You are on page 1of 17

1.

Pengenalan Sejak zaman Plato, kesusasteraan berperanan sebagai alat fungsional. Sastera

berfungsi untuk memberi pengajaran dan hiburan. Fungsi tersebut kekal hingga ke hari ini, walaupun terdapat fungsi sampingan yang lain seperti memberi kepuasan estetik, menghaluskan perasaan dan menggayakan pengalaman. Dengan demikian, kesusasteraan merupakan hasil yang dilahirkan daripada pemerhatian terhadap aktiviti manusia untuk kepentingan manusia. Pengarang menterjemahkan apa yang berlaku di dalam masyarakat ke dalam karya dengan menggunakan kebolehan kreatifnya untuk mengolah, menyaran, mengkritik dan sebagainya. Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu. Shahnon Ahmad (1991): dlm Sohaimi Abdul Aziz (2005), menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal masyarakat yang dapat melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. A. Samad Said (1998): dlm Sohaimi Abdul Aziz (2005), melalui sastera ditemui unsur moral. keindahan hati nurani, keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan dan disampaikan secara sederhana, tetapi amat berkesan. Sastera juga satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan dan keindahan kepada karya sastera dan memberikan penghayatan pembaca. Selain didikan dan pengajaran, sastera bererti dalam konteks memberikan kritikan sosial kepada masyarakatnya. Kepincangan yang terjadi dalam masyarakat sentiasa mendapat perhatian penulis. Penulis menjadi pembela manusia yang terpinggir dan memberikan saranan untuk mengatasinya. Kepincangan sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya dikupas dan dianalisis agar pembaca sedar tentangnya dan bertindak untuk membaikinya. Justeru, sastera merupakan alat kritikan yang berkesan dalam menyampaikan mesej kepada khala

1.1

Tokoh dan Latar belakang Kamaluddin Muhamad atau lebih dikenali sebagai Keris mas adalah

merupakan Sasterawan Negara Malaysia pada tahun 1981. Beliau telah dilahirkan pada 10 Jun 1922, di Kampung Ketari, Bentong Pahang. Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bentong, Pahang kemudiannya di Tawalih School, Sumatera, kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera dan di Pitman College Singapura. Semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Keris Mas telah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Setelah keluar dari parti PKKM, Keris Mas menyertai bidang persuratkhabaran dan penulisan. Beliau pernah bertugas di akhbar Melayu Raya dan Warta Negara sebelum berpindah ke Utusan Melayu. Selain itu beliau juga berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka sehinggalah bersara pada tahun 1977. Keris Mas juga banyak berjasa dan memberikan sumbangan dalam memajukan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman. Utusan Melayu. Beliau adalah salah seorang tokoh ASAS 50 yang cukup aktif dan terkenal. Kerjayanya tidak berakhir di situ, malahan selepas bersara beliau menjadi 'Penulis Tamu' di universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1 Julai 1977 hingga September 1978. Sejak awal 1979, Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Keris Mas merupakan penerima Anugerah sastera Negara yang pertama pada tahun 1981.

1.2

Sumbangan Tokoh Sasterawan Negara yang pertama ini dianggap sebagai penulis cerita pendek

terpenting selepas Perang Dunia Kedua selepas A. Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Ketokohan Keris Mas dalam penulisan kreatif lebih terserlah dalam bidang cerpen, walaupun tiga novelnya mendapat perhatian massa. Malahan dari segi

kuantiti juga beliau berhasil menulis lebih daripada 70 buah cerpen yang banyak menyuarakan soal perubahan sosiopolitik bangsanya. Hasil Karya pertama beliau ialah Wasiat Orang Bangsawan, yang disiarkan dalam Suluh Malaya, pada 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, beliau telah menghasilkan sebanyak 60 buah cerpen. Antara cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu; Mekar dan Segar (1959), Dua zaman (1963), Patah Tumbuh (1963), Pertentangan (1968) Keris Mas juga turut menghasilkan novel. Antaranya; Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983), Rimba Harapan (1985). Selain esei dan kritikan sastera yang termuat dalam akhbar dan majalah, sasterawan ini juga mengabdikan pemikirannya dalam buku yang bertajuk Memoir Keris Mas: 30 Tahun Sekitar Sastera. Buku ini ditulis semasa beliau menjadi Penulis Tamu di DBP. Pembacaan Keris Mas adalah luas dan dapat melontarkan kembali idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan. Selain itu, beliau dikenal sebagai seorang yang tegas, petah berhujah, dan ramah. Hasil dari sumbangan dan jasanya dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pejuang sastera (1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981. Berdasarkan hasil karya-karyanya, jelas memperlihatkan beliau adalah seorang nasionalis yang berwawasan, pejuang keadilan sosial, pengawal dan pengukir bahasa dan sastera bermutu serta pemikir kesusasteraan yang tajam. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1992.

