You are on page 1of 9

Masalah Penguasaan Jawi: Kajian Tindakan

Salam Rakan Bloggers…Lama saya tidak berbicara di laman maya ini. Kesibukan tugas saya
membuatkan saya agak sukar untuk meng’update’ blog saya. Namun begitu, saya tidak pernah lupa
rakan-rakan sekalian. Tidak ada yang baru kali ini, Cuma pada kali ini saya ‘upload’kan kajian
tindakan saya semasa di SKDN dulu, bagi memudahkan penyelidik berkongsi idea dengan saya.
Semoga bahan yang diuploadkan ini dapat dimanfaatkan oleh kalian. Kalian adalah barisan hadapan
pejuang dijalan ALLAH, jangan sesekali biarkan anak-anak didik kita kekurangan ilmu terutamanya
dalam bidang Pendidikan Islam dan Jawi.

Kertas Cadangan

Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Jawi di Kalangan Pelajar Tahun 4: Kajian Kes
di Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding

Bab 1: Pernyataan Masalah

1.1 Pengenalan
Tulisan Jawi adalah salah satu daripada warisan bangsa Melayu yang perlu dipertahan dan dipelihara.
Pada satu ketika dulu, tulisan jawi menjadi antara medium bagi penyampaian ilmu di kalangan umat
Islam di nusantara. Selain sebagai medium penyampaian ilmu, tulisan jawi juga digunakan bagi
menyelesaikan urusan harian seperti jual beli, undang-undang, politik dan perhubungan
antarabangsa.

Antara bukti tulisan jawi digunakan secara meluas di nusantara ialah penemuan surat-surat perjanjian
jual beli yang ditulis dalam tulisan jawi, penemuan batu-batu bersurat yang dijumpai di Kedah dan
Terengganu, Kanun Undang-Undang Negeri seperti Hukum 44 di Kedah, Majallah Ahkam di Johor dan
Hukum Kanun Melaka yang dipraktikkan di Melaka semuanya ditulis dan dibukukan dalam tulisan jawi
lama.

Dalam penyebaran ilmu, tidak dinafikan tulisan jawi memainkan peranan yang sangat penting. Pada
zaman dahulu kita dapat lihat, ulama’-ulama’ tersohor di rantau alam Melayu menulis kitab semuanya
menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi sebagai medium penyampaiannya. Antara penulisan
tersebut ialah Matla’ al-Badrain karangan Sheikh Ahmad al-Fathani, Furu’ Masail dan Munyatul Musalli
karangan Syeikh Daud al-Fathani, Durr al-Thamin karangan Syeikh Abdullah al-Fathani, Faridatul
Fara’id karangan Syeikh Abdussamad al- Palembangi dan Bahrul al-Mazhi karangan Syeikh Idris al-
Marbawi.

Kebelakangan ini, kita dapati penguasaan dan minat masyarakat terhadap tulisan jawi agak
berkurangan. Sebagai bukti, Akhbar Utusan Melayu yang telah diterbitkan sejak sebelum merdeka lagi
telah diberhentikan pengeluarannya akibat daripada tidak mendapat sambutan yang menggalakkan
daripada masyarakat Melayu sendiri. Namun begitu, tindakan pantas Kementerian Kebudayaan dan
Kesenian menanggung sebahagian besar kos pencetakan akhbar ini menjadikan akhbar ini terus
diterbitkan namun bukan lagi sebuah akhbar tetapi hanya dalam bentuk sisipan yang diterbitkan
bersama Utusan Malaysia setiap hari Isnin.

Tulisan jawi juga terpinggir selepas kerajaan memutuskan bahawa tulisan rumi digunakan sebagai
medium bagi penyampaian bahasa Melayu dan pada satu ketika Pendidikan Islam juga menggunakan
tulisan rumi sebagai tulisan rasmi menyebabkan tulisan jawi semakin hilang daripada masyarakat
Melayu di Malaysia.

