You are on page 1of 16

IKHWAN ALMUSLIMIN DI BAWAH NAUNGAN AL-QURAN

IKHWAN AL-MUSLIMIN DI BAWAH NAUNGAN AL-QURAN

Buat pemuda yang dahaga lahirnya kegemilangan baru Buat ummah yang kebingungan di persimpangan jalan Buat pewaris generasi pejuang yang pernah mengukir sejarah agung... Buat setiap muslim yang yakin ketuanan di dunia dan kebahagiaan di negeri abadi, kami kemukakan Ucapan Imam Syahid Hasan al-Banna Bingkisan silam yang utuh dan membara buat masakini yang muda dan keliru... Persediaan masakini yang marak untuk masa depan yang gemilang... Wahai pemuda wahai pencari sinar kehidupan... Mereka yang rindu untuk membantu agama Allah... Wahai mereka yang menyerahkan jiwa raganya di hadapan Allah... Di sinilah jalan hidayah dan petunjuk... Di sinilah jalan hikmah dan betul... Di sinilah tempat untuk merasai lazatnya sebuah pengorbanan dan jihad Segeralah bersama angkatan tentera yang melangkah senyap Marilah beramal di bawah panji pemimpin para nabi... Bergabunglah bersama angkatan Ikhwan al-Muslimin... Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan menjadilah agama itu seluruhnya bagi Allah semata-mata.

Al-Ikhwan al-Muslimin

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam untuk pemimpin kita, Muhammad, kaum keluarganya serta para sahabatnya. Saya ucapkan ucapan Islam yang berkat dan suci iaitu Assalamualaikum Wa RahmatulLahi Wa Barakatuh.2 Wahai Ikhwan al-Muslimin, Wahai seluruh manusia, Di tengah riuh rendah dengan diselubungi pelbagai peristiwa yang menyedihkan di zaman yang gelap gelita ini, di tengah arus deras yang dibawa oleh pelbagai ideologi yang berkumandang di seluruh alam, membawa gelombang yang menenggelamkan seluruh alam, diulit dengan segala impian, janji dan gaya yang mempesona dan mengasyikkan, Kami Ikhwan al-Muslimin mengemukakan dakwah kami dengan Tenang, tetapi amat kencang lebih kencang daripada angin taufan Merendah diri, tetapi teguh lebih teguh daripada gunung Terbatas, tetapi luas lebih luas daripada sempadan bumi ini Tidak berselindung di sebalik imej dan gaya yang palsu sebaliknya diserikan dengan nada kebenaran, keindahan wahyu dan peliharaan Allah. Tidak dicemari oleh kerakusan, ketamakan, kepentingan dan impian peribadi. Sebaliknya dakwah ini menjanjikan orang-orang yang mengimaninya dan jujur beramal bahawa mereka akan beroleh kekuasaan di dunia ini dan syurga di akhirat kelak. Menyorot Kembali Dakwah Pertama Wahai Ikhwan al-Muslimin, Wahai seluruh manusia, Dengarlah gema suara yang pernah dikumandangkan oleh pendakwah pertama suatu ketika dahulu dan masih terdengar sehingga hari ini:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! (Al-Mudaththir: 1-3) Bersama mengungkapkan suatu formula:

Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. (Al-Hijr: 94) Laungan ini ditujukan untuk seluruh manusia:
2

Teks ucapan lengkap disampaikan oleh Imam al-Banna di suatu perhimpunan pada hari Selasa, 14 Safar 358 Hijrah bersamaan dengan 4 April 1939, bertempat di Dar alIkhwan al-Muslimin, Kaherah.

