You are on page 1of 20

SISTEM PERSEKOLAHAN ADALAH SATU BIROKRASI

Menurut Weber (1924), birokrasi ialah struktur sosial yang mempunyai hirarki
peranan-peranan dan status yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan, prosedur
yang eksplisit, berdasarkan pembahagian fungsi dan autoriti. Birokrasi
mengandungi tiga jenis kuasa iaitu autoriti atau kuasa tradisional, autoriti atau
kuasa rasional-legal (perundangan rasional) dan autoriti dan kuasa karismatik.
Autoriti tradisional adalah seperti yang terdapat di bahagian dunia yang belum
moden, misalnya kuasa tradisi raja yang diwarisi. Disebabkan kuasa mulak
adalah pada raja maka perubahan sukar berlaku. Autoriti karismatik merupakan
ciri istimewa individu di mana beliau dipercayai mempunyai kelebihan oleh
pengikut-pengikutnya. Autoriti rasional-legal ialah bagi negara moden barat di
mana birokrasinya berasaskan undang-undang rasional berbentuk formal yang
dikanunkan. Menurut pandangan Weber (1924), birokrasi akan melicinkan
perjalanan organisasi yang besar. Pada hari ini, birokrasi selalu dilihat dalam
bentuk organisasi kompleks yang mempunyai pejabat dan kakitangan pelbagai
pangkat. Ini termasuklah organisasi-organisasi kerajaan, swasta, hospital,
sekolah dan lain-lain. Birokrasi melibatkan peraturan-peraturan yang dibuat oleh
pakar. Birokrasi dianggap sebagai fenomena penting warisan kapitalisme.
Dalam menolak pandangan Karl Marx, Weber berpendapat birokrasi dalam
masyarakat sosialisme akan lebih bermasalah berbanding masyarakat
kapitalisme.

Di antara ciri-ciri birokrasi ialah pengkhususan di dalam banyak tugas iaitu


pembahagian tenaga kerja, sistem kuasa berhierarki daripada peringkat rendah
ke peringkat tinggi, peraturan yang jelas dinyatakan dalam spesifikasi tugas,
tidak memasukkan pertimbangan peribadi dalam urusan rasmi, melayani pekerja
bawahan dan pelanggan dengan adil, mengisi perjawatan dengan tenaga pakar
dan mewujudkan bidang kerjaya yang pelbagai. Birokrasi ialah sebuah konsep
sosiologi dan sains politik yang merujuk kepada cara bagaimanapun pentadbiran
melaksanakan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan yang sah secara
sosial. Pengurusan ini disifatkan dengan tatacara piawai, pembahagian
tanggungjawab yang formal, hierarki, dan hubungan tidak peribadi. Contoh
birokrasi-birokrasi harian termasuk kerajaan, angkatan bersenjata, perbadanan,
hospital, mahkamah, kementerian, dan sekolah.

Perkataan "birokrasi" berasal daripada perkataan "biro" yang digunakan pada


awal abad ke-18 di Eropah Barat, bukan untuk merujuk kepada meja tulis tetapi
untuk pejabat, iaitu tempat bekerja. Maksud bahasa Perancis yang asal bagi
perkataan biro ialah baize yang digunakan untuk melitupi meja-meja. Istilah
"birokrasi" bermula digunakan tidak lama sebelum Revolusi Perancis pada tahun
1789 dan dari sini, tersebar dengan pantas ke negara-negara yang lain. Akhiran
bahasa Greek — kratia atau kratos — bermaksud "kuasa" atau "pemerintahan".
Oleh itu, "birokrasi" pada dasarnya bermaksud kuasa pejabat atau pemerintahan
pejabat, iaitu pemerintahan golongan pegawai.

Umumnya sekolah dianggap sebagai suatu birokrasi kerana kakitangan, guru


dan pentadbiran mengamalkan pengkususan. Ini dapat dilihat di mana terdapat
pelbagai subjek atau mata pelajaran yang diajar di sekolah dan setiap satunya
diajar oleh ramai guru yang berbeza-beza mengikut bidang kemahiran dan
kepakarannya. Begitu juga dengan pentadbir yang mana terdapat pengetua,
penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid dan penolong
kanan kokurikulum yang menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing
yang telah dikhususkan. Apabila seseorang pentadbir atau guru tiada disekolah
maka pihak sekolah akan berhadapan dengan masalah sekiranya pihak ketiga
ingin mendapatkan maklumat atau berurusan dengan perkara-perkara yang di
bawah bidang kuasanya.

Sekolah juga dianggap sebagai suatu birokrasi kerana satu ciri yang utama iaitu
kakitangan dan pentadbiran yang mempunyai sistem autoriti yang berhierarki.
Ini bermakna organisasi pentadbiran di sekolah adalah berdasarkan susunan
perjawatan yang berbentuk piramid iaitu bermula di peringkat atas iaitu pengetua
yang mempunyai kuasa penuh terhadap kuasa pentadbiran dan pembuatan
keputusan di sekolah, diikuti oleh penolong kanan pentadbiran, penolong kanan
hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum dan guru kanan bidang. Di
peringkat yang seterusnya ialah Ketua Panitia dan pada lapisan bawah sekali
adalah guru akademik biasa yang mengajar mata pelajaran yang pelbagai di
sekolah.

