You are on page 1of 5

Bone China - Haram?

isiarkan di dalam Majalah I terbaru, Mac 2009

Kebelakangan ini sibuk diperkatakan isu pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tulang haiwan oleh
masyarakat kita. Memandangkan penggunaan tulang haiwan ini telah lama digunakan dan dipakai secara
meluas di dalam industri-industri pembuatan, maka timbul keraguan dikalangan masyarakat islam adakah
ianya halal untuk digunakan atau sebaliknya.

Tulisan ini asalnya merupakan kertas kerja yang telah dibentangkan oleh penulis di dalam majlis fatwa
perlis ketika membincangkan isu ini. Semoga perkongsian ilmu dengan para pembaca sekalian dapat
memberikan manfaat dan ganjaran disisi Allah s.w.t.

Persoalan mengenai tulang haiwan sama ada ianya boleh dimanfaatkan atau tidak, dibincangkan oleh para
ulamak ketika mana mereka membahaskan persoalan kenajisan sesuatu perkara. Maka perselisihan yang
berlaku dikalangan mereka adalah bertitik tolak dari penentuan adakah benda tersebut termasuk di dalam
kategori najis atau tidak dan sekiranya najis adakah ianya boleh dibersihkan.

Seperti yang telah diketahui tidak ada perselisihan dikalangan ulamak bahawa kesemua bahagian haiwan
yang halal dimakan adalah halal, seperti kulit, bulu, tulang, tanduk, kuku dan sebagainya apabila ianya
disembelih secara syar’ie, dan ini bukanlah perbincangannya. Cuma perselisihan berlaku kepada haiwan-
haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya atau yang dikategorikan sebagai bangkai iaitu yang mati
secara tidak disembelih.

Kenajisan bangkai

Persoalan menentukan sesuatu itu najis atau tidak, mestilah berpandukan kepada dalil. Maka tidak boleh
seseorang mendakwa sesuatu benda itu najis tanpa membawakan dalil yang menyatakan kenajisannya. Dan
tidak semestinya setiap yang diharamkan itu maka hukumnya najis. Maka kaedah asalnya “setiap benda itu
adalah suci dan tidak semua yang diharamkan itu semestinya najis. Sebab itu Imam al-Son’ani menyebut di
dalam kitabnya “Subulus Salam”: “Yang benarnya, hukum asal kepada sesuatu itu adalah suci, dan hukum
pengharaman sesuatu benda itu tidak semestinya benda tersebut najis… dan sesuatu yang dihukum sebagai
najis maka sudah semestinya ianya haram, maka setiap najis itu haram tetapi tidak sebaliknya”.

Oleh yang demikian kenajisan bangkai itu telah disepakati oleh para ulamak berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abdullah bin Abbas dia berkata: Aku mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda: Apabila disertu kulit maka ianya telah suci.

Imam al-Son’ani menyebut lagi: “Adapun bangkai, sekiranya tidak warid dari Nabi “Menyamak atau
Menyertu kulit itu ialah menyucikannya” dan “Mana-mana kulit yang disertu sesungguhnya ia telah suci”
nescaya kami katakan ianya suci. Kerana di dalam al-Quran hanya menyebutkan pengharaman
memakannya. Tetapi kami hukumkan kenajisannya kerana adanya dalil (tentang kenajisannya) selain
daripada dalil pengharamannya”.

Bangkai seperti yang ditakrifkan oleh Syarak ialah haiwan yang mati bukan melalui jalan penyembelihan
yang syar’ie. Maka haiwan yang mati bukan dengan cara disembelih maka ianya dikira bangkai dan haram
dimakan. Termasuk juga dalam istilah bangkai apa sahaja yang terpotong atau terputus daripada bahagian
haiwan yang masih hidup maka dikira bangkai berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan
oleh Abu Dawud dan selainnya: Apa-apa yang dipotong dari bahagian haiwan, sedang ia masih hidup maka
ia adalah bangkai.
Adakah Tulang termasuk di dalam istilah bangkai?

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa ulamak bersepakat di atas kenajisan bangkai. Walaupun demikian
timbul pula perbincangan apakah bahagian-bahagian haiwan yang mati itu yang dikira sebagai bangkai dan
najis? Adakah keseluruhan haiwan tersebut atau bahagian-bahagian yang tertentu. Adakah tulang, tanduk,
kuku, bulu, kulit dan sebagainya itu juga dikira sebagai bangkai? Di sini penulis bawakan pendapat dari
empat mazhab yang masyhur. Pendapat-pendapat ini boleh dirujuk di dalam kitab Al-Fiqh ‘ala Mazahib al-
Arba’ah oleh Abdul Rahman al-Jaziri

• Al-Malikiyyah berkata: Bahagian-bahagian bangkai yang mengandungi unsur hidup ialah seperti daging,
kulit, tulang, urat dan seumpamanya (najis) berbeza seperti rambut, bulu kibas, bulu unta dan bulu yang
halus ianya bukanlah suatu benda yang hidup maka ia bukanlah najis.

