You are on page 1of 24

KEADAAN ALAM ISLAMI SEBELUM PERANG SALIB.

Alam Islami sebelum perang salib berada dalam keadaan huru-hara dan perpecahan. Keadaan ini memberi peluang
kepada musuh bertindak dengan mudah. Mesir umpamanya, berlaku kebuluran dan eberapa percubaan mengguling
kerajaan. Suasana ini telah menggugatkan keamanan di negara ini. Di Iraq, berlaku perselisihan dikalangan
pemerintah sementara Syam pula menjadi medan pertempuran diantara Fatimiah dan Bani Saljuk.

Keadaan umat Islam di sebelah barat pula sama seperti di timur. Tunis misalnya, berlaku huru-hara, perpecahan dan
hilang kesatuan dalam politik. Andalus pula telah mengalami zaman kemunduran dan tentera salib pula telah
mengambil kesempatan ini untuk menawan bandar-bandar yang berada dibawah pemerintahannya.

PEPERANGAN SALIB.

Perang salib merupakan serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh orang-orang kristian barat sepanjang dua kurun
bertujuan merampas tanah suci Baitul Maqdis dari orang Islam. Ia juga bertujuan menyekat kemaraan pengaruh
Agama Allah, Islam yang telah tersebar luas di bumi Eropah di samping percubaan mereka untuk menjajah bumi
Islam.

MENGAPA DINAMAKAN PERANG SALIB

Ia disebabkan peperangan ini diasaskan atas nama agama Kristian. Gereja-gereja di Eropah menyeru kepada
peperangan ini dan memberi sokongan dan bantuan kepada tentera salib sama ada dalam bentuk material mahupun
moral. Perang Salib tercetus pada akhir kurun ke sebelas masehi (1096/490H) berikutan ucapan yang disampaikan
oleh Pope Urbain II di perhimpunan Clermont, selatan Perancis yang dihadiri oleh orang-orang Kristian Eropah.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PERANG SALIB.

Ahli sejarah berselisih pendapat dalam menentukan faktor-faktor yang mencetuskan peperangan ini. Mengikut ahli
sejarah barat ekonomi, sosial dan politik adalah faktor utama sementara faktor agama adalah faktor sampingan. Ahli
sejarah Islam dan umat Islam
yang hidup di zaman tersebut pula menganggap bahawa faktor agama adalah faktor utama manakala faktor lain
hanyalah sampingan. Ini berdasarkan kepada peristiwa pertama yang menyebabkan tercetusnya perang salib ini iaitu
apabila Pope Rome Urbain II mengistiharkan perang salib untuk menentang umat Islam. Mereka yang mendengar
khutbah ketika itu mengangkat suara sambil berkata "Ini adalah kehendak Allah", lantas dengan segera mereka
mengambil salib dan dengan semangat membabi-buta menuju timur Islam untuk merampas Baitul Maqdis dan
bahagian timur dari tangan umat Islam.

Pada masa itu gereja-gereja di Eropah mendapat tempat di hati masyarakat Eropah. Agama dijadikan penggerak
utama kepada pemikiran dan sentimen orang-orang kristian ketika itu. Maka lahirlah di sana syiar yang menyatakan
tidak sepatutnya orang-orang masihi bermusuh sesama sendiri. Mereka menyeru supaya tenaga disatu dan
ditumpukan sepenuhnya untuk menentang kemaraan Islam yang kian mendapat tempat di seluruh alam. Hasilnya,
kesedaran betapa pentingnya merampas Baitul Maqdis dari tangan umat Islam lahir dikalangan orang-orang kristian
Eropah pada kurun ke 11.

Rombongan haji orang-orang Kristian ke Baitul Maqdis semakin bertambah. Mereka dibenarkan membawa senjata
untuk mempertahankan diri daripada bahaya di sepanjang perjalanan ke Palestin. Apabila kembali ke Eropah, mereka
mereka-reka berita bahawa orang Islam telah menzalimi dan membunuh mereka. Padri Perancis Pierre I'ermit
merupakan orang yang kuat menabur fitnah dan berusaha menyatukan orang-orang kristian untuk menentang orang
Islam. Orang-orang Kristian merasakan tidak sepatutnya Baitul Maqdis yang menjadi tempat lahir nabi Isa a.s. berada
di bawah jagaan orang lain. Semangat ini semakin berkobar-kobar dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh
paderi-paderi bahawa mereka yang menyertai perang salib ataupun memberi saham sama ada berbentuk harta benda
dan sebagainya dihapuskan dosa-dosa dan kesilapannya. Mereka juga akan berada di bawah jagaan gereja. Paderi-
paderi telah memainkan peranan yang penting dalam meniup semangat ini melalui khutbah-khutbah. Mereka juga
menjelajah ke seluruh pelusuk Eropah untuk membakar semangat ini. Beberapa pertubuhan agama Kristian di Eropah
pada masa tersebut juga telah memainkan peranan yang sama.

1
PERANAN POPE.

Penguasaan paderi dalam semua bidang semakin ketara kesan daripada kesedaran agama. Ini membuka jalan
kepada gereja-gereja untuk membentuk satu kekuatan yang mampu menjaga orang-orang Kristian dan menyebar
agama tersebut ke segenap pelusuk alam. Paderi adalah pemimpin ruhi yang utama dalam masyarakat barat. Mereka
mula menghadapi kelemahan dan perpecahan dengan lahirnya mazhab Orthodok yang menentang mazhab Khatolik.
Mazhab Orotodok dianuti oleh pemimpin Constantinaple manakala Khatolik pula dianuti oleh gereja Rome.
Permusuhan wujud di antara kedua-dua mazhab ini. Pada tahun 1071M, Baizantine dikalahkan oleh tentera Islam
Bani Saljuk dalam peperangan Mantzikert. Rasa takut timbul dikalangan masyarakat barat terhadap kemaraan Islam
ke bumi Eropah melalui Constantinaple. Lantaran itu orang-orang Kristian Constantinaple meminta bantuan daripada
Pope Rome untuk menentang orang Islam. Permintaan ini disambut baik oleh Pope Rome demi menjayakan beberapa
matlamat antaranya menyatukan dua gereja yang berbeza aliran dan menambahkan kekuatan di pihak Kristian untuk
menghadapi orang-orang Islam.

FAKTOR EKONOMI.

Sistem Feudal yang menguasai barat telah mewujudkan hubungan buruk di kalangan pemimpin sesama mereka.
Layanan buruk kepada para hamba dan petani, peperangan, huru-hara dan bencana alam berlaku secara meluas di
Eropah. Faktor-faktor tersebut telah mendorong sebahagian besar pemimpin Eropah mencari penempatan baru yang
subur dan aman.

Mengenai pembahagian pusaka pula, harta hanya diberikan kepada saudara yang tua. Ini mendorong kepada pemuda
yang tidak mendapat sebarang habuan mencari jalan keluar untuk menghasilkan harta, khususnya tanah. Bagi
golongan hamba pula, perang salib memberi peluang kepada mereka membebaskan diri dari kezaliman tuannya. Di
samping itu terdapat golongan yang suka kepada kemegahan dan nama. Penyertaan mereka dalam peperangan ini
akan menampakkan kehebatan dan keberanian mereka. Mereka akan digelar "Battle".

Hasil pengeluaran tanaman di Eropah pula sebelum berlakunya perang salib pertama mengalami kemerosotan secara
menyeluruh. Kebanyakan penduduk Eropah mengalami kebuluran. Di setengah kawasan pula, mereka terpaksa
memakan daun kayu. Suasana bertambah buruk apabila tersebarnya wabak penyakit. Seruan menyertai perang salib
memberi peluang kepada mereka keluar dari negara tersebut ke alam baru di Timur untuk menikmati keamanan dan
ketenteraman.

FAKTOR POLITIK.

Ahli sejarah menyatakan bahawa kerajaan dan pemerintah barat menyertai perang salib berdasarkan kepada
kepentingan politik mereka. Kebanyakan pemimpin terpengaruh dengan kata-kata paderi dan sebahagian yang lain
pula menerima ugutan dari gereja bahawa mereka tidak akan merasai kebahagiaan di akhirat dan tidak akan ditaati
oleh rakyat. Di antara pemimpin yang menyertai peperangan ini kerana inginkan nama dan kepentingan politik serta
mengharapkan sokongan pihak gereja ialah Frederic Barbe-rossa, Richard Philipe Augustus dan Frederic II.

FAKTOR PERNIAGAAN.

Negeri di bawah pemerintahan Itali yang terletak di utara laut Mediterneam seperti al-Bondoqiah, Janwa dan Beza
berusaha dengan membelanjakan harta dan senjata untuk menggalakkan berlakunya perang salib. Mereka bertujuan
menyempitkan keadaan umat Islam dan memiliki sebahagian daripada pelabuhan yang terletak di timur dan selatan
laut Mediterneam. Mereka ingin menjadikan pelabuhan tersebut sebagai pusat perdagangan yang penting. Dengan ini
mereka bersedia membantu tentera salib dengan memindahkan mereka melalui laut ke timur. Di sebalik itu, mereka
mengenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan ke atas Syam dan Mesir. Jelas di sini bahawa matlamat orang Itali
hanyalah untuk kepentingan peribadi dan perniagaan mereka. Matlamat ini tidak akan tercapai kecuali dengan
menghancurkan kekuatan Islam dan memberi bantuan kepada tentera salib.

2
PERANG SALIB I

DETIK-DETIK PEPERANGAN

Pierre I'Ermite seorang paderi yang berasal dari Amiaen, Perancis mengasingkan diri dan hidup secara rahib. Pada
tahun 1093M/486H beliau keluar bersama pengikutnya untuk menziarahi dan menunaikan haji di Baitul Maqdis.
Walaubagaimanapun beliau terkejut apabila mendapati Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Islam
menyebabkan beliau bersedih dan mendorong beliau untuk menemui ketua paderi Baitul Maqdis. Dipertemuan
tersebut, beliau diberitahu bagaimana muslimin berjaya mengambil alih Baitul Maqdis dan bagaimana kristian ditindas
di Baitul Maqdis sehingga kedua-duanya menangis dan berpelukan. Ini menguatkan keazaman Pierre untuk
membebaskan Baitul Maqdis dari penguasaan Muslimin.

Beliau berangkat menuju ke Rom untuk berjumpa dengan Pope Urbain II dan mengadu kepadanya apa yang berlaku
di Baitul Maqdis sebagaimana yang diceritakan oleh ketua paderi Baitul Maqdis dan keazamannya untuk merampas
Baitul Maqdis. Pope berjanji akan memberikan sepenuh bantuan untuk tujuan itu. Atas arahan Pope, Pierre
mengelilingi Eropah (Itali dan Perancis) dengan hanya menaiki kaldai dan membawa salib di tangannya sambil
menyeru di jalan-jalan dan gereja menceritakan tentang kedudukan Kristian di timur yang tertindas serta melaungkan
supaya diadakan peperangan. Semasa menjelajah, beliau ditemani oleh orang kristian timur yang berada di Eropah.
Beliau mendapat sambutan yang hangat di sepanjang perjalanannya. Mereka menangis bersamanya dan berjanji
untuk sedia berkorban demi menawan Baitul Maqdis.

PERHIMPUNAN DI PLAISANCE

Setelah melihat kejayaan usaha yang dijalankan oleh Pierre I'Ermite, Pope berusaha untuk mengadakan perhimpunan
di bandar Plaisance, Utara Itali. Perhimpunan ini mengumpulkan paderi-paderi dan cendikiawan-cendikiawan.
Implikasinya, kesemua yang hadir bersepakat untuk bersama-sama pergi ke Baitul Maqdis bagi melancarkan perang.
Walaubagaimana pun oleh kerana suasana yang tidak stabil di Eropah dan tiada persediaan, keputusan perhimpunan
ini tidak dapat dilaksanakan.

PERHIMPUNAN DI CLERMONT

Rentetan dari kegagalan perhimpunan di Plaisance, pada 26 Nov. 1095/488H diadakan pula perhimpunan kedua di
bandar Clermont,Perancis. Perhimpunan ini dihadiri oleh gabenor-gabenor, ketua-ketua paderi dan wakil-wakil raja.
Berbekalkan semangat yang tinggi, mereka bersepakat mengisytiharkan perang ke atas Baitul Maqdis. Kemudian
perisytiharan perang ini disebar ke seluruh Eropah sehingga mendapat sambutan dari penduduk-penduduk England,
Austria, Itali dan Sepanyol. Suasana di Eropah yang sedang mengalami kebuluran dan bencana alam ketika itu
menjadi faktor pendorong utama pengistiharan ini mendapat sokongan. Fenomena ini dieksploitasikan oleh Pope
dengan membangkit-bangkitkan kekayaan yang dimiliki oleh timur kepada penduduk Eropah yang miskin dan melarat.

