You are on page 1of 8

Pengenalan

Pilihan raya Presiden Filipina pada bulan Jun 2004 lalu telah menyaksikan kemunculan
semula Gloria Macapagal Arroyo sebagai Presiden Filipina. Beliau telah menang dengan
majoriti lebih kurang satu juta undi mengalahkan lawannya Fernando Poe, yang juga
bintang filem Filipina yang terkenal. Ramai yang melihat kehadiran Fernando Poe
sebagai bayangan Estrada yang telah dipenjarakan kerana terlibat dengan masalah
korupsi semasa beliau menjawat kerusi Presiden.

Sebenarnya, inilah pertama kali Arroyo berjaya dalam pilihan raya menjadi
presiden. Pelantikan beliau sebagai presiden terdahulu menjadikannya Presiden Filipina
yang ke 14. Pelantikan ini sebenarnya bukan terhasil daripada kemenangan pilihan raya
tetapi kerana kejatuhan Estrada dari kerusi tersebut kesan daripada pemberontakan orang
ramai pada tahun 2000. Secara kebetulan, Arroyo pada waktu itu menjadi Naib Presiden
dan mengikut perlembagaan memang beliau layak memangku jawatan Presiden dan
itulah yang berlaku selepas itu.

Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam
pilihan raya baru-baru ini dan menyifatkan politik Filipina sebagai ‘penuh racun’.
Namun, beliau kemudian bertukar fikiran dan meneruskan hasrat tersebut. Ternyata
keputusannya itu tidak merugikan kerana beliau masih mendapat sokongan popular dan
menang dalam pilihan raya tersebut. Arroyo berharap supaya peluang kali kedua ini
memberinya ruang untuk memenuhi janji dan harapan yang gagal dilaksanakan dalam
penggal sebelum ini.

Arroyo yang kini berumur 58 tahun, sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia
pemerintahan negaranya. Ayahnya, dahulu adalah Presiden Macapagal Presiden Filipina
yang kesembilan. Beliau memerintah pada waktu Filipina sedang berusaha keluar
daripada kemiskinan dan menuju kepada pembangunan. Arroyo telah dididik dalam
keluarga elit dan mendapat pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pentadbiran.
Beliau memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran dalam bidang ekonomi dan merupakan
rakan sekelas Clinton, iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat semasa belajar di Universiti
Georgetown di Washington DC suatu waktu dahulu.

Beliau menjadi Naib Presiden pada tahun 1998 dalam kerajaan Estrada dan sebelum itu
pernah dilantik menganggotai kabinet kerajaan Filipina semasa pemerintahan Ramos dan
Aquino. Arroyo berjaya menjadi senator pada tahun 1992 dan menang tiga tahun berturut-turut.
Pengalaman seumpama ini telah banyak membantu beliau dalam mentadbir Filipina.
Semasa menganggotai kabinet beliau telah dipertanggungjawabkan merancang
pembangunan ekonomi negara itu ternyata ini bukan satu tugas yang mudah.

Terutamanya dalam keadaan Filipina yang begitu terhimpit dalam kemelut kemiskinan.
Negara ini memiliki penduduk yang begitu ramai dengan jumlah penduduk seramai 80
juta orang. Usaha untuk mengurangkan kadar kelahiran tidak dilaksanakan langsung
kerana bimbang bertentangan dengan ajaran Khatolik yang didukung oleh sebahagian
besar penduduk negara itu. Kadar pertambahan penduduk Filipina adalah yang tertinggi
di Asia dan dengan kadar ini jumlah penduduk boleh bertambah sekali ganda dalam masa
tiga dekad.