• Al-Syafieyyah berkata: Keseluruhan bahagian bangkai dari tulang, daging, kulit, rambut, bulu dan yang
selainnya adalah najis kerana ianya yang mengandungi unsur hidup disisi mereka (Syafieyyah).
• Al-Hanafiyyah berkata: daging dan kulit yang mengandungi unsur hidup itu adalah najis. Ini berbeza
dengan tulang, kuku, paruh, kuku, hafir (tapak kuda), tanduk, rambut maka ianya suci kerana ianya
bukanah benda yang hidup, kecuali bulu babi (najis). Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada seekor
kambing yang telah mati (bangkai) “sesungguhnya yang diharamkan itu memakannya” di dalam riwayat
yang lain “dagingnya” maka ini menunjukkan bahawa selain daripada daging tidak diharamkan
termasuklah bahagian-bahagian yang disebut selagi ia tidak bercampur dengan lemaknya. Ia akan menjadi
najis dengan sebab lemaknya, bagi masalah al-Usub (urat) terdapat 2 riwayat, yang masyhurnya suci. Dan
sebahagian menyatakan yang paling sahih ianya najis.

• Al-Hanabilah berkata: Keseluruhan bahagian bangkai yang digolongkan benda yang mempunyai unsur
hidup maka ianya najis kecuali (segala jenis bulu binatang) maka ianya suci, mereka berdalilkan dengan
keumuman firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu kibas, bulu unta dan
bulu kambing, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke
suatu masa”. Al-Nahl: 80. Kerana zahir ayat ini meliputi dua keadaan iaitu hidup dan mati.

Al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebut di dalam al-Mughni: “Masalah: (Begitu juga bekas dari
tulang bangkai haiwan) ianya najis. Ini kerana tulang dari bangkai haiwan merupakan najis sama ada
bangkai dari haiwan yang boleh dimakan dagingnya atau yang tidak boleh dimakan seperti gajah tidak
boleh disucikan walau dengan apa cara sekalipun. Ini pendapat mazhab Malik, Syafi’e, dan Ishak. Atho’
dan Thowus, al-Hassan, Umar bin Abdul Aziz r.hum. tidak menyukai tulang gajah”.

Maka kesimpulan awal yang diperolehi ialah tulang haiwan itu dihukumkan najis oleh majoriti para ulamak
mazhab kerana ianya termasuk di dalam istilah “al-Maitah” iaitu bangkai. Walau bagaimanapun sebahagian
di kalangan ulamak pula berpendapat sebaliknya kerana mereka mengira tulang itu tidak termasuk di dalam
istilah bangkai.

Memanfaatkan penggunaan tulang

Walaupun kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa tulang itu najis, namun terdapat juga dikalangan para
ulamak yang menafikan kenajisan tulang dan membenarkan penggunaannya, Antaranya seperti yang telah
dinyatakan sebelum ini iaitu Al-Imam Abu Hanifah dan secara umumnya mazhab hanafi. Pendapat ini juga
merupakan sebahagian pendapat di dalam mazhab malik dan Ahmad. Turut membenarkannya ialah
Muhammad bin Sirin, Ibn Juraij, al-Tsauri dan yang selainnya seperti yang disebut di dalam al-Mughni:
“Yang membenarkan untuk dimanfaatkan dengannya (tulang) ialah Muhammad bin Sirin dan yang
selainnya , juga Ibn Juraij berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanadnya daripada
Tsauban bahawasanya Rasulullah s.a.w. membeli untuk Fatimah rantai dari Asab (urat sendi haiwan) dan
gelang dari tulang… adapaun tulang dari bangkai-bangkai yang lain, al-Tsauri dan Abu Hanifah
menyatakan kesuciannya”.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga menyokong dan membenarkan pendapat Abu Hanifah ini, bahawasanya
tulang tidak termasuk di dalam benda yang najis. Ulasan yang dikemukakan oleh syeikhul Islam Ibn
Taimiyyah boleh dirujuk di dalam Majmuatul fatawa 21/97-101 dan penulis ringkaskan seperti berikut

• Hukum asal bagi setiap sesuatu itu suci dan tidak ada dalil di atas kenajisannya

• Tulang, tanduk, kuku, bulu dan sebagainya termasuk di dalam benda yang baik “al-Toyyibat” bukan
benda yang kotor “al-Khabaith”.