1.3

Aliran dan Fahaman Penulis

Keris Mas adalah salah seorang pengasas Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50), membawa konsep realis, bermoto' Seni untuk Masyarakat". Aliran ini berkarya secara terarah, berfalsafah dan dengan sasaran matlamat agar khalayak pembaca memperoleh manfaat hasil daripada menghayati sesebuah karya (Othman Puteh:1999). Keberhasilan sesebuah karya itu diukur daripada fungsi sosialnya. Justeru, yang dipentingkan ialah persoalan, perutusan, unsur didaktik dan berupaya menyedarkan pengguna. Menurut Mana Sikana:2005, aliran, ideologi, dan slogan "Sastera untuk Masyarakat yang ditatang oleh Keris Mas adalah sebahagian dari teori sastera. Syed Husin Ali dalam Kata Pengantar Patah Tumbuh (Oxford University Press, 1961) dalam A. Rahim Abdullah:1995, memberikan tiga tahap penulisan keris Mas: 1946-1948; 1948-1955 dan selepas 1955. Katanya perubahan karya Keris Mas dan persoalannya lebih ketara ketika berada di tahap kedua. Dalam peringkat kedua kita melihat Keris Mas membuat perubahan. Ia telah meninggalkan ke belakang soal -soal cinta. Oleh kerana perubahan suasana selepas pertengahan 1948 tidak membenarkan, ia tidak dapat membebaskan diri untuk menyuarakan dengan lantang semangat politiknya, seperti yang telah dilakukan dalam cerpen 'Darah dan Air Mata'. Selepas pulang dari belajar di Indonesia, Keris Mas mendapat satu kejutan baharu kerana perubahan yang berlaku di kampung halamannya dan tempat-tempat sekitar desa kelahirannya. Tanah orang Melayu banyak telah tergadai atau terjual kepada orang asing dan perusahaan bijih timah sedang berkembang pesat menyebabkan orang Melayu kehilangan tanah. Ada pula yang terpaksa berpindah ke tempat lain atau membuka tanah baharu. Fenomena ini telah menimbulkan kesedaran kepada Keris Mas menggunakan teori realisme sosialis untuk mengkritik perubahan sosial yang melanda masyarakat bangsanya yang baru merdeka (A. Rahim Abdullah: 1995) melalui karyanya seperti novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang memaparkan bagaimana kekuasaan dapat membeli orang-orang kampung yang dipaparkan dalam bab14. Kasim Ahmad dalam beberapa tulisannya menegaskan