Kadar kemiskinan negara tersebut tinggi. Begitu juga dengan kadar pengangguran
dan keciciran sekolah. Negara itu juga tidak memiliki banyak bahan mentah yang
berharga untuk dipasarkan. Dalam pada itu bidang pertanian juga tidak produktif. Hanya
kelapa dan balak yang dieksport menjadi bahan utama ekonomi negara itu di samping
bahan elektronik hasil keluaran kilang pemodal asing. Sebahagian besar hasil pendapatan
Filipina terkumpul daripada penghantaran wang pulang ke kampung oleh buruh negara
itu yang bekerja di luar negara. Ramai warga negara Filipina keluar dari negara itu bagi
mendapatkan pekerjaan. Antara destinasi utama mereka ialah Amerika Syarikat, negara
Arab, Eropah dan tidak kurang juga yang ke Malaysia. Kebanyakannya bekerja sebagai
pembantu rumah.
Masalah Selatan Filipina
Wilayah Selatan Filipina merupakan satu kawasan yang dihuni oleh ramai penduduk
Muslim. Pulau Mindanao merupakan pulau terbesar di wilayah ini dan warga Muslim
yang majoriti di pulau ini telah membina suatu semangat atau identiti Muslim Filipina
yang agak terasing daripada masyarakat keseluruhan. Mereka boleh berbahasa Tagalog
yang menjadi bahasa rasmi negara Filipina. Namun, kerana kelainan agama, berpisah
secara geografi serta pengasingan dalam pentadbiran dan sebagainya telah menonjolkan
sentimen yang tinggi di kalangan mereka. Subbudaya politik yang terjelma dalam
masyarakat ini kadangkala mencabar budaya politik perdana menjadikan wilayah ini
sering meledak dengan pertempuran dan keganasan.

Terdapat beberapa kelompok bergerak bagi menuntut kebebasan daripada negara


Filipina. Walau bagaimanapun, kumpulan ini mempunyai tujuan yang pelbagai dan tidak
sehaluan. Ada yang menuntut autonomi wilayah tetapi ada juga yang menuntut
kemerdekaan penuh. Dalam pada itu, terdapat juga kelompok yang bergerak dalam
bentuk keganasan yang secara lazimnya menculik dan menuntut tebusan dalam bentuk
wang ringgit. Ini yang menjadikan perbincangan mengenai gerakan di selatan negara ini
kompleks.

Gerakan MNLF atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro yang dipimpin oleh
Nur Misuari merupakan gerakan yang sudah lama wujud. Pada peringkat awal dahulu,
mereka menuntut wilayah yang merdeka dengan nama Morolandia dan pernah bergerak
secara militan. Walau bagaimanapun, telah berlaku banyak perubahan pada dekad 1990-
an apabila perbincangan dengan pemerintah telah menyaksikan persetujuan membina
wilayah autonomi di selatan negara ini. Misuari dilantik menjadi gabenor di wilayah ini
sejak 1996 tetapi sejarah telah menunjukkan kedudukan beliau tidak berpanjangan.

Beliau mengalami masalah dalaman MNLF dan dilucut daripada menjadi pemimpin
pertubuhan dan gabenor pada tahun 2001. Kini, Misuari telah ditahan dan pentadbirannya
didakwa banyak dicemari dengan perbelanjaan yang berlebihan.
Gerakan MILF atau Gerakan Pembebasan Islam Moro pula kemudian bergerak
lebih aktif bagi memperjuangkan pembebasan wilayah ini. Gerakan ini dipimpin oleh
Hashim Salamat dan memiliki anggaran 12,500 anggota. Berdasarkan namanya sahaja
telah menggambarkan betapa asas Islam mendasari parti ini dan bukan lagi nasionalisme.
Ia merupakan satu kelompok utama yang keluar dari MNLF apabila pertubuhan itu
mengadakan persetujuan untuk meletakkan senjata pada tahun 1987 di atas pemberian
autonomi wilayah kepada mereka. MILF berkeras untuk berjuang secara kekerasan dan
tidak melihat autonomi sebagai memadai. Gerakan pembebasan Muslim ini telah banyak
memberikan tekanan kepada kerajaan Filipina. Pada tahun lepas sahaja gerakan ini telah
didakwa meletupkan lapangan terbang di Kota Davao yang mengakibatkan lebih 20
orang terkorban.

Sebenarnya terdapat beberapa insiden pengeboman yang dikaitkan


dengan gerakan ini, namun ia tidak dapat dibuktikan. Gerakan ini juga telah menafikan
pendakwaan terhadap mereka berhubung penglibatan mereka dalam beberapa kes, salah
satunya ialah pengeboman di timur kota Zamboanga, Oktober 2003.

