You are on page 1of 20

Bahagian A (Masa yang dicadangkan : 45 minit) [30 markah] KEMUDAHAN AWAM DI NEGARA KITA Malaysia ialah sebuah negara

yang pesat membangun. Selaras dengan pembangunan yang pesat ini, pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak yang berwajib bagi membantu rakyat menikmati keselesaan hidup. Satu daripada kemudahan yang disediakan ialah kemudahan awam. Kemudahan awam yang dimaksudkan adalah seperti telefon awam, taman rekreasi, pondok perhentian bas, tandas awam dan lain-lain lagi. Bagi sesiapa yang tidak mempunyai kemudahan telefon sendiri di rumah, telefon awam amat berguna dalam usaha menghubungi pihak hospital, bomba, dan balai polis ketika kecemasan dan waktu memerlukan pertolongan yang segera. Pondok perhentian bas pula akan memberikan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan bas sama ada untuk pergi bertugas atau pergi bersiarsiar. Taman rekreasi yang terdapat di mana-mana terutama di bandar-bandar, menjadi tempat orang awam berehat dan menjalankan aktiviti riadah. Tandas awam pula tersedia di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Kebersihan dan keceriaan di luar dan di dalam tandas awam, membolehkan orang awam menggunakannya dengan selesa. Kepentingan kemudahan awam kepada masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Namun, sebahagian daripada pengguna, seolah-olah tidak menghargainya. Mereka merosakkan harta benda awam tanpa memikirkan kesan dan implikasi daripada tindakan mereka itu. Kita melihat di sana-sini telefon awam tidak berfungsi lagi, taman rekreasi disalahgunakan, pondok perhentian bas diconteng dan ditulis dengan kata-kata yang tidak menyenangkan hati. Tandas awam pula tidak digunakan dengan wajar di samping pengguna tidak bekerjasama menjaga kebersihannya. Tindakan vandalisme ini amat mengecewakan semua pihak yang prihatin tentang keselamatan kemudahan awam. Justeru, kita tidak ada pilihan, selain berusaha dan berganding bahu mengambil tindakan yang berkesan untuk membendung dan mengekang perlakuan yang negatif ini. Selain tindakan tegas melalui undang-undang, didikan rohani perlu dipupuk di peringkat sekolah rendah lagi. Murid-murid hendaklah diasuh tentang perlunya mereka bertangggungjawab menjaga harta benda awam. Kempen dan galakan melalui media elektronik hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan lebih berkesan. Ibu bapa dan para pemimpin masyarakat harus mendukung aspirasi slogan Kepimpinan Melalui Teladan. Kemudahan awam hak milik kita bersama. Marilah kita menjaganya demi kepentingan kita dan maruah negara.

SUKAN BERTARAF DUNIA DUNIA DI MALAYSIA Bidang sukan merupakan bidang yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Bidang ini bukan sahaja diadakan di sekolah malah dianjurkan di peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Akhir-akhir ini, Malaysia semakin terkenal dalam menganjurkan sukan bertaraf dunia. Antara kejohanan sukan bertaraf dunia yang dianjurkan oleh negara kita ialah Kejohanan Lumba Kereta Formula Satu, Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi, Sukan Komanwel, Badminton Piala Thomas dan Kejohanan Hoki Piala Dunia. Melalui penganjuran sukan berprestej ini masyarakat dunia mengenali negara kita dan mereka akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Sebagai contoh, kejohanan Formula Satu telah mencapai kejayaan kerana sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan luar negara. Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi merupakan kejohanan berbasikal yang semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Pada setiapa tahun bilangan peserta yang mengambil bahagian meningkat dan prestasi mereka amat menggalakkan. Saya berasa yakin suatu hari nanti kejohanan ini akan sama tarafnya dengan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De France yang bertaraf dunia. Kejohanan Sukan Komanwel 1998 mencatat sejarah penting dalam penganjuran sukan di Malaysia. Kejohanan sukan kedua terbesar selepas sukan olimpik telah membawa pelbagai kejayaan kepada Malaysia. Negara kita tidak pernah memenangi pingat emas yang begitu banyak sepanjang kejohanan sukan itu diadakan tetapi apabila sukan itu diadakan di Malaysia, prestasi atlet sukan kita amat memberangsangkan. Memang banyak faedah yang kita peroleh apabila kita menganjurkan sukan bertaraf dunia. Di samping dapat bersaing dengan atlet bertaraf dunia, atlet negara kita dapat memperoleh pengalaman yang luas melalui penyertaan mereka dalam bidang sukan itu. Industri pelancongan negara turut berkembang kerana pelancong asing menggunakan pelbagai kemudahan semasa berada di negara kita. Perkara ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, imej negara kita terserlah di dunia kerana kecemerlangan kita menganjurkan sukan bertaraf dunia ini. Kesimpulannya, penganjuran sukan bertaraf dunia memang digalakkan di negara ini. Bidang sukan yang dianjurkan ini bukan sahaja membawa pelbagai faedah kepada atlet negara tetapi dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

PERMAINAN TRADISIONAL DI NEGARA KITA

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis permainan.Satu daripada permainan yang wajar kita berikan perhatian ialah permainan tradisional. Permainan tradisional adalah seperti gasing, wau, sepak raga, congkak, galah panjang dan teng-teng. Permainan tradisional ini sangat popular di kalangan masyarakat pada masa lalu. Permainan wau digemari oleh masyarakat pantai timur. Permainan congkak digemari oleh gadis remaja dan dianggap sebagai permainan dalaman. Permainan gasing dan sepak raga pula digemari oleh remaja lelaki dan selalunya permaian berlangsung pada waktu petang. Walau bagaimanapun, kini, permainan tradisional semakin kurang diminati oleh masyarakat khususnya generasi muda. Permainan tradisional kurang diminati kerana perkembangan teknologi moden yang begitu pesat. Komputer dan permainan video dengan keunikan yang tersendiri dapat menarik perhatian generasi muda untuk menggunakannya. Pelbagai permainan yang sentiasa diperbaharui dalam internet menyebabkan seseorang itu tertarik untuk bermain komputer dan tidak berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional. Selain itu, masyarakat menganggap permainan tradisional tiada nilai komersial. Hal ini berlainan dengan permainan bowling, badminton ataupun bola sepak yang memberikan pulangan yang lumayan. Misalnya, penglibatan Shalin Zulkifli dalam sukan bowling mendatangkan pendapatan yang lumayan dan menaikkan namanya dan nama negara di peringkat antarabangsa. Penglibatan dalam permainan tradisional seperti permainan wau tidak dapat memberikan faedah dari segi kewangan. Selain itu, bahan untuk permainan tradisional ini sukar dicari di samping memerlukan kepakaran yang tinggi. Bagi membuat congkak dan gasing misalnya, tukang gasing dan congkak memerlukan kayu yang bermutu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pokokpokok di hutan semakin pupus akibat penebangan hutan yang tidak terkawal. Untuk membuat wau pula memerlukan kepakaran tertentu. Kesimpulannya, permainan tradisional perlu diperkenalkan kepada masyarakat agar generasi akan datang mengenali permainan tradisional ini dan tidak hilang ditelan zaman. Kempen dan galakan untuk melibatkan generasi muda perlu dilaksanakan dengan segera.