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya; Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimah-Nya (Kitab-kitab-Nya), dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk. (Al-Araf: 158) Jauhnya Kita Daripada Ajaran Islam Wahai Ikhwan al-Muslimin, Wahai seluruh manusia, Allah telah mengutuskan untuk kamu seorang pemimpin dan Dia gubalkan suatu sistem untuk kamu. Dia gariskan segala undang-undang dan Dia turunkan sebuah kitab. Dia halalkan yang halal dan Dia haramkan yang haram. Dia bimbing kamu ke arah yang baik untuk kamu dan kebahagiaan kamu. Dia pimpin kamu ke arah jalan yang betul. Namun adakah kamu mengikut pemimpin yang dilantik olehNya? Adakah kamu hormati sistem-Nya? Adakah kamu laksanakan undangundang-Nya? Adakah kamu sanjungi kitab-Nya? Adakah kamu halalkan apa yang dihalalkan-Nya dan kamu haramkan apa yang diharamkan-Nya? Jawablah dengan terus terang dan kamu akan lihat kenyataannya di hadapan mata kamu. Semua sistem yang kamu guna pakai dalam seluruh urusan hidup kamu adalah sistem yang diikut secara membuta tuli tanpa ada kaitan langsung dengan Islam. Tidak bersumberkan Islam dan tidak berpandukan ajaran Islam. Sistem politik dalam negara. Sistem hubungan antarabangsa. Sistem kehakiman. Sistem pertahanan dan ketenteraan. Sistem kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan oleh negara dan individu. Sistem pendidikan dan kebudayaan. Malah sistem keluarga dan rumah tangga. Termasuklah sistem yang berkaitan dengan tingkah laku individu. Keseluruhan budaya yang diamalkan oleh pemerintah dan rakyat hari ini malah seluruh aspek kehidupan, keseluruhannya menyimpang jauh daripada Islam dan ajaran Islam. Apakah yang masih ada? Apa yang ada hanyalah masjid yang tersergam indah dihuni para fakir miskin dan yang kurang upaya. Walaupun mereka mendirikan sembahyang namun sembahyang mereka kontang tanpa sebarang nilai rohani dan rasa takut kepada Allah, kecuali hanya segelintir di kalangan mereka yang mendapat hidayah Allah.

Hari-hari di mana mereka berpuasa dalam setahun bertukar menjadi musim untuk bersantai dan berehat, musim untuk makan dan minum, jarang sekali harihari ini dimanfaatkan untuk memperbaharui diri atau membersihkan jiwa

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit. (Sad: 24) Segala penampilan yang sungguh mempesona dengan tasbih, cara berpakaian, janggut, istiadat, upacara, istilah dan ungkapan yang digunakan Inikah Islam yang Allah jadikan sebagai rahmat-Nya yang teragung, anugerahNya yang terhebat untuk seluruh alam? Inikah ajaran Muhammad s.a.w. yang diajar bagi memimpin manusia keluar daripada zaman kegelapan kepada zaman kegemilangan? Inikah undang-undang al-Quran yang digunakan bagi menyelesaikan segala masalah dan krisis manusia, malah disusun dengan begitu terperinci dan mantap bagi membawa perubahan? Gelombang Budaya Barat Wahai Ikhwan al-Muslimin, Wahai seluruh manusia, Suatu hakikat yang perlu kita akui, hari ini wujud arus yang begitu kuat melanda umat Islam. Kini wujud gelombang besar yang sedang menenggelamkan fikiran dan akal kita kerana kealpaan kita, kerana umat Islam terlena, juga kerana sebahagian umat Islam tenggelam dalam kemewahan dan kesenangan... Akibatnya lahirlah pelbagai ideologi dan dakyah, berkembanglah pelbagai sistem dan falsafah. Tumbuhlah pelbagai tamadun dan peradaban. Semua ini menggugat ajaran Islam yang ada pada umat Islam. Malah umat Islam diserang sehingga ke akar umbi dari segenap arah. Fahaman ini menyerang dari segenap sudut. Fahaman ini menyusup masuk hingga ke daerah, rumah dan tempat tidur mereka. Malah berjaya menguasai hati, fikiran dan perasaan mereka. Pintu terbuka untuk mereka memperdaya, mempesona dan menguasai umat Islam sedangkan semua ini tidak mampu dilakukan oleh orang lain sebelum ini. Seluruh umat Islam dilanda fahaman ini. Negara-negara yang selama ini menjadi teras kepada negara Islam yang lain juga turut terpedaya. Apatah lagi negara-negara Islam lain, mereka begitu terpengaruh dengan fahaman ini. Akibatnya lahirlah generasi yang kehilangan identiti dan lebih cenderung kepada yang lain daripada Islam. Merekalah seterusnya yang menentukan hala tuju umat ini. Mereka menerajui aspek pemikiran, kerohanian, politik dan pelaksanaan dasar. Dengan ini mereka meneraju rakyat yang terlena ke arah yang mereka kehendaki malah ke arah budaya mereka. Malangnya rakyat sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang mereka kehendaki dan ke mana hala tuju mereka. Lantas suara pendokong-pendokong ideologi sesat ini semakin lantang bersuara, kata mereka: Bebaskan kami daripada saki-baki Islam dan warisan Islam yang masih ada. Marilah bersama kami dengan penuh rela hati untuk menikmati semua keperluan hidup, tanggungjawab, fikiran dan budaya dalam hidup ini. Ketepikan semua fikiran kolot. Jangan kamu menipu, hipokrit dan berdegil; kamu bertindak seperti orang Barat dan bercakap seperti orang Islam.