Pergerakan pembebasan wilayah selatan atau gerakan Muslim dicemari pula oleh
gerakan militan Abu Sayyaf. Gerakan yang berpusat di Jolo ini melaungkan perjuangan
untuk kemerdekaan penduduk Islam di selatan Filipina, namun kebanyakan tindakannya
tidak bergerak untuk kemerdekaan wilayah ini. Gerakan ini banyak melakukan gerakan
penculikan dan tuntutan tebusan daripada pihak tertentu. Dengan kata lain ia lebih mirip
bersifat lanun daripada bersifat nasionalis. Sehingga kini rakyat Amerika Syarikat,
Jerman dan Malaysia pernah diculik dan tuntutan tebusan telah berakhir dengan pelbagai
insiden. Ada yang dibayar dan tidak kurang juga yang berakhir dengan pembunuhan.
Gerakan ini selalu dikaitkan dengan gerakan Al-Qaeda dan Osama bin Laden walaupun
dakwaan ini belum dapat dibuktikan lagi. Secara tidak langsung ia telah memberi imej
negatif kepada gerakan yang berasaskan nama Islam.

Penyelesaian Konflik
Dalam kepelbagaian inilah Arroyo terpaksa mencari perdamaian. Perjuangan yang
terdapat dalam wilayah ini sudah berakar umbi sejak Filipina merdeka. Sentimen dan
cita-cita mereka sudah tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat ini. Komuniti yang
diimaginasikan sudah terpahat di dalam sanubari dan tidak akan goyah walau dengan
penghantaran platun atau batalion militer. Dalam tempoh sepenggal dua menjawat kerusi
presiden sudah tentu Arroyo tercari-cari formula.

Walau bagaimanapun sebelum ini sudah ada beberapa ikhtiar yang boleh
dijadikan panduan. Mungkin beliau boleh memilih yang mana terbaik dan paling selamat.
Rambut mesti ditarik dari tepung namun tepung tidak harus berkisar. Wilayah yang
merumitkan seperti ini perlu ditangani secara hati-hati kerana ia sensitif, merbahaya,
menjadi perhatian dunia dan boleh menggegar kerusinya.
Pernah satu waktu sebelum menghadapi pilihan raya beliau bertindak menerima
bantuan Amerika Syarikat dalam menangani hal ini.

Secara kebetulan selepas insiden 11September, negara kapitalis besar ini konon berusaha
gigih cuba menghapuskan sebarang gerakan terrorisme dan dengan itu berpakat dengan Filipina
untuk menghapuskan gerakan sedemikian di negara tersebut. Amerika Syarikat kemudian telah
menghantar pasukan tentera untuk memburu gerakan keganasan di wilayah selatan ini. Ternyata
misi ini gagal apabila gerakan penculikan masih berterusan. Sebaliknya Arroyo yang dikecam
kerana menjemput kuasa luar ke negaranya; satu isu yang sensitif di negara ini sejak
tertutupnya pengkalan tentera udara Clark dan pengkalan tentera laut Subic. Walau
bagaimanapun kerajaan pimpinan beliau cuba menangkis bahawa kehadiran tentera ini
hanya sebagai gerakan latihan dan panduan dan tidak bersama dalam gerakan memburu.

Arroyo juga mempunyai pilihan yang lebih bersifat diplomatik. Beliau pernah
berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir pada bulan Jun 2003 untuk
memberi ruang kepada beliau menjadi orang tengah dalam perundingan keamanan antara
kedua-dua pihak ini. Dr Mahathir menawarkan diri dan sanggup melakukannya. Namun
usaha seperti ini tidak mendapat sambutan baik di Filipina dan kelihatan terbengkalai
setakat rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (G to G) sahaja.

Satu cara lain ialah dengan penggunaan tentera secara habis-habisan. Ini adalah
merupakan jalan terakhir yang perlu dilaksanakan. Pengajaran yang dilihat melalui
beberapa contoh lain seperti di Iraq kini, di Timur Sri Lanka, Palestine atau Chechnya
ternyata tidak membuahkan hasil yang baik. Apa yang membimbangkan ialah ia boleh
mendatangkan lebih banyak kerugian apabila bilangan kematian tentera meningkat.
Ternyata ia memberikan imej presiden tidak popular dan membahayakan kerusinya.
Dunia juga akan memberi tafsiran negatif kepada negara ini.

