You are on page 1of 9

EKONOMI POLITIK ASIA TENGGARA DAN GAGASAN PATRIOTISME

SERANTAU:CABARAN DAN PELUANG


Date: Thursday, October 13 @ 23:39:52 MYT
Topic: ARTIKEL/RENCANA

Wan Abdul Rahman bin Wan Ab. Latif


Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, UKM

Kertas kerja ringkas ini merupakan satu usaha awal untuk mengenal pasti faktor – faktor yang
menghalang dan juga faktor – faktor yang mendukung pembinaan patriotisme serantau di kalangan
negara – negara di Asia Tenggara atau ASEAN. Sebagai satu kuasa serantau yang harus
mendepani implikasi negatif dari proses globalisasi, dan untuk survivalnya secara jangka panjang,
maka pengukuhan semangat serantau menjadikan sesuatu yang mesti. Walau bagaimana pun,
pengamatan terkini mengenai ASEAN sebagai satu pertubuhan serantau yang digerakkan oleh satu
semangat patriotisme yang padu, nampaknya agak meleset. Antara faktor – faktor yang boleh dilihat
sebagai cabaran (centrifugal) adalah pengalaman kolonialisme dan pergantungan; dan antara faktor
pendorong (centripetal) adalah gerakan pendemokrasian dan kepimpinan.

Sebagai permulaannya dan bagi tujuan pengenalan, Asia Tenggara adalah


merupakan satu kawasan yang memisahkan dua tamadun agung Asia iaitu India
dan China. Dari satu segi, cara hidup sebahagian besar dari rakyatnya hari ini
dicirikan oleh dua tamadun agung ini. Asia Tenggara sebagai satu daerah geografi
merupakan satu kawasan seluas Amerika Syarikat tanpa Alaska iaitu sekitar
1,740,000 batu persegi dan mempunyai penduduk lebih tinggi dari Amerika Syarikat.
Kepadatan penduduk tertumpu kepada kawasan seperti Java di Indonesia dan Delta
Sungai Merah di utara Vietnam di mana tanah yang subur telah membolehkan
tanaman padi diusahakan secara intensif. Kepadatan penduduknya – berjumlah
sekitar 434.4 juta pada tahun 1985 – tidaklah merupakan satu tekanan atau cabaran
yang serius berbanding di negara Asia seperti India dan China.
Asia Tenggara sebagai sebuah kawasan geografi hanya wujud selepas Perang Dunia Kedua
(Allen,1973:4). Ia kemudiannya secara rasmi diperkukuhkan dengan tertubuhnya ASEAN
pada tahun 1967 yang sekarang terdiri dari 10 buah negara yang merdeka dan berdaulat.
Sungguh pun semua negara ini dikelompokkan dalam satu pertubuhan kawasan, tiap – tiap
negara mempunyai sejarah, budaya dan tahap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang
berbeza – beza di antara satu dengan yang lain. Terdedah kepada kuasa kolonial yang
berbeza, budaya politik negara – negara Asia Tenggara juga berbeza.
Kuasa kolonial Inggeris yang memerintah Malaya(sia) yang bersifat akomodatif juga
mempengaruhi lahirnya budaya politik yang juga akomodatif di kalangan rakyatnya. Budaya
politik yang akomodatif ini membantu wujudnya permuafakatan politik dalam bentuk, pada
peringkat awalnya, Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional.

Kuasa kolonial Belanda yang pernah menjajah Indonesia yang lebih confrontational sifatnya
telah juga melahirkan satu budaya politik yang juga relatif keras. Budaya politik yang agak
radikal ini telah meruntuh kuasa tradisional – aristokrak Indonesia yang berakhir dengan
Indonesia memilih Republik sebagai bentuk pemerintahan mereka selepas mereka mencapai
kemerdekaan dari kuasa kolonial Belanda. Budaya politik radikal yang diserapi dengan
ajaran komunisme semasa pemerintahan Sukarno (Presiden pertama) telah menyebabkan
Indonesia memilih untuk memiliknegarakan sebahagian besar, kalau pun tidak semua, kilang
– kilang milik asing. Initiatif ini memberi kesan yang parah kepada ekonomi Indonesia yang
sampai sekarang belum dapat dipulih sepenuhnya. Budaya politik Vietnam juga
mempamerkan satu budaya politik yang radikal, di mana ia dipengaruhi oleh sikap kuasa
kolonial Perancis dan ideologi komunisme. Budaya politik Vietnam diburukkan lagi dengan
adanya kontradiksi dalaman di mana dalam mempromosikan komunisme versinya yang
tersendiri dan ingin melebarkan kepada negara sekitar seperti Cambodia dan Laos, Vietnam
juga menentang peluasan kuasa dan ideologi komunisme versi China dan USSR.