• Tulang dan benda-benda yang telah disebutkan tidak termasuk di dalam apa yang Allah haramkan, tidak
dari segi lafaz dan tidak juga dari segi maknanya. Dari segi lafaz perkara-perkara yang telah disebutkan
tidak termasuk di dalam lafaz “al-Maitah” bangkai. Ini kerana “al-Mayyit” mati lawan kepada perkataan
“al-Haiy” hidup. Kehidupan pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu kehidupan “al-Hayawan” (bernyawa)
dan kehidupan “al-Nabat” tumbuh-tumbuhan. Ciri-ciri kehidupan hayawaniyyah ialah rasa, pergerakan dan
berkehendak, manakala ciri-ciri kehidupan tumbuhan ialah per tumbuhan dan pemakanan. Maka firman
Allah Ta’ala yang bermaksud: “diharamkan ke atas kamu bangkai” membawa maksud perpisahan
kehidupan haiwan (bernyawa) bukan kehidupan tumbuhan. Jadi bangkai yang diharamkan oleh Allah itu
bermaksud: apabila berpisah nyawa maka terpisah juga rasa, pergerakan dan rasa berkehendak, maka itu
yang dinamakan sebagai mati dan dinamakan sebagai bangkai. Oleh yang demikian kita mengetahui
bahawasanya bulu, tulang, kuku dan sebagainya termasuk di dalam kategori kehidupan “al-Nabatiah”
tumbuh-tumbuhan (bukannya kehidupan hayawaniah, maka ia bukan dari kategori bangkai). Kerana ianya
tidak bergerak dengan sendirinya tetapi hanyalah mengikut (kepada asalnya).

Ulamak bersepakat mengatakan haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir “Dam al-Sail” maka
ianya tidak najis, seperti lalat, kala jengking, kumbang dan seumpamanya walaupun ianya mati menjadi
bangkai. Sekiranya begitu maka kita mengetahui bahawasanya illat (sebab) kenajisan bangkai itu ialah
disebabkan kerana bercampur dengan darah yang mengalir. Ini menunjukkan bahawa tulang ialah bahagian
yang lebih utama untuk tidak dinajiskan kerana tulang tidak bercampur atau tidak mempunyai darah yang
mengalir. Maka haiwan-haiwan yang mati, yang terpisah daripadanya rasa, pergerakan dan berkehendak
(kehidupan haiwan) tidak dinajiskan, oleh kerana ianya tidak mempunyai darah yang mengalir, mengapa
pula tulang itu dinajiskan sedangkan tulang tidak mempunyai darah yang mengalir?

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Tidak aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku
sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau
darah yang mengalir.

Pengharaman sesuatu itu kadang-kadang disebabkan adanya darah (iaitu darah yang mengalir) dan
kadangkala disebabkan rosaknya penyembelihan seperti sembelihan majusi dan orang yang murtad.
Sekiranya demikian maka tulang, tanduk, kuku dan yang seumpamanya tidak mempunyai darah yang
mengalir, oleh itu tidak ada sebab untuk dinajiskan

• Sebuah hadis di dalam al-Sahih, Nabi s.a.w. berkata di dalam masalah kambing Maimunah yang mati
“mengapa kamu tidak mengambil kulitnya dan manfaatkannya? Mereka menjawab: sesungguhnya ia
bangkai, Nabi berkata: Yang diharamkan ialah memakannya. Riwayat al-Bukhari tidak menyebut perkataan
“al-Dibagh” samak . Dan Nabi s.a.w. menjadikan proses menyamak atau sertuan ke atas kulit itu sebagai
penyucinya kerana dengan melakukan yang demikian itu mengeringkan kulit tersebut daripada kelembapan
cecair (darah) “al-Rutubah”. Ini menunjukkan bahawa sebab kenajisan sesuatu itu disebabkan oleh
kelembapan cecairnya, sedangkan tulang itu tidak ada padanya cecair yang mengalir “Rutubah Sailah”. jika
sekiranya ada maka dia boleh dikeringkan dan ianya akan berkekalan dan terpelihara lebih daripada kulit,
maka tulang itu lebih utama kesuciannya daripada kulit.

