You are on page 1of 11

NAFSU

SETIAP orang mempunyai nafsu. Ia adalah kurniaan Allah yang bersifat fitrah sebagai pelengkap kepada unsur kemanusiaan di samping akal. Dengan nafsu kita dapat makan dan minum, melakukan itu dan ini memakmurkan bumi, malah beranak pinak. Sebab itu, jika manusia tiada nafsu untuk makan, ini menunjukkan petanda buruk. Cuma yang berbeza ialah tingkatan nafsu pada diri seseorang. Sesetengah dapat mengawal nafsu, manakala yang lain terikut-ikut telunjuk hawa nafsu, malah kerap terbabas kerana gagal mengawal nafsu. Dalam Islam, nafsu terbahagi kepada beberapa tahap, iaitu nafsu ammarah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, nafsu muthmainnah, radiah dan mardhiah. Nafsu ammarah - Nama ini diambil daripada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai pengakuan Zulaikha (Imratulaziz) atas kesalahan dan kesediaannya membuat pengakuan yang Yusuf bersih daripada sebarang keburukan dan kesalahan. Ia adalah nama bagi nafsu di tahap paling rendah. Diri di tahap ini disifatkan al-Quran sebagai yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan. Maksudnya diri manusia dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan sehingga manusia menjadi hamba nafsu, bahkan menjadikan nafsu sebagai Tuhan yang ditaati. Manusia yang memiliki akhlak serendah ini nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Cuma yang penting baginya ialah yang dapat memenuhi kehendak nafsunya saja. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan. Diri dalam peringkat terendah inilah yang diistilahkan oleh ahli kerohanian Islam sebagai 'nafsu'. Nafsu ammarah ini mengandungi sifat hina dan tercela, sifat kehaiwanan, syaitan dan bangga diri yang hanya layak bagi Tuhan, seperti sifat takbur, memperhambakan manusia, suka disanjung dan dipuja. Sifat yang nyata pada diri di tahap ini ialah sentiasa bergelora dengan seribu satu macam keinginan nafsu, sesuai dengan sifat semula jadi nafsu rendahnya seperti terburu nafsu, lalai, tamak dan jahil. Malah untuk menunaikan keinginan yang sentiasa bergelora tanpa puas manusia akan menjadi alat dan hamba nafsu menyebabkan mereka dalam sentiasa dalam keadaan sengsara. Al-Quran mengumpamakan seperti seekor anjing yang termengah-mengah dan terjelir lidahnya kerana kepenatan. "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu. Tetapi ia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing; jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Dan jika

engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." (Al-A'raaf: 176) Diri yang berada pada tahap ini sebenarnya menerima ujian. Diuji dengan sifat rendah dan buruk. Tetapi manusia juga disediakan daya kemampuan untuk menentang, melawan, mengekang dan mengawal daripada menurut nafsu rendahnya itu. Manusia diuji dengan sifat terbabit bukanlah diminta supaya menuruti keinginan nafsu yang tidak ada batas kepuasannya tetapi untuk menghalang, mendidik dan memandunya sehingga mengenali diri, tabiat dan kelemahannya. Dengan itu akhirnya diri mengenali Tuhan dan mentaati petunjuk-Nya dalam usaha mengatasi kelemahan supaya mereka benar-benar menjadi hamba dan mengabdikan kepada Allah saja.Hanya dengan usaha terbabit nafsu di tahap ini akan dapat meningkat maju ke peringkat yang lebih tenang.

AKAL 1
Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya. Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunungganang. Dengan panduan wahyu daripada Allah s.w.t, manusia telah diamanahkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. (Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10. Demikian juga konsep taklif (tanggungjawab) dalam Islam yang menitikberatkan tentang akal apabila hanya golongan yang berakal sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan sesuatu ibadah kepada Allah s.w.t, sedangkan mereka yang tidak berakal dikecualikan.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat. Merujuk kepada perantara langsung di antara Allah s.w.t dan hamba-Nya iaitu al-Quran, kita dapati akal merupakan asas kepada penghujahan Allah s.w.t ke atas makhluk-Nya. Jika diteliti terdapat begitu banyak ayat al-Quran yang memperkatakan tentang penggunaan akal seperti ta'qilun, tafakkarun dan tadabbarun. Pujian diberikan kepada mereka yang menggunakan akal yang membawa kepada keimanan dan ketakwaan terhadap Allah s.w.t, manakala celaan pula ditujukan kepada mereka yang mengabaikan proses penggunaan akal tersebut menuju kebenaran dan keimanan. Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190. Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Pemikiran ini seterusnya membawa kepada keyakinan tentang kewujudan dan keagungan Allah s.w.t. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah s.w.t dalam surah alBaqarah ayat 164, bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, perubahan malam dan siang serta kapal yang belayar di lautan membawa perkara yang memberi faedah kepada manusia, dan apa yang diturunkan Allah s.w.t dari langit dari air lalu dihidupkan dengannya bumi yang gersang dan menyebarkan padanya setiap kehidupan, melalukan angin dan awan yang ditundukkan di antara langit dan bumi, itu semua merupakan tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi mereka yang berfikir. Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat di antara kandungan alam maya dengan Allah s.w.t. Setelah menceritakan tentang realiti yang dapat dilihat di sekitar manusia dari langit, bumi, siang, malam dan perjalanan kapal di tengah lautan bergelora, kejadian hujan dan sebagainya yang perlu dikaji dan diselidiki oleh umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia, Allah s.w.t