Kalau sekiranya masalah penyatuan nasional di Indonesia sendiri adalah merupakan satu
masalah dalaman yang kronik yang digambarkan dengan pendekatan ‘penyatuan dalam
kepelbagaian’ (unity in diversity), ini kan pula Asia Tenggara sebagai satu kawasan geografi
yang longgar dan luas. Pembinaan negara – bangsa bagi negara di Asia Tenggara masih
bersifat problematik yang masih berada di tahap ‘masyarakat yang digambarkan’ (imagined
community) dan juga dikenali sebagai ‘bangsa yang diidamkan’ (nation – of – intent). Dari
sudut ini, bagi memperkenalkan rupa bentuk ekonomi politik Asia Tenggara dengan cara
memperbandingkan satu negara dengan negara yang lain, yang mempunyai sejarah politik,
sosial dan ekonomi yang berbeza adalah sesuatu yang mustahil. Pendekatan ini dikenali
sebagai pendekatan politik perbandingan dari perspektif tradisional. Jalan yang terbaik dalam
hal ini ialah dengan cara menerima pakai kaedah politik perbandingan bukan dari perspektif
tradisional tapi dari perspektif penjelasan (explanatory).

Kebaikan dan kekuatan pendekatan penjelasan berbanding pendekatan tradisional


adalah banyak. Antaranya, perspektif tradisional mendefinidi bidang kajian dari
sudut geografi sebagai satu kajian mengenai kerajaan asing. Perspektif penjelasan
pula mendefinisi bidang kajian sebagai satu kaedah bagaimana untuk mengaplikasi
generalisasi yang berbentuk penjelasan kepada latar belakang negara yang
pelbagai. Perspektif tradisional juga melihat tujuan analisis politik yang dilakukan
adalah pada asasnya bersifat deskriptif berbanding pendekatan penjelasan di mana
analisis politiknya juga bersifat penjelasan. Akhirnya, perspektif tradisional
mengemukakan analisis berdasarkan tiap – tiap negara yang dikaji berbanding
perspektif penjelasan yang mengemukakan analisisnya berdasarkan topik – topik
tertentu disamping membuat generalisasi yang merentasi sempadan nasional dan
budaya  (Mayer, Burnett & Ogden, 1996: 2). Dalam usaha memperkenalkan rupa
bentuk ekonomi politik Asia Tenggara, modul ini melihat pendekatan politik
perbandingan dari perspektif penjelasan adalah dirasakan lebih sesuai dan
mempunyai kekuatan yang tersendiri dan di antara ciri terpenting perspektif
penjelasan sebagaimana yang telah dirujuk ialah dengan mengemukakan fenomena
yang ingin dikaji yang bersifat topikal yang disertai dengan satu bentuk generalisasi
yang melangkaui batasan nasional dan budaya.

Memahami hakikat bahawa pendekatan ekonomi politik mengambil kira hubungan yang
berkaitanaa antara faktor – faktor politik, ekonomi dan sosial, maka masyarakat dan negara
Asia Tenggara dari perspektif ekonomi politik boleh diukur dan dibanding, dari satu segi,
dari perspektif tradisi – moden sebagai satu kontinum. Dalam konteks ini, dilihat dari sudut
pemikiran Weber, sistem politik yang moden adalah sistem politik di mana sumber kuasa dan
autoritinya adalah bermuarakan rasional – perundangan dan salah satu manifestasi dari
autoriti yang bersumberkan rasional – perundangan ialah terlaksananya pilihanraya dalam
sistem politik tersebut.