Sepatutnya alternatif autonomi wilayah adalah yang terbaik. Wilayah ini tidak
dimerdekakan tetapi mereka diberi hak dalam menguruskan beberapa bidang kuasa
terutamanya dalam urusan yang lebih domestik dan persendirian. Persoalan budaya,
agama, bahasa, sekolah, hasil bumi dan kerajaan tempatan harus diautonomikan sahaja
manakala persoalan mengenai hubungan luar, perdagangan antarabangsa, kewangan,
keselamatan dalam negara dan ketenteraan kekal menjadi milik Manila bersama-sama
dengan beberapa bidang lain yang penting. Dalam penyelesaian ini mereka mendapat apa
yang mereka tuntut dan Manila juga tidak kehilangan wilayah dan masih boleh
menguruskan beberapa perkara penting dalam negara tersebut di wilayah ini.

Cabaran dan Kesimpulan


Arroyo sebenarnya menghadapi banyak sekali cabaran dalam memerintah negara yang
sentiasa dalam krisis ini. Beliau bukan merupakan pemimpin yang mantap atau memiliki
ciri kepimpinan yang menakjubkan. Penggal yang lalu tidak melahirkan sebarang
kebanggaan. Beliau hanya menjadi presiden kerana muncul dalam kekosongan tinggalan
Estrada. Bekas Presiden Ramos tidak boleh bertanding lagi. Enrille yang suatu waktu
dahulu menjadi orang kuat Marcos masih aktif dalam politik tetapi tidak lagi berada di
dalam barisan kerajaan. Imelda Marcos tidak lagi menjadi pilihan popular.

Dengan itu Arroyo menjadi pilihan yang ada. Fernando Poe bekas bintang filem cuba
memberi alternatif kepada rakyat Filipina, namun ternyata asal dunia filem ini tidak cukup kuat
untuk menjadi aset kepada beliau. Rakyat Filipina ternyata tidak mahu pisang berbuah
dua kali. Setelah menang timbul isu beliau cuba mempengaruhi suruhanjaya pilihan raya
negara itu semasa menghadapi pilihan raya tersebut. Dakwaan ini telah melahirkan
gerakan penentangan yang besar sehingga membawa perarakan besar-besaran di jalanan.
Dalam menghadapi kemelut ini juga muncul insiden tentera Amerika yang berada di sana
melakukan jenayah terhadap wanita tempatan. Beliau ternyata tersepit antara hubungan
diplomasi dengan negara besar itu dengan tekanan masyarakat sivil Filipina.
Masalah selatan Filipina dengan itu bukan satu-satunya masalah kepada Arroyo.
Beliau juga mendapati gerakan komunis masih kuat di negara ini. New Peoples Army
yang sudah bergerak dari era perang dingin masih tidak hilang taringnya lagi. Sudah
banyak insiden keganasan yang meletus di negara ini dicetuskan oleh gerakan ini, dan
ancamannya tidak boleh dipandang remeh. Pada bulan Ogos 2003 kumpulan militan
komunis ini telah menyerang markas tentera di wilayah Bukidnon dan berjaya merampas
senjata tentera di kem itu.

Arroyo amat memerlukan khidmat tentera, namun beliau tidak boleh terlalu
bergantung kepada institusi tersebut. Pada tahun 2004, cubaan pembelotan tentera
meletus dan Arroyo sangat bernasib baik apabila cubaan tersebut dapat dipatahkan. Lebih
300 tentera bertindak merampas sebuah hotel di Manila dan menuntut beliau meletak
jawatan. Pembelotan seperti ini sangat bahaya kepada seseorang pemimpin. Tentera
merupakan institusi terpenting dalam keselamatan negara dan kedudukan seseorang
pemimpin. Apabila tentera sendiri cuba menjatuhkan pemimpin, maka ia boleh menjadi
ancaman yang serius kepadanya.

Di samping itu, masalah ekonomi yang lemah adalah masalah berterusan yang
menghantui mana-mana presiden negara ini, dan ini yang sedang dipikul oleh Arroyo.
Ekonomi Filipina lemah. Pendapatan negara tidak bertambah dengan baik, sebaliknya
jumlah hutang negara menjadi semakin banyak. Perdagangannya mendatar sahaja akibat
hasil yang tidak merangsang ekonomi. Kadar kemiskinan dan pengangguran tinggi.
Dalam keadaan seperti ini orang ramai meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan.
Namun tindakan kerajaan amat lemah dan menyebabkan rakyat kecewa.

