You are on page 1of 4

PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan, kepintaran,

kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untuk menjadi pemimpin umat malah pemimpin
atau ketua dalam keluarga yang berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan
tanggungjawab berat itu.

Oleh itu baginda mendapatkan semua pengalaman untuk menjadi pemimpin yang baik dengan
menghabiskan sebahagian usia muda baginda sebagai pengembala kambing!

Kambing-kambing peliharaan baginda itu merupakan milik keluarga dan dikatakan juga mengambil upah
mengembala kambing yang dimiliki oleh penduduk Mekah.

Namun tugas ini sebenarnya mempunyai falsafah yang unik lagi tinggi. Ia tidak sekadar mengembala
kambing supaya tidak berkeliaran dan hilang dari kawalan.

Oleh kerana semua nabi sebelum ini pernah menjadi pengembala ternakan semasa mereka menjalankan
amanah sebagai pembawa ajaran dari Allah. Lalu pengikut Rasulullah bertanya sendiri kepada baginda:
"Adakah Wahai Rasulullah juga pernah menjadi gembala?" Lalu baginda menjawab: "Ya, selama
beberapa waktu saya mengembalakan domba milik penduduk Mekah di daerah Qararit".

Justeru, kita hayati apa yang ditulis oleh penulis sejarah terkenal, Hussein Haekal mengenai corak
kehidupan Rasulullah sebelum baginda mendirikan rumahtangga dengan wanita bangsawan yang
terkenal, Siti Khadijah Khuwailid ini.

Kata Haekal, seperti yang kita ketahui, Perang Fijar atau Fujjar itu berlangsung hanya beberapa hari saja
setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Pahit getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalangi mereka daripada
kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan
hiburan dengan sepuas-puasnya.

Maka adakah Nabi Muhammad juga ikut serta dengan mereka dalam hal-hal yang seperti ini? Atau
sebaliknya?

Menurut Haekal, telah berlaku pelbagai gejala yang teruk melanda anak-anak muda di kota Mekah
ketika itu.

"Sudahlah mereka tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam
kemiskinan dan kekurangan namun merekalah yang ikut hanyut dalam hiburan itu.

"Bahkan di antara mereka lebih gila lagi dari golongan ternama Mekah dan bangsawan-bangsawan
Quraisy dalam menghanyutkan diri dalam kesenangan demikian itu," katanya.
Akan tetapi Nabi Muhammad kata Haekal adalah anak muda yang ingin melihat, mendengar dan
mengetahui.

"Itu sifat yang ditunjukkan oleh baginda," kata penulis sejarah Nabi yang terkenal ini.

Oleh itu baginda tidak ikut serta seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan
kerana baginda lebih berminat untuk memiliki pengetahuan berbanding berhibur dan menjauhi hidup
ber foya-foya.

"Baginda mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan dan yang
akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran.

"Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam
dirinya.

"Itu sebabnya, sejak zaman kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah
tampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (yang dapat dipercayai)," kata
Haekal.

Ini menyebabkan baginda lebih banyak merenung dan berfikir melalui pekerjaannya menggembalakan
kambing sejak sejak usia remaja baginda.

Baginda sendiri dikatakan begitu gembira dengan tugas sebagai pengembala kambing itu.

Haekal dapat mengutip kata-kata rasa gembira baginda di saat-saat mengembala ternakan itu, iaitu:
"Nabi-nabi yang diutus Allah, kesemua mereka mengembala kambing. Ini termasuklah Nabi Allah Musa,
Nabi Allah Daud sehinggalah aku sendiri meneruskan usaha murni ini mengembala kambing milik
keluarga ku di Ajyad.

"Baginda mempunyai hati yang terang, menjalankan tugas dalam udara yang bebas di siang hari
sehinggalah membawa kepada kemilau bintang di langit apabila malam menjelma.

"Ini menjadikan tugas baginda itu amat sesuai dan serasi untuk pemikiran dan merenung kejadian alam
bagi mendapatkan sesuatu di atau penafsiran tentang penciptaan semesta ini," katanya.

Baginda membawa kambing-kambingnya jauh merentas padang sehinggalah ke kaki-kaki gunung dan
bukit, jauh dari kesibukan kota Mekah.

Namun apabila kambing-kambing yang ada di hadapan Nabi Muhammad itu menarik kesedaran dan
perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing-kambing itu atau jangan sampai
ada yang hilang dan sesat lalu baginda tidak lagi dalam dunianya yang tersendiri itu.
Baginda akan berusaha segenap tenaga dan akal pemikiran terhadap tahap keselamatan kambing-
kambingnya itu.

Baginda akan mengawal dan memastikan sepenuhnya supaya ternakan tersebut dapat meragut rumput
tanpa gangguan, hidup dan membiak dengan banyaknya.

Namun seperti yang ditulis oleh pakar sejarawan yang lain, Jaafar Subhani, apa yang penting
mengembala kambing mengajar baginda supaya meningkatkan kesabaran dan ketabahan dalam
'memimpin' kambing-kambing itu.

Setiap ekor kambing akan mempunyai kerenah mereka yang tersendiri, begitu juga yang bakal dihadapi
oleh baginda ketika baginda memimpin umat manusia.

"Apabila seseorang itu dapat menanggung kesukaran dalam menguruskan haiwan, yang tidak
mempunyai akal dan kearifan, maka tentunya dia juga dapat bertanggungjawab untuk memimpin
manusia yang sesat akal fikiran dan cara hidup mereka," kata Jaafar.

Malah dikatakan terdapat hadis Rasulullah sendiri yang menyebut: "Allah tidak mengangkat seorang
nabi pun yang sebelumnya tidak dijadikan pengembala supaya mereka dapat belajar bagaimana hendak
membimbing manusia."

Namun ada ketikanya, baginda hampir terpukau juga dengan kilauan segala macam maksiat dan hiburan
yang berleluasa di Kota Mekah.

Ini apabila pada suatu hari ketika baginda menggembala kambing dengan seorang kawannya berkata
bahawa baginda ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain dengan menyertai pelbagai hiburan di
kota Mekah dengan meminta kawannya itu menjaga kambing-kambing peliharaan baginda.

Tetapi sesampainya di hujung kota Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan
baginda ingin hadir di tempat itu.

Tetapi tiba-tiba baginda terjatuh dan tertidur.

Begitu juga pada malam berikutnya, baginda lagi sekali cuba hendak mengunjungi Mekah, dengan
maksud yang sama.

Baginda telah terdengar dari jauh kemeriahan irama muzik yang indah, seolah-olah turun dari langit.

Ini membuatkan baginda terleka namun menyebabkan baginda akhirnya tertidur lagi sehingga keesokan
paginya.

Lagi sekali baginda gagal menyertai hiburan seperti pemuda-pemuda yang lain dan bagai direncanakan
oleh Allah supaya baginda tidak terlibat dalam hiburan yang bakal melalaikannya.

Sebagai pengembala kambing tentunya tidak menjanjikan keuntungan, jauh sekali kemewahan tetapi
baginda lebih mengejar 'kemewahan' yang menjanjikan kekuatan kepada jiwa dan minda. Semua ini
diperolehi walau sekadar bergelar pengembala kambing!

Baginda sendiri pernah menyebut, "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila
sudah makan tidak sampai kenyang!"

Mengembala kambing bukan sekadar satu tradisi lama, wajar sekali dijayakan oleh kalangan anak-anak
muda hari ini. Tidak sahaja untuk tujuan komersial tetapi bagi melahirkan pemimpin yang tabah dan
tahan lasak sebagaimana yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan si pengembala kambing, Nabi
Muhammad SAW.

You might also like