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) . Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan negara terus membangun dengan pesat. Kerajaan melaksanakan program-program yang memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Satu daripada program yang mendapat perhatian masyarakat kini ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini banyak memberikan faedah kepada masyarakat dan negara. PLKN dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan peserta. Menerusi program yang diikuti semasa menjalani latihan, para peserta dapat dipupuk menjadi warga negara yang kasih akan negara. Program menyanyikan lagu-lagu patriotik dapat memupuk rasa cinta akan negara. Program mendeklamasikan sajak yang bertemakan semangat patriotik juga dapat menyemai rasa sayang akan negara. Program ceramah yang mengemukakan sejarah tanah air, pemimpin-pemimpin tanah air kita dapat menyemai dan membina semangat cinta akan negara. Penyemaian semangat cinta akan negara ini dalam kalangan para peserta amat penting , bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di samping itu, PLKN juga dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional. Para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datangnya dari negerinegeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bergaul dan bermesra dalam tempoh yang panjang. Dalam jangka masa tiga bulan mereka menjalani pelbagai aktiviti seperti aktiviti kumpulan, ceramah dan sebagainya dapat membuka ruang kepada setiap peserta mengenali antara satu sama lain. Menerusi aktiviti kumpulan misalnya, mereka dapat belajar untuk bekerjasama, bertolak ansur, bersedia memberikan pendapat dan bersedia pula untuk menerima pandangan orang lain. Segala amalan ini dapat membina semangat persaudaraan dan sikap berbaik sangka dalam kalangan generasi muda ini. Menerusi PLKN juga sikap berdisiplin dan pembinaan jati diri dapat dipupuk dan direalisasikan. Jadual latihan dan pimpinan jurulatih dapat mendidik para peserta supaya berdisiplin dan mematuhi arahan. Mereka juga dapat dilatih supaya menghargai masa. Aktiviti lasak ala ketenteraan dapat membantu ketahanan fizikal dan sekali gus memperkukuh jati diri. Selain itu, aktiviti berbentuk kerohanian seperti sembahyang berjemaah, kuliah subuh dan ceramah dapat membina kekuatan mental dan disiplin yang tinggi dalam kalangan peserta. Aktiviti kebajikan juga seperti menziarahi dan membersihkan kawasan rumah warga tua serta membantu mangsa tsunami dapat membina disiplin dan jati diri yang tekal dan kental. Jelaslah kepada kita bahawa PLKN memberikan manfaat kepada peserta, masyarakat dan negara. Sikap masyarakat yang positif terhadap program ini hendaklah diteruskan bagi memastikan aspirasi program ini tercapai sepenuhnya. Kita meyakini bahawa PLKN merupakan pemangkin bagi mengangkat martabat dan kewibawaan negara.

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah menyertai pasukan unit beruniform di sekolah. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Sejak kebelakangan ini, minat para pelajar untuk menyertai unit beruniform di sekolah kurang menggalakkan. Hal ini disebabkan para pelajar lebih memberi perhatian kepada bidang akademik. Malah ada sesetengah pelajar beranggapan bahawa penglibatan aktif dalam aktiviti unit beruniform menjejaskan prestasi akademik mereka. Anggapan sedemikian tidak benar kerana melibatkan diri dalam aktiviti unit beruniform banyak faedahnya. Jika tidak, masakan Kementerian Pendidikan Tinggi memperuntukkan 10 % markah penglibatan dalam aktiviti kokurikulum bagi permohonan masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai pelapis kepemimpinan negara, generasi pelajar perlu mempersiapkan diri untuk menjadi seorang pemimpin. Apabila memegang jawatan penting dalam unit beruniform, pelajar dapat mengasah bakat kepemimpinan. Sebagai seorang Ketua Platun pasukan kadet remaja atau ketua patrol bagi pengakap, pelajar akan memperoleh pengalaman memimpin platun atau patrolnya. Jadi, tidak hairanlah jika kebanyakan pemimpin negara mempunyai latar belakang sebagai seorang pemimpin unit beruniform semasa di alam persekolahan . Penyertaan dalam unit beruniform dapat membentuk disiplin diri dalam kalangan ahlinya. Seperti yang sedia kita maklum, setiap unit beruniform amat mementingkan disiplin dan kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan. Bagi seseorang ahli kadet polis misalnya, mereka perlu mematuhi peraturan berpakaian iaitu mesti memakai pakaian seragam yang ditetapkan berambut pendek, berdisiplin ketika sesi latihan kawat, menepati waktu perjumpaan diadakan dan sebagainya. Hal ini sudah pasti akan melahirkan generasi remaja yang berdisiplin. Penyertaan dalam unit beruniform juga akan membuka ruang untuk mempererat perpaduan kaum. Setiap unit beruniform akan disertai oleh para pelajar yang berbilang kaum dan agama. Menerusi aktiviti yang dilaksanakan, ahli-ahli yang pelbagai kaum dan agama ini saling mengenali, bertukar-tukar fikiran dan seterusnya menjalankan aktiviti untuk kepentingan bersama, sekali gus akan menjalin perpaduan dan integrasi nasional seperti yang harapkan oleh kerajaan melalui Sistem Pendidikan Negara.. Selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah, penyertaan dalam unit beruniform juga memberikan peluang kepada kita untuk menyumbangkan idea dan tenaga kepada masyarakat setempat, negara dan masyarakat antarabangsa. Pasukan Pengakap dan pasukan Bulan Sabit Merah misalnya, boleh menyertai aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan perumahan, membantu mangsa banjir , bertugas pada hari sukan dan menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan. Kita juga berpeluang memberikan sumbangan di peringkat antarabangsa seperti yang telah dilakukan oleh pasukan Bulan Sabit Merah yang membantu mangsa-mangsa tsunami di Acheh. Sesungguhnya, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Hal ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang amat bermakna malah akan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Kesimpulannya, memang banyak manfaat yang diperoleh dengan melibatkan diri dalam aktiviti unit beruniform. Oleh itu, kesempatan berada di alam persekolahan hendaklah diambil oleh para pelajar dengan menyertai unit beruniform agar negara memiliki generasi yang berketerampilan dan sarat dengan nilai-nilai murni.