Kita perlu sedar bahawa kita sebenarnya telah begitu jauh daripada ajaran Islam, jauh daripada asas dan landasan Islam. Islam tidak melarang kita mencedok apa yang baik atau menerima sesuatu ilmu walau dari mana sekalipun. Apa yang dilarang keras oleh Islam ialah kita meniru bulat-bulat mereka yang tidak berpegang sedikitpun kepada agama Allah. Apatah lagi apabila kita menolak ke tepi akidah, kewajipan dan undang-undang Islam, hanya semata-mata untuk mengikut jejak langkah mereka yang terpesona dengan dunia dan diperdaya oleh syaitan. Memang benar ilmu, pengetahuan, dan cara pemikiran semakin maju, harta semakin bertambah, dunia semakin canggih, kehidupan di bumi semakin indah dan menarik. Manusia semakin mewah dan senang. Namun apakah semua ini membawa kebahagiaan kepada manusia? Apakah hidup mereka semakin aman atau jiwa mereka semakin tenang dan tenteram? Adakah tubuh ini dapat merasa tenang berlabuh di atas pembaringan? Adakah mata ini tidak lagi berlinangan air mata? Adakah jenayah telah berjaya dihapuskan dan masyarakat terselamat daripada angkara penjenayah? Adakah fakir miskin terbela dan berjuta-juta perut yang kebuluran kini kekenyangan? Adakah semua tempat hiburan dan menyeronokkan yang tumbuh ibarat cendawan ini dapat menghilangkan kesedihan? Adakah semua bangsa dapat menikmati kesejahteraan dan keharmonian serta selamat daripada ancaman musuh atau mereka yang zalim? Tidak, tiada apa yang dapat dicapai. Jadi apakah kelebihan tamadun ini berbanding tamadun yang lain? Malah bukan setakat itu sahaja. Kita sendiri dapat lihat bagaimana segala sistem, ajaran dan falsafah termasuk dari segi sains dan statistik, semuanya saling bercanggah. Akhirnya mereka terpaksa melihat ke belakang dan menilai semula segala hasil yang sekian lama diusahakan serta segala pengorbanan yang telah dicurahkan dan terpaksa merasai keperitan akibat sebuah kegagalan. Peranan Kita Jadi, Apakah Peranan Kita, Ikhwan Al-Muslimin? Secara Ringkasnya Kita perlu sekat arus deras yang berupa tamadun kebendaan dan peradaban yang penuh dengan hiburan dan pesona ini yang kini sedang melanda umat Islam. Arus ini menyebabkan umat Islam hanyut terpinggir daripada pimpinan Nabi s.a.w. dan petunjuk al-Quran. Arus ini menyebabkan dunia ini tersisih daripada cahaya hidayah. Arus ini juga menyebabkan dunia ini mundur beratus tahun ke belakang. Kita akan sekat arus ini sehinggalah semua arus ini dapat dijauhkan daripada bumi kita dan bangsa kita dapat diselamatkan daripada segala bencana ini. Malah kita tidak akan berhenti setakat itu sahaja kerana kita akan jejaki arus ini hingga ke puncanya dan kita akan gempur hingga ke lubuknya. Sehingga seluruh alam ini mengumandangkan nama Nabi s.a.w. dan seluruh dunia ini yakin dengan ajaran alQuran serta dinaungi oleh bayangan Islam. Ketika itu, barulah segala yang dicitakan oleh seorang muslim akan tercapai. Ketika itu, tiada lagi sebarang ancaman dan agama seluruhnya milik Allah.

Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Ar-Rum: 4-5) Secara Lebih Terperinci Demikianlah secara ringkas tugas kita sebagai Ikhwan al-Muslimin. Namun untuk huraian lebih terperinci, tugas ini bermula di Mesir berdasarkan Mesir antara negara Islam yang pertama, begitu juga rakyatnya. Kemudian diikuti oleh negaranegara lain. Peranan dan usaha ini akan membabitkan beberapa aspek seperti:i. Sistem politik yang akan merealisasikan firman Allah Taala:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. (Al-Maidah: 49) ii. Sistem hubungan antarabangsa yang akan merealisasikan firman Allah Taala::

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Al-Baqarah: 143) iii. Pelaksanaan sistem kehakiman yang berlandaskan ayat al-Quran:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa: 65) iv. Sistem pertahanan dan ketenteraan yang merealisasikan matlamat sebenar kerahan am tentera:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). (Al-Taubah: 41) v. Sistem ekonomi yang bercorak bebas dalam segala aspek yang membabitkan soal kekayaan, kewangan, negara dan individu berasaskan firman Allah Taala:

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu. (Al-Nisa: 5) vi. Sistem pendidikan dan pelajaran yang dapat menghapuskan kejahilan dan merealisasikan wahyu pertama:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (Al-Alaq: 1) vii. Sistem keluarga dan rumah tangga yang mampu membesarkan anak-anak, pemudi serta pemuda Islam dengan merealisasikan firman Allah Taala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). (AlTahrim: 6) viii. Sistem yang berhubung dengan tingkah laku individu yang dapat membawa ke arah kejayaan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah Taala:

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (Al-Shams: 9) ix. Malah semua budaya yang diamalkan oleh individu dalam negara sama ada oleh pemerintah atau rakyat, semuanya berlandaskan firman Allah Taala:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. (Al-Qasas: 77) Kita mahukan:

Individu Islam Rumah tangga Islam Masyarakat Islam Kerajaan Islam Kita juga mahu sebuah negara yang menerajui kesemua negara-negara Islam. sebuah negara yang mampu menyatu padukan semua umat Islam serta dapat mengembalikan kegemilangan umat Islam. Sebuah negara yang dapat mengembalikan semula semua bumi yang telah dirampas. Seterusnya menjulang panji jihad dan dakwah Allah sehingga seluruh manusia dapat menikmati ajaran Islam. Persiapan Kita Wahai Seluruh Manusia, Itulah Matlamat Dan Pendekatan Kita Apakah Persiapan Kita Untuk Merealisasikan Pendekatan Ini? Persiapan kita sama seperti persiapan generasi silam. Senjata kita adalah senjata yang sama pernah digunakan oleh pemimpin dan ikutan kita, Muhammad s.a.w., utusan Allah bersama para sahabat baginda ketika menggempur dunia ini. Walaupun kekurangan dari segi bilangan dan sumber serta terpaksa bekerja keras namun senjata itulah yang akan kita guna untuk menggempur dunia ini sekali lagi. Keyakinan mereka dengan Allah, dengan janji dan bantuan Allah begitu mendalam, begitu teguh, begitu suci dan begitu tulus.