Menurut Meyer dan Rowan (1978), persekolahan menjadi suatu bentuk utama
bagi organisasi pendidikan atas kerana standardisasi birokratik klasifikasi ritual.
Struktur sekolah adalah ‘decoupled’ daripada apa yang benar berlaku di dalam
masyarakat. Persekitaran yakni masyarakat menjadi input kepada sistem
persekolahan. Ini bermakna sekolah sebenarnya banyak dipengaruhi oleh
perubahan dan perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kehendak
dan, keinginan dan keutamaan semasa anggota masyarakat akan mencorakkan
sekolah tersebut secara umumnya.

Sekolah juga dianggap sebagai sistem terbuka kerana saling bergantungan


antara organisasi dan persekitarannya. Sekolah tidak boleh berdiri sendirian
untuk hidup dan berjaya mendapat perhatian serta kerjasama daripada
persekitarannya. Kejayaan atau kegagalan sistem yang diterapkan atau
berkuatkuasa di sekolah amat dipengaruhi oleh persekitaran. Anggota
masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan sukarela dan para ibu
bapa mempunyai ‘suara’ dan respons yang signifikan untuk didengari oleh pihak
sekolah terutamanya mengenai kebajikan dan pencapaian para pelajar sekolah.

Menyoroti daripada semua kenyataan di atas adalah timbulnya satu persoalan


iaitu apakah decouple atau pemesongan yang terdapat di dalam sistem
pendidikan atau persekolahan kita?. Hakikatnya pengajaran di sekolah jarang
sekali dikawal oleh pihak sekolah. Guru dilihat begitu dominan di dalam bilik
darjah. Wujudnya klasifikasi ritual (Meyer) iaitu klasifikasi guru dalam subjek
yang diajar, penetapan guru-guru tingkatan. Kemudiannya adalah klasifikasi
murid, iaitu murid diklasifikasikan mengikut kelas, dan aliran sama ada aliran
sains, sastera, teknikal dan sebagainya. Klasifikasi yang ketiga adalah klasifikasi
sekolah iaitu pengklasifikasikan sekolah iaitu jenis sekolah dan gred, contohnya
sekolah kawalan, sekolah bestari, sekolah khas, sekolah pelajar bermasalah dan
banyak lagi. Jika diteliti dengan lebih mendalam ‘decoupling’ berlaku di dalam
sistem pendidikan kita kerana kawalan dan penyeliaan berterusan yang
diadakan oleh pihak atasan bermula dari Jabatan Pelajaran sehinggalah
peringkat Kementerian Pelajaran. Contohnya pemantauan yang dilakukan oleh
Jemaah Nazir Persekutuan. Decoupling juga wujud kerana perlindungan
terhadap sistem persekolahan daripada ketidakpastian dan mengizinkan sekolah
menyesuaikan diri terhadap peraturan-peraturan yang tidak konsisten. Terdapat
beribu-ribu sekolah ditubuhkan di seluruh ceruk bandar dan desa dan bertambah
mencabar lagi adalah pelbagai peraturan dan pekeliling yang tidak konsisten dan
sering berubah-rubah berdasarkan kehendak dan tuntutan semasa. Oleh itu ini
meruapakan satu cabaran dan bebanan yang besar perlu dipikul oleh
pentadbiran dalam memastikan penyesuaian dan perubahan peraturan-
peraturan yang ada kalanya gagal untuk dilaksanakan dengan jayanya di
sekolah akibat birokrasi sekolah dan pelbagai lapisan hirarki jawatan di sekolah
yang perlu melaksanakan peraturan tersebut.

Pembirokrasian Pendidikan Dalam Sistem Pendidikan di Malaysia

Di Malaysia, kerajaan pusat melalui Kementerian Pelajaran merupakan


organisasi yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbirkan secara berpusat
pendidikan di Malaysia. Kementerian ini berkuasa mentadbir, menentukan
dasar-dasar, menetapkan peraturan, membuat pemantauan, membuat
penyelarasan serta kewangan dalam pendidikan di Malaysia. Segala dasar dan
peraturan tadi kemudiannya akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah di
seluruh negara. Keadaan ini sebenarnya telah berlaku sejak sebelum merdeka
iaitu apabila Laporan Barnes (1950) dikemukakan. Antara butirannya ialah
pendidikan sekolah rendah dari darjah satu sehingga darjah enam percuma
kepada kanak-kanak. Selain daripada itu, jawatan Jemaah Nazir Persekutuan
juga diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran. Kemudian ianya diikuti dengan
Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952) dan Laporan Razak (1956).
Setelah merdeka Laporan Rahman Talib telah dikemukakan untuk dilaksanakan
dan diikuti oleh Ordinan Pelajaran (1967) dan Laporan Jawatankuasa Kabinet
(1979). Ini disusuli pula dengan Akta Pendidikan pada tahun 1995 dan 1996
yang antara lain menekankan bahawa Bahasa Melayu dikekalkan sebagai
bahasa pengantar utama untuk semua institusi pendidikan dalam sistem
pendidikan kebangsaan kecuali sekolah rendah jenis kebangsaan. Akta ini juga
memperkenalkan satu kurikulum kebangsaan yang wajib digunakan oleh semua
sekolah termasuk sekolah swasta. Perkara yang ketiga adalah memperkenalkan
peperiksaan awam yang dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia
sahaja. Ringkasnya, semua laporan-laporan dan akta-akta di atas tadi telah
dirangka dan dibentuk untuk dilaksanakan secara centralisasi dan birokrasi di
seluruh negara melalui :-