BAHAGIAN A

Tugasan Soalan Pendahuluan

: Murid dapat menulis usaha-usaha untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini. : Amalan membaca dapat membentuk masyarakat celik ilmu dan berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang. Generasi pada hari ini harus disemai dengan budaya membaca agar mereka menjadi masyarakat maju pada masa hadapan. : Ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak untuk mewujudkan budaya membaca. - Ibu bapa menjadikan masa lapang dengan aktiviti membaca buku, majalah dan sebagainya. - Ibu bapa membawa anak-anak ke kedai buku untuk membeli bahan bacaan : Pihak kerajaan menganjurkan Bulan Bahasa Kebangsaan. - Pertandingan mengulas buku - Mengadakan pertandingan menulis esei - Pameran buku contoh Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. : Pihak sekolah menganjurkan kempen banyak membaca - Sekolah berperanan menyemai budaya membaca daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas. - Program Nilam - Minggu Bahasa : Media massa menyiarkan berita dan maklumat - ulasan buku - iklan buku - majalah keluaran terbaru : - Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. - Generasi muda adalah pemimpin masa depan.

Isi 1

Isi 2

Isi 3

Isi 4

Ungkapan menarik

BAHAGIAN A. Tugasan soalan Pendahuluan : Pelajar dapat menulis tentang langkah-langkah memajukan sektor pertanian di Malaysia. : Kini, kerajaan mengalih pandangan ke arah memajukan sektor pertanian. Sektor pertanian bukan sahaja memberi pulangan yang lumayan bahkan dapat menambahkan rizab makanan negara. : Penggunaan jentera moden - memudahkan kerja-kerja pertanian

Isi 1

secara ladang / estet untuk menghasilkan pulangan yang tinggi. Isi 2 : Tanah pertanian yang luas dan subur sesuai untuk aktiviti pertanian secara komersil - contoh tanaman padi, tanaman kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. : Kemudahan pinjaman dari institusi kewangan untuk menjalankan projek pertanian - contohnya mengusahakan ladang, pembelian jentera moden dan sebagainya. : Penyelidikan daripada agensi kerajaan membantu petani meningkatkan hasil pertanian. Contoh petani memperoleh benih yang berkualiti, kaedah penanaman yang sesuai dan lain-lain. : Sektor pertanian dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan baru kepada rakyat Malaysia. : Berbudi kepada tanah : Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. : Pertanian adalah satu perniagaan (slogan)

Isi 3

Isi 4

Kesimpulan Ungkapan menarik

BAHAGIAN A Tugasan soalan: Pelajar dapat menulis tentang usaha-usaha memelihara hutan di negara ini.

Pendahuluan : Hutan merupakan khazanah Tuhan yang perlu dipelihara. Isi 1 Isi 2 Isi 3 Isi 4 Kesimpulan Ungkapan menarik : Mewujudkan kawasan hutan kekal. : Menghentikan aktiviti penerokaan hutan : Hukuman yang lebih berat kepada penceroboh hutan : Tidak membenarkan projek pembangunan dijalankan di kawasan hutan. : Semua pihak harus bertanggungjawab memastikan hutan sentiasa dipelihara daripada kemusnahan. : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul Hutan adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai Cintailah Alam Sekitar. AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

BAHAGIAN A Tugasan Soalan Pendahuluan : Murid dapat menulis cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. : Amalan gaya hidup sihat dapat membentuk individu dan

masyarakat yang cergas dan cerdas. Generasi pada hari ini harus disemai dengan amalan gaya hidup sihat agar tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Isi 1 : Pengambilan makanan yang seimbang - Perlu mendapatkan makanan yang berkhasiat agar terhindar daripada sebarang penyakit. - Digalakkan mengambil makanan seimbang dan mengurangkan makanan berlemak : Kegiatan rekreasi - Melakukan kegiatan berfaedah sama ada secara individu atau berpasukan. - Dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah : Bersukan : - Melalui aktiviti bersukan, tubuh seseorang akan menjadi sihat kerana badan berpeluh dan otot-otot dapat berfungsi dengan baik. : Rawatan kesihatan : - Mendapat nasihat daripada pegawai perubatan / pakar bagi memastikan badan sentiasa sihat - Pemeriksaaan kesihatan berkala - Dapat rawatan awal agar penyakit tidak berpanjangan - Dapat mengambil langkah-langkah pencegahan : - Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. - badan cergas, otak cerdas

Isi 2

Isi 3

Isi 4

Ungkapan menarik

AMALAN NILAI MURNI DALAM MASYARAKAT BAHAGIAN A Tugasan Soalan : Murid dapat menulis tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian masyarakat. : Amalan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat merupakan amalan positif yang mampu membina persekitaran masyarakat yang harmoni. Malahan amalan ini selari dengan usaha kerajaan untuk memupuk amalan nilai-nilai dalam masyarakat melalui kempen Budi Bahasa Budaya Kita. : Melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa - suka membantu masyarakat atau golongan yang tidak memerlukan (fakir miskin, orang-rang tua, ibu tunggal dll) - dapat mengikis sikap yang materialistik : Mampu mewujudkan masyarakat bersatu padu tanpa mengira ras,

Pendahuluan

Isi 1

Isi 2

agama, bangsa dan sempadan - kasih sayang sesama manusia - perpaduan dalam kalangan rakyat akan bertambah erat. Isi 3 : Memupuk semangat kerjasama - contoh bergotong royong - kerjasama antara masyarakat semakin kukuh : Mewujudkan rasa simpati kalangan masyarakat - contoh membantu golongan kurang upaya - melahirkan masyarakat penyayang : - Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. - Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat - Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing - Bagai aur dengan tebing
BAHAGIAN A