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu. (Aali-Imran: 160) Mereka juga berkeyakinan dengan kepimpinan, dengan kejujuran dan ketokohan baginda:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Al-Ahzab: 21) Mereka yakin dengan sumber (manhaj) yang digunakan. Mereka yakin dengan keistimewaan dan keserasian manhaj ini:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan. (AlMaidah: 15-16) Mereka yakin dengan persaudaraan Islam. Mereka yakin dengan hak dan kesucian hubungan ini:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. (Al-Hujurat: 10)

Mereka yakin dengan ganjaran yang bakal diperolehi. Mereka yakin dengan keagungan Allah:

Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Taubah: 120) Mereka juga yakin dengan diri mereka sendiri. Mereka adalah sekumpulan manusia yang telah dipilih oleh Allah untuk menyelamatkan seluruh manusia. Mereka telah ditakdirkan untuk menerima keistimewaan ini. Mereka merupakan generasi terbaik yang dilahirkan untuk manusia ini. Mereka telah terdengar suara yang menyeru supaya mereka beriman lantas mereka beriman. Kita bermohon agar Allah menjadikan keyakinan ini suatu yang kita kasihi dan kita semat dalam hati kita sama seperti mereka mengasihinya dan mereka semat keyakinan ini dalam hati mereka. Keimanan Adalah Persiapan Pertama Kita Mereka amat memahami bahawa dakwah mereka tidak akan berjaya tanpa jihad, tanpa pergorbanan, tanpa sumbangan jiwa dan harta. Justeru mereka serahkan segala jiwa dan nyawa mereka. Mereka berjuang demi Allah dengan bersungguh-sungguh. Mereka dengar seruan Allah al-Rahman yang ditujukan kepada mereka:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk ugama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya). (At-Taubah: 24) Lantas mereka sahut seruan itu. Mereka ketepikan segala-galanya dengan penuh kerelaan hati. Mereka yakin dengan jual beli yang mereka lakukan dengan Allah.

Ada di antara mereka yang bergelut dengan kematian sambil bersuara: Aku memacu kudaku kepada Allah tanpa sebarang bekalan. Seorang lagi menyumbangkan seluruh hartanya sambil berkata: Aku serahkan nasib keluargaku kepada Allah dan rasul-Nya. Seorang lagi berbisik ketika mata pedang dihunus di tengkuknya:

Aku tidak peduli selagi aku dibunuh sebagai seorang muslim, Walaupun dalam keadaan apa sekalipun, kematianku ini adalah kerana Allah. Begitulah sikap mereka, jujur ketika berjihad, bersedia berkorban dan memberikan sumbangan yang besar. Dan demikianlah apa yang akan kita lakukan. Begitu Juga Jihad, di Antara Persiapan Kita Dalam pada itu, kita tetap yakin dengan bantuan Allah.

Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; - Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al-Haj: 40-41) Antara Khayalan Dan Realiti Mereka yang mendengar semua ini akan berkata: Ini hanyalah khayalan dan imaginasi serta kata-kata kosong sahaja. Bagaimana mereka ini yang hanya memiliki iman dan semangat jihad mampu berhadapan dengan seluruh kekuatan dan pelbagai jenis senjata musuh. Bagaimana mereka dapat menegakkan hak mereka sedangkan mereka berada di mulut singa. Ramai yang akan berkata sedemikian. Mungkin mereka ada alasan tersendiri dan mungkin mereka telah berputus asa. Mereka tidak lagi menaruh harapan pada hubungan mereka dengan Allah yang Maha Berkuasa. Namun bagi kita, kita akan katakan semua ini adalah suatu kenyataan yang kita yakini dan suatu yang kita akan laksanakan. Kita sentiasa menatap firman Allah Taala:

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). (An-Nisa: 104)