Ia memberikan impak yang tidak baik bagi kedudukan seorang presiden kerana
rakyat Filipina memiliki hak dan kuasa mengundi yang sangat tinggi yang digambarkan
melalui slogan Peoples Power sejak zaman pemerintahan Corazon Aquino lagi. Justeru,
dalam keadaan ini, Arroyo meneruskan perjuangan walaupun keadaannya masih belum
pasti lagi.
Gloria Macaraeg Macapagal-Arroyo

(lahir 5 April 1947) ialah Bekas Presiden Filipina ke-14 berkhidmat dari 20 Januari 2001
hingga 30 Januari 2010. Beliau adalah anak perempuan bekas Presiden Diosdado Macapagal,
dan merupakan presiden wanita kedua di negara ini, selepas Corazon Aquino.

Sebelum menjadi presiden, Arroyo adalah naib presiden Filipina yang pertama. Pada tahun
2001, beliau diceburkan ke dalam jawatan presiden oleh Revolusi EDSA yang menggulingkan
Joseph Estrada di tengah-tengah tuduhan rasuah yang meluas. Arroyo dipilih untuk tempoh enam
tahun pada tahun 2004 ketika beliau menewaskan pelakon Fernando Poe, Jr Pada tahun 2005,
Arroyo dipilih sebagai wanita ke-4 yang paling berkuasa di dunia oleh Majalah Forbes

Kehidupan awal
Dilahirkan dengan nama Gloria Macaraeg Macapagal kepada Diosdado Macapagal,
seorang ahli politik, dan Evangelina Macaraeg Macapagal, Arroyo menghabiskan tahun-tahun
awalnya di Lubao, Pampanga, bersama-sama dengan dua orang saudara kandung yang lebih tua
daripada perkahwinan ayahnya yang pertama.]Ketika berumur empat tahun, beliau berasa
cemburu terhadap adik lelakinya yang baru dilahirkan dan memilih untuk tinggal dengan nenek
sebelah ibunya di Bandaraya Iligan. ]Beliau tinggal di sana selama tiga tahun, dan kemudian
membahagikan masanya antara Mindanao dan Manila sehingga umur 11 tahun.

Pada tahun 1961, ketika Arroyo hanya berumur 14 tahun, ayahnya dipilih sebagai Presiden
Filipina, dan Arroyo berpindah dengan keluarganya ke Istana Malacanang di Manila. Beliau
memperoleh pendidikan rendah dan menengahnya di Assumption Convent, dan mencapai
keputusan yang terbaik pada tahun 1964. Arroyo kemudian belajar di Pusat Pengajian
Perkhidmatan Luar Negeri di Universiti Georgetown, Washington, D.C., selama dua tahun dan
merupakan ahli Senarai Dekan yang tekal; Senarai Dekan ialah senarai tahunan untuk pelajar
yang terbaik. Bekas Presiden Bill Clinton ialah salah seorang rakan sedarjahnya.

Arroyo kemudian memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Ekonomi daripada Kolej
Assumption, dan mencapai magna cum laude yang merupakan anugerah untuk pelajar yang amat
baik pada 1968.Pada tahun 1968, Arroyo berkahwin dengan Jose Miguel Arroyo, seorang
peguam dan usahawan dari Binalbagan, Negros Occidental yang beliau telah bertemu ketika
masih remaja lagi.Mereka dikurniakan dengan tiga orang anak, Juan Miguel (lahir 1969),
Evangelina Lourdes (1971), dan Diosdado Ignacio Jose Maria (1974).

Arroyo kemudian menyertai kursus ijazah Sarjana dalam Ekonomi di Universiti Ateneo de
Manila (1978) dan ijazah Kedoktoran dalam Ekonomi di Universiti Filipina (1985).[Antara tahun
1977 dan 1987, beliau memegang jawatan pensyarah di pelbagai institusi pendidikan, khususnya
Universiti Filipina dan Universiti Ateneo De Manila. Beliau juga menjadi Pengerusi Pusat
Pengajian Ekmonomi di Kolej Assumption.

Pada tahun 1987, Arroyo dijemput oleh Presiden Corazon Aquino untuk menyertai
pentadbirannya sebagai Penolong Setiausaha dalam Kementerian Perdagangan dan Industri. Dua
tahun kemudian, beliau dinaik pangkat menjadi Setiausaha Rendah. Dalam jawatan serentaknya
sebagai Pengarah Eksekutif bagi Lembaga Eksport Pakaian dan Tekstil, Arroyo menyelia
pertumbuhan industri pakaian yang pesat pada dekad 1980-an.