i. Perlaksanaan dasar pendidikan negara yang diperkenalkan seperti


perlaksanaan Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979).
ii. Pertukaran dasar pendidikan negara.
iii. Surat-surat pekeliling dari semasa ke semasa.
iv. Kempen-kempen seperti kempen anti dadah.

Organisasi Kementerian Pelajaran adalah bertepatan dengan ciri-ciri birokrasi


moden yang dinyatakan oleh Weber iaitu antaranya merupakan organisasi
formal, mempunyai hierarki autoriti yang jelas, mempunyai peraturan-peraturan
dan mempunyai pegawai-pegawai yang tetap dan dibayar gaji. Di peringkat
pusat Kementerian Pelajaran merupakan badan yang bertanggungjawab dalam
segala aspek pendidikan seluruh negara. Ringkasnya, segala kuasa tertumpu di
sini. Di setiap negeri pula terdapat jabatan-jabatan pelajaran negeri yang
menjadi saluran segala dasar Kementerian Pelajaran ke peringkat lebih bawah
iaitu daerah dan sekolah. Kawalan secara berpusat sangat penting untuk
memastikan segala dasar yang dikehendaki oleh kerajaan dilaksanakan. Sistem
berpusat akan menentukan matlamat-matlamat pendidikan dipenuhi. Dari segi
kepentingan pemerintah, kawalan terhadap sistem persekolahan diwajarkan
untuk mengembangkan ideologinya. Di samping itu, Kementerian Pelajaran
mengawal semua sekolah sama ada sekolah rendah dan sekolah menengah.
Manakala kolej-kolej, universiti-universiti awam dan swasta adalah di bawah
pentadbiran Kementerian Pengajian Tinggi.

Menyentuh mengenai pengembangan ideologi dan dasar-dasar kerajaan, di


antara aspirasi dan cita-cita kerajaan semenjak dahulu hingga kini melalui
pendidikan adalah membentuk dan mengukuhkan perpaduan kaum. Dalam
konteks ini, sekolah merupakan agen utama dalam membentuk perpaduan.
Melalui perlaksanaan Pelan Integrasi Nasional (PIN), sebenarnya kerajaan telah
mengadakan kawalan yang ketat terhadap sistem pendidikan di Malaysia.
Contohnya adalah seperti usaha memperkasakan sekolah kebangsaan,
penggubalan dan pengemaskinian sukatan pelajaran, perlaksanaan sistem
KBSR dan KBSM dan sebagainya. Secara jelasnya sistem pendidikan di
Malaysia adalah berpusat dan mengandungi banyak karenah birokrasi.
Kementerian Pelajaran mempunyai kuasa yang utama untuk menentukan
peruntukan kewangan, membentuk standard kurikulum, penetapan apa yang
patut diajar di sekolah, perlantikan dan perpindahan guru dan menentukan
formula untuk menjalankan reformasi di sekolah. Walaupun guru, pengetua dan
pentadbir sekolah diberikan banyak kuasa autonomi melalui sistem KBSR dan
KBSM tetapi mereka juga terus dikongkong dengan kaedah tradisi lama iaitu
menunggu arahan dari atas. Memang tidak dapat dinafikan bahawa mereka
yang terlibat dalam dunia pendidikan ini banyak bergantung kepada arahan dari
pihak atasan.

Hierarki paling atas di dalam struktur organisasi Kementerian Pelajaran adalah


seorang menteri, diikuti oleh ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah
pelajaran. Setiap jawatan berkenaan masing-masing mempunyai timbalan-
timbalan dan penolong-penolong. Di peringkat pusat, kementerian mempunyai
bahagian-bahagian dan setiap bahagian mempunyai fungsi masing-masing.
Jabatan Sekolah-Sekolah misalnya bertanggungjawab terhadap sekolah-sekolah
dan institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara. Stratifikasi jawatan di
peringkat pusat diikuti di peringkat negeri, bahagian dan daerah. Di kementerian
dan pejabat-pejabat pada kebiasaannya, pembahagian tugas adalah jelas.
Seseorang pegawai eksekutif berstatus penolong pengarah ataupun pegawai
kerani misalnya, telah mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Pegawai-
pegawai lain pada kebiasaannya tidak akan campurtangan dalam tugasan
berkenaan. Oleh itu adakalanya timbul masalah untuk berurusan dan
membincangkan perkara di bawah tanggungjawab dan tugasannya, sekiranya
pegawai berkenaan bercuti atau menjalankan tugas di luar pejabat.