mengakhiri ayat tersebut dengan menyatakan semua perkara itu adalah tanda bagi orang yang menggunakan fikirannya. Dengan kata lain, sebagai perantara untuk manusia mengakui kewujudan Allah s.w.t dan keagungan-Nya sebagai pencipta dan pentadbir alam ini. Dari perspektif yang lebih jelas, ia memberitahu kita bahawa semua kejadian yang berlaku di dunia ini akan membawa kita kepada mengingati tentang kewujudan, kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t, dengan satu syarat iaitu melalui perantaraan akal yang sememangnya dianugerahkan kepada semua manusia. Oleh itu, Allah s.w.t memandang rendah mereka yang tidak menggunakan anugerah akal fikiran yang diberikan untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada-Nya. Mereka dihumbankan kepada kedudukan yang lebih hina daripada haiwan ternakan. Ini kerana mereka hanya menggunakan segala anugerah Allah s.w.t untuk kesenangan dan kemewahan duniawi semata-mata, seterusnya lalai daripada tujuan asal mereka dijadikan iaitu untuk mengenal dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Dari sini kita dapat melihat perbezaan antara golongan ilmuwan yang beriman dengan Allah s.w.t dengan yang tidak beriman. Golongan pertama akan menjadikan ilmu yang diperoleh untuk menambahkan lagi keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t, manakala golongan kedua pula hanya memusatkan ilmu mereka demi mencapai kesenangan dan kemewahan di dunia semata-mata. Maka benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah s.w.t adalah para alim ulama. Yang pasti, gabungan antara akal dan wahyu akan memberikan manusia jalan kebenaran yang bersinar sebagaimana yang diajarkan oleh para rasul. Pengabaian terhadap salah satu daripada kedua sumber tersebut akan menjadikan perjalanan hidup manusia pincang, seterusnya membawa kepada kekecewaan dan kegagalan. Menerusi wahyu yang disampaikan oleh para rasul, kita mengetahui di penghujung sana adanya hari kiamat. Pada hari tersebut manusia akan diperlihatkan setiap perbuatannya di dunia ini, daripada amalan kebaikan mahupun kejahatan biarpun sebesar zarah. Seterusnya mereka akan dibalas dengan pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya.

Sebagai seorang yang mempunyai akal yang rasional kita sewajarnya membuat persediaan untuk menghadapi hari tersebut. Kejayaan pada hari tersebut dapat dicapai apabila kita dicurahi rahmat Allah s.w.t. Kerahmatan ini pula dapat diperoleh dengan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan dalam masa yang sama menjauhi segala larangan-Nya. Kesimpulannya, tugas akal yang paling mulia ialah apabila ia digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Apabila melihat kepada kejadian alam yang begitu hebat, tersusun dan indah ini, sewajarnyalah terdetik di hati kita ingatan terhadap Allah s.w.t yang Maha Agong yang mencipta alam ini. Hasil daripada ingatan yang berterusan inilah manusia akan sentiasa hidup dalam lindungan rahmat Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Maka ingatilah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Oleh itu lihatlah kepada manusia, langit, bumi, kereta, komputer dan semuanya dan jadikanlah ia sebagai perantara untuk kita mengingati Allah s.w.t.

