You are on page 1of 23

LALUAN KERJAYA DALAM PROFESION KEGURUAN

1.0 Pendahuluan

Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar.
Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini
dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat
pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru, dengan pelaksanaan berbagai-bagai
reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru
menjadi lebih mencabar.
Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan
dewasa ini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan
tugas guru sekarang tidak mewujudkan profesion keguruan yang menarik. Malah tidak
dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan
pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi
muncul dari situasi yang tidak diduga( Abdul Shukor, 1996). Jika keadaan sedemikian
dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran-pembelajaran di sekolah kini akan
menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk
mencapai matlamat yang diidamkan. Persepsi seperti ini sudah tentulah akan menjejaskan
reputasi profesion keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia.

2.0 Keguruan Sebagai Satu Profesion

“Mengajar ialah pekerjaan profesional. Tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat
intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata
atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.”
Janet A. Weiss (1989,2)
Penyataan seperti yang dikemukakan oleh Weiss (1989) di atas memperlihatkan
antara ciri profesion keguruan. Ciri utama sebuah profesion ialah yang melibatkan proses
membuat keputusan berdasarkan pengetahuan formal yang diperoleh daripada pendidikan
dan amalan yang menyeluruh. Secara ringkasnya, ciri utama sebuah profesion ialah

1
mempunyai asas pengetahuan yang kukuh berkaitan dengan tugas (Bowman,1989).
Berdasarkan asas pengetahuan ini, individu profesional adalah seorang pakar dalam
bidang yang khusus dan terhad serta melaksanakan tugas berdasarkan kompleksiti dan
penyesuaian. Golongan profesional turut mempunyai kebebasan untuk melaksanakan
tugas berlandaskan pertimbangan bijak (educated judgment) yang tidak dimiliki oleh
individu lain yang tidak mempunyai pengetahuan atau kelayakan berkaitan (Freidson,
1986, 141).
Seorang profesional ialah individu yang bersifat objektif, adil dan tidak
mementingkan diri sendiri. Perhubungan dengan klien adalah dibatasi oleh tugas secara
teknikal dan mengelakkan penglibatan secara emosi. Ciri ini membolehkan seorang
profesional membuat keputusan yang munasabah dan rasional bagi pihak klien.
Ciri seterusnya bagi seorang profesional ialah berkenaan dengan tahap
perkhidmatan yang diberikan kepada klien. Individu profesional diharapkan sentiasa
memberikan keutamaan kepada klien dan melakukan tindakan yang sewajarnya demi
kepentingan klien. Hal ini demikian kerana klien menaruh keyakinan yang tinggi terhadap
individu profesional tersebut untuk membantunya.
Orientasi berasaskan kumpulan (reference-group orientation) merupakan salah
satu ciri yang penting bagi individu profesional. Kumpulan yang penting bagi golongan
ini ialah teridiri daripada rakan sejawat yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang
yang sama dan berguna dalam proses membuat keputusan. Golongan profesional ini
menitikberatkan integriti profesion dan perkhidmatan yang diberikan kepada klien
mereka.
Ciri lain bagi profesion ialah mempunyai struktur kawalan yang jelas (distinctive
control structure) di mana kepakaran mereka adalah berdasarkan pengetahuan teoritikal
dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan yang panjang. Dalam hal ini, golongan
profesional mengharapkan autonomi dalam melaksanakan kepakaran mereka dan
berpandangan bahawa mereka layak untuk membuat sebarang keputusan dalam ruang
lingkup bidang kepakaran mereka. Danisiewicz (1985) menyatakan terdapat dua bentuk
autonomi – klien dan organisasi. Golongan profesional mengawal klien mereka dan
responsif terhadap keperluan klien mereka. Dalam masa yang sama juga, prestasi

2
golongan profesional ini tertakluk kepada kawalan dan kehendak organisasi mereka yang
mengurangkan tahap profesional mereka.
Ciri terakhir profesional ialah golongan ini mempunyai suatu kod etika yang
memandu aktiviti mereka. Kod etika ini digubal untuk melindungi profesion dan klien
atau kepentingan awam (Benvineste, 1987, 40).
Kesimpulannya, ciri sesuatu profesion merangkumi pengetahuan teknikal yang
diperoleh daripada latihan berjangka panjang; akur kepada norma profesional yang
meliputi keobjektifan profesion, tidak mementingkan diri dan tidak berat sebelah;
berorientasi berasaskan kumpulan; mempunyai autonomi dalam membuat keputusan
profesional; dan mempunyai kod etika tersendiri berdasarkan pengetahuan, tanda aras dan
pendapat rakan sejawat. Ciri-ciri yang disenaraikan di atas merupakan ciri-ciri yang
melayakkan bidang keguruan sebagai satu profesion.

