You are on page 1of 8

Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan 2008

PENGGUNAAN PENILAIAN FORMATIF SEBAGAI PROSES


MELENGKAPKAN GELUNG: SATU USAHA PENAMBAHBAIKAN

Hamimi Fadziati A. Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd
Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi, Selangor, Malaysia

ABSTRAK

Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kaedah


untuk mengesan pencapaian objektif pembelajaran. Secara umumnya, terdapat
dua jenis penilaian berasaskan masa dan tujuan pelaksanaannya iaitu penilaian
formatif dan sumatif. Penilaian formatif ditakrifkan sebagai penilaian secara
berterusan dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)
berlangsung untuk menilai keberkesanan proses P&P. Manakala penilaian
sumatif adalah penilaian di akhir sesuatu tempoh proses P&P untuk menilai
pencapaian pelajar. Kebanyakan IPTA masa kini hanya melakukan penilaian
sumatif iaitu untuk mengukur pencapaian pelajar semata-mata tanpa sebarang
tujuan untuk memperbaiki proses P&P. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk
melihat penggunaan serta keberkesanan penilaian formatif sebagai satu usaha ke
arah penambahbaikan dalam proses P&P di JKEES, UKM. Kursus KKKL3133
dan KKKL3143 dijadikan kursus percubaan untuk melihat keberkesanan
penggunaannya sebelum diimplementasikan sepenuhnya di Jabatan.
Pelaksanaannya adalah berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan pelajar
dalam kursus tersebut. Setelah penilaian ini dijalankan, hasil dari pelaksanaannya
dianalisa dan pencapaian pelajar ini dibandingkan antara sebelum penilaian
dibuat dalam peperiksaan pertengahan dan setelah penilaian diadakan melalui
pencapaian peperiksaan akhir. Maklumat-maklumat yang diperolehi dari
penilaian formatif ini digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
telah dikenal pasti melalui penerapan kaedah melengkapkan gegelung. Dengan
itu, penambahbaikan telah dilakukan bagi meningkatkan proses P&P.

Kata kunci: Penilaian formatif; penilaian sumatif; pengajaran dan pembelajaran

PENGENALAN

Penilaian boleh didefinasikan sebagai satu kaedah untuk mengumpul, merekod,


menganalisa serta menggunakannya untuk membantu proses pembelajaran
(Harlen et al. 1992). Antara implikasi penilaian kepada pelajar adalah dapat

1
Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini
Hussain

meningkatkan kesedaran pelajar tentang tahap pencapaian mereka dalam sesuatu


kursus dan dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, penilaian yang berasaskan masa
dan tujuan dapat dikategorikan kepada dua kaedah iaitu penilaian sumatif dan
formatif. Sejarah pelaksanaan penilaian formatif dan sumatif bermula pada
sekitar 1960an apabila Michael Scriven mengupas mengenai perbezaan diantara
kedua-dua penilaian ini (Scriven et al. 1967). Kemudian, sekitar 1970an, ia mula
berkembang melalui pelbagai bentuk penilaian yang diolah oleh Benjamin
Bloom, Thomas Hastings dan George Madaus (Bloom et al. 1971). Amalan
masa kini adalah lebih menitikberatkan kepada penilaian ke atas pembelajaran
(sumatif) dan bukannya penilaian untuk pembelajaran (formatif) (James et al.).
Oleh itu, peluang yang ada tidak digunakan untuk menjadikan penilaian sebagai
salah satu alat bagi membantu untuk memperbaiki proses pembelajaran.
Seringkali kita lihat dalam amalan di IPTA, ujian dan penilaian digunakan
untuk menghasilkan keputusan akhir seperti gred atau markah peratusan dan para
pelajar tidak diberikan maklumat lebih lanjut. Yang jelasnya situasi yang sebaik-
baiknya adalah memberikan pelajar seberapa banyak maklum balas yang boleh
untuk mereka mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap sebelum
ujian seterusnya diadakan. Maklum balas ini merupakan antara komponen paling
penting dalam penilaian formatif (Sadler et al. 1998).
Penekanan terhadap penilaian formatif mula diberi perhatian apabila
menyedari pelaksanaan penilaian sumatif tidak memberi peluang kepada pelajar
untuk memperbaiki kelemahan mereka. Tahap pencapaian mereka hanya diuji
setelah proses pembelajaran berakhir. Secara umumnya, penilaian sumatif seperti
ini kurang berkesan dimana para pensyarah dan pelajar tidak dapat mengenalpasti
masalah yang dihadapi dalam proses pembelajaran secara spesifik. Ini adalah
kerana tiadanya peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan seterusnya
tiada maklum balas dari kedua-dua pihak. Oleh itu, penilaian formatif ini dilihat
sebagai salah satu usaha penambahbaikan bagi membantu proses pengajaran dan
pembelajaran.
Penilaian formatif atau penilaian untuk pembelajaran adalah bertujuan untuk
memantau kemajuan pelajar ketika proses pembelajaran berlangsung dan ianya
adalah secara berterusan. Dalam proses ini, pensyarah dan pelajar saling
memperolehi maklumat akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pensyarah berpeluang memberikan
maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai oleh
pelajar. Oleh itu, keupayaan dan keperluan pelajar dalam pembelajaran dapat
dikenal pasti dan tindakan susulan berkenaan perancangan aktiviti pengajaran
yang sesuai dapat dibentuk. Kedua-dua pihak dapat memperbaiki prestasi
masing-masing dalam strategi penyampaian bagi pensyarah dan kaedah
pembelajaran bagi pelajar. Penglibatan pelajar secara langsung dalam penilaian
formatif ini adalah praktikal dan berkesan untuk mempertingkatkan penguasaan
pembelajaran (Garrison et al.).
Penilaian formatif ini dilihat sebagai satu sistem atau kaedah yang membantu
pensyarah memberi maklum balas yang sesuai dan melakukan tindakan susulan