Walaupun birokrasi sangat penting dalam konteks masyarakat moden


terutamanya kerana melicinkan perjalanan organisasi yang besar, terdapat juga
pandangan negatif mengenainya. Birokrasi sering dikaitkan atau digambarkan
dengan pelbagai kerenah atau red-tape. “Birokrasi melibatkan peraturan-
peraturan pihak atasan yang membuat keputusan tanpa banyak merujuk kepada
pihak yang terlibat atau menerima kesan daripada keputusan itu” (Giddens
1993). Berdasarkan hierarkinya, jelas struktur organisasi Kementerian Pelajaran
mempunyai birokrasi yang sangat ketat. Sesuatu dasar baru selalunya akan
disusuli dengan pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha
Kementerian ataupun Ketua Pengarah Pelajaran. Ia kemudia diturunkan ke
bahagian-bahagian di Kementerian, kemudian ke negeri, ke daerah dan akhirnya
ke sekolah.

Kebiasaannya maklumat-maklumat itu memakan masa yang lama baru sampai


ke peringkat bawah iaitu kepada guru-guru. Begitu juga maklumat dari bawah
selalunya terpaksa melalui proses birokrasi yang ketara apabila misalnya
program tertentu yang dianjurkan oleh sekolah terpaksa melalui saluran daerah,
negeri, bahagian dan pusat. Sesuatu permohonan yang melalui proses ini
selalunya akan memakan masa yang panjang. Apatah lagi jika sesuatu perkara
itu melibatkan keputusan antara bahagian-bahagian di kementerian. Akibatnya
berlaku kelewatan dalam perlaksanaan sesuatu dasar, peraturan ataupun
pekeliling. Ini memberikan persepsi dan tafsiran yang negatif terhadap sistem
pendidikan negara kita.

Dalam aspek pendidikan, birokrasi memberikan kesan yang paling signifikan


terhadap golongan pendidik, ibu bapa dan murid sekolah. Kekecewaan akan
dirasai oleh golongan ibu bapa, guru dan pelajar kerana kekurangan peluang,
hak dan kebebasan untuk bersuara dan membuat keputusan. Terdapat juga
guru yang secara senyap menentang perubahan yang dilaksanakan oleh pihak
sekolah kerana peraturan dan pekeliling yang diterima tidak memenuhi kehendak
dan mendengar suara serta pandangan guru. Guru-guru juga akan menzahirkan
protes secara senyap melalui prestasi kerja yang tidak menentu akibat perlu
terikat dengan peraturan-peraturan rasmi yang kadangkala tidak praktikal untuk
dilaksanakan di sesetengah sekolah. Dalam pada itu, perhubungan dari atas ke
bawah berlangsung dalam bentuk yang terlalu formal atau ‘impersonal’ dan ini
membataskan komunikasi yang berkesan dan terbuka di antara pelaksana dasar
dan pembuat dasar. Sebarang pembahagian tugas dan penambahan jawatan
juga perlu mengikut arahan dan surat-menyurat secara rasmi daripada pihak
kementerian atau Jabatan Pelajaran dan ini memberikan kesan yang negatif
terhadap kelicinan pentadbiran sesebuah sekolah. Kecemerlangan dan kejayaan
guru banyak dibayangi oleh ganjaran yang diberikan dalam bentuk ekstrinsik
atau berupa material dan tidak disertai dengan ganjaran berbentuk intrinsik atau
sokongan moral yang sememangnya memberikan kesan yang besar dalam
menaikkan motivasi dan semangat untuk berkhidmat di kalangan warga
pendidikan.
Langkah-Langkah Menuju Ke Arah Desentralisasi

Tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan negara telah mengalami satu
reformasi yang besar semenjak negara kita mencapai kemerdekaan. Sehingga
kini banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang dapat dilihat terutamanya
setelah Wawasan 2020 dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Bin Mohammad. Sebenarnya organisasi pentadbiran dalam pendidikan
telah mula melakukan penyusunan semula. Paling ketara adalah taraf Pegawai
Pendidikan Daerah telah dipertingkatkan dan PPD telah mempunyai pegawai-
pegawai lain bagi membantu dalam mentadbir sekolah di dalam daerah mereka.
Mereka turut diberikan kebebasan dan kuasa untuk menguruskan pertukaran
dan penempatan guru dan pelajar di dalam daerah tersebut. Pejabat Pelajaran
Daerah (PPD) akan membekalkan sumber-sumber bahan pengajaran dan
pembelajaran serta menguruskan segala bahan dan maklumat yang diperlukan
oleh sekolah

Bagi memberikan lebih kebebasan dan peluang untuk sekolah menguruskan dan
meningkatkan prestasi dan membuat penilaian yang lebih menyeluruh dan
berkesan, maka semakin banyak mata pelajaran yang diberikan kebebasan
untuk membuat penilaian dan pentaksiran berasaskan sekolah. Maka pada hari
ini di semua sekolah seluruh negara, telah diwujudkan sistem penilaian dan
pentaksiran yang dinilai dan diberi markah oleh para guru dan disahkan oleh
pentadbir sekolah bagi mewakili sebahagian pemarkahan di dalam peperiksaan
awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Pentadbiran sekolah juga
diberikan kuasa dalam hal ehwal kenaikan pangkat di peringkat sekolah seperti
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, guru-guru kokurikulum, Penolong Kanan
Petang, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Guru Kanan Bidang dan
seumpamanya. Pada peringkat kementerian, telah berlaku pembahagian tugas,
tanggungjawab dan autoriti yang ketara melalui pengasingan di antara
pengurusan sekolah dan institusi pengajian tinggi apabila kerajaan memutuskan
menubuhkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Secara
tidak langsung ini dapat meminimakan karenah birokrasi yang sedia ada di
antara pengajian di peringkat rendah dan menengah dengan pengajian di
peringkat koleh dan universiti. Banyak manfaat dan kelebihan yang boleh
dimanfaatkan melalui pengasingan dua kementerian ini.