PERJALANAN PEPERANGAN

Angkatan pertama yang dipimpin oleh Pierre I'Ermite berada dalam keadaan yang tidak teratur dan tidak lengkap,
bahkan tidak mempunyai ketua tentera. Kebanyakannya tanpa senjata dan disertai sama oleh ahli keluarga mereka.
Mereka berjalan dalam keadaan tidak terkawal, merosak dan merampas harta benda sehingga berlaku pertempuran
dengan penduduk-penduduk negeri yang dilalui terutama di Hungary menyebabkan kematian yang ramai di pihak
mereka.

Akhirnya pada julai 1096/489H, baki angkatan pertama ini sampai di Constantinopal. Mereka terus dibawa ke Bosfour
oleh Maharaja Constantinopal. Berita pendaratan mereka di Asia Kecil sampai di pengetahuan Sultan Qalij Arsalan as-
Saljuki. Sultan Qalij mengambil keputusan untuk menyerang mereka dan berjaya menghapuskan angkatan ini
berhampiran dengan bandar Naqih. Baki angkatan pertama ini melarikan diri ke Constantinopal.

Dalam masa yang sama di Eropah, golongan Feudel iaitu dari golongan pemerintah dan bangsawan bersiap-sedia
memperlengkapkan angkatan kedua, juga di bawah peyelenggaraan Pope. Angkatan ini bergerak secara tersusun di
bawah empat kumpulan:
1) Angkatan dari selatan Perancis di bawah pimpinan Raymond de Saint-Gilles.
2) Angkatan dari utara Perancis di bawah pimpinan Robert courte-House dan Robert II Comte de Flandre.
3) Angkatan dari pendalaman Perancis dibawah pimpinan Godefroi de Bouillin dan Baudouin de Boulogne.
4) Angkatan dari selatan Itali di bawah pimpinan Tancrete dan Bohemond.

3
Angkatan kedua ini berjaya menarik ramai sukarelawan di sepanjang perjalanan mereka terutama dari Jerman, Austria
dan Hungary sehingga bilangan mereka meningkat membentuk satu angkatan tentera yang amat besar disertai oleh
beratus-ratus ribu orang. Mereka sampai di Constantinapol dalam jangka waktu yang berbeza kerana perbezaan jarak
jalan yang dilalui.

BERMULA DARI CONSTANTINAPOL.

Maharaja Constantinopal, Alexis Comnene merasa takut dan curiga apabila melihat bilangan tantera salib yang terlalu
ramai menyebabkan berlaku perselisihan antara mereka sehingga hampir berlaku perang sesama sendiri.
Walaubagaimana pun kedua-kedua pihak bersetuju untuk berdamai. Tentera salib bersetuju mengembalikan semula
semua tanah yang berjaya dirampas dari kerajaan Saljuk untuk diserahkan kepada raja Constantinopal. Sebagai
balasannya Alexis berjanji untuk memberikan segala bantuan kepada tentera salib.

PERJALANAN TENTERA SALIB DI ASIA KECIL.

Selepas perjanjian dimeterikan, tentera salib menuju ke Bosfour kemudian ke Naqih dan sampai di sana pada Mei
1097. Mereka mengepung Naqih dan di sana berlaku beberapa siri pertempuran dengan tentera Qalij Arsalan.
Akhirnya selepas 50 hari Naqih berjaya ditakluk. Walaubagaimana pun menurut perjanjian, Naqih terpaksa diserahkan
kepada raja Constantinopal yang dilakukan pada Jul, 1097.

Mereka meneruskan perjalanan dan berlaku pertempuran sengit dengan tentera Qalij Arsalan berdekatan dengan
Dourili. Oleh kerana bilangan tentera salib yang ramai, tentera Qalij Arsalan terpaksa menerima kekalahan. Selepas
itu, Qalij Arsalan berundur dan melakukan tektik perang bumi hangus, membakar semua tanaman di sepanjang jalan
untuk melemahkan tentera salib. Ini menyebabkan tentera salib menghadapi kehausan dan kebuluran sehingga ramai
yang mati tetapi akhirnya mereka sampai di kawasan lembah di Pisidie yang mengandungi air.

Mereka seterusnya menuju ke Qounia dan melalui jalan pergunungan Tourous sehingga sampai ke Armenia Kecil. Di
sana, mereka disambut dengan baik dan diraikan oleh penduduk setempat yang majoritinya kristian. Mereka juga
menerima bantuan tentera sukarelawan. Dari Armenia Kecil mereka berangkat menuju ke Antokiah.

PENGEPUNGAN ANTOKIAH DAN PENAKLUKANNYA.

Antokiah memiliki banyak kubu yang kuat dan berada di bawah pemerintahan Yaghisan as-Saljuki. Apabila
mendengar berita kemaraan tentera salib, Yaghisan membuat persediaan untuk berkubu. Tentera salib sampai di
Antokiah pada 20 Okt. 1097/491H. Disebabkan kekuatan kubu Antokiah mereka memgambil keputusan untuk
membuat kepungan. Mereka terpaksa mengalami susah-payah kelaparan dan keletihan apabila kepungan berjalan
selama lapan bulan menyebabkan ramai yang berputus-asa dan lari pulang. Yang peliknya, orang yang pertama lari
ialah Pierre I'Ermite, orang yang bertanggungjawab terhadap peperangan ini. Walaubagaimana pun ia dikejar dan
dibawa semula oleh Tancrete.

Dalam masa yang sama Kerajaan Fatimiah di Mesir mengambil peluang dari kegamatan dan kesibukan raja-raja
Saljuk mempertahankan Antokiah dengan menawan Baitul Maqdis. Selepas itu Khalifah Fatimiah, Musta'li Billah
menghantar wakilnya berjumpa tentera salib untuk membuat perdamaian dan berjanji menyerahkan gereja di Baitul
Maqdis kepada mereka serta membuka pintu untuk pelawat-pelawat Kristian. Walaubagaimana pun permintaan ini
ditolak.

Antokiah menerima bantuan dari Muslimin sekitarnya untuk membebaskannya dari kepungan terutama dari Halab dan
Damsyik tetapi tidak berjaya. Akhirnya, pada Jun, 1098 tentera salib dapat menawan Antokiah selepas hampir
setahun membuat kepungan hasil pengkhianatan yang dilakukan oleh ketua tentera Islam penjaga salah satu menara
kubu Antokiah, Fairuz Armani. Beliau berasal dari Armenia dan memeluk Islam. Seorang yang sukakan harta dan
gilakan kedudukan. Sultan Yaghisan cuba melarikan diri tetapi dapat ditawan dan dibunuh oleh tentera salib.

Dalam masa yang sama, bantuan dari Imaduddin Karbughar dan pemerintah Saljuk yang lain datang untuk
membebaskan semula Antokiah. Mereka mengepung Antokiah dan hampir berjaya menawan kembali tetapi berlaku
perselisihan antara pemimpin-pemimpin tentera Islam menyebabkan kepungan mereka gagal. Dengan ini Antokiah
kekal di bawah pemerintahan kristian dan Bohemond dilantik menjadi pemerintah.

4
PENAKLUKAN BAITUL MAQDIS

Selepas enam bulan berehat, pada Jan. 1099 tentera salib berangkat menuju ke Baitul Maqdis dan sampai di sana
pada Jun, 1099. Pada masa ini Baitul Maqdis di bawah amir Fatimiah, Iftikhar Daulah. Kelemahan khalifah dan
semangat ada pada tenteranya menjadikan kejatuhan Baitul Maqdis lebih cepat, hanya empat puluh hari sahaja dari
tarikh pengepungan tentera salib.

Pada khamis 14 Jul. 1099 tentera salib mengadakan serangan besar-besaran ke atas Baitul Maqdis. Akhirnya pada
15 Jul. 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera salib. Kejayaan ini mengembirakan mereka kerana ia berlaku pada
hari Jumaat bertepatan dengan masa dan hari kematian Isa mengikut anggapan mereka.

Mereka memasuki Baitul Maqdis dengan penuh keganasan, membunuh semua Muslimin tanpa mengira sama ada
lelaki atau wanita, orang tua atau kanak-kanak. Seramai 70,000 orang dibunuh di dalam masjid dan tentera salib
mengambil keputusan untuk membunuh semua muslimin dan yahudi. Mereka melakukan pembunuhan sewenang-
wenangnya selama beberapa hari dan membiarkan mayat-mayat bergelimpangan di jalan-jalan. Ada diantara mereka
yang melarikan diri ke Asqalan. Sementara Yahudi yang bersembunyi di tempat ibadat mereka dibakar hidup-hidup.
Berita kekejaman tentera salib dan pembunuhan beramai-ramai muslimin sampai ke pengetahuan Khalifah Abbasiah
melalui mereka yang berjaya melarikan diri dan pergi ke Baghdad mengadu kepada Khalifah. Mereka membaca syair
yang menggambarkan kekejaman tentera salib dan tragedi yang menimpa muslimin Baitul Maqdis menyebabkan
muslimin menangis beramai-ramai. Khalifah meminta raja-raja Saljuk menawan semula Baitul Maqdis tetapi mereka
tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka masih bertelagah sesama sendiri.

Kerajaan Fatimiah di Mesir merasakan kedudukan mereka dalam bahaya. Mereka membuat percubaan untuk
menawan semula Baitul Maqdis di bawah pimpinan ketua tenteranya al-Afdal Syahan Syah pada 14 Ramadan
492H/12 Ogos 1099. Walaubagaimana pun percubaan ini dapat dipatahkan oleh tentera salib berdekatan dengan
Asqalan dan malangnya Asqalan pula jatuh ke tangan tentera salib.

BERAKHIRNYA PERANG SALIB I

Setelah kekalahan tentera Fatimiah di Asqalan, tentera salib dapat merasakan kelemahan tentera Islam dan
berkurangnya ancaman kepada kerajaan Baitul Maqdis yang baru. Mereka mengambil keputusan untuk balik ke
Eropah dan bersetuju melantik Godefroi sebagai pemerintah Baitul Maqdis. Godefroi menolak untuk memakai
mahkota dan gelaran raja tetapi ingin digelar sebagai `Penjaga Kubur al-Masih'. Baki tentera salib neneruskan
penaklukan ke kawasan persisiran pantai dan berjaya membina kerajaan-kerajaan salib di kawasan-kawasan tersebut.

PEMBENTUKAN KERAJAAN-KERAJAAN SALIB

1) Kerajaan Raha. Dibina oleh Baudouin de Boulogne pada 18 Jul. 1098/489H selepas pemerintah Raha,
Armani meminta pertolongan tentera salib. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1144/539H apabila berjaya dibebaskan
semula oleh az-Zinki.
2) Kerajaan Antokiah. Dibina oleh Bohemond disebabkan pembelotan Fairuz al-Armani. Kerajaan ini kekal
sehingga tahun 1267/667.
3) Kerajaan Baitul Maqdis. Merupakan kerajaan salib yang paling besar dimana kerajaan-kerajaan lain tunduk
kepadanya. Pemerintahnya digelar raja. Kerajaan ini kekal sehinggalah datang Salahuddin al-Ayubi membebaskan
Baitul Maqdis dan menjadikan kerajaan ini hanya kekal di persisiran pantai dan A'ka dijadikan ibu negeri.
4) Kerajaan Tarablus. Dibina pada tahun 1102/496H dan kekal sehingga tahun 1289/688H.

KEBANGKITAN KELUARGA ZINKI

Keadaan sosial dan politik masyarakat Islam ketika itu merupakan faktor utama yang membantu kejayaan angkatan
tentera salib I. Pertembungan dalaman dan peperangan sesama sendiri antara pewaris-pewaris kerajaan Saljuk
adalah faktor pembantu kepada kejayaan Salibiah di negeri Syam. Suasana yang buruk ini berpunca dari hilangnya
asas agama, keruntuhan akhlak dan nilai kemasyarakatan. Dunia Islam memerlukan kepada kebangkitan baru dan
seorang pemimpin yang mampu menyelamat dan mengembalikan keamanan, menghapuskan kezaliman dan
kerosakan kepada muslimin khususnya dan dunia seluruhnya.

Suasana buruk ini terus kekal walaupun selepas penjajahan salibiah sehinggalah Allah mendatangkan beberapa
orang pemimpin yang soleh yang berusaha menghapuskan suasana tersebut. Gerakan ini bermula dengan
kebangkitan keluarga Zinki yang kemudiannya diikuti dengan kebangkitan keluarga al-Ayubi.

