You are on page 1of 31

1

Dasar-dasar yang diperkenalkan semasa era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.

Bincangkan.

PENGENALAN

Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan satu nama besar yang begitu dikenali di

Malaysia. Bahkan, bukan sahaja di Malaysia malahan seantero dunia juga beliau turut dikenali

dan disegani. Tun Dr. Mahathir Mohamad sememangnya dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan

Malaysia’ di negara kita kerana beliau telah banyak memodenkan negara kita daripada pelbagai

segi sewaktu di era pemerintahan beliau.

Perdana Menteri Malaysia yang keempat ini tersohor bukan sahaja sebagai ‘Bapa

Pemodenan Malaysia’ tetapi juga sebagai pemimpin Dunia ke-3 dan Dunia Islam yang disegani. 1

Beliau sangat disegani dengan sikap keterbukaan serta berani apabila berkata-kata dan juga

mengeluarkan idea. Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925.

Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini

dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai,

Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang

adik-beradik.

1
Adi Alhadi, Siapa Mereka?, Hexa Print Enterprise Sdn Bhd, Educlass Publishing and Printing Sdn Bhd, 2007, h. 4.
2

Dalam bidang pendidikan pula, Dr. Mahathir telah memulakan alam persekolahan di

Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan

pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej

Sultan Abdul Hamid. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King

Edward VII of Medicine, Singapura. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor

Perubatan (M.B.B.S) daripada University of Malaya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berkahwin dengan Tun Dr. Siti Hasmah pada Ogos

1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata. Beliau dan isteri telah

membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar.

Tun Dr. Mahathir Mohamad amat meminati bidang penulisan sejak di bangku persekolahan lagi.

Antara buku yang pernah diterbitkan hasil daripada penulisan beliau ialah buku yang bertajuk

“Dilema Melayu” yang diterbitkan pada tahun 1970.2

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bergiat dalam politik sejak tahun 1945-an lagi.

Pelbagai jawatan yang telah disandang oleh beliau dalam bidang politik sebelum menjadi

Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Pada 16 Julai 1981, dan berusia 55 tahun beliau

akhirnya telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas perletakan jawatan Perdana

Menteri oleh Tun Hussien Onn atas faktor kesihatan.

2
http://www.ipdm.uum.edu.my/web/Tun/drm.htm, 5 Mac 2011.
3

Beliau merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana

Menteri Malaysia iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Sepanjang 22 tahun beliau

memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah

beliau rancang dan laksanakan. Selain itu juga, beliau turut memperkenalkan pelbagai dasar

untuk memajukan negara. Antaranya seperti Dasar Pensyarikatan Malaysia, Dasar Pandang Ke

Timur, Dasar Pembangunan Nasional, Wawasan 2020 dan banyak lagi.


4

DASAR-DASAR TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Terdapat pelbagai dasar yang telah diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa

beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dasar secara amnya merujuk kepada prinsip, haluan,

sikap, pandangan serta pegangan secara kolektif yang diambil dan dilaksanakan oleh pihak

pemerintah. Dasar kerajaan sememangnya bersifat menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek

kehidupan masyarakat khususnya bidang ekonomi, politik, agama, sosial, pendidikan dan

sebagainya.

Antara dasar yang diperkenalkan oleh beliau ialah Dasar Wawasan 2020. Pada 28

Februari 1991, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui kertas kerjanya bertajuk ‘Malaysia-

Melangkah ke Hadapan’ telah memperkenalkan Wawasan 2020.3 Wawasan 2020 merupakan

matlamat Malaysia menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Tahun 2020 dipilih

kerana untuk memberi ruang pembentukan generasi baru dalam tempoh 30 tahun melalui

rancangan dan persekitaran yang baik ke arah pembangunan negara.

Selain itu, tahun 2020 dipilih kerana ianya jangka masa yang munasabah dan praktikal

untuk capai matlamat yang dikehendaki. Tambahan pula, tahun 2020 dipilih untuk menetapkan

satu wawasan yang ambitious tetapi munasabah agar tidak ketinggalan dalam perkembangan

3
Wong Khek Seng, Raminah Hj Sabran, Kok Meng Kee, Pengajian Am STPM, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd,
Herald Printers Sdn Bhd, 2006, h. 261.
5

arus pembangunan dunia sejagat. Tahun 2020 juga dipilih agar negara tidak ketinggalan kerana

masa menjadi penentu kemajuan sesebuah negara.

Dasar Wawasan 2020 mempunyai objektifnya yang tersendiri. Objektifnya yang paling

utama adalah untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam seluruh aspek

kehidupan sam ada dalam bidang ekonomi, politik, sosial, kebudayaan mahupun kemajuan

dalam jiwa rakyat Malaysia. Ini bermakna Malaysia bukan sahaja setakat ingin mencapai

kemajuan fizikal, malahan kemajuan yang dihajati meliputi nilai-nilai moral dan etika yang

tinggi dalam diri rakyat Malaysia. Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap agar menjelang tahun

2020, Malaysia Berjaya menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bersatu, progresif, dan

mampu berdikari dengan sendirinya.

Melalui Wawasan 2020 ini, sekiranya berjaya dicapai pasti ramai masyarakat Malaysia

yang bertoleransi, berdaya saing, berdaya tahan, dinamik dan demokratik dapat dilahirkan.

Selain itu juga, sekiranya Wawasan 2020 ini dapat dicapai Malaysia akan terdiri daripada sebuah

bangsa yang tidak dapat dibezakan melalui kaum. Tambahan pula, dalam bidang perindustrian,

rakyat Malaysia nanti bukan setakat menggunakan sains dan teknologi, malahan dapat

melibatkan diri dalam mencipta dan membaharui sesuatu. Bukan itu sahaja, malahan keadilan

ekonomi dan sosial akan dapat dicapai melalui pengagihan yang adil antara kaum, wilayah dan

kawasan bandar dengan luar bandar. Rakyat Malaysia juga akan menjadi rakyat yang bermoral

dan beretika tinggi berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan sistem kekeluargaan akan mejadi

asas pembentukan masyarakat negara.


