You are on page 1of 34

INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN (IPGMTAA)

REFLEKSI BINA INSAN GURU FASA 1 SIRI 2 PISMP SEMESTER 1

NAMA: NUR LIYANA BINTI ZABRI NO K/P: 890314 02 5524 UNIT: PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2009 FASILITATOR: CIK HALIMAH BINTI HALIMI

PENGHARGAAN
Assalamualaikum W.B.T. Pertama sekali,saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat saya menyelesaikan refleksi program Bina Insan Guru (BIG) ini. Masa dua minggu yang diberikan itu mencukupi bagi saya menulis refleksi ini. Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pensyarah dan juga para fasilitator yang terlibat dalam program BIG ini. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar dan pengajaran yang amat bernilai buat saya. Mereka merupakan orang yang penting kepada guru-guru pelatih terutamanya dalam membentuk jati diri seorang guru pada masa akan datang. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cik Halimah binti Halimi merangkap fasilitator kumpulan saya. Beliau merupakan seorang fasilitator yang begitu prihatin dan memahami perasaan anak-anak buahnya. Segala nasihat yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan amat berguna. Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan daripada kumpulan saya yang banyak memberikan kerjasama dan bantuan sepanjang program BIG ini berlangsung. Saya amat bersyukur kerana mendapat rakan-rakan seperti mereka sebagai ahli kumpulan saya. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan daripada kumpulan lain yang tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang sahabat untuk menolong saya semasa saya berada dalam kesusahan. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam membantu saya dan rakan-rakan sepanjang kami berada di Kg. Mambang. Terima kasih.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF PROGRAM BINA INSAN GURU (BIG) Program ini merupakan salah satu usaha pencetus kepada usaha pembinaan insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal dan mental, dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara selaras dengan nilai-nilai keguruan. Melalui program BIG ini pelajar dapat mencapai objektif berikut : 1) Menunjukkan ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran agama. 2) Meningkatkan semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat, bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan. 3) Meningkatkan ketahanan fizikal dan mental. 4) Meningkatkan dan menguasai interpersonal dan intrapersonal serta perpaduan masyarakat. 5) Meningkatkan kemahiran mengurus diri, kumpulan dan masa dengan berkesan. 6) Meningkatkan pengembangan potensi diri sebagai insan berakhlak mulia melalui amalan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek kehidupan seharian.

Pada semester ini, saya dan rakan-rakan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) semester 1 diwajibkan untuk mengikuti program Bina Insan Guru (BIG) di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang,Pekan, Pahang. Saya merupakan salah seorang peserta program BIG fasa 1 siri 2. Program ini disertai oleh 3 unit bagi setiap siri. Pada kali ini, unit saya iaitu unit PISMP Matematik ditempatkan bersama-sama unit PISMP Pengajian Sosial dan unit PISMP Pengajian Tamil. Program BIG fasa 1 siri 2 ini diadakan pada 17/7/2009 sehingga 20/7/2009 iaitu selama empat hari tiga malam.

Pada 17/7/2009, program BIG bermula. Para peserta BIG berkumpul di Dataran Bestari pada pukul 7.30 pagi. Sebelum bertolak ke chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, Pekan, kami dikehendaki untuk memeriksa segala peralatan yang perlu dibawa ke tempat program ini dijalankan. Setelah pemeriksaan selesai dijalankan, pada jam 8.30 pagi kami pun bertolak ke destinasi yang ingin dituju. Para peserta program BIG dihantar ke tempat program ini dijalankan dengan dua buah bas. Perjalanan ke Mambang memang agak mencabar kerana jalannya berliku-liku. Selain itu, perjalanan ke sana juga melalui kawasan-kawasan yang banyak dikelilingi oleh pokok-pokok. Pemandangan sepanjang perjalanan juga amat cantik. Saya dapat menikmati keindahan alam dan kagum dengan ciptaan yang Maha Pencipta. Selepas lebih kurang tiga jam perjalanan, kami singgah di salah sebuah kedai makan di Maran untuk menjamu makan tengah hari. Kemudian, kami meneruskan perjalanan tanpa menyedari bahawa dua orang kawan kami tidak berada di dalam bas pada ketika itu. Ketiadaan mereka disedari oleh salah seorang daripada kami setelah bas mula bergerak agak

jauh dari tempat kami menjamu selera. Rakan kami yang ditinggalkan itu terpaksa mengejar bas yang dinaiki. Akhirnya, kami bersyukur kerana rakan-rakan kami sempat mengejar bas ini. Dari sini saya mendapat pengajaran bahawa kita mestilah peka terhadap keadaan sekeliling kita. Hal-hal seperti ini mungkin akan berlaku pada masa akan datang apabila saya berada di alam persekolahan. Penting bagi kami untuk memeriksa bilangan peserta terlebih dahulu sebelum bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Mambang. Semasa kali pertama sampai di hadapan jalan masuk ke chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, saya amat terkejut kerana kami terpaksa masuk jauh ke dalam lagi untuk sampai di tempat program dijalankan. Walaubagaimana pun, pemandangan di sekitar tempat itu amat cantik. Walaupun hati saya agak berdebar-debar untuk mengikuti program ini, saya tetap kuatkan semangat saya. Secara jujurnya, saya tidak pernah mengikuti program seperti ini atau perkhemahan di luar. Jadi, bermacam-macam andaian bermain di fikiran saya. Tambahan pula, saya mendengar pelbagai cerita daripada senior-senior dan juga rakan-rakan yang telah pun menjalani program BIG ini. Saya menjadi bertambah risau apabila mendengar cerita daripada mereka tentang aktiviti yang memerlukan para peserta untuk mengharungi sebuah paya yang agak dalam. Ini disebabkan ketinggian yang saya yang kurang jika dibandingkan dengan guru-guru pelatih lain. Walaubagaimana pun, saya mengambil perkara itu sebagai satu cabaran bagi saya. Setelah lebih kurang lima jam perjalanan, akhirnya kami sampai dengan selamat ke destinasi kami. Inilah kali pertama saya sampai ke tempat ini. Ini juga merupakan kali pertama saya melihat Sungai Pahang dengan mata saya sendiri. Memang benar bahawa Sungai Pahang merupakan sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia.

Semasa kami sampai di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, saya dan rakan-rakan mendapati tiada sesiapa pun di sana. Kami tertanya-tanya tentang apa yang harus dilakukan di sana kerana tiada seorang pensyarah pun yang sampai ketika itu. Jadi, kami cuba meninjau kawasan berhampiran. Tempat perkhemahan ini memang cantik dan selesa bagi sebarang perkhemahan. Sementara menunggu kedatangan pensyarah yang bertugas, saya dan rakan-rakan menunaikan solat jamak Zohor dan Asar terlebih dahulu. Selepas selesai menunaikan solat, pensyarah pertama yang tiba di tempat tersebut ialah En. Shafie bin Majid. Segala aktiviti kami diuruskan oleh beliau pada ketika itu.