5
KELUARGA ZINKI

Keluarga Zinki (Qasimuddaulah Aqsanqar) mula dikenali di zaman Sultan Malikshah as-Saljuki. Beliau adalah hamba
dan sahabat kepada Malikshah. Apabila Malikshah ditabalkan sebagai sultan, Aqsanqar dilantik menjadi menteri dan
ketua tenteranya. Kemudian Aqsanqar dilantik menjadi gabenor di Halab dengan arahan dari Malikshah.

Pentadbiran Aqsanqar di Halab berterusan sehinggalah berlaku peperangan antara beliau dengan Tajuddaulah yang
berakhir dengan kematiannya pada tahun 487H. Beliau hanya meninggalkan seorang anak kecil bernama Imaduddin
berusia 10 tahun.

IMADUDDIN ZINKI AL-ATABIK

Imaduddin di zaman kecilnya berada dibawah jagaan pewaris dan sahabat-sahabat ayahnya. Diantara yang terkenal
ialah Imaduddin Karbughar, raja Mausil. Beliau terlibat dalam serangan ke atas kerajaan salibiah pada zaman
mudanya yang menampakkan ketokohan dan keberaniannya sehingga mendapat perhatian sultan Saljuk dan Khalifah
Abbasiah. Pada tahun 516H, beliau dilantik menjadi ketua polis Basrah dan pada tahun 519H dilantik menjadi ketua
polis di Baghdad dan Iraq. Akhirnya, pada tahun 521H beliau dilantik sebagai gabenor di Mausil. Dari sinilah
terbukanya ruang untuk beliau memulakan kebangkitan.

Imaduddin Zinki adalah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi. Beliau tidak mempunyai kepentingan atau
tujuan lain selain dari membentuk sebuah kerajaan Islam yang bersatu dan mampu menyekat kemaraan salibiah
sekaligus menghapuskan bahaya mereka. Sistem politiknya dibina di atas asas mewujudkan keamanan dan keadilan
di dalam negeri disamping berusaha meluaskan wilayah kerajaannya di luar. Dari sini kerajaannya mula meluas
sehingga meliputi Jazirah Furat, Utara Furat, Hamsa, Halab, Baklabak dan Mi'ratun-Nu'man. Semua wilayah dalam
negeri Syam berjaya ditakluk kecuali Damsyik dan Kerajaan-kerajaan salibiah. Perlu diingat bahawa kerajaan-
kerajaan salibiah dan kerajaan Damsyik merupakan musuh utama kepada kebangkitan yang di bawa oleh Imaduddin
Zinki.

PEMBUKAAN RAHA

Pembukaan terbesar yang pernah dilakukan oleh Imaduddin Zinki ialah pembukaan Raha pada tahun 1144/539H dari
rajanya Goslene II. Raha merupakan kerajaan salibiah yang pertama dibina oleh mereka semasa perang salib I dan
orang-orang kristian menganggapnya sebagai bandar yang mulia selepas Baitul Maqdis.

Imaduddin meneruskan jihadnya sehingga tahun 1146/541H apabila beliau mati dibunuh ketika tidur oleh hamba yang
dirancang oleh musuh-musuhnya. Peristiwa ini berlaku semasa kepungan ke atas kota Ja'bar dilakukan.

NURUDDIN MAHMUD ZINKI

Dengan kematian Imaduddin, kerajaannya telah dibahagikan kepada dua orang anaknya yang tertua. Sebelah timur
diserahkan kepada anaknya yang tertua, Saifuddin Al-Ghazi yang berpusat di Mausil sementara sebelah timur
diserahkan kepada Nuruddin Mahmud yang berpusat di Halab. Ini bermakna kerajaan yang dipegang oleh Nuruddin
terpaksa berhadapan dengan kerajaan salib. Perhubungan yang baik dan intim antara kedua-dua saudara ini
merupakan jaminan yang besar kepada kestabilan kerajaan mereka.

Selepas kematian Imaduddin Zinki, musuh-musuh beliau mengambil kesempatan dari kematiannya untuk merampas
kawasan-kawasan yang berada di bawah kekuasaannya. Goslene II merampas kembali Raha dan raja Damsyik
merampas Baklabak. Rampasan ini telah menggerakkan tentera Nuruddin seramai sepuluh ribu untuk mengambil
kembali Raha. Akhirnya pada Nov. 1146/Jamadil Akhir 541H Raha berjaya dikembalikan ke tangan muslimin iaitu
hanya selepas seminggu dirampas oleh Goslene II. Seterusnya Nuruddin bertindak meluaskan kerajaannya ke
kawasan jajahan salibiah.

Di tengah-tengah kesibukan usaha ini, Eropah menerima berita kejatuhan Raha dan kebangkitan keluarga Zinki dan
Nuruddin. Mereka mula merasa bahaya dari kebangkitan ini lalu membuat persediaan untuk melancarkan perang salib
II.

6
PERANG SALIB II

FAKTOR PENDORONG KEPADA PERANG

Pembukaan semula Raha yang dilakukan oleh Imaduddin Zinki pada tahun 1144M/539H dan Nuruddin Zinki pada
1146M/541H merupakan sebab utama yang mendorong berlakunya perang salib II. Raha dianggap sebagai bandar
yang mulia bagi orang-orang kristian. Di sinilah bermulanya pendudukan salibiah di timur. Sementara itu, kebangkitan
semula Islam yang dipelopori oleh Imaduddin Zinki dan Nuruddin Zinki adalah bahaya baru kepada pendudukan
kristian.

MUKTAMAR QUDS DAN BANTUAN POPE.

Melihat kepada bahaya kebangkitan yang dibawa oleh Nuruddin terhadap kerajaan salib di timur, pemerintah-
pemerintah salib telah mengadakan muktamar di Baitul Maqdis dan mengambil keputusan untuk meminta bantuan
dari Pope dan raja-raja Eropah. Seorang utusan dihantar menemui Pope untuk mengadu dan meminta bantuan. Pope
ketika itu Eugene III, bersetuju untuk menulis surat kepada raja-raja Eropah khasnya raja Perancis, Louis VII bagi
melancarkan peperangan sebagai bantuan kepada penduduk kristian di timur. Tugas sebagai perancang utama
diserahkan kepada paderi Perancis, Saint Bernard de Clairvaux. Untuk tujuan tersebut, beliau telah mengelilingi
Eropah dan menemui raja-raja Eropah. Seruan mereka disambut baik oleh Raja Perancis, Louis VII dan Maharaja
German, Conrad III.

Perhimpunan gereja diadakan di Venzelay, Perancis pada Mac 1146/540H atas arahan Louis VII. Dalam perhimpunan
ini Saint Bernard memberikan ucapannya ditambah dengan kata-kata Pope yang menaikkan semangat pendengar lalu
mereka laungkan `Inilah yang tuhan mahukan'. Selepas itu diadakan pula perhimpunan di Ratisbon, Jerman yang
dihadiri oleh ketua-ketua paderi dan mereka bersepakat untuk mengisytiharkan perang.

PERJALANAN PEPERANGAN.

Mereka berangkat merentasi Eropah dan sampai di Constantinopal pada Okt. 1147/542H. Oleh kerana hubungan
yang tidak baik dengan maharaja Byzantin, Emmanuel, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Asia Kecil.

Conrad III melalui jalan yang pernah dilalui oleh angkatan perang salib I. Walaubagaimana pun, mereka diserang di
Qounia oleh tentera Islam Saljuk dan terpaksa kembali ke Naqih. Dari Naqih mereka menaiki kapal menuju ke Baitul
Maqdis. Sementara Louis VII pula, berjalan melalui persisiran pantai tetapi diserang oleh tentera Islam Saljuk di Pisidie
dan mereka lari ke Itolia. Di sana Louis VII meminta bantuan dari gabenor Byzantin untuk mendapat kapal menuju ke
Antokiah. Di Antokiah mereka di sambut baik oleh Raymond, raja Antokiah. Raymond berhasrat menyertai
peperangan bersama-sama mereka. Walaubagaimana pun mereka berselisih pendapat apabila Raymond bercadang
untuk terus memerangi Halab dan Qisaria yang berada di bawah pemerintahan Nuruddin kerana kesan penaklukan ke
atas kedua-dua buah bandar tersebut akan dapat melemahkan tentera Nuruddin dan menjamin keamanan kerajaan
salib, sebaliknya Louis VII berkeras untuk menziarahi Baitul Maqdis terlebih dahulu. Akhirnya timbul ketegangan
antara keduanya dan Louis VII berangkat menuju Baitul Maqdis.

DAMSYIK DIKEPUNG.

Di Baitul Maqdis, mereka bertemu dengan maharaja German yang telah sampai terlebih dahulu. Berlaku perbincangan
bersama antara Louis VII dan Conrad III dengan raja Baitul Maqdis dan ketua-ketua paderi di bandar Aka. Hasil
perbincangan ini mereka bersetuju untuk menyerang Damsyik terlebih dahulu walaupun Damsyik merupakan sekutu
yang dapat menolong mereka menyerang Zinki. Ini disebabkan dengan penaklukan ke atas Damsyik akan
melemahkan muslimin dan menjamin keamanan kerajaan salib dari seangan baru muslimin serta dapat menjadikan
Damsyik sebagai benteng kepada Baitul Maqdis.

Dengan keputusan ini pada Mei 1148/543H mereka berangkat menuju ke Damsyik dan mengepungnya. Pemerintah
Damsyik ketika itu, Muinuddin mengambil langkah meminta bantuan dari Saifuddin Zinki. Saifuddin bertindak segera
menggerakkan tenteranya dan diikuti oleh saudaranya Nuruddin Zinki menuju ke Syam. Beliau menghantar surat
kepada Muinuddin dengan katanya, `Aku datang dan bersamaku semua pemikul senjata dari negeriku, aku berharap
inilah giliranku bertemu tentera salib di Damsyik. Sekiranya aku kalah, aku akan masuk ke kota dan bertahan di
dalamnya. Sekiranya aku menang, Damsyik adalah hak kamu dan aku tidak akan mengambilnya dari kamu'.

7
TENTERA SALIB BERUNDUR DAN BERAKHIRNYA PERANG

Apabila mendengar kemaraan tentera Saifuddin dan Nuruddin, tentera salib merasa gerun dan takut. Raja Baitul
Maqdis, Boudouin dan ketua-ketua paderi berhimpun dan berjumpa dengan Louis VII dan Conrad III. Mereka
menyatakan kebimbangan terhadap kekuatan yang dimiliki oleh tentera Saifuddin dan sekiranya ia berjaya menguasai
Damsyik maka ia merupakan ancaman yang besar kepada kerajaan Baitul Maqdis. Sementara itu, Damsyik berjanji
menyerahkan Banias sekiranya kepungan dibatalkan. Pada tahun 1148/543H, mereka mengambil keputusan berundur
dan kepungan dibatalkan.

Dengan ini bermakna tamatnya Perang Salib II tanpa mencapai sebarang matlamat disebabkan kesilapan yang
mereka lakukan iaitu menyerang Damsyik sekutu mereka.

KEMARAAN NURUDDIN

Nuruddin meneruskan kemaraannya dengan memerangi musuh-musuhnya dari kalangan salibiah dan kerajaan
Damsyik. Beliau berjaya membuka beberapa kota di utara Halab. Beliau juga menyerang Antokiah dan membunuh
raja Antokiah, Raymond dan raja Raha, Goslene II sehingga Raha dan sebahagian besar Antokiah tunduk di bawah
kerajaannya.

PENAKLUKAN DAMSYIK

Pada tahun 1153M/548H, tentera salib menyerang Asqalan dan berjaya menaklukinya. Penaklukan ini memberi kesan
yang besar kepada Nuruddin apabila beliau tidak berupaya memberi sebarang bantuan kerana dihalang oleh
Damsyik, lebih-lebih lagi apabila beliau mendapati kerajaan Damsyik tunduk kepada kerajaan salibiah. Dengan ini,
Nuruddin mengambil keputusan untuk menyerang dan menawan Damsyik. Tindakannya mendapat bantuan dari
dalam Damsyik iaitu dari ketua tentera, Ayub bin Syazi. Akhirnya pada tahun 1154M/549H Damsyik jatuh ke tangan
Nuruddin. Ini bermakna kesemua wilayah di dalam negeri Syam kini berada di dalam kekuasaannya. Nuruddin
melantik Ayub bin Syazi sebagai pemerintah Damsyik dan saudaranya Syirkuh bin Syazi sebagai pemerintah di
wilayah sekitarnya.

MESIR: ANTARA NURUDDIN DAN SALIBIAH

Mesir ketika ini berada dalam keadaan yang tidak stabil disebabkan perebutan kuasa yang berterusan untuk menjawat
jawatan menteri. Khalifah Fatimi hanya merupakan simbol sedangkan kuasa berada di tangan menteri dan ketua
tentera yang sentiasa bertelagah.

