You are on page 1of 6

Laras bahasa adalah gaya dan penggunaan sesuatu bahasa.

Gaya bahasa
merujuk kepada bahasa lisan dan penulisan. Perbincangan mengenai laras bahasa
tidak dapat terlepas daripada membincangkan dua konsep, iaitu pengguna dan
penggunaan. Pengguna ialah orang yang menggunakan sesuatu bahasa dan
penggunaan ialah bagaimana sesuatu bahasa itu digunakan dengan cara yang
berbeza-beza berdasarkan konteks dan situasi yang dihadapi. Penggunaan bahasa
pula merujuk kepada penutur, pendengar, situasi, topik dan tujuan perbincangan.

Sesuatu laras bahasa bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Laras
bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras bahasa yang penting
ialah perbendaharaan kata, susunan ayat dan frasa yang digunakan. Sesuatu laras
tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu. Daripada suatu segi, dapat
dikatakan bahawa dengan memilih laras bahasa yang tidak sama untuk situasi-situasi
yang berlainan, anggota masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan
situasi-situasi sosial yang berlainan yang wujud di sekitar mereka.

Laras bahasa juga bergantung kepada situasi luaran. Ini bermaksud latar
belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat yang mengamalkan bahasa
tersebut diberikan pertimbangan. Situasi ini merangkumi struktur sosial dan
keseluruhan cara hidup yang menentukan tindak-tanduk anggota masyarakat. Situasi
persekitaran pula merujuk kepada cara penyampaian, perhubungan sosial dan peribadi,
bahan dan fungsi sosial.

Terdapat beberapa laras bahasa yang perlu diberikan perhatian oleh guru ketika
berkomunikasi dengan murid. Penggunaan laras bahasa yang sesuai akan
memudahkan murid menerima mesej yang disampaikan. Berikut adalah jenis laras
bahasa tersebut;

1) Laras Bahasa Biasa


2) Laras Bahasa Akademik
3) Laras Bahasa Sastera/Kreatif
4) Laras Bahasa Agama
5) Laras Bahasa Sukan
6) Laras Bahasa Sains
7) Laras Bahasa Rencana
8) Laras Bahasa Iklan/Perniagaan
9) Laras Bahasa Media Massa
10) Laras Bahasa Undang-Undang
11)Laras Bahasa Ekonomi

Laras Bahasa Biasa

Penggunaan bahasa yang tidak membabitkan sebarang bidang ilmu atau konteks
khusus. Laras bahasa ini biasanya digunakan dalam perbualan seharian. Oleh itu,
ketika menggunakan laras bahasa ini, guru biasanya tidak menggunakan istilah atau
pola yang khusus. Laras bahasa ini tiada konteks khusus atau melibatkan sebarang
bidang ilmu. Struktur ayat adalah mudah, ringkas dan padat. Contoh ayat penggunaan
laras bahasa biasa ialah “Hai Mat ! Nak ke mana tu? Tidak singgah dulu?”

Dalam laras bahasa biasa, kata pinjaman tidak banyak digunakan, tidak terdapat istilah
teknikal dan bentuk laras bahasa biasa tidak formal menggunakan ciri-ciri bahasa
basahan, manakala bentuk laras bahasa biasa formal digunakan dalam situasi rasmi
sahaja. Guru boleh menggunakan laras bahasa ini dalam komunikasi seharian
bersama dengan murid dan mesej disampaikan akan lebih mudah difahaminya.

Laras Bahasa Akademik

Lebih bersifat ilmiah, formal dan objektif. Laras bahasa ini menunjukkan gaya
kematangan dan keintelektualan penutur kerana berkeupayaan menyampaikan buah
fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan. Istilah yang digunakan bersifat khusus
dan sukar difahami oleh orang yang tidak berpendidikan tinggi. Ayat yang digunakan
ada kesempurnaan bahasa dari segi kestabilan, kelenturan, kepelbagaian,
keberkesanan dan keindahan maksudnya. Guru perlu mengutamakan kemaparan,
perbincangan dan penghuraian yang lebih khusus. Terdapat penulisan ragam ayat
pasif dan ayat majmuk. Guru juga boleh menjelaskan tentang format penulisan laras
bahasa akademik seperti nota kaki, bibliografi dan indeks. Laras bahasa boleh
dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan bidang ilmu yang diperkatakan.
Antaranya laras sains, laras ekonomi, laras sastera dan sebagainya. Laras ini
kemudiannya terbahagi pula kepada beberapa sub-bidang yang terdapat dalam
sesuatu bidang akademik, misalnya dalam bidang sains, terdapat laras kimia, biologi
dan fizik. Oleh yang demikian, ketika berkomunikasi dengan murid, perlu
mengambilkira aspek berkenaan supaya murid dapat menerima isi pelajaran yang
disampaikan dengan lebih berkesan.