Pada jam 2.30 petang, kami diminta berkumpul di dewan chalet Harapan Riverview Kampung Mambang untuk diberi taklimat tentang perjalanan program BIG ini oleh En. Shafie. Dalam taklimat ini, En. Shafie ada menyebut tentang peraturanperaturan yang harus kami patuhi sepanjang program BIG ini dijalankan. Antara peraturan-peraturan tersebut ialah berkenaan batas-batas pergaulan antara peserta lelaki dan peserta perempuan,kawasan-kawasan larangan yang berada di dalam dan di luar kem bagi para peserta, soal disiplin,keselamatan diri,penggunaan telefon bimbit sepanjang program ini dijalankan dan lain-lain lagi. En. Shafie telah menasihatkan kami supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya tidak ada sebarang masalah yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. En. Shafie juga mendedahkan kami dengan jadual yang perlu kami patuhi sepanjang program BIG ini. Menurut beliau, kami sebagai para peserta harus mematuhi jadual yang telah ditetapkan oleh beliau.

Setelah selesai menerangkan tentang peraturan-peraturan dan jadual program BIG ini secara terperinci, kami telah diarahkan untuk melantik seorang penghulu dan seorang penghuluwati yang terdiri daripada kalangan para peserta sendiri. Sesi pemilihan calon ini bermula dengan para peserta tidak kira lelaki atau perempuan mencadangkan calon-calon untuk jawatan penghulu. Hanya terdapat dua orang calon untuk jawatan penghulu iaitu Mohamad Ridhauddin bin Jamian dari unit PISMP Matematik dan Muhd Fadzli bin Ismail yang juga merupakan guru pelatih dari unit PISMP Matematik. Bagi peserta perempuan pula, calon-calon penghuluwati yang dicadangkan ialah Nurul Atikah binti Abdul Rahim dari unit PISMP Matematik, Salmah binti Edi dari unit PISMP Pengajian Sosial dan Anis Nawar binti Muhammad Abu Hanipah dari unit PISMP Pengajian Sosial. Setelah undian dilakukan, akhirnya keputusan diperoleh. Jawatan penghulu disandang oleh saudara Muhd Fadzli bin Ismail dan jawatan penghuluwati disandang oleh saudari Nurul Atikah binti Abdul Rahim. Kemudian,mereka diminta untuk memberi sepatah dua kata setelah dilantik sebagai penghulu dan penghuluwati yang akan mewakili para peserta sepanjang program ini dijalankan. Agenda seterusnya ialah pembahagian kumpulan. Bilangan para peserta yang menyertai BIG Siri 2 ini ialah seramai 67 orang. Pada mulanya, kami diminta oleh En. Shafie untuk duduk mengikut unit masing-masing diselang-seli oleh peserta lelaki dan perempuan mengikut tiga unit yang ada. Seterusnya, untuk pembahagian kumpulan kami diarahkan untuk menyebut nombor antara 1 hingga 6 mengikut turutan yang betul dan diulang sehingga peserta terakhir. Setelah itu, kami diarahkan untuk menyusun kedudukan kumpulan mengikut nombor-nombor yang telah disebut sebentar tadi. Setelah selesai berada dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada kumpulan satu hingga kumpulan enam, kami diarahkan pula untuk mengira bilangan ahli dalam kumpulan yang baru dibentuk itu. Malangnya, bilangan ahli dalam setiap kumpulan tidak sama seperti yang sepatutnya. Ini menyebabkan proses pembahagian kumpulan terpaksa dilakukan untuk kali kedua. Pada kali ini, proses yang sama seperti sebelumnya dilakukan. Setelah

berada dalam kumpulan baru, bilangan ahli tetap berlainan daripada yang sepatutnya. Hal ini telah menyebabkan En. Shafie hilang sabar. Kami telah dimarahi oleh En. Shafie atas kesilapan yang telah kami lakukan. Ini menyebabkan ramai yang takut dan kegembiraan untuk menjalani program BIG berkurang kerana pada awal-awal lagi, kami telah dimarahi disebabkan kecuaian beberapa orang pelajar. Di sini, saya dapat lihat bahawa fokus kepada sesuatu perkara itu amat penting. Walaubagaimanapun, En. Shafie memberi peluang ketiga kepada kami untuk membentuk kumpulan masingmasing. Kami mengulang proses pembentukan kumpulan yang sama dan akhirnya bilangan ahli dalam setiap kumpulan yang baru dibentuk bertepatan dengan bilangan yang sepatutnya. Dalam kumpulan baru ini, terdapat wakil lelaki dan perempuan dari setiap unit. Di sini, kami diberi peluang untuk bergaul dan mengenal para peserta dari unit-unit lain dengan lebih rapat lagi. Bilangan ahli kumpulan saya seramai 11 orang di mana terdapat lapan orang peserta melayu dari unit PISMP Matematik dan Pengajian Sosial serta tiga orang peserta Tamil dari unit PISMP Pengajian Tamil. Ahli-ahli kumpulan saya ialah Fadzli, Kamal, Abu Bakar, Faiz, Thamilarasan, Liyana, Fatimah, Atikah, Salmah, Thivia dan Kalaivani. Agenda kami diteruskan dengan membuat Manifesto Of Us atau lebih dikenali dengan MOU. MOU ini sangat penting untuk melihat sejauh mana para peserta dapat mematuhi segala perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui oleh para peserta sendiri. Kami dikehendaki untuk membuat 10 senarai MOU. MOU kami ialah kerjasama, menepati masa, bertolak ansur, tolong-menolong dan baik hati, berfikiran terbuka, sentiasa gembira dan ceria, bersemangat waja, berbudi bahasa dan bersopan-santun, menjaga kebersihan dan akhir sekali ialah mengutamakan keselamatan. Dengan adanya MOU ini, para pensyarah atau pun fasilitator kami dapat melihat sejauh mana kerjasama yang kami boleh berikan sepanjang program ini dijalankan. Seterusnya, kami dikehendaki untuk mencipta nama, lagu sorak, motto dan juga bendera untuk kumpulan masing-masing. Masa yang tepat tidak diberikan kepada kami untuk mencipta keempatempat perkara tersebut. Setiap kumpulan harus pandai mencari masa untuk menyiapkan tugasan ini kerana En. Shafie mahu melihat keempat-empat perkara ini pada awal-awal pagi keesokan harinya. Justeru, setiap ahli kumpulan harus pandai menggunakan masa yang ada pada hari tersebut. Setelah semua taklimat selesai, En.

Shafie mengarahkan kami untuk mengambil bekalan makanan yang dibekalkan oleh pihak urusetia kepada kami sepanjang empat hari kami berada di situ selepas kami meninggalkan dewan. Setelah itu, kami semua bersurai.