Desentralisasi yang berterusan di turunkan ke peringkat sekolah perlu diuruskan


dengan lebih bijak oleh pentadbiran sekolah. Oleh yang demikian bagi
memastikan pengetua dan pentadbir sekolah dapat mentadbir dengan lebih
berkesan dan membuat keputusan yang baik dari segi pentadbiran dan arahan
maka mereka perlu dihantar berkursus dari semasa ke semasa ke Institut
Aminuddin Baki (IAB). Galakan untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan
perjawatan harus diutamakan melalui pemberian biasiswa untuk melanjutkan
pengajian. Guru wajar diberikan kuasa yang lebih luas untuk memastikan apa
yang penting bagi sekolah seperti di dalam menguruskan bilik darjah, hal ehwal
murid, program peningkatan prestasi, sahsiah dan kokurikulum murid.
Dalam aspek kewangan, pihak sekolah perlu diberikan insentif yang khusus
untuk para guru menjalankan kajian tindakan terhadap sesuatu masalah yang
berlaku di sekolah dan cuba memperbaikinya untuk meningkatkan tahap dan
taraf sekolah berkenaan. Apabila setiap sekolah berlumba-lumba untuk
melakukan kajian tindakan dan mengaplikasikan hasil dapatan kajian tersebut,
maka secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti pengurusan dan
kecemerlangan sekolah. Pelbagai dapatan dan hasil kajian ini juga akan dapat
dikaji, dibincangkan serta digunapakai pada sekolah-sekolah lain di seluruh
negara. Dalam pada itu juga, melalui cara ini guru akan diberikan lebih galakan
dan dorongan untuk melakukan kajian tindakan yang secara realitinya tidak
pernah dilakukan oleh guru-guru di sekolah.
SEJAUH MANAKAH PERGURUAN BOLEH DIANGGAP SEBAGAI SATU
BIDANG PROFESIONAL ?

Pengenalan

Guru kini telah mengalami satu proses perubahan yang begitu ketara sekali
berbanding sebelum kemerdekaan dahulu. Guru-guru sekarang lebih berciri
pengkhususan dan dibayar gaji. Memandangkan sistem pendidikan adalah
berpusat, gaji guru-guru sekolah awam dibayar oleh kerajaan. Skim perjawatan
guru sekolah Malaysia secara umum dibahagikan kepada dua kategori iaitu guru
siswazah dan guru bukan siswazah. Bagi sekolah-sekolah kerajaan, seseorang
guru itu hanya diterima sebagai pendidik tetap sekiranya mereka mempunyai
kelayakan perguruan samaada dalam bentuk sijil, diploma ataupun ijazah. Inilah
faktor asas di negara kita yang membolehkan guru dianggap sebagai satu
profesion. Namun begitu faktor ini tidaklah memadai untuk meletakkan status
seseorang guru itu sebagai berjawatan profesional.

Konsep Profesional

Menurut kamus Dewan (edisi 3 1996); profesioan merujuk kepada pekerjaan


yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khusus untuk
melaksanakannya. Mempunyai kecekapan, kebijaksanaan dan kemahiran
tertentu seperti kecekapan pengurusan, kebijaksanaan pengamalan undang-
undang, kepakaran perubatan dan pelbagai kepakaran lagi.

Hoyle (1994) menyatakan bahawa profesionalisme adalah strategi-strategi dan


retorik-retorik yang diamalkan oleh ahli di dalam sesuatu perjawatan dalam
usaha untuk memperbaiki status, pendapatan dan keadaan.
Menurut Leggatt (1970), perguruan hanya satu bidang porfesion separuh
profesional. Ini kerana menurut beliau terdapat ciri-ciri berikut yang
mengukuhkan pendapatnya :

