You are on page 1of 18

1 BAB I

PENGENALAN

Pendahuluan

Dalam bab ini pengkaji akan membincangkan perkara berkaitan dengan latar belakang kajian, pernyataan masalah, objektif kajian, kepentingan dan batasan kajian. Selain itu, pengkaji juga akan menyatakan persoalan kajian serta definisi operasional dalam kajian ini.

Latar Belakang Kajian

Sekiranya membicarakan tentang sukan, kita tidak akan dapat lari daripada membicarakan tentang dan harapan dan semangat juang yang perlu ada pada jiwa pada atlet. Sukan seperti mana bidang bidang yang lain juga, mempunyai nilai nilai serta perasaan yang mempengaruhi pemikiran dan perlakuan seseorang atlet. Secara amnya, tindakbalas dalaman dan luaran seseorang atlet bergantung kepada kekuatan psikologi seseorang atlet tersebut.

Tingkah laku agresif sering menjadi perhatian dalam kalangan pengkaji dan penggiat dalam bidang sukan. Menurut Wann, Haynes, McLean dan Pullen (2003) keagresifan adalah satu tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas

2 seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri daripada dicederakan dan perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda yang berpunca kemarahan.

Shaharudin (2001) menyatakan keagresifan dalam sukan telah menjadi semakin biasa, ramai pemain melakukan tingkah laku agresif terhadap pihak lawan untuk melepaskan perasaan yang ada pada dirinya. Atlet pelajar

amat terdedah dengan gejala sebegini kerana ramai jurulatih berpendapat bahawa sikap agresif diperlukan apabila bertanding dalam sukan terutamanya sukan kontak seperti ragbi, bola sepak, bola keranjang, bola baling serta sukan kombat seperti silat olahraga, tae kwan do dan tinju untuk mencapai kejayaan (Shaharudin, 2001).

Husman dan Silva (1994) telah menyenaraikan tiga jenis keagresifan iaitu 1) keagresifan ketara, iaitu tindakan agresif yang berpunca dari rasa marah dengan matlamat untuk mencederakan individu lain ataupun objek dengan niat untuk melihat individu tersebut mengalami kesakitan dan ganjarannya pula (kepuasan) adalah untuk melihat individu tersebut terseksa dengan kesakitan yang dialaminya; 2) keagresifan instrumental, merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk mencederakan individu lain bermatlamat untuk mendapatkan faedah atau ganjaran luaran seperti kemenangan, hadiah atau prestij; dan 3) asertif, merujuk kepada penggunaan fizikal atau verbal dengan cara yang dibenarkan (mengikut peraturan permainan) untuk mencapai sesuatu matlamat (kemenangan)

3 Parens (1987) mendefinisikan tingkah laku agresif adalah perbuatan untuk mengawal perlakuan, diri dan persekitaran termasuk manusia lain. Beliau membahagikan tingkah laku agresif dalam dua bentuk iaitu agresif positif dan agresif negatif. Tingkah laku agresif positif adalah perbuatan yang tidak merosakkan, tidak kejam, tidak bermusuhan, melindungi diri, bertujuan untuk mencapai matlamat, sifat melawan, dan tingkah laku yang bijak serta menguasai sesuatu kemahiran dengan baik. Tingkah laku agresif yang negatif pula adalah berkaitan kemarahan, kasar, ancaman, kejam, permusuhan, kebencian, ganas, buli, penyeksaan dan dendam (Parens's, 1987).