6

Namun, bukan mudah untuk mencapai Wawasan 2020 ini kerana rakyat Malaysia harus

mengatasi sembilan cabaran ataupun rintangan yang digariskan dalam Wawasan 2020 ini.

Cabaran pertama iaitu negara bersatu. Negara bersatu yang dimaksudkan adalah mewujudkan

rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum yang memiliki matlamat serupa untuk

melahirkan bangsa Malaysia yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang aman, berintegrasi

di peringkat negeri, mewujudkan integrasi kaum, bekerjasama antara kaum dan juga setia dan

dedikasi kepada negara.

Cabaran kedua ialah melahirkan masyarakat berjiwa bebas seperti tenteram,

berkeyakinan terhadap keupayaan diri, gagah menghadapi pelbagai cabaran dan tidak mengalah

kepada sesiapa. Seterusnya, cabaran yang ketiga adalah cabaran untuk melahirkan masyarakat

yang diplomatik yang mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan mengamalkan

demokrasi. Cabaran keempat ialah melahirkan masyarakat yang bermoral dan beretika seperti

memiliki nilai kukuh dalam agama dan nilai moral serta etika yang tinggi. Cabaran kelima iaitu

mewujudkan masyarakat liberal bertolak ansur, bebas mengamalkan adat dan kebudayaan

tersendiri serta mementingkan kesetiaan kepada negara kita, Malaysia. Cabaran yang keenam

pula adalah melahirkan masyarakat yang saintifik dan progresif dengan memiliki daya perubahan

yang tinggi dan menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi masa hadapan.

Kemudian, cabaran yang ketujuh adalah melahirkan masyarakat penyayang yang

mengutamakan budaya penyayang seperti mengutamakan kepentingan masyarakat,

mementingkan kebajikan semua insan dan sistem kekeluargaan yang kukuh. Cabaran yang
7

kelapan adalah melahirkan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi iaitu dengan

melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, perkongsian dalam bidang

ekonomi dan tidak mewujudkan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Akhir sekali,

cabaran yang kesembilan iaitu mewujudkan masyarakat makmur dan mempunyai ekonomi

berdaya saing, dinamik dan kental.

Sehingga kini, pelbagai strategi dan pelaksanaan telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan

mengatasi sembilan cabaran seperti yang disebut di atas. Antara strategi dan pelaksanaan yang

telah dijalankan untuk mengatasi cabaran yang pertama dalam Wawasan 2020, ialah

mewujudkan Sekolah Wawasan, iaitu perkongsian antara Sekolah Kebangsaan dengan Sekolah

Jenis Kebangsaan diperkenalkan. Selain itu juga, Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN)

telah diperkenalkan kepada remaja berumur 18tahun untuk memupuk semangat patriotik selain

semangat perpaduan.

Manakala, strategi dan pelaksanaan yang telah dijalankan untuk mengatasi cabaran

Wawasan 2020 yang kedua iaitu mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, ialah kerajaan

memperkenalkan cogan kata ‘Malaysia Boleh’ pada tahun 1990 sebagai pendorong untuk

meningkatkan keyakinan diri rakyat. Seterusnya, untuk mengatasi cabaran yang ketiga kerajaan

telah mewujudkan Majlis Perundangan Ekonomi (MAPEN) yang merupakan forum untuk

perbincangan pendapat rakyat berkenaan dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Kemudian, penekanan mata pelajaran Pengetahuan Moral dan Pendidikan Islam terhadap pelajar

dilaksanakan bagi mengatasi cabaran Wawasan 2020 yang keempat. Di samping itu, untuk
8

mengatasi cabaran yang kelima, kerajaan telah melaksanakan Program Citrawarna yang

diadakan setiap tahun untuk menonjolkan kebudayaan negeri-negeri berbeza selain

meningkatkan sektor pelancongan negara.

Kemudian, untuk cabaran yang keenam kerajaan telah mengadakan projek mega, iaitu

MSC bagi menyediakan masyarakat ke arah negara maju. Bukan itu sahaja, malahan kerajaan

juga telah mewujudkan Program Sekolah Bestari, iaitu setiap sekolah dapat dihubung oleh

Rangkaian Kawasan Tempatan (LAN) dan menghubungkan Rangkaian Kawasan Meluas (WAN)

ke sekolah lain bertujuan melahirkan masyarakat celik komputer. Selain itu, mata pelajaran

Teknologi Maklumat disediakan sebagai langkah mewujudkan lebih sumber tenaga mahir dalam

ICT dan juga bidang vokasional dan teknik serta politeknik berteraskan kemahiran ditambah.

Kerajaan juga turut menggalakkan penyelidikan dan pembangunan untuk mempercepatkan usaha

kita daripada terlalu bergantung kepada teknologi luar negara.

Bagi mengatasi cabaran yang ketujuh pula, iaitu melahirkan masyarakat yang penyayang,

kerajaan telah mengadakan sekmen ‘Jejak Kasih’ dalam rancangan ‘Malaysia Hari Ini’ di TV3.

Selain itu juga, Hot-line8003040 diadakan juga untuk membantu mangsa-mangsa penganiayaan

dan juga Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga, 1995 diluluskan untuk membantu

mangsa rumah tangga. Bukan itu sahaja, malahan kerajaan juga turut menubuhkan Yayasan

Penyayang Malaysia (CARE) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menyediakan

tempat tinggal dan pembiayaan untuk anak-anak yatim.