Pemodenan ekonomi pula merujuk kepada tahap industrialisasi yang tinggi dan penggunaan
teknologi tinggi dalam proses pengeluaran. Sektor industri memain peranan yang lebih
penting berbanding sektor pertanian. Industri moden juga adalah industri intensif – modal
dan tidak lagi bersifat intensif – buruh. Industri moden juga lebih mementingkan aspek nilai
– tambah yang dilihat sebagai faktor yang boleh memesatkan pertumbuhan ekonomi.

Pemodenan sosial pula merujuk kepada pembinaan satu konteks sosial yang mendukung
ekonomi dan teknologi moden. Ia melibatkan aspek – aspek seperti wujudnya pengkhususan
peranan dan buruh. Pemodenan sosial juga melibatkan tahap mobiliti sosial yang tinggi dan
mobiliti sosial yang tinggi ini lebih bersedia untuk mengidentifikasi dirinya dengan sistem
sosial yang lebih meluas. Melihat sifat ekonomi politik negara Asia Tenggara dari sudut
kontinum tradisi – moden merupakan satu kaedah yang relevan dalam konteks pendekatan
yang bersifat generalisasi berteraskan penjelasan (explanatory generalizations) sebagaimana
yang telah dihujahkan sebelum ini.

Asia Tenggara dan Pengalaman Kolonialisme

Selain Thailand, semua negara di Asia Tenggara pernah dijajah oleh kuasa kolonial. Sungguh
pun sebahagian dari negara di Asia Tenggara pernah dijajah oleh lebih dari satu kuasa
penjajah, walau bagaimana pun akhirnya hanya satu kuasa penjajah sahaja yang mempunyai
kesan dominan ke atas sistem politik negara berkenaan. Malaya(sia) pernah di jajah oleh
Inggeris, Portugis, Jepun dan Belanda tetapi kuasa kolonial Inggeris yang akhirnya
mempunyai kesan ke atas sistem politiknya. Malaysia akhirnya menerima sistem demokrasi
berparlimen dan raja berpelembagaan bermodelkan sistem politik Inggeris dengan beberapa
pengubahsuaian dalam ertikata demokrasi berparlimen diasaskan kepada sistem persekutuan
dan tidak satuan sebagaimana yang terdapat di United Kingdom. Sebagai bandingannya,
Filipina yang pernah dijajah oleh Sepanyol dan Amerika Syarikat akhirnya menerima sistem
politik yang di amal di Amerika Syarikat dengan beberapa pengubahsuaian iaitu sistem
Presiden. Indonesia yang telah memansuhkan penguasaan golongan aristikrat dalam
politiknya juga menerima pakai sistem Presiden. Walau bagaimana pun, sistem Presidennya
berbeza dengan Filipina dalam erti kata Presiden Indonesia di pilih oleh Majlis
Permusyuaratan Rakyat bukan melalui satu sistem pemilihan Presiden secara langsung
sebagaimana yang diamalkan di Filipina. Di Vietnam sistem komunisme menentukan rupa
bentuk sistem politiknya dalam mana peranan Parti Komunis adalah dominan. Di Myanmar,
sungguhpun pernah ditadbir oleh kuasa kolonial Inggeris, sistem politiknya tidak mampu
bergerak ke arah yang lebih demokratik dan buat masa kini sistem politiknya masih di bawah
penguasaan junta tentera. Demikianlah pelbagainya sistem politik negara – negara di Asia
Tenggara yang terhasil dari pengalaman kolonialnya. Perlu juga ditekankan di sini bahawa
secara umumnya masalah yang dihadapi oleh Asia Tenggara masa kini atau pasca – kolonial
adalah kesinambungan dari masalah yang diwarisi pada zaman kolonialnya.

Masalah pasca – kolonial yang dihadapi oleh negara Asia Tenggara amat berkait rapat
dengan bentuk pentadbiran kolonial itu sendiri. Dalam hal ini, dua bentuk pentadbiran
kolonial biasanya di kenalpasti: langsung dan tidak langsung. Negara seperti Vietnam di
bawah kuasa kolonial Perancis, misalnya, terdedah kepada bentuk pemerintahan kolonial
yang bersifat langsung dalam mana pegawai Eropah memegang jawatan rasmi sehinggalah
ke tahap yang paling bawah menyebabkan anak tempatan tidak mempunyai peluang
langsung dalam perkara – perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negara mereka sendiri.
Contoh pentadbiran kolonial secara tidak langsung adalah pentadbiran selat Inggeris ke atas
Tanah Melayu sebelum 1874. Darjah penembusan pentadbiran kolonial ke atas sistem
pemerintahan tradisional –feudal mempunyai kaitan yang langsung dan / atau tidak langsung
dengan darjah penolakan kepada proses pemodenan yang dilihat sebagai di taja oleh Barat
(yang secara umumnya adalah bekas penjajah).