Namun begitu, tulisan jawi kembali diberi nafas baru apabila kerajaan mewajibkan pendidikan Islam
menggunakan tulisan jawi dan menyediakan buku teks Pendidikan Islam dalam tulisan Jawi. Selain
daripada itu, usaha bekas Perdana Mewnteri yang Kelima Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
memperkenalkan program j-QAF di sekolah-sekolah rendah bermula pada tahun 2005 seolah
memberikan tulisan Jawi nafas baru bagi membugarkan semula kegemilangan tulisan Jawi pada satu
ketika dulu.

Selain daripada itu, kehadiran Kaedah Ejaan Dewan yang di susun secara teratur oleh pakar-pakar
bahasa menjadikan kaedah tulisan jawi semakin tersusun. Wujudnya Kamus Dewan bagi Ejaan Jawi
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memantapkan lagi usaha jitu kerajaan bagi memartabatkan
tulisan jawi. Diharapkan dengan usaha jitu daripada semua pihak dapat mengembalikan semula
tulisan jawi sebagai salah satu medium penyampaian ilmu pengetahuan.

Justeru itu, bagi memastikan warisan tulisan jawi ini terkubur, suatu usaha yang bersepadu dan
bersungguh secara berterusan perlu dilakukan bagi memastikan tulisan jawi kekal sebagai medium
kepada penyampaian ilmu di serata nusantara. Melihat kepada pengalaman semasa sebagai guru,
perlu ada kajian yang mendalam berkaitan masalah yang dihadapi oleh murid sehinggakan
menghilangkan minat untuk belajar tulisan jawi.

1.2 Latar belakang Kajian

Kajian ini dilakukan sebagai kajian tindakan bagi memastikan bahawa semua murid SKDN menguasai
tulisan jawi menjelang 2015 bertepatan dengan misi sekolah, SKDN Cemerlang Menjelang 2015.
Kajian ini juga mengambil kira aspek-aspek kelemahan P&P, kesediaan pelajar, motivasi rendah untuk
setiap pelajar dan sukatan pelajaran sedia ada.

Kajian ini juga sebagai perintis kepada kajian-kajian yang lebih terperinci dalam bidang pengajaran
dan pembelajaran jawi bagi memastikan tulisan jawi terus berkembang subur dalam masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Diharapkan kajian ini dapat menyelesaikan persoalan penguasaan jawi di kalangan pelajar Sekolah
Kebangsaan Dusun Nanding dan akan menjadikan SKDN sebagai sekolah sifar buta jawi menjelang
2015.

Selepas selesai kajian tindakan ini, kajian ini akan dipanjangkan ke Sektor Pendidikan Islam di
Jabatan Pelajaran Selangor dan Bahagian PendidIkan Islam di Kementerian Pelajaran Malaysia untuk
rujukan dan kajian kes bagi masalah pembelajaran jawi di salah sebuah sekolah di Malaysia.

Semoga kajian ini menjadi titik awal bagi memartabatkan tulisan jawi di peringkat sekolah rendah dan
diteruskan diperingkat yang lebih tinggi demi memastikan tulisan jawi terus menjadi pilihan dan
perhatian masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia.
1.3 Latarbelakang Permasalahan Kajian

Kajian ini akan memberikan penumpuan kepada penguasaan kemahiran membaca dan menulis jawi di
kalangan pelajar tahun empat. Antara sebab tahun 4 dipilih dan dijadikan penanda aras dalam
penilaian ini adalah berasaskan beberapa faktor; pertama, adalah kerana tahun 4 empat adalah fasa
peralihan daripada tahap satu kepada tahap dua. Sewajarnya murid telah menguasai kedua-dua asas
ini sebagai persediaan kepada kemahiran yang seterusnya pada tahap dua.
Kedua, adalah disebabkan tahun 4 adalah tahun pertama di Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding yang
menerima program j-QAF di mana program ini membekalkan guru terlatih bersama dengan modul-
modul khas terutamanya Modul Pemulihan Jawi. Selain daripada itu, guru-guru ini adalah guru yang
dilatih khusus bagi tujuan pemulihan jawi. Justeru, inilah masa yang sesuai menilai keberkesanan
program ini dan jika terdapat kelemahan, kelemahan tersebut perlu ditampung mengikut kesesuaian
bagi menjamin program ini terlaksana dengan jayanya.