betapa muluknya teori realisme sosialis diterapkan dalam sastera Melayu, justeru persoalan kemasyarakatan dalam negara yang baru merdeka dan membangun sangat dikehendaki. Pengalaman, ilmu dan hasil bacaannya semasa belajar di Indonesia sedikit sebanyak menjadi pendorong dan memberi ilham kepadanya untuk berkarya dan sekali gus tidak memahami akibat buruk daripada segala perubahan yang sedang dan akan mereka alami itu. Aliran psikologi kognitif menerangkan bahawa konsep diri seseorang akan terbentuk berdasarkan apa yang difikirkannya (Rahimah A. Hamid: 2001). Di Malaysia banyak sekali karya yang berlandaskan pengalaman hidup, umpamanya sajak Usman Awang dalam antologinya Duri dan Api, novel A. Samad Said seperti Salina dan Hujan Pagi. Keris Mas dengan novel Mutakirnya seperti Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Shahnon Ahmaad:1994). Pengakuan Shahnon Ahmad memberi kesan mendalam kepada pembaca bahawa gambaran beliau dalam Ranjau Sepanjang Jalan bukan semata-mata imaginasi pengarang tetapi adalah berdasarkan kehidupan yang pernah dilalui di Banggol Derdap dan beliau dapat menggambarkan sejelas-jelasnya kehidupan petani di situ. Justeru, pengalaman hidup yang dialami sendiri oleh Keris Mas melalui perubahan yang berlaku di kampungnya menjelaskan bahawa karyanya terhasil kesan daripada pemikiran berlandaskan aliran psikologi kognitif. Pada prinsipnya, apabila seseorang pengarang telah memilih suatu tema, maka tema yang dipilih itu ialah perwakilan daripada konsep dirinya yang terbentuk bukan dalam masa yang singkat, tetapi teradun sepanjang perjalanan kehidupannya. Pengalaman yang terkumpul ini akan menjadi kompleks. Dalam kompleks ini terdapatlah himpunan perasaan, persepsi dan kenang-kenangan yang tersusun (Amir Awang,1987:23 dlm Rahimah A. Hamid,2001:43). Aliran psikologi kognitif menyifatkan bahawa setiap pengalaman yang baru dilalui akan disisihkan dan dimasukkan pada "laci" kategori yang ada dalam memori kita, berdasarkan kesamaannya dengan pengalaman masa lalu (Jalaluddin Rahmat, 1992:92 dlm Rahimah A. Hamid,2001:43).

Justeru, tidak hairanlah kebanyakkan cerpen-cerpen Keris Mas yang sinis seperti "Wasiat Orang Bangsawan", "Menjual Tanah Air", "Berhari Raya ke Kubur Nenek", "Darah dan Air Mata", "Bukan Kerana Dia", "Cerita-cerita Sepanjang jalan", "Kejadian di Dalam Estet", "Kedai Sederet di Kampung Kami", dan "Salah Pimpin", dan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur cuba menyedarkan masyarakat Melayu tentang persoalan moral individu dan sosial, hak dan ekonomi orang Melayu, nilai kepimpinan, dan nilai perpaduan. Kecenderungannya menggunakan persoalanpersoalan seperti itu adalah kerana beliau sendiri terlibat dalam perjuangan politik hingga tahun 1948 apabila darurat di tanah Melayu diistiharkan. Aspek psikoanalisis Freud banyak mempengaruhi proses kreativiti karya sastera yang menyebabkan perkembangan kreativiti yang cukup berkesan terutamanya di barat seperti dalam karya fiksyen yang disebut sebagai Nouveau Roman (Shahnon Ahmad:1994). Dalam perkembangan fiksyen Melayu kita karya-karya yang mempunyai ciri-ciri Nouveau Roman memang wujud; baik cerpen mahupun novel. Keris Mas menggunakan fiksyen idea yang sering disamakan dengan fiksyen tesis atau fiksyen bertenden ataupun The Roman a these hasil dari fiksyen Nouveau Roman. Menurut Shahnon Ahmad:1994 fiksyen ini, pada prinsipnya bertolak daripada satu tesis dan berkembang kepada antitesis dan berakhir dengan sintesis. Biasanya fiksyen jenis ini menggalakkan reformasi sosial ataupun satu pembetulan kepada sesuatu yang salah. Contoh yang jelas menurut Shahnon Ahmad dalam perkembangan fiksyen kita ialah Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Keris Mas menggarapkan novel ini berasaskan isme-isme, ideologi dan beberapa gagasan yang cuba dibuktikan oleh Keris Mas tentang kesahihannya. Tesisnya ialah kapitalisme dan individualisme. Antitesisnya pula ialah sosialisme sedangkan sintesisnya pula ialah Islam. Gagasan kapitalisme/individualisme dalam Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur diwakili oleh watak utamanya Muhammad bin Orangkaya Indera Datuk Idris bin Mohamad Saman yang sering disebut Muhammad sahaja dalam novel ini. Sosialisme sebagai antitesis kepada kapitalisme/individualisme pula diwakili oleh anak Muhammad iaitu Rahim yang belajar di London. Sedangkan sintesis kepada tesis pula diwakili oleh watak Lebai Maarup yang melambangkankeislaman. Novel