AKAL 2
Hakikat akal menurut pendapat al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi ialah: a. Akal ialah suatu naluri, tabiat dan hakikat semulajadi yang ada pada manusia. Melalui hakikat dan naluri tersebutlah manusia itu mampu dan bersedia untuk memahami dan menerima segala ilmu pengetahuan yang diajar. Menurut pendapat beliau lagi, akal boleh diibarat dan diumpamakan cahaya atau nur yang dicampakkan dalam hati manusia, dengan nur itu mereka mendapat sesuatu atau juga untuk mendapat petunjuk. b. Menurut al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi, kelemahan akal manusia daripada mencapai hakikat tentang Allah bukanlah merupakan sesuatu kecacatan. Namun kelemahan akal itu untuk menunjukkan ia ada batasnya dan sebagai pembatasan terhadap tugasnya. Walau bagaimana pun kelemahan akal itu tidak menghalang manusia untuk menggunakan metod akal

bagi menetapkan sifat-sifat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan memikirkan penciptaan makhluk-Nya, lagi pun sifatsifat Allah ada ditetapkan dalam al-Quran, Cuma sifat Allah tidak sama dengan sifat manusia. Apa yang tidak boleh difikirkan oleh akal ialah untuk memikirkan tentang zat Allah, sebagaimana hadis

Terjemahan : Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kamu berfikir tentang zat Allah, (jika kamu fikirkan zat Allah) kamu akan binasa. F. PERANAN AKAL Tentang peranan akal ialah dengan meneliti dari sudut sumber kemanusiaan. Iaitu dari sudut akal itu sendiri yang meliputi alam benda dan segala sifat lahir. Dalam keadaan lain juga, peranan akal itu ditinjau dari sudut sumber ketuhanan. Iaitu wahyu, yang merangkumi tentang alam ghaib yang mana ia merupakan perkara yang berada di luar kemampuan akal. Oleh itu, sumber dan peranan akal manusia merupakan sesuatu yang bersifat terhad dan terbatas. Antara lain juga, akal tidak bersifat suci selama-lamanya, untuk itulah ia perlu patuh dan tunduk kepada panduan wahyu ilahi. Sebagai rumusannya, peranan akal sebagaimana berikut: 1. Peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah 2. Peranan akal menurut pemikir Islam Peranan Akal Menurut al-Quran dan al-Sunnah

Antara peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah ialah sebagaimana berikut:

a. Akal berperanan untuk mengkaji dan mendalami serta mempelajari ilmu. Justeru itu akal yang dikurniakan kepada manusia itu hendaklah digunakan semaksima mungkin dan mengambil kesempatan yang sebanyak mungkin untuk memperolehi ilmu pengetahuan setinggi mungkin. Antaranya sebagaimana firman Allah: Terjemahan : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal. (Surah ali Imran 3 : 190) Untuk itu, al-Quran membuka ruang yang selebar mungkin kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk mencari ilmu, baik Ilmu yang berkaitan dengan keduniaan dan ilmu yang berkaitan dengan akhirat atau keagamaan. b. Peranan akal yang lain ialah untuk mempelajari wahyu Allah dan untuk memahaminya. Justeru itu, akal menyebabkan seseorang itu berilmu dan mengangkat seseorang supaya mendapat kedudukan yang mulia. Sebagaimana firman Allah Terjemahan : . Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu; dan (Allah meninggikan) orangorang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. (Surah al-Mujadalah 58:11) c. Akal merupakan salah satu syarat manusia ditaklifkan dan akal yang tidak diarahkan dengan betul menurut syarak atau akal yang lalai daripada menunaikan tanggungjawab Allah menyebabkan seseorang itu dikenakan azab. Sebagaimana firman Allah : Terjemahan : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak

(mahu) mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lali. (Surah al-Araf 7 : 179) Untuk membuktikan dan hujah akal menjadi syarat taklif juga sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi : d. Akal merupakan sumber dan memain peranan utama untuk mengenal Allah, sama ada melalui sifat-Nya atau bukti kekuasaannya-Nya. Sebagaimana hadis: Terjemahan : Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kami berfikir tentang zat Allah, kerana sesungguhnya kamu tidak akan mampu memenuhi kadarnya. e. Akal membawa peranan yang positif serta dengannya seseorang dapat menilai antara kebaikan dengan keburukan. Seandainya seseorang itu tidak mengetahuinya ia hendaklah mengarahkan akalnya supaya berusaha dan bertanya kepada orang yang berpengetahuan. Sebagaimana firman Allah: Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (Surah al-Nahl 16:43) Peranan Akal Menurut Pemikir Islam a. Ibn Sina b. Al-Ghazali Menurut pendapat Ibn Sina dan Imam al-Ghazali, akal memain peranan penting untuk mencari atau menuntut ilmu pengetahuan. Justeru itulah akal berperanan sebagai sumber ilmu. Dalam konteks lain, Ibn Sina dan al-Ghazali berpendapat di mana akal itu berperanan untuk menaikkan taraf manusia ke darjat atau kedudukan yang lebih baik dan terpuji. Hal