Mereka yang pernah suatu ketika dahulu menakluk seluruh rantau di dunia ini dan pernah dianugerahkan kuasa di atas muka bumi ini bukanlah memiliki jumlah yang jauh lebih ramai daripada kita atau mempunyai kelengkapan yang lebih hebat daripada kita. Namun mereka adalah orang-orang yang beriman dan berjuang. Kita pada hari ini akan memperlengkapkan diri kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda bersabda:

Bergembiralah Khubaib, agama ini akan menang hingga suatu masa nanti seorang penunggang daripada Eden ke Oman akan berjalan tanpa rasa takut kecuali hanya kepada Allah dan takut kambingnya dimakan serigala. Sedangkan ketika baginda ungkapkan kata-kata ini mereka masih lagi berselindung. Pada ketika baginda berjanji untuk memberikan gelang raja Kisra kepada Suraqah bin Malik, baginda sedang berhijrah bersama agamanya tanpa bertemankan sesiapa kecuali Allah dan sahabatnya, Abu Bakar r.a. Pada suatu ketika baginda berteriak kerana ternampak istana-istana putih Rom, sedangkan pada ketika itu Madinah sedang dikepung tentera-tentera musyrikin dari segenap arah. Suasana ketika itu disifatkan oleh Allah;

Dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut). (Al-Ahzab: 10) Apakah Yang Berlaku Seterusnya? Zaman berubah apabila seluruh manusia memasang telinga mendengar dakwah Rasulullah s.a.w.. Seluruh manusia mula menuturkan ayat-ayat al-Quran. Sinar hidayah yang terpancar daripada hati nurani para sahabat dan pengikut baginda menerangi segenap pelusuk. Seluruh alam bermandi cahaya. Berkibar panji keamanan ke seluruh dunia. Manusia mula mengecapi kehidupan yang bahagia dan pemerintahan yang adil. Rakyat mula merasa aman damai di bawah pimpinan generasi awal ini; generasi anak-anak murid Muhammad s.a.w.. Istana-istana Rom berjaya ditakluki. Kota-kota Parsi rebah ke bumi. Seluruh dunia mengalu-alukan kehadiran mereka. Seluruh dunia mendakap mereka. Seluruh dunia menjulang mereka. Dengan penuh rela manusia akur menerima hidayah yang telah menyelamatkan mereka sambil dibelai semangat nubuwwah dan diadun semangat wahyu yang qudus. Dibelai rahmat Allah dari semua arah.

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikan-Nya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiaptiap sesuatu. (Al-Ahzab: 25-27) Wahai sekalian manusia, kita akan lengkapkan diri kita dengan persediaan ini. Kita pasti akan beroleh kemenangan sebagaimana yang diperoleh oleh generasi silam tidak lama dahulu. Kemenangan adalah anugerah Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Janji Allah pasti akan terlaksana.

Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu. (Al-Qasas: 5-6)

Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah. (Ar-Rum: 60) Jika Kerajaan Milik Kita Jika kita memiliki sebuah kerajaan Islam yang berpegang dengan Islam yang sebenar, keimanan yang tulen, mempunyai kebebasan dalam merencana dan melaksana, benar-benar memahami khazanah agung yang dimilikinya, memahami kehebatan sistem Islam yang diwarisinya, meyakini Islam sebagai penawar buat bangsanya dan petunjuk untuk seluruh manusia Nescaya kita akan menuntut supaya kerajaan ini menerajui dunia ini dengan nama Islam. Kita mahu supaya kerajaan ini menuntut supaya kerajaan-kerajaan lain mengkaji dan meneliti Islam ini. Kita mahu kerajaan ini membimbing kerajaan-kerajaan lain dengan cara dakwah yang berterusan, meyakinkan, bukti yang kukuh serta penghantaran wakil yang berkala atau gunakan apa sahaja cara untuk berdakwah dan menyampaikan. Kita mahu supaya kerajaan ini menjadi pusat kerohanian, politik dan amali di kalangan kerajaan-kerajaan lain. Kita mahu kerajaan ini mampu memberi nafas baru untuk bangsa ini. Meneraju bangsa ini ke arah kegemilangan dan sinar cahaya. Mampu merangsang bangsa ini supaya bersemangat, gigih berusaha dan bekerja. Agak hairan, bagaimana ideologi komunis mempunyai sebuah negara yang melaungkan slogan komunis, berkempen untuk komunis, memberi sumbangan untuk komunis dan mengerah masyarakat mengamalkannya. Demikian juga dengan

