You are on page 1of 7

CIRI-CIRI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN

Muhd Fauzi Aminuddin Shazi Shaarani, Aini Hussain,


Mohd Faisal Ibrahim, Salina Abdul Samad & Mohd Marzuki Mustafa
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi, Selangor, Malaysia

ABSTRAK

Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting dalam memastikan


para pelajar dapat mengikuti isi kandungan subjek yang disampaikan. Dalam
kecanggihan teknologi bidang kejuruteraan yang mengalami inovasi pantas dan
berterusan, kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar-pelajar juga harus
berada di landasan sama dengan perubahan arus teknologi terkini. Kertas kerja ini
membincangkan pengalaman serta amalan tenaga akademik di Jabatan Kejuruteraan
Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES), UKM dalam melaksanakan beberapa
teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran baru. Kaedah-kaedah tersebut ialah
pengajaran berpasukan (TT – Team Teaching), kaedah jigsaw, kritikan terbuka, dan
penilaian rakan kumpulan (PRK). Kaedah pengajaran berpasukan telah
menggabungkan tenaga pengajar berpengalaman dan baru dalam sesebuah subjek.
Kaedah ini sebagai langkah bagi memperoleh manfaat maksimum dari gabungan dua
generasi kakitangan akademik. Melalui kaedah TT, kakitangan akademik juga dapat
memberi lebih tumpuan kepada bidang penyelidikan masing-masing. Seterusnya,
kaedah pembelajaran jigsaw yang terbukti berkesan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran turut dilaksanakan. Kaedah kritikan terbuka pula memberi peluang
kepada pelajar untuk memperbaiki kebolehan berkomunikasi secara spontan di
khalayak ramai. Pengajar boleh memberi kritikan membina supaya pelajar dapat
memperbaiki kelemahan-kelemahan secara terus dan kaedah ini merupakan satu
proses melengkapkan gelung untuk tujuan penambahbaikan. Selain itu, penilaian
rakan kumpulan (PRK) juga diadakan dalam kursus-kursus terpilih bagi pelajar
menilai rakan sekumpulan sebagai memenuhi keperluan kompetensi kemahiran
generik kerja kumpulan. Semua kaedah ini terbukti telah membantu memantapkan
penilaian sumatif yang merangkumi komponen peperiksaan, kuiz, makmal, dan
tugasan.

Kata kunci: Pengajaran berpasukan, kaedah jigsaw, kritikan terbuka, penilaian


kendiri pelajar, penilaian rakan kumpulan
PENGENALAN

Pengajaran dan pembelajaran dalam sesebuah universiti sentiasa mengalami evolusi,


sejajar dengan keperluan semasa. Dengan wujudnya konsep pembelajaran berasaskan
masalah (Problem Based Learning – PBL) dan Pendidikan Berasaskan Hasil
(Outcome Based Education – OBE), teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran telah
diadaptasikan berlandaskan kepada dua konsep ini. Di Jabatan Kejuruteraan Elektrik,
Elektronik dan Sistem (JKEES), teknik-teknik yang telah diperkenalkan bagi
membantu pensyarah dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
termasuk pengajaran berpasukan (TT – Team Teaching), kaedah jigsaw, kritikan
terbuka, dan penilaian rakan kumpulan (PRK). Dengan kaedah-kaedah ini, ianya
dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak dalam kursus-kursus yang diajar di JKEES.

PENGAJARAN BERPASUKAN

TT merupakan satu kaedah pengajaran yang menggabungkan dua orang atau lebih
pensyarah dalam sesebuah kursus (Buckley F.J, t.th). Kebiasaannya, gabungan
melibatkan dua orang pensyarah iaitu seorang yang berpengalaman akan
digandingkan dengan pensyarah yang baru. Kaedah ini mula diperkenalkan pada
Semester II, Tahun 2007/2008 dalam beberapa kursus, antaranya Kejuruteraan
Kawalan dan Kejuruteraan Kuasa.
Dengan adanya kaedah TT ini, pensyarah berpengalaman dapat memberi tumpuan
yang lebih kepada bidang penyelidikan yang dijalankan oleh beliau. Ini kerana setiap
pensyarah perlu memberi tumpuan kepada hanya sebahagian daripada kandungan
kursus yang diajar. Pensyarah yang baru pula akan memperoleh pengalaman dari
pensyarah yang lebih senior, seterusnya dapat membantu pensyarah baru ini dalam
teknik penyampaian dan pengajaran berkesan.
Selain itu, TT dapat membantu dari segi perkongsian idea dalam kaedah
pengajaran. Ini dapat membentuk nilai kerja berpasukan di kalangan tenaga pengajar,
yang mana pengajar perlu bergantung kepada ahli lain bagi maklumat tentang kursus
yang diajar. Walaupun pensyarah baru mempunyai kurang pengalaman, tetapi idea
yang mampu disumbangkan oleh generasi yang lebih muda mampu memberi
pandangan lain dalam aspek yang sama.