Isi 4

Ungkapan menarik

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memupuk perpaduan nasional di negara kita. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Keharmonian negara banyak bergantung pada hubungan mesra dan intim dalam kalangan rakyat. Justeru, pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan wujudnya perpaduan nasional. Satu daripada langkah yang telah pun dilaksanakan ialah usaha yang dilakukan oleh kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan memberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menerima pendidikan tanpa mengira bangsa dan kaum. Pelajar-pelajar berbilang kaum dapat mengikuti pelajaran di tempat dan kawasan yang sama. Mereka bergaul, bermesra dan menjalani aktiviti bersama-sama. Hubungan ini dapat melahirkan rasa saling memahami dan hormatmenghormati antara pelajar berbilang kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan memperkukuh hubungan antara pelajar kerana bahasa dapat menjadi wadah yang ampuh dan mapan untuk mewujudkan perpaduan nasional. Perpaduan nasional juga dapat diwujudkan melalui amalan kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Amalan ziarah-menziarahi semasa hari-hari perayaan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dapat melahirkan kemesraan. Rakyat dapat memahami dan menghayati adat resam sesuatu bangsa. Pemahaman dan penghayatan ini penting dalam melahirkan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Jamuan rakyat yang dianjurkan oleh kerajaan semasa perayaanperayaan tertentu juga dapat memberikan impak yang berkesan dalam usaha mewujudkan perpaduan nasional. Melalui aktiviti sukan juga kita dapat memupuk perpaduan dan integrasi nasional. Hal ini terbukti apabila kita melihat suasana di gelanggang sukan yang melibatkan pasukan negara. Semua penonton yang terdiri daripada pelbagai kaum bersorak dengan penuh semangat menyokong pasukan negara. Mereka gembira dan saling berpelukan apabila pasukan

negara meraih kejayaan. Menerusi aktiviti sukan berbentuk riadah juga dapat merapatkan hubungan antara rakyat di negara kita. Mereka menjalani aktiviti bersama-sama, bertegur sapa sambil mengamalkan gaya hidup sihat. Selain aktiviti sukan , perpaduan nasional juga dapat dipupuk melalui program-program khas seperti acara menyambut Hari Kemerdekaan negara, gotong-royong, dan program-program yang melibatkan warga tua. Sesungguhnya, perpaduan nasional merupakan teras atau tonggak utama kemajuan negara. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah menyokong segala usaha yang dilaksanakan bagi memastikan perpaduan nasional dapat direalisasikan di negara kita, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

KARANGAN CONTOH

BAHAGIAN B

KARANGAN CONTOH 1 Peranan Wanita Dalam Melahirkan Generasi Yang Berkualiti Oleh: Hassan bin Mohamed Kita sering mendengar slogan yang berbunyi Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Kita juga sering mendengar kata-kata bahawa seseorang lelaki yang berjaya, sesungguhnya di belakangnya berdiri seorang wanita yang memberikan sokongan dan inspirasi. Malah pepatah juga ada menyatakan Tangan yang menghayun buaian itu, boleh menggoncang dunia. Demikianlah, kaum wanita itu dilihat sebagai golongan yang bukan sahaja menggambarkan kelembutan tetapi juga memperlihatkan wibawa dan karisma yang tersendiri. Jelasnya, wanita berperanan dalam memupuk dan melahirkan generasi yang berkualiti dan berketerampilan. Terlebih dahulu saya ingin menghuraikan tajuk rencana ini bagi memudahkan perbicangan selanjutnya. Rangkai kata peranan wanita dapat didefinisikan sebagai suatu tugas atau amanah yang dipegang oleh kaum perempuan sama ada kita melihatnya dari segi individu mahupun secara keseluruhannya. Perkataan melahirkan pula bermaksud suatu usaha yang berterusan dalam memperoleh hasilan daripada sesuatu tindakan atau pengaruh. Sementara, rangkai kata generasi yang berkualiti merujuk individu atau kumpulan yang berketerampilan dan berkarisma dalam pelbagai aspek seperti aspek fizikal, rohani dan emosi, intelek dan jati diri. Secara keseluruhannya, dapatlah dinyatakan bahawa tajuk ini mengutarakan tugas, peranan atau tanggungjawab kaum wanita dalam mewujudkan individu atau warganegara yang berwibawa dalam semua hal yang menyentuh bidang kehidupan. Dalam konteks wanita sebagai ibu, kita dapat melihat bahawa generasi yang terbentuk menerima pengaruh yang berkesan daripada didikan dan sentuhan kasih sayang daripada ibunya. Kita dapat melihat di negara kita ini bagaimana kaum ibu memperlihatkan kewibawaan dalam memupuk individu yang berkualiti. Dalam bidang akademik misalnya, rata-rata pelajar yang ditemu ramah menyatakan peranan dan tunjuk ajar ibu menjadi alat yang ampuh dan berkesan dalam mencapai kejayaan. Nur Amalina Cik Bakri yang mendapat 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2004 membuktkian kenyataan ini. Malahan, kita dapat membuktikan kemampuan wanita dalam memupuk generasi

berkualiti ini melalui anugerah Ibu Mithali yang disediakan oleh kerajaan. Kita dapat melihat tokoh-tokoh wanita ini dengan tabah dan sabar mendidik anak-anak sehingga semua anak mereka mencapai kejayaan yang membanggakan. Masyarakat umum juga mengakui bahawa kesan ketiadaan ibu berbanding dengan ketiadaan bapa, bagi kanak-kanak begitu ketara. Anak yang ketiadaan ibu sering terjerat dengan pelbagai masalah kerana sentuhan kasih ibu tidak ada tandingannya. Oleh sebab itulah, kita sering mendengar kata-kata kasih ibu membawa ke syurga dan syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Kita juga dapat melihat lahirnya generasi yang berwibawa dan cemerlang menerusi peranan wanita yang berkerjaya. Dalam bidang pendidikan misalnya, terbukti kaum wanita telah memainkan peranan seiiring dengan kaum lelaki dalam membentuk warganegara dan generasi yang sihat dan berkebolehan dalam pelbagai aspek sebagaimana yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kaum wanita mampu mendidik anakanak ini sejak di peringkat Kelas Tadika hinggalah ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi. Kaum wanita dikatakan begitu berjaya mendidik anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana sifat keibuan semula jadi. Kaum wanita juga setanding kemampuannya dengan kaum lelaki dalam mendidik pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah dan di Pusat Pengajian Tinggi. Kita juga dapat melihat peranan wanita dalam memupuk generasi yang berkualiti dalam kerjaya yang lain seperti bidang kejururawatan. Usaha mereka dalam memberikan rawatan dan ketabahan mereka dalam melayani pesakit dapat melahirkan generasi yang sihat dan ceria. Dalam konteks wanita berkerjaya ini juga, kita boleh melihatnya menerusi kepemimpinan mereka yang berkesan sebagai ketua atau pemimpin bagi sesebuah organisasi. Generasi yang menjadi pekerja di bawah pengawasan dan jagaan mereka boleh menjadi insan yang berkualiti melalui tindakan dan amalan Kepemimpinan Melalui Teladan. Kenyataan ini bersesuaian dengan dasar kerajaan yang memastikan untuk melantik 30% daripada jawatan yang berperanan dalam menentukan dasar negara terdiri daripada kaum wanita. Kita berbanggga mempunyai seorang Gabenor Bank Negara yang terdiri daripada serang wanita. Hasil kepemimpinan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz misalnya, telah melahirkan pegawai-pegawai yang dedikasi hinggakan negara kita pernah menerima anugerah pengurusan kewangan di peringkat antarabangsa. Dalam menyahut seruan Malaysia Boleh misalnya, kita berbangga dengan kejayaan Datuk Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang berjaya menjadi wanita pertama di Asia merentasi Kutub Selatan secara solo. Kejayaan, kegigihan dan ketabahan beliau akan dapat memberikan suntikan semangat kepada generasi muda untuk mencuba sesuatu yang mencabar fizikal dan minda. Apabila kita melihat peranan wanita sebagai isteri, kita dapat membuktikan bahawa kejayaan seorang suaminya bermula daripada peranan isterinya. Justeru, biasa disebutkan bahawa setiap kali seseorang suami itu terserlah kejayaannya, sesungguhnya kejayaan itu bermula daripada peranan isteri yang berada di belakangnya. Sebagai contoh, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Doktor Mahathir Mohamad berjaya memimpin negara sehingga negara disegani di persada antarabangsa kerana di belakang beliau berdiri kukuh isteri beliau wanita pertama Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah bt. Mohd Ali. Dorongan, kasih sayang, kesedaran, ilmu dan layanan mesra isteri memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada suami untuk menumpukan tugas dengan penuh dedikasi. Golongan suami yang juga merupakan suatu kumpulan generasi dalam negara kita, sudah pasti dapat memainkan peranan dalam memberikan impak yang positif kepada kemajuan negara. Di samping itu, kita juga dapat melihat peranan wanita dalam melahirkan generasi yang cemerlang menerusi peranan mereka dalam kerja-kerja kebajikan. Kita dapat melihat imej kaum wanita yang terpuji dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan berbentuk sukarela. Menerusi penglibatan kaum wanita dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pasukan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) yang sentiasa meyumbangkan bakti dan tenaga dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda khususnya, agar terdidik ke arah kehidupan yang berkualiti. Kesimpulannya, benarlah bahawa wanita memainkan peranan dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Kita meyakini bahawa kerjasama yang erat antara kaum lelaki

