You are on page 1of 5

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai. Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu melakukannya. Guru merupakan instrumen utama dalam dunia pendidikan. Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan Negara. Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku? Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru kita mendapatkan ilmu. Dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan guru. Untuk berjaya dalam hidup, insan yang paling bertanggungjawab untuk membentuk pelajar ke arah kecermelangan adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa. Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan yang berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak dapat dihitung oleh kita. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu hasil ajaran dan

didikan guru di sekolah, pun begitu, hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terlepas merasai tempiasnya.. Arus teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin menggila memudahkan lagi pelajar terjebak dengan nilai negatif. Di sinilah kita memerlukan pendidikan akhlak iaitu pendidikan yang dapat membina keyakinan, kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai murni. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal,maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Perkara inilah yang diharapkan oleh ibu bapa dan masyarakat untuk dilaksanakan oleh guru. Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa. Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun. Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar dari kesilapan. Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.. Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lainlain. Jika dibiarkan,tingkah laku ini akan berkekalan dari alam pelajar dan persekolahan hinggalah ke alam dewasa dan kehidupan.

Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar. Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru. Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar tindakan yang terbabit. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa. Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain. Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera. Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Insan boleh menjadi istimewa atau sebaliknya dengan bimbingan guru. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang di jalan Allah, sehinggalah dia kembali." Ilmu pengetahuan yang ada dalam diri seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang, lagi tinggilah kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar pada waktu malam. Akhir sekali, usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah salah sangka dan benci pada guru walaupun ada kalanya mereka melukakan hatimu. Guru juga manusia, mereka

juga boleh tersilap seperti kita. Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang gurumu berikan dengan lapang dada. Andai kita umpama si buta, guru adalah tongkatnya. Andai kita umpama si jahil, belajarlah menjadi cerdik dari seorang guru dan andai kita sebatang pensel, redhalah guru menjadi pengasahnya.

(798 patah perkataan)

BIBLIOGRAFI.

Dr. Ilias Zaidi, Buku Karangan PMR ( FARGOES) Rohaini Kamsan, Buku Karangan PMR (PELANGI) http://ajehe.blogspot.com/2008/10/apa-maksud-guru.html http://webku.cz.cc/search/maksud-guru-menurut-pakar/

You might also like