KAEDAH JIGSAW

Kaedah jigsaw merupakan satu kaedah pembelajaran yang dapat memupuk semangat
berpasukan di kalangan pelajar. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kemahiran
mendengar, penyampaian, dan pemikiran kreatif (Felder & Brent, 2004) dan telah
terbukti keberkesanannya seprti yang dilaporkan dalam Hafizah Husain et al. (2006).
Kaedah jigsaw menekankan lima perkara dalam perlaksanaannya melalui
perbincangan dalam kumpulan kecil (Hafizah Husain et al. 2006), iaitu:
 Pergantungan secara positif
 Tanggungjawab
 Interaksi secara terus (bertentang mata)
 Mempraktikan kemahiran interpersonal mengikut kesesuaian
 Penilaian kendiri secara berterusan
Untuk melaksanakan kaedah jigsaw ini, pensyarah akan membahagikan pelajar-
pelajar kepada kumpulan kecil (4-5 orang). Setiap kumpulan ini, yang dipanggil
’kumpulan pakar’ (specialist group) akan diberi satu tajuk berkaitan dengan kursus
yang diambil. Pelajar-pelajar dalam kumpulan ini akan mencari maklumat berkenaan
tajuk yang telah ditugaskan sehingga kumpulan ini akan manjadi ’pakar’ dalam tajuk
berkenaan. Pencarian maklumat adalah bebas mengikut kreativiti kumpulan terbabit,
sama ada melalui buku teks tambahan, internet ataupun bertanya kepada pensyarah
sendiri.
Apabila kumpulan-kumpulan ini telah menjadi pakar dalam skop atau tajuk yang
telah diberikan kepada mereka, pembahagian kumpulan yang baru akan diadakan
seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Kumpulan yang baru ini dipanggil kumpulan
jigsaw (jigsaw group) akan dibentuk supaya setiap kumpulan mempunyai satu
’pakar’ dalam tajuk-tajuk yang telah ditugaskan oleh pensyarah pada awal kursus.
Pakar-pakar ini akan memegang peranan sebagai pengajar dalam menyampaikan apa
yang telah dipelajari semasa berada di dalam kumpulan pakar. Dengan kaedah ini,
sebahagian daripada penyampaian di dalam kursus dilakukan oleh pelajar sendiri, dan
bukan diajar seluruhnya oleh pensyarah.

Kumpulan Pakar 1
Kumpulan Pakar Kumpulan Pakar 2
Kumpulan Pakar 3
Kumpulan Pakar 4
Kumpulan Pakar 5

Kumpulan jigsaw

RAJAH 1 Kaedah jigsaw


Kaedah jigsaw ini merupakan salah satu cabang dari kaedah pembelajaran secara
kerjasama (cooperative learning method – KOOP) (Johnson & Johnson, 2000). Ianya
dapat diperhatikan melalui kerjasama yang perlu diadakan di kalangan pelajar pada
setiap fasa dalam kaedah ini. Dalam kumpulan pakar, pelajar harus bekerjasama
dalam mendapat maklumat yang diperlukan supaya mereka dapat memahami tajuk
yang telah diberikan. Kemudian di dalam kumpulan jigsaw, pelajar harus memastikan
rakan-rakan dapat memahami apa yang harus disampaikan, dan pada masa yang sama
perlu memastikan mereka mendapat maklumat berkenaan tajuk-tajuk yang telah
ditugaskan kepada ahli-ahli kumpulan jigsaw.. Ini amat berbeza dengan kaedah biasa
di mana pensyarah menjadi satu-satunya tenaga pengajar dalam kursus yang diambil.
Kaedah yang kedua ini dipanggil kaedah pembelajaran secara kompetitif (competitive
learning method – KOMP). Selain itu, isu kompetensi generik para pelajar yang juga
salah satu kriteria yang perlu dipenuhi boleh ditangani melalui perlaksanaan kaedah
ini (Aini Hussain et al., 2007).