dengan kaum wanita di negara kita ini, akan dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang, insya-Allah.

KARANGAN CONTOH 2 Baru-baru ini beberapa kawasan di negara kita telah dilanda banjir kilat. Hal ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk di kawasan tersebut. Berikan cadangan anda tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk mengatasi banjir kilat. Sejak belakangan ini, beberapa kawasan di negara kita sering dilanda banjir kilat. Kalau dahulu banjir hanya berlaku di kawasan rendah yang berhampiran dengan sungai atau di kawasan persisiran pantai tetapi kini banjir kilat mula menjengah bandar-bandar besar. Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, dan yang terbaru di bandar raya Shah Alam. Satu hakikat yang perlu diterima adalah banjir kilat mengundang penderitaan dan kepayahan yang bukan sedikit kepada penduduk yang terlibat. Justeru, usaha-usaha wajar dilakukan agar fenomena banjir kilat ini tidak berterusan. Proses urbanisasi berlaku dengan pantas. Hutan diteroka dan bukit digondolkan untuk dijadikan sebagai tapak pembangunan. Kawasan perumahan dan kilang-kilang tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walau bagaimanapun, pihak pemaju seakan-akan alpa untuk menyediakan sistem perparitan yang sempurna. Oleh itu, pihak berkuasa wajar menyediakan peraturan yang lebih ketat dan pemantauan yang lebih kerap apabila sesuatu kawasan itu hendak dibangunkan. Pastikan pihak pemaju menyediakan sistem perparitan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan. Dengan adanya sistem perparitan yang baik, air dapat mengalir dengan lancar ke sungai-sungai dan seterusnya ke laut. Pemaju yang tidak mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan hendaklah diambil tindakan undang-undang. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada mengatasi. Selain itu, terdapat sesetengah kilang dan ladang ternakan sengaja dibina berhampiran dengan sungai. Tujuannya adalah untuk memudahkan mereka membuang sisa buangan termasuk sisa toksik ke sungai. Hasil buangan tersebut bukan sahaja mencemarkan sungai malah mendapan sisa tersebut akan menyebabkan sungai menjadi cetek. Akibatnya, air sungai akan melimpah setiap kali hujan lebat yang turun tanpa henti untuk tempoh yang lama. Oleh yang demikian, pihak pengusaha kilang dan penternak yang terbabit perlu lebih bertanggungjawab. Sikap mementingkan keuntungan dan kesenangan diri harus dikikis. Mereka sepatutnya membuang sisa kilang dan sampah sarap di tempat pelupusan yang ditetapkan, bukannya disalirkan ke sungai. Sekiranya sikap tidak bertanggungjawab ini masih berterusan, tindakan menamatkan operasi kilang atau ladang ternakan tersebut hendaklah diambil. Pembangunan di kawasan tanah tinggi kerap kali menjadi punca berlakunya pemendapan di dasar sungai yang menyebabkan sungai menjadi cetek. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran seharusnya peka dengan kejadian seperti ini. Sebaik sahaja gejala ini dikesan, tindakan mendalamkan semula sungai wajar dilakukan, janganlah sudah terhantuk baru mengadah. Dalam masa yang sama, sampah sarap yang menghalang pengaliran air juga hendaklah dibersihkan. Di samping itu, akta yang menghalang pembangunan di kawasan bukit yang berhampiran dengan tempat kediaman hendaklah dikuatkuasakan. Jika

tidak, penduduk-penduduk yang tinggal di kaki bukit terutamanya yang berhampiran dengan sungai akan terdedah kepada banjir kilat. Sebaik sahaja banjir kilat berlaku di Shah Alam, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi banjir kilat. Antara cadangan yang dikemukakan adalah dengan membina benteng atau tebatan banjir. Pembinaan benteng dan tebatan banjir akan menghalang air sungai daripada melimpahi kawasan sekitarnya. Penduduk-penduduk di kawasan rendah juga akan dipindahkan manakala jalan raya yang kerap dilanda banjir kilat akan dinaiktarafkan. Kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya Dato Seri Mohamad Khir b. Toyo telah memohon peruntukan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan cadangan tersebut. Walaupun kos melaksanakan cadangan itu menelan belanja jutaan ringgit namun atas nama kemanusiaan, setinggi mana pun kosnya cadangan tersebut perlu dilaksanakan segera untuk mengelakkan berlakunya tragedi kemanusiaan yang lebih dahsyat. Sistem amaran banjir kilat juga perlu disediakan. Sebagaimana tsunami, banjir kilat juga boleh mengancam nyawa manusia selain merosakkan harta benda serta memusnahkan dokumen penting yang lain. Sistem amaran banjir ini boleh dipasang di tempat-tempat atau kawasan yang berpotensi untuk dilanda banjir kilat. Alat penggera tersebut akan mengeluarkan isyarat apabila paras air menghampiri indeks yang ditetapkan. Dengan adanya sistem amaran tersebut, penduduk boleh mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa serta barang berharga. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menangani banjir kilat bukanlah satu kerja yang mudah, tidak semudah yang dijangkakan. Namun, komitmen dan penggemblengan tenaga semua pihak dalam melaksanakan usaha-usaha seperti yang dinyatakan di atas penting untuk menangani masalah banjir kilat. Kita berharap dengan adanya bantuan segera yang diberikan, keresahan penduduk yang menjelma akibat berlakunya banjir kilat akan dapat dihapuskan. Tegasnya, masalah banjir kilat ini perlu diatasi segera agar hasrat mewujudkan negara maju menjelang 2020 dapat direalisasikan.