Pertelagahan ini membawa kepada campur tangan Nuruddin dan Kerajaan salibiah. Walaubagaimana pun kedua-dua
belah pihak merasa bimbang terhadap ancaman antara satu sama lain. Namun mereka menaruh harapan untuk
menaklukinya dengan tujuan menguatkan kedudukan masing-masing.

PEMBERONTAKAN SYAWIR AS-SA'DI

Pada tahun 1162/558H berlaku pemberontakan menjatuhkan menteri kerajaan Fatimi, Ruzaik bin Tola'ik yang
dilakukan oleh Syawir Sa'di, gabenor di utara Mesir. Ruzaik berjaya dibunuh dan Syawir Sa'di dilantik menjadi menteri.

Syawir Sa'di menjalankan pentadbiran yang buruk sehingga mendorong ketua tenteranya, Dhorgham bin A'mir al-
Lakhmi berpakat dengan khalifah untuk merampas kuasa. Rampasan ini memaksa Syawir lari ke Damsyik dan
meminta bantuan Nuruddin dengan janji untuk menanggung semua perbelanjaan perang dan membayar ufti tahunan
sebanyak satu pertiga hasil negara. Nuruddin teragak-agak untuk membantu sehingga beliau menerima berita salibiah
menyerang Mesir dan Dhorgham memeterikan perjanjian dengan salibiah serta membayar jizyah kepadanya.

Ini memaksa Nuruddin menerima pelawaan Syawir. Beliau menghantar ketua tenteranya Asaduddin Syirkuh untuk
menyerang Mesir. Turut sama dalam barisan tentera ini Salahuddin al-Ayubi, anak saudara Aaduddin. Asaduddin
Syirkuh berjaya mengalahkan Dhorgham dan Syawir dilantik menjadi menteri yang baru. Walaubagaimana Syawir
tidak menepati janjinya bahkan beliau membuat perjanjian dengan kerajaan Baitul Maqdis.

Sekali lagi memaksa Asaduddin Syirkuh dan Salahuddin al-Ayubi menyerang Mesir. Mereka bertembung di Balbis
pada Ramadan 559H/1164. Di tengah kesibukan Tentera salib ini Nuruddin mengambil kesempatan untuk menakluk
kota Harem dan Banias. Oleh kerana takut ancaman Nuruddin ke atas kerajaannya, Amuary I meminta perdamaian
dari Asaduddin Syirkuh dengan syarat kedua-dua pihak berundur dan menyerahkan Mesir kepada penduduknya.

8
Dengan ini tamatnya pertembungan pertama antara Nuruddin dan Kerajaan Baitul Maqdis merebut Mesir.

PERTEMBUNGAN KEDUA DAN YANG TERAKHIR

Setelah melihat kedudukan Mesir dalam pertembungannya pada kali pertama, Asaduddin Syirkuh menyakini
kepentingan menakluk Mesir bagi tujuan melemahkan salibiah. Di atas dasar ini beliau meminta izin dari Nuruddin
untuk menyerang Mesir sekali lagi iaitu pada tahun 1167/562H.

Apabila mendengar kemaraan tentera Nuruddin, Syawir meminta bantuan dari Amaury I, raja Baitul Maqdis.
Peperangan berlaku di al-Munia dengan kemenangan besar dicapai oleh tentera Nuruddin. Asaduddin meneruskan
perjalanan ke utara dan berjaya menawan Iskandariah tanpa sebarang tentangan. Beliau meneruskan perjalanannya
untuk menawan Kaherah dan Fustat setelah menyerahkan pimpinan tenteranya di Iskandariah kepada Salahuddin al-
Ayubi.

Di sini Salahuddin telah menyerlahkan ketokohan dan kecerikannya. Semasa Asaduddin menuju Kaherah, salibiah
melancarkan serangan ke atas Iskandariah dan mengepungnya dari darat dan laut. Walaubagaimana pun Salahuddin
berjaya menahannya sehingga datang Asaduddin. Sebagaimana peperangan yang pertama, kedua-dua pihak
bersetuju untuk berundur dan menyerahkan Mesir kepada penduduknya. Walaubagaimana pun, Amaury I tidak
mnepati perjanjian apabila sebahagian tenteranya tidak berundur dengan niat untuk menakluki Mesir selepas tentera
Nuruddin berundur. Amaury I kemudiannya menakluk Balbis dan mara menuju Fustat sehingga berlaku perjanjian
antaranya dengan Syawir. Dalam masa yang sama Nuruddin mengerakkan tenteranya yang diketuai oleh Asaduddin.
Berlaku peperangan antara tentera salib dengan tentera Asaduddin yang bergabung dengan tentera Mesir sehingga
tentera salib berundur.

Dengan ini Asaduddin berjaya menawan Mesir dan kemudiannya merancang untuk membunuh Syawir. Syawir berjaya
dibunuh pada tahun 1169/564H dan Asaduddin dilantik menjadi menteri bagi Khilafah Fatimi. Pemerintahannya
hanyalah dua bulan. Beliau meninggal dunia pada Jamadil Akhir 564H/ Mac 1169M.

KERAJAAN SOLAHUDDIN AL-AYUBI

PERLANTIKAN SOLAHUDDIN SEBAGAI MENTERI

Selepas kematian Asaduddin Syirkuh, Khalifah Fatimiah al-A'did bersetuju melantik Salahuddin sebagai menteri yang
baru. Oleh kerana kerajaan Fatimi berfahaman Syiah dan tidak tunduk kepada kerajaan Abbasiah di Baghdad,
Solahuddin cuba mengikis suasana ini. Semasa usaha dilakukan, Khalifah Fatimiah al-A'did meninggal dunia iaitu
pada Muharram 567H/1171. Dengan ini bermakna berakhirnya kerajaan Fatimiah di Mesir yang telah memerintah
semenjak tahun 362H.

KERAJAAN SOLAHUDDIN

Dengan kematian al-A'did, semua kuasa diserahkan kepada Salahuddin. Kerajaan ini secara langsung tunduk kepada
kerajaan Nuruddin. Solahuddin meneruskan penaklukannya ke selatan Mesir dan selatan Jazirah, iaitu Hijaz dan
Yaman. Kerajaan ini kekal tunduk kepada kerajaan Nuruddin sehinggalah kematiannya pada Syawal 569H/1173.
Nuruddin hanya meninggalkan seorang anak yang berumur sebelas tahun menyebabkan kerajaannya di Syam
mengalami perpecahan dan pentadbirannya tidak terurus.

Melihatkan kepada keadaan ini, Salahuddin mengambil tindakan untuk menakluk Damsyik pada tahun 1174/570H dan
kemudian meneruskan kerjanya menyatukan semua kerajaan Nuruddin di bawah kekuasaannya. Beliau mencapai
tujuannya pada tahun 1186/582H apabila Utara Iraq, Kurdistan, Syam, Yaman, Mesir dan Barqah berada di bawah
kerajaannya.

PENAKLUKAN SEMULA BAITUL MAQDIS.

PERANG HITTIN

9
Pada tahun 1187/583H, Solahuddin berazam untuk membebaskan Baitul Maqdis. Beliau bertolak Dari Damsyik
menuju ke Ras al-Mak iaitu tempat tenteranya berkumpul. Dari situ, beliau meneruskan perjalanan menuju ke Karak
dan Syawabak kemudian kembali ke Tabariah. Apabila salibiah merasa bahaya dari tindakan Solahuddin, mereka
berhimpun dan keluar menuju ke Tabariah. Kedua-dua pihak bertemu di Hittin dan pertempuran hebat berlaku yang
berakhir dengan kemenangan besar kepada Salahuddin. Salibiah mengalami kekalahan yang teruk dimana sepuluh
ribu orang tenteranya mati dan raja Baitul Maqdis ditawan. Salahuddin melahirkan sikap tolenrasi dan lemah-lembut
dengan memaafkan raja Baitul Maqdis dan membebaskannya. Walaubagaimana pun, beliau memerintah supaya rahib
Dawiah dan rahib Istibariah dibunuh dan beliau sendiri membunuh raja Karak yang pernah melanggar perjanjian.

PENYERAHAN BAITUL MAQDIS

Setelah mencapai kemenangan yang besar di Hittin, Salahuddin menuju ke Aka. Penduduk Aka meminta keamanan
dan pada Jamadil Awal 583H/1187. Beliau memasuki Aka sementara penduduknya berpindah ke Sour. Kemudian
beliau meneruskan kemaraannya untuk membebaskan Asqalan. Selepas mengepungnya selama 14 hari, Asqalan
jatuh ke tangan muslimin. Dari sini (selepas menguasai kawasan persekitaran pantai dan di sekitar Baitul Maqdis)
Salahuddin mula melancar serangan ke atas Baitul Maqdis.

Pengepungan ke atas Baitul Maqdis hanya berjalan selama seminggu apabila penduduk Baitul Maqdis meminta
keamanan. Penyerahan ini menamatkan penguasaan salibiah dan Baitul Maqdis kembali ke tangan Muslimin selepas
88 tahun jatuh ke tangan salibiah. Pada Okt. 1187M/ Rejab 583H Salahuddin masuk ke Baitul Maqdis. Beliau tidak
melakukan kekejaman sebagaimana yang pernah dilakukan oleh tentera salib terhadap muslimin dalam perang salib
yang pertama dahulu. Beliau memberi kebebasan kepada mereka untuk menebus diri dengan bayaran sebanyak 10
dinar bagi lelaki, 5 dinar bagi perempuan dan 2 dinar bagi kanak-kanak. Sesiapa yang tidak mampu membayarnya
selepas 40 hari akan dijadikan hamba. Orang-orang kristian keluar beramai-ramai di bawah pengawasan tentera Islam
menuju ke Sour dan mereka disyaratkan supaya tidak kembali memerangi muslimin.

Tindakan yang dilakukan oleh Salahuddin ini bertujuan untuk menjaga jiwa manusia semampu yang mungkin.
Walaubagaimana pun, tindakan ini telah merangsangkan mereka untuk melanggar perjanjian yang dibuat setelah
mereka mendapati bilangan mereka yang ramai.

10
PENGEPUNGAN AKA DAN PERANG SALIB III

PENGEPUNGAN AKA

Apabila semua orang kristian telah berkumpul di Sour, timbul niat jahat untuk membatalkan perjanjian yang dibuat
dengan Salahuddin dan menyerang balas. Pada 8 Rejab 585H/1189M mereka bergerak melalui jalan pantai menuju
ke Aka dan melancarkan serangan dari darat dan laut. Tentera Islam di bawah pimpinan Salahuddin mengepung
tentera salib dari arah laut. Berlaku beberapa pertempuran antara kedua-dua angkatan tentera. Keadaan semakin
tertekan setiap hari. Sultan Salahuddin meminta bantuan dari segenap penjuru negara yang berada dibawah
pemerintahannya sementara salibiah menerima bantuan dari Eropah yang terkejut dengan kejatuhan Baitul Maqdis
oleh Salahuddin.

PERANG SALIB III

Ketika salibiah di timur melancarkan kepungan ke atas Aka, raja-raja di Eropah membuat persiapan bagi melancar
serangan yang baru ekoran dari kemenangan yang dicapai oleh Salahuddin dan kejatuhan kembalinya Baitul Maqdis
ke tangan umat Islam.

Perang salib kali ini berbeza dari sebelumnya kerana ianya disertai oleh raja-raja Eropah yang teragung di zaman itu:

a. Maharaja Jerman, Frederic Barbe-Rousse


b. Raja Perancis, Philippe Auguste
c. Raja England, Richard the Lion Heart

PERJALANAN ANGKATAN JERMAN

Maharaja Jerman bergerak bersama tenteranya yang berjumlah 100 ribu orang merentasi Hungary menuju ke
Constantinopal. Walaubagaimana pun, di Constantinopal angkatan ini tidak mendapat sebarang bantuan dari
maharaja Constantinopal sebagaimana sebelumnya. Bahkan sebaliknya, maharaja Constantinopal memberitahu
Sultan Salahuddin akan kedatangan angkatan tentera salib Jerman.

Angkatan ini menyeberang ke Asia Kecil melalui jalan yang pernah dilalui oleh angkatan perang salib I. Tentera Islam
Saljuk cuba menyekat perjalanan mereka. Walaubagaimana pun, cubaan ini gagal dan mereka meneruskan
perjalanan sehinggalah sampai di Armenia. Di sana mereka menerima bantuan dari penduduk tempatan yang
majoritinya kristian.