3.0 Ciri Profesionalisme Guru

Guru yang profesional ditakrifkan sebagai seorang guru yang tahu cara menghasilkan
kerja yang bermutu tinggi dalam bidangnya. Guru yang profesional sentiasa terbuka
untuk belajar tentang cara meningkatkan mutu amalannya serta sentiasa berusaha
memperbaiki dirinya. Guru yang profesional sentiasa bersedia berkongsi kepakarannya
dengan profesional lain dalm bidang keguruan. Matlamat kerjaya seorang guru yang
profesional ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan (continuous
development) (Wan Mohd Zahid Noordin, 2003).
Tugas guru yang berbentuk “meningkatkan tahap pembelajaran, pengetahuan dan
pencapaian” melayakkan guru digelar sebagai seorang profesional dengan kemahiran dan
kompetensi yang dimiliki untuk melaksanakan tugas tersebut. Impak daripada tugas
profesional yang dilaksanakan oleh guru ternyata memberikan sumbangan yang amat
signifikan terhadap ekonomi dan masa depan negara khususnya dalam konteks
pembinaan modal insan.

3
4.0 Teori Perkembangan Guru

Berliner (1988) telah mengemukakan model lima peringkat perkembangan guru yang
memberi fokus terhadap pemikiran guru berdasarkan tingkah laku guru dalam bilik
darjah. Model perkembangan Berliner (1995) mentafsir perkembangan guru sebagai “satu
proses menuju ke arah pembentukan guru untuk mencapai tahap kepakaran dan
kecemerlangan” (Sani dan Norzaini, 2007, 218). Peringkat perkembangan dalam Model
Berliner adalah seperti berikut:

4.1 Peringkat 1 – Peringkat permulaan atau novice


Guru novis mempelajari fakta dan menimba pengalaman serta diajar peraturan
umum yang dikatakan sesuai untuk semua konteks;
4.2 Peringkat 2 – Peringkat lebih maju atau advanced beginner
Guru yang mempunyai pengalaman mengajar selama dua atau tiga tahun.
Pengalaman dan konteks masalah mula membimbangi dan mempengaruhi tingkah
laku guru;
4.3 Peringkat 3 – Peringkat cekap atau competent
Guru mampu membuat pilihan secara sedar tentang tindakan, membuat keutamaan
dan membuat perancangan. Berdasarkan pengalaman yang diperoleh, guru
menjadi lebih peka terhadap perkara yang penting atau remeh. Namun, kemahiran
mengajar masih lagi kaku dan tidak fleksibel;
4.4 Peringkat 4 – Peringkat mahir atau proficient
Terdiri daripada guru yang berpengalaman mengajar selama lima tahun. Guru
boleh mengesan maklumat yang wujud dalam semua konteks dan situasi serta
mampu membuat ramalan tentang sesuatu kejadian dengan cepat; dan
4.5 Peringkat 5 – Peringkat pakar atau expert
Bukan semua guru mampu untuk mencapai tahap ini. Pengajaran guru adalah
lancar dan segala tugas dapat dilaksanakan dengan mudah.

Menurut model ini, seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam
kerjayanya sebelum ia dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan.

4
5.0 Sorotan Isu Dalam Profesion Perguruan

Pada awal tahun 60an, guru dianggap insan yang terpilih yang didatangkan untuk
membawa ilmu dan kemajuan kepada masyarakat setempat. Sumbangan guru sangat
besar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Pada masa ini, guru bukan
sahaja memberikan ilmu kepada masyarakat malah menjadi panduan dan rujukan.
Guru mengajar masyarakat Melayu berorganisasi dalam bidang sosial dan arena
politik. Guru-guru sekolah Melayu juga meniup, menanam dan menyemarakkan
semangat nasionalisme. Melalui tulisan yang banyak diterbitkan dalam majalah-majalah
yang terhad bilangannya, suara guru dibaca sehingga menimbulkan kesedaran tentang
untung nasib dan ‘survival’ bangsanya yang ketinggalan dalam bidang ekonomi dan
politik, tentang kesedaran betapa pentingnya pendidikan sebagai satu jaminan masa depan
yang lebih cerah.
Kini profesion keguruan dianggap sebagai profesion peringkat pertengahan di
bawah profesion profesional yang lain seperti doktor, jurutera, peguam dan arkitek.
Ramai yang menganggap tanpa latihan asas pun mereka masih boleh menjadi guru
sandaran atau sementara dan ada kalanya lebih baik dari guru yang sedia ada.
Kini cabaran menjadi seorang guru tidak seperti yang dilihat dengan mata kasar.
Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah antara yang perlu ditangani oleh para pendidik
untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing.
Ini kerana masyarakat kini adalah masyarakat yang bersifat dinamik dan progresif serta
mula menyedari bahawa pendidikan adalah alat yang penting untuk menjamin
kesejahteraan hidup di masa hadapan.
Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama,
iaitu untuk mengajar, mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan
yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira dan tidak boleh membaca kepada celif
huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya (Shuib & Johari, 2001).
Tetapi persoalannya kenapakah pandangan masyarakat terhadap guru dan
profesionnya telah berubah. Dahulu masyarakat memandang mulia kepada guru tetapi
kini profesion keguruan seakan-akan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir

5
pemilihan kerja. Adakalanya juga seringkali para guru menjadi sasaran jika berlaku
kepincangan dalam masyarakat.
Dapatan yang dibuat oleh Shuib dan Johari (2001) melalui pemerhatian, temubual
dan pengalaman, mendapati bahawa ada beberapa sebab mengapa bidang keguruan ini
kurang mendapat tempat pada pandangan masyarakat dan remaja yang memilih kerjaya
seperti berikut:

5.1 Profesion keguruan adalah profesion yang statik, kurang masa dan peluang terlalu
kecil. Bakhtiar Mansor (1993) mengambil beberapa statistik mengenai
perbandingan peluang kenaikan pangkat di kalangan beberapa profesion utama
antaranya;
5.1.1 Pendidikan 3.5%
5.1.2 Jurutera Awam (Kerja Raya) 7.1%
5.1.3 Pegawai Perubatan 15.1%
5.1.4 Polis 18.6%
5.1.5 Pegawai Pertanian 13.4%
5.1.6 Pegawai Tadbir Dan Diplomatik 38.4%
5.2 Berhadapan dengan berbagai karenah pelajar yang begitu ramai yang datang dari
pelbagai keturunan, adat resam, sosioekonomi, peringkat umur dan masalah
disiplin yang perlu ditangani. Malah guru juga perlu melayani karenah ibu bapa,
masyarakat, pihak atasan, kerajaan, pertubuhan dan masalah peribadi;
5.3 Pembelaan pula kurang dan masih tidak memuaskan hati guru sehingga ada
cadangan meletakkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di bahagian
pengurusan samada di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah ataupun di Jabatan
Pelajaran Negeri;
5.4 Wujud profesion lain yang lebih baik hasil dari sistem pendidikan dan kerja keras
guru yang mengajar; dan
5.5 Beban kerja dan kurang insentif yang diterima oleh para guru. Masyarakat
melihat kerja guru mudah, masa kerja yang pendek dan banyak cuti. Guru pula
merasa beban kerja terlalu banyak sehingga membawa ke bilik tidur. Kerja lebih

6
masanya (overtime) tidak dihargai. Pandangan dan persepsi yang berbeza
menyebabkan segelintir guru kecewa.
Justeru, permasalahan yang diutarakan ini perlu ditangani agar profesion keguruan
akan kekal relevan dan dapat mengembalikan reputasi profesion keguruan sebagai suatu
profesion yang mulia dan amat dihormati oleh semua pihak.

6.0 Cabaran Dalam Profesion Keguruan

Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru
membuat anjakan paradigma yang menyeluruh. Pergolakan dalam bidang pendidikan
memerlukan guru meneliti setiap aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan
perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat
dalam sesebuah institusi pendidikan.
Kompleksiti tugas dalam profesion keguruan sering disalahtafsir oleh ahli
masyarakat yang beranggapan bahawa jadual tugas guru amat mudah dan guru hanya
perlu bekerja setengah hari sahaja dan mempunyai cuti yang banyak. Pada hakikatnya,
tugas guru adalah melangkaui waktu persekolahan. Di samping melaksanakan
tanggungjawab mengajar murid, guru turut berperanan melaksanakan tugas berdasarkan
arahan dan keperluan tugas yang lain.
Noriah (1994) menyatakan bahawa profesion keguruan merupakan profesion yang
tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas. Bebanan kerja guru bukan sahaja
mengajar tetapi juga melaksanakan kerja perkeranian dan pentadbiran, menjalankan
aktiviti kokurikulum dan juga kerja-kerja Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (Faridah
dan Zubaidah 1999). Selain daripada itu, guru juga turut menjalankan tugas tambahan
seperti menjadi guru penasihat persatuan, jurulatih permainan dan sukan, mengendalikan
rekod murid, memeriksa kerja murid, menyedia persediaan mengajar serta kertas soalan
dan menanda kertas peperiksaan. Pelaksanaan tugas tambahan ini menuntut guru untuk
datang ke sekolah selepas waktu persekolahan termasuklah pada hujung minggu dan
semasa cuti persekolahan.
Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, guru turut berhadapan dengan
masalah yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan tugas hakiki sebagai