Walaupun ayahnya pernah berkhidmat sebagai Presiden Filipina, Arroyo tidak menyertai
bidang politik sehingga tahun 1992, iaitu 27 tahun selepas ayahnya meninggalkan jawatannya.
Beliau dipilih sebagai ahli Senat Filipina pada tahun 1992, dan dipilih sekali lagi pada tahun
1995. Dalam pemilihan kedua ini, beliau memperoleh hampir 16 juta undi, satu pencapaian yang
tertinggi oleh mana-mana satu ahli politik untuk mana-mana satu jawatan dalam sejarah pilihan
raya Filipina. Sebagai penggubal undang-undang semasa beliau menyandang jawatan senator,
Arroyo mengutarakan melebihi 400 rang undang-undang dan mengarang atau menyokong 55
buah undang-undang yang berkaitan dengan ekonomi. Antara undang-undang ini termasuk
Undang-undang Anti Ancaman Seks, Undang-undang Hak Orang Asli, dan Undang-undang
Perkembangan Eksport.

Jawatan Naib Presiden

Revolusi EDSA II yang menyebabkan Gloria Macapagal-Arroyo segera menjadi Presiden


digambarkan dalam wang kertas 200-peso ini. Pada tahun 1998, Arroyo menimbang untuk
menyertai pertandingan presiden tetapi diyakinkan oleh Presiden Fidel V. Ramos untuk
menyertai Parti LAKAS, iaitu parti pemerintahannya, sebagai calon pasangan untuk Jose De
Venecia, Speaker Dewan, yang mempertandingkan jawatan Presiden. De Venecia dan Arroyo
berkempen di seluruh negara dengan sokongan Ramos dan jentera LAKAS yang amat berkuasa.

Arroyo memenangi jawatan naib presiden dengan hampir 13 juta undi, iaitu melebihi dua kali
ganda jumlah undi yang diperoleh oleh pesaingnya yang terdekat, Senator Edgardo Angara.
Bagaimanapun, De Venecia ditewaskan oleh Joseph Estrada, penjawat naib presiden terkini.
Arroyo memulakan penggal Naib Presidennya pada 30 Jun 1998. Tidak lama selepas itu, beliau
dilantik oleh Estrada sebagai Setiausaha Kementerian Kebajikan dan Perkembangan Sosial
dalam Kabinet. Dalam peranan ini, tugas utamanya adalah untuk menyelia rancangan-rancangan
sosial kerajaan untuk orang-orang miskin.

Arroyo meletakkan jawatannya dalam Kabinet pada Oktober 2000, dan menjauhkan diri
daripada Presiden Estrada yang telah dituduh kerana rasuah oleh seorang bekas penyokong
politiknya. Arroyo menyertai masyarakat sivil, dan bersama-sama dengan ramai orang Filipina,
mendesak Presiden Estrada meletakkan jawatan. Pihak tentera dan polis negara yang telah awal-
awal lagi menarik kesetiaan mereka kepada Estrada kini memindahkannya kepada Arroyo.Pada
20 Januari 2001, selepas beberapa hari huru-hara politik dan bantahan-bantahan jalan,
Mahkamah Tinggi Filipina mengisytiharkan pengosongan jawatan presiden. Pada hari yang
sama, Arroyo mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina ke-14 di hadapan Hilario Davide Jr,
Hakim Besar Mahkamah Agung.

Penggulingan Estrada kemudian digelarkan EDSA II, selepas Revolusi EDSA 1986 yang
meruntuhkan kerajaan Ferdinand Marcos. EDSA merujuk kepada Lebuh Epifanio de los Santos,
sebatang lebuh raya di metropolitan Manila yang merupakan tapak utama untuk tunjuk-tunjuk
perasaan.Estrada kemudian mencabar kewajaran pengisytiharan Mahkamah Tinggi, akan tetapi
Mahkamah Agung mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pewarisan Arroyo.
Walaupun Estrada dan pengikut-pengikutnya tidak pernah mengakui Arroyo sebagai presiden
yang sah, Arroyo masih dapat menggunakan kuasa serta hak-hak istimewa kepresidenan.

You might also like