You are on page 1of 6

Artikel Khas: Bahasa Rojak - Pandangan Peribadiku

Dalam bidang linguistik, tidak ada langsung istilah bahasa rojak. Istilah ini menjadi popular dan hangat diperkatakan
orang dalam media dan dalam pelbagai wacana, seperti forum dan seminar, tanpa kita ketahui siapa pencetusnya.
Yang pasti, pencipta istilah tidak rasmi ini ialah individu dalam kalangan orang awam yang prihatin tentang
penyalahgunaan bahasa Melayu yang telah digaul uli sewenang-wenangnya dengan bahasa asing, khususnya
bahasa Inggeris. Kononnya, penggunaan bahasa yang bercampur baur ini boleh mencemarkan bahasa Melayu yang
telah dimartabatkan oleh Perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara.

Contoh:
Bahasa rojak campuran Melayu-Inggeris: Kau memang teror la!; Bestlah benda ni!
Bahasa rojak campuran Melayu-Cina: Nak makan sini ke nak tapau?; Bos aku boleh kautim maa...
Bahasa rojak campuran Melayu-India: Mamak, kasi H1N1, Hollick 1, Nescafe 1 (sambil geleng kepala).

Istilah bahasa rojak wujud kononnya sama seperti terhasilnya istilah najis dadah yang memberi konotasi negatif,
tidak murni dan hina sehingga disamatarafkan dengan najis, walaupun dadah itu bukanlah suatu benda yang kotor
atau najis di sisi agama. Yang menghairankan, masyarakat telah menerima istilah bahasa rojak ini pada hal rojak
ialah sejenis makanan yang amat digemari oleh rakyat Malaysia, termasuk saya yang sekurang-kurangnya sebulan
sekali mendatangi Kedai Mamak untuk menikmati makanan yang enak itu.  Pada pendapat saya, tidak ada elemen
negatif pada rojak. Selain berkhasiat (terkandung sayur-sayuran atau buah-buahan bagi rojak buah), tidak kelihatan
cacat celanya rojak dari segi rupa mahupun rasa (kecuali yang telah basi). Istilah bahasa rojak ini mungkin boleh
memberi makna yang berbeza kepada sesiapa yang baru mendengarnya. Dalam fikiran mereka bahasa rojak
mungkin bermaksud bahasa sedap.

Fenomena percampuran dalam penggunaan bahasa sebenarnya bukanlah fenomena baharu, walaupun istilah
bahasa rojak itu agak baharu. Dalam bidang linguistik, terdapat satu ragam bahasa yang disebut  sebagai bahasa
pijin dan ini sudah sekian lama digunakan dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia. Dalam konteks masyarakat
di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam bahasa Melayu yang memperlihatkan
pencampuran unsur bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Baba
ini masih dapat dianggap sebagai variasi bahasa Melayu.
Ahli bahasa melihat bahasa yang bercampur aduk ini sebagai salah satu ragam bahasa basahan, iaitu bahasa yang
digunakan untuk urusan yang tidak rasmi, seperti dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya, Malah Pendita
Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu ada menghuraikan perbezaan antara bahasa surat (bahasa persuratan)
dengan bahasa mulut (bahasa pertuturan) yang sememangnya berbeza. Menurut Za'ba jika bentuk tulisan dibawa
dalam perbualan, kesannya agak janggal dan akan menjadi bahan tertawa. Beliau menyindir, "jika ia orang Melayu,
dihitungkan dia mengada-ngada, jika ia bukan orang Melayu maka dihitungkan dia orang yang tidak biasa bercampur
dengan orang-orang Melayu".