KRITIKAN TERBUKA

Kritikan terbuka membabitkan kemahiran pengucapan awam pelajar, dalam Bahasa


Melayu dan Bahasa Inggeris. Ianya juga sebagai memenuhi keperluan PBH bagi
melengkapkan kitaran (closing the loop). Pada penghujung kelas, pelajar akan dipilih
secara rawak untuk berucap selama 5 minit kepada rakan-rakan sekelas. Pelajar akan
diberi topik yang mudah untuk dibincangkan seperti apa yang telah diajar sebelum
itu, atau mengenai tugasan yang telah diberi.
Semasa ucapan pelajar, seorang panel penilai akan memberi markah atas ucapan
yang diberi. Pelajar akan diberi markah berdasarkan lima perkara: intonasi dan
kejelasan suara, keyakinan diri di khalayak ramai, kelancaran bahasa, penampilan,
dan maklum balas terhadap soalan yang diterima. Komen dari panel akan
disampaikan kepada pelajar untuk membaiki kelemahan yang ada.
Dengan adanya kaedah kritikan terbuka ini, pelajar mendapat peranan yang lebih
aktif di dalam bilik kuliah. Selain itu, ianya juga dapat membantu meningkatkan
kemahiran komunikasi awam di kalangan para pelajar.

PENILAIAN RAKAN KUMPULAN

Penilaian rakan kumpulan (PRK) merupakan satu kaedah penilaian yang digunakan
sebagai alat pengukuran secara terus oleh rakan-rakan pelajar yang bekerja dalam
kumpulan yang sama. Kaedah PRK dapat digunakan bagi menilai aspek-aspek
tertentu berkaitan kemahiran dan pengetahuan pelajar-pelajar (Kaufman et al. 2000).
Antara aspek-aspek yang dapat diukur adalah seperti tahap kepimpinan, kerja secara
berpasukan dan komitmen pelajar dalam menyiapkan kerja kursus. Kaedah PRK ini
amat berkesan dilakukan untuk menilai kerja kursus secara berkumpulan (Kaufman et
al. 2000 dan Buckley). Ini kerana rakan-rakan adalah merupakan individu yang
terdekat dan paling banyak meluangkan masa bersama pelajar ketika melakukan kerja
kursus tersebut. Oleh itu, rakan-rakan sekumpulan merupakan pemerhati yang baik
antara satu sama lain dan kedudukan mereka ini secara tidak langsung dapat
menjadikan mereka sebagai penilai yang berkesan untuk menilai kemahiran dan
pengetahuan tertentu rakan-rakan mereka.
Pada kebiasaannya, PRK akan dilakukan oleh pelajar setelah mereka tamat
menjalankan kerja kursus berkumpulan tertentu yang diberikan oleh pengajar. Para
pelajar akan diberikan borang penilaian untuk diisi oleh mereka bagi menilai setiap
ahli kumpulan. Penilaian markah ke atas aspek-aspek yang diingini seperti
sumbangan, kerjasama, kefahaman dan komitmen terhadap tugasan dilakukan
menggunakan skala Likert. Kemudiannya, borang tersebut diserahkan semula kepada
pengajar untuk dianalisa dengan lebih lanjut.
Kaedah PRK mempunyai beberapa kelebihan dalam pembangunan kendiri
seorang pelajar (Kaufman et al. 2000). Antaranya ialah ia memberi peluang kepada
para pelajar untuk membuat penilaian kritikal terhadap prestasi kerja pelajar-pelajar
lain yang berada dalam kumpulan yang sama. Ia dapat membantu para pelajar untuk
bersikap lebih berintegriti, jujur dan telus dalam membuat penilaian terhadap sesuatu
perkara. Pada masa yang sama, para pelajar juga akan lebih bersungguh-sungguh dan
sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dalam menjayakan kerja kursus yang
diberikan apabila penilaian kritikal dibuat oleh rakan mereka sendiri. Selain daripada
itu, kaedah PRK juga mewujudkan suasana toleransi di antara para pelajar yang
mempunyai latar belakang berbeza dari segi agama dan bangsa. Dengan penumpuan
diberikan secara terarah kepada setiap pelajar, nilai-nilai asing di antara mereka akan
dapat difahami dengan lebih baik. Ini secara langsung akan meningkatkan lagi
keupayaan para pelajar untuk bersikap rasional dalam menerima perbezaan yang
wujud di antara mereka. Seterusnya, pelajar-pelajar dapat memikirkan kaedah terbaik
untuk menggabungkan perbezaan-perbezaan tersebut ke arah perpaduan yang jitu
untuk diaplikasikan dalam kerja kursus mereka.
Di samping itu juga, kaedah PRK ini memberi manfaat kepada para pengajar.
Keberkesanan pengajar untuk menilai kemahiran dan pengetahuan pelajar dalam
aspek-aspek yang dinyatakan di atas dapat ditingkatkan lagi. Sebagai contoh,
kemahiran kerja secara berpasukan yang kebiasaannya dinilai berdasarkan laporan
aktiviti kerja kursus adalah tidak mencukupi. Ini kerana kemungkinan wujud ketirisan
dalam penilaian tersebut memandangkan faktor situasi pengajar yang bukan
merupakan individu yang terlibat secara aktif dalam kitaran kerja berpasukan pelajar-
pelajar. Oleh yang demikian, kaedah PRK ini merupakan salah satu alternatif dalam
menutup kebocoran yang wujud dalam penilaian pengajar. Penggabungan kaedah
PRK dan kaedah konvensional ini dilihat dapat menambahkan lagi keupayaan
pengajar dalam menilai para pelajar secara lebih telus.
Dalam sudut yang berbeza, kaedah PRK ini masih lagi mempunyai beberapa
kekangan yang dapat membantutkan keberkesanan kaedah ini dalam pengajaran dan
pembelajaran berkesan. Antara kekangan yang dikesan adalah masalah mengenalpasti
ketelusan pelajar dalam menilai rakan-rakan mereka. Faktor-faktor seperti jarak
keakraban, faktor ’personal’ dan kurang bersikap profesionalisme boleh membuatkan
para pelajar bersikap berat sebelah dalam menilai antara satu pelajar dengan pelajar
yang lain. Kekangan seperti ini, sekiranya ia berlaku, sedikit sebanyak akan
mengurangkan keberkesanan kaedah PRK ini. Perbincangan dan pemerhatian secara
terperinci amatlah diperlukan untuk mengatasi isu ini secara lebih bersepadu.
Walaubagaimana pun, kelebihan-kelebihan kaedah PRK ini secara umumnya
memberi impak positif yang lebih besar berbanding impak negatif yang berpunca dari
kekangan yang disebutkan di atas. Secara kesuluruhannya, kaedah PRK dapat
disimpulkan sebagai salah satu kaedah yang efektif dalam mengukur keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang diketengahkan