Buss dan Perry (1992) mengklasifikasikan pelbagai jenis tingkah laku agresif. Ini termasuk keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat permusuhan. Beliau menegaskan tidak semua perlakuan agresif bersifat negatif. Dalam konteks ini pencapaian matlamat, semangat melawan dan penguasaan kemahiran merupakan contoh tingkah laku agresif yang bersifat positif yang amat diperlukan untuk survival dalam kehidupan (Buss dan Perry, 1992)

Kebelakangan ini, sering kali berlaku perdebatan tentang pengaruh sukan terhadap perkembangan tingkah laku moral (Coakley, 2003). Di mana timbul kepercayaan dalam masyarakat dan institusi pendidikan, pelajar yang bergiat di dalam bidang sukan memperoleh kesan yang positif dalam mengubah tingkah laku. Dalam kata lain, orang ramai percaya bahawa sukan dapat membina karakter seseorang atlet (Hinkle Smith, 2008). Para pendidik

4 khususnya dalam kalangan guru-guru sekolah percaya penglibatan pelajar dalam bidang sukan merupakan kombinasi yang baik bersama bidang akademik untuk membina perkembangan individu yang lengkap (Findlay dan Coplan, 2008).

Peningkatan kadar keagresifan yang melibatkan salah laku dalam kalangan pelajar menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat pada hari ini (Howard, Wang dan Yah, 2008). Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat 3627 kes jenayah yang membabitkan pelajar sekolah di Malaysia pada tahun 2007 dan pelajar-pelajar yang terlibat dalam kes tersebut berumur di antara 7 hingga 18 tahun (Utusan Malaysia, 25 Mac 2008). Lebih menakutkan lagi terdapat 35 kes pelajar sekolah mati atau cedera akibat dibelasah telah dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini iaitu dari tahun 2003 hingga 2007 (Utusan Malaysia, 29 April 2008). Menurut Ellickson dan Mc. Guigan (2000) remaja antara umur 12 hingga 19 tahun berisiko tinggi menjadi mangsa perlakuan agresif dan buli.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1999) menyatakan, prinsip rasmi dan objektif pertandingan sukan antara sekolah-sekolah dan penglibatan pelajar dalam sukan adalah untuk meningkatkan kekuatan fizikal, mental, emosi dan perkembangan sosial kepada semua yang terlibat. Oleh itu program pertandingan antara sekolah yang disertai merupakan pelengkap kepada proses pendidikan secara keseluruhan. Ini secara tidak langsung menyatakan bahawa atlet pelajar mempunyai perkembangan moral yang tinggi. Kenyataan ini juga amat selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan

5 Negara (1988) untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Menurut laporan Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia (2007) lebih 1 juta pelajar sekolah di Malaysia terlibat dalam 30 jenis sukan di sekolah menengah. Statistik yang dikeluarkan ini amatlah membanggakan. Namun bagi jurulatih dan atlet yang terlibat secara langsung dalam bidang ini mempunyai tekanan untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan yang disertai. Oleh yang demikian, timbul desakan untuk mencapai matlamat tersebut dengan perlakuan yang tidak wajar seperti bertindak agresif yang negatif dan tindakan yang menyalahi undang-undang permainan (Keeler, 2007). Kadang-kala atlet pelajar didedahkan dengan perlakuan yang sedemikian oleh jurulatih secara langsung. Contohnya pertandingan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) tahun 2005 di Ipoh, telah berlaku pergaduhan antara pemain dua buah negeri. Menurut laporan jawatankuasa disiplin MSSM, tindakan pemain tersebut dipengaruhi oleh pegawai, jurulatih dan penyokong kedua-dua pasukan (Utusan Malaysia, 25 Jun 2005).

Berdasarkan huraian fakta yang telah dikemukakan ini, jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara penglibatan pelajar dalam bidang sukan dengan tingkah laku agresif.