9

Di samping itu, untuk cabaran yang seterusnya iaitu cabaran yang kelapan, kerajaan telah

memberikan tumpuan kepada pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian

Bumiputera (MPPB) agar meningkat taraf ekonomi mereka memandangkan kebanyakan

Bumiputera merupakan golongan termiskin. Seterusnya, bagi mengatasi cabaran yang terakhir

iaitu cabaran melahirkan masyarakat yang makmur, kerajaan telah melaksanakan penggunaan

gentian optic oleh Telekom Malaysia Berhad untuk memberi perkhidmatan berkesan kepada

masyarakat. Sistem LRT (Light Railway Transit) dan monorel juga telah diwujudkan untuk

memberi kemudahan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Wawasan 2020 sememangnya satu dasar yang bagus untuk meningkatkan serta

memajukan negara. Sehingga kini, banyak kejayaan Wawasan 2020 telah dicapai seperti semasa

kegawatan ekonomi pada tahun 1997, kerjasama semua kaum di Malaysia telah berjaya

memulihkan semula ekonomi negara kita. Bukan itu sahaja, malahan kejayaan Malaysia

menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998 dan kesanggupan 2000 orang rakyat Malaysia

menjadi sukarelawan untuk menjayakan sukan berkenaan antara contoh kejayaan Wawasan

2020.

Selain itu, ramai rakyat Malaysia telah berjaya menyahut seruan cogan kata ‘Malaysia

Boleh’ seperti M. Mahendran dan N. Mohanadass yang berjaya mendaki gunung tertinggi dunia,

iaitu Gunung Everest pada tahun 1997, Datuk Azhar Mansor yang berjaya berlayar secara solo

mengeliling dunia pada tahun 1997 dan juga Datuk Abdul Malik Mydin yang telah berjaya
10

berenang selama 7 jam 30 minit merentasi Selat Inggeris di antara England dengan Perancis pada

tahun 2003.

Bukti kejayaan Wawasan 2020 juga dapat dilihat apabila banyak kemudahan yang

setanding dengan negara maju boleh diperoleh seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala

Lumpur (KLIA), sistem LRT, monorel dan sebagainya yang dapat dinikmati oleh rakyat masa

kini. Mykad, iaitu kad pintar yang merupakan kad pengenalan rakyat menyimpan pelbagai

maklumat pemegangnya seperti butiran kad pengenalan, passport, nombor akaun bank dan

sebagainya juga merupakan bukti kejayaan Wawasan 2020. Melalui bukti-bukti pencapaian

Wawasan 2020 ini, jelas menunjukkan bahawa Wawasan 2020 merupakan satu dasar yang bagus

untuk memajukan serta membangunkan negara untuk menjadi negara yang gah di persada dunia.

Selain daripada Dasar Wawasan 2020, Tun Dr, Mahathir juga turut memperkenalkan

Dasar Pembangunan Nasional pada 17 Jun 1991. Dasar Pembangunan Nasional juga

sememangnya dikenali sebagai Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua yang merangkumi

jangka masa 10 tahun iaitu dari tahun 1991 hingga 2000 dan meliputi Rancangan Malaysia

Keenam dan juga Rancangan Malaysia Ketujuh. Di bawah Dasar Pembangunan Nasional

terdapat Dasar Telekomunikasi Negara dan juga Koridor Raya Multimedia.

Objektif dasar ini diwujudkan adalah untuk melahirkan perpaduan dalam kalangan

masyarakat agar kita dapat menikmati kestabilan sosial dan politik dan pembangunan ekonomi
11

yang berterusan. Dasar Pembangunan Nasional ini menetapkan garis panduan agar

membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju dari segi keadilan sosial, ketertinggian

moral dan etika, kestabilan politik, kecekapan pentadbiran dan kualiti hidup masyarakat

Malaysia. Dasar ini berasaskan kepada Dasar Ekonomi Baru kerana dasar ini ingin mencapai

matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dengan objektif mencapai

perpaduan.

Selain itu juga, dasar ini mempunyai beberapa aspek yang perlu ditekankan. Antaranya

ialah mewujudkan keseimbangan optimum antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan

pengagihan saksama, memastikan pembangunan seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi

negara dan juga mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi

negara untuk menggalakkan perkongsian faedah yang saksama antara rakyat Malaysia. Di

samping itu, dasar ini juga menekankan integrasi nasional antara kawasan Bandar dengan luar

bandar dan antara negeri di Malaysia, membangunkan masyarakat progresif agar kesejahteraan

dinikmati rakyat memiliki sikap bangga serta cinta pada negara. Dasar ini juga menekankan

aspek untuk memajukan sumber manusia agar dapat menghadapi cabaran pembangunan tanpa

menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat, menjadikan sains dan teknologi sebagai

asas perancangan dan pembangunan sosioekonomi dan akhir sekali, pemeliharaan alam sekitara

dan ekologi agar pembangunan serta sumber negara dapat dikekalkan secara berterusan.

Dasar Pembangunan Nasional ini juga berobjektif untuk membasmi kemiskinan bagi

mengurangkan kemiskinan relatif, memberikan tumpuan kepada pembangunan sebuah


12

Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) agar mengekalkan penyertaan

Bumiputera dalam kegiatan ekonomi. Selain itu, dasar ini juga memberikan penekanan dalam

sektor swasta dalam proses penyusunan semula masyarakat dan juga memberikan tumpuan

kepada pembangunan sumber manusia agar mencapai pertumbuhan ekonomi saksama.