ini disudahi dengan kemenangan idea campuran antara Sosialisme dan Islam, iaitu kerjasama antara rahim dengan Lebai Maarup apabila Muhammad yang mewakili kapitalisme/individulisme tewas dalam perjuangannya. Selain itu pengalaman bertugas sebagai wartawan memberi peluang untuknya menyalur idea dan wawasan melalui karya kreatifnya yang cuba menyedarkan masyarakat daripada pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan kesenian. Justeru, pengalaman-pengalaman ini banyak mempengaruhi dan memberi idea kepadanya dalam bidang penulisan. Dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, Keris Mas menggarapkan unsur-unsur kemasyarakatan dan perubahan ekonomi. Ini diakui oleh Mana Sikarna: 2005 yang menyatakan bahawa Keris Mas memfokuskan functioning sociologikal telah melakukan deviasi determinisme dengan menekan keadilan masyarakat dan wawasan ekonomi. Sikap Keris Mas dijelaskan oleh Syed Husin Ali seperti yang berikut: "Keris Mas telah mengambil sikap yang betul, iaitu sikap yang sesuai mencerminkan kehendak rakyat jelata. Pendiriannya ialah pendirian yang menyebelahi pihak yang menentang penjajahan dan yang menuntut keadilan dan kemakmuran bagi rakyat". A. Rahim Abdullah:1995 Pada peringkat awal Keris Mas banyak menggunakan persoalan cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat dan fahaman feudal. Isu sosiopolitik seperti pengisian kemerdekaan, ekonomi bumiputra, akidah dan fenomena Islam, kepimpinan Melayu golongan terpelajar pada tahap dan zaman selepas merdeka. Menerusi novel Saudagar besar dari Kuala Lumpur, Keris Mas juga memfokuskan kepada peranan golongan ulamak seperti Lebai Maarup dan Imam Saad. Menurut A. Rahim Abdullah:2005, sebagai orang berpendidikan agama Islam yang progresif, Keris Mas sudah termaklum dengan tuntutan atau amalan masyarakat dewasa itu.

Keris Mas dalam karya-karya kreatifnya mampu menghidupkan imaginasi. Selain itu menurut Panel Anugerah Sastera Negara, kepintaran Keris Mas mengawal teknik penceritaan, bahasanya mudah, segar dan jelas menyebabkan fikiran pembaca tertarik terhadap masalah-masalah sosial yang dilontarkannya. Secara rumusannya, Keris Mas melalui karya-karyanya khususnya dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur banyak memperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat dengan berdasarkan pengalaman yang dilaluinya. Berdasarkan pelbagai ragam kehidupan masyarakat, beliau memilih bidang penulisan yang dapat menjadi perantara perjuangannya. Hasil karyanya adalah rakaman pengalaman orang Melayu dalam sejarahnya, sebuah perjalanan psiko-sosio-biogratis. Beliau telah berjaya mencipta satu tahap persejarahan penulisan di tanah air dan menjana modenisme yang lebih dinamik dan progresif. Beliau juga mangkin kesusasteraan Melayu moden di mana kekuatan kretivitinya berjaya menawan jiwa khalayaknya.

1.4

Analisa Karya Penulis dan Pandangan Sarjana Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, secara keseluruhan cuba

mengetengahkan isu tentang dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah digubal oleh kerajaan pada tahu 1970 setelah berlakunya tragedi hitam negara pada 13 Mei 1969. Selepas kejadian tersebut, kerajaan mula menyedari bahawa perlunya mengubal dasar untuk dijadikan panduan dalam memelihara kedaulatan negara dan membangunkan sumber-sumber negara yang dimiliki untuk pembangunan rakyat yang pelbagai bangsa. DEB digubal kerana kepentingannya untuk memupuk perpaduan kaum selepas tragedi tersebut. Keris Mas adalah seorang pengarang yang berpegang teguh kepada konsep ASAS 50, iaitu Seni untuk Masyarakat dan Keris Mas dilihat cuba mengetengahkan ideologi tersebut melalui novel itu. Di samping itu ia juga berkemungkinan kesan