7
pendidik. Guru perlu mengendalikan murid bermasalah, menghadapi konflik dengan
pihak pentadbiran, kritikan masyarakat, kekangan sumber dan sebagainya. Cabaran yang
dihadapi guru pada masa kini bukan sahaja datang daripada pihak sekolah, bilik darjah
atau murid tetapi merangkumi harapan dan ekspektasi daripada masyarakat dan negara.
Perkembangan dunia tanpa sempadan menuntut guru untuk melihat proses pengajaran dan
pembelajaran dalam konteks yang lebih luas dan bukannya dalam konteks tradisional lagi.
Guru masa kini perlu menjalankan tugas yang diamanahkan untuk mendidik generasi
muda menjadi warganegara seperti yang diaspirasikan oleh masyarakat dan negara.
Justeru, profesion keguruan yang semakin mencabar dalam era globalisasi ini
menuntut guru untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan emosi untuk memastikan
proses mendidik anak bangsa berjalan lancar di samping memenuhi tuntutan dan harapan
ibu bapa, masyarakat dan negara agar murid akan dapat mengharungi cabaran era
globalisasi dengan penuh yakin dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Cabaran yang dihadapi oleh guru dalam profesion keguruan boleh dikategorikan
seperti berikut:

6.1 Cabaran Daripada Pihak Sekolah

Cabaran daripada pihak sekolah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru.
Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan melihat kejayaan sekolah
berdasarkan prestasi peperiksaan yang dicapai oleh muridnya. Fenomena ini mencetuskan
persaingan akademik dalam kalangan pentadbir sekolah untuk mendapatkan pengiktirafan
umum dengan mengarahkan guru mengadakan program akademik seperti kelas tambahan
termasuk dalam masa cuti dan menambah bilangan buku rujukan serta menjalankan
aktiviti bercorak motivasi untuk menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan. Hal
ini memberikan tekanan kepada guru serta menambahkan lagi beban tugas mereka.
Sekiranya peratusan kelulusan yang disasarkan tidak dicapai maka guru akan dianggap
sebagai guru yang tidak komited dan kurang berjaya.
Selain daripada itu, masalah kekurangan guru, kekurangan prasarana dan
kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh sesetengah sekolah turut
memberikan tekanan kepada guru. Kekurangan tenaga guru menyebabkan guru sedia ada

8
terpaksa memikul tanggungjawab tambahan untuk mengajar mata pelajaran yang bukan
opsyennya. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya untuk
membuat persediaan rapi dengan merujuk kepada bahan pembelajaran mata pelajaran
yang bukan opsyennya.
Di samping itu, bilangan murid yang ramai dalam sebuah bilik darjah turut
memberikan cabaran dan tekanan kepada guru. Keadaan yang sesak ditambah pula
dengan pelbagai karenah murid memberikan cabaran kepada guru untuk memastikan
pengajarannya benar-benar berkesan dan berkualiti. Justeru, sebagai jalan pintas untuk
menangani cabaran tersebut, guru akan memilih kaedah tradisional untuk melaksanakan
tugasnya.

6.2 Cabaran Daripada Murid

Pengurusan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah merupakan cabaran kepada
guru. Pelbagai karenah yang dijelmakan oleh murid daripada pelbagai latar belakang,
tahap pencapaian dan kebolehan merupakan situasi yang sering dihadapi oleh guru.
Kewujudan keperluan yang berbeza dalam kalangan murid merupakan cabaran kepada
guru yang menuntut usaha yang lebih daripada pihak guru untuk memahami serta
memenuhi kepelbagaian murid serta keperluan mereka. Dalam hal ini, guru perlu
mempunyai pengetahuan yang secukupnya dalam aspek memahami keperluan murid serta
mempunyai kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik supaya proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan lancar.
Guru juga terbeban dengan masalah tingkah laku dan disiplin dalam kalangan
murid. Selain itu, masalah murid yang tidak mempunyai minat untuk mengikuti proses
pengajaran dan pembelajaran merupakan masalah yang perlu ditangani oleh guru.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, implikasi terhadap murid
bermasalah dan murid lain akan menjadi lebih serius.
Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah amat
diperlukan bagi menangani masalah yang timbul ekoran daripada kekurangan prasarana
sekolah, sikap dan tingkah laku pelajar. Masyarakat dapat membantu dari aspek
penyediaan prasarana sekolah manakala ibu bapa dapat membantu dari aspek pemantauan

9
aktiviti anak-anak mereka di rumah. Kolaborasi antara pihak sekolah, masyarakat dan
ibu bapa sudah tentu akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh
guru dalam memberikan pendidikan yang berkualiti.