Antara strategi dan juga pelaksanaan yang dilaksanakan untuk mencapai dasar ini adalah

dengan memberikan penekanan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan untuk

menghapuskan kemiskinan. Selain itu, Malaysia juga meningkatkan daya tarikan untuk menarik

kemasukan pelabur di samping mengamalkan dasar liberal yang menggalakkan sektor swasta

dan berani menghadapi risiko persaingan perdagangan antarabangsa. Kerajaan juga turut

melaksanakan perubahan dalam sektor awam dengan tumpuan kepada beberapa program bagi

tujuan membasmi kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dalam hal

berkaitan pendidikan dan latihan, kesihatan, jalan pengangkutan luar bandar, pengangkutan,

perumahan dan juga bekalan air dan elektrik.

Bagi mencapai dasar ini juga, kerajaan turut menyusun semula masyarakat mengikut

fungsi-fungsi ekonomi dan hak milik agar memajukan Bumiputera dalam bidang ekonomi.

Bukan itu sahaja, malahan kerajaan juga turut menjadikan Majlis Pembangunan Negara untuk

memantau bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan selaras dengan objektif Dasar

Pembangunan Nasional.
13

Selain daripada Dasar Wawasan 2020 dan juga Dasar Pembangunan Nasional, Tun Dr.

Mahathir Mohamad juga turut memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada 8 Februari 1982

semasa persidangan “5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA” di Hilton, Kuala

Lumpur. Dasar ini didefinisikan sebagai pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian

dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan

Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Dasar Pandang Ke

Timur sememangnya tidak ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk

dipraktik di Malaysia dan mengetepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.

Selain itu, seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea merupakan dua buah

negara yang begitu pesat membangun di beberapa bidang dan kedua-dua negara ini adalah lebih

maju daripada beberapa negara Barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan

contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat

pembangunan negara dengan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam

dan swasta.

Setiap dasar yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sememangnya

mempunyai objektifnya yang tersendiri. Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk

meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan

masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan

kemajuan negara.
14

Perkara-perkara yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah kerajinan dan disiplin

bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja,

keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran dan mutu yang

tinggi, peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan

pekerja am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-

mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi

yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita. Sebagai sebuah

negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja di atas perlu diamalkan kerana ianya

dapat membantu menjayakan usaha-usaha pembangunan yang dijalankan.

Selain itu, Dasar Pandang Ke Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan

hubungan dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya Kerajaan akan terus

memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan rakan-rakan bukan

tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan perdagangan yang setia

selaras dengan kepentingan negara.

Pelbagai strategi dan juga pelaksanaan telah dilaksanakan bagi mencapai Dasar Pandang

Ke Timur ini. Antaranya, Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan

akhbar bersama dengan Tun Dr. Mahathir semasa Tun Dr. Mahathir membuat lawatan ke Jepun

pada 23 hingga 29 Januari 1983 dan kenyataan bersama, Tun Dr. Mahathir dan Presiden

Republik Korea, Encik Chun Doo Hwan semasa Tun Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea

Selatan dari 8 hingga 14 Ogos 1983, telah menaruh harapan yang tinggi bahawa Dasar Pandang
15

Ke Timur ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih rapat di antara Malaysia dengan kedua-dua

negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi, perindustrian, latihan-latihan teknikal dan

akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan.

Selain itu, selaras dengan dasar ini, kerajaan telah menyusun strategi dan program bagi

meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik dalam kalangan

pegawai dan kakitangan. Buktinya, Pegawai-pegawai dan pelajar Malaysia telah dihantar ke

Jepun dan Korea untuk mempelajari selok belok teknikal dan aspek pengurusan di kedua-dua

negara tersebut. Di antara program yang telah dijalankan adalah seperti perubahan struktur,

perubahan sikap dan latihan dan kursus.

Program Perubahan Struktur memberikan pendedahan dan juga pengenalan kepada

sistem kad perakam waktu kerja, penggunaan tanda nama, penubuhan Pasukan Meningkat Mutu

Kerja (QCC), konsep pejabat terbuka, perkhidmatan kaunter atau perkhidmatan pembayaran bil

setempat dan juga fail meja dan manual prosedur kerja. Seterusnya, program perubahan sikap

memberikan pendedahan berkaitan perkhidmatan cemerlang, Konsep Bersih, Cekap dan Amanah

dan juga Kepimpinan Melalui Teladan.

Manakala, program latihan dan kursus di bawah Dasar Pandang ke Timur ini adalah

seperti Latihan Perindustrian dan Teknikal yang bertujuan untuk melatih pekerja di bidang

teknikal dalam usaha meninggikan kecekapan dan menerap nilai kerja yang positif dari Jepun
16

dan Korea dalam meninggikan penghasilan kerja. Selain itu, Program Pengajian Akademik

bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu sains

dan teknikal di Jepun dan Republik Korea.

Kemudian, Program Pengajian Teknikal bertujuan untuk menyediakan peluang latihan

teknikal lanjutan pada pelajar-pelajar lepasan SPVM dan Politeknik. Program Kemajuan

Eksekutif pula adalah untuk menyediakan latihan kepada eksekutif-eksekutif dalam mempelajari

kaedah pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan swasta di Jepun dan Korea. Mereka akan

ditempatkan di beberapa firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan Korea. Penekanan-penekanan

yang di berikan dalam program ini ialah latihan-latihan dalam bidang pengurusan Sogoshosha,

Perjawatan, Q.C.C dan pengurusan am.

Selain itu, program Hubungan di antara Institusi-institusi pula bertujuan untuk

menyalurkan permohonan latihan yang diperlukan oleh Malaysia kepada institusi pengajian

tinggi di Jepun dan Korea. Program Skim Latihan Pembangunan Usahawan pula merupakan

program yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri

memberi peluang dan pendedahan, usahawan-usahawan bumiputera terhadap idea baru dan

teknologi luar pengetahuan-pengetahuan ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini

juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan peluang 'business contacts' dengan

rakan-rakan perniagaan di sana.


