You are on page 1of 6

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“KESEDARAN BENCANA KESEJAHTERAAN BERSAMA”


(31 DISEMBER 2010 / 25 MUHARRAM 1432H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri
saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan
ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan
segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia
dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk:
“KESEDARAN BENCANA KESEJAHTERAAN BERSAMA”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Mutakhir ini beberapa negara di dunia digemparkan dengan kejadian bencana alam
yang meragut ratusan ribu jiwa dan kerugian berbillion ringgit harta benda dalam
masa sekelip mata. Kita masih ingat lagi, berapa ngerinya bencana Tsunami di
bandar Aceh, Indonesia yang berlaku pada 26 Disember 2006 yang telah

1
mengorbankan 200,000 jiwa dan menjadikan kawasan tersebut seperti padang
jarak padang tekukur.
Negara kita juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kejadian-kejadian
bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan ombak besar
Tsunami. Terbaru sekali, kejadian banjir besar di utara Semenanjung tanah air
yang telah mengorbankan 6 nyawa yang kebanyakkannya adalah anak-anak kecil.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Dalam al-Quran Allah SWT telah menceritakan banyak tamadun manusia
dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh
dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi
dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya,
bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman
Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.Firman Allah SWT dalam
surah al-Ankabut ayat 40:

Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu


di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu;
dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan
ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di
laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi
merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Peringatan Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita


bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan
menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana

2
yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi
mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain
merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada
jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa
merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan
kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah
hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya
dan mana yang tidak.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada
kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang
ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka
hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan
pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan
alam semesta tergugat . Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di
laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini
ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta.
Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi
adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana,
hubung kait antara manusia dengan alam begitu rapat sekali.

3
Menyedari bencana alam adalah sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak
diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam
mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dipertingkatkan. Di negara
kita, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri adalah agensi utama
yang bertanggungjawab menyelaras segala tindakan menangani bencana alam,
namun usaha tersebut perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu
semua pihak baik daripada syarikat swasta, badan bukan Kerajaan dan tidak lupa
juga daripada masyarakat dan orang ramai.
Perlu disedari bahawa apabila bencana berlaku, masyarakat adalah
merupakan kumpulan pertama yang akan berhadapan dengan musibah
tersebut.Persoalannya, wujudkah kesedaran kita terhadap bahaya bencana yang
berlaku ini?. Justeru itu, penerapan terhadap kesedaran bencana di kalangan
masyarakat adalah amat penting bagi mengurangkan impak sesuatu bencana sama
ada dalam bentuk kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Masyarakat
perlu melibatkan diri secara aktif dalam pengurusan bencana sama ada sebelum,
semasa dan selepas berlakunya bencana.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Besempena dengan kedatangan 2011 yang bakal membawa lembaran baru bagi
setiap kita yang mana sedikit sebanyak ia akan memberi kesan dalam kehidupan
seharian. Dalam meniti ambang tahun baru ini, seharusnya menjadi satu
kesempatan ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan seterusnya berusaha
mencari jalan bagi memperbaiki serta meningkatkan lagi kualiti diri dari masa ke
semasa dalam semua aspek kehidupan dengan membina azam dan semangat baru.
Sepertimana yang diketahui umum, sambutan malam tahun baru ini
lazimnya akan disambut dengan berbagai aktiviti. Orang ramai diajak berkumpul
di tempat-tempat tertentu samada terbuka mahupun tertutup. Mereka di sajikan

4
dengan hiburan dan pertunjukan yang pastinya banyak mengundang perkara yang
negatif dan mencemarkan dengan pelbagai kegiatan maksiat dan tidak bermoral.
Mimbar ingin menegaskan bahawa budaya yang sebegini bukanlah budaya
Islam. Budaya sambutan sebegini adalah budaya yang dipropagandakan oleh
musuh-musuh Islam melalui serangan ideologi agar umat Islam terpesong daripada
peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka sempena
dengan kedatangan tahun baru 2011 ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama
membina azam dan semangat baru yang berlandaskan ajaran Islam dengan
mengamalkan sepenuhnya, iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah, cinta
kepada Rasul-Nya dan tidak melakukan perbuatan yang keji seperti rasuah,
menganiayanya kaum yang lemah, memfitnah, memeras ugut, suka mengadu
domba dan perbuatan-perbuatan keji yang lain. Dengan cara ini insyaallah kita
dapat menjana bangsa yang bermaruah dan membangun ummah yang gemilang.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman
Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d ayat 2:

Maksudnya: " Allah jualah yang meninggikan langit tanpa tiang sebagaimana
kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia menundukkan
matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar untuk suatu masa yang ditetapkan.
Allah jualah yang mentadbirkan urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaan-
Nya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu untuk
menerima balasan."

5
6

You might also like