tersebut bertepatan dengan hakikat dan realiti yang mana sememangnya orang yang berakal atau berilmu itu mendapat kedudukan yang tinggi serta dihormati oleh masyarakat. Selain dari itu, akal itu berperanan dan memain peranan utama untuk memikirkan dan mengkaji, seterusnya melahirkan idea atau pun dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Ekoran daripada itulah, dengan peranan dan kemampuan yang ada pada akal membolehkan manusia mampu untuk mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini. G. KEMAMPUAN AKAL

Untuk menjelaskan tentang kemampuan akal, ia dapat ditinjau dari dua sudut, iaitu: 1. Kemampuan akal menurut al-Quran. 2. Kemampuan akal menurut pemikir Islam. Kemampuan Akal Menurut al-Quran Akal walaupun setinggi mana dan sepintar mana, ia tetap terbatas dan terhad ruang lingkup kemampuannya. Hakikat mengenai kekurangan dan kelemahan ini perlu diinsafi agar apabila seseorang itu makin tinggi dan makin berilmu, ia semakin tawadduk dan bertaqwa, bukan bertambah angkuh dan megah. Mengetahui kedudukan yang lemah dan terbatas itu juga dapat menarik kesedaran manusia dimana tidak semua perkara yang wujud dapat ditangkap atau difikirkan oleh akal. Apa yang ketaranya, akal hanya mampu untuk meneliti, mengkaji dan mahami perkara yang berkaitan dengan alam nyata sahaja. Adapun perkara yang berkaitan dengan alam ghaib, akal tidak dapat sampai, ia hanya dapat diketahui melalui wahyu atau perantara para rasul. Antara bukti yang menunjukkan bahawa akal manusia terbatas sebagaimana firman Allah yang berkaitan dengan roh:

Terjemahan : Dan mereka bertanya kamu (wahai Muhammad) tentang Ruh. Katakanlah, Ruh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Isra 17 : 85) Dalam konteks lain, akal manusia itu amat terbatas dan mereka dapat mengkaji atau berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang terdaya dan termampu oleh akal mereka sahaja, itupun dengan izin Allah. Walau sepintar mana dan secerdik mana, samada mereka berseorangan, berkumpulan atau bergabung tenaga, namun ruangan dan taakul akal itu tetap lemah dan terhad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran yang menempelak dan mencabar pujangga dan penyair atau cendekiawan Arab yang tidak mengakui kebenaran al-Quran daripada Allah, sebagaimana firman-Nya : Terjemahan : Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri. (Surah al-Isra 17 : 88) Biarpun akal manusia itu terbatas dan terhad, namun dengan keterbatasan itu, seseorang yang dianugerahkan akal mampu untuk meneliti, memerhati dan mengkaji perkara yang dapat ditaakul oleh akal mereka berserta gabungan pancaindera yang dikurniakan. Dalam hal inilah al-Quran juga banyak menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk meneliti dan mengkaji perkara yang berkaitan dengan alam fizikal dan lahirlah demi kehidupan yang lebih sempurna Contohnya sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara dimuka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? (Surah Yusuf 12 : 109) Kemampuan Akal Menurut Pemikir Islam Menurut pendapat ahli fikir Islam, khasnya Imam al-Ghazali dan Ibn Sina, akal hanya mampu mengkaji dan memahami alam nyata yang boleh diteliti atau boleh ditaakul sahaja. Justeru itu, ruang akal amat terbatas dan ia tidak dapat menyelami hakikat yang tidak dapat ditanggapinya. Dalam keadaan lain akal hanya dapat menaakul apa yang didapat ditanggapi oleh pancaindera sahaja. Hakikat ini terbukti menerusi firman Allah mengenai zat-Nya: Terjemahan : Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah yang Amat halus (melayan hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya. (Surah al-An;am 6:103) Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh alGhazali di dalam kitab Ihya Ulum al-Din, akal memerlukan dalil naqli manakala dalil naqli memerlukan dalil aqli, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ilahi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan naqal, kerana ilmu-ilmu aqli seumpama makanan dan ilmu naqli umpama ubat.

You might also like