17

Sebagai kesimpulannya, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif

dari pihak kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan di

negara ini. Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha di atas dan

seterusnya. Dasar ini dapat membantu usaha kerajaan untuk meninggikan prestasi dan daya

pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas penwujudan sebuah masyarakat

yang dinamik dan progresif.

Dasar seterusnya yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Dasar

Pensyarikatan Malaysia. Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporate ini telah

diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu pelancaran Forum INTAN pada 25

Februari 1983. Semenjak   itu  dasar  ini  telah  banyak  dikupas  dan dibincangkan bukan sahaja

oleh media  massa  tetapi juga  oleh  ahli-ahli  politik,  ahli-ahli  perniagaan, pegawai kerajaan

dan juga golongan intelektual.

Secara amnya, dalam negara seperti Malaysia ini terdapat dua sektor  utama  yang  akan

menentukan maju dan mundurnya negara  ini,  iaitu  sektor  swasta  dan  sektor  awam. Kedua-

dua  sektor  ini  seharusnya   boleh  bekerjasama dalam semua  bidang  untuk  mencapai  dan 

meningkatkan pembangunan dan imej negara ke tahap yang lebih baik. Dilihat sekali imbas

sektor swasta adalah menjadi pendokong  kepada  aktiviti  perdagangan  dan  ekonomi, manakala

sektor awam akan menyediakan dasar-dasar utama dan  menentukan  arah  serta  menyediakan 

perkhidmatan sokongan yang tertentu kepada pihak swasta. Hal ini jelas menunjukkan bahawa

pihak   kerajaan atau awam lebih merupakan pemberi perkhidmatan kepada syarikat perusahaan.


18

Selain itu juga, keperluan kepada dasar Persyarikatan Malaysia  ini wujud hasil dari kesedaran

bahawa pada masa ini terdapat beberapa  perkara  dan  persoalan-persoalan  asas yang menjadi 

berasingan  atau  bertentangan  seperti   soal matlamat  organisasi, perhubungan peranan dan

peraturan di antara pihak awam dan swasta.

Persyarikatan  Malaysia  berobjektif untuk  mewujudkan  satu kerjasama  yang  erat,

bermakna  dan berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam  menjayakan

pembangunan  negara  yang akan membuahkan mafaat yang akan dikecapi oleh kedua-dua

pihak. Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sememangnya telah menerangkan  konsep

Persyarikatan   Malaysia  memerlukan  kedua-dua  sektor menghapuskan sikap permusuhan  dan 

sebaliknya  bersama berkongsi   maklumat,   tanggungjawab,   cabaran  serta memahami polisi,

objektif dan prosedur-prosedur dalam usaha-usaha   mempertingkatkan   pembangunan    sosial,

pentadbiran dan ekonomi negara. Hubungan kerjasama yang erat ini sememangnya

akan menguntungkan semua pihak di mana dasar-dasar awam akan mudah difahami, dilaksana

dan   diterima   oleh   segenap   lapisan   masyarakat. Keuntungan yang diperoleh oleh sektor

swasta pula akan dapat dikecapi bersama-sama    melalui    cukai   dan penglibatan sosial secara

bersungguh oleh pihak swasta.

Kesefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua sektor boleh dicapai sekiranya sikap

kurang faham terhadap pihak awam dengan pihak swasta dihapuskan. Pihak awam dan swasta

haruslah mempunyai satu persetujuan bagi mencapai matlamat negara. Dengan itu, kedua-dua

pihak mempunyai matlamat iaitu menjaga maruah negara dan tidak hanya satu pihak sahaja  


19

yang akan bersungguh membangunkan negara. Peraturan  dan  prosedur  kerja  pihak  awam juga

hendaklah dikaji dan diubah di mana perlu dan jika boleh pihak swasta hendaklah  dilibatkan

dalam  menggubal  peraturan  serta  prosedur yang ada.

Di samping itu, hubungan  di antara Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun antara 

satu  sama lain hendaklah dipertingkatkan supaya setiap agensi kerajaan mempunyai matlamat 

kerja  dan  cara  bekerja yang sama. Ini membolehkan pihak swasta mudah menghubungi dan

menguruskan kerja-kerja mereka. Tambahan pula, dalam hubungan ini, pihak INTAN telah

mengadakan beberapa siri forum, seminar dan perbincangan dalam usaha-usaha mendapatkan

pandangan-pandangan pertukaran-pertukaran   maklumat di    peringkat persekutuan  

dan negeri-negeri. Beberapa syarikat swasta juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan

seminar yang serupa. Bukan itu sahaja, bahkan dalam usaha mewujudkan kerjasama yang lebih

erat dan  penglibatan  pihak  swasta dalam penggubalan dasar dan  prosedur, secara  lebih 

berkesan, satu  Surat Pekeliling  Am  Bil.  2  Tahun 1984 yang ditandatangani oleh  Ketua

Setiausaha   Negara   telah   dikeluarkan, mengarah   supaya  semua  Kementerian,  Jabatan, 

badan berkanun dan Pejabat Daerah menubuhkan  Perundingan  di antara pihak swasta dan pihak

awam.

Selain itu, beberapa program-program lain juga telah dijalankan seperti menempatkan

pegawai kerajaan ke syarikat swasta.  Sebagai permulaannya  seramai  18 orang  pegawai  telah 

ditempatkan di British Malaysian Industry and Trade Association (BMITA) mulai tahun 1984
20

yang lalu dengan tujuan membolehkan pegawai-pegawai itu mempelajari  selok

belok pengurusan   sektor   swasta dalam bidang perniagaan, perdagangan   dan industri. Antara

strategi dan juga pelaksanaan lain yang telah dilaksanakan bagi mencapai dasar ini adalah

dengan mengadakan aktiviti tidak formal untuk memperkukuhkan hubungan sektor awam

dengan sektor swasta. Bukan itu sahaja, malahan kerajaan juga turut mengadakan sesi dialog

yang digunakan oleh agensi kerajaan untuk berinteraksi dengan sektor swasta.