Bagaimana kemerdekaan di capai juga mempunyai kesan ke atas sikap politik negara Asia
Tenggara pasca – kemerdekaan. Pendekatan Inggeris yang lebih lembut memungkinkan satu
peralihan kuasa yang agak licin dari kuasa kolonial kepada anak tempatan. Peralihan kuasa
digerakkan oleh initiatif diplomasi dan bukan penentangan senjata. Peralihan kuasa yang
agak licin ini membolehkan Malaysia membina satu sistem politik pasca – kolonialnya yang
relatif stabil dan ini juga menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonominya yang juga stabil
dan memberangsangkan. Sikap konfrantasi kuasa kolonial Perancis di Indochina yang
menekan semangat nasionalisma bukan – komunis yang moderat telah membolehkan gerakan
komunisme menyusup masuk dan akhirnya mengambil alih gerakan nasionalisme yang lebih
moderat. Ini akhirnya membawa kepada pertentangan persenjataan yang berpanjangan dan
pengalaman penjajahan ini memberi kesan yang tersendiri kepada sistem politik pasca –
kolonial negara – negara seperti Vietnam, Cambodia dan Laos apabila mereka mempamerkan
sikap yang lebih agresif terhadap Barat dan ini mendorong lahirnya satu sistem politik yang
secara relatif kurang stabil dan ini menjejas pertumbuhan ekonomi yang mampan. Keadaan
ini diburukkan lagi apabila pada tahun 1970 – an berlakunya penyatuan politik antara
Vietnam Utara dan Selatan. Vietnam yang telah bersatu cuba untuk menjadi kuasa kolonial
baru dengan gagasannya untuk mewujudkan Greater Indochina. Walau bagaimana pun,
tanpa bantuan China dan USSR Vietnam gagal untuk menakluki Laos dan Cambodia.

Ekonomi Politik Asia Tenggara: Antara Pergantungan dan Pendemokrasian


Di peringkat awal kemerdekaannya negara – negara di Asia Tenggara telah dikelompokkan
sebagai negara sedang membangun yang dicirikan oleh sifat pergantungannya kepada negara
metropolis – maju di Barat. Status ekonominya yang bersifat satelit dan pinggir ini dikatakan
turut mempengaruhi status politiknya dalam ertikata mempengaruhi tahap
pendemokrasiannya. Dalam bahasa yang lebih mudah, kemunduran ekonominya turut
menyumbang kepada rendahnya tahap demokrasi yang diamalkan.

Penjelasan yang diberikan oleh para pemuka teori pergantungan mungkin sebahagian
besarnya ada kebenaran dalam konteks pembangunan ekonomi di negara Asia Tenggara.
Walau bagaimana pun, teori pergantungan mempunyai kelemahannya yang tersendiri.
Mempunyai hubungan dengan negara maju Barat misalnya dalam bentuk pelaburan asing
tidak semestinya memundurkan negara membangun seperti negara – negara di Asia
Tenggara. Kebangkitan Singapura sebagai negara perindustrian baru (newly industrialized
countries) dan pencapaian Malaysia yang agak memberangsangkan adalah contoh yang agak
jelas dalam hal ini. Ini juga merujuk kepada hakikat bahawa faktor – faktor dalaman
sesebuah negara itu adalah juga penting bagi menjamin kejayaan pembangunan ekonominya.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah pertumbuhan penduduk yang pesat, sistem nilai dan
ideologi yang kurang mendokong pembangunan, kuasa birokratik yang berlebihan, pengaruh
tentera dan lemahnya sistem politik yang absah disebabkan oleh faktor – faktor seperti
kesukuan, kedaerahan, dan pelangganan (clientelism).