Antara ulamak-ulamak semasa yang berpendapat seperti ini ialah Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya
Fiqh al-Sunnah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Taisir al-Fiqh lil Muslim Mu’asir, Dr.
Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya al-Mufassol, dan begitu juga fatwa yang telah dikeluarkan oleh
islamweb.net pada tahun 2005/1426 apabila ditanya tentang masalah ini.
Sementara syeikh Hussin bin Audah al-‘Awaisyah di dalam kitabnya al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-
Muyassarah berpendapat tulang, rambut/bulu, tanduk adalah najis bagi haiwan yang dihukumkan
kenajisannya. Tetapi beliau kemudiannya menyatakan: “kecuali jika sekiranya boleh di samak”. Ini
menunjukkan tulang, tanduk, bulu dan sebagainya sekiranya boleh disamak maka ianya menjadi suci.
Pernyataan ini beliau mengambil faedah daripada gurunya iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani.

Kesimpulan yang diperolehi dari perbahasan ini bahawasanya tulang walaupun jumhur ulamak
mengharamkan penggunaannya disebabkan kenajisannya tetapi hujah para ulamak yang tidak
menghukumkan kenajisan tulang dan seterusnya boleh dimanfaatkan seperti Imam Abu Hanifah dan
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga merupakan hujah yang kuat.

Disebabkan itu islamweb.net memilih dan mentarjihkan pendapat yang kedua yang membenarkan
penggunaannya. Mereka menyatakan: “Adapun jika tulang itu dari haiwan yang dikira bangkai, maka
adanya perselisihan dikalangan ulamak dalam memanfaatkannya, dan yang rajih (tepat) daripada pendapat-
pendapat mereka Insya Allah, dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya seperti kulit haiwan
setelah mana ianya disamak atau disertu, oleh itu tiada halangan untuk menggunakan tulang haiwan selagi
mana tiada halangan yang boleh menghalangnya dari dimanfaatkan”.

Jika hukum kenajisan tulang itu diterima sepertimana hujah jumhur ulamak, ianya disebabkan
bercampurnya tulang tersebut dengan darah atau lembapan, maka sekiranya bahagian-bahagian tersebut
boleh disucikan dengan cara menyamaknya pada ketika itu insya Allah ianya suci dan harus
dimanfaatkannya kerana kaedah menyamak itu bertujuan menghilangkan kelembapan atau lendiran yang
ada pada bahagian tersebut.

Tulang di dalam Industri Pembuatan

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa kenajisan tulang itu disebabkan lembapan darah, lemak dan
sebagainya yang melekat pada tulang tersebut dan apabila ianya disamak maka hilanglah kelembapan
tersebut sekaligus menjadikannya suci dan boleh digunakan. Oleh yang demkian tidak menjadi masalah di
dalam industri pembuatan yang serba moden dan canggih.

Melalui proses yang dijalankan, secara tidak langsung menghilangkan kelembapan yang masih melekat di
bahagian tulang atau bahagian-bahagian lain yang seumpamanya. Sekiranya kita boleh menerima kaedah
samak yang menggunakan sabun daripada tanah yang telah diproses, mengapa pula kita tidak boleh
menerima proses moden di dalam menghilangkan segala kelembapan dan darah yang terlekat pada
bahagian tertentu seperti kulit, tulang, tanduk, kuku dan sebagainya?

Bone China - Tulang di dalam pembuatan pinggan mangkuk atau tembikar.

Bone China ialah pinggang mangkuk atau tembikar yang menjadikan salah satu bahan utama untuk
membuatnya ialah tulang. Ia adalah sejenis porselin (tembikar) yang pertama dihasilkan di Britain dengan
mengkalsinkan (pembakaran) tulang lembu (abu tulang yang disebut bone ash) sebagai bahan utama.
Kelebihan tembikar ini adalah warnanya yang amat putih, lutsinar dan ianya kukuh. Penghasilanya melalui
dua peringkat pembakaran, peringkat pertama di bakar 1280 c (2336 c) yang akan menjadikannya lutsinar
dan peringkat kedua ia digliskan dan dibakar pada suhu yang rendah kurang dari 1080c (1976 c)
(http://en.wikipedia.org/wiki/Bone_china)

Bone Ash atau abu tulang adalah serbuk putih yang terhasil dari proses pembakaran(pengkalsinan) tulang .
Bahan utamanya adalah kalsium fosfat, dimana ia biasanya digunakan dalam baja, bahan pengilap dan
bahan dalam membuat seramik (seperti tembikar cina- Bone China). Melalui sejarahnya ia juga digunakan
dalam pembuatan serbuk penaik dan ujian kupel. Walaupun alternatif-alternatif sintetik telah dihasilkan
(sintetik tri- atau dikalsium fosfat), kebanyakkan tembikar Bone China masih dibuat menggunakan abu
tulang yang semulajadi. Abu tulang sintetik juga digunakan sebagai satu agen untuk melonggarkan logam
yang tidak poros dari acuan seperti tembaga. (http://en.wikipedia.org/wiki/Bone_ash) Gambar: Bone Ash
(Abu Tulang)
Bone Char - Tulang di dalam pembuatan penapis, pemekat petroleum dan warna untuk lukisan