fahaman Fasis dan Nazi yang memiliki pendokong tersendiri yang mengagungkannya, sedia berjuang untuk fahaman ini, rasa bangga kerana menjadi pengikut fahaman ini, meletakkan seluruh sistem hidup di bawah ajaran fahaman ini. Seluruh aliran masyarakat dan politik menjadi pendokong kuat fahaman ini. Mereka menyerahkan segala jiwa, fikiran, tulisan, harta, akhbar dan tenaga mereka. Malah mereka sedia hidup dan mati untuk fahaman ini. Malangnya dalam masa yang sama kita tidak pula jumpa mana-mana kerajaan Islam yang bersedia mengambil tanggungjawab mengembangkan Islam. Sedangkan Islam adalah agama yang menggabungkan segala elemen positif yang ada dalam semua fahaman tadi. Malah Islam menapis semua elemen negatif yang ada dalam kesemua fahaman tadi. Kita tidak temui sebuah kerajaan yang dapat mengenengahkan Islam ini kepada bangsa-bangsa lain sebagai sebuah sistem yang bersifat global dan mampu mengemukakan penyelesaian yang betul, tepat dan memuaskan untuk semua masalah manusia. Sedangkan Islam telah meletakkan usaha dakwah ini sebagai fardhu dan perlu dilakukan. Dakwah ini telah diwajibkan ke atas semua umat Islam sama ada sebagai sebuah bangsa atau sebagai sebuah kumpulan, sebelum semua fahaman tadi tercipta dan sebelum wujudnya semua propaganda tadi.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (AaliImran: 104) Malangnya, bagaimana dengan kerajaan kita. Mereka telah terdidik di bawah asuhan orang asing. Mereka akur dengan fahaman orang asing. Mereka berlumbalumba mengikut jejak orang asing. Mereka bersaing untuk mendapatkan keredaan orang asing. Rasanya, tidak keterlaluan jika kita katakan semangat untuk bebas dalam menentukan semua urusan tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Apatah lagi untuk dimasukkan dalam rangka kerja mereka. Kita telah kerapkali kemukakan harapan ini kepada kerajaan di Mesir dan sudah tentu segala harapan ini tidak menampakkan sebarang hasil. Bangsa yang hilang nilai Islam dalam jiwa, rumahtangga dan dalam segala urusan mereka sudah tentu tidak akan mampu melimpahkannya pula kepada bangsa lain apatah lagi untuk mengajak bangsa lain kepada Islam. Orang yang tidak memiliki apa-apa pasti tidak akan dapat memberikan apa-apa. Wahai Ikhwan, ini bukanlah peranan mereka. Pengalaman telah membuktikan mereka sama sekali tidak mampu menunaikan tanggungjawab ini. Peranan ini adalah peranan generasi baru ini. Oleh itu, sampaikan dakwah ini kepada mereka dengan cara yang baik. Usahalah dengan gigih untuk membentuk mereka. Ajarkan mereka erti kemerdekaan jiwa dan hati, kemerdekaan fikiran dan akal, kemerdekaan jihad dan amal. Isilah jiwa mereka yang bergelora itu dengan kehebatan Islam dan keagungan al-Quran. Rekrutkan mereka di bawah panji Muhammad. Sudah pasti tidak lama lagi kamu akan berpeluang melihat seorang pemimpin Islam yang bersedia mengorbankan dirinya dan sentiasa mengutamakan kebahagiaan orang lain.