Dari sudut pandangan ekonomi konvensional, bagi menjamin pertumbuhan yang stabil kadar
antara pertumbuhan penduduk dan ekonomi adalah perlu berada pada 3:5. Ini bermakna
pertumbuhan penduduk pada purata tiga peratus setahun mesti diimbangi dengan
pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus. Sekiranya keseimbangan ini tidak dapat
dicapai maka pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan terencat dan negara tersebut akan
mengambil masa yang lebih lama untuk berada di tahap take – off. Dalam hal ini negara yang
mempunyai penduduk yang ramai dan pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan seperti
Indonesia menghadapi masalah pertumbuhan ekonomi yang agak berpanjangan. Dalam
negara seperti Indonesia, sekiranya berlaku pertumbuhan ekonomi yang seimbang, maka
ianya biasanya dibayar dengan kos sosio – politik yang agak tinggi melalui fenomina yang
dikenali sebagai autoritarianisme teknokratik.  Autoritarianisme teknokratik mudah tumbuh
dalam sistem politik yang dicirikan oleh pemerintahan ketenteraan atau dikenali juga sebagai
praetorianism. Indonesia di bawah pemerintahan Suharto yang bermula pada 1965 yang
dikenali juga sebagai pemerintahan Orde Baru (dibandingkan dengan pemerintahan
sebelumnya semasa Sukarno yang dikenali sebagai Orde Lama) amat menepati ciri – ciri di
atas. Kuasa ketenteraan yang keras yang digembelingkan dengan keterbukaan pemerintah
kepada pelabur asing nampaknya telah agak berjaya meningkatkan prestasi ekonomi
Indonesia. Selepas berlakunya keruntuhan ekonomi pada 1997 dan diikuti dengan kejatuhan
Suharto dan disusuli dengan keterbukaan politik yang dikenali sebagai gerakan reformasi
Indonesia kembali bergolak ke arah ketidakseimbangan.
Bagi negara seperti Malaysia keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan
penduduk lebih senang untuk dicapai hasil pertumbuhan ekonomi yang agak pesat
yang pada puratanya melebihi lima peratus setahun. Sungguhpun Malaysia juga
dikritik sebagai turut menggunakan pendekatan autoritarianisme teknokratik,
terutamanya dalam tahun – tahun 1990 – an, ia semacam disederhanakan atas
pertimbangan politik etnik yang begitu menonjol dalam kes Malaysia. Walau apa
pun, autoritarianisme yang wujud dalam kerangka politik pemuafakatan yang
diamalkan di Malaysia tidaklah seburuk autoritarianisme di bawah sistem politik di
bawah kontrol ketenteraan.

Dalam konteks perbincangan di atas Singapura mempamerkan sesuatu yang agak unik dan
istimewa. Dengan mengamalkan dasar kependudukan yang ketat, atas pertimbangan sumber
dan kawasan yang terhad, sistem politik Singapura turut dicirikan autoritarianisme, malah
tahapnya lebih tinggi dari yang diamalkan di Malaysia. Persoalan politik etnik tidak begitu
menonjol dalam kes Singapura berbanding Malaysia.
Di bawah tekanan sumber yang terhad dan keterbatasan ruang mendorong Singapura
bergerak ke arah pengkhususan buruh dan ilmu yang tinggi. Faktor alam semula jadi dalam
mana Singapura turut berperanan sebagai pelabuhan yang strategik turut membantu
memacukan ekonominya terutama pada peringkat awal. Negara lain seperti Myanmar, Laos,
Vietnam, Cambodia disamping turut berdepan dengan kadar pertumbuhan penduduk yang
relatif pesat masih berdepan dengan persoalan penyediaan infrastruktur yang baik.

Dari sudut politik, perkembangan terkini yang berlaku di Cambodia amat menarik. Cambodia
bergerak ke arah satu sistem politik hasil campuran antara tradisi Inggeris dan Amerika.
Selepas memperkenalkan sistem pilihanraya tiga penggal yang lepas, Cambodia bukan sahaja
telah mengembalikan demokrasi tetapi juga sistem monarkinya. Perubahan ke arah sistem
demokrasi yang relatif pantas selepas Cambodia di bawah cengkaman regim komunis Pol Pot
adalah sesuatu yang memberangsangkan. Mengikut sistem yang diamalkan di Amerika
Syarikat, Cambodia memilih ahli – ahli senat dan parlimen mereka. Ini sesuatu yang menarik
dan agak menyimpang dari sistem Inggeris seperti yang diramalkan di Malaysia di mana ahli
– ahli senat adalah di lantik.