2
Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

kepada pelajar mereka. Ini adalah untuk memastikan gegelung ditutup dan para
pelajar memperolehi semaksimum mungkin dari ujian atau peperiksaan yang
dijalankan dan yang paling penting dapat memperbaiki pembelajaran dan
keputusan di masa akan datang.

METADOLOGI PENILAIAN FORMATIF

Penilaian formatif ini telah digunapakai dalam kursus KKKL3133 dan


KKKL3143 pada Semester 1 Sesi 2007/2008. Secara umumnya, pelaksanaan
penilaian ini dibuat semasa proses pembelajaran berlangsung melalui pencapaian
pelajar dalam kuiz, tutoran, latihan, laporan makmal atau peperiksaan
pertengahan. Pelaksanaan penilaian telah dibuat dengan memberi maklum balas
awal kepada pelajar melalui soalan kuiz. Keputusan bagi kuiz diberi seawal
mungkin untuk tindakan susulan. Ini secara tidak langsung membantu pelajar
dalam menilai tahap pemahaman awal pelajar dan sejauh mana keberkesanan
tahap penyampaian pensyarah. Bagi pensyarah, tindakan memperbaiki kaedah
penyampaian dibuat manakala pelajar akan dapat memperbaiki kelemahan diri
dan memupuk sikap bertanggungjawab.
Kemudian, pelajar akan diterangkan mengenai penilaian formatif dan
penglibatan mereka dalam penilaian ini. Penilaian formatif dibuat pada peringkat
kedua melalui keputusan peperiksaan pertengahan yang dibuat sekitar minggu
ke-6 hingga ke-8. Hasil daripada keputusan peperiksaan pertengahan ini, pelajar
akan dibahagikan kepada lima kategori bergantung kepada purata keseluruhan
pencapaian pelajar seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.

JADUAL 1 Kategori pelajar berdasarkan pencapaian peperiksaan


pertengahan

Kategori Penerangan
1 Sangat Lemah
2 Lemah
3 Sederhana
4 Baik
5 Cemerlang

Berdasarkan Jadual 1, pelajar yang tergolong dalam kategori ‘1’ dan ‘2’
diwajibkan untuk berjumpa pensyarah bagi satu sesi perbincangan. Bimbingan
diberikan oleh pensyarah bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi. Borang
kaji selidik mengenai senarai punca masalah yang dihadapi diisi oleh pelajar.
Data yang diperoleh dikumpul dan dianalisa. Maklum balas terhadap masalah
tersebut diberi secara terus dalam perbincangan.
Ini merupakan peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar melalui
pertembungan secara bersemuka. Seterusnya, maklum balas dapat diberikan dan
tindakan susulan oleh kedua-dua pihak dilakukan bagi melengkapkan gegelung.

3
Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini
Hussain

KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

Hasil penilaian formatif ini dapat dilihat dari pencapaian pelajar dalam
peperiksaan akhir semester untuk dua kursus ini iaitu KKKL3133 dan
KKKL3143.

RAJAH 1 Bilangan dan Peratusan Pelajar Mengikut Kategori bagi


Peperiksaan Pertengahan KKKL3133

Rajah 1 menunjukkan bilangan serta peratusan pelajar bagi setiap pembahagian


kategori pelajar dalam kursus KKKL3133. Bilangan pelajar yang diwajibkan
menjalani penilaian formatif adalah 13 orang atau 26% daripada 49 orang pelajar.
Melalui perbincangan dan borang kajian, beberapa kelemahan pelajar telah
dikenalpasti. Rajah 2 menunjukkan beberapa masalah yang telah dilaporkan
melalui penilaian formatif ini.