Bone Char juga dikenali sebagai tulang hitam atau arang tulang, ia adalah bahan hancur yang dihasilkan
dari pembakaran tulang haiwan. Tulang tersebut dibakar pada suhu tinggi (dalam lingkungan 400-500 c)
dalam atmosfera tanpa oksigen untuk mengawal kualiti produk tersebut supaya ia meningkatkan
keupayaannya menyerap florida dalam air dan menapis besi berat dari bahan cecair. Kualiti yang terhasil
dari arang tulang ini mudah dikenal pasti menurut warnanya. Arang hitam menunjukkan tulang tersebut
tidak dibakar sepenuhnya dan masih mengandungi kotoran organic yang boleh menyebabkan warna atau
bau yang tidak dingini kepada air yang hendak dirawat/tapis. Arang tulang yang berwarna putih pula adalah
arang tulang yang terlebih dibakar dan hanya mempunyai kadar peyerapan florida yang rendah. Arang
tulang yang berwarna kelabu-kecoklatan adalah yang terbaik untuk aplikasi penyerapan. Kualiti arang
tulang itu biasanya dikawal dengan jumlah oksigen yang wujud ketika proses pembakaran. Arang tulang
biasanya mengandungi kalsium fosfat dan sedikit karbon. Arang tulang kebiasaanya mempunyai
permukaan yang rendah berbanding karbon aktif tetapi mempunyai kadar penyerapan yang tinggi
berbanding kuprum, zink dan cadmium.

Arang tulang biasanya digunakan untuk mengeluarkan florida dari air dan menapis air dari aquarium. Ia
juga digunakan dalam industri penapisan gula untuk menghilangkan warnanya. Di Australia gula yang
ditapis di sana tidak menggunakan arang tulang . Arang tulang juga digunakan di dalam minyak mentah
untuk menghasilkan jeli petroleum.

Arang tulang ini juga digunakan sebagai pigmen hitam, yang mana digunakan dalam lukisan artistik kerana
ia menghasilkan hitam yang pekat . Ivory black adalah pigmen hitam yang artis (pelukis) gunakan yang
dibuat dari proses menghancurkan gading atau tanduk dan dicampurkan ke dalam minyak. Pada masa kini
ianya banyak menggunakan arang tulang Bone Char disebabkan kos yang mahal untuk mendapatkan
gading atau tanduk, juga disebabkan haiwan yang menjadi sumber untuk memperolehi gading tersebut
telah dilindungi kerana ianya sepsis yang terancam. (http://en.wikipedia.org/wiki/Bone_char)

Bone Folder – Tulang yang dijadikan sebagai bahan pelipat.

Satu lagi produk yang diperbuat dari tulang ini ialah Bone Folder atau pelipat tulang ialah alat yang tidak
tajam yang digunakan untuk meluruskan atau melipat sesuatu bahan seperti digunakan untuk menjilid
buku, membuat kad atau apa saja yang perlu lipatan yang tajam dan kemas. Ia juga sering digunakan untuk
menanda fabric (kain) tanpa merosakkannya . ia sering dihasilkan dari tulang lembu, rusa, atau haiwan
yang seumpamanya. Terdapat juga alternatif sintetik yang diperbuat dari plastik. Pelipat tulang yang dibuat
dari teflon mempunyai kelebihan di mana ianya tidak meyebabkan tanda yang berkilau pada kertas ketika
digunakan.

Ini adalah antara contoh produk-produk yang terkenal yang dihasilkan daripada tulang haiwan dan banyak
lagi produk-produk yang lainnya seperti barangan perhiasan, gelang, rantai dan yang lain-lainnya. Jika
dilihat kepada proses “Bone China” atau “Bone Char” maka pembakaran yang disebut sebagai proses
pengkalsinan tulang untuk menghasilkan abu “Bone Ash” lalu digunakan untuk menghasilkan tembikar
atau pinggan mangkuk sudah cukup untuk menghilangkan segala kelembapan yang terdapat pada tulang
tersebut. Bahkan ianya lebih lagi daripada proses menyamak kulit yang biasa dilakukan untuk
mengeringkan kulit dan sebagainya. Maka bagaimana boleh lagi dikatakan ianya masih bernajis?

Wallahu a’lam

You might also like