Malangnya semasa di Armenia Maharaja Jerman, Frederic Barbe-Rousse mati lemas di sungai Salif, di pergunungan
Armenia. Kematiannya menyebabkan berlakunya perselisihan dan perpecahan di dalam barisan tentera Jerman
sehingga mengakibatkan kebanyakan tenteranya mengambil keputusan untuk pulang ke Eropah. Sementara bakinya
meneruskan perjalanan dengan menaiki kapal menuju ke Aka dan Sour di bawah pimpinan Frederic de Souabe, anak
Frederic Barbe-Rousse. Dalam perjalanan, Frederic de Souabe pula meninggal dunia. Oleh kerana pelbagai halangan
dan penyakit yang menimpa, akhirnya hanya seribu orang sahaja dari 100 ribu orang tentera Jerman yang sampai ke
Aka.

ANGKATAN TENTERA PERANCIS DAN ENGLAND.

Angkatan tentera salib Perancis dan England bertemu di Soqlia. Mereka menetap di sana beberapa ketika. Pada akhir
Mac 1191, angkatan tentera Perancis berlayar menuju ke Aka. Angkatan tentera England menyusur dari belakang
selepas sepuluh hari kemudian.

Tentera Perancis tiba di Aka pada 20 April. Ini menjadikan kekuatan tentera salib di sana semakin bertambah.
Sementara itu, angkatan tentera England dihanyutkan oleh ribut ke Cyprus. Tentera ini menetap di sana beberapa
ketika sehingga datang raja Baitul Maqdis meminta bantuan mereka.

KEJATUHAN AKA.

Dengan kedatangan tentera salib di bawah pimpinan Richard the Lion Heart ini, bererti kekuatan tentera salib yang
mengepung Aka semakin bertambah. Walaupun Sultan Salahuddin telah mengadakan berbagai usaha untuk
menyelamatkan Aka dari kepungan dan dari jatuh ke tangan salibiah tetapi semua ini tidak mendatangkan sebarang

11
faedah. Akhirnya, pada Zohor hari Jumaat, 17 Jamadil awal 587H/ Julai 1191M, penduduk Aka mengambil keputusan
menyerah kalah setelah melihat usaha menyelamat mereka tidak berjaya.

PERSELISIHAN DI KALANGAN PEMERINTAH SALIBIAH.

Berlaku perselisihan antara raja Baitul Maqdis yang disokong oleh Richard the Lion Heart dengan raja Sour yang
disokong oleh raja Perancis dalam merebut mahkota kerajaan Baitul Maqdis. Perselisihan ini berakhir dengan
persetujuan kedua-dua belah pihak menyerahkan mahkota kerajaan Baitul Maqdis kepada raja Baitul Maqdis selama
seumur hidupnya dan kemudian diambil pula oleh raja Sour, Conrad de Montferrat.

Hasil dari perselisihan ini, raja Perancis mengambil keputusan untuk kembali ke negerinya. Sementara Richard masih
lagi ingin meneruskan usahanya merampas kembali Baitul Maqdis dari Sultan Salahuddin.

Berlaku banyak pertempuran di antara kedua-dua angkatan tentera. Di antara yang termasyhur ialah peperangan
Arsouf pada Syaaban 587H/ Sept. 1191M yang dimenangi oleh tentera salib.

PERJANJIAN DAMAI AL-RAMLAH.

Pertempuran antara kedua-dua pihak berterusan memakan masa yang lama. Salibiah membuat percubaan beberapa
kali untuk menghampiri Baitul Maqdis sehingga pada satu masa mereka hanya berada sejauh 6 batu dari Baitul
Maqdis. Walaubagaimana pun Richard tidak berhasrat untuk mengepung Baitul Maqdis kerana bimbang kekalahan
akan menimpa tenteranya. Ini disebabkan semangat tenteranya terhadap Baitul Maqdis tidak sebagaimana tentera
salib semasa perang salib I.

Oleh kerana salibiah tidak mampu untuk menguasai Syam, sementara Salahuddin pula tidak mampu untuk
menghapuskan salibiah, akhirnya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan perdamaian. Pada Sya'ban
588H/ Sept. 1192M, diadakan perdamaian antara kedua-dua belah pihak. Antara isi perdamaian yang penting ialah:-

a. Salibiah akan menduduki kawasan di persisiran pantai antara Sour sehingga ke Hifa.
b. Kebenaran diberikan kepada orang kristian untuk menziarahi Baitul Maqdis tanpa dikenakan sebarang cukai
c. Perdamaian ini berlangsung selama 3 tahun 8 bulan

Hasil dari perdamaian ini menjadikan wilayah kerajaan salibiah Baitul Maqdis semakin meluas dan Aka dijadikan
sebagai ibunegeri yang baru. Selepas perdamaian, Richard berangkat pulang ke negerinya setelah mencatatkan
kemasyhurannya dalam peperangan ini. Dengan perdamaian ini, bererti tamatnya perang salib III dan Baitul Maqdis
kekal di bawah peliharaan muslimin. Disamping itu kebanyakan wilayah kembali menjadi hak muslimin kecuali
sebahagian kecil wilayah di persisiran pantai yang masih kekal berada di tangan kerajaan Antokiah, kerajaan Tarablus
dan kerajaan Baitul Maqdis yang baru.

KEMATIAN SULTAN SALAHUDDIN AL-AYUBI

Selepas perdamaian, Sultan Salahuddin menuju ke Baitul Maqdis dan menjalankan beberapa pembaikan dan
menyusun semula pentadbirannya. Kemudian beliau meneruskan perjalanan dan tiba di Damsyik pada 25 Syawal
588H. Salahuddin tidak hidup lama selepas perdamaian apabila pada 4 Mac 1193M/ 27 Safar 589H rohnya diangkat
menemui tuhannya ketika beliau masih berada di Damsyik. Semua ini berlaku setelah beliau menyempurnakan tugas
dengan sebaik-baiknya yang telah mencatatkan kegemilangan dalam jihad dan akhlaknya.

Apa lagi yang ditunggu-tunggu oleh seorang mujahid apabila selesai menjalankan tugas selain berangkat menemui
Tuhannya untuk menerima balasan dan ganjaran. Moga-moga Allah merahmati Salahuddin al-Ayubi.

Amin...

12
PERANG SALIB IV

MUQADDIMAH

Perselisihan antara mazhab Katholik yang menguasai Eropah Barat (ibunegerinya terletak di Rom dan dipimpin oleh
Pope) dengan mazhab Orthodok yang menguasai Eropah Timur (ibunegerinya di Constantinopal berpusat di Gereja
Aya Sofia) telah menimbulkan permusuhan dan beberapa siri peperangan yang berpanjangan. Permusuhan ini dapat
kita lihat dalam siri peperangan salib sebelum ini. Rentetan dari permusuhan ini, angkatan salib dalam perang salib IV
mengubah arah mereka dan berusaha menakluki Constantinopal.

FAKTOR-FAKTOR PENDORONG

Sebagaimana peperangan sebelum ini, faktor asasi yang menggerakkan angkatan salib adalah keinginan mereka
untuk merampas kembali Baitul Maqdis dan mengekalkan kerajaan salib di timur.

PERJALANAN PERANG

Perang salib kali ini dilancarkan oleh Pope Innocent III dan tugas menyebarkan seruan Pope ini diserahkan kepada
Foulouques de Nevilly. Pada mulanya seruan ini tidak mendapat sambutan sama ada dari raja England, Richard atau
dari raja Perancis, Phillipe kerana Perancis ketika itu sedang menghadapi serangan dari England. Walaubagaimana
pun seruan ini mendapat sambutan yang baik dari golongan feudal dan golongan bangsawan Perancis yang lain
antaranya, Boudouin IX.

Mereka bersepakat untuk menyerang Mesir kerana ia dianggap sebagai pusat pemerintahan Baitul Maqdis. Mereka
juga bersetuju untuk berangkat melalui jalan laut dan menghantar wakil ke Bonduqia meminta Duke Bonduqia supaya
menyediakan kapal untuk mereka. Duke bersetuju dengan syarat angkatan salib membayar 85 ribu duit perak ataupun
keuntungan perang dibahagi dua. Pope bersetuju dengan syarat pertama.

PEMESONGAN ARAH TENTERA SALIB

Setelah sampai di Bonduqia, mereka gagal membayar harga yang ditentukan oleh Duke. Mereka hanya mampu
membayar sebanyak satu pertiga dari jumlah tersebut. Melihat keadaan ini Duke Bonduqia, Henry Dandolo mengambil
kesempatan ini meminta angkatan salib membantunya menakluk Zara yang terletak di Hungary sebagai ganti kepada
baki bayaran. Tawaran ini diterima oleh pemimpin-pemimpin salibiah tetapi mendapat tentangan dari tentera dan wakil
Pope kerana menyimpang dari tujuan asal mereka. Duke berjaya menyakinkan mereka. Mereka meneruskan
perjalanan untuk menakluk Zara di bawah pimpinan Duke.

PENAKLUKAN CONSTANTINOPAL

Angkatan salib bersama penduduk Bonduqia mengepung Zara selama dua minggu. Pada Nov. 1202/599H, Zara jatuh
ke tangan mereka dan harta rampasan perang dibahagi dua. Di Zara, Alexis de Jeune meminta pertolongan mereka
untuk membantunya merampas kembali takhta dari Alexis III yang merampas Constantinopal dari ayahnya. Tawaran
ini di sambut baik oleh angkatan salib dengan syarat Alexis hendaklah membayar sebanyak dua ratus duit perak
sebagai tanggungan kepada angkatan salib dan berjanji meletakkan kerajaan Rom tunduk di bawah pentadbiran
gereja Pope serta membantu angkatan salib menyerang Baitul Maqdis. Dengan ini sekali lagi arah tentera salib
dipesongkan. Tindakan ini mendapat bantahan dan kecaman dari Pope tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan.
Pada 11 Jul. 1203, mereka menuju ke Constantinopal dan mengepungnya dari segenap penjuru; darat dan laut.
Akhirnya, pada April 1203/601H selepas berlakunya pertempuran hebat mereka berjaya merampas Constantinopal
dan menyerahkannya kepada Alexis de Jeune.

Selepas mencapai kemenangan, angkatan salib menuntut janji yang dibuat dengan Alexis de Jeune. Oleh kerana
tuntutan ini terlalu berat, Alexis de Jeune terpaksa mengutip harta dari rakyatnya. Tindakan ini menimbulkan
kemarahan penduduk kepada salibiah. Akhirnya Alexis Morzofla bangun melakukan pemberontokan menentang
Alexis de Jeune menyebabkan Alexis de Jeune mati dibunuh. Peperangan ini berlarutan selama tiga hari dan berakhir
dengan angkatan salib berjaya menguasai Constantinapol. Mereka membunuh penduduk Constantinopal dan
membakar bandar sehingga tidak ada satu rumah pun yang tidak diceroboh dan dibunuh ahlinya. Harta kekayaan
yang dimiliki oleh kerajaan Constantinapol dirampas dan mereka melantik Boudouin IX sebagai maharaja dengan
gelaran Boudouin I.

13
PEMBAHAGIAN KERAJAAN BYZANTIN DAN TAMAT PERANG SALIB IV

Kerajaan Rom dibahagikan kepada dua oleh Boudouin, sebahagian untuk angkatan salib dan sebahagian lagi untuk
penduduk Bonduqia. Kerajaan ini kekal di bawah kekuasaan orang-orang Perancis sehingga dirampas kembali oleh
orang-orang Greek pada tahun 1261/660H di bawah pimpinan Mikhail, Maharaja Naqih. Dengan kemenangan ke atas
Constantinopal ini bermakna berakhirnya Perang Salib IV tanpa mencapai maksudnya yang asal. Ia juga menunjukkan
lemahnya semangat agama di kalangan tentera salib.

14
PERANG SALIB V

SERUAN KEPADA PERANG SALIB

Pada tahun 1209/606H John de Brienne dilantik sebagai raja Baitul Maqdis menggantikan Amaury. Selepas
perlantikannya, beliau menghantar utusan kepada Pope meminta Pope dan raja-raja Eropah melancarkan Perang
salib V untuk merampas kembali Baitul Maqdis dan menguasai semula semua kerajaan Islam di Syam.

Rentetan dari permintaan tersebut, pada 1216/612H diadakan perhimpunan di bandar Rom di bawah kelolaan Pope
Innocent. Perhimpunan ini dihadiri oleh lima ratus orang terdiri daripada ketua-ketua paderi antaranya ketua paderi
Constantinopal, ketua paderi Baitul Maqdis dan wakil-wakil raja bagi raja Jerman, raja Perancis, raja England dan raja
Hungary. Perhimpunan ini bersetuju untuk melancarkan perang salib V.