Ketiga, tahap perkembangan fisiologi murid juga berada dalam fasa yang berlainan daripada murid
tahun 1 hingga 3. Justeru, kajian ini diperlukan bagi mengkaji bagaimana perubahan fisiologi dan
kematangan murid mempengaruhi kemahiran sedia ada.

Kajian ini akan melibatkan semua murid tahun empat SKDN yang berjumlah 115 orang sebagai
sampel kajian (soal selidik dan pengumpulan data) dan 7 orang Guru Pendidikan Islam terlatih
sebagai responden untuk temubual dan 20 orang murid lemah jawi yang telah dikenalpasti melalui
ujian yang dilaksanakan oleh GPI sebagai sampel kepada aktiviti pemulihan jawi.

Kajian ini akan mengumpulkan semua data pelajar tahun empat untuk dianalisis tahap pencapaian
sebenar pelajar dalam tulisan jawi. Sumber kepada data-data ini ialah peperiksaan akhir tahun ketika
mereka berada di tahun 3, peperiksaan pertengahan tahun bagi tahun semasa dan penilaian jawi 6
bulan yang termasuk dalam instrument j-QAF. Setelah data ini dikenal pasti murid akan dikelaskan
mengikut tahap penguasaan jawi mereka seperti Amat baik, Sederhana dan Lemah. Murid yang lemah
akan dijadikan sampel bagi aktiviti pemulihan jawi. Manakala murid yang sederhana akan diberi latih
tubi di dalam kelas harian. Guru GPI yang mengajar kelas tersebut akan dimaklumkan tahap murid.
Pada akhir tahun akan diadakan penilaian sekali lagi sebagai persediaan kepada kajian tindakan
selanjutnya.

1.4.1 Tujuan Kajian

Tujuan kajian yang utama adalah untuk mengenalpasti dan mengumpul data berkaitan penguasaan
kemahiran membaca dan menulis jawi yang bertujuan untuk memudahkan tindakan susulan
dijalankan bagi memastikan SKDN sifar buta jawi menjelang tahun 2015. Antara objektif mikro bagi
kajian ini ialah:
1. Mengenalpasti dan mengumpul maklumat berkaitan latar belakang murid. Latar belakang murid
juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pencapaian murid. Ini akan memudahkan
guru menggunakan pendekatan yang sesuai.

2. Mengenalpasti jumlah murid bagi pengkelasan yang ditetapkan iaitu baik, sederhana dan lemah.
Perincian data mengenai tahap penguasaan murid terhadap sesuatu kemahiran adalah perlu bagi
memudahkan guru melakukan aktiviti tambah nilai, pengayaan dan pemulihan di dalam dan luar
kelas.

3. Mengenalpasti bagaimana kecenderungan pelajar terhadap tulisan jawi. Ini amat penting supaya
aktiviti jawi boleh disemarakkan dengan memahami secara jelas dan terang berkaitan minat murid
terhadap tulisan jawi.