daripada buku Revolusi Mental tulisan Datuk Senu Abdul Rahman (1970) yang mengetengahkan isu tentang hal ehwal sejarah bangsa Melayu. Justeru, novel ini cuba membawa mesej berkaitan dengan perubahan ekonomi negara melalui dasar-dasar kerajaan yang seterusnya mempengaruhi perubahan hidup masyarakat kampung. Menerusi novel ini penulis menggunakan pelbagai persoalan dalam menyampaikan mesej kepada khalayak seperti persoalan ekonomi, politik, sosial dan budaya dan agama. Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dianggap sebagai "usahawan Melayu yang pulang ke kampung", menggambarkan perubahan yang berlaku pada orang-orang Melayu dalam pembangunan ekonomi sejak zaman awal merdeka. Novel ini juga menyokong dasar baharu kerajaan tentang pembangunan, khususnya bagi agen perubahan sosial melalui watak usahawan Melayu yang gigih dalam menghadapi zaman baharu. Mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tentang kemunculan usahawan-usahawan Melayu, dan aktifnya gerakan dakwah Islamiah di kalangan generasi muda. Pengarang juga cuba menyarankan dalam usaha membina kehidupan sebagai usahawan yang maju dan berjaya teras agama perlu dimantapkan seiring dan serentak agar kemajuan yang dicapai tidak dihancurkan jati diri bangsa. Contohnya Watak Encik Muhammmad dalam novel tersebut cuba

digambarkan oleh Keris Mas mewakili satu golongan ahli perniagaan yang berjaya dilahirkan oleh Dasar Ekonomi Baru juga sebagai seorang yang berani , berpandangan jauh, berpendidikan tinggi dan berjaya dalam hidup. Menurut sarjana Amerika Syarikat, bahawa masalah penyelesaian

perdagangan yang kacau di kalangan orang Melayu itu disebabkan kurangnya pengetahuan orang-orang Melayu dalam nilai perdagangan. (David J. Banks 1987. From Class to Culture Social Conscience in Malay Novels Since Independence, di bawah tajuk: The Big Businesman From Kuala Lumpur: A Malay Enterpreneur Returns to the Village", siri monograf no. 29, Universiti Yale, hlm. 134-43; dlm A. Rahim Abdullah: 1995).

Modenisasi biasanya membawa implikasi mental dan sosial. Dalam hal ini sasterawan sebagai seorang seniman dan intelek tentulah dapat merasa dan melihat kemungkinan-kemungkinan kesan buruk yang boleh menggugat cita-cita pembangunan. Keris Mas melihat ada semacam sindrom yang berkembang di tengahtengah masyarakat yang ghairah melaung-laungkan slogan pembangunan. Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dapat dijadikan contoh bagaimana kesan negatif perancangan dan perlaksanaan ekonomi, khususnya Dasar Ekonomi Baharu oleh kerajaan itu membawa kepincangan kehidupan sosial orang-orang Melayu sendiri. Bagi Wan Muhammad Zaini (2008), berpendapat Keris Mas tidak bersikap negatif terhadap kemajuan tetapi watak -watak yang melaksanakan kemajuan itu. Dengan gaya bahasa bercerita, pengarang membawa pembaca ke dua arena intelektual, menyajikan pengalaman baru kepada mereka yang belum begitu biasa dengan"dunia" dan disiplin yang ada di dalamnya, iaitu penyebaran kuasa, pengaruh, pendidikan tinggi, perwatakan, dan pembawaan moral setiap wataknya. Ini dapat dilihat melalui jati diri Melayu. Encik Muhammad berpendapat anaknya Rahim bukan orang kampung yang tulen kemelayuan tetapi anak masyarakat kosmopolitan yang tidak mengerti tentang kehidupan masyarakatnya sendiri. Oleh sebab itu, dia menetang projek perlombongan di Kampung Pulai secara membabi buta dan menganggap penempatan masyarakat kampung ke rancangan FELDA merupakan satu langkah menghalau penduduk kampung tersebut tanpa menilai kebaikan di sebaliknya. Keris Mas juga menyedari, bahawa kegagalan pembangunan fizikal terjadi jika tidak ada kesedaran atau persiapan dan perubahan sikap atau mental masyarakat untuk menerima, menggunakan, memelihara dan seterusnya mengembangkan program-program yang disarankan itu. Kegilaan membangunkan material sematamata terpancar menerusi watak Encik Muhammad. Hal ini berbeza dengan Rahim, anaknya yang memilih nilai bebeza daripada orang tuanya.