Laras Bahasa Sastera

Ia mementingkan istilah-istilah khusus dan teknikal. Bezanya, bidang yang


diperkatakan itu ialah mengenai bahasa dan kesusasteraan serta hubungan antara
kedua-duanya. Apabila berbicara mengenai kesusasteraan, kita sebenarnya akan
membincangkan beberapa aspek seperti tema, kronologi, mesej yang disampaikan,
watak dan perwatakan unsur termasuk personifikasi dan metafora. Laras bahasa
sastera mempunyai sifat yang lebih kreatif yang terhasil daripada cetusan imaginasi
dan pengalaman. Laras bahasa juga bersifat figuratif iaitu penyimpangan makna
daripada bahasa biasa. Guru perlu mementingkan pemilihan diksi yang berkesan,
bahasa tersirat, ada unsur sastera seperti metafora, kiasan, imejan, personifikasi dan
hiperbola. Ayat yang digunakan bernada puitis dan bersifat komunikatif. Guru boleh
menggunakan laras bahasa sastera ini terutamanya ketika berkomunikasi dengan
murid dalam pengajaran Bahasa Malaysia.

Laras Bahasa Agama

Ia digunakan oleh guru ketikan membincangkan isu agama terutamanya dalam


pelajaran Agama atau Pendidikan Islam. Dalam laras bahasa ini, terdapat istilah
pinjaman dan rujukan dari mana-mana petikan untuk mengukuhkan hujah yang
berkaitan. Terdapat juga penggunaan tamsil ibarat atau kias ibarat untuk pengajaran.
Oleh yang demikian, ketika berkomunikasi dengan murid, guru perlu mengambilkira
aspek yang berkenaan supaya murid lebih jelas dengan mesej pengajaran yang hendak
disampaikan oleh guru.
Laras Bahasa Sukan

Laras Bahasa ini digunakan oleh guru ketika berkomunikasi dengan murid ketika
mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan atau ketika sedang
mengadakan acara sukan di sekolah. Laras bahasa ini bertujuan menyampaikan
maklumat yang berkaitan dengan kegiatan sukan. Bahasa yang digunakan oleh guru
adalah ringkas, bersahaja dan jelas. Seringkali menggunakan istilah yang berkaitan
dengan aktiviti kesukanan. Kosa kata yang digunakan mudah difahami oleh murid.

Laras Bahasa Sains

Apa yang kita ketahui bahawa laras bahasa ini mempunyai unsur ilmiah, berbahasa
moden, bersifat formal dan menidakkan bahasa basahan. Laras bahasa ini mempunyai
sifat intelektual, saintifik, formal dan objektif berdasarkan kajian dan fakta. Guru sering
menggunakan istilah sains dan teknikal dalam berkomunikasi. Terdapat juga istilah
atau pinjaman dari bidang lain. Laras bahasa sains boleh dibahagikan kepada sub
bidang seperti laras fizik, biologi, kimia dan teknologi. Contoh laras bahasa sains dalam
bidang biologi adalah seperti ‘sel-sel kalenjar kolon merembeskan mukus yang
berfungsi dalam melicinkan pergerakan kandungan kolon ke arah rektum. Tidak
terdapat enzim yang dirembeskan di bahagian kolon. Cecair yang dirembeskan bersifat
alkali’. Oleh itu ketika berkomunikasi dengan murid, terutamanya dalam mata pelajaran
Sains, guru perlulah menjelaskan dengan lebih terperinci kepada murid mana-mana
istilah yang sukar difahami oleh mereka.