4. Sebagai instrumen bagi menilai murid keupayaan asas jawi. Murid yang lemah akan diwajibkan
menyertai Kem Celik Jawi yang akan diadakan pada akhir bulan 12. Kem ini bertujuan melahirkan
pelajar yang mampu menguasai kemahiran asas bagi bacaan dan tulisan jawi.
5. Mengenalpasti tahap bantuan yang diberi oleh ibu bapa dan penjaga terhadap kemahiran menulis
dan membaca jawi.
1.4.2 Persoalan Kajian
Kajian ini cuba merungkaikan persoalan yang unik yang berlaku di kalangan pelajar SKDN. Kajian ini
akan cuba melihat kelemahan penguasaan kemahiran membaca dan menulis jawi daripada beberapa
sudut yang berbeza. Kajian ini akan cuba mendedahkan kepada masyarakat hubungkait antara
kemahiran dan penguasaan pelajar di sekolah dengan latarbelakang sosiobudaya dan sosioekonomi
setempat. Kajian ini dengan menggunakan instrumen yang dibina akan cuba memberikan jawapan
terhadap hubungkait yang telah dinyatakan.

Kajian ini juga cuba mengaitkan pencapaian murid dengan hubungan mesra antara guru dan murid.
Kajian ini akan cuba membina satu modul yang akan diterapkan dalam Kem Celik Jawi yang sudah
tentunya menggunakan pendekatan berbeza daripada apa yang murid pelajari dan dapat di dalam
kelas. Diharapkan dengan lahirnya modul tersebut dapat memudahkan pelajar menguasai kemahiran
membaca dan menulis jawi dalam masa yang telah ditetapkan.

Kajian ini juga cuba menjawab beberapa persoalan yang sering berlegar di fikiran masyarakat awam
berkaitan dengan hubungkait penguasaan pelajar dalam sesuatu matapelajaran dengan minat yang
telah dipupuk oleh ibu bapa daripada kecil lagi atau minat dan kecenderungan yang dibina oleh guru-
guru semasa pelajar berada di tahap yang lebih bawah. Justeru menggunakan instrument temubual
dan soal selidik, kajian ini pada akhirnya cuba menjelaskan kepada warga ibu bapa dan pendidik
bagaimana membina minat n kecenderungan lam sesuatu matapelajaran khususnya jawi dan
pendidikan Islam secara keseluruhannya.

Justeru itu, pada akhir kajian ini, kita akan mendapat beberapa rumusan berdasarkan persoalan
kajian yang telah diutarakan di atas dan selari dengan matlamat kajian ini dilaksanakan. Jika
penyelidik merasakan kajian ini sebagai kajian pertama dan memerlukan kajian lanjutan, penyelidik
akan terus membina hipotesis baru bagi memperincikan lagi aspek-aspek yang tidak diperincikan
dalam kajian ini.
1.5 Hipotesis Kajian
Pandangan umum menyatakan bahawa kesediaan pelajar untuk menerima ilmu adalah perkara asas
dalam memastikan pelajar tersebut berjaya menguasai kemahiran-kemahiran yang diajar di sekolah.
Umum juga di sajikan dengan beberapa kajian yang menyatakan bahawa minat dan kecenderungan
murid adalah antara asas utama kejayaan murid dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Selain
daripada itu, kita sering mendengar, apabila pelajar gagal menguasai kemahiran asas gurulah orang
pertama yang dipersalahkan. Selain daripada itu, faktor kelemahan IQ dan EQ pelajar juga sering
dijadikan alasan kepada kegagalan penguasaan kemahiran asas.

Kajian ini bukanlah sebuah kajian yang cuba menafikan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, tetapi
cuba mengutarakan penyelesaian daripada sudut berbeza. Dengan instrumen yang telah dibina kajian
ini akan cuba mencari adakah wujud hubungkait antara kemahiran dan penguasaan pelajar di sekolah
dengan latarbelakang sosiobudaya dan sosioekonomi setempat. Ini adalah berdasarkan kepada
pemerhatian dan pembacaan penulis berkaitan pencapaian UPSR di sekolah bandar, luar bandar,
pedalaman dan pinggir bandar. Penulis mendapati ada trend yang berbeza daripada sudut pencapaian
pelajar.

