You are on page 1of 2

Takwa, ingat mati jadikan Muslim istiqamah jalani kehidupan

FIRMAN Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-
benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali Imran, ayat
102)

Ibnu ‘Abbas menyatakan orang bertakwa adalah mereka yang sentiasa mengingati seksaan Allah apabila
meninggalkan perintah-Nya, oleh itu mereka akan melaksanakan perintah itu dengan penuh kepatuhan
dan mengharapkan keredaan Allah. Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin
Ka’ab pengertian takwa. Lantas Ubay mengajukan soalan kepada Umar kembali dengan berkata:
Pernahkah tuan melalui jalan penuh berduri? Jawab Umar: Tidak pernah.

Ubay memberikan penjelasan: Sudah tentu kita mengelak daripada terpijak duri apabila kita
melalui jalan itu. Begitulah makna takwa, kita mengelakkan diri dari melampaui batasan Allah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bertakwalah kamu di mana saja kamu berada, iringilah
setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah
manusia dengan akhlak terpuji.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Tafsiran takwa Saidina Ali Abi Talib ialah takutkan Allah semata-mata, beramal serta
beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan sedikit serta
bersiap sedia setiap masa menghadapi kematian.

Dapat disimpulkan takwa adalah pemantapan akidah yang ikhlas kepada Allah seperti sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut kalimah tiada tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga.”
Kemudian Baginda SAW ditanya: “Apa maksud ikhlas itu? Lantas Baginda SAW menjawab:
Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.” (Hadis riwayat Tabarani)

Sifat takwa sering dikaitkan sebagai sifat mukmin berjaya dan berbahagia di akhirat. Keimanan
Muslim yang jitu terhadap Allah membentuk peribadi Rabbani dan terpelihara hala tuju
hidupnya.

Orang beriman sebenarnya tidak sabar menghuni alam syurga yang penuh kenikmatan. Oleh itu,
antara pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ialah sentiasa
mengingati mati.

Pesanan itu bukan bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan kerana Islam menyeru
umatnya membangun akhirat seimbang dengan pembangunan duniawi.
Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah sebenarnya
dituntut Islam. Sesiapa yang sentiasa mengingati mati dianggap sebagai orang paling bijaksana
dalam kalangan orang mukmin.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang paling bijaksana dalam


kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya serta beramal
sebagai persediaan untuk menghadap Allah selepas mati. Sedangkan orang
yang lemah, sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan
kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya memperbanyakkan mengingati
mati: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati
dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia
diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Hadis
riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Muslim yang mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari


Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada
waktu terang mahupun sunyi. Mengingati mati mengurangkan panjang
angan-angannya, menjauhkan fitnah dunia dan membersihkan hati dari sifat
sombong dan tamak.

Seterusnya, mengingati mati dapat menjadikan seseorang Muslim itu mempunyai wawasan
hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas, mempunyai semangat waja dan beristiqamah menelusuri
titian hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian
Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

You might also like