Dasar Persyarikatan Malaysia sebenarnya memerlukan perubahan sikap oleh kedua-dua

sektor awam dan swasta untuk memupuk persefahaman dan kerjasama yang lebih erat agar

kesejahteraan rakyat Malaysia dapat dipertingkat. Hal ini timbul atas kesedaran kedua-dua pihak

sebenarnya adalah sehaluan untuk menjadikan negara ini lebih maju. Sememangnya potensi bagi

ekonomi Malaysia bertambah maju amatlah besar memandangkan negara kita ini kaya dengan

sumber asli yang seharusnya diusahakan. Dasar Persyarikatan Malaysia ini adalah untuk

mengusahakan sumber-sumber ini melalui kerjasama yang padu di antara sektor awam dan  

sektor   swasta. Sememangnya pelaksanaan Dasar Persyarikatan  Malaysia  yang  berkesan  akan 

dapat memberi sumbangan yang besar ke arah kejayaan lain-lain  dasar  awam negara  seperti 

Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pertanian Negara, Penswastaan dan lain-lain.

Tun Mahathir Mohamad juga turut memperkenalkan Dasar Penswastaan pada tahun

1983. Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan, iaitu satu proses yang

menambah pemilikan dan penguasaan kerajaan dalam ekonomi. Secara amnya, penswastaan

melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta.
21

Sektor awam bukan sahaja terlibat dalam menyediakan dasar utama dan menentukan arah dan

penyediaan perkhidmatan tetapi juga telah terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan

perdagangan di Malaysia. Saiz sektor awam sememangnya telah berkembang dengan begitu

pesat. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi antara faktor-faktor utama yang membawa kepada

Dasar Penswastaan ini diperkenal.

Dasar ini sememangnya mempunyai objektifnya yang tersendiri. Antaranya adalah untuk

mengurangkan bebanan kewangan kerajaan. Hal ini kerana pada masa yang lepas, kerajaan telah

membelanjakan lebih ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan

keretapi dan sebagainya. Perbelanjaan ini telah terus meningkat daripada masa ke masa dan

kadar pulangan balik kepada kerajaan adalah lambat dan sangat rendah. Bukan itu sahaja,

malahan kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan

tertentu dalam masa yang sama.

Dasar ini juga berobjektif untuk meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja.

Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan

perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan tersendiri dan

menikmati berbagai sokongan daripada kerajaan. Oleh itu, dengan menswastakan beberapa

perkhidmatan kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang

boleh diberi oleh pihak swasta adalaha dijangka perkhidmatan tersebut dapat ditingkatan dengan

lebih baik lagi.


22

Objektif seterusnya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kekesanan

negara. Sememangnya, harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum

diusahakan sepenuhnya. Halangan-halangan yang terdapat dalam sektor awam tidak

menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya.

Lebih banyak syarikat swasta yang dapat diwujudkan dengan secara tidak langsung dapat

meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak kerajaan juga dapat

mengecapi nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan daripada syarikat-syarikat yang

berkenaan.

Dasar ini juga bertujuan untuk pembahagian sumber serta kecekapan. Seperti yang kita

sedia maklum, lebih banyak penglibatan kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak

penguasaan kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat

berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-

barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan sememangnya mencerminkan nilai

pasaran negara. Harga barang tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diperuntukkan

pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap.

Sememangnya, subsidi dan pengekalan sikap yang menginginkan kebajikan akan

menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara

keseluruhannya. Objektif yang seterusnya adalah untuk mempercepat pencapaian matlamat

Dasar Ekonomi Baru dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta. Kerajaan juga
23

dapat mewujudkan lebih banyak penyertaan daripada syarikat swasta Bumiputera atau bilangan

pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru.

Pelbagai strategi dan pelaksanaan yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi

mencapai matlamat Dasar Penswastaan ini. Antaranya, Jabatan Perdana Menteri membantu

menswastakan agensi-agensi kementerian secara berperingkat kerana pelaksanaan dasar ini tidak

merugikan pegawai-pegawai agensi berkenaan kerana sentiasa diawasi oleh kerajaan. Bukan itu

sahaja, malahan juga kerajaan turut mewujudkan Jawatankuasa khas, Unit Perancang Ekonomi

untuk melaksanakan Dasar Penswastaan ini.

Pelaksanaan peringkat awal bagi dasar ini adalah secara ad hoc berdasarkan Garis

Panduan Penswastaan 1985. Selain itu juga, Pelan Induk Penswastaan telah digubal pada tahun

1991, untuk memastikan pelaksanaan Dasar Penswastaan dijalankan dengan lebih selaras,

sistematik dan komprehensif. Melalui pelan ini, kerajaan dapat mengenal pasti beberapa kaedah

penswastaan. Pelan Tindakan Penswastaan bertujuan untuk melaksanakan program bagi setiap

tahun dengan mengenal pasti projek yang diswastakan, halangan pelaksanaan dan juga langkah

yang sesuai diambil sebelum penswastaan bermula.

Seterusnya, kerajaan juga turut mewujudkan Badan kawan selia yang berfungsi untuk

mengekalkan standard dan melindungi kepentingan pengguna daripada segi harga, mewujudkan

dan menentukan perkhidmatan berkualiti yang diberi dan memastikan pembangunan industri
24

berkembang dengan sihat di bawah program-program yang diswastakan. Badan kawal selia ini

juga turut dibantu oleh empat orang suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Kawal Selia Sektor Tenaga

dan juga Suruhanjaya Kawal Selia Sektor Pengangkutan yang dibawahnya terdapat dua

suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Kawal Selia Sektor Air dan Sanitasi dan juga Suruhanjaya Kawal

Selia Sektor Komunikasi dan Multimedia.