KARANGAN CONTOH 3 Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh sebuah akhbar tempatan. Tajuk esei yang anda pilih ialah Peranan Media Massa Dalam Pembangunan Negara. Tulis esei itu selengkapnya.

Peranan Media Massa Dalam Pembangunan Negara Oleh : Zaiton Bt Othman Media massa yang terdiri daripada media elektronik dan media cetak memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Media massa menyalurkan pelbagai maklumat yang dapat mempengaruhi masyarakat pembaca. Tanpa adanya media, rakyat sesebuah negara tidak mendapat sebarang pengetahuan terutama tentang isu global dan kehidupan mereka umpama katak di bawah tempurung. Malaysia kini sedang berusaha menjayakan projek multimedianya dengan serius untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat. Soalannya, apakah peranan media massa dalam pembangunan negara? Satu daripada peranan media massa ialah sebagai sumber maklumat yang amat penting kepada masyarakat. Media massa boleh dijadikan alat yang berpengaruh dalam bidang pendidikan, penyebaran ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan ekonomi dan sukan serta dapat membantu proses minat membaca. Melalui media, orang ramai memperoleh pengetahuan mengenai apa-apa jua yang berlaku di dalam dan di luar negara. Sebagai contoh, bagi seseorang ahli perniagaan, maklumat terkini tentang bidang perniagaan akan dapat membantu ahli perniagaan tersebut untuk membuat perancangan syarikat dan menyusun strategi serta dapat mengelakkan syarikat daripada mengalami kerugian. Maklumat tentang bidang ilmu pengetahuan pula dapat mendedahkan masyarakat kepada pemikiran baru dan membuka minda seseorang. Pepatah menyatakan membaca kunci pengetahuan. Rakyat seperti ini akan dapat membantu proses pembangunan negara dengan cepat. Selain itu, media massa turut berperanan sebagai agen pembangunan dan perpaduan negara. Melalui media massa, pengetahuan asas budaya, bahasa dan adat resam pelbagai etnik dapat disebarkan. Sebagai contoh, melalui aktiviti kebudayaan seperti tarian, lagu dan cara hidup sama ada masyarakat tempatan atau masyarakat asing, seseorang itu dapat menyelami dan memahami unsur kebudayaan sesuatu kaum. Secara tidak langsung, media massa terutamanya media cetak dapat menyemai semangat perpaduan dalam jiwa masyarakat berbilang kaum. Semangat bersatu padu dan saling menghormati dapat mewujudkan keharmonian masyarakat. Keadaan ini dapat mengelakkan tercetusnya peristiwa 13 Mei yang menggugat perpaduan kaum. Apabila semangat perpaduan dapat disemarakkan sudah pasti akan membantu proses pembangunan negara supaya berjalan dengan lancar. Di samping itu, media turut berperanan sebagai alat yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat. Hubungan yang baik antara pemerintah dengan rakyatnya perlu diwujudkan untuk memudahkan pembangunan. Umpamanya, media massa boleh menyiarkan dasardasar kerajaan seperti menjelaskan Rancangan Malaysia Ke-9 dan sebagainya supaya rakyat dapat memahami dan menerima serta bersikap terbuka terhadap dasar-dasar pembangunan negara. Sesebuah kerajaan memerlukan sokongan rakyatnya dalam segala langkah dan program yang dijalankan. Rakyat pula memerlukan kerajaan yang cekap dan telus dalam melaksanakan proses pembangunan. Melalui media massa, rakyat boleh memberikan reaksi dengan mengemukakan pandangan mereka. Dengan ini, pertukaran maklumat wujud antara kerajaan dengan rakyat. Seterusnya, media massa turut berperanan membantu sesebuah syarikat berkembang dengan pesat. Hal ini demikian kerana media dapat mengiklankan sesuatu produk yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat dan memperkenalkan barangan di pasaran yang dapat melariskan jualan. Sebagai contoh, sesebuah syarikat akan menggunakan ruangan iklan untuk mendapatkan pekerja dan mempromosikan barangan keluaran syarikatnya. Dalam era globalisasi ini, terdapat perniagaan yang dijalankan melalui internet iaitu salah satu bentuk media. Produk sesebuah syarikat akan dapat menembusi pasaran

global dan sudah pasti syarikat dapat berkembang dengan pesat dan memberikan sumbangan kepada proses pembangunan negara. Selain itu, media massa turut menjana peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana bidang media merupakan satu bidang yang luas. Oleh itu, bidang tersebut memerlukan banyak pekerja. Tenaga kerja yang boleh ditawarkan adalah yang berkaitan dengan bidang kewartawanan, pentadbiran, penyuntingan, penulisan, pengurusan, pengiklanan dan sebagainya. Produk yang terhasil pula perlu dijual dan tindakan ini memerlukan tenaga kerja dalam bidang pemasaran. Menerusi media elektronik pula, pembuatan peralatannya memerlukan pekerja yang banyak dengan kepakaran yang tertentu. Tenaga mahir dalam bidang pengiklanan juga begitu banyak. Secara tidak langsung masalah pengangguran dalam negara dapat dikurangkan. Media massa turut berperanan sebagai sumber hiburan. Menerusi media cetak, ruangan berunsur hiburan seperti kartun, berita sukan, cerpen, berita tentang artis dan sebagainya dapat menghiburkan masyarakat. Rancangan hiburan dan muzik yang disiarkan menerusi radio dan televisyen juga boleh mengurangkan ketegangan. Menerusi multi media seperti komputer dan internet, kanak-kanak dapat bermain permainan komputer sambil mendengar muzik. Sumber-sumber tersebut dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan di samping memberikan hiburan. Kesimpulannya, media massa sememangnya memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara. Oleh itu, media seharusnya diberi kebebasan dalam melaksanakan fungsinya secara objektif dan telus. Dengan ini diharapkan tiada pihak yang mengambil kesempatan pada keistimewaan yang dimiliki oleh media untuk dijadikan alat propaganda bagi mempengaruhi sesuatu pihak yang lain. Tegasnya, media massa berperanan membantu sesebuah masyarakat untuk mencapai kemajuan.