6.3 Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Ibu bapa

Profesion keguruan sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat. Tanggungjawab


mendidik seringkali diserahkan sepenuhnya oleh ibu bapa kepada guru. Kehendak ibu
bapa yang mahukan guru mendidik anak mereka dan membentuk sahsiah dan
keperibadian serta kebolehan intelektual anak mereka merupakan tanggungjawab dan
cabaran yang amat berat bagi guru. Ibu bapa juga cepat mempersalah dan
mempertikaikan tindakan guru terutama sekiranya berlaku sesuatu peristiwa yang kurang
disenangi di sekolah yang melibatkan anak mereka. Sehubungan itu, adalah amat penting
bagi guru untuk mengetahui latar belakang murid dan keluarga, matlamat dan aspirasi ibu
bapa terhadap anak mereka bagi membolehkan guru menjalankan tugas mereka dengan
lancar dan penuh keyakinan. Selain itu, perkongsian dan jaringan pintar serta hubungan
yang baik antara ibu bapa dan sekolah perlu dimantapkan supaya proses pendidikan akan
dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kurang memberikan tekanan kepada guru.

6.4 Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Negara

Guru ialah golongan yang menjadi harapan negara dalam proses pembentukan modal
insan demi kemajuan negara di masa hadapan. Peranan guru dalam merealisasikan misi
dan visi negara tertakluk kepada bentuk warga yang dihasilkan melalui sistem pendidikan
negara. Dalam konteks ini, guru perlu memahami aspirasi masyarakat dan negara
terhadap golongan guru. Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Pelan Induk Pembangunan Negara merupakan antara dokumen yang perlu difahami
dan dihayati oleh guru dalam usaha untuk merealisasikan hasrat negara melalui proses
pembinaan modal insan. Penghasilan modal insan yang seimbang dari aspek intelek,
jasmani, rohani dan emosi yang menjadi tunjang pendidikan di bawah Falsafah

10
Pendidikan Kebangsaan menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan penuh
tanggungjawab.
Cabaran yang dihadapi oleh guru melalui perubahan kurikulum yang bersifat
dinamik selaras dengan keperluan semasa menuntut guru untuk melakukan penyesuaian
agar segala objektif yang disasarkan melalui perubahan kurikulum akan dapat dicapai.
Perubahan secara mendadak boleh memberi tekanan kepada guru. Sehubungan itu, guru
perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan psikologi serta meningkatkan pengetahuan
mereka bagi melaksanakan perubahan yang diharapkan.
Selaku role model kepada murid, guru harus mempunyai ciri dan nilai yang boleh
diteladani oleh murid. Ciri dan nilai positif yang perlu ada pada setiap guru meliputi
ketrampilan diri, pengetahuan, akhlak dan keperibadian yang tinggi serta pengamalan
nilai murni di dalam dan di luar bilik darjah. Penyesuaian dalam kalangan masyarakat
pelbagai etnik menuntut guru melakukan penyesuaian supaya selari dengan norma yang
diamalkan oleh masyarakat setempat. Justeru, guru perlu menunjukkan kewibawaan dan
keterampilan yang boleh diteladani oleh muridnya.

6.5 Cabaran Untuk Memenuhi Tuntutan Perubahan Semasa

Masa kini, cabaran utama guru adalah berkaitan dengan keperluan masyarakat dan negara
dalam menghadapi era globalisasi dan k-ekonomi. Hargreaves (2003) menyenaraikan tiga
cabaran utama guru dlam era k-ekonomi iaitu: 1) menjadi pemangkin kepada masyarakat
berpengetahuan (knowledge society) untuk merealisasikan peluang yang dibawa
bersamanya; 2) menjadi pengimbang kepada masyarakat dari ancaman yang dibawa oleh
era k-ekonomi; dan 3) menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memenuhi
jangkaan dari segi pendidikan dengan menggunakan kos yang minima. Dalam hal ini,
bidang pendidikan dan guru adalah diharapkan berfungsi sebagai penyelamat masyarakat.
Masyarakat yang berpengetahuan merujuk kepada sistem ekonomi yang dijana
melalui aspek kreativiