Hamzah Fansuri,
Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkeli, Abdul Samad al-Palembani, Wali
Songo, Daud Fatani dan lain-lain. (Ibid, lihat juga Azhar Mad Aros, 2002: 273)

3.3.7 Persaingan Penyebaran Agama

Faktor ini merupakan kesan daripada kedatangan kuasa Barat ke Asia dan jelas
berlaku pada abad ke-16 hingga 19 M. Faktor ini adalah rentetan peristiwa Perang Salib
yang berlaku pada abad 15 -16 M di Turki. Dalam perkembangan ini, sesetengah
penguasa agama Kristian di Barat masih mempunyai rasa permusuhan yang
berterusan dengan penganut agama Islam. Pada abad 15 dan 16 M kuasa-kuasa Barat
seperti Portugis telah memulakan pelayaran ke timur dan mendapati pengaruh Islam
telah lama bertapak di sebahagian besar wilayah di Asia. Dengan anggapan Barat lebih
kuat, Portugis telah melakukan tindakan drastik dengan melakukan penyerangan
secara terbuka ke atas wilayah-wilayah Islam di Asia. Tindakan ini menyebabkan
wujudnya pertentangan secara terbuka antara masyarakat Asia, khususnya penganut
Islam dengan kuasa tersebut. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Keadaan tersebut
merangsang umat Islam melipatgandakan usaha dakwah. Kesannya, Islam bukan
sahaja menjadi elemen penting dalam menyatupadukan seluruh umat khususnya di
Alam Melayu, tetapi juga sebagai slogan untuk berjihad menentang kuasa penjajah
Kristian. (Azam Hamzah, 1997: 18)

Persaingan dalam menyebarkan agama Kristian dan Islam ini berterusan sebagaimana
yang digambarkan dalam kes-kes penyebaran Islam di bahagian pedalaman Pulau
Maluku, Ternate, Sumatra dan sebagainya. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Dengan
adanya ancaman agama ini, usaha dakwah Islamiah lebih giat dijalankan dan memberi
kesan kepada penyebaran Islam dengan lebih pantas dan menyeluruh.

Selain faktor-faktor di atas terdapat juga beberapa faktor lain seperti penulisan dan
kesusateraan. (Azam Hamzah, 1997: 22) Dari segala perbincangan di atas dapatlah
disimpulkan bahawa penerimaaan dan penyebaran Islam di rantau Alam Melayu
didorong oleh pelbagai faktor. Antara yang terpenting dan paling berkesan ialah faktor
ajaran Islam. Faktor ini menjadikan masyarakat rantau Alam Melayu mudah menerima
Islam dan faham kenapa mereka menerima Islam dan apakah tanggungjawab mereka
sebenarnya. Peranan pendakwahan turut membantu mereka lebih memahami tasawur
Islam yang sebenar. Di samping itu faktor-faktor lain juga tidak kurang pentingnya
kerana ia saling kait mengait di antara satu sama lain.

Islam telah sampai di rantau Alam Melayu sejak zaman pra-Islam lagi dan seterusnya
berlanjutan selepas kelahiran Islam. Walaupun terdapat berbagai teori mengenai
kedatangannya di rantau ini, teori Islam datang dari Arab/Parsi adalah lebih kukuh.
Teori ini bukanlah menafikan peranan yang dimainkan oleh pendakwah dari tempat lain
kerana ajaran Islam menyeru semua penganutnya mengembangkan Islam tanpa
mengira asal, bangsa dan keturunan. Penyebaran Islam di rantau ini juga telah melalui
beberapa tahap hingga ia berjaya tersebar ke seluruh pelusuk rantau ini sebagaimana
yang kita saksikan hari ini. Faktor pemangkin Islamisasi di rantau Alam Melayu juga
turut berkembang dan sentiasa muncul dalam bentuk baru sesuai dengan fenomena
semasa.

You might also like