RAJAH 2 Faktor yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar Kategori '1' dan


'2' bagi Kursus KKKL 3133

4
Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

Merujuk kepada Rajah 2, didapati bahawa kebanyakan pelajar menghadapi


masalah pengurusan masa iaitu pembahagian waktu belajar dan aktiviti lain.
Sebahagian pelajar menghadapi masalah dalam asas pengiraan dan kurangnya
latihan tambahan untuk meningkatkan pengukuhan subjek. Hanya seorang pelajar
sahaja yang mempunyai masalah dalam memahami soalan yang diberi.
Untuk mengatasi masalah ini, pensyarah untuk subjek KKKL3133 telah
mengambil tindakan susulan melalui penyemakan semula kertas jawapan pelajar
untuk mencari sebab utama masalah timbul. Kesalahan yang telah dilakukan
pelajar dibincangkan semula dan pelajar diberi saranan untuk memberi lebih
penekanan terhadap beberapa topik yang lemah. Masalah pengurusan masa
diatasi dengan mendapatkan senarai aktiviti yang dilakukan oleh pelajar terbabit.
Pensyarah menganalisa jadual harian pelajar berkenaan dan bimbingan yang
perlu diberikan jika didapati kaedah belajar kurang sesuai. Pensyarah juga
memberi cadangan mengenai cara belajar yang sesuai untuk memperbaiki
kelemahan mereka. Bagi mengatasi masalah pemahaman terhadap soalan, pelajar
berkenaan diminta untuk lebih berhati-hati dalam memahami soalan dan
menjawab berdasarkan kehendak soalan yang diberi.
Bagi kursus KKKL3143, terdapat seramai 16 orang (33.3%) daripada 48
orang pelajar diwajibkan menjalani penilaian formatif. Jumlah ini adalah
mewakili satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelajar di dalam kelas
berkenaan. Rajah 3 menunjukkan perincian terhadap bilangan dan peratusan
pelajar mengikut kategori.

RAJAH 3 Bilangan dan Peratusan Pelajar Mengikut Kategori Bagi


Peperiksaan Pertengahan KKKL3143

Daripada kaji selidik dan perbincangan yang diadakan, didapati terdapat lima
faktor utama penyebab berlakunya masalah dalam proses pembelajaran. Rajah 4
menunjukkan faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar kategori ‘1’ dan ‘2’.
Masalah mudah lupa dikenalpasti sebagai masalah utama selain masalah kurang
latihan dan banyak tugasan lain yang dialami oleh pelajar kategori ini. Selain itu,
terdapat beberapa pelajar menyatakan mereka menghadapi masalah sukar
memahami subjek ini dan kerap mengamalkan belajar lewat malam.
5
Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini
Hussain

RAJAH 4 Faktor yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar Kategori '1' dan


'2' Bagi Kursus KKKL3143

Untuk mengatasi masalah yang dinyatakan dalam Rajah 4 ini, pertemuan secara
bersemuka yang diadakan di antara pelajar dan pensyarah membincangkan
mengenai teknik belajar seperti kaedah belajar berkesan, kaedah pengurusan
masa dan latih tubi. Pelajar juga disarankan untuk membuat kumpulan belajar
untuk meningkatkan tahap pemahaman pelajar.

RAJAH 5 Perbandingan Pencapaian Markah Purata Pelajar untuk


Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Kursus KKKL3133 dan KKKL3063

Rajah 5 menunjukkan perbandingan pencapaian pelajar dalam peperiksaan


pertengahan dan akhir semester. Perbandingan dibuat terhadap kursus
KKKL3133 yang melaksanakan kaedah penilaian formatif dan kursus
KKKL3063 yang tidak melaksanakan penilaian formatif. Kedua-dua kursus ini
diambil oleh pelajar yang sama pada semester yang sama. Keputusan
menunjukkan pencapaian bagi pelajar kategori ‘1’ dan ‘2’ dalam kursus
KKKL3133 hanya mengalami sedikit penurunan iaitu sebanyak 2.4% berbanding
kursus KKKL3063 yang mengalami penurunan sebanyak 17%. Secara umumnya
penurunan dalam pencapaian akhir berlaku disebabkan soalan akhir semester

6
Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

diolah dengan tahap yang lebih terperinci dan sukar. Perbezaan ini menunjukkan
bahawa pelaksanaan penilaian formatif memberi impak positif terhadap
pencapaian pelajar.