Seterusnya, saya dan kumpulan saya mengambil inisiatif untuk melantik ketua kumpulan dan penolong ketua kumpulan setelah taklimat selesai. Kami mendapat kata sepakat untuk melantik Mohd Faiz sebagai ketua kumpulan kami dan beliau akan dibantu oleh Thivia yang merangkap penolong ketua kumpulan. Saya dan kumpulan saya berbincang antara satu sama lain dan membahagi tugas masing-masing. Ada antara kami yang mengambil bekalan makanan, ada juga yang mengambil peralatan dapur untuk memasak dan juga ada yang mengambil khemah. Setelah itu, kami berkumpul dan membahagi tugas sekali lagi. Peserta lelaki daripada kumpulan kami membantu untuk memasang khemah manakala peserta perempuan kumpulan kami memasak untuk makan malam. Kami harus pandai mencuri masa untuk menyediakan semua ini kerana masa yang tepat tidak diberikan. Pihak fasilitator mahu melihat sejauh mana kami pandai menggunakan masa dan peluang yang ada untuk menyelesaikan tugas masing-masing. Kami harus menyiapkan perkara-perkara ini sebelum 7.30 petang kerana bagi peserta Islam, kami dikehendaki untuk berkumpul di surau untuk menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Maghrib dan Isyak. Begitu juga dengan peserta bukan Islam yang wajib menghadiri slot moral. Alhamdulillah, hasil kerjasama yang diberikan oleh ahli kumpulan saya membuatkan kami sempat untuk menyiapkan semua perkara. Kemudian kami membersihkan diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat di surau. Bagi saya, apa yang penting dalam sesebuah kumpulan ialah semangat kerjasama dan tolong-menolong daripada setiap ahli. Saya juga dapat

mempelajari bahawa kerja yang banyak tidak mudah untuk dilakukan secara berseorangan. Kerja-kerja berat dan banyak akan menjadi lebih mudah jika kita pandai membahagi tugas dalam sesebuah kumpulan. Inilah yang saya pelajari daripada ahliahli kumpulan saya.

Setelah jam menunjukkan 7.30 petang, para peserta yang beragama Islam menuju ke surau. Kami menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Kami diimamkan oleh Ustaz Wan Azlan dari Jabatan Pengajian Islam dan Moral IPGMTAA. Setelah selesai menunaikan solat berjemaah, kami telah diberi tazkirah oleh beliau. Tajuk tazkirah kami sepanjang program BIG ini ialah pahala menunaikan solat secara berjemaah. Para peserta program BIG ini memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap perkara-perkara yang disampaikan oleh Ustaz Wan. Antara perkara yang diberitahu oleh beliau ialah tentang bagaimana pahala 27 kali ganda itu diberikan kepada setiap orang yang menunaikan solat secara berjemaah. Setelah mendengar beberapa perkara tentang pahala solat berjemaah, baru saya sedar bahawa betapa senangnya untuk seseorang yang bergelar Muslim itu mahu mandapat pahala yang berkali ganda itu. Sebenarnya mudah sahaja untuk menunaikan solat secara berjemaah. Segala-galanya hanya terpulang kepada individu tersebut. Allah S.W.T telah memberikan jalan dan peluang yang mudah untuk umat Islam mendekatinya. Tazkirah kami pada malam itu berakhir lebih kurang jam 9.15 malam. Agenda kami seterusnya ialah Ice Breaking. Aktiviti ini dijalankan di dalam dewan dan diuruskan oleh Tuan Syed Ahmad bin Roslan. Aktiviti ini dijalankan supaya para peserta dapat mengenali diri antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Hal ini

kerana kami akan menjalankan segala aktiviti di sini bersama-sama. Bak kata pepatah tak kenal, maka tak cinta. Kami perlu mengenali rakan-rakan kami tidak kira daripada mana-mana kumpulan sekali pun supaya kami mudah untuk bekerjasama terutamanya dengan ahli kumpulan sendiri. Ice Breaking ini dimulakan dengan aktiviti Senyum Mesra. Pada mulanya Tuan Syed ada menegur kami kerana beliau dapat melihat sesetengah peserta kelihatan tidak ceria dan bermasam muka. Oleh itu, beliau mengarahkan kami supaya memberi senyuman kepada rakan yang berada di sebelah kami. Seterusnya beliau mengarahkan kami supaya memberi senyuman kepada orang sekeliling kami dan diikuti dengan semua peserta yang berada di dalam dewan itu. Suasana di dalam dewan pada ketika itu amat ceria kerana hampir semua peserta melibatkan diri masing-masing dalam aktiviti itu. Selepas itu, kami diarahkan untuk memberi pelukan mesra kepada rakan-rakan yang sama jantina. Pada ketika ini, kami mendapat peluang untuk mendekati para peserta dari unit-unit lain. Daripada aktiviti ini, saya merasakan diri saya sendiri dan para peserta yang lain semakin rapat terutamanya dengan para peserta dari unit PISMP Pengajian Tamil. Pada ketika ini saya berasa amat seronok kerana mendapat peluang untuk bertegur sapa dan beramah mesra terutamanya dengan para peserta yang saya tidak pernah tegur sebelum ini walaupun kami belajar di tempat yang sama.

Seterusnya, Ice Breaking pada malam itu diteruskan dengan aktiviti Mencari Tandatangan Rakan. Setiap peserta di dalam dewan itu diberi sekeping kertas A4 putih. Kami dikehendaki untuk membahagikan kertas itu kepada empat bahagian dan bahagian-bahagian itu diceraikan. Dalam setiap keping kertas yang diceraikan itu, kami diarahkan untuk menulis nama, unit, bangsa dan tandatangan. Keempat-empat perkara ini harus ditulis dalam kepingan kertas yang berlainan. Tiga daripada empat kertas itu yang mengandungi nama,bangsa dan unit dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan oleh Tuan Syed manakala kertas yang mengandungi tandatangan itu mestilah dimasukkan ke dalam kotak yang lain. Kemudian, kami dikehendaki untuk mencabut salah satu kertas yang mengandungi

tandatangan rakan yang lain. Selepas itu, kami ditugaskan untuk mencari tuan punya tandatangan. Untuk mencari tandatangan tersebut, kami terpaksa bergerak dan bertanya kepada semua peserta yang berada di dalam dewan itu. Akhirnya, saya dapat mencari tuan punya tandatangan tersebut. Setelah aktiviti ini selesai, Tuan Syed menerangkan bahawa apa yang penting bagi kami semasa di sana bukanlah nama,unit ataupun bangsa. Tidak ada benda yang perlu dibanggakan dengan perkara-perkara tersebut. Apa yang penting ialah usaha kami. Kami semua sama sahaja semasa di sana. Apa yang saya pelajari di sini ialah kami harus berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu seperti mencari tuan punya tandatangan. Di samping itu, saya juga mendapat peluang untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain. Peluang ini amat berharga kepada saya kerana di sinilah kami dapat menguatkan silaturahim antara satu sama lain. Aktiviti kami tidak berakhir di sini sahaja. Pada malam tersebut semasa sesi Ice Breaking ini, kami akan mendapat Secret Admire (SA) masing-masing. Kami dikehendaki menulis nama kertas yang diedarkan dan memasukkan kertas tersebut ke dalam kotak. Kemudian, kami harus mencabut salah satu daripada kertas-kertas itu. Kami tidak dibenarkan untuk memberitahu nama yang terdapat dalam kertas tersebut kepada rakan-rakan yang lain. Walaubagaimanapun, masih terdapat para peserta yang tidak mendengar arahan. Ini menyebabkan kami dimarahi oleh Kem Komanden iaitu En. Shafie. Kami terpaksa mengulangi perkara yang sama untuk mendapatkan SA yang baru. Kami telah diberi amaran supaya tidak memberitahu rakan-rakan tentang SA masing-masing. Di sini, saya dapat lihat bahawa nilai kejujuran itu amat penting dalam setiap diri seseorang individu itu. Tanpa nilai kejujuran, mungkin sukar untuk orang lain mempercayai kita.Setelah masing-masing mendapat SA, kami diberi satu tugasan untuk dilakukan sepanjang program BIG ini berlangsung. Kami dikehendaki untuk memerhati dan menulis surat kepada SA kami pada setiap pagi dan malam. Surat-surat yang terpilih akan dibaca di hadapan orang ramai. Jadi, kami harus pandai mencuri masa untuk menulis surat-surat tersebut. Setelah selesai taklimat tentang SA, kami diberi beberapa taklimat tentang aktiviti-