1. Bilangannya besar iaitu dalam jumlah yang sangat ramai


2. Bilangan ahli perempuan yang terbesar
3. Kesemua ahlinya dibayar gaji oleh sebuah organisasi yang bersifat
birokratik
4. Tempoh masa latihan yang pendek, contohnya satu hingga tiga tahun.
5. Mempunyai prestij / status kelas sosial yang sederhana dan rendah
6. Bidang ilmu pengetahuan atau kemahiran yang pelbagai jenis dan kurang
pengkhususan.
7. Mempunyai kuasa autonomi yang kurang dan dipimpin
8. Mempunyai organisasi yang berpecah-pecah dan longgar.
9. Perhubungan dengan klien (murid, ibu bapa) dalam kumpulan yang besar.
10. Tidak memerlukan kepakaran
11. ‘Holisitic Orientation’ – memberi perhatian kepada keseluruhan klien dan
bukan hanya aspek-aspek yang spesifik
12. Pengasingan – tugas dan tumpuan kebanyakan diperuntukkan di dalam
bilik darjah.
13. Bahasa yang digunakan adalah mudah.
14 Prestasi guru sukar dinilai.
15. Pembahagian pekerjaan tidak sama berat.
16. Struktur autoriti yang berjenis hierarki
17. Mendapat kuasa / autoriti daripada jawatan dan bukan pakar.
18. Murid tidak dilayan secara individu, tetapi dilayani mengikut kriteria yang
universalistic.
19. Kenaikan pangkat mengikut kekananan.
Oleh yang demikian jika diteliti secara mendalam apa yang dikemukakan oleh
Leggatt ini, beliau dengan jelas menyatakan bahawa berdasarkan alasan-alasan
di atas maka bidang perguruan masih merupakan satu bidang profesion separuh
profesional. Jika diteliti dalam konteks negara kita, sesungguhnya terdapat
kebenaran akan kenyataan di atas.

Bagi mencerminkan ciri-ciri sesuatu profesion itu dianggap sebagai profesional,


terdapat beberapa aspek yang wajar diperbandingkan iaitu :

1. Kawalan
Setiap persatuan profesion mengawal profesionnya dari segi kemasukan
keahlian (entry requirement), latihan, pengiktirafan serta menjaga dan
mengekalkan amalan yang standard. Oleh itu tidak mudah untuk menjadi ahli
dan memasuki profesion ini kerana persatuan yang menaunginya kukuh dan
kemasukan sebagai ahli adalah amat ketat. Malahan persatuan ini diwujudkan
diperingkat tempatan dan antarabangsa yang berkuasa mengawal persijilan dan
pelesenan ahlinya. Hanya mereka yang memiliki lesen atau kelayakan /
kepakaran khusus layak mempraktiskan amalannya.

2. Autonomi
Perhubungan adalah berjenis “collegial” iaitu guru adalah di dalam satu
kumpulan bersama dengan guru-guru lain dan bukannya berjenis berhierarki;
ahli-ahlinya mempunyai autonomi dan membuat keputusan tentang kerjanya
tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

3. Eksklusif
Amalan setiap profesion berdasarkan kepada suatu bidang ilmu
pengetahuan yang teoritis dan esoterik dan ahli-ahlinya memerlukan latihan
pengkhususan/khas yang memakan masa yang panjang. Ahli-ahli biasanya
mendapatkan latihan formal di pusat-pusat pengajian tinggi dan seterusnya perlu
menjalani latihan amali dalam tempoh tertentu.
4. Perkhidmatan
Tujuan sesuatu profesion ialah untuk memberi perkhidmatan kepada klien
dan bukannya semata-mata untuk mencari wang. Perkhidmatan ini mendapat
pengiktirafan oleh awam.

5. Etika
Setiap profesion mempunyai suatu kod etika untuk membimbing
amalannya dan menjadi panduan kepada ahli-ahlinya di dalam mempraktiskan
amalan profesionalismenya.

Perguruan di Malaysia Sebagai Suatu Profesion

Perbincangan mengenai samaada guru merupakan satu profesion merupakan


satu isu yang selalu dibincangkan khususnya di kalangan warga pendidik.
Penerimaan tugas guru melalui pengiktirafan kerajaan sebagai profesional
menimbulkan kontroversi apabila terdapat pro dan juga kontra mengenainya.
Namun begitu, berdasarkan kriteria yang diperbincangkan di atas, wajar sekali
rasanya kita selaku warga pendidik merenungkan dan mempertimbangkan sama
ada kerjaya guru di Malaysia memenuhi kriteria-kriteria profesion.

Kita boleh menerima guru sebagai profesion apabila mengaitkannya dengan ciri-
ciri seperti mempunyai kepakaran bidang yang khusus, mempunyai latihan khas
dan mempunyai autonomi dalam bilik darjah. Selain daripada itu, guru juga
terikat dengan Kod Etika Keguruan Malaysia yang menggariskan ikrar dan
tanggunggjawab guru terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara, rakan
sejawat dan profesion perguruan. Sehubungan dengan taraf profesional guru,
mereka perlu memiliki sifat dan kualiti-kualiti peribadi, sosial dan profesional.
Guru juga perlu mempunyai akauntabiliti terhadap perlakuan dirinya, ilmu
pengetahuan, kemahiran-kemahiran, pelajar, ibu bapa, bidang pendidikan dan
negara.