6 Pernyataan Masalah

Terdapat percanggahan pendapat dalam kajian tentang pengaruh sukan terhadap tingkah laku agresif. Nucci dan Young (2005) dalam kajian tentang Peningkatan tahap sosial melalui sukan telah menyenaraikan sahsiah individu yang diperoleh melalui sukan iaitu, semangat juang yang tinggi, keupayaan bekerjasama, semangat kesukanan, berfikiran positif, berani menghadapi cabaran, kepuasan diri, pantang menyerah, berkemampuan menentang kesakitan dan lesu, dapat melepaskan tekanan dan menghindari tindak balas agresif. Namun, Dapatan kajian Rhea dan Lantz (2004) melalui kajian khusus tentang tingkah laku agresif atlet pelajar dan bukan atlet pelajar menyatakan atlet pelajar banyak terlibat di dalam tingkah laku agresif dan tiada bukti yang menyatakan sukan menyebabkan halangan kepada perbuatan agresif. Tambahnya lagi, laporan tingkah laku atlet tidak menunjukkan sesuatu yang baik dan di dalam sesetengah kes, atlet pelajar menunjukkan tingkah laku agresif yang lebih tinggi berbanding bukan atlet pelajar (Rhea dan Lantz, 2004).

Permasalahan tentang amalan nilai dan sikap yang diterap dan dipelajari melalui sukan di dalam kehidupan seharian sering kali menjadi perdebatan dalam kalangan pengkaji sosiologi sukan. Rees dan Howell (1990) dalam kajian mengenai sukan membina karakter pelajar menyatakan, atlet pelajar berupaya menunjukkan perlakuan yang baik menerusi hubungan sosial yang diperoleh melalui sukan. Namun, menurut Shaharudin (2001) perkaitan sukan dengan tingkah laku agresif amat sinonim terutamanya sukan yang

7 berbentuk kontak seperti ragbi, hoki, bola sepak, bola jaring dan beberapa jenis sukan lain. Rhea dan Lantz (2004) menyatakan atlet pelajar mempunyai personaliti yang lebih agresif dan lasak berbanding bukan atlet pelajar. Pada perbincangan kajian, Beliau menjelaskan bahawa terdapat hubungan yang signifikan tingkah laku dalam permainan atau pertandingan dengan perlakuan yang diamalkan dalam kehidupan seharian atlet.

Kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan peningkatan kadar jenayah dan salah laku khususnya perlakuan agresif dan buli dalam kalangan para pelajar di negara ini. Perlu ada kajian untuk mengenal pasti golongan yang terlibat agar tindakan susulan dapat diambil dan diberi perhatian. Masalah yang timbul adalah anggapan dalam kalangan guru-guru, ibu bapa dan masyarakat yang menuding jari kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam aktiviti sukan terbabit dalam masalah ini. Ianya mungkin kerana atlet pelajar mempunyai kelebihan daripada segi fizikal dan sering kali menunjukkan tatalaku yang lebih agresif berbanding bukan atlet pelajar. Kebanyakan pelajar yang terlibat di dalam salah laku dan kenakalan semasa di sekolah mempunyai fizikal yang kuat, bertubuh tegap dan berkuasa (Demaray dan Malecki, 2003). Atlet pelajar dianggap tidak mempunyai disiplin dan dikaitkan dengan tingkah laku agresif kerana kerap kali meninggalkan program pembelajaran di dalam kelas untuk menghadiri latihan dan pertandingan sukan.

Oleh yang demikian, perlu ada kajian yang memperlihatkan tingkah laku agresif yang dilakukan oleh golongan pelajar terutamanya atlet pelajar sama

8 ada perlakuan agresif tersebut berbentuk positif atau negatif. Ianya akan dapat memberikan gambaran jelas tentang kebaikan atau keburukan terhadap penglibatan pelajar sekolah menengah dalam bidang sukan.

Kajian tentang tingkah laku agresif bukanlah satu yang baru. Pengkajipengkaji sukan luar negara khususnya di Amerika, Canada dan Australia sering menulis hal ini dan mendapatkan maklumat tentangnya. Namun begitu, tiada kajian khusus tentang tingkah laku agresif atlet pelajar di Malaysia. Ini merupakan satu motivasi bagi pengkaji untuk meneruskannya dengan harapan dapatan kajian ini akan dapat dimanfaatkan untuk perkembangan pendidikan di Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan jasmani dan sukan.

Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui perbandingan tingkah laku agresif dalam kalangan atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar. Selain itu, kajian ini juga akan melihat hubungan antara penglibatan dalam bidang sukan dengan tingkah laku agresif dan tahap tingkah laku agresif atlet pelajar mengikut jenis keagresifan..

Oleh itu, kajian ini akan menguji tingkah laku agresif secara khusus dalam kalangan pelajar. Kajian tingkah laku agresif yang dijalankan oleh Buss dan Perry (1992) telah menyenaraikan perlakuan tersebut melalui Aggression Questionnaire (Soal Selidik Keagresifan) yang mengukur ciri-ciri personaliti yang agresif dalam diri individu iaitu; keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat melawan.

Objektif Kajian

Objektif umum kajian ini adalah untuk mengetahui perbandingan tahap tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar sekolah menengah daerah Langkawi, Kedah, berdasarkan soal selidik tingkah laku agresif.

Objektif khusus kajian ini adalah,

1. Untuk mengetahui tahap tingkah laku agresif atlet pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak berdasarkan jenis keagresifan (keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat melawan).

2. Untuk mengetahui hubungan antara tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak dalam bidang sukan.

3.

Untuk mengenal pasti perbezaan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak.

Persoalan Kajian

Kajian ini akan menjawab persoalan-persoalan berikut:

10

1. Apakah tahap tingkah laku agresif atlet pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak berdasarkan jenis keagresifan (keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat melawan).

2. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak dalam bidang sukan.

3. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak.

Rasional Kajian

Tingkah laku agresif pelajar merupakan satu fenomena kepada institusi sekolah pada hari ini. Sekiranya kurang pemantauan perbuatan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti gengsterisme atau budaya samseng. Tingkah laku agresif akan memberi kesan kepada peranan sekolah sebagai pembentuk jati diri dan pendidik anak bangsa. Ia juga membawa kesan yang mendalam terhadap perkembangan pelajar itu sendiri baik dari segi perkembangan intelek dan jasmani mahupun perkembangan rohani dan emosi.

11 Tingkah laku agresif atlet pelajar akan menyebabkan pelajar merasakan kegiatan sukan yang dilaksanakan di sekolah bukan lagi merupakan sesuatu aktiviti yang berfaedah. Begitu juga ibu bapa yang merasa ragu-ragu untuk membenarkan anak-anak terlibat dengan aktiviti sukan sekiranya membawa kesan yang negatif. Pihak sekolah terutamanya guru-guru Pendidikan Jasmani dan sukan juga akan dipertikaikan kewibawaan mereka sebagai pendidik dalam jangka masa panjang.

Berdasarkan kenyataan di atas, tingkah laku agresif dalam kalangan atlet pelajar di sekolah perlulah diberi perhatian serius dan ditangani dengan segera sekiranya didapati ianya bermasalah. Namun begitu, perlu ada pemahaman yang jitu tentang tingkah laku agresif kerana tingkah laku agresif ini bukan sahaja membawa keburukan bahkan boleh membawa kebaikan kepada pelajar secara menyeluruh.

Melalui kajian ini, penyelidik cuba mengenal pasti perbandingan tahap tingkah laku agresif atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak berdasarkan soal selidik tingkah laku agresif. Dapatan yang diperoleh mampu memberikan satu gambaran lebih jelas dan tepat tentang status tingkah laku agresif pelajar atlet di sekolah menengah. Di samping mengenal pasti tahap tingkah laku agresif atlet pelajar, penyelidik juga cuba mengenal pasti jenis-jenis tingkah laku agresif yang kerap dilakukan oleh pelajar ini supaya gambaran menyeluruh tentang tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar sekolah dapat dilihat dan difahami. Data yang

12 diperoleh akan dapat menunjukkan perkaitan antara penglibatan dalam bidang sukan dalam kalangan pelajar dengan tingkah laku agresif.