aktiviti lain oleh para fasilitator yang bertugas. Antara taklimat yang diberikan adalah berkenaan malam kebudayaan.taklimat ini disampaikan oleh Cik Halimah binti Halimi. Selepas itu, kami diperkenalkan dengan para fasilitator yang akan memerhati dan membimbing kami sepanjang kami menjalani program BIG ini. Setiap kumpulan diberikan satu fasilitator. Cik Halimah binti Halimi merupakan fasilitator bagi kumpulan saya. Saya berasa seronok apabila mendapat tahu bahawa Cik Halimah menjadi fasilitator saya kerana beliau merupakan tutor saya. Jadi, saya akan menggunakan peluang ini untuk menjadi lebih mesra mengenali diri beliau dengan lebih rapat. Setelah kami selesai berkenalan dengan fasilitator masing-masing, aktiviti Ice Breaking pada malam itu ditamatkan.

Walaubagaimanapun, para peserta tidak dapat merehatkan diri lagi selepas tamat aktiviti Ice Breaking kerana kami harus menyiapkan lagu sorak,bendera dan motto kumpulan. Saya dan ahli kumpulan yang lain bertungkus-lumus menyiapkan perkara-perkara tersebut sehingga jam 1.00 pagi. Tanpa bantuan dan kerjasama daripada ahli kumpulan saya,kami mungkin tidak dapat menyiapkan lagu sorak,bendera dan juga motto kumpulan. Setelah masingmasing bertungkus-lumus memikirkan idea-idea yang menarik, akhirnya kami dapat menyiapkan tugasan ini lebih kurang jam 1.00 pagi. Kami menggelarkan kumpulan kami dengan nama Rise And Shine. Di samping itu, kumpulan kami memegang kepada prinsip atau pun motto Never Say No. Kami akan membuktikan bahawa kumpulan kami mampu untuk menerima sebarang cabaran yang diberikan kepada kami sepanjang tempoh kami berada di Kg. Mambang ini. Semangat kerjasama tidak akan luntur dalam diri setiap ahli kumpulan Rise And Shine. Setelah semuanya selesai, kami dapat merehatkan diri setelah sehari suntuk tidak dapat berehat.

Di sini saya sertakan lagu sorak kumpulan Rise And Shime. Hey ho... Lets go... Rise And Shine.. Go, go, go... Never Say No... Here we go!

Hari kedua kami berada di Kg. Mambang bermula selepas kami bangun pada jam 5.15 pagi untuk membuat Qiyamullail. Kami menunaikan solat sunat Tahiyat Masjid, solat sunat tahajjud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta solat Subuh secara berjemaah. Di sini, saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menginsafi segala kesalahan yang pernah saya lakukan sebelum ini. Setelah selesai menunaikan solat Subuh, kami diberi tazkirah oleh Ustaz Wan tentang sambungan tajuk semalam iaitu tentang pahala menunaikan solat secara berjemaah. Walaupun begitu, saya dapati ramai peserta yang terlelap semasa tazkirah disampaian. Ini mungkin kerana para peserta tidak mendapat tidur dan rehat yang cukup akibat berjaga sehingga lewat malam. Walaubagaimanapun, tazkirah tetap disampaikan dengan penuh semangat oleh Ustaz Wan. Saya dapat melihat kesungguhan beliau untuk menarik minat para peserta untuk mendegar tazkirah beliau. Saya dapat belajar satu perkara daripada Ustaz Wan iaitu semangat yang dimiliki olehnya semasa menyampaikan tazkirah walaupun ramai peserta yang kelihatan begitu penat. Selain itu, isi-isi tazkirah beliau juga banyak menyedarkan saya bahawa Islam ini merupakan satu agama yang cukup cantik di mana setiap amalan yang dilakukan mempunyai hikmah dan ganjaran tersendiri. Tazkirah selesai lebih kurang jam 7.00 pagi.

Aktiviti seterusnya ialah Malaysia Cergas. Aktiviti ini dikelolakan oleh En. Halif bin Md. Salleh. Aktiviti Malaysia Cergas pada hari kedua kami di sini tidaklah begitu mencabar. Kami cuma melakukan warming up. En. Halif telah mengarahkan salah seorang daripada kami untuk mengetuai warming up pada pagi itu. Setelah selesai melakukan warming up, kami diarahkan untuk menyanyikan lagu Negaraku, lagu Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan dan juga lagu Kami Guru

Malaysia. Kami diarahkan untuk menyanyikan lagu ini berkali-kali kerana lagu yang kami nyanyikan pada kali pertama tidak begitu bersemangat dan tidak memuaskan hati En. Halif. Daripada aktiviti ini, saya sedar bahawa semangat seseorang itu tidak seharusnya mudah luntur walau dalam keadaan apa sekali pun. Contohnya semasa menyanyikan lagu-lagu yang disebutkan di atas. Walaupun semu peserta keletihan tetapi semangat untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut harus ada. Setelah selesai menyanyikan ketiga-tiga lagu tersebut, kami bersurai.