Terdapat juga pihak yang mempersoalkan beberapa perkara misalnya seperti


sama ada wujud badan bebas yang mengawal profesion perguruan, autonomi
membuat keputusan guru di luar bilik darjah, lesen untuk mengamal dan bentuk-
bentuk ganjaran material yang diterima oleh guru. Begitu juga tidak dapat
dinafikan bahawa profesion perguruan mempunyai masalah-masalah yang
tersendiri dalam menjalankan fungsinya iaitu sejauhmanakah guru bebas
mengamalkan bidang kepakarannya dengan berkesan?. Sejauhmanakah juga
bidang pengkhususan seseorang guru diamalkan di sekolah?. Paling nyata
sekali persoalan yang timbul adalah mengenai guru yang memiliki pengkhususan
tertentu tetapi mengajar pengkhususan lain yang tiada kaitan dengan
pengkhususan atau kemahirannya. Contohnya adakah seorang guru yang
mengkhusus dalam mata pelajaran geografi, mengajar mata pelajaran geografi
di sekolah atau pun ditugaskan mengajar mata pelajaran lain seperti Kemahiran
Hidup atau Bahasa Inggeris?. Jika guru tersebut mengajar subjek yang bukan
bidang pengkhususannya, sudah tertentu kredibiliti dan tahap
profesionalismenya boleh diragui.

Dalam bidang kokurikulum, sejauhmanakah seseorang guru penasihat dan


jurulatih kegiatan kokurikulum mempunyai kemahiran-kemahiran yang perlu,
misalnya sejauhmanakah seseorang guru penasihat Kadet Polis sekolah
menguasai kemahiran-kemahiran kepolisan?. Selain daripada itu kehadiran
guru-guru sandaran, guru-guru sementara ataupun guru-guru persekolahan
persendirian yang tidak menerima sebarang latihan dan kelayakan perguruan
telah menimbulkan banyak lagi keraguan mengenai tahap profesional guru.

Sesungguhnya punca perbahasan sama ada guru merupakan suatu profesion


atau tidak ialah kerana tabiat atau kecenderungan kerjaya guru dengan kerjaya-
kerjaya lain seperti membandingkan guru dengan peguam, doktor dan jurutera.
Sememangnya kita akan kecewa jika sering cuba untuk membandingkan
profesion guru dengan profesion-profesion yang lain. Kita harus mengakui
bahawa profesion guru gagal memenuhi beberapa kriteria profesion yang setara
dengan profesion-profesion doktor, peguam dan jurutera. Fenomena
membandingkan profesion guru dengan profesion lain juga berlaku di negara
maju seperti Amerika Syarikat. Tozer dan rakan-rakan (1998) misalnya telah
menyenaraikan tiga kekurangan profesion guru jika dibandingkan dengan
profesion-profesion lain iaitu :
• Kualiti dan latar belakang kelayakan akademik calon bakal guru yang
selalu dikatakan lebih rendah berbanding profesion lain.
• Kualiti program latihan pendidikan guru yang tidak seketat program
profesion lain.
• Disebabkan kualiti kelayakan akademik dan kualiti program latihan yang
kurang maka kualiti hasilan guru juga tidak cekap.
Persoalan yang perlu dipertimbangkan dengan seadilnya adalah kewajaran
untuk membandingkan profesion perguruan sebegitu mudah dengan profesion
lain atau adakah kita perlu melihat profesion guru dalam konteks dan kriteria-
kriterianya yang tersendiri?. Tidak adil sama sekali untuk membandingkan
profesion guru dengan profesion yang lain. Sebenarnya semua profesion sama
ada guru, jurutera, peguam, doktor, arkitek dan sebagainya harus dilihat dalam
konteks masing-masing tanpa banyak membandingkan antara satu sama lain
sebagai prasyarat untuk menerima ianya sebagai profesion atau pun tidak.
Perbandingan hanya perlu dibuat dengan tujuan untuk memperbaiki kekurangan
–kekurangan yang ada dalam sesuatu profesion. Oleh itu berdasarkan
perspektif guru sebagai profesion yang tersendiri, maka kita boleh menerima
guru sebagai suatu profesion. Tambahan pula di negara kita, kualiti calon guru
adalah semakin baik dari setahun ke setahun dan proses latihan pula adalah
begitu bersistematik. Kita mempunyai proses tapisan untuk menerima bakal
guru dan latihannya dijalankan secara terancang di institusi-institusi pendidikan
guru. Oleh itu kualiti hasilan guru adalah secara optimum sesuai untuk
kegunaan sekolah-sekolah di Malaysia.
Dalam pada itu, aspek keberkesanan guru perlulah diambil berat dalam
profesion guru demi mencapai fungsi-fungsi yang dikehendaki oleh masyarakat.
Seorang guru yang berkesan perlu menyentuh tiga ciri unggul peranan guru iaitu
sebagai guru akademik, sebagai guru yang berpusatkan murid dan seorang guru
yang berwawasan. Peranan utama guru di sekolah telah ditetapkan sebagai
agen transmisi ilmu pengetahuan dan nilai sebagaimana yang dijelaskan di
dalam kurikulum pendidikan. Guru bukan semata-mata mengajar sesuatu mata
pelajaran tetapi mereka mendidik manusia. Profesion mendidik adalah berbeza
dengan profesion merawat, profesion membina bangunan mahupun profesion
menjatuhkan hukuman di mahkamah. Justeru dari segi fungsinya guru sudah
menjadi profesion sekiranya ia dapat memenuhi fungsi-fungsi guru sebagaimana
dikehendaki dan ditentukan oleh masyarakat.
Selain daripada itu harus diingat bahawa keperibadian seseorang mempunyai
kaitan dengan profesionnya. Terdapat hubungan yang rapat antara imej diri dan
imej awam dalam sebarang profesion. Imej diri boleh memberi kesan kepada
pandangan awam dan juga prestij sesuatu pekerjaan. Seseorang guru yang
mempunyai keperibadian yang sesuai akan diterima oleh masyarakat dan
seterusnya akan memelihara profesionnya. Selain daripada menjaga nama baik
guru dan sekolah, pemeliharaan imej profesion juga akan mempengaruhi
generasi akan datang dalam memilih kerjaya perguruan. Apabila ramai yang
memilih kerjaya guru, tentu sekali imej profesion dengan sendirinya menerima
pengiktirafan.