Pada tahun 1216/613H Pope Innocent meninggal dunia. Usaha beliau diteruskan oleh penggantinya Pope Honorius
III. Beliau menghantar utusan kepada raja-raja menyeru supaya dilancarkan perang salib V untuk merampas kembali
Baitul Maqdis. Seruan beliau mendapat sambutan dari Raja Hungary, Andre II

PERJALANAN PEPERANGAN

Raja Hungary, Andre II bersama ketua-ketua tenteranya berangkat ke Bonduqia dan kemudian menaiki kapal menuju
ke Aka. Di Aka, beliau bersama raja Cyprus melancarkan serangan ke atas kerajaan Islam di sekitarnya dan bergerak
menuju ke Baitul Maqdis.

Kerajaan Ayubiah ketika itu berada di bawah pemerintahan Malik Adil (Abu Bakar bin Ayub). Apabila mendengar
kedatangan tentera salib ke Aka pada Sept. 1217/613 beliau bersama angkatan tenteranya bergerak menuju ke Syam
untuk menghadapi tentera salib. Walaubagaimana pun beliau terpaksa mengelak dari bertembung dengan tentera
salib kerana bilangan tenteranya kecil berbanding dengan tentera salib. Tentera salib terus mara sehingga ke kubu
Thur dan berjaya menawan beberapa buah bandar di Syam. Mereka mengepung kubu Thor selama 17 hari tetapi
gagal menawannya lalu berundur dan kembali ke Aka.

Kegagalan mereka di Syam menyebabkan Raja Hungary mengambil keputusan untuk pulang ke negaranya.
Walaubagaimana pun beliau meninggalkan separuh dari tenteranya kerana takut kepada kemarahan salibiah yang
lain. Dalam masa yang sama sampai berita kemaraan tentera salib dari Perancis dan Itali yang terlambat kerana
terlibat dalam serangan ke atas Andalus. Kedatangan mereka menggembirakan tentera salib yang sedia ada.
Bersama raja Baitul Maqdis serta baki tentera salib yang masih ada, mereka mengambil keputusan menuju ke Mesir
kerana Mesir dianggap sebagai negara yang bertanggungjawab ke atas Baitul Maqdis. Rancangan pertama mereka
ialah menyerang Dimyat yang terletak di cabang sebelah timur sungai Nil.

PENGEPUNGAN DIMYAT

Pada Mei 1218/Safar 615H tentera salib yang terdiri dari 70 ribu pekuda dan 400 ribu pejalan kaki mendarat di Dimyat
dan melakukan kepungan. Dimyat dikelilingi oleh kubu yang kuat menyebabkan tentera salib terpaksa membuat
kepungan dalam jangka masa yang lama. Malik Kamil yang memangku pimpinan ayahnya di Mesir mara bersama
tenteranya menuju Dimyat untuk memberi bantuan kepada penduduknya. Kepungan dan serangan berlangsung
selama empat bulan sehingga kedatangan Malik Adil. Walaubagaimana pun ditakdirkan Allah, Malik Adil meninggal
dunia semasa dalam kepungan. Anaknya, Malik Kamil dilantik menggantikannya. Kacau-bilau berlaku dalam barisan
tentera Islam apabila timbulnya pemberontakan Imaduddin Ahmad bin Al-Masytub yang tidak bersetuju dengan
perlantikan Malik Kamil menggantikan ayahnya. Kesempatan ini telah digunakan oleh tentera salib dengan cara
memperhebatkan lagi serangan sehingga mereka berjaya merampas Dimyat pada Nov. 1219/Syaaban 616H.

Selepas kejatuhan Dimyat, mereka mengambil keputusan meneruskan perjalanan menuju ke Kaherah. Pada masa itu,
Malik Kamil berjaya memulihkan kembali suasana dalam barisan tentera Islam dengan bantuan saudaranya Malik
Mu'zam, raja Syam. Beliau kemudiannya meminta bantuan dari umat Islam di Syam untuk bertembung dengan tentera
salib di Mansuro.

Di Eropah, Pope masih meneruskan usahanya menyeru penduduk Eropah untuk membantu saudara-saudara mereka
yang sedang menghadapi peperangan di timur. Seruan ini terus mendapat sambutan sehingga tentera bantuan terus-
menerus sampai ke timur.

15
PERANG MANSURO

Bilangan tentera salib ketika ini berjumlah 200 ribu pejalan kaki dan 10 ribu pekuda. Sementara itu, Malik Kamil
menghantar wakil ke segenap Mesir dari Aswan hingga ke Kaherah, dari timur hingga ke barat untuk mendapat
bantuan tentera tambahan. Di waktu yang sama, iaitu pada 1221/618H sampai bantuan dari saudaranya di Syam
menjadikan bilangan tentera muslimin seramai 40 ribu pekuda. Berlaku pertempuran yang hebat antara kedua-dua
angkatan tentera di Mansouro. Malik Kamil meminta supaya perjanjian perdamaian ditanda-tangani disebabkan
bimbang kemenangan menyebelahi pihak tentera salib dan mereka dapat menawan Kaherah. Pihak tentera Islam
menawarkan Baitul Maqdis kepada tentera salib disamping Asqalan dan bandar-bandar lain di sekitar Syam tetapi
tentera salib meminta tambahan dua wilayah iaitu Karak dan Syawabak serta pampasan 300 ribu dinar sebagai
gantirugi peperangan. Pihak Islam tidak dapat memenuhi tuntutan tambahan tersebut.

Apabila tawaran tersebut tidak diterima maka satu pasukan tentera Islam dihantar dengan menyusup kedalam tentera
salib untuk merobohkan empangan di terusan al-Mahalla. Dalam masa yang sama, air sungai Nil sedang naik ke
paras tertinggi. Ini menyebabkan kawasan tentera salib ditenggelami air sementara semua jambatan penghubung
dirobohkan oleh tentera Islam. Dan satu-satunya jalan keluar untuk mereka pula berjaya dikuasai oleh tentera Islam.
Gejala buruk ini memaksa mereka menyerah kalah dan berundur dari Mesir tanpa sebarang syarat.

BERAKHIRNYA PERANG SALIB V

Pada 19 Rejab 618H/1221, Dimyat diserahkan kepada Malik Kamil selepas pegunduran tentera salib. Dengan ini
bermakna tamatnya Perang salib V. Peperangan ini berlangsung selama 3 tahun 4 bulan 19 hari dan tentera salib
hanya berjaya menduduki Dimyat selama setahun 10 bulan 24 hari.

16
PERANG SALIB VI

LATAR BELAKANG SEBELUM PERANG.

FREDERIC II

Frederic II, maharaja Jerman merupakan raja Eropah yang teragung di zaman itu. Kerajaannya meliputi Jerman, Itali
Utara dan Soqlia. Kerajaan Baitul Maqdis juga berada di bawah kekuasaannya apabila beliau berkahwin dengan
pewaris kerajaan tersebut. Perkahwinan ini dirancang oleh Pope Honorius III bagi mengeksploitasi kekuatan yang
dimilikinya untuk perang salib yang baru. Ini jelas dapat dilihat apabila raja Baitul Maqdis pergi ke Itali pada tahun
1222/619H selepas kekalahannya di Dimyat dengan tujuan meminta bantuan dari Pope. Persetujuan bersama telah
ditanda-tangani dengan Frederic II untuk melancarkan perang salib bertujuan merampas kembali Baitul Maqdis.

FREDERIC II DAN TAMADUN ISLAM

Frederic II adalah seorang raja yang meyukai orang-orang Islam dan tamadun Islam serta kagum dengan ilmu
pengetahuan Islam bahkan beliau mempunyai ilmu tentangnya dan banyak bergantung kepada orang Islam dalam
urusan-urusannya. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan raja-raja Islam terutama Malik Kamil, raja Mesir.

Pendirian beliau yang sebegini tidak disenangi oleh orang-orang kristian yang lain terutama Pope sehingga beliau
dianggap murtad dan telah memeluk Islam. Kemarahan ini lebih ketara apabila Frederic II sengaja melambat-
lambatkan pemergiannya ke timur untuk merampas Baitul Maqdis menyebabkan akhirnya Pope mengisytiharkan
laknat ke atasnya dan diharamkan pergi bersamanya
ke tempat suci (Baitul Maqdis). Implikasi dari pengharaman ini kita dapat lihat apabila hanya beberapa ratus orang
sahaja yang bersamanya menuju ke Baitul Maqdis.

PERPECAHAN DALAM KERAJAAN AYUBIAH

Selepas kematian Salahuddin kerajaan yang dibinanya menjadi gelangang persengketaan. Walaubagaimana pun,
Malik Adil saudara Salahuddin berjaya mengembalikan kestabilan kerajaan tersebut. Malangnya, selepas kematian
beliau berlaku kembali perselisihan antara anak-anaknya merebut takhta kerajaan Ayubiah iaitu:

a. Malik Kamil, raja Mesir


b. Malik Mu'zam, raja Damsyik dan Baitul Maqdis
c. Malik Asyraf, raja Jazirah dan Khalat

Pada masa yang sama bermulanya serangan tentera Tartar ke negara Islam.

17
PERJALANAN PERANG SALIB VI

Malik Mu'zam yang bermusuhan dengan saudaranya Malik Kamil telah membuat perjanjian dengan Jalaluddin bin
Khawarzam shah, raja di Khawarzim yang dikalahkan oleh Genghiz Khan ketua tentera Tartar untuk menentang Malik
Kamil di Mesir. Malik Kamil merasa bimbang dengan pakatan ini kerana Jalaluddin bin Khawarzam Shah memiliki
tentera yang kuat.

Atas alasan ini Malik Kamil menghantar utusan ke Frederic II meminta kedatangannya ke Syam bertujuan mengalih
perhatian Malik Mu'zam kepada tentera salib di bawah Frederic II. Malik Kamil berjanji menyerahkan Baitul Maqdis
kepada Frederic II. Walaubagaimana pun Malik Mu'zam meninggal dunia pada Nov. 1227/Zulkaedah 624H sebelum
kedatangan Frederic II.

PENAKLUKAN BAITUL MAQDIS

Pada Sept. 1228/625H, Frederic II sampai ke Aka. Malik Kamil ketika itu berada di Syam kerana mengambilalih
kerajaan saudaranya. Kerajaan ini kemudiannya diserahkan kepada anaknya Daud, Malik Nasir. Walaupun bilangan
tentera di bawah Frederic II sedikit tetapi perjanjian damai antara Malik Kamil dengan Frederic II tetap berlaku. Hasil
dari perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju untuk menerima beberapa asas, antaranya:

a. Penyerahan Baitul Maqdis kepada tentera salib dengan syarat kubunya dibiarkan runtuh. Sementara umat Islam
diberikan hak ke atas masjid aqsa dan kubah batu serta wilayah kampung-kampung.
b. Raja salibiah akan memiliki bandar-bandar antara Aka dan Baitul Maqdis.
c. Berjanji untuk saling bantu-membantu menghadapi musuh samada dari golongan Islam atau kristian dan tidak
memberi sebarang bantuan kepada kerajaan salibiah di Syam selama 10 tahun setengah.

HAKIKAT PERJANJIAN

Pada hakikatnya Malik Kamil terpaksa membuat perjanjian tersebut memandangkan masalah perselisihan yang
berlaku dalam kerajaan Ayubiah di samping peribadi Frederic II yang bersikap tolak ansur dan tidak taasub agama.

Perjanjian ini menjadikan Baitul Maqdis milik bersama antara Islam dan Kristian. Walaubagaimana pun perjanjian ini
tidak direstui oleh Muslimin dan Orang-orang kristian yang lain.

Selepas perjanjian ini Frederic II pergi menziarahi Baitul Maqdis dan kemudian pulang ke Eropah sementara Malik
Kamil pula berusaha menyatukan kembali kerajaan Ayubiah di bawah panjinya. Malangnya, kerajaan ini kembali
berpecah setelah kematian Malik Kamil pada 1237/635H.

18
PERANG SALIB VII

SEBELUM PERANG

Pada 1239/637H Malik Salih bin Malik Kamil memegang takhta pemerintahan Mesir, menggantikan ayahnya. Beliau
menguruskan pentadbiran dengan cara yang baik dan dianggap antara raja-raja teragung yang terakhir bagi kerajaan
Ayubiah. Walaubagaimana pun masih wujud permusuhan antara beliau dengan pemerintah-pemerintah kerajaan
Ayubiah yang lain terutama bapa saudaranya Malik Soleh Ismail, raja di Damsyik yang berbaik dengan salibiah
bahkan menyerahkan sebahagian dari kawasan takluknya kepada Salibiah.

Pada 1244/642H, tentera salib di bawah Thibaut IV dan Pierre Mauclere tiba ke Aka dari Perancis dengan tujuan
untuk menakluk Baitul Maqdis. Berlaku pertempuran hebat antara Malik Salih dengan tentera salib yang dibantu oleh
Malik Soleh. Kemenangan berpihak kepada Malik Salih. Baitul Maqdis dan wilayah di Syam kembali semula ke tangan
pemerintahan Muslimin. Kemenangan ini mengembirakan umat Muslimin tetapi bagi Eropah, ia merupakan kehilangan
dan kesedihan. Peristiwa ini mendorong Eropah melancarkan perang salib yang baru.