Seterusnya, kami diberi masa beberapa minit untuk bersarapan. Masa yang diberikan terlalu pendek. Namun, kami dapat menyediakan sarapan dan menjamu selera dalam masa yang singkat. Semuanya hasil kerjasama dan sikap tolong-menolong antara ahli kumpulan saya. Seorang pun tidak menunjukkan sikap pentingkan diri malahan kami sentiasa bersama tidak kira dalam apa jua keadaan sekali pun. Sejurus selepas kami selesai bersarapan, kami diminta untuk berkumpul di dalam dewan untuk menjalankan aktiviti seterusnya iaitu tentang ujian-ujian psikologi yang berkaitan dengan bidang kerjaya. Aktiviti ini diuruskan oleh En. Abdul Jamil bin Sabdin. Sebelum aktiviti ini bermula, beberapa surat yang terpilih daripada SA masing-masing dibaca. Surat pertama yang dibaca adalah surat untuk saya. Saya berasa amat terkejut dan juga bertuah kerana surat saya terpilih untuk dibaca. Setelah sesi pembacaan surat selesai, aktiviti berkaitan ujian psikologi ini diteruskan. Dalam aktiviti ini, kami diminta untuk menjawab satu set kertas soalan yang berkaitan dengan bidang kerjaya tertentu mengikut minat masing-masing. Masa diberikan kepada kami untuk menjawab soalan tersebut. Setelah selesai menjawab soalan, En. Jamil mengarahkan kami untuk mengira bilangan jawapan yang ditanda mengikut bahagian masing-masing. Setelah itu, kami berbincang bersama-sama tentang semua bidang kerjaya yang terdapat dalam kertas itu. Dari sini, saya dapat lihat bahawa tidak semua peserta berminat untuk menjadi seorang guru pada asalnya. Minat

mereka telah dipupuk setelah mereka menuntut di IPGM ini. Melalui ujian psikologi ini juga, saya dapat tahu mint saya yang sebenar. Ujian ini benar-benar membantu saya.

Selepas selesai menjalankan ujian psikologi, kami diberi masa untuk bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya iaitu berkayak dan kembara. Kami dibahagi kepada dua kumpulan. Salah satu daripada kami akan menjalankan aktiviti berkayak manakala satu kumpulan lagi akan menjalankan aktiviti kembara di hutan. Kumpulan saya terpilih untuk menjalankan aktiviti kembara terlebih dahulu. Kami diberi beberapa taklimat penting oleh En. Zaharuddin bin Omar selaku pengelola aktiviti kembara ini. Beliau amat menekankan tentang keselamatan kami semasa berada di hutan. Selesai taklimat, kami diarahkan untuk membawa bahan-bahan masakan dan peralatan yang diperlukan kerana kami akan ditugaskan untuk memasak semasa kembara. Setelah semuanya bersiap sedia,kami berkumpul terlebih dahulu untuk membaca doa. Dari sini saya dapat lihat bahawa para peserta terutamanya bagi peserta Islam tidak lupa akan tanggungjawab masing-masing sebagai seorang Muslim. Kami memulakan aktiviti kembara dalam lingkungan jam 12.00 tengah hari. Sepanjang aktiviti kembara ini, kami dibawa atau diketuai oleh dua orang penduduk Kg. Mambang. Mereka memberi tunjuk arah kepada kami sepanjang kami berada di dalam hutan. Bagi saya, jalan-jalan yang kami lalui di dalam hutan itu agak mencabar kerana jalan-jalan tersebut terdapat begitu banyak duri dan pokok-pokok yang berbahaya. Di samping itu, terdapat banyak kawasan yang berselut dan memerlukan para peserta untuk berhati-hati. Pada masa itu, kerjasama daripada semua ahli kumpulan yang mengikuti aktiviti kembara ini sangat penting. Halangan-halangan yang berada di hadapan haruslah disebarkan kepada

rakan-rakan yang berada di belakang. Ketika ini, saya dapat lihat semangat kerjasama antara kumpulan saya dengan kumpulan yang lain amat terserlah. Pada ketika ini juga saya sedar bahawa setiap individu itu tidak boleh mementingkan diri sendiri terutamanya dalam keadaan tertentu kerana kami saling memerlukan antara satu sama lain.

Semasa kami berada di dalam hutan, satu kejadian yang tidak diingini berlaku. Salah seorang daripada ahli kumpulan saya iaitu Thivia terkena duri pokok. Kami berhenti rehat sebentar untuk menghilangkan penat masingmasing setelah lama mengembara di dalam hutan. Pada waktu ini, Aminah iaitu ahli dari kumpulan lain datang membantu ahli kumpulan saya yang terkena duri. Aminah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencabut duri yang tercucuk ke dalam tangan rakan saya. Di sini juga saya dapat lihat bahawa sikap tolong-menolong itu amat penting tanpa mengira siapa. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudari Aminah kerana telah menolong ahli kumpulan saya yang mengalami sedikit kecederaan. Tanpa melengahkan masa, kami meneruskan pengembaraan kami di ladang kelapa sawit pula. Kami dapat menikmati keindahan alam yang ada di sekeliling kami pada ketika itu. Semasa berada di ladang kelapa sawit, saya dan ahli kumpulan saya tidak melepaskan peluang untuk mengutip biji kelapa sawit untuk dijadikan bahan api ketika memasak nanti. Kami meneruskan perjalanan kami ke dalam hutan semula. Laluan pada kali ini memang mencabar kerana terdapat banyak pokok buluh miang. Jika kami tersalah langkah, badan kami boleh menjadi gatal-gatal. Jadi, untuk mengelakkan perkara tersebut daripada terjadi, kami lebih berhati-hati. Kami juga tidak lupa terhadap tugasan

yang diberikan kepada kami sebelum aktiviti kembara dimulakan. Kami dikehendaki untuk mencari tiga flora dan tiga fauna yang dijumpai di dalam hutan untuk dibentangkan kepada rakan-rakan setelah selesai pengembaraan. Kami meneruskan pengembaraan kami dengan berhati-hati. Walaupun agak kepenatan tetapi kami tetap bersemangat meneruskan aktiviti ini. Dalam pengembaraan ini, perkara yang paling sukar untuk saya lupakan ialah semasa kasut ketua kumpulan saya iaitu Faiz hilang akibat terlekat di dalam lumpur. Kumpulan kami telah diarahkan untuk turun semula ke dalam tali air yang mempunyai lumpur yang agak dalam untuk membantu Faiz mencari kasutnya yang hilang. Saya dapat lihat bahawa ahli kumpulan saya amat mengambil berat antara satu sama lain dan sentiasa bersama rakan-rakan sekumpulan tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang. Sepanjang pengembaraan ini juga, kami terpaksa menghadapi beberapa halangan yang dibuat oleh pihak pengelola. Ada halangan yang mencabar dan ada juga halangan yang kurang mencabar. Alhamdulillah, saya dapat melepasi semua halangan itu dengan pertolongan dan bantuan yang diberikan oleh rakan-rakan yang lain. Terima kasih rakan-rakan. Seterusnya kami berhenti rehat di salah sebuah kawasan lapang di dalam hutan. Di sini, kami dikehendaki memasak untuk makan tengah hari. Pada ketika ini, sekali lagi saya dapat lihat semangat kerjasama antara ahli kumpulan saya. Walaupun semua kepenatan, kami tetap menjalankan tugas masing-masing. Selesai menjamu selera, kami diajar dengan ikatan pertolongan cemas. Ini merupakan pengetahuan baru untuk saya. Ia amat berguna kepada saya pada masa akan datang. Kemudian, kami meneruskan perjalanan sehinggalah kami menemui jalan bertar. Di sini, kami mendapat satu lagi tugasan iaitu memikul salah seorang rakan kami yang sakit kaki. Walaupun kumpulan saya mendapat tempat terakhir, saya dapat lihat bahawa semangat rakanrakan saya yang mewakili kumpulan kami amat kuat. Mereka tidak berputus asa walaupun dari awal berada di belakang. Pengembaraan kami berakhir di sini. Kami berjalan pulang ke kawasan perkhemahan. Sebelum kami bersurai, kami mengadakan

