You are on page 1of 2

The Malaysian Bar

Doktrin Pengasingan Kuasa


Saturday, 13 February 2010 01:07PM

Teks ucapan oleh Encik Amer Hamzah Arshad semasa Pelancaran Kempen Perlembagaanku di Ipoh, Perak ini
disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Di dalam perlembagaan negara kita terdapatnya struktur-struktur asas yang merupakan kerangka yang perlu wujud bagi
memastikan kesinambungan proses demokrasi dan kebebasan rakyat. Terdapat tiga struktur-struktur utama yang
tersemat di dalam perlembagaan kita iaitu; kedaulatan undang-undang yang menegaskan bahawa hak-hak asasi rakyat
tidak boleh dicabuli oleh kerajaan sewenang-wenangnya; pembahagian kuasa di antara kerajaan persekutuan dan
kerajaan negeri; dan doktrin pengasingan kuasa, yang menegaskan bahawa tidak ada suatu institusi atau badan yang
boleh memegang kuasa mutlak ‘sovereign’ di mana kuasa tersebut hendaklah dipecahkan atau diasingkan kepada tiga
cabang atau organ kerajaan iaitu; eksekutif (pentadbir), legislatif atau penggubal undang-undang (Parlimen) dan
kehakiman.

Konsep-konsep atau struktur-struktur yang dinyatakan di atas telah pun diperjelaskan oleh Mahkamah Persekutuan
dalam kes Loh Kooi Choon v Government of Malaysia [1977] 2 MLJ 188 di mana ianya ditegaskan seperti berikut:-

The Constitution is not a mere collection of pious platitudes. It is the supreme law of the land embodying three basic
concepts: One of them is that the individual has certain fundamental rights upon which not even the power of the State
may encroach. The second is the distribution of sovereign power between the States and the Federation, that the 13
States shall exercise sovereign power in local matters and the nation in matters affecting the country at large. The third is
that no single man or body shall exercise complete sovereign power, but that it shall be distributed among the Executive,
Legislative and Judicial branches of government, compendiously expressed in modern terms that we are a government
of laws, not of men.

Jadi apakah maksud sebenar doktrin pengasingan kuasa ini? Saya percaya kita semua pernah mendengar ungkapan,
“absolute power, corrupts absolutely”. Dalam ertikata lain apabila sesuatu kuasa seperti kuasa mentadbir, menggubal
undang-undang, dan menghakimi pertikaian diletakkan ke atas seseorang atau sesuatu organ sahaja, maka ianya akan
menggalakkan pemerintahan yang tidak tertakluk pemantauan dan pengimbalan (‘check and balance’). Ini akan
membuka ruang kepada sesuatu kerajaan untuk menyalahgunakan kuasa dan menjadi asas kepada pemerintahan
autokratik atau kuku besi.

Dengan adanya doktrin pengasingan kuasa, maka setiap satu organ kerajaan akan dapat memantau dan memastikan
agar organ kerajaan yang lain tidak akan melangkaui kuasa yang telah diletakkan oleh perlembagaan. Oleh yang
demikkian, di dalam sebuah Negara yang menggamalkan doktrin pengasingan kuasa, kita akan dapati bahawa parlimen
akan menggubal undang-undang bagi membolehkan pihak eksekutif mentadbir dan sekiranya akan pertikaian dalam
segi pentadbiran pertikaian akan diputuskan oleh badan kehakiman. Doktrin pengasingan kuasa akan memastikan
kelancaran sesuatu kerajaan dan pada masa yang sama memastikan tidak ada berlakunya penyalahgunaan kuasa. Atas
sebab inilah setiap organ kerajaan hendaklah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Suatu organ tidak boleh
mengawal atau mengatasi organ yang lain kerana ini akan menyebabkan kepincangan dalam sistem demokrasi.

Sekiranya Parlimen iaitu organ kerajaan yang berfungsi untuk menggubal undang-undang boleh menghadkan kuasa
kehakiman, dan memberi kuasa yang berlebihan kepada eksekutif maka, kita akan memperolehi suatu kerajaan yang
dikuasai oleh eksekutif di mana tindakan eksekutif tidak boleh dicabar di Mahkamah kerana parlimen telah
mengurangkan kuasa kehakiman. Ini adalah suatu fenomena yang mengerunkan kerana dari kerajaan yang demokrasi
ianya telah berubah kepada kerajaan autokrasi. Tetapi inilah hakikat yang sedang dihadapi oleh negara kita.

Krisis kehakiman pada 1988 adalah merupakan saksi kepada pencabulan doktrin pengasingan kuasa yang kini telah
melemahkan sistem kehakiman Negara kita. Sebelum krisis perlembagaan pada 1988 kuasa kehakiman jelas
terletakhak pada badan kehakiman. Ini adalah dilihat pada Artikel 121(1) Perlembagaan yang menyatakan:

Subject to Clause (2) the judicial power of the Federation shall be vested in two High Courts of co-ordinate jurisdiction
and status, namely-(a) ... the High Court in Malaya ... and(b) ... the High Court of Borneo ...(c) ...(Repealed),And such
inferior courts as may be provided by federal law’......

Kata kunci yang tertera di dalam Artikel 121(1) (sebelum pindaan) adalah, “judicial power of the federation shall be vested
in ... High Courts ..”, yang memberi maksud bahawa kuasa kehakiman dalam perlembagaan diletakkan kepada badan
kehakiman dan tidak tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan oleh Parlimen. Kuasa yang diletakkan kepada
institusi kehakiman adalah luas bagi membolehkan insitusi kehakiman menjalankan proses ‘check and balance’ terhadap
undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan tindakan pentadbiran Eksekutif secara efektif.

