You are on page 1of 1

Industri sukan Malaysia masih perlu sokongan kerajaan

KUALA LUMPUR - Usaha permulaan dalam menggerakkan industri sukan di Malaysia


memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan
berkata, sebelum proses pengukuhan dapat dilakukan, kerajaan mesti membantu penggiat
industri sukan di peringkat awal penglibatannya.

"Kebanyakan syarikat tempatan yang terlibat dalam barangan sukan misalnya tidak melihat
mereka sebagai sebahagian daripada industri sukan di peringkat global kerana tiadanya
perlindungan daripada kerajaan.

"Ini kerana ancaman utama kepada industri sukan Malaysia adalah persaingan daripada
jenama luar yang sudah terkenal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Strategi Perniagaan
Dalam Industri Sukan: Senario di Malaysia pada Konvensyen Industri Sukan Malaysia di
sini, semalam.

Selain perlindungan katanya, penggiat industri sukan tempatan juga memerlukan pakej
rangsangan atau insentif daripada kerajaan untuk bersaing dalam pasaran.

Antaranya kata beliau ialah, menyediakan tabung usahawan, cukai dan duti import yang
rendah, kemudahan pinjaman bank serta menggalakkan membeli barangan buatan Malaysia.

Sehubungan itu katanya, komitmen kerajaan benar-benar ditagih dalam menubuhkan unit
perniagaan khas untuk mewujudkan pekerjaan, menggalakkan pengambilan bekas atlet untuk
bekerja di syarikat multinasional, memberi keutamaan kepada syarikat tempatan memperoleh
tender dan menyediakan pinjaman mudah untuk melahirkan lebih ramai usahawan sukan.

"Menerusi insentif sedemikian, kita akan mampu mengembangkan budaya sukan di


Malaysia," tegasnya.

Bagi Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal pula, budaya sukan perlu
dipupuk seawal peringkat sekolah dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan
merangsangkan minat.

"Apabila budaya sukan sudah berakar umbi dan berkembang, dengan sendirinya industri
sukan akan ikut membangun dengan pesat.

"Untuk itu, motivasi perlu diberikan kepada guru-guru sukan seperti insentif yang diberikan
kepada guru sains, matematik dan bahasa Inggeris ketika ini," ujarnya.

You might also like