Dengan demikian, PADA PENDAPAT PERIBADIKU, yang dikatakan bahasa rojak itu bolehlah dirumuskan sebagai
satu variasi atau satu ragam bahasa basahan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi. Walau
bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakan dalam urusan rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan
ragam bahasa dan secara khusus masalah itu berkaitan dengan kerancuan atau kesalahan bahasa dan juga isu
kesantunan bahasa. Hal ini disebabkan bahawa penggunaan bahasa berkaitan dengan adab. Adab bermakna
bahawa sesuatu hendaklah diletakkan pada tempatnya yang betul. Oleh yang demikian, bahasa hendaklah
digunakan sesuai dengan konteks dan keperluannya
DBP-SSM jalin kerjasama atasi bahasa rojak
KOTA KINABALU 28 Feb. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah akan menjalinkan
kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengatasi masalah penggunaan
bahasa rojak.

Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan penggunaan
bahasa kebangsaan yang betul dalam menamakan sesebuah syarikat.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah SSM Sabah, Rosnah Ali yang berjanji
memberikan komitmen penuh membantu DBP memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Dalam pertemuan itu juga, beliau (Rosnah) menyatakan bahawa SSM tidak akan meluluskan
permohonan nama syarikat yang menggunakan bahasa rojak selain terus membantu usaha pihak DBP,"
katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Zubaidi, pihak DBP akan terus berusaha memartabatkan Bahasa Melayu dengan melaksanakan
pelbagai program bagi meningkatkan lagi penggunaan bahasa itu.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan segala perancangan
yang telah dibuat oleh DBP.

"Usaha DBP secara bersendirian tidak akan berhasil tanpa bantuan dan sokongan pelbagai pihak
termasuk SSM," katanya.

Sementara itu, katanya, DBP akan terus mengadakan aktiviti Ziarah Bahasa dari semasa ke semasa bagi
mempertingkatkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

"Kita akan terus mengadakan aktiviti Ziarah Bahasa iaitu mengunjungi setiap jabatan dan agensi
seterusnya mengenalpasti sumbangan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan," ujarnya.
ARKIB : 24/02/2006

Bimbang penggunaan bahasa Melayu terhakis

KEKESALAN Pencinta Bahasa di Forum, Utusan Malaysia 23 Februari 2005, mengenai bahasa rojak
bukanlah sesuatu yang baru diketengahkan. Saya sendiri telah beberapa kali menulis mengenainya.

Hampir kesemua temu ramah atau penerbitan bahasa Melayu yang dimuatkan dalam rancangan saluran-
saluran TV di Malaysia hari ini bercirikan bahasa rojak.

Kalaupun tidak banyak, paling sedikit perkataan so bagi maksud `jadi', atau `oleh itu' akan digunakan
hampir semua orang Melayu yang bertutur dalam rancangan tersebut.

Itu belum lagi dikaitkan dengan penggunaan oleh warga bukan Melayu yang pastinya terpengaruh
dengan bahasa rojak digunakan orang Melayu sendiri.

Apabila perbincangan lebih mendalam tajuknya, kita akan mulai memerhatikan kekerapan bahasa rojak
ini digunakan, oleh orang biasa atau orang-orang terpelajar sendiri termasuk pensyarah-pensyarah pusat
pengajian tinggi yang kita tahu kebanyakannya mengajar dalam Bahasa Melayu setiap hari.

Terselitnya bahasa rojak ini sudah menjalar ke dalam segenap tahap penghidupan sehingga dalam
Forum Perdana Ehwal Islam RTM sendiri.

Seorang pakar motivasi terkenal yang sering diundang, menggunakan perkataan Inggeris so, why not
dan lain-lain perkataan seolah-olah beliau perlu menggunakan perkataan-perkataan ini untuk
menguatkan hujah, walaupun perkataan ini mudah dan ada istilah asal Melayunya yang mempunyai
makna serupa dan tepat.

Tanpa ragu-ragu, dapat dikatakan di sini bahawa bahasa rojak menjadi bahasa rasmi TV. Dan bagi
mereka yang menulis mengenai kepincangan ini, mungkin akan dianggap sebagai pengganggu atau
orang yang kolot atau tertutup minda mereka.