Ciri Gagasan Pemikiran Kita Wahai Ikhwan al-Muslimin, Wahai seluruh manusia, Kita bukan parti politik walaupun politik yang berlandaskan Islam adalah teras gagasan kita Kita bukan pertubuhan kebajikan walaupun amal kebajikan adalah objektif utama kita Kita bukan pasukan sukan walaupun senaman badan dan rohani menjadi antara kaedah terpenting kita Kita tidak sama seperti pertubuhan sedemikian kerana semua pertubuhan ini hanya untuk tujuan tertentu, untuk tempoh tertentu. Mungkin pertubuhan ini lahir hanya atas dasar mahu mewujudkan sebuah pertubuhan atau sekadar mahu meletakkan nama rasmi bagi pertubuhan tersebut. Namun wahai sekalian manusia, kami adalah satu fahaman dan satu akidah, satu sistem dan satu manhaj. Kami tidak terbatas pada tempat tertentu atau bangsa tertentu atau sempadan geografi tertentu. Kami tidak akan terhenti pada batas tertentu kecuali setelah bumi dan segala isinya kembali kepada Allah kerana sistem ini adalah sistem tuhan sekalian alam dan manhaj rasul-Nya al-amin. Wahai sekalian manusia, kami (tanpa membanggakan diri) adalah seperti para sahabat Rasulullah s.a.w. dan pendokong panji baginda selepas ketiadaan baginda. Kami adalah penegak panji baginda sepertimana para sahabat baginda menegakkannya. Kami adalah pengibar panji baginda sepertimana para sahabat baginda mengibarkannya. Kami adalah penjaga al-Quran sepertimana para sahabat menjaganya. Kami mengembangkan dakwah baginda sepertimana para sahabat mengembangkannya. Kami adalah rahmat yang Allah turunkan untuk sekalian alam.

Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi. (Sad: 88) Wahai Ikhwan al-Muslimin, Inilah status kamu. Janganlah kamu perkecilkan diri kamu menyebabkan kamu merasakan kamu sama seperti orang lain atau kamu menyampaikan dakwah kamu menggunakan cara yang tidak bertepatan dengan kedudukan kamu sebagai orang-orang yang beriman. Ataupun kamu menyamakan dakwah kamu yang berbekalkan nur Ilahi dan bersumberkan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan dakyah lain yang hanya lahir kerana kepentingan tertentu kemudian hilang di telan zaman. Kamu telah berdakwah dan berjihad. Kamu telah saksikan sendiri bagaimana dengan hasil usaha yang agung ini lahirlah suara-suara yang meminta kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan penguasaan sistem al-Quran. Lahir rasa perlunya mereka bangkit berusaha, membulatkan tekad untuk Allah. Darah pemuda yang suci mengalir demi kerana Allah semata-semata; kerana mahukan kedudukan syahid di jalan Allah. Ini adalah suatu kejayaan yang jauh daripada apa yang kamu jangkakan. Oleh itu teruskan usaha kamu. Beramallah dan Allah akan bersama kamu. Allah tidak akan mensia-siakan amalan kamu. Sesiapa yang bersama kita hari ini akan beroleh kelebihan berada di tempat awal. Sementara mereka yang ikhlas tetapi masih belum bersama kita, pasti esok

akan bersama kita. Siapa yang menjauhkan diri daripada dakwah kita ini kerana tidak merasakan ia perlu atau kerana memandang rendah atau memperkecilkannya atau tidak yakin dengan kejayaannya, hari yang mendatang akan membuktikan kesilapan mereka. Allah akan membawa kebenaran kita untuk mengalah dan menghancurkan kebatilan, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah segala kebatilan. Wahai orang yang beriman, yang beramal, yang berjuang dan yang ikhlas, marilah bersama kami kerana inilah jalan yang sebenar dan jalan yang lurus. Janganlah kamu biarkan tenaga dan usaha kamu berselerakan.

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Anam: 153) Hasan al-Banna

You might also like