sesi refleksi kembara. Di sini, kami membentangkan tentang jenis flora dan fauna yang kami temui sepanjang pengembaraan itu. Aktiviti kami tamat dalam lingkungan 5.00 petang. Kami mempunya banyak masa untuk merehatkan diri dan memasak untuk makan malam. Ketika ini, kumpulan yang berkayak belum menamatkan aktiviti mereka. Aktiviti mereka tamat agak lewat. Ini menyebabkan ada antara mereka yang tidak sempat memasak untuk makan malam. Setelah semua ahli kumpulan saya selesai membersihkan diri,menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Zohor dan Asar serta menjamu selera, kami pergi ke surau pula untuk menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Aktiviti yang sama dijalankan iaitu tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Wan. Pada waktu tazkirah ini, ramai peserta yang menjalankan aktiviti berkayak tertidur. Ini mungkin kerana mereka terlalu letih dan tidak sempat rehat. Sesi tazkirah selesai dalam lingkungan jam 9.00 malam. Agenda seterusnya ialah LDK yang bertajuk Mengenali Potensi Diri. Semasa aktiviti ini, kami diminta untuk menjawab soalan berkenaan keyakinan diri. Kami juga diminta untuk memilih bentuk-bentuk tertentu seperti bulat, bujur, segi empat tepat, segi tiga, heksagon dan segi empat tepat yang mewakili maksud tertentu bagi setiap orang. Semasa kami berbincang tentang jawapan-jawapan yang diberikan oleh semua ahli kumpulan saya, suatu perkara yang tidak dijangka telah berlaku. Kawan baik saya merangkap rumate saya telah pun meluahkan perasaannya semasa sesi LDK ini. Apa yang memeranjatkan saya apabila dia menangis kerana saya dan rakan-rakan saya yang lain. Pada malam itu, baru saya sedar bahawa selama ini dia berasa tersisih. Sebelum ini, kami fikir mungkin rakan saya itu tidak selesa dengan kami kerana mungkin kami tidak sekepala dengannya. Pada malam itu juga baru saya sedar betapa pentingnya kita berbincang dengan rakan-rakan kita terutamanya rakan yang rapat dengan kita tentang sebarang masalah dan perasaan yang kita hadapi. Aktiviti LDK pada malam itu tamat lebih kurang jam 11.00 malam. Walaubagaimanapun, kami tidak dapat berehat lagi kerana kami perlu membuat persiapan untuk persembahan sempena malam kebudayaan pada malam esoknya. Kami berlatih sehingga jam 1.00 pagi. Pada malam tersebut, saya dan beberapa rakan

yang lain juga turut bertugas sebagai centry. Dari sini, saya mendapat pengalaman untuk menjadi seorang yang lebih berani. Ini kerana saya terpaksa memberanikan diri untuk mengawasi kawasan sekitar yang kami tidak tahu sama ada keselamatannya terjamin atau tidak.

Seperti hari sebelumnya, kami bangun di awal pagi dan terus ke surau untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Pada hari ini, ramai juga peserta yang lewat kerana tidak dapat bangun tepat pada masa yang ditetapkan. Ini mungkin kerana semua peserta keletihan akibat daripada waktu rehat yang kurang. Seperti biasa, selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah, tazkirah diberikan oleh Ustaz Wan. Isi-isi tazkirah merupakan sambungan daripada tajuk sebelumnya. Tazkirah tamat lebih kurang jam 7.00 pagi.

Agenda kami diteruskan dengan aktiviti Malaysia Cergas yang dikelolakan oleh En. Halif. Pada hari ini, seperti biasa kami menyanyikan lagu Negaraku, lagu IPGMTAA dan juga lagu Kami Guru Malaysia. Kami juga melakukan aktiviti warming up. Kemudian, kami menjalankan aktiviti jogging di sekeliling Kg. Mambang. Pemandangan pada pagi itu sangat menarik di samping kami dapat menghirup udara yang nyaman. Saya merupakan antara peserta terawal yang sampai di tapak perkhemahan. Daripada aktiviti ini, saya ingin membuktikan kepada rakan-rakan saya yang lain bahawa saiz badan bukanlah penghalang untuk seseorang melakukan sesuatu. Mereka kagum dengan semangat yang ada pada diri saya. Saya berasa amat tercabar apabila melihat rakan-rakan lain mendahului saya. Oleh itu, saya tidak mahu berputus asa. Kami meneruskan aktiviti Malaysia Cergas dengan bermain satu permainan iaitu Berjalan atas bata. Saya berasa amat seronok kerana kerjasama dan sokongan daripada setiap ahli kumpulan saya amat memberangsangkan. Kumpulan kami telah berjaya meraih tempat pertama dalam permainan ini. Malangnya, saya tiada di tempat kejadian ketika kumpulan saya diumumkan sebagai johan permainan tersebut kerana pada ketika itu,

saya mengalami sakit perut. Saya mengucapkan terima kasih kepada penghuluwati atas keprihatinan beliau terhadap saya pada masa itu. Agenda kami pada hari itu disambung dengan slot tayangan yang bertajuk Profesion Keguruan. Slot ini telah dikelolakan oleh En. Jamil. Tayangan yang ditunjukkan kepada kami mengisarkan tentang pengorbanan dan kehidupan guru-guru yang terpaksa mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pengorbanan mereka amat besar kerana tidak semua guru sanggup mengambil cabaran dan menempuhi hidup seperti yang mereka lalui di sana. Selain itu, tayangan ini juga memaparkan kisah kehidupan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah bandar. Saya dapat lihat betapa berbezanya kehidupan guru-guru yang mengajar di sekolah pedalaman dan di sekolah bandar. Daripada tayangan ini, saya telah memotivasikan diri saya sendiri. Profesion keguruan ini menuntut kami sebagai bakal guru untuk berkorban demi mendidik anak bangsa. Apabila saya melihat semangat yang ditunjukkan oleh guruguru yang berada di pedalaman, saya sanggup menerima cabaran ini sekiranya rezeki saya untuk menjadi seorang guru telah ditetapkan di sana. Mungkin agak sukar pada mulanya tetapi kerana memikirkan masa depan generasi muda sekarang, insyaAllah saya sanggup berkorban. Selepas itu, kami bersama-sama menyanyikan lagu Jasa Bonda dan lagu Teman Sejati. Semasa menyanyikan lagu Jasa Bonda, ramai peserta menangis termasuklah saya kerana kami terkenangkan pengorbanan besar yang dilakukan oleh ibu kami dalam membesarkan kami. Terima kasih ibu. Slot ini berakhir sampai di sini sahaja. Aktiviti seterusnya ialah berkayak dan kembara. Pada hari ini, kumpulan saya menjalankan aktiviti berkayak. Saya sangat teruja dengan aktiviti ini. Walaubagaimanapun, saya berasa agak gementar memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kerana saya tidak pandai berenang. Sebelum kami memulakan aktiviti air ini, kami telah diberi taklimat secara terperinci oleh En. Azhar yang bertindak sebagai pengelola aktiviti ini. Kami diberi taklimat tentang bahagian-bahagian kayak, cara-cara berkayak, langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil dan cara memakai jaket keselamatan yang betul. Saya air