Seperti yang kita sedia maklum, kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Penswastaan

timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik yang sepatutnya dikendalikan

oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan ini sememangnya dikhuatiri boleh

menyebabkan kenaikan kos harga dan pengagihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh

pemonopolian tersebut. Walaubagaimanapun, secara konklusinya jika dasar ini dikaji secara

mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan

penyalahgunaan kuasa monopoli di atas, ia akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang

lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna-penggunanya dan sekaligus akan mempercepat

pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Selain daripada kesemua dasar yang telah dihuraikan, terdapat satu lagi dasar yang

diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Dasar Bersih, Cekap dan Amanah sebagai

satu dasar yang menjadi amalam kepada semua di negara ini. Dasar ini dilancarkan oleh beliau

pada pertengahan April 1982. Dasar ini adalah selaras dan sebagai asas kepada kempen

Kepimpinan Melalui Teladan pada 19 Mac 1983.


25

Sememangnya, pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung besar

kepada sikap yang positif serta bermoral tinggi pengurusan-pengurusan pekerjaan pentadbiran

dan rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu, kesedaran haruslah ditanamakan di jiwa pegawai-

pegawai awan, pegawai-pegawai swasta, pekerka-pekerja dan rakyat supaya mereka memahami

tugas dan tanggungjawab masing-masing dan melaksanakannya dengan cekap dan berkesan di

samping mempunyai sikap bersih dan juga amanah. Perasaan dan juga tanggapan mereka bekerja

semata-mata bagi memenuhi keperluan diri sendiri iaitu untuk mendapatkan upah atau ganjaran

hendaklah dikikis dan sebaliknya semangat bekerja bagi faedah negara dan rakyat

keseluruhannya hendaklah ditanamkan di jiwa semua. Kempen ataupun dasar Bersih, Cekap dan

Amanah adalah satu usaha yang diharapkan dapat mencapai tujuan yang dikehendaki.

Objektif utama dasar ini adalah untuk mewujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat

yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada hasil dan mutu kerja. Selain

itu sikap-sikap seperti Bersih, Cekap dan Amanah juga haruslah disematkan dalam jiwa semua.

Bersih di sini bermaksud mempunya moral yang tinggi, tatatertib dan berdisiplin, tidak

menyelewengkan sesuatu dan juga tidak menerima rasuah ataupun memberikan rasuah. Sikap

bersih ini dapat diamalkan sekiranya amalan berkecuali iaitu tidak memihak ke mana-mana

pihak ataupun berat sebelah diamalkan terlebih dahulu. Sikap tidak mementingkan diri sendiri

dan juga tidak khianat, hasad dan dengki merupakan antara contoh maksud bersikap bersih.

Kemudian, sikap cekap di sini bermaksud berani dan cepat dalam membuat keputusan.

Antara contohnya, adalah bersikap tenang ketika menghadapi krisis, bersikap tegas kepada
26

prinsip, mempunyai produktiviti yang tinggi dan kualiti dalam kerja, mempunya keyakinan diri,

berpandangan jauh, serta berpengetahuan berpengalaman dan mahir dalam bidang-bidang

tertentu. Sikap amanah pula bermaksud rela dan cuba menjalankan tugas dan tanggungjawab

yang diamanahkan dalam kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai

objektif yang diingini. Sikap amanah ini dapat dicapai sekiranya semua orang mempunyai sikap

yang luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri dan rakan dalam melaksanakan konsep ini.

Pelbagai strategi dan juga pelaksanaan yang telah dijalankan untuk mencapai kempen

serta dasar yang dikehendaki ini iaitu Bersih, Cekap dan Amanah. Antaranya adalah kerajaan

mengadakan Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja. Perkara ini diwujudkan kerana kerajaan

telah menyedari bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran awam berpunca daripada

ketidakpastian pegawai dan kakitangan kerajaan mengenai tugas dan juga kuasa untuk bertindak

dan juga wujudnya pertindihan tugas dan tanggungjawab. Hal ini mengakibatkan mereka tidak

yakin untuk membuat keputusan tetapi sebaliknya terpaksa merujuk kepada pihak atasan tauapun

agensi lain iaitu Manual Prosedur Kerja dan juga Fail Meja yang akan menentukan cara sesuatu

kerja harus dijalankan, siapa yang bertanggungjawab, siapa yang mempunyai kuasa, pihak yang

harus dihubungi, apa peraturan dan juga undang-undang yang disemak dan langkah-langkah

yang harus diambil. Oleh itu, dengan adanya Manual Prosedur dan juga Fail Meja, kerajaan

berharap agar pentadbiran menjadi semakin licin dan mempercepat tindakan.

Seterusnya, kerajaan telah membaiki aspek pengurusan melalui teknik-teknik baru seperti

mesyuarat dan kumpulan meningkat Mutu Kerja. Melalui teknik ini, pegawai-pegawai dan
27

kakitangan kerajaan di semua lapisan boleh memberi sumbangan fikiran dan tidak menunggu

arahan semata-mata. Idea-idea baru dan pandangan praktikal boleh disuarakan untuk membaiki

mutu kerja. Secara khusunya, teknik baru ini memerlukan setiap penjawat awam mempunyai

sikap inovatif dan juga kreatif.