Oleh itu Keris Mas menekankan pembangunan sememangnya baik tetapi tidak seharusnya mengabaikan agama, moral dan kebajikan masyarakat ornag Melayu. Misalnya wujud kesepaduan antara idea Lebai Maarup iaitu seorang pendakwah yang pintar tanpa kelulusan formal, dengan idea Rahim, intelektual yang tulen sememangnya amat diperlukan dalam pembangunan masa kini. Pembangunan yang terbaik adalah pembangunan yang seimbang berteraskan ilmu, iman, dan amal yang mampu menjamin kebahagiaan hidup di dunia atau di akhirat. Ini tentu sahaja bertepatan dengan maksud pembangunan yang didefinasikan oleh Michael Todaro (1977); dlm A. Rahim Abdullah (1995) iaitu kepentingan hidup (pertumbuhan ekonomi); kebebasan memilih (perubahan sosial) dan harga diri (nilai etik). Sementara itu, menurut Wan Muhammad Zaini (2008), Keris Mas menyalurkan pegangan hidup Islamnya: bahawa yang batil tetap akan pupus bila tiba masanya. Encik Muhammad terpaksa tunduk kepada permintaan Lebai Maarup dan Rahim. Wujudnya perbezaan perspektif hidup antara Encik Muhammad dengan kumpulan Lebai Maarup, yang satu mementingkan keuntungan dagang serta kekayaan dan yang satu lagi meletakkan amar maaruf di atas segala perlakuan yang lain. Menurut Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (dalam Pidato Penghargaan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang kepada Keris Mas, pada 5 Ogaos 1989) bahawa sesungguhnya Keris Mas telah menjadi seorang pemikir yang tajam, penuh dinamisme dalam karya-karyanya, kaya dengan rahsia kehidupan, wit dan humour dan kaya dengan ungkapan-ungkapan yang mengusik hati. Kata Shahnon Ahmad lagi; Membaca karangan-karangan Keris Mas kita bukan sekadar memahami cerita, tetapi kita terjun ke dalam kisah, lalu terus menghayatinya, turut sama merasai konflik-konflik luaran dan dalaman para wataknya. Pengalaman kita turut diperkayakan oleh pengalaman Keris Mas yang tersurat dalam karyanya itu. (Shahnon Ahmad: 1989)

Mengikut Wan Muhammad Zaini (2008), novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur mengadunkan warna budaya dan politik kelompok Melayu kampung dan bandar. Ia juga mempamerkan beberapa keunikan menerusi latar, watak, gaya bahasa serta gaya penceritaannya memperlihatkan suatu pembaharuan yang menyedarkan deria serta memberikan pendidikan yang cukup berharga melalui memoir, unsur-unsur simbolis, gaya bahasa segar, tahap pemikiran intelektual, penerokaan serta penyelidikan penulis seperti perdagangan lada hitam, sejarah dan sebagainya. Pada kelas kreatif, novel ini mempunyai kedudukan kelas tersendiri. Novel ini mengadunkan tradisi dan moden, kampung dan bandar dan bermoral dengan yang tidak bermoral. Dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, penulis cuba menyampaikan mesej tentang bagaimana maruah diri menjadi mainan kehidupan seperti perhubungan sulit antara Muhamamd dan Mary, Minah dan Mr Wong dan pergaulan bebas pemuda-pemudi Kampung Pulai yang merungsingkan Lebai Maarup dan Imam Saad. Adunan dua keadaan yang berbeza sifatnya diolah secara tersusun dan menarik. Kreativiti serta pengetahuan tentang kehidupan bandar dan desa disatukan dalam penentangan yang cukup mengesankan akibat kemunculan projek perlombongan di Lembah Tualang. Menurut Octavian G. Gabor (2002): dalam tesis berjudul "Penulisan Dialog dalam Falsafah dan Kesusasteraan: Kajian Terhadap Crito dan Gorgias oleh Plato dan Nightmare Abbey oleh Peacock": dlm Sobariah binti Baharum, PhD. Objektif kajian adalah untuk menjelaskan penggunaan penulisan dialog dalam dalam falsafah dan kesusasteraan. Hasil kajian mendapati kedua-dua tokoh iaitu Plato dan Thomas Peacock menggunakan dialog dalam karya tetapi terdapat perbezaan dari segi genre, pengolahan dan bentuk antara kedua-duanya. Peacock menggunakan dialog dalam karya kesusasteraan manakala Plato menggunakannya dalam falsafah. Hasil kajian juga mendapati dalam dialog sastera dan falsafah tidak nampak pandangan penulis tersurat secara jelas sebaliknya secara tersirat. Amanat penulis tersembunyi di sebalik dialog-dialog wataknya. Kesimpulannya, dalam novel dan falsafah dialog merupakan alat paling berkesan untuk menyampaikan idea atau pemikiran penulis. Keris Mas (1990), telah membincangkan gaya bahasa dalam novel