mendapat banyak pengetahuan baru di sini. Selepas taklimat selesai, kami menjalankan aktiviti water confident. Saya berasa amat takut kerana saya merupakan peserta yang agak rendah dan saya bimbang akan keselamatan diri saya. Setelah saya memasuki air, perasaan takut saya hilang. Bahkan saya berasa amat seronok bermain di dalam air. Aktiviti water confident ini telah membantu saya mengatasi rasa takut semasa berada di dalam air. Kami juga telah diajar dan diberi peluang untuk berenang. Saya berasa amat teruja. Rasanya seperti tidak mahu meninggalkan air. Selesai menjalankan aktiviti water confident, kami terus menjalankan aktiviti berkayak pula. Saya memilih untuk menaiki kayak secara berpasangan kerana saya tidak yakin dengan diri saya sendiri. Pasangan saya ialah saudari Hazean dari unit PISMP PS. Semasa mula-mula dilepaskan, saya berasa amat seronok kerana kami mendahului ramai peserta yang lain. Walaupun aktiviti ini amat mencabar kerana kami terpaksa berkayak melawan arus sungai, saya dan Hazean berusaha bersungguh-sungguh. Apabila sampai di tengah-tengah sungai, saya berasa seperti hendak berputus asa kerana saya sudah banyak kehilangan tenaga. Walaubagaimanapun, Hazean telah memberi sokongan kepada saya. Tambahan pula, pada ketika itu saya dapat tahu bahawa Hazean menghidap lelah. Memikirkan keadaannya, saya bersemangat semula. Malangnya, semangat saya kembali menurun apabila saya melihat kami merupakan peserta terakhir yang berkayak tanpa ditarik oleh bot yang memantau kami. Ramai peserta di belakang kami sebelum ini telah ditarik oleh bot-bot yang ada. Akhirnya saya berputus asa dan meminta pertolongan untuk ditarik. Saya amat kecewa dengan sikap saya sendiri. Saya mempunyai keinginan untuk sampai di check point yang ditetapkan tanpa bantuan bot. Memikirkan masa yang tidak mengizinkan, kami terus mengalah. Daripada pengalaman saya ini, saya akan berusaha untuk menjadi seorang yang tidak mudah berputus asa demi mencapai kepuasan dalam melakukan sesuatu kerja. Semasa berada di check point yang ditetapkan, kami dikehendaki untuk memasak. Saya sempat membantu ahli kumpulan saya walaupun sampai di sana agak lewat. Kami Cuma berada di sana dalam tempoh yang singkat. Kami terpaksa berkayak

semula ke jeti. Saya telah menukar pasangan semasa hendak pulang ke jeti. Kali ini, pasangan kayak saya ialah Muhd Fadzli iaitu penghulu kami. Saya berasa amat gembira berkayak dengannya kerana dia banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya. Arahan yang diberikan oleh Fadzli juga jelas. Ini menyebabkan kami tidak menghadapi sebarang masalah semasa berkayak. Apabila kami tiba di jeti, kami dikehendaki untuk mengangkut kayak naik ke darat dan membasuh kayak-kayak tersebut. Kumpulan kami selesai menjalankan tugasan itu hampir jam 7.00 petang. Ini menyebabkan kami kekurangan masa untuk memasak dan membersihkan diri. Saya belajar menghargai masa yang ada pada ketika ini. Saya amat terharu dengan pertolongan ahli kumpulan yang menjalanlkan aktiviti kembara pada hari ini kerana mereka tolong memasak untuk kami. Apa yang saya kecewa adalah saya dan ahli kumpulan saya tidak terfikir untuk menolong mereka semalam semasa mereka lewat menamatkan aktiviti kayak. Saya dapat mempelajari semangat ingin membantu rakan semasa dalam keadaan susah. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka. Seperti biasa, kami menunaikan solat jamak dan Qasar bagi waktu Maghrib dan Isyak. Kami juga telah diberikan tazkirah oleh Ustaz Wan Azlan. Pada sesi tazkirah ini, saya tidak dapat mendengar tazkirah dengan baik kerana saya memang benar-benar letih dan asyik tertidur. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Saya memohon maaf kepada Ustaz Wan kerana sikap saya yang kurang sopan ini.

Inilah masa yang dinanti-nantikan dalam setiap perkhemahan. Kami diminta untuk berkumpul di dalam dewan pada jam 9.30 malam. Malam ini merupakan malam kebudayaan di mana para peserta akan menunjukkan bakat masing-masing. Kumpulan saya merupakan kumpulan pertama yang membuat persembahan. Tema yang diberikan kepada kami ialah pendidikan. Dalam sketsa kami mestilah mengandungi unsur-unsur nyanyian. Sketsa kumpulan saya merupakan adaptasi daripada cerita Si Tanggang. Kami telah mengubah sedikit jalan cerita untuk memaparkan kelainan.

Sebelum ini, saya merupakan seorang yang agak pemalu. Dalam sketsa kumpulan kami, saya memegang watak sebagai remaja yang tidak bermoral dan terpaksa menari di disko. Pada mulanya saya agak malu untuk melakonkan watak tersebut tetapi apabila saya melihat rakan-rakan saya mampu berbuat demikian, saya membuang perasaan malu saya pada malam itu. Dari sini saya dapat belajar bahawa kita boleh malu tetapi biarlah bertempat. Saya juga dapat lihat bakat yang terpendam dalam diri rakan-rakan saya yang lain. Pada malam itu, saya berasa amat gembira. Malam kebudayaan itu tamat sekitar jam 11.00 malam. Pada malam itu juga, kami banyak menghabiskan masa bersama-sama ahli kumpulan masing-masing memandangkan ini merupakan malam terakhir kami di Kg. Mambang. Saya juga sempat menulis surat terakhir kepada SA saya pada malam itu. Selepas semuanya selesai, saya pun tidur.

Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini. Seperti biasa, kami bangun pagi dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau. Ustaz Wan menjalankan tugasnya untuk menyampaikan tazkirah dan nasihat-nasihat yang berguna kepada kami pada hari terakhir ini. Segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Ustaz Wan kepada kami sepanjang program BIG ini akan kami gunakan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian. Sesi tazkirah tamat sekitar jam 7.00 pagi. Aktiviti Malaysia Cergas tidak diadakan pada pagi ini. Kami diberi masa dan peluang untuk mengemaskan khemah, kawasan sekitar khemah dan barang peribadi masing-masing. Kami menggunakan masa yang diberikan ini dengan sebaik mungkin. Masing-masing sibuk mengemas barang-barang sendiri. Walaubagaimanapun, kami masih tidak lupa akan tanggungjawab kami untuk mengemas barang-barang yang dibekalkan kepada setiap kumpulan. Kumpulan saya memberikan kerjasama yang baik antara satu sama lain. Ini menyebabkan kami siap berkemas pada masa yang ditetapkan. Kami juga sempat memasak untuk sarapan pagi. Pada hari ini, kami benarbenar berasa sedih kerana kami akan meninggalkan tempat yang banyak memberi pengalaman baru dan pengajaran yang bererti buat kami. Setelah semua siap berkemas, kami diminta untuk berkumpul di dewan untuk sesi reffleksi BIG. Sesi ini merupakan sesi yang dinanti-nantikan kerana pada hari ini kami akan mengetahui SA masing-masing yang selama ini selalu memerhati,menulis surat,memberi komen dan juga ransangan kepada kami. Saya amat berdebar untuk mengetahui SA saya yang sebenar. Kami diminta untuk tampil ke hadapan dan memberitahu kepada semua orang ciri-ciri SA masing-masing. Saya benar-benar tidak menyangka bahawa selama saya berada di Kg. Mambang ini, rakan sekelas saya yang selalu mengusik saya merupakan orang yang banyak memberi kritikan membina dan semangat kepada saya melalui surat yang ditulisnya. SA saya merupakan saudara Mohd Fahmi bin Yusof. Saya sedikit pun tidak syak bahawa Fahmi yang menulis surat itu kepada saya kerana saya tidak kenal akan tulisan tangannya. Di sini, saya dapat lihat kelemahan diri saya. Walaupun hampir dua tahun belajar di dalam kelas yang

sama, saya masih tidak mengenali rakan-rakan saya dengan baik. Saya amat berterima kasih kepada saudara Fahmi kerana banyak memberi semangat kepada saya.

Selesai sesi pendedahan SA masing-masing, agenda kami diteruskan dengan sesi refleksi BIG. Pada masa ini, kami diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan menceritakan pengalaman masing-masing di hadapan khalayak ramai. Ramai peserta BIG yang keluar ke hadapan dan berkongsi pengalaman masing-masing. Ada satu perkara yang membuatkan saya benar-benar tersentuh dan menangis. Saya tidak dapat mengawal kesedihan saya apabila saudari Siti Noor Sakinah berkongsi pengalaman kumpulannya dengan kami. Perselisihan faham yang berlaku antara kumpulan 1 dengan fasilitator mereka iaitu Tuan Syed banyak memberi pengajaran yang amat bermakna buat saya dan rakan-rakan. Pada masa itu, saya sedar bahawa kita harus menghargai orang yang berada di sekeliling kita tidak kira tua atau muda. Saya juga sedar bahawa menghormati dan menjaga hati seseorang itu amat penting kerana dengan adanya sifat-sifat ini, hubungan kita denagn seseorang akan bertambah erat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari Aminah yang mewakili kumpulan yang menjalankan aktiviti berkayak semasa hari ketiga kerana saudari Aminah telah berani untuk tampil ke hadapan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dari kumpulan lain yang membantu kami memasak. Mereka telah menyedarkan kami bahawa mereka merupakan rakan-rakan yang sentiasa bersama kami terutamanya di saat kami menghadapi kesusahan. Saya benar-benar kesal dengan sikap saya yang sedikit pun tidak terfikir untuk menolong kumpulan lain

memasak semasa aktiviti mereka tamat agak lewat. Ahli kumpulan saya yang lain juga kesal dengan sikap kami sendiri. Selain itu, semasa sesi refleksi ini juga saya dapat tahu bahawa tidak semestinya orang yang kelihatan gagah dan berani itu sebenarnya berani. Saya sedar perkara ini apabila saudara Ruben tampil ke hadapan dan menceritakan kelemahannya yang takut akan air. Secara fizikalnya, saudara Ruben kelihatan seperti orang yang berani dan tidak takut air. Apabila dia memberitahu kelemahannya, baru saya sedar seseorang itu tidak boleh dinilai berdasarkan luarannya sahaja. Sebenarnya saya juga ingin berkongsi pelbagai pengajaran tetapi disebabkan saya tidak yakin dengan diri saya dan takut untuk bercakap di hadapan khalayak ramai, saya batalkan niat tersebut. Saya benar-benar kagum dan iri hati terhadap rakan-rakan saya yang lain yang mana mempunyai keyakinan diri untuk bercakap dengan lantang di hadapan orang ramai. Saya benar-benar ingin berubah dan akan cuba meningkatkan tahap keyakinan diri saya terutamanya untuk bercakap di hadapan orang ramai. Para fasilitator juga tidak ketinggalan untuk membuat refleksi bagi setiap kumpulan yang mereka dapat dan juga refleksi tentang aktiviti-aktiviti yang telah mereka uruskan. Segala komen yang diberikan kepada kami akan kami cuba baiki pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua fasilitator terutamanya Cik Halimah yang banyak memberi nasihat yang berguna kepada saya dan rakan-rakan. Majlis perasmian penutup terus dijalankan sejurus selepas sesi refleksi BIG tamat. Pengerusi majlis pada majlis perasmian penutup itu ialah saudara Kamal Sufiyan bin Mustafa Kamal. Pada mulanya kami mendengar ucapan daripada penghulu kami iaitu saudara Mohd Fadzli bin Ismail. Selepas itu, En. Shafie bin Majid merangkap Kem Komanden program BIG pula memberikan ucapan beliau. Tuan Pengarah IPGMTAA tidak dapat menghadirkan diri pada majlis perasmian penutup itu kerana hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, En. Shafie sendiri yang merasmikan majlis perasmian penutup bagi program BIG Fasa 1 Siri 2 pada kali ini. Kemudian, upacara penyampaian hadiah dijalankan. Kumpulan saya telah mendapat anugerah kumpulan paling

berdisiplin. Kami berasa amat gembira walaupun pada mulanya agak terkejut dengan anugerah itu. Selesai sahaja upacara penyampaian hadiah, para peserta BIG bersalamsalaman dengan fasilitator-fasilitator dan pensyarah-pensyarah yang terlibat sepanjang program BIG itu dijalankan. Kami berangkat pulang sekitar jam 2.00 petang selepas selesai menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Zohor dan Asar. Sepanjang perjalanan pulang, semua peserta BIG tidur di dalam bas kerana kepenatan. Kami tiba dengan selamat di IPGMTAA sekitar jam 7.00 petang. Pelbagai pengalaman dan pengajaran yang saya dapat daripada program BIG yang telah dijalankan dengan jayanya oleh pihak institut. Perubahan ketara yang saya dapat lihat selepas pulang daripada program BIG ini ialah hubungan antara guru pelatih berbangsa Melayu dan berbangsa India semakin rapat. Sebelum ini, kami jarang bertegur sapa dengan mereka walaupun melemprkan sedikit senyuman. Alhamdulillah, dengan adanya program seperti ini, kami dapat mengeratkan hubungan silaturahin antara satu sama lain. Saya juga mengalami perubahan besar dalam diri saya iaitu saya semakin yakin untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya benar-benar hargai segala pengalaman yang saya dapat sepanjang program BIG ini.

You might also like