You are on page 1of 3

REFLEKSI

Muhamad Hafiz Bin Zainun

Pada hari Isnin iaitu pada 14 Februari yang lepas, saya dari kumpulan 3MTED2
telah membuat aktiviti yang bertemakan kemasyarakatan yang berdasarkan Program
Bina Insan Guru mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh pihak institut. Program ini
telah dilaksanakan di Kampung Raga, Yan, Kedah. Tempat ini dipilih berdasarkan
kesesuaian dengan aktiviti yang akan kami lakukan nanti dan juga hasil daripada
perbincangan kumpulan kami yang telah mencapai kesepakatan untuk mengadakan
program BIG di tempat tersebut. Aktiviti kali ini berfokuskan untuk membantu golongan
ibu-ibu tunggal bagi membersihkan persekitaran rumah mereka. Aktiviti ini dapat
membantu meringankan beban ibu-ibu tunggal yang tinggal di sekitar Kampung Raga
itu serta dapat menjalinkan hubungan mesra antara ibu-ibu tunggal di sana.

Tepat pukul 7.00 pagi, kumpulan saya yang mempunyai 22 orang ahli telah
berkumpul di Gelanggara institut bagi bersedia untuk berangkat ke tempat yang ingin
ditujui. Kumpulan saya ini ditemani oleh tutor kami iaitu Madam Teong Mee Mee..
Bersama-sama kami semua, terdapat beberapa hamper dan beras untuk diberikan
kepada ibu-ibu tunggal selepas kami menjalankan aktiviti kami. Setelah semuanya
bersedia, kami mula mengangkat barang-barang kami masuk ke dalam bas institut
yang telah disediakan. Lebih kurang pada pukul 7.15 pagi kami memulakan perjalanan
kami.

Perjalanan kami ke Kampung Raga yang dijangkakan akan tiba dalam masa 90
minit mengalami sedikit kelewatan. Ini kerana, dalam perjalanan di lebuh raya terdapat
satu kemalangan yang melibatkan dua buah lori. Sebuah lori membawa muatan kawat
manakala sebuah lori lagi membawa muatan tong-tong gas. Jadi para polis dan
anggota bomba berusaha mengangkut tong-tong gas yang bergolek di jalan raya yang
menghalang jalan ke tepi jalan. Di sebabkan itu, kenderaan bergerak perlahan kerana
hanya satu laluan sahaja dibuka bagi membantu mempercepatkan proses menyusun
tong-tong gas ke tepi jalan.
Selepas dua jam lebih perjalanan, akhirnya kami tiba ke destinasi yang ditujui.
Apabila tiba, kami perlu mengangkat barang-barang yang kami bawa ke Kampung
Raga yang terletak sedikit dalam daripada tempat bas berhenti. Ini kerana, kawasan
jalan untuk melalui ke Kampung Raga agak sempit dan bas sememangnya tidak dapat
melalui jalan tersebut. Saya membantu mengangkat kotak air minuman bagi kumpulan
kami manakala ahli kumpulan yang lain mengangkat barang-barang yang selebihnya.
Untuk ke Kampung Raga kami perlu berjalan kaki selama 10 minit untuk tiba ke
kampung tersebut. Sepanjang perjalanan berjalan kaki ke kampung tersebut, saya
menikmati keindahan dan ketenangan suasana kampung yang begitu aman serta
udaranya segar dan tidak tercemar seperti di kota.

Setibanya kami di Kampung Raga, kami di sambut mesra oleh JKK kampung
tersebut di Balai Raya Kampung Raga. Pengerusi bagi program ini iaitu Muhammad
Adib Sulaiman, bercakap dengan JKK kampung tersebut bagi menyatakan tujuan kami
ke kampung tersebut dengan lebih jelas. Selepas itu, kami dijamu dengan sedikit
sarapan sebelum memulakan aktiviti kami. Aktiviti yang kami jangkakan bermula lebih
awal, sekali lagi mengalami kelewatan disebabkan JKK terpaksa menguruskan sesuatu
hal yang tidak boleh dielakkan terlebih dahulu. Kami menunggu dengan sabar sambil
menghayati suasana kampung dan air sungai yang berada berdekatan kami. Sesekali
kami bergambar sesama kami sebagai kenangan di kampung tersebut.

Lebih kurang pada pukul 11.30 pagi, salah seorang penduduk kampung datang
kepada kami dan ingin menunjukkan rumah-rumah yang bakal kami pergi untuk
menjalankan aktiviti kami. Jadi, ketua kumpulan kami iaitu Muhammad Ariff Johari telah
mengikuti pak cik tersebut bagi mengenalpasti rumah-rumah yang akan kami pergi.
Selepas itu, kami dipecahkan kepada lima kumpulan untuk pergi ke rumah ibu tunggal.
Bersama-sama kami disertakan juga plastik hitam dan juga penyapu sampah.

Saya dan ahli kumpulan saya telah pergi ke rumah Puan Che Jam Che Saut
yang mana rumah beliau dijadikan sebagai homestay di dalam kampung itu. Apabila
sampai ke rumah beliau, saya dan ahli kumpulan saya disambut mesra oleh beliau.
Saya menjelaskan tujuan kami ke rumah beliau adalah untuk menjalankan aktiviti yang
telah dirancang. Beliau bersetuju dan berbesar hati memberikan kami peluang untuk
melakukan aktiviti kemasyarakatan ini. Beliau menyuruh saya dan ahli lelaki menyapu
daun-daun kering di sekitar rumah dan juga menyangkul rumput-rumput yang panjang.
Manakala kawan-kawan perempuan saya pula disuruh untuk membersihkan tingkap-
tingkap di sekeliling rumah. Kami saling bantu membantu dalam kerja membersihkan
kawasan rumah ini dan segalanya berakhir dengan cepat. Ketika saya menyangkul
rumput, cuaca amat panas kerana kelewatan yang kami hadapi. Walaubagaimanapun,
saya dan kawan-kawan saya tetap melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Setelah semuanya selesai, saya dan kawan saya menghulurkan sedikit buah
tangan kepada Puan Che Jam Che Saut yang berupa hamper dan beras kerana sudi
meluangkan masa bersama kami serta membenarkan kami melakukan aktiviti
kemasyarakatan kami dirumah beliau. Sebelum berpisah, saya sempat bergambar
dengan beliau bersama-sama kawan saya yang lain. Setelah itu, semua kumpulan yang
telah dipecahkan kepada lima kumpulan tadi berkumpul di balai raya tempat kami
berjumpa dengan JKK kampung. Setelah menjamu makanan tengahari, kami semua
berkemas untuk pulang ke institut. Ketika berada di dalam bas, saya melihat kawan-
kawan saya tertidur keletihan tetapi terpampang di raut wajah mereka kepuasan dalam
program BIG kali ini.

You might also like