PERANG SALIB VII

PERHIMPUNAN DI LYON

Setelah kejatuhan Baitul Maqdis, paderi Beirut belayar ke Eropah meminta bantuan dari Pope dan raja-raja Eropah
untuk merampas kembali Baitul Maqdis. Beliau menemui Pope, Innocent IV dan Pope berjanji untuk memberikan
bantuan. Pada tahun 1245/643H diadakan perhimpunan di Lyon yang mengumpulkan ketua-ketua paderi dan
pemerintah-pemerintah salibiah di timur termasuk maharaja Constantinopal. Mereka bersetuju untuk bersiap-sedia
dan melancarkan perang salib VII. Pope dan ketua-ketua paderi diminta menanggung sebahagian perbelanjaan.

ANGKATAN LOUIS IX

Rentetan dari perhimpunan di Lyon, Pope dan ahli perhimpunan menghantar utusan meminta raja Perancis, Louis IX
membuat persiapan ketenteraan bagi merampas kembali Baitul Maqdis. Louis IX menerima permintaan tersebut dan
membuat persiapan yang besar untuk melancarkan perang salib VII. Pada tahun 1248/646H angkatan Louis IX
berangkat dari Paris. Turut bersama, golongan pemerintah Perancis termasuk tiga orang saudaranya iaitu Robert
D'Artos, Alphonse de Poitiers dan Charles D'Anjou.

Pada Sept. 1248/646H, armada Louis IX sampai di Cyprus dan menetap di sana selama 8 bulan sambil membuat
hubungan dengan kerajaan salibiah di Syam. Semasa mereka di Cyprus, merebak wabak penyakit sehingga
menyebabkan kebanyakan dari tenteranya mati. Berdasarkan nasihat dari ketua-ketua tenteranya, mereka menuju ke
Mesir pada Mei. 1249M kerana Mesir merupakan pusat pemerintahan Baitul Maqdis dan yang bertanggungjawab
membuka semula Baitul Maqdis pada kali pertama dan kedua.

PENAKLUKAN DIMYAT

Berita ketibaan tentera salib ke timur diterima oleh Malik Salih. Beliau ketika itu berada di Damsyik dan sedang sakit
tenat. Setelah menerima berita tersebut Malik Salih terus berangkat ke Mesir. Beliau membuat persiapan di Dimyat
dengan membekalkan makanan dan senjata yang banyak supaya apa yang berlaku semasa perang salib V tidak
berulang.

Diperjalanan, armada-armada tentera salib menghadapi ribut menyebabkan mereka berpecah dan sampai ke Mesir
dalam masa yang berlainan. Kapal Louis IX adalah yang pertama sampai di Dimyat iaitu pada Jun 1249/Safar 647H.
Mereka mengambil keputusan untuk terus melancarkan serangan ke atas Dimyat. Beberapa pertempuran di darat dan
di laut berlaku. Semasa serangan ini, ketua tentera Islam Fakhruddin Yusof melarikan diri tanpa sebarang sebab
menyebabkan penduduk Dimyat turut melarikan diri meninggalkan bandar dan senjata-senjata mereka. Dengan ini,
tentera salib berjaya menakluk Dimyat tanpa sebarang tentangan hebat dari tentera Islam. Tindakan ini menyebabkan
kemarahan Malik Salih dan beliau bertindak tegas dengan menggantung mati seramai 54 orang ketua pengawal yang
lari kerana meninggalkan Dimyat tanpa izinnya.

Setelah berjaya di Dimyat, Louis IX bersama angkatan tenteranya berehat selama 6 bulan menunggu baki armada
yang masih belum sampai. Kelewatan ini memberi peluang kepada tentera Islam membuat persiapan dan
mengumpulkan tentera tambahan untuk menghadapi tentera salib. Malik Salih menuju ke Mansuro untuk bertembung
dengan tentera salib di sana dan menghalang mereka dari menakluk Kaherah.

19
PERANG MANSURO DAN KEMATIAN MALIK SALIH

Pada Nov. 1249/Safar 647H semasa tentera Islam sedang manghadapi tentera salib, Malik Salih meninggal dunia.
Kematiannya dirahsiakan oleh Isterinya, Syajaratudur dan ketua-ketua tentera supaya tidak melemahkan tentera Islam
sehingga datang anaknya Malik Mu'zam Turanshah dari Jazirah Furatiah.

KEKALAHAN TENTERA SALIB

Setelah menang di Dimyat, tentera salib mula mengarahkan perjalanan mereka menuju ke Kaherah. Kedudukan
tentera salib pada kali ini sama dengan kedudukan mereka dalam perang salib V di mana mereka berada di
kedudukan yang dianggap tidak strategi. Mereka berada pada kedudukan segi tiga yang dikelilingi oleh cabang sungai
Nil, sungai kecil dan teluk. Kedudukan ini menjadi sebab kekalahan tentera salib di dalam peperangan ini.

Melihatkan kedudukan tentera salib ini, langkah pertama yang diambil oleh Turanshah ialah menyekat saluran
bantuan kepada tentera salib dari Dimyat. Tentera Islam meletakkan kapal-kapal buruk dan pecah di cabang sungai
Nil yang menghubungkan tentera salib dengan Dimyat. Dengan ini bermakna terhalang satu-satunya laluan bagi
bekalan mereka. Dalam pada itu, armada Islam berjaya menghapuskan 30 kapal armada tentera salib di teluk.

Berbagai musibah terpaksa dihadapi oleh tentera salib apabila bekalan makanan mereka semakin berkurangan dan
berlaku wabak penyakit yang merebak. Walaubagaimana pun, pertempuran yang hebat tetap berlaku di antara kedua-
dua pihak. Tentera Islam berjaya membunuh 30 ribu orang tentera salib menyebabkan tentera salib meminta
perdamaian dan berjanji menyerahkan kembali Dimyat tetapi Baitul Maqdis hendaklah dikembalikan kepada mereka.
Permintaan ini ditolak oleh Turanshah.

Apabila kemenangan hampir menyebelahi tentera Islam, tentera salib mula berpecah dan kebanyakannya melarikan
diri ke Dimyat. Louis IX pula bersembunyi di Tel Menia Abdellah, Mansuro. Beliau dikepung dan akhirnya menyerah
diri bersama-sama 5 ribu orang tenteranya. Beliau kemudiannya dipenjarakan di Dar-Qadi Ibrahim bin Lokman.

BERAKHIR PERANG SALIB VII

Baki tentera salib yang melarikan diri menuju ke Dimyat dikejar oleh tentera Islam dan dikalahkan di Fariskor. Dengan
ini, bermakna berakhirnya serangan tentera salib dalam perang salib VII yang berjalan selama setahun.

Louis IX dan tenteranya dibebaskan dengan membayar tebusan sebanyak 500 ribu prances dan menyerahkan
Dimyat tanpa syarat. Pada 8 Mei 1250/648H Louis IX bersama tenteranya berangkat menuju ke Aka. Beliau menetap
di sana selama empat tahun apabila diminta oleh pemerintah salib di Syam untuk menyusun kembali kerajaan-
kerajaan salibiah yang masih wujud dan membantu mereka menjaganya dari serangan tentera Islam. Pada April
1254/652H, beliau berangkat balik ke Perancis setelah kematian ibunya yang menggantikannya memegang
pemerintahan Perancis semasa ketiadaannya.

KEMATIAN TURANSHAH

Sebelum Louis IX kembali ke Perancis, lahir gerakan untuk membunuh Turanshah di Mesir oleh Mamalik yang disertai
bersama oleh Syajaratudur. Gerakan ini timbul kerana dasar pemerintahan yang dijalankan oleh Turanshah yang telah
memecat pemimpin-pemimpin di zaman ayahnya dan melantik pengikutnya yang turut bersamanya dari Jazirah
Furatiah.

Akhirnya, pada Mei 1250M/ Muharram 648H, Turanshah mati dibunuh dengan cara yang kejam semasa berada di
Fariskor. Pemerintahannya hanya berjalan selama lebih dua bulan dikira dari tarikh ketibaannya ke Mesir hingga
kematiannya.

Dengan ini berakhirnya kerajaan Ayubiah yang kemudiannya digantikan oleh kerajaan Mamaluk. Kerajaan ini kekal
memerintah Mesir sehingga tahun 1517M/923H.

Sebanarnya, perang salib VII inilah yang telah membawa kepada kebangkitan Mamaluk. Rentetan dari ini, perubahan
besar berlaku kepada timur Islam di mana berlakunya keruntuhan menyeluruh kerajaan salibiah di timur iaitu selepas
timbulnya perang salib baru yang berlaku di Tunis.

20
PERANG SALIB VIII DAN KERUNTUHAN KERAJAAN SALIBIAH DI TIMUR

LATARBELAKANG SEBELUM PERANG

DAULAH HAFSAH

Pemerintahan Tunis ketika ini tunduk di bawah kerajaan Muwahiddin di Barat Jauh. Ibnu Ghaniah melakukan
pemberontokan di Tunis tetapi Nasir bin Mansour, pemerintah Muwahiddin berjaya menghapuskan pemberontakan
tersebut. Sebelum kembali ke pusat pentadbirannya, beliau melantik Abu Muhammad Abdul Wahid bin Abi Hafs
sebagai gabenor di Afrika (Tunis).

Semasa jawatan berpindah ke tangan anaknya Abu Zakaria, pemerintahan Muwahiddin di Barat Jauh sedang
mengalami krisis.Abu Zakaria mengambil kesempatan ini untuk menuntut kuasa autonomi bagi Afrika iaitu pada tahun
632H. Selepas berjaya memperolehi kuasa autonomi, banyak wilayah di sekitarnya berbai'ah kepadanya termasuk
kerajaan Andalus. Kerajaan Andalus telah meminta bantuan darinya untuk menghadapi serangan Kristian. Abu
Zakaria adalah di antara raja yang termasyhur di sebelah barat sehingga Tunis yang merupakan ibunegeri menjadi
tumpuan penghijrahan. Abu Zakaria mengadakan hubungan perdagangan dengan negeri-negeri di Itali iaitu Bonduqia,
Piza dan Ganwa. Beliau juga membuat hubungan dua hala dengan Frederic II, maharaja Soqlia dan membayar
bayaran tahunan sebagai balasan jaminan kebebasan perdagangan pedagang Islam di kawasan-kawasan takluk
German.

MUSTANSIR BILLAH

Pada tahun 1249/647H, Abu Zakaria meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya Abu Abdillah Muhammad
Mustansir Billah. Di zaman pemerintahan Mustansir Billah, wilayah takluknya semakin meluas. Semasa kejatuhan
Baghdad ke tangan Tartar pada tahun 1258/656H, Mustansir Billah menerima bai'ah yang dinamakan bai'ah Mekah
dan kemudian digelar Amirulmukminin. Beliau dianggap sebagai khalifah kepada Muslimin.

Pada zaman Mustansir Billah, selepas kematian Frederic II, hubungan dengan kerajaan Soqlia, jajahan German
menjadi renggang. Pemerintahan Soqlia ketika itu di bawah Charles D'Anjou, saudara Louis IX. Perlantikannya adalah
berdasarkan arahan Pope yang tidak menyukai Frederic II. Walaupun begitu, perlantikannya tidak dipersetujui oleh
orang-orang Soqlia dan mereka meminta bantuan dari Mustansir Billah.

Perselisihan telah berlaku antara Mustansir Billah dengan Charles D'Anjou apabila Mustansir diminta membayar
bayaran yang pernah dibayar oleh orang-orang Hafs kepada kerajaan Soqlia sebagai balasan kepada kebebasan
perdagangan di kawasan Soqlia tetapi Mustansir Billah enggan membayarnya.

MENYERANG KERAJAAN SALIBIAH DI TIMUR

Satu lagi peristiwa yang berlaku sebelum perang salib VIII ini adalah serangan Zahir Babris ke atas kerajaaan-
kerajaan salibiah di timur. Serangan ini merupakan faktor utama tercetusnya perang salib VIII.

Setelah kuasa pemerintahan Mesir berpindah ke tangan Mamaluk, pemerintah-pemerintahnya mula menumpukan
serangan mereka kepada kerajaan salibiah yang masih wujud di timur. Pada tahun 1260/657H, Zahir Babris
memegang tampuk pemerintahan Mesir dan memulakan langkah melancarkan serangan habis-habisan untuk
memberikan pukulan maut kepada kerajaan salibiah yang masih wujud di timur. Serangan ini merupakan ancaman
yang besar kepada kewujudan salibiah di timur sekaligus menggerakkan Eropah untuk melancarkan perang salib yang
baru bagi menyelamatkan kewujudan mereka di timur.