RAJAH 6 Perbandingan Pencapaian Markah Purata Pelajar untuk


Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Kursus KKKL3143 dan KKKL3063

Perbandingan pencapaian pelajar dalam peperiksaan pertengahan dan akhir


semester untuk kursus KKKL3143 yang melaksanakan kaedah penilaian formatif
dan kursus KKKL3063 yang tidak melaksanakan penilaian formatif ditunjukkan
dalam Rajah 6. Kedua-dua kursus ini diambil oleh kumpulan pelajar yang sama
pada semester yang sama. Jika diperhatikan pada Rajah 6, terdapat peningkatan
markah purata pelajar sebanyak 8.16% untuk kursus KKKL3143 iaitu
peningkatan daripada 40% kepada 48.16%. Peningkatan ini disebabkan oleh
perubahan sikap pelajar terhadap kaedah belajar dan bimbingan yang telah
diberikan semasa perbincangan bersemuka dengan pensyarah kursus.
Perbincangan ini secara tidak langsung meningkatkan kesungguhan pelajar
setelah mengetahui pensyarah kursus ini mengambil berat tentang pencapaian
pelajar terbabit. Ini dapat dibuktikan dengan perbandingan terhadap pelajar yang
sama dalam kursus KKKL3063 yang tidak melalui penilaian formatif.
Berbanding kursus KKKL3133 dan KKKL3143, kursus KKKL3063
menunjukkan pencapaian purata pelajar mengalami penurunan signifikan dari
55.94% kepada 40.94%. Penurunan sebanyak 15% ini boleh dikaitkan dengan
faktor kurangnya usaha pemantauan terhadap pencapaian pelajar atau dengan
ertikata lain tiadanya pelaksanaan penilaian formatif terhadap para pelajar kursus
tersebut. Justeru, satu rumusan boleh dibuat iaitu penurunan signifikan yang
terjadi dalam KKKL3063 boleh dikaitkan dengan ketiadaan penilaian formatif
yang menyebabkan pelajar kurang bermotivasi walaupun pencapaian peperiksaan
pertengahan semester mereka adalah kurang memberangsangkan.
Sisihan piawai di antara peperiksaan pertengahan dan akhir untuk pelajar yang
menjalani penilaian formatif (KKKL3133 dan KKKL3143) menunjukkan
peningkatan manakala untuk kursus tanpa penilaian formatif (KKKL3063)
menunjukkan penurunan. Peningkatan jumlah sisihan piawai menunjukkan
terdapat jurang markah disebabkan tahap kesedaran pelajar yang berbeza-beza.
7
Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini
Hussain

Manakala penurunan markah sisihan piawai menunjukkan pelajar masih berada


dalam tahap yang sama dan tiada motivasi untuk berubah.

KESIMPULAN

Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara


berterusan melalui penilaian formatif. Ianya adalah satu kaedah sokongan dan
langkah intervensi kepada pensyarah dan pelajar untuk mengatasi kelemahan
yang ada. Kaedah ini memberi peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar
dan seterusnya dapat memberikan motivasi kecemerlangan. Maklum balas yang
diterima merupakan komponen penting yang dapat digunakan ke arah usaha
penambahbaikan kepada proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan
mutu penyampaian pensyarah dan pemahaman pelajar. Walaubagaimanapun, ia
perlulah dibuat dengan komitmen daripada kedua-dua pihak agar proses
melengkapkan gelung dapat dilakukan. Kesimpulannya, penggunaan penilaian
formatif ini dilihat sebagai salah satu usaha ke arah penambahbaikan kepada
sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di JKEES, UKM.

RUJUKAN

Bloom, B. S., Hastings, J. T. & Madaus. G. F. 1971. Handbook of Formative and


Summative Evaluation of Student Learning. New York: McGraw-Hill.

Garrison, C. & Ehringhaus, M. t.th. Formative and summative assessments in the


classroom. Jaringan Eksklusif National Middle School Association.
http://www.nmsa.org/Publications/WebExclusive/Assessment/tabid/1120/Def
ault.aspx [5 September 2008].

Harlen, W., Gipps, C., Broadfoot, P. & Nuttall, D. 1992. Assessment and the
improvement of education. The Curriculum Journal 3: 215-230.

James, M. t.th. Assess for learning insides. University of Cambridge.


http://k1.ioe.ac.uk/tlrp/arg/AssessInsides.pdf [29 Oktober 2008].

Sadler, D. R. 1998. Formative assessment: revisiting the territory, Assessment in


Education 5(1): 77-84.

Scriven, M. 1967. The methodology of evaluation. In R. E. Stake (Ed),


Curriculum Evaluation. American Educational Research Association
Monograph Series on Evaluation. Chicago: Rand McNally.

You might also like