Kajian ini juga cuba mengaitkan pencapaian murid dengan hubungan mesra antara guru dan murid.
Kajian ini akan cuba membina satu modul yang akan diterapkan dalam Kem Celik Jawi yang sudah
tentunya menggunakan pendekatan berbeza daripada apa yang murid pelajari dan dapat di dalam
kelas. Ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sebagai GPI yang melihat bahawa adanya
peningkatan dalam pencapaian jika sesuatu matapelajaran itu diajar oleh guru yang disenangi oleh
murid.

Kajian ini juga cuba menjawab beberapa persoalan yang sering berlegar di fikiran masyarakat awam
berkaitan dengan hubungkait penguasaan pelajar dalam sesuatu matapelajaran dengan minat yang
telah dipupuk oleh ibu bapa daripada kecil lagi atau minat dan kecenderungan yang dibina oleh guru-
guru semasa pelajar berada di tahap yang lebih bawah. Kajian ini cuba mencari formula yang sesuai
terutamanya bagi GPI untuk menarik minat pelajar terhadap tulisan jawi.
1.6 Kepentingan Kajian
Kajian ini perlu dilaksanakan atas beberapa sebab. Antaranya:
1. Dapat mengumpulkan data lengkap berkaitan maklumat murid antaraya latarbelakang murid dan
keluarga dan pencapaian semasa murid. Ini memudahkan GPI untuk lebih memahami masalah murid
dan cuba mencari pendekatan sesuai bagi mengatasi masalah tersebut.

2. Dapat mengenalpasti secara tepat jumlah murid yang lemah, sederhana dan baik. Bagi murid yang
lemah data sedia ada dapat membantu guru bagi melakukan pemantauan yang berterusan terhadap
murid apabila berada di dalam kelas dan di Kem Celik jawi manakala bagi murid yang tahap
penguasaannya sederhana akan memudahkan guru untuk membuat aktiviti tambah nilai dan dan
pengayaan yang sesuai dengan aras pencapaian murid tersebut.

3. Dapat Mengenalpasti bagaimana kecenderungan pelajar terhadap tulisan jawi. Ini amat penting
supaya aktiviti jawi boleh disemarakkan dengan memahami secara jelas dan terang berkaitan minat
murid terhadap tulisan jawi.

4. Dapat merungkai hubungan antara prestasi pelajar dengan latarbelakang sosiobudaya dan
sosioekonomi, perkaitan antara prestasi cemerlang dengan guru yang baik dan merungkai hubungan
dan perkaitan antara minat dan kecenderungan pelajar dengan prestasi semasa pelajar.

1.7 Batasan Kajian

Kajian ini hanya terbatas kepada penguasaan pelajar terhadap dua kemahiran asas tulisan jawi iaitu
kemahiran membaca dan menulis . Kemahiran membaca yang dimaksudkan adalah termasuk
kemahiran menyebut dan mengingat huruf tunggal, kemahiran membaca suku kata terbuka dan
tertutup, kemahiran membatangkan perkataan, kemahiran membaca ayat pendek yang terdiri
daripada suku kata terbuka, kemahiran membaca ayat pendek yang terdiri daripada suku kata
terbuka dan tertutup dan kemahiran membaca buku cerita pendek. Manakala Kemahiran menulis yang
dimaksudkan ialah kemahiran menulis huruf tunggal, kemahiran menulis suku kata terbuka dan
tertutup dan kemahiran membina dan menulis ayat pendek yang terdiri daripada suku kata terbuka
serta kemahiran menulis ayat pendek yang terdiri daripada suku kata terbuka dan tertutup. Kajian ini
tidak menekankan penulisan khat sebagai medium. Pelajar tidak diperkenalkan bentuk-bentuk khat
kerana kemahiran itu akan di ajar pada tahun 5 dan 6.

Kajian ini hanya melibatkan semua pelajar tahun 4 SKDN, ibu bapa dan penjaga pelajar dan 7 orang
GPI yang ditempatkan di SKDN.