Selepas pindaan kepada Artikel 121(1) pada 1988, Artikel 121(1) telah dipinda di mana kuasa kehakiman kini ditentukan
http://www.malaysianbar.org.my Powered by Joomla! Generated: 18 February, 2011, 18:08
The Malaysian Bar

oleh Parlimen:-

(1) There shall be two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status, namely -(a) one in the States of Malaya, which
shall be known as the High Court in Malaya and shall have its principal registry at such place in the States of Malaya as
the Yang di-Pertuan Agong may determine; and(b) one in the States of Sabah and Sarawak, which shall be known as
the High Court in Sabah and Sarawak and shall have its principal registry at such place in the States of Sabah and
Sarawak as the Yang di- Pertuan Agong may determine;(c) (Repealed),and such inferior courts as may be provided by
federal law and the High Courts and inferior courts shall have such jurisdiction and powers as may be conferred by or
under federal law.

Sepatutnya, sebagai sebuah negara yang mempunyai perlembagaan bertulis seperti Malaysia, kita seharusnya kita
mengamalkan sistem ‘constitutional supremacy’ di mana perlembagaan adalah kuasa utama dalam sistem demokrasi
negara. Tetapi apa yang berlaku pada 1988 telah menjadikan Parlimen sebagai kuasa utama (‘Parliament supremacy’).

Kesan daripada pindaan terhadap Artikel 121(1) telah menyebabkan bidangkuasa dan kuasa kehakiman tertakluk
kepada dan boleh dihadkan oleh undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen. Dalam ertikata lain, kuasa
kehakiman selepas pindaan boleh dihadkan oleh Parlimen. Ini meletakkan Parlimen di suatu kedudukan yang lebih tinggi
daripada institusi kehakiman.

Kesan yang paling ketara dapat dilihat selepas pindaan perlembagaan pada 1988 ialah tindakan eksekutif menggunakan
Parlimen untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) di mana pada tahun 1989, Parlimen telah meminda ISA
dengan memasukkan seksyen-seksyen yang mengehadkan bidangkuasa dan kuasa kehakiman di dalam menyemak
keputusan eksekutif yang mengeluarkan perintah tahanan tanpa bicara. Sebelum pindaan 1988 institusi kehakiman
mempunyai bidangkuasa untuk menyemak perintah tahanan yang dikeluarkan oleh eksekutif dari segi substantif dan
prosedur. Tetapi selepas pindaan dibuat pada 1988 dan 1989, bidangkuasa institusi kehakiman telah dihadkan di mana
Mahkamah hanya boleh menyemak perintah tahanan dari segi prosedur sahaja. Ini jelas menunjukkan bahawa
bidangkuasa kehakiman telah terhakis. Apa yang dinyatakan di sini hanyalah picisan daripada hakisan yang telah
berlaku terhadap doktrin pengasingan kuasa.

Perbincangan setakat ini hanya menjurus kepada penghakisan doktrin pengasingan kuasa melalui penaklukan institusi
kehakiman oleh eksekutif melalui proses penggubalan undang-undang oleh Parlimen. Apa yang kita tidak harus terlepas
pandang juga ialah penghakisan doktrin pengasingan kuasa melalui cara tersirat iaitu di mana wujudnya anasir-anasir
yang cuba mempengaruhi institusi kehakiman melalui proses perlantikan hakim-hakim ataupun ketua-ketua hakim yang
rapat dengan pihak eksekutif. Skandal klip video VK.Lingam umpamanya telah mengejutkan rakyat Malaysia yang rata-
rata mungkin sedang beradu sebelum ini. Insiden video kilip tersebut jelas membuktikan kewujudan elemen
campurtangan eksekutif dalam institusi kehakiman yang selama ini hanya diperkatakan tanpa dapat dilihat. Penghakisan
doktrin pengasingan kuasa melalui proses ini adalah lebih merbahaya kerana ianya tidak dapat dikesan dengan jelas.

Jadi adalah jelas bahawa sekiranya doktrin pengasingan kuasa tidak wujud ianya akan menyebabkan salah satu organ
kerajaan akan menjadi lebih berkuasa. Kebiasaannya institusi kehakimanlah yang akan dikawal ataupun dikembirikan
untuk memastikan institusi kehakiman tidak dapat menghalang kuasa eksekutif. Apabila ini berlaku maka institusi
kehakiman tidak akan dapat melindungi hak-hak rakyat dari tindakan eksekutif yang melampaui norma-norma hak-hak
asasi dengan efektif.

Kini sudah lebih dari 20 tahun sejak pindaan terhadap Artikel 121(1) berlaku, walaupun suatu tempoh yang agak lama
telah berlalu, ianya tidak bermakna kuasa institusi kehakiman tidak boleh dikembalikan kepada tempat yang sepatutnya.
Sekiranya, hakim-hakim yang sedia ada berani untuk menegakkan hak-hak kehakiman, sudah tentu rakyat akan
memberikan sokongan yang padu. Ianya masih belum terlambat untuk kita mengambil pendirian yang betul. Sesuatu
revolusi bermula dengan diri kita sendiri. Sekiranya rakyat mempunyai kesedaran mengenai sejarah dan proses
manipulasi yang telah berlaku dan sedang berlaku, sudah pasti rakyat akan bangkit dan mengambil tindakan yang
sewajarnya untuk memastikan doktrin pengasingan kuasa ini dikembalikan kepada statusnya yang asal.

http://www.malaysianbar.org.my Powered by Joomla! Generated: 18 February, 2011, 18:08

You might also like