dan cerpen melalui sesi perbincangan terhadap gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam hasil karya mereka. Berdasarkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, Keris Mas memperlihatkan bagaimana bahasa kiasan digunakan terutama sisipan bahasa, perumpamaan, bidalan, perbandingan dan kehalusan makna. Antara contoh bahasa kiasan yang terdapat dalam novel tersebut seperti makan darah, kucing kurap, penyambung lidah dan lain-lain. Manakala unsur personafikasi seperti dingin menggigit, menyiram, membakar, dibangunkan dari tidur dan sebaginya. Unsur metafora yang wujud ialah semut motokar, di perut Kuala Lumpur, pucuk keraguan, sisa malam dan lain-lain. Gaya bahasa ironi dapat dilihat pada halaman 66, 67, dan 249. Sementara sarkasme iaitu gaya bahasa kiasan yang kasar digunakan untuk memarahi seseorang dapat dilihat pada halaman 132, 133, 261, dan 310. Penulis juga memuatkan gaya baasa analogi yang dapat dilihat pada halaman 64,67,69,70, 210 dan 211. Gaya bahasa alusi yang digunakan pula dapat dilihat pada halaman10, 21, 22,177. Gaya bahasa anafora, epifora dan repitisi juga digunakan dalam novel ini. Gaya bahasa totologi yang digunakan oleh pengarang untuk menimbulkan kesan penegasan maksud dan kesan rasa yang tinggi kepada pembaca dapat dilihat pada halaman 45, 276 dan 279. Bagi memastikan cerita lebih menarik, Keris Mas telah menggunakan gaya bahasa retoris memaparkan unsur konflik dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Konflik yang wujud dalam novel ini iaitu; Konflik dalam diri watak yang diwakili oleh En. Muhammad dengan penduduk Kampung Pulai dan konflik Mahani dengan Rahim. Konflik manusia dengan manusia contohnya Sudin dengan Mat Akil, Encik Muhammad denga tauke Chan, Lebai Maarup dengan Mat Akil dan beberapa watak lain. Suparman Natawidjaya (1986), menghuraikan penggunaan unsur-unsur bahasa dalam sesuatu karya misalnya peribahasa, ungkapan, retorik, kalimat dan pelbagai

unsur gaya bahasa termasuklah bahasa kiasan akan mempengaruhi pembaca. Sementara Stott dan Avery (2001) dlm Sobariah binti Baharum, PhD, yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang baik memerlukan gaya yang berkesan. Gaya merupakan perkataan yang digunakan untuk menjelaskan cara penutur atau penulis melahirkan idea atau perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar atau pembaca. Berdasarkan gaya bahasa yang digunakan dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur jelas menunjukkan aspek yang diteliti oleh penulis ialah aspek pemilihan kata, struktur ayat dan susunan kata, penggunaan bahasa kiasan seperti metafora dan simile, dan penggunaan unsur-unsur retorik yang seterusnya menjadikan novel ini menarik minat pembaca. Bagi merealiti kan keadaan sebenar, latar yang digunakan dalam novel berjaya mengambarkan keadaan sebenar sesuatu tempat seperti Pekan Tualang , Kedai Bunga Flora , Jeram Medang , Rumah Besar Tepi Bukit dan sebagainya. Latar masa yang digunakan dalam novel ini berlatarbelakangkan tahun-tahun 70an dan 80an berdasarkan graduan yang senang mendapat kerja sebelum tamat pengajian. Kepelbagaian latar yang digunakan oleh Keris Mas menjadikan perkembangan cerita lebih menarik, tidak statik, mengambarkan sosial masyarakat pada masa itu disamping pembaca berupaya menyelami peristiwa yang berlaku seolah-olah dialami sendiri. Berdasarkan pandangan para sarjana dan penulis-penulis lain terhadap karya Keris Mas khususnya dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dapatlah dirumuskan bahawa kombinasi unsur kreatif dan pembaharuan yang baik penguasannya menyajikan novel ini memiliki keistimewaan tersendiri yang memberi kesan kepada pembaca untuk penghayatan yang lebih teliti. Kesimpulan Novel merupakan satu karya yang sesuai untuk kita melihat unsur retorik yang dapat menarik minat khalayak membacanya. Karya novel mempengaruhi khalayak dalam kehidupan melalui gagasan yang disampaikan oleh pengarang. Karya-karya