Selain itu juga, kerajaan turut meperluas khidmat pusat-pusat pembayaran bil setempat

untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan urusan mereka dengan cepat dan

menjimatkan masa tanpa terpaksa pergi ke beberapa jabatan yang berasingan. Kerajaan juga

turut mewujudkan Pejabat Pelan Terbuka bagi memastikan ruang pejabat digunakan secara

optima dan membolehkan pengawasan dijalankan dengan lebih sempurna. Kad perakam waktu

juga turut diperkenal bagi menentukan semua pegawai mengikut waktu sebagai satu formaliti

tetapi yang penting ialah mereka mengambil berat tentang waktu dan bertindak mengikut jadual.

Disamping itu juga, kerajaan turut mengadakan pengisytiharan harta oleh para anggota

kabinet dan pegawai serta kakitangan kerajaan. Bukan itu sahaja, malahan pemakaian tag nama

juga diwajibkan oleh kakitangan kerajaan, kerajaan menegaskan dan mengukuhkan peranan

Badan Pencegah Rasuah bagi menyiasat tuduhan-tuduhan rasuah, mewujudkan perkhidmatan

cemerlang bagi menghargai pegawai-pegawai yang dedikasi dan telah memberikan sumbangan

yang istimewa dan di dalamnya terkandung tujuh Teras Perkhidmatan yang menjadi asas bagi

prestasi kelakuan dan kerja-kerja seharian kakitangan awam dan akhir sekali, kerajaan turut

menghantar pegawai-pegawai melanjutkan pelajaran bagi meluaskan pengetahuan dan

pengalaman mereka agar dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna dan produktif.
28

Secara konklusinya, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah adalah satu konsep yang murni.

Sifat-sifat ini adalah asas yang penting dalam mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang

bertamadun dan bermoral bertepatan dengan Islam sebagai agama rasmi di negara kita.

Sekiranya dasar ini dapat dicapai, pastinya ia akan memberi kesan dalam pencapaian satu

pentadbiran yang benar-benar berhasrat mencapai daya pengeluaran yang tinggi melalui etika

dan nilai bekerja yang progresif selaras dengan kehendak moral yang murni.
29

KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat dihuraikan di sini adalah kesemua dasar yang telah dilaksanakan

oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sememangnya mempunya obektifnya yang tersendiri dan

kebanyakannya adalah untuk memajukan negara kita. Sememangnya, kita tidak dapat

menyangkal bahawa kesemua dasar yang telah diperkenalkan beliau merupakan sebab ataupun

faktor negara kita kini sudah dikenali di seantero dunia.

Buktinya, Dasar Wawasan 2020 telah melahirkan ramai rakyat Malaysia yang berjaya

menggapai kejayaan dan memecahkan rekod dunia seperti M. Mahendran, N. Mohanadass,

Datuk Azhar Mansor, dan Datuk Abdul Malik Mydin. Bukan itu sahaja, bahkan pelbagai

kemudahan baru dan juga sistem-sistem baru diwujudkan sekaligus menjadikan negara kita

setanding dengan negara maju yang lain.

Melalui Dasar Pembangunan Nasional pula negara kita telah berjaya melahirkan ramai

rakyat yang bersatu-padu walaupun berlainan kaum dalam masa yang sama kestabilan sosial dan

juga politik semakin maju dan pembangunan ekonomi semakin meningkat di persada dunia.

Kadar kemiskinan pada masa kini juga di negara kita semakin berkurang malahan ramai rakyat

Malaysia terutamanya golongan Bumiputera semakin maju daripada segi ekonomi.


30

Dasar Persyarikatan Malaysia pula telah mewujudkan jalinan mesra antara sektor awam

dan juga swasta dalam menggembleng tenaga untuk membangunkan dan meningkatkan ekonomi

negara. Melalui Dasar Persyarikatan Malaysia ini, ekonomi negara semakin maju pada masa

kini. Perkhidmatan berkaitan perniagaan, perdagangan dan juga pelaburan di negara kita juga

semakin maju dan meningkat.

Seterusnya, Dasar Penswastaan telah meningkatkan mutu perkhidmatan, kualiti

kecekapan dan juga produktiviti sehingga merangsang pertumbuhan ekonomi negara kita pada

masa kini. Bukan itu sahaja, melalui dasar ini juga matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk

menyusun semula bentuk hak milik dalam kerajaan juga berjaya dicapai dan juga beban

kewangan kerajaan telah berjaya dikurangkan dengan adanya dasar penswastaan ini.

Dasar Pandang Ke Timur pula merupakan faktor utama kepada hubungan perdagangan

yang baik antara negara kita dengan negara-negara Timur dan dalam masa yang sama kita

sehingga kini masih menjaga hubungan baik dengan negara-negara Barat juga. Dasar ini juga

telah meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan negara kita pada masa kini. Bukan itu

sahaja, bahkan dalam bidang pengurusan dan pembangunan negara juga semakin meningkat jika

kita lihat pada ketika ini.

Akhir sekali, iaitu Dasar Bersih, Cekap dan Amanah telah menyebabkan kegiatan rasuah

semakin berkurangan dalam negara kita. Selain itu juga pencapaian dalam pentadbiran juga
31

semakin tinggi dan etika serta nilai bekerja yang progresif selaras dengan kehendak-kehendak

moral yang murni dan terpuji juga telah dapat dicapai apabila pada masa kini pelbagai kejayaan

yang telah negara kita kecapi.

Konklusinya, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa dasar-dasar yang telah

diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membawa kepada banyak pencapaian

kepada negara kita dan juga merupakan faktor utama kepada peningkatan ekonomi dan juga

mentaliti rakyat di negara kita. Sekiranya dasar-dasar yang diperkenalkan beliau masih kekal

dilaksanakan sehingga kini, pastinya negara kita akan menjadi semakin dikenali dan dapat

digelar negara dan juga rakyat kelas pertama.

You might also like