Konteks Peranan dan Tanggungjawab Guru Itu dalam memartabatkan


profesionalisme perguruan

Guru perlu meningkatkan kelayakan akademik masing-masing (B. Ed., M. Ed.


dan Ed. D.). rasionalnya adalah kerana guru telahpun memiliki kemahiran
mengajar yang tidak mudah diperolehi oleh orang lain. Langkah ini akan
meninggikan lagi martabat profesion perguruan ke tahap atau status yang lebih
tinggi dalam masyarakat.

Guru perlu mengamalkan anjakan paradigma daripada kebebasan bekerja


berseorangan di dalam kelas kepada saling bantu-membantu dan bekerjasama
antara satu sama lain. Rasionalnya adalah untuk meningkatkan perkongsian
ilmu dan kemahiran di kalangan guru di samping mempelbagaikan teknik
pengajaran dan pembelajaran. Semua aktiviti sekolah sama ada di dalam atau
di luar bilik darjah perlu berdasarkan visi dan misi sekolah. Rasionalnya adalah
supaya guru dan pelajar akan lebih berfokus dan bersatupadu untuk mencapai
objektif yang dirancangkan.

Guru perlu membandingkan kaedah mengajar diri dengan yang dipraktikkan oleh
rakan sekerja dan bahan yang ditulis dalam jurnal dan artikel pendidikan.
Rasionalnya adalah supaya guru akan sentiasa mengemaskini ilmu dan
kemahiran dalam penggunaan kaedah mengajar dan mendapat sokongan moral
daripada rakan sekerja dalam profesion. Guru juga perlu meningkatkan nilai
saling membantu dan bekerjasama dalam hal-hal profesion. Rasionalnya adalah
supaya guru akan mendapat lebih banyak faedah apabila mengamalkan
pengajaran kolaboratif dan pembuatan keputusan secara kolaboratif.

Di samping itu guru perlu meningkatkan penglibatan dalam badan –badan


profesion perguruan seperti pusat kegiatan guru (PKG), kesatuan guru seperti
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Persatuan Guru-Guru
Mata Pelajaran (MELTA) dan cenderung melakukan kajian tindakan dengan
kerap. Ini adalah bertujuan supaya guru akan sentiasa inovatif dan kreatif dalam
usaha meningkatkan martabat perguruan. Guru perlu membaca majalah
pendidikan yang diterbitkan di dalam dan luar negara supaya sentiasa
dikemaskini dengan perkembangan semasa dan kajian yang dibuat mengenai
bidang perguruan. Rasionalnya adalah kerana bidang perguruan adalah sesuatu
yang dinamik dan guru perlu sentiasa menerima perubahan dan pembaharuan.
Guru harus melibatkan diri dalam kursus dalam perkhidmatan atau kursus-
kursus dalaman sama ada sebagai fasilitator atau perserta. Kursus-kursus ini
harus memberi keutamaan kepada aspek-aspek teori pedagogi dan
perkembangan dunia pendidikan di seluruh dunia. Suatu aktiviti yang sepatutnya
menjadi amalan harian guru adalah mengamalkan refleksi selepas mengajar
agar segala yang dilakukan dalam bilik darjah dapat dipandang sebagai suatu
aktiviti yang rasional. Rasionalnya adalah kerana perguruan harus dipandang
sebagai suatu profesion yang serius terhadap kualiti pengajaran dan
pembelajaran.

Kesimpulan

Di Malaysia terdapat terlalu banyak kesatuan guru yang secara umunya


memperjuangkan matlamat dan objektif yang hampir sama. Satu langkah harus
dijalankan untuk menyatukan semua kesatuan guru agar dapat membentuk satu
badan besar yang dapat mewakili semua guru tanpa mengira pengkhususan.
Badan ini lebih berkuasa untuk menaikkan taraf profesion perguruan di kalangan
profesion lain. Kesatuan guru di negara ini harus menumpukan fokus kepada
melengkapkan para guru dengan kemahiran dan teori yang perlu untuk
menjadikan profesion perguruan suatu profesion yang sentiasa dinamik dan
bersedia menghadapi cabaran semasa dan yang akan datang. Seminar-seminar
ilmiah perlu dianjurkan sepanjang masa dan dikendalikan oleh pakar dari bidang
perguruan. Sesungguhnya tindakan yang terhasil daripada perlaksanaan
saranan di atas akan memberikan impak yang besar dalam mengangkat
martabat dan seterusnya mengukuhkan kenyataan bahawa perguruan adalah
suatu profesion.

You might also like