1.8 Definisi Istilah

SKDN- Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding


GPI - Guru Pendidikan Islam
j-QAF- Program pemantapan Pendidikan Islam yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran
bermula tahun 2005. J- Jawi Q-Quran A-Bahasa Arab dan F- Fardhu Ain.

Bab 2: Tinjauan Literatur

2.1 Pendahuluan

Pada dasarnya kajian ini akan memfokuskan berkaitan masalah penguasaan kemahiran membaca dan
menulis jawi di kalangan pelajar tahun 4 SKDN. Justeru kajian ini akan mengetengahkan hasil
berkaitan perkara yang dibincangkan. Namun sebelum memilih tajuk ini untuk diketengahkan sebagai
kajian tindakan, penulis telah menjalankan tinjauan literature berkaitan tajuk yang telah dipilih.
Namun hasil tinjauan yang dilakukan masih tiada kajian yang melibatkan masalah penguasaan
kemahiran membaca dan menulis jawi secara terperinci.

2.2 Kajian Yang berkaitan

1. Nik Rusila bt Yaakob.2001. Penguasaan Jawi dan Hubungannya dengan Minat dan Pencapaiannya
Dalam Pendidikan Islam. Kertas Kerja dalam Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Penulis mendapati kajian ini secara detail menghuraikan dengan tepat berkaitan dengan penguasaan
jawi di kalangan pelajar dan hubungannya dengan minat dan pencapaian pelajar. Namun begitu,
kertas kerja ini di dasarkan kepada pengkajian terhadap beberapa buah sekolah menengah yang
sudah tentunya agak berlainan dengan situasi dan keadaan yang berlaku di sekolah rendah. Namun
begitu, kajian ini menjadi rujukan penulis sebagai kajian awal yang dirujuk bagi menentukan hala tuju
kajian yang akan dilakukan oleh penulis.

2. Hassan Basri. 1991. Laporan Penguasaan Jawi di Sekolah-Sekolah Rendah. Kajian IRPA. Universiti
Malaya.
Penulis juga berkesempatan meneliti laporan kajian IRPA yang telah dilakukan oleh beberapa
penyelidik daripada Universiti Malaya yang diketuai oleh Dr. Hassan Basri. Apa yang dapat penulis
simpulkan ialah kajian ini secara detail menghuraikan berkaitan data dan fakta namun begitu kajian
ini dilakukan sekitar hujung tahun 80an dan awal 90an dan penulis berpandangan masih ada ruang
untuk menyemak semula kajian yang dilakukan kerana sifat dan sikap pelajar juga berubah mengikut
peredaran masa dan suasana setempat.

3. Amri Daud. 2005. Kajian Keberkesanan j-QAF di 2 Buah Sekolah Perintis di Terengganu. Tesis
Sarjana Pendidikan. Universiti Malaya.
Kajian yang baik yang dilakukan oleh penyelidik ini. Namun ia berkaitan dengan perlaksanaan
keseluruhan j-QAF di Terengganu. Ia melibatkan kajian terhadap modul-modul yang telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jika diteliti, daripada aspek jawi, modul ini
memperinci dan menghuraikan keberkesanan aktiviti pemulihan jawi yang dilaksanakan oleh guru j-
QAF yang hanya melibatkan modul mengenal dan membaca huruf tunggal jawi. Ini kerana pada masa
tersebut, j-QAF baru diperkenalkan dan hanya bermula di tahun 1.

4. Ishak Haron dan Hassan Basri. 1998. Laporan Penguasaan Jawi di Sekolah-Sekolah Menengah.
Kajian IRPA. Universiti Malaya.
Kajian yang sangat berkualiti, namun ia dilakukan berdasarkan fakta-fakta yang dikumpulkan khusus
berkaitan penguasaan jawi di sekolah-sekolah menengah di Selangor. Justeru, sudah pasti terdapat
ruang dan jurang perbezaan yang amat luas dan ketara antara sekolah menengah dan sekolah
rendah.