KARANGAN CONTOH 4 Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara. Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.

Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara. Bangunanbangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan bangunan Satadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai nilai-nilai budaya dan keseniannya yang

tersendiri malah merakamkan sejarah penting negara. Justeru, pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia. Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa. Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional adalah cantik dan harmoni. Dari sini, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah memaparkan corak budaya masa silam. Hal ini membolehkan kita menghayati keistimewaan budaya kita. Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah juga membolehkan kita mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang Portugis. Kita juga akan lebih memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteks ini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan. Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Misalnya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para pelancong. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini. Bangunan-bangunan bersejarah juga penting dalam industri perfileman. Kejayaan sesebuah filem banyak bergantung pada latar tempatnya. Untuk membuat filem berunsur sejarah, lokasi penggambarannya sudah pasti di sekitar bangunan-bangunan bersejarah. Filem berkenaan akan menjadi lebih realistik dan menarik jika bangunan bersejarah yang sebenar digunakan. Hal ini dibuktikan oleh syarikat-syarikat perfileman asing yang banyak mengadakan penggambaran di Malaysia. Contohnya, filem Police Story III oleh Jacky Chan yang membuat penggambaran di Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Melalui filem-filem ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia. Hal ini membuktikan kepentingan bangunan bersejarah kepada kita. Bangunan bersejarah juga banyak memberikan pengajaran kepada kita. Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau. Sebagai contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit maung yang dialami sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan berulang lagi. Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah haruslah dikekalkan untuk penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

KARANGAN CONTOH 5 Anda telah membaca sebuah novel karya seorang penulis terkenal. Novel tersebut amat istimewa bagi anda. Anda ingin membuat ulasan tentang novel tersebut. Ulas keistimewaan novel tersebut. Judul Novel Pengarang Penerbit Tebal Harga Pengulas : : : : : : Badai Semalam Khadijah Hashim K Publishing Sdn. Bhd. 198 muka surat RM6.00 Zaiton bt. Othman

Novel Badai Semalam dihasilkan oleh seorang penulis wanita yang cukup produktif dan tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu Khadijah Hashim. Genre atau cabang penulisan beliau meliputi penulisan cerpen, novel dan yang terkini, beliau juga menulis buku tentang pantun. Fokus utama hasil karya beliau adalah tentang kisah wanita. Novel-novel lain yang turut dihasilkan oleh beliau ialah Mira Edora, Bila Dan Di mana dan Senator Adila. Novel Badai Semalam pernah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan dipasarkan di pasaran antarabangsa dengan judul The Storm of Yesterday. Selain itu, novel Badai Semalam pernah dijadikan teks sastera Tingkatan 4 dan 5 pada awal 1970-an dan 1980-an. Novel ini telah diulang cetak beberapa kali dan masih laris di pasaran hingga kini. Novel Badai Semalam mengisahkan kehidupan gadis remaja, Mazni yang tinggal bersama-sama ibunya yang uzur di rumah Encik Haris. Ibu Mazni iaitu Mak Bibah, merupakan bekas orang gaji kepada keluarga Encik Haris dan Cik Rohana. Mazni yang kini sedang belajar dalam Tingkatan enam dalam aliran sains, akan menduduki peperiksaan Higher School Certificate (H.S.C) terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja. Mazni

memerlukan wang untuk mengubati penyakit ibunya. Mazni bersahabat baik dengan Zaki, seorang pelajar bidang perubatan di Universiti Singapura. Suatu hari, anak Encik Haris iaitu Karim terlibat dalam kemalangan jalan raya dan dimasukkan ke hospital. Semasa terlantar di hospital, tiada kawan yang datang menziarahinya dan keadaan ini menyebabkan Karim insaf atas perbuatannya yang suka berfoya-foya. Hanya Mazni yang sering mengunjunginya sewaktu terlantar di hospital. Dalam diam-diam terbit perasaan cinta di hati Karim terhadap Mazni, yang begitu luhur hatinya. Mazni terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Zaki dan menerima cinta Karim yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Cik Rohana membantah hubungan Mazni dan Karim tetapi akur dengan kehendak anak terunanya. Pada hari perkahwinan Karim dan Mazni, rakan-rakan Cik Rohana telah memfitnah Mazni dengan mengatakan bahawa Mazni telah pun berbadan dua. Ibu Mazni yang percaya akan fitnah tersebut telah meninggal dunia kerana terlalu sedih. Walau pun sudah berumah tangga, Mazni yang masih bersedih kerana kematian ibunya, meneruskan pelajarannya melalui kelas malam. Setelah berpindah ke rumah sendiri, Karim mula berubah perangai dan mengamalkan sikap berfoya-foya kembali. Akhirnya, terjadi satu pertengkaran antara Mazni dengan Karim kerana Karim berasa cemburu apabila Mazni selalu keluar berjumpa dengan Dr. Zaki di Hospital Johor Bahru. Karim menampar Mazni sehingga pengsan. Selepas itu, Karim menyesali perbuatannya tetapi nasi sudah menjadi bubur. Mazni dimasukkan ke hospital. Semasa berada di hospital, Mazni gembira apabila diberitahu bahawa dia telah berjaya dalam peperiksaan H.S.C. Namun Mazni tidak dapat memaafkan Karim dan meminta Karim melepaskannya. Karim yang begitu kecewa dengan Mazni akhirnya terbunuh dalam kemalangan kerana terlanggar pokok dan memandu ketika mabuk. Apabila Mazni pulih sepenuhnya, dia bertekad ingin melanjutkan pelajarannya ke universiti di Kuala Lumpur. Zaki kecewa dengan keputusan Mazni dan mengharapkan Mazni menyambung pelajarannya di Universiti Singapura. Novel Badai Semalam mengemukakan tema tentang ketabahan seorang wanita dalam menghadapi liku-liku hidup sehingga berjaya mencapai cita-citanya. Hal ini jelas dipaparkan oleh pengarang menerusi watak Mazni. Mazni seorang wanita yang tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran dan halangan sehingga berjaya mencapai citacitanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti. Selain tema di atas, terdapat beberapa persoalan yang menarik dalam novel ini. Persoalan percintaan berlandaskan kesucian hati turut dipaparkan. Contohnya, Mazni yang bersahabat baik dengan Zaki saling mencintai antara satu sama lain tetapi percintaan mereka terhalang apabila Mazni berkahwin dengan Karim. Pengarang juga menyentuh persoalan kritikan sosial iaitu sikap golongan atasan yang terlalu mementingkan status sosial dan memandang rendah golongan bawahan. Contohnya, Cik Rohana yang terlalu angkuh pada mulanya tidak sanggup bermenantukan Mazni iaitu anak orang gajinya tetapi dia insaf apabila disedarkan oleh suaminya, Encik Haris. Selain itu, jalan cerita Badai Semalam begitu menarik dan plotnya di luar dugaan pembaca. Peristiwa dalam novel Badai Semalam disusun secara kronologi. Dalam bahagian eksposisi, pengarang menggambarkan suasana tempat Mazni belajar dan Mazni digambarkan tergesa-gesa pulang ke rumah untuk menjenguk ibunya yang sakit. Plot novel berkembang dengan konflik yang dihadapi oleh Mazni seperti terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja kerana menjaga ibu yang sakit, terpaksa mengorbankan cita-cita dan berkahwin dengan Karim, serta menghadapi tekanan perasaan apabila ibunya meninggal dunia. Plot cerita bertambah menarik apabila sampai ke klimaks cerita apabila Mazni ditampar oleh suaminya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital. Plot masuk ke tahap peleraian apabila Mazni yang sudah berjaya dalam peperiksaan H.S.C. dan baru saja kematian suaminya, Karim mengambil keputusan yang tegas untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur dan menolak cinta Zaki.