Pembangunan ekonomi turut dikaitkan dengan tahap pendemokrasian dalam ertikata


ekonomi yang lebih maju turut menyumbang kepada peningkatan tahap demokrasi yang
diamalkan oleh sesebuah negara. Tesis yang popular ini dikemukakan oleh Lipset (1973).
Lipset, ahli sosiologi politik yang tersohor, walau bagaimanapun melihat hubungan
pembangunan ekonomi dan demokrasi berpandukan pengalaman masyarakat maju Barat
yang homogen yang latarbelakang sejarah masyarakatnya jauh berbeza dari masyarakat
membangun seperti Asia Tenggara.

Singapura mempunyai tahap ekonomi yang lebih maju berbanding Malaysia atau negara –
negara lain di Asia Tenggara, tetapi ini tidak bermakna tahap pendemokrasiannya lebih
tinggi dari Malaysia. Sungguh pun demokrasi Malaysia disifatkan sebagai ‘terhad’ atau
‘separuh matang’ (quasi) oleh sebahagian penganalisis politik, sifat masyarakatnya yang
majmuk memungkinkan wujudnya politik pembangkang dan bangkangan yang agak kuat
berbanding dengan apa yang berlaku di Singapura. Mungkin dari sudut tahap
pendemokrasian, Myanmar berada di tangga yang tercorot atas hakikat negara ini masih
mengamalkan pemerintahan ketenteraan. Thailand dan Indonesia yang pernah
bereksperimentasi dengan pemerintahan ketenteraan nampaknya tidak menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi yang pesat. Vietnam, Laos dan Cambodia yang pernah dicengkam
oleh pemerintahan komunis juga tidak mempamerkan pertumbuhan ekonomi yang
memberangsangkan. Nampaknya negara seperti Malaysia dan seterusnya Singapura yang
mewarisi sistem pemerintahan Inggeris yang membekalkan sistem birokrasi yang agak utuh
dan sistem ekonomi yang ‘terbuka’ telah membekalkan prasarana yang baik bagi
pertumbuhan ekonomi seterusnya. Sistem demokrasi yang lebih dicirikan oleh elemen
autoritarianisme nampaknya telah mendorong wujudnya sistem politik yang relatif stabil dan
sekaligus membekalkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi. Suasana ini
berlaku di Malaysia dan Singapura. Dari sudut pemikiran kepimpinan negara yang berkaitan,
mungkin ini adalah pilihan terbaik bagi negara – negara Asia Tenggara iaitu pilihan yang
menggabungkan amalan demokrasi dan autoritarianisme yang lahir dari acuan dan nilai
tempatan dalam usaha mereka melangkah ke arah mencapai status negara maju.

Kesimpulan: Masa Depan Patriotisme Asia Tenggara

Masa depan patriotisme Asia Tenggara amat bergantung kepada keupayaan dan keazaman
politik kepimpinannya menggabung dan menggembeling nilai dan sumber tempatan dengan
tuntutan luaran dalam usaha mencapai keseimbangan. Satu bentuk pendekatan yang boleh
memanfaatkan negara – negara Asia Tenggara ialah pendekatan pragmatisme politik disertai
dengan dasar ekonomi yang bersifat ‘terbuka’ atau ‘campuran’.

Cabaran politik yang bersifat ideologikal yang boleh membantut pertumbuhan ekonomi yang
stabil, nampaknya sudah berkurangan kerana secara umunya negara – negara sedang
membangun seperti Asia Tenggara sudah pun bergerak dan lebih selesa dengan nilai politik
yang dikenali sebagai ‘pendemokrasian’ yang dianggap oleh Huntington sebagai ‘gelombang
ketiga’ (Hungtington, 1991). Penyatuan Vietnam Utara dan Selatan dan gerakan
pendemokrasian di Myanmar nampaknya semacam membenarkan tesis Hungtington.