dalam program-program JKEES pada tahun akademik 2007/2008 telah memberikan
petunjuk yang positif. Teknik-teknik yang dimaksudkan iaitu pengajaran berpasukan,
kaedah jigsaw, kritikan terbuka, dan penilaian rakan kumpulan (PRK) terbukti
memberi manfaat kepada pihak pelajar dan pengajar. Kedua-dua belah pihak secara
langsung telah dapat memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan
yang berasaskan masalah (Problem Based Learning – PBL) dan Pendidikan
Berasaskan Hasil (Outcome Based Education – OBE) yang diamalkan oleh JKEES
ketika ini.

RUJUKAN

Aini Hussain, D. A. Wahab, S. A. Samad, I. Ahmad, A. Mohamad & C. H. Azhari. 2007. The
Infusion Model Approach to Incorporate Generic Skills in Engineering Education.
Proceeding of the 2nd International Conference on Engineering Education & Training
(ICEET07).

Buckley F.J. t.th. Team Teaching: What, Why, and How? How to Evaluate the Team.
http://books.google.com.my/books?id=SXiA02AHhdoC&pg=PP1&dq=buckley+team+tea
ching#PPA75,M. 75-79. [27 Oktober 2008].

Education Encyclopedia – StateUniversity.com. Team Teaching - Advantages, Disadvantages.


http://education.stateuniversity.com/pages/2493/Team-Teaching.html [22 Oktober 2008].

Felder, R. M. and Brent, R. 2004. The ABC’s of Engineering Education: ABET, Bloom’s
Taxonomy, cooperative learning. American Society for Engineering Education. Sesi 1375.

Hafizah Husain, Dzuraidah Abdul Wahab, Aini Hussain, Salina Abdul Samad, Che Husna
Azhari, Azah Mohamed dan Nooritawati Md Tahir. Kesan Kaedah Pembelajaran
Koperatik Teknik Jigsaw di Kalangan Pelajar Kejuruteraan, UKM Prosiding Seminar
Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan 2006.UKM. 44-53.
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem. Self-Assessment Report 2008 for
Bachelor of Engineering with Honours (Electrical & Electronic Engineering). 2008. Bangi.
8 Julai 2008. 4.9–4.16

Johnson, D. W. and Johnson, R. T. 2000. Cooperative Learning Methods: A Meta-Analysis.


http://www.co-operation.org/pages/el-mthods.html. [16 Oktober 2008].

Kaufman, D.B., Felder, R.M., and Fuller, H. 2000, “Accounting for Individual Effort in
Cooperative Learning Teams,” Journal of Engineering Education, 89(2), 133–140.

Lohmann, J.R. 1999. EC 2000: The Georgia Tech Experience. Journal of Engineering
Education. Julai 1999 88(3): 305-310

The Foundation Coalition. t.th. Peer Assessment and Peer Evaluation.


http://www.foundationcoalition.org [21 Oktober 2008].

You might also like