5. Mohd Azhan bin Abdul Halim. 2006. Kajian Tindakan Kepada Modul Senang Jawi. Kajian Tindakan
Jabatan Pelajaran Perak. Didapati dari atas talian http://jpnperak.edu.com.my.
Penulis juga sempat meneliti sebuah kajian tindakan yang dilakukan oleh seorang guru cemerlang
yang boleh didapati daripada laman web JPN Negeri Perak. Namun ia adalah berkaitan penilain
terhadap modul yang dibina dan dilaksanakan oleh guru cemerlang tersebut.

2.3 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, tiada kajian yang dilakukan khusus bagi menangani masalah murid berkaitan
kemahiran membaca dan menulis jawi. Justeru, penulis berpandangan bahawa tajuk yang diutarakan
oleh penulis adalah relevan dan memenuhi kriteria sebagai sebuah kajian baru bagi memantapkan lagi
pendidikan Islam di SKDN khususnya dan di Malaysia amnya.

Bab 3: Metodologi Kajian

3.1 Pendahuluan

Kajian ini adalah berbentuk kajian tindakan bagi membantu guru untuk membuat tindakan susulan
sama ada untuk aktiviti tambah nilai, pengayaan mahupun aktiviti pemulihan sama ada aktiviti
tersebut dilakukan di dalam kelas atau di luar daripada kelas. Justeru bagi mendapatkan kajian yang
benar-benar berkualiti, penulis akan membentangkan kepada pembaca berkaitan dengan metodologi
kajian yang diikuti oleh penulis bagi memastikan kajian ini benar-benar menepati kajian yang
berbentuk ilmiah yang menjadi rujukan di SKDN.

3.2 Reka bentuk Kajian

Kajian ini akan menggabungkan beberapa kaedah. Kaedah pertama akan menggunakan instrumen
penilaian yang melibatkan peperiksaan yang telah lepas iaitu peperiksaan akhir tahun bagi tahun
lepas (2008), peperiksaan awal tahun bagi tahun semasa (2009) dan instrumen penilaian 6 bulan
Jawi. Kaedah ini digunakan bagi menganalisis prestasi lalu dan semasa bagi setiap murid dan
mengenal pasti dimanakah kelemahan ketara bagi murid yang gagal untuk lulus.

Kaedah kedua adalah berasaskan kaedah soal selidik. Ia melibatkan pembinaan item untuk soal selidik
yang perlu diedarkan kepada ibu bapa bagi mengetahui latarbelakang responden bagi memudahkan
aktiviti penyesuaian dilakukan oleh GPI di dalam kelas atau diluar kelas.

Kaedah ketiga adalah berasaskan temubual atau perbincangan profesional bersama rakan GPI bagi
mengenalpasti aspek yang menyebabkan murid lemah dan kurang berminat untuk mengikuti P& P
jawi di SKDN.
Kaedah keempat, pembinaan modul khusus bagi murid yang lemah jawi, dan modul tersebut akan
dinilai keberkesanannya oleh GPI berdasarkan boring-borang penilaian yang telah disediakan. Hasil
daripada penilaian tersebut akan dirumus bagi menghasilkan dapatan kajian yang boleh digunakan
sebagai rujukan dan penambahbaikan pada masa-masa akan datang.

3.3 Populasi Kajian


Kajian ini tertumpu kepada semua murid tahun 4, Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat,
Selangor yang merangkumi 144 murid. Ia juga melibatkan ibu bapa dan penjaga responden beserta 7
orang GPI.