Walau apa pun, harus difahami bahawa dua ideologi politik penting yang mencorak sistem
politik Asia Tenggara iaitu demokrasi dan marxisme, dari segi epistemologinya, adalah
bermula dan bersumberkan di Barat. Ini bermakna kedua – dua ideologi politik ini bukanlah
tumbuh dari budaya tempatan dan ianya mungkin sesuai atau bercanggah dengan budaya
tempatan itu sendiri. Kapitalisme tumbuh dibawah gagasan tradisi liberal Barat yang
bertunjangkan nilai individualisme. Marxisme wujud hasil kritikan kerasnya terhadap sistem
kapitalisme yang dilihatnya sebagai eksploitatif dan yang lebih penting kapitalisme tumbuh
bersama proses perindustrian. Walhal, secara ironisnya negara di Asia Tenggara yang
mencuba ideologi politik Marxisme seperti di Vietnam masih jauh langkahnya ke arah
perindustrian.
Nilai budaya tempatan seperti gotong – royong yang tumbuh di peringkat akar umbi di
kampung – kampung tradisional di Malaysia dan Indonesia sudah semestinya
memperkukuhkan idea demokrasi berpartisipasi (participatory democracy). Atas dasar inilah
maka kepimpinan Asia Tenggara telah mengubahsuai konsep demokrasi Barat berdasarkan
realiti dan nilai tempatan. Akibatnya, Lee Kuan Yew menggelar demokrasi ciptaannya
sebagai demokrasi ala – Singapura; Dr. Mahathir di Malaysia melabelnya demokrasi acuan –
Malaysia; dan Presiden Sukarno pernah merujuknya sebagai demokrasi terpimpin (guided
democracy).

Faktor kestabilan politik bukanlah satu – satunya faktor yang boleh menjamin
pembangunan mampan negara di Asia Tenggara. Dasar kewangan dan fiskal yang
realistik perlu digubal. Perlu ada keseimbangan antara harga dan gaji dan gaji
dibayar kepada pekerja berdasarkan produktiviti sebenar bagi mengelak inflasi yang
keterlaluan. Perlu ada keazaman politik yang utuh dalam menggubal dasar ekonomi
bagi mempastikan wujudnya kesamaan relatif dalam memiliki kekayaan dikalangan
etnik yang pelbagai di mana ketaksamaan kekayaan lahir akibat dasar kolonial.
Dasar Ekonomi Baru yang digubal dan dilaksanakan di Malaysia adalah contoh
yang terbaik dalam hal ini.

Keperluan kepada modal asing mesti diseimbangkan dengan dasar perbelanjaan


yang berhemat, dasar pelaburan yang mencetus produktiviti tempatan bukan
membina projek – projek gajah putih yang membazir. Secara jangka panjang, mesti
ada perancangan rapi bagi membina sumber manusia tempatan; perlu wujud sistem
insentif bagi mendorong simpanan tempatan. Semua usaha – usaha yang
disenaraikan di atas adalah bertujuan mengurangkan beban pergantungan kepada
negara maju. Mungkin inilah jalan terbaik yang perlu dilalui oleh negara di Asia
Tenggara bagi menjamin masa depan mereka yang lebih gemilang sekali gus
memperkukuh patriotisme serantau

.
Rujukan

Allen, R. 1973. A Short Introduction to the History and Politics of Southeast Asia

                        New York: Oxford University Press

Brown, D. 1994. The State and Ethnic Politics in South – East Asia. London:

                        Routledge

Hungting, S. 1991. The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth


                        Century. Norman: University of Okhlahoma Press

Lipset, S. M. 1973. Political Man. London: Heinemann

Mayer, L.C, Burnett, J.H & Ogden, S. 1996. Comparative Politics: Nations and
                        Theories in a Changing World. New Jersey: Prentice – Hall

1 Pandangan ini dikemukakan oleh Tan Sri Razali Ismail, tokoh diplomatik Malaysia,
dalam public lecture beliau di UKM pada 19hb September 2002 berjudul
‘Significance of ASEAN to Malaysia in Engaging Globalisation’.

2 Nilai yang dimaksudkan ialah apa yang dikenali sebagai ‘nilai Asia’.

This article comes from Patriot Malaysia


http://www.patriotisme.net.my

The URL for this story is:


http://www.patriotisme.net.my/modules.php?name=News&file=article&sid=17

You might also like