Kita teringatkan akan peraturan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang menghendaki setiap ahli
menggunakan bahasa Melayu yang baik dan kalau terpaksa menggunakan istilah lain, ia perlu meminta
izin dari Yang Dipertua Dewan. Tetapi nampaknya apa yang terjadi di Dewan tidak dilaksanakan diluar
Dewan.

Malah beberapa anggota Kabinet sendiri dan juga pegawai tinggi kerajaan, paling selesa menggunakan
bahasa rojak ini seolah-olah ia diiktiraf sebagai bahasa rasmi kerajaan.
Sebenarnya apa yang kita harapkan ialah, apabila menggunakan bahasa Melayu, gunakanlah bahasa
yang baik, atau kalau tidak, gunakanlah bahasa Inggeris yang baik sepenuhnya, agar lebih mudah bagi
kita menterjemahkannya.

Sayangnya, apabila diselidiki, orang sama yang sering menggunakan bahasa rojak ini juga tidak pula
pandai menggunakan bahasa Inggeris yang baik.

Ada juga orang Melayu yang langsung tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam temu ramah TV
atau radio. Banyak ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan yang tidak pernah menggunakan
bahasa Melayu dalam temu ramah dengan stesen TV, walaupun tumpuan berita terutamanya mengenai
prestasi syarikat mereka, adalah untuk tontonan orang Melayu sendiri.

Kini timbul pula penggunaan bahasa rojak yang tidak sesuai atau digunakan dalam konteks berlainan
terutama yang melibatkan istilah Indonesia.

Dalam rancangan Eksotika Malaysia keluaran Astro misalnya, sudah dua kali saya mendengar perkataan
butuh atau membutuhkan digunakan untuk membawa maksud `memerlukan' seperti yang digunakan di
Indonesia, walhal di Malaysia ia sering digunakan untuk maksud `alat kelamin lelaki'.

Dalam satu lagi rancangan terbitan TV 1, sebagi terjemahan large tsunami diterjemahkan tsunami
gadang, satu cedokan perkataan Minang yang tidak pernah kita gunakan dalam konteks biasa.

Malah istilah bisa yang bermaksud `boleh' di Indonesia tetapi di Malaysia lebih merupakan gambaran
`bisa ular' atau `kesakitan', sering dirojakkan ke bahasa Melayu.

Implikasi daripada bahasa rojak ini lebih mendalam sifatnya terutama dari segi maruah dan jati diri
bahasa dan bangsa Melayu sendiri. Mengambil mudah bererti mengundang kemungkinan penghakisan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan juga hilangnya rasa hormat rakyat lain terhadap
bahasa Melayu.

Penghakisan yang kita takut ini sememangnya sudah terjadi ke atas beberapa bahasa seperti bahasa
Tagalog di Filipina atau bahasa-bahasa di Kepulauan Carribean yang ditenggelami oleh Bahasa Inggeris.

Apa yang ditakutkan ialah, kita di Malaysia sekarang berada dalam keadaan berfikir dalam bahasa
Inggeris dan hanya menggunakan bahasa Melayu berpilih-pilih sebagai topeng sahaja dalam pertuturan
kita.

Maka sebenarnya kita sekarang sedang bercakap Inggeris dan hanya menggunakan bahasa Melayu
sebagai penyedapnya sahaja.
Keprihatinan mengenai keadaan ini pernah disuarakan oleh Timbalan Menteri Penerangan yang akan
mempengerusikan satu Jawatankuasa Pemantau Penggunaan Bahasa di media massa termasuk milik
swasta.

Sebagai menteri penuh sekarang, saya yakin beliau akan dapat meningkatkan lagi tekadnya
memperbaiki bukan sahaja masalah penggunaan bahasa rojak, malah penggunaan bahasa yang betul
kaedah dan tata caranya di semua saluran media kerajaan atau swasta.

You might also like