Keadaan ini dapat memberi lebih kefahaman tentang tingkah laku agresif atlet pelajar di sekolah menengah kepada semua pihak yang terlibat dengan sekolah seperti pihak pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan pelajar sendiri. Gambaran dan kefahaman yang lebih menyeluruh perlu supaya program-program intervensi dapat dirancang serta dilaksanakan dengan berkesan oleh pihak sekolah dan juga pihak-pihak yang berkaitan seperti persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan sukan. Kepentingan Kajian

Kajian ini akan dapat memberikan satu gambaran tentang perbandingan tahap tingkah laku agresif atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah menengah. Penggunaan soal selidik berkaitan keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat melawan merupakan satu cara bagaimana perbandingan tahap tingkah laku agresif di sekolah boleh ditentukan. Dapatan daripada kajian ini juga akan dapat menjelaskan lagi tentang tingkah laku agresif dalam kalangan atlet pelajar mengikut jantina dan jenis-jenis tingkah laku agresif yang dihadapi. Kajian ini juga akan memberikan maklumat baru berkenaan tahap perlakuan tersebut.

Dapatan daripada kajian ini akan dapat digunakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah dalam mengukur

13 tahap tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia. Datadata yang diperoleh seperti perbandingan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar, perbandingan tingkah laku mengikut jantina dan kekerapan jenis tingkah laku agresif boleh digunakan dalam perancangan program intervensi, pencegahan dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

Dapatan kajian ini juga akan dapat digunakan sebagai garis panduan serta asas kepada pembentukan polisi bagi menangani dan mencegah kejadian salah laku dalam kalangan pelajar. Para guru dan jurulatih yang terlibat secara langsung dengan para atlet akan mendapat faedah daripada kajian ini. Ia dapat membantu jurulatih dan guru sukan untuk merancang program latihan dengan menerapkan nilai-nilai positif melalui sukan agar dapat melahirkan atlet yang seimbang daripada segi moral dan sahsiah diri.

Pihak-pihak lain yang berkaitan dengan pelajar seperti ibu bapa, masyarakat, pertubuhan-pertubuhan sukan, PIBG, pertubuhan belia, kesatuan guru dan pertubuhan kemasyarakatan boleh memperoleh faedah daripada dapatan kajian ini dalam usaha merancang program kemasyarakatan ke arah masyarakat yang berbudi bahasa dan cemerlang.

Skop Kajian

Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti perbandingan tahap tingkah laku agresif dalam kalangan atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah

14 menengah daerah Hilir Perak, Perak. Fokus penyelidik dalam kajian ini ialah untuk mengetahui tahap tingkah laku agresif dalam kalangan atlet pelajar sekolah menengah. Kajian ini juga cuba mengenal pasti hubungan tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar dalam bidang sukan. Di samping itu kajian ini akan mengenal pasti perbandingan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar.

Batasan Kajian

Kajian ini adalah terhad kepada objektif dan persoalan yang dinyatakan di bahagian 1.3 dan bahagian 1.4 di atas. Aspek-aspek yang menjadi persoalan dalam kajian ini seperti tahap tingkah laku agresif atlet pelajar berdasarkan jenis keagresifan, hubungan tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar dalam bidang sukan dan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar adalah terbatas kepada apa yang didefinisikan secara operasional dalam kajian ini sahaja. Tahap dan jenis tingkah laku agresif adalah diukur menggunakan borang soal selidik tingkah laku agresif yang di guna pakai oleh Buss dan Perry (1992). Penyelidik telah mengubahsuai (alih bahasa) soal selidik ini dengan bantuan panel yang telah dilantik bagi menjamin kesahan dan kebolehpercayaan serta bersesuaian dengan pelajar sekolah menengah di negara ini.

15 Dapatan kajian ini juga adalah terbatas kepada penggunaan sampel pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak, yang terdiri daripada 25 buah sekolah menengah.