yang dalam novel saudagar besar dari Kuala Lumpur dihasilkan oleh Keris Mas telah diakui mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri sama ada dari sudut pemikiran, bahasa, minda Melayu, sastera Islam dan sumbangannya dalam mengangkat citra dan martabat bahasa dan sastera Melayu. Novel-novel beliau bukan bersifat nusantara tetapi universal. Melalui gaya bahasa dalam tulisannya, penulis berjaya menyampaikan mesej dengan unsur-unsur bahasa yang menarik dan khalayak dapat memahaminya. Berdasarkan analisa ke atas novel saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, penulis telah berjaya mengambarkan watak Encik Muhammmad sebagai seorang yang berani berpandangan jauh, berpendidikan tinggi dan berjaya dalam hidup. Melalui watak Encik Muhammmad ini cuba digambarkan oleh Kris Mas mewakili satu golongan ahli perniagaan yang berjaya dilahirkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Selain dari watak Encik Muhammad ia turut memaparkan watak lain seperti Jahid, Mahani, Rahim, Lebai Maarup, Imam Sahak dan lain-lain. Dengan berdasarkan aliran psikologi kognitif, beliau menggarapkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur menggunakan liku-liku kehidupannya dalam menyampaikan mesej kepada khalayak.

Rujukan A. Aziz Deraman 2006."Bahasa Melayu dan Budaya Bangsa: Agenda Bahasa." dlm Dewan Bahasa. Ogos hlm 6-13 A. Rahim Abdullah 2005. "Keris Mas dan Saya" dlm Dewan Sastera Jun hlm 13-16 A. Rahim Abdullah, 1995, Keris Mas, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Arena Wati 2005. "Konsep atau Aliran Pemikiran dalam Keris Mas" dlm Dewan Sastera Mei hlm 22-23 Dr. Farid M. Onn.1982. Stilistik Simposium keindahan Bahasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hizairi Othman. 1996. Kreativiti Dalam Penciptaan karya Sastera. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Mana Sikana 2005. " Keris Mas Mangkin Kesusasteraan Melayu Moden" dlm Dewan Sastera Jun hlm 7-12 Othman Puteh 1999."Isu-isu Signifikan dalam Kritikan Kesusasteraan Melayu" dlm Dewan Sastera September hlm 44-45 Rahimah A. Hamid 2001." Menyingkap Citra Dalaman Pengarang Sebagai makhluk Individu" dlm Dewan sastera April hlm 40-47 Rahman Shaari. 1992. Memahami Gaya Bahasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Shahnon Ahmad 1989."Keris Mas: Sasterawan Sekali Gus Pemikir" dlm Dewan Sastera September hlm 62-3 Shahnon Ahmad.1994.Sastera:Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya.Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Sobariah binti Baharum, PhD, Retorik Dalam Novel-Novel Abdullah Hussain dimuat turun dari laman web http//www.ipislam.edu.my/uploaded/Retorik Dalam Novelnovel Abdullah Hussain.Pdf. Sohaimi Abdul Aziz 2005. "Fokus: Erti Kesusasteraan kepada Kehidupan Manusia" dlm Dewan Sastera September hlm 11-14 Suparman Natawidjaja. (1986). Apresiasi Stilistika. Jakarta: PT Intermasa. Wan Muhammad Zaini b. Wan Hassan. 2008. Kupasan Grafikal Kesusasteraan Melayu: Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Selangor.Marshall Cavendish (M) Sdn. Bhd.

You might also like