3.4 Instrumen Kajian

Kajian ini berasaskan beberapa instrumen:

1. Kaedah Peperiksaan dan Penilaian


a. Peperiksaan akhir tahun 2008
b. Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009
c. Instrumen Penilaian Jawi 6 bulan
2. Kaedah Soal Selidik
a. Borang A: dihantar kepada ibu bapa respondenbagi mengetahui latarbelakang sosiobudaya dan
sosioekonomi responden yang telah dipilih.
b. Borang B: diberi kepada murid bagi menilai hubungkait-hubungkait kepada persoalan yang
diutarakan dalam permasalahan kajian.
3. Kaedah Temubual dan Perbincangan Profesional: kaedah ini digunakan sebagai medium untuk
bertukar-tukar fikiran dan bagi melihat masalah yang berlaku daripada perspektif guru.
4. Pembinaan modul dan penilaian terhadap modul yang telah dilaksanakan. Hasil yang dirumus
daripada ketiga-tiga instrumen yang terdahulu, modul akan dibina berasaskan kepada kelemahan
pelajar sedia ada dan digunakan untuk memulihkan pelajar dan modul ini akan dinilai
keberkesanannya dari masa ke masa.

3.5 Lokasi Kajian

Kajian ini dilakukan di Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding yang berada di bawah Pentadbiran Pejabat
Pelajaran Daerah Hulu Langat, Selangor.

Alamat sekolah ialah:


SK Dusun Nanding
KM 17, Jalan Hulu Langat
43100 Hulu Langat,
Selangor.

3.6 Pengurusan Data

Data akan dikumpul dan akan dianalisis menggunakan perisian SPSS bagi memudahkan dan
memastikan ketepatan rumusan yang dilakukan. Kaedah ini digunakan bagi menilai sesuatu data yang
bersifat kauntitatif. Namun jika melibatkan kualitatif, aktiviti menilai, mentafsir dan merumus akan
dijalankan oleh penulis sendiri.

3.7 Analisis Data

Analisis akan dibuat dalam beberapa bentuk: Pertama bagi data kualitatif, analisis akan dibuat dalam
bentuk mod, min dan median bagi memudahkan penyelidik merumus kajian yang telah dijalankan.

Kedua, bagi data yang bersifat kuantitatif atau kajian lapangan analisis data akan dibuat secara
deskriptif iaitu dalam bentuk jadual dan peratus dan juga dalam bentuk statistik iaitu dalam bentuk
graf bergantung kepada kesesuaian hasil dapatan.
3.8 Kesimpulan

Kajian ini memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan semua objektif yang
digariskan dapat dicapai dengan jayanya. Semoga kajian ini menjadi kajian perintis kearah sifar buta
jawi bagi mencapai visi SKDN Cemerlang Menjelang 2015.

Rujukan

1. Nik Rusila bt Yaakob.2001. Penguasaan Jawi dan Hubungannya dengan Minat dan Pencapaiannya
Dalam Pendidikan Islam. Kertas Kerja dalam Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
2. Hassan Basri. 1991. Laporan Penguasaan Jawi di Sekolah-Sekolah Rendah. Kajian IRPA. Universiti
Malaya.
3. Amri Daud. 2005. Kajian Keberkesanan j-QAF di 2 Buah Sekolah Perintis di Terengganu. Tesis
Sarjana Pendidikan. Universiti Malaya.
4. Ishak Haron dan Hassan Basri. 1998. Laporan Penguasaan Jawi di Sekolah-Sekolah Menengah.
Kajian IRPA. Universiti Malaya.
5. Mohd Azhan bin Abdul Halim. 2006. Kajian Tindakan Kepada Modul Senang Jawi. Kajian Tindakan
Jabatan Pelajaran Perak. Didapati dari atas talian http://jpnperak.edu.com.my.
6. Abdul Majid Konting. 1997. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala
Lumpur.
7. Idris Awang. 2002. Kaedah Penyelidikan. Akademi Pengajian Islam Univerti Malaya: Kuala Lumpur.
8. Alis bin Puteh. 2008. Kajian Tindakan di Sekolah: Satu Pengenalan. Pure Honey Enterprise: Kuala
Lumpur.

Posted by Muhammad Yusri at 11:47 PM

You might also like