You are on page 1of 3

1.

Kerosakan Kerana Faktor Cuaca Sebagaimana yang kita semua maklum, keadaan persekitaran memberi kesan yang besar terhadap ketahanan kayu terutamanya kayu-kayu di bahagian luar. Dalam cuaca yang lembab, kayu akan menyerap kelembapan persekitaran, dan kayu tersebut akan mengembang. Sebaliknya apabila cuaca kering, kayu akan mengecut. Proses pengeringan dan pengecutan mengakibatkan terjadinya keretakan pada permukaan kayu. Sinaran matahari dan tiupan angin pula akan mempercepatkan proses pengeringan permukaan kayu. Kayu yang pecah di bahagian permukaan ini akan membenarkan kelembapan meresap, akibatnya kayu akan menjadi rapuh dan berlakulah keretakan yang lebih besar. Seterusnya kelembapan di dalam kayu akan mempercepatkan proses pereputan daripada terjadi. Kerosakan dan kecacatan yang dapat dilihat kesan daripada kesan terdedah kepada faktor cuaca ialah kerosakan pada permukaan seperti perubahan warna, permukaan kasar, serabut kayu timbul dan menjadi lembut, dan terhakis apabila hujan. Akibat daripada pengecutan pula menyebabkan kecacatan seperti permukaan kayu retak, terbelah dan merubah bentuk asal seperti terpulas. Kesan-kesan kerosakan akibat terdedah kepada cuaca dapat dilihat pada hampir keseluruhan struktur kayu Rumah Kutai berkenaan. 2. Kerosakan Kerana Serangga Pengorek Kayu Sebahagian kecil daripada kerosakan yang terdapat pada struktur kayu Rumah Kutai ini ialah disebabkan oleh terdapatnya larva beberapa jenis kumbang atau gegat kayu yang menghabiskan masa hidupnya di dalam batang kayu dan memakan tisu-tisu kayu. Saiz lubang yang dibuat oleh serangga ini adalah berubah-ubah dengan saiz pusat antara 5mm hingga 25mm dengan penjangnya beberapa sentimeter dan boleh dilihat dengan jelas pada permukaan atau struktur kayu yang diserang. Antara kumbang yang telah dikenalpasti terdapat pada struktur kayu Rumah Kutai ini ialah dari jenis Powder Post (Lyctus Brunneus). 3. Kerosakan Kerana Serangan Anai-Anai Serangan anai-anai secara umumnya boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk ke atas Rumah Kutai ini. Anai-anai membuat lubang di dalam tanah dan membiak di tempat yang lembab serta pada timbunan kayu. Anai-anai hidup dengan menggunakan kayu-kayu yang telah mati sebagai sumber bahan makanannya. Antara tempat yang sering diserang anai-anai adalah seperti bumbung, tingkap, pintu, rangka kayu, siling dan gelegar lantai. Struktur kayu akan hilang kekuatannya dan menjadi reput akibat daripada serangan anai-anai. Terdapat dua jenis anai-anai yang sering menyerang kayu iaitu yang pertama anai-anai bawah tanah iaitu Subterranean Termites (Coptotermes Curvignathus) yang bersarang dan membiak di bawah tanah yang lembab. Kerosakan kayu akibat serangan anai-anai dapat dilihat pada tiang-tiang dan gelegar lantai Rumah Kutai serta anai-anai yang bersarang dan membiak dalam struktur kayu yang lembab. Anai-anai yang kedua ialah anai-anai kayu kering iaitu Drywood Termites (Cryptotermes Cynocephalus) yang hidup dalam kawasan yang kering dan memakan tisu-tisu kayu kering. Anai-anai jenis ini sukar dikesan kerana memakan kayu di bahagian dalam sahaja. Ciri-ciri serangan oleh anai-anai ini secara umum dapatlah dikesan melalui bunyi kosong