Di samping itu, pengarang turut memaparkan watak-watak yang berkesan dalam novel ini. Mazni digambarkan memiliki ciri-ciri kewanitaan timur yang sejati. Dia seorang yang bersopan santun dan lemah lembut. Buktinya, kelembutan dan kesopanannya telah menyebabkan Karim anak tuan rumahnya jatuh cinta kepadanya sehingga mereka berkahwin. Selain itu, Mazni juga seorang wanita yang gigih. Contohnya, walaupun telah berkahwin, Mazni masih meneruskan pelajaran di kelas malam sehingga berjaya dalam peperiksaan H.S.C. dan melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan. Mazni juga tabah dalam menghadapi cabaran hidup. Dia meneruskan kehidupan selepas ibunya meninggal akibat mendengar fitnah tentangnya dan masih meneruskan kelas malamnya walaupun ditentang oleh ibu mertuanya, Cik Rohana. Selepas kematian suaminya, dia bertekad meninggalkan Tanjung Puteri untuk meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Watak pembantu dalam novel turut menghidupkan jalan cerita. Karim, suami Mazni ialah seorang yang suka berfoya-foya dan sering tiada di rumah. Cik Rohana pula, digambarkan suka memandang rendah kepada orang gajinya dan mendengar hasutan orang. Contohnya, Cik Rohana menentang perkahwinan anaknya, Karim dengan Mazni anak bekas orang gajinya. Dia juga turut mempercayai hasutan jiran bahawa Mazni telah mengandung semasa berkahwin dengan Karim. Watak Zaki pula digambarkan sebagai seorang yang gigih. Walaupun keluarganya miskin, tetapi dia berjaya meneruskan citacitanya menjadi doktor. Pelbagai pengajaran dapat ditemui dalam novel ini. Pengajaran tersebut dapat dijadikan teladan oleh para pembaca. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Antara pengajarannya ialah setiap manusia hendaklah memiliki sikap tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan hidup. Contohnya, Mazni yang tabah menempuh pelbagai kesusahan termasuk menghadapi kematian ibu dan suami, akhirnya berjaya mencapai cita-citanya melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, kita juga jangan terlalu memandang rendah terhadap orang lain. Contohnya, Cik Rohana yang memandang rendah tehadap Mazni, akhirnya menyesali perbuatannya apabila anaknya, Karim meninggal dunia dalam kemalangan. Novel ini turut mengajar pembaca supaya jangan suka mengumpat dan menyebarkan fitnah kerana perbuatan itu dapat menjejaskan kebahagiaan rumah tangga orang lain. Contohnya, jiran Cik Rohana yang menyebarkan fitnah tentang Mazni dan Karim sepatutnya bertanggungjawab atas kematian ibu Mazni yang begitu sedih apabila mendengar fitnah tentang anaknya. Dalam novel ini juga, pembaca dinasihati supaya menjauhi arak kerana perbuatan meminum arak, bukan saja merupakan dosa besar, malah turut memberikan kesan buruk kepada peminum. Contohnya, Karim akhirnya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya akibat memandu dalam keadaan mabuk. Dalam novel ini juga terdapat tiga jenis latar, iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat. Latar tempat dalam novel ini ialah di Tanjung Puteri, Johor Bharu. Di sinilah Mazni dilahirkan dan dibesarkan sehingga berumah tangga dengan Karim. Selain itu, terdapat latar di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, tempat Mazni dan ibunya menumpang teduh. Latar tempat yang lain ialah hospital iaitu tempat Karim menerima rawatan dan Mazni turut berada di hospital selepas ditampar oleh Karim. Latar masa novel ini pula, adalah pada dekad 70-an, Hal ini terbukti kerana Mazni mengambil peperiksaan H.S.C. tetapi sekarang telah digantikan dengan STPM. Terdapat juga latar masa pada waktu petang iaitu ketika Mazni mengunjungi Karim di hospital setiap hari selama 3 bulan. Selain itu, terdapat juga latar masa pada waktu malam iaitu sewaktu Mazni meneruskan pelajarannya di kelas malam selepas berumah tangga. Latar masyarakat dalam novel ini pula ialah masyarakat kelas atasan dan kelas bawahan. Masyarakat kelas atasan digambarkan menerusi keluarga Encik Haris dan Cik Rohana, orang kaya yang disegani di Tanjung Puteri. Masyarakat bawahan pula digambarkan menerusi watak Mazni dan ibunya Mak Bibah yang merupakan orang gaji kepada keluarga Encik Haris dan menumpang tinggal di rumah itu walaupun Mak Bibah tidak lagi bekerja.

Kesimpulannya, novel Badai Semalam ini harus dibaca oleh semua remaja kerana keistimewaannya. Dengan menghayati novel ini, pembaca akan mendapat gambaran tentang kegigihan seorang wanita dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran dan sanggup berkorban untuk membahagiakan orang lain. Nilai dan pengajaran dalam novel ini dapat dijadikan teladan oleh para pembaca agar menghargai jasa ibu bapa dan giigih berusaha untuk mencapai kejayaan.

You might also like