ANGKATAN LOUIS IX

Apabila berita mengenai serangan habis-habisan yang dilakukan oleh Zahir Babris ke atas kerajaan salibiah di timur
sampai ke Eropah, semangat agama timbul pada diri Louis IX untuk mempertahankan kristian di Timur dan beliau lupa
janjinya untuk tidak lagi terlibat dalam serangan terhadap muslimin.

Angkatan ini menjadikan timur sebagai tujuan disebabkan kedudukan kristian di sana berada di dalam keadaan yang
genting. Walaubagaimana pun arah mereka telah berubah ke Tunis. Charles D'Anjou, saudara Louis IX yang
bermusuhan dengan kerajaan Tunis berjaya memesongkan arah tentera salib VIII ke Tunis yang didakwa sebagai
kuasa baru muslimin. Sebenarnya, tujuan asalnya adalah untuk kepentingan sendiri.

21
PENDARATAN TENTERA SALIB DI QARTOJIA

Apabila khabar kedatangan tentera Louis IX sampai ke pengetahuan Mustansir Billah, beliau mengadakan mesyuarat
dan kemudian mengambil keputusan untuk membiarkan tentera salib mendarat di Qartojia supaya mudah diadakan
persiapan. Utusan dihantar ke segenap penjuru negara untuk mendapatkan sukarelawan.

Pada tahun 1270 iaitu akhir Zulkaedah 668H, angkatan Louis IX mendarat di Qartojia berjumlah 6 ribu pekuda dan 30
ribu pejalan kaki menaiki 300 buah kapal. Angkatan tentera salib tidak terus melakukan serangan seperti sebelumnya
tetapi Louis IX menunggu kedatangan saudaranya Charles D'Anjou dari Soqlia.

RANCANGAN MUSTANSIR

Mustansir Billah tidak melakukan sebarang serangan bahkan beliau hanya bertahan dan mengepung tentera salib dari
laut dan darat. Tidak berlaku sebarang pertempuran yang penting kecuali sekali sahaja, sebagaimana yang disebut
oleh Ibnu Khaldun iaitu pada tahun 1270/669H mengakibatkan kematian yang ramai di kedua-dua belah pihak.

KEMATIAN LOUIS IX

Pengepungan yang dilakukan oleh tentera Islam berjalan lama sehingga menyebabkan kelaparan dan keletihan di
kalangan tentera salib. Keadaan bertambah teruk apabila wabak penyakit merebak sehingga Louis IX mati terkena
wabak tersebut pada 1270/Muharram 669H. Pada hari yang sama Charles D'Anjou sampai iaitu beberapa jam selepas
kematian Louis IX. Beliau mengambil alih teraju pimpinan dan peperangan berterusan.

Bebanan yang terlalu tinggi yang terpaksa dipikul oleh tentera salib dan penyakit yang menimpa Philippe, pewaris
kerajaan ayahnya, Louis IX di samping keengganan barisan sukarelawan tentera Islam untuk meneruskan
peperangan mendesak kedua-duanya untuk berdamai. Akhirnya peperangan berakhir dengan perjanjian.

PERJANJIAN ANTARA MUSTANSIR DAN CHARLES

Perjanjian antara Mustansir Billah dan Charles D'Anjou ditanda-tangani pada Okt. 1270/669H. Antara isi perjanjian
penting yang dipersetujui bersama ialah:

a. Bersetuju berdamai selama 15 tahun.


b. Mustansir membayar kerugian yang dialami semasa perang.
c. Bersetuju untuk sama-sama memelihara kepentingan agama dan perdagangan
d. Tentera salib tidak menyerang mana-mana kawasan yang berada di bawah takluk kerajaan Tunis secara
langsung atau tidak langsung
e. Terdapat juga kandungan khas bagi raja Soqlia mengenai tuntutan kewangan kerajaan Soqlia ke atas
kerajaan Tunis.

KERUNTUHAN KERAJAAN SALIBIAH DI TIMUR

Malik Zahir Babris yang memegang tapuk pemerintahan kerajaan Mamaluk di Mesir pada tahun 1260M/659H telah
bertindak menyerang dan berazam melenyapkan pemerintahan salibiah di timur. Hasil dari tindakan ini, beberapa
buak bandar dan kota berjaya dibuka sama ada melalui peperangan ataupun perjanjian antaranya Qisaria, Arsouf,
Yafa, Syaqif dan Antokiah sehingga pada tahun 1277/676H kerajaan salibiah di timur hanya meliputi dua kawasan
sahaja iaitu di Aka dan Tarablus serta kawasan sekitarnya.

Zahir Babris berjaya mengalahkan salibiah walaupun mereka telah memgadakan pakatan dengan Moghul. Rahsia
kemenangan beliau ialah kejayaannya mewujudkan kuasa Islam yang kuat dengan mewujudkan pakatan bersama-
sama dengan kerajaan Byzantine dan bangsa tartar yang telah menganut Islam. Beliau juga telah bekerjasama
dengan kerajaan Mesir bagi menghadapi Moghul.

QOLAWOON AS-SOLEH

Selepas kematian Zahir Babris pada tahun 1277/676H, tampuk pemerintahan kerajaan Mamaluk diserahkan kepada
anaknya As-Sa'id Barkah Khan dan kemudiannya Malik Adil. Zaman pemerintahan kedua-duanya tidak lama sehingga
kuasa pemerintahan jatuh kepada Qolawoon as-Soleh pada tahun 1279/678H.

22
Pada tahun 1280/679H, Qolawoon terpaksa mengadakan perdamaian dengan salibiah apabila pemerintah di
Damsyik, Sanqar al-Asyqar mewujudkan pemerintahan sendiri yang tidak tunduk kepada kerajaan Mesir dengan
gelaran Malik Adil.

Pada tahun 1281/680H, Tartar di bawah pimpinan Abakah Khan bertindak menyerang Mamaluk. Qolawoon membuat
persediaan untuk berhadapan dengan Tartar yang sedang menuju ke Syam. Pertempuran berlaku berhampiran
dengan Hamsa pada tahun 1282/680H yang berakhir dengan kemenangan yang besar kepada Qolawoon. Perjanjian
perdamaian dimeterikan untuk menghentikan pertumpahan darah.

Setelah merasa aman dari ancaman Tartar, Sultan Saifuddin Qolawoon mula mengalihkan kembali pandangannya
kepada salibiah. Pada tahun 1285/684H, beliau berjaya menawan bandar Murqib dan pada tahun 1289/688H beliau
berjaya pula menawan Tarablus selepas mengepungnya. Dengan ini bererti salibiah di timur hanya dapat menguasai
Aka dan sekitarnya sahaja.

Sultan Qolawoon berazam membuka bandar Aka dan membuat persediaan yang besar untuk tujuan ini. Semasa
membuat persediaan ini, Sultan Qolawoon meninggal dunia iaitu pada tahun 1290/689H. Pemerintahan Mamaluk
kemudiannya digantikan oleh anaknya, Sultan al-Asyraf Khalil di mana di zamannya dunia menyaksikan keruntuhan
menyeluruh salibiah di timur.

KEJATUHAN AKA DAN BERAKHIRNYA SALIBIAH

Pada tahun 1291/690H, al-Asyraf Khalil memegang tampuk pemerintahan Mamaluk. Beliau meneruskan rancangan
ayahnya untuk menyerang dan menakluk Aka. Beliau mengadakan persediaan yang besar di mana dua angkatan
tentera, Mesir dan Syam disatukan bagi tujuan tersebut. Sultan al-Asyraf mengadakan pengepungan yang hebat ke
atas Aka. Di sana beberapa pertempuran kecil berlaku diantara muslimin dan salibiah sehingga memaksa penduduk
Aka menyerah kalah pada Mei 1291M/17 Jamadilawal 690H. Sebahagian besar dari mereka melarikan diri ke Cyprus
dan juga ke Eropah. Sultan al-Asyraf memerintahkan agar yang baki dibunuh dan kota Aka dimusnahkan. Peristiwa ini
berlaku pada 17 Jamadiawal hari Jumaat sama dengan tarikh dan hari kejayaan salibiah merampas Aka dari
Salahuddin al-Ayubi pada tahun 1191/578H. Mereka telah membunuh semua penduduk Aka yang muslimin dan
peristiwa pembunuhan berulang lagi di sini.

Kejatuhan Aka memberi kesan yang besar kepada kerajaan salibiah yang lain dimana mereka telah menyerah kalah
tanpa sebarang tentangan pada tahun yang sama. Bandar-bandar Sour, Soida, Beirut dan Torsos jatuh semula ke
tangan Muslimin.

KEKALAHAN SALIBIAH

Kejatuhan Aka dan bandar di sekitarnya menyaksikan berakhirnya pertembungan yang lama antara muslimin dan
salibiah yang telah berlangsung selama dua kurun (490H - 690H). Ini bererti berakhirnya kewujudan salibiah di timur.

Selama dua kurun berlakunya pertembungan antara dua dunia, Islam dan Kristian yang banyak memberi kesan
kepada kedua-dua pihak terutamanya Kristian di Eropah. Pertembungan ini berakhir dengan kemenangan yang
menyeluruh kepada pihak Islam setelah timbulnya kebangkitan kembali umat Islam yang dipelopori oleh keluarga Zinki
yang kemudiannya disambung oleh keluarga al-Ayubi dan Mamaluk.

Salibiah, walaupun telah mancapai kemenangan pada perang pertama semasa tidurnya kebangkitan dan kesatuan
muslimin tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kebangkitan ini sehingga di halau keluar dari timur Islam, tambahan
pula berlakunya perselisihan sesama salibiah pada saat-saat akhir sebelum kekalahan mereka.

HAKIKAT PERANG SALIB

Serangan tentera salib ke atas Tunis dalam perang salib VIII merupakan peperangan yang terakhir berdasarkan
kepada bilangan bagi siri peperangan ini. Walaubagaimana pun jika dilihat dari segi realitinya, serangan yang
dilakukan oleh tentera salib terhadap Dunia Islam menjangkaui bilangan ini. Selepas tamat perang salib VIII, salibiah
di barat masih memberi bantuan kepada kristian di timur dan hubungan antara keduanya masih tidak terputus hingga
ke saat ini.

Dari segi konsepnya, perang salib adalah peperangan yang diwujudkan oleh Pope bermatlamatkan memelihara
kristian dan pengikut-pengikutnya. Oleh kerana itu, peperangan yang dilakukan terhadap kerajaan Othmaniah tidak

23
jauh bezanya dari konsep ini. Bahkan kita dapat lihat dengan lebih jelas lagi melalui serangan yang dilakukan
terhadap Andalus. Walaupun Muslimin mampu menghalang gerakan salibiah dalam peperangan salib di timur tetapi
peperangan di barat iaitu di bumi Andalus telah berakhir dengan kemenangan yang besar kepada salibiah. Bumi
Andalus telah ditukar wajahnya. Kesan sejarah keadilan dan keagongan Islam cuba dilenyapkan bahkan
sebahagiannya telah berjaya dihapuskan dan berbagai usaha dilakukan untuk tujuan tersebut. Semua ini kita boleh
lihat apabila kita mengkaji sejarah kejatuhan Andalus. Ini merupakan bukti yang jelas terhadap terus-menerusnya
perang salib yang dilakukan oleh salibiah terhadap Dunia Islam. Ia dilaksanakan dalam berbagai bentuk yang
berbeza.

NOTA; Terdapat beberapa perselisihan pendapat berkenaan dengan fakta-fakta sejarah mengenai perang salib.
Fakta-fakta yang tersebut dalam tulisan ini adalah salah satu dari pendapat-pendapat tersebut yang dipilih oleh
penulis untuk dimuatkan di dalam kajian dan penulisan ini. Oleh itu sekiranya terdapat perbezaan sila rujuk pada buku-
buku yang menjadi sumber rujukan penulisan ini.

RUJUKAN

1) Peperangan Salib Di Timur Dan Barat oleh Muhammad al-`Arusi al-Matwi


2) Peperangan Salib Sebab, Siri Dan Kesannya oleh Dr. `Isam Muhammad Syabaru.
3) Jihad Muslimin Dalam Peperangan Salibiah oleh Dr. Faid Hammad Muhammad 'Asyhur
4) Ambillah Pengajaran Dari Peristiwa dalam Tarikh. oleh As-Syeikh Abdul Hamid Kiskh.
5) Solahuddin al-Ayubi, Pahlawan Hittin Dan Pembebas al-Quds dari Salibiyyin. oleh Abdullah Nashih 'ilwan.
6) Mahiyah Peperangan Salib. oleh Dr. Qasim Abd. Qasim.

24

You might also like