Pembolehubah seperti perbandingan tahap tingkah laku agresif atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar dan perbandingan mengikut jantina serta kekerapan jenis tingkah laku agresif yang digunakan dalam analisis bagi menjawab persoalan kajian adalah terhad kepada apa yang dinyatakan dalam kajian ini sahaja. Faktor-faktor lain seperti pengaruh ibu bapa, rakan, persekitaran dan media yang tidak dinyatakan dalam kajian ini adalah tidak dikaji.

Dapatan kajian ini juga amat bergantung pada kejujuran pelajar-pelajar yang terpilih sebagai responden dalam memberikan jawapan tepat dan benar kepada soal selidik yang dikemukakan.

Definisi Operasional

Bahagian ini akan menghuraikan definisi operasional bagi setiap pembolehubah yang terlibat dalam kajian ini. Definisi operasional berikut adalah dalam konteks kajian ini sahaja.

Tahap

Tahap ialah had, takat dan peringkat dalam sesuatu perkara (Kamus

16 Dewan, 2007). Dalam kajian ini tahap bermaksud peringkat tingkah laku agresif pelajar sekolah menengah daerah Hilir Perak di negeri Perak.

Tahap yang diukur adalah sangat tinggi, tinggi, sederhana, rendah dan sangat rendah bagi konteks tahap tingkah laku agresif atlet pelajar. Manakala bagi tujuan perbandingan antara atlet dengan bukan atlet tahap yang diukur adalah lebih tinggi atau lebih rendah.

Tingkah laku agresif

Tingkah laku agresif adalah satu tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri daripada dicederakan dan/atau perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda yang berpunca kemarahan.

Tingkah laku agresif dalam kajian ini merujuk kepada perbuatan untuk mengawal perlakuan, diri dan persekitaran termasuk manusia lain. Tingkah laku ini terbahagi kepada dua jenis iaitu agresif positif dan agresif negatif. Tingkah laku agresif positif adalah perbuatan yang tidak merosakkan, tidak kejam, tidak bermusuhan, melindungi diri, bertujuan untuk mencapai matlamat, sifat melawan, dan tingkah laku yang bijak serta menguasai sesuatu kemahiran dengan baik juga dikenali sebagai tingkah laku asertif. Tingkah laku agresif yang negatif pula adalah berkaitan kemarahan, kasar,

17 ancaman, kejam, permusuhan, kebencian, ganas, buli, penyeksaan dan dendam.

Buss dan Perry (1992) mengklasifikasikan empat jenis tingkah laku agresif iaitu keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat melawan. Keagresifan fizikal tentang aspek agresif hostile dan instrumental yang dilakukan secara fizikal seperti pergaduhan, kekasaran dan kekerasan . Keagresifan verbal merangkumi agresif secara lisan seperti bercakap kuat, makian, kutukan dan berani mengeluarkan pendapat secara lisan. Sifat kemarahan merujuk kepada aspek agresif yang meliputi kebangkitan fisiologi seperti panas baran atau cepat marah. Sifat melawan meliputi aspek kognitif tentang kecenderungan individu mempertahankan hak dan berusaha untuk berjaya dengan cara yang agak keras dan kasar.

Atlet pelajar

Pelajar yang bergiat aktif dalam bidang sukan. Pelajar tingkatan empat lelaki dan perempuan yang pernah mewakili sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan dalam sebarang jenis sukan semasa berada di sekolah menengah. Atlet pelajar tersebut adalah pelajar-pelajar dari sekolah menengah dalam daerah Hilir Perak di negeri Perak.

Bukan atlet pelajar

18 Pelajar tingkatan empat lelaki dan perempuan yang tidak pernah mewakili sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan dalam sebarang jenis sukan semasa berada di sekolah menengah. pelajar tersebut adalah dari sekolah menengah dalam daerah Hilir Perak di negeri Perak.

Kesimpulan

Dalam bab ini, pengkaji telah menerangkan tentang latar belakang kajian, pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, rasional kajian, kepentingan kajian, skop kajian, batasan kajian serta definisi konsep dan operasional kajian.

You might also like