Laras Bahasa Rencana

Ini lebih bersifat umum, tujuan penggunaan larasa bahasa ini adalah untuk
menampilkan berbagai-bagai idea tentang sesuatu isu. Gaya bahasa yang digunakan
oleh guru haruslah mudah difahami. Laras bahasa ini bertujuan melaporkan sesuatu
kepada pembaca, khususnya murid terhadap perkara secara umum ataupun terperinci.
Contoh penggunaan laras bahasa rencana adalah “Oleh sebab baru dilancarkan,
kejayaan model Proton, ‘Exora’ masih belum dapat diukur. Pelbagai aspek seperti
pilihan pembeli, faktor rekabentuk, kemudahan mendapatkan alat ganti dan
ketahanannya perlu diambilkira. Model terbaru ini pastinya berhadapan dengan
pelbagai rintangan sebelum ia berkemampuan untuk menguasai pasaran dalam dan
luar’. Guru berupaya menyampaikan perkara utama ketika berinteraksi dengan murid
kerana mesejnya jelas dan tepat.

Laras Bahasa Perniagaan

Ia selalu digunakan untuk menyampaikan maklumat berkesan tentang sesuatu


perniagaan atau produk. Pemberitahuan fakta yang jelas amat dipentingkan. Guru
boleh menggunakan ayat yang ringkas dan pendek yang lebih banyak menggunakan
kata sifat. Sifat bahasa adalah imaginatif dan kreatif, penggunaan bahasa retorik dan
tidak mementingkan tatabahasa serta sering menggunakan pernyataan tertentu.
Contoh laras bahasa ini adalah ‘Percuma, sebiji lampu suluh bermutu tinggi dengan
setiap pembelian minyak Unicorn empat liter’. Laras bahasa ini digunakan untuk
mengiklankan jenama barangan yang ingin dijual. Gaya bahasa yang digunakan
biasanya memujuk pendengar supaya membeli barangan menerusi cara penyampaian
yang menarik sekali. Ayat yang digunakan adalah pendek-pendek dan tidak gramatis.

Laras Bahasa Media

Laras bahasa ini lebih menunjukkan terhadap peranan media massa seperti melapor
atau menyampaikan berita dengan bahasa yang paling mudah diterima pendengar dan
pembaca. Laras bahasa media massa tidak mementingkan tatabahasa, seperti
imbuhan dan kata hubung. Laras bahasa ini tiada istilah teknikal dan khusus. Contoh
penggunaan laras bahasa media adalah ‘Perak menjuarai kejohanan bola sepak Piala
Malaysia 1998 selepas menewaskan Terengganu dengan jaringan tipis 1-0 di Stadium
Nasional malam tadi’. Bahasa yang digunakan bersahaja dan bersifat melaporkan
sesuatu peristiwa yang berlaku. Bahasa yang ringkas dan mengandungi berita yang
maksimum untuk dipaparkan kepada pembaca dan penonton.

Laras bahasa Undang-Undang

Salah satu daripada laras bahasa ilmiah yang terdapat dalam bahasa Melayu sejak
zaman dahulu lagi. Bagaimanapun pada hari ini, laras bahasa undang-undang lebih
bersifat moden dan banyak menggunakan istilah teknikal. Contoh penggunaan laras
bahasa ini adalah ‘Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak bersetuju
dengan cadangan plaintif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak
relevan dengan perbicaraan berkenaan’. Biasanya guru kurang menggunakan laras
bahasa ini ketika berkomunikasi dengan murid.

Laras Bahasa Ekonomi

Laras bahasa ini lebih berbentuk ilmiah tentang sesuatu isu ekonomi. Terdapat
penggunaan istilah teknikal yang berkaitan dengan ekonomi. Penutur tidak
mengutamakan struktur ayat, gaya bahasa formal, maklumat jelas dan eksplisit dan
fakta adalah berdasarkan bukti data dan statistik. Guru boleh menggunakan laras
bahasa ini ketika berkomunikasi dengan murid ketika mengajar mata pelajaran yang
berkaitan dengan ekonomi.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa yang berbeza-beza akan melahirkan laras. Ini disebabkan


penggunaan bahasa yang berbeza-beza mengikut situasi dan faktor lain melahirkan
kata-kata yang berbeza mengikut keadaan. Misalnya kata-kata yang digunakan untuk
bergurau senda adalah berbeza daripada kata-kata yang digunakan untuk
menyampaikan sesuatu ucapan. Oleh itu, dirumuskan bahawa penggunaan bahasa
yang berbeza-beza berdasarkan faktor sosial seperti keadaan dan tempat, disebut
sebagai laras bahasa atau laras sosial. Manakala penggunaan bahasa yang berbeza-
beza berdasarkan faktor geografi atau daerah disebut sebagai dialek daerah.

You might also like