apabila kayu diketuk dari permukaan luar dan sisi permukaan kayu yang telah dimakannya adalah bersih dan licin. Keadaan ini terdapat pada sebahagian struktur tiang Rumah Kutai. Sisi permukaan tiang rumah kutai agak bersih dan nampak kukuh berbanding struktur yang lain. 4. Kerosakan Kerana Kulat atau Cendawan Reput Lembab dan Kering Struktur kayu juga boleh menjadi reput apabila diserang atau ditumbuhi oleh kulat atau cendawan. Kulat atau cendawan ini merupakan sejenis tumbuhan yang tidak mempunyai klorofil dan mereka mendapat bahan yang mengandungi zat makanan melalui tumbuhan atau organisme yang terdapat pada struktur kayu. Kulat atau cendawan yang menyerang kayu lembab akan menyebabkan reput lembab manakala kulat atau cendawan yang menyerang kayu kering pula boleh menyebabkan reput kering. Ciri-ciri permukaan kayu yang diserang oleh kulat atau cendawan ini boleh dilihat dengan jelas pada permukaan kayu yang mana keadaan kayu tersebut akan berubah menjadi lebih gelap. Sel-sel kayu yang diserang akan musnah, diikuti dengan pengecutan kayu, keretakan dan akhirnya reput serta runtuh. Ada juga yang menyebabkan permukaan kayu menjadi kehijauan seperti lumut dan lebih cerah serta berserabut. 5. Kerosakan Kerana Faktor Usia dan Tiada Penyelenggaraan Rumah Kutai ini secara umumnya telah tidak lagi dihuni kerana warisnya telahpun berpindah. Keadaannya yang terbiar kepada faktor cuaca dan serangan serangga perosak, anai-anai dan kulat serta cendawan yang teruk telah mengakibatkan mutu struktur bahan binaan menjadi semakin merosot. Selain daripada masalah pereputan kayu, kayu pecah dan patah, masalah ketiadaan penyelenggaran ke atas rumah yang telah tua ini juga telah mengakibatkan beberapa bahagian dan komponen rumah telah musnah dan hilang. Kehilangan beberapa komponen rumah seperti rangka pintu, hiasan pada bingkai dan birai dinding termasuklah panel dinding rumah merupakan satu kerugian yang amat besar dari nilai bahan binaan Rumah Kutai ini. Selain daripada kerosakan akibat kelembapan dan serangan anai-anai, terdapat juga komponen-komponen asal rumah yang telah ditukar baru seperti papan lantai dan atap bumbung. Namun tanpa penyenggaraan bahan baru ini juga mengalami kerosakan. Sehubungan dengan itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa Rumah Kutai ini semakin hari semakin usang serta berada dalam tahap bahaya kerana tiada penyelenggaraan setelah ditinggalkan kosong tanpa penghuni sejak sekian lama. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan perlu dilakukan dengan segera dalam usaha untuk memulihara Rumah Kutai ini sebelum ia pupus ditelan zaman. CADANGAN PEMULIHARAAN Bagi kajian kes Rumah Kutai Kampung Aji Bota Kiri ini, hasil daripada kajian yang telah dijalankan ke atasnya, didapati bahawa terdapat banyak elemen yang mengalami kecacatan dan kerosakan. Sehubungan dengan itu, adalah dicadangkan agar kerja pengekalan, pemuliharaan dan pembaikan segera pada peringkat kerja yang seterusnya adalah perlu

dilakukan seperti berikut: 1. Melindungi keseluruhan bangunan dan elemennya daripada terus rosak akibat faktor cuaca. 2. Menjalankan rawatan pencegahan anai-anai dengan kadar SEGERA pada keseluruhan struktur rumah untuk mematikan semua anai-anai yang ada termasuk serangga pengorek kayu. 3. Menjalankan kerja pencucian dengan kadar SEGERA ke atas struktur kerangka bangunan yang diserang kulat serta cendawan reput lembab dan kering. 4. Membuang dengan kadar SEGERA sarang anai-anai yang terdapat pada keseluruhan struktur rumah. 5. Mencuci dan membersih ruang dalam rumah yang dipenuhi dengan najis kelawar. 6. Membaiki struktur kerangka bumbung yang telah rosak teruk dimakan anai-anai dan serangan serangga pengorek kayu seperti pada tulang bumbung, alang panjang, alang pendek, alang lintang, kasau jantan, kasau betina dan tunjuk langit. 7. Menggantikan anyaman daun tepas yang terdapat pada peran rumah. 8. Menggantikan kepingan papan dinding yang telah tertanggal dan hilang. 9. Menanggal keluar kepingan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya yang telah rosak. 10. Menggantikan jeriji bulat pada tingkap jenguk yang telah hilang. 11. Menggantikan daun tingkap yang telah tertanggal pada tingkap utama. 12. Menggantikan keseluruhan papan lantai yang telah tertanggal dan reput. 13. Menggantikan keseluruhan gelegar lantai yang telah rosak diserang kulat atau cendawan reput kering dan lembab. 14. Menggantikan tiang rumah yang telah rosak teruk dimakan anai-anai dan serangan serangga pengorek kayu. 15. Membersih dan membaiki para yang terdapat di bawah rumah. 16. Membina semula tangga hadapan rumah yang telah hilang. 17. Membina semula struktur rumah yang telah runtuh seperti di bahagian anjung dan dapur. 18. Membina semula struktur rumah yang telah runtuh seperti di bahagian dapur dan bilik air. 19. Membersihkan permukaan dinding dalam yang ditampal dengan surat khabar. 20. Membersihkan kawasan persekitaran rumah yang dipenuhi semak samun dan menjalankan kerja lanskap untuk mengindahkan kawasan persekitaran.

You might also like