You are on page 1of 2

Pembangunan Terancang Menjamin Kestabilan Sosio Negara.

Dalam mendepani persaingan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun,
China dan beberapa buah negara maju lain, Malaysia bijak mengatur strategi dalam memastikan
kestabilan ekonomi, politik dan sosial negara berada di paras yang utuh sama ada di peringkat
nasional mahupun  di persada antarabangsa. Persaingan kuasa-kuasa besar ini memberi kesan
positif juga negatif terhadap pembangunan dan kestabilan Malaysia. Pembangunan infrastuktur,
teknologi dan perkhidmatan terus dipertingkatkan kearah menjadikan negara ini sebagai sebuah
negara maju menjelang tahun 2020.
Tindakan strategik dan sistematik terhadap setiap pelan pembangunan negara adalah
sangat mustahak untuk dipraktikkan bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di
Malaysia adalah pembangunan terancang dan bersifat mesra masyarakat agar keharmonian dan
kesejahteraan rakyat dapat dipelihara. Saya sangat optimis dengan apa jua cadangan
pembangunan oleh kerajaan kerana saya pasti setiap pembangunan yang dicadangkan adalah
untuk mengangkat nama negara dipersada antarabangsa malah ianya sekaligus dapat membuka
peluang kepada Malaysia dalam banyak aspek terutamanya aspek ekonomi dan hubungan
serantau. Namun, setiap pembangunan yang dicadangkan haruslah mengambil kira pandangan
dan kesesuaian keadaan sosio masyarakat pada hari ini. Setiap pembangunan dan cadangan
kerajaan akan memberi kesan kepada masyarakat. Justeru, saya merasakan mereka mempunyai
hak untuk menyatakan pendirian mereka terhadap setiap cadangan yang dibuat.
Menara Warisan dengan ketinggian 100 tingkat merupakan satu lagi projek pembangunan
mega negara yang dibentangkan di dalam Bajet Belanjawan 2011 baru-baru ini. Projek mega
bersepadu yang bernilai RM 5 Billion ini akan dibina bersebelahan Stadium Negara dan Stadium
Merdeka yang akan dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dijangka siap
pada tahun 2015 nanti. Menara Warisan ini dikatakan antara projek strategik impak tinggi yang
akan merangsang permintaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pada
masa akan datang.
Secara realitinya, Malaysia masih lagi berada dalam kemelut krisis ekonomi dunia.
Dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya ini, saya merasakan projek
Menara Warisan ini tidak begitu mustahak untuk dilaksanakan pada masa ini. Masih banyak
perkara yang lebih penting perlu diutamakan oleh kerajaan contohnya menyelesaikan projek
projek terbengkalai, melangsaikan hutang negara, mengurangkan kadar rasuah, menaiktarafkan
infrastruktur di kawasan pedalaman termasuklah di Sabah dan Sarawak agar ianya setara dengan
tahap prasarana yang ada di negeri-negeri lain. Pada pendapat saya, dalam melaksanakan sesuatu
pelan pembangunan, kerajaan perlu memberi dan melaksanakan formula geran pembangunan
dan kesamaan berdasarkan beberapa faktor antaranya jumlah penduduk, kadar kemiskinan,
kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita
bagi memastikan negeri dan masyarakat  miskin tidak terbeban. 

Saya bukanlah golongan yang anti pembangunan. Cuma saya merasakan, projek Menara 
Warisan ini tidak perlu dilaksanakan setelah melihat kepada kesan jangka panjang terhadap sosio
masyarakat di negara ini. Ya, saya faham bahawa jika projek Menara Warisan ini benar-benar
dilaksanakan, ianya akan memberi peluang kepada Malaysia dalam aspek ekonomi seterusnya
dapat menarik perhatian dunia kepada negara ini. Namun, persoalannya adakah ianya akan
memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, atau ianya hanya kepada segelintir golongan
sahaja? Dalam masa yang sama, adakah rakyat bawahan mendapat kesan positif dengan
pembinaan Menara Warisan ini? Secara jujurnya saya merasakan, kemungkinan besar ianya
tidak menyeluruh dan mungkin tidak memberi kesan langsung.
Kesan sosial dari pembinaan ini akan menyebabkan taraf hidup masyarakat meningkat
dan sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada rakyat itu sendiri. Cukai akan dikenakan dan
harga barangan akan menjadi lebih tinggi. Kos dan taraf hidup yang tinggi akan membebankan
rakyat terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah. Hal-hal sebegini perlu diteliti
sepenuhnya selaras dengan Program Transformasi Ekonomi ( PTE) dan Model Ekonomi Baru
(MEB) kearah membaik pulih taraf hidup dan tahap kemiskinan di Malaysia.
Saya faham bahawa kerajaan mengemukakan cadangan pembangunan ini untuk
kepentingan jangka panjang, tetapi kerajaan juga seharusnya faham bahawa setiap tentangan dan
bantahan terhadap pembangunan Menara Warisan ini juga adalah setelah mengambil kira kesan
jangka panjang kepada negara dan rakyat. Tidak mempunyai banyak bangunan pencakar langit
tidak bermaksud negara tidak membangun. Sebagai rakyat Malaysia, saya menginginkan
kemajuan dan pembangunan yang terancang supaya pembangunan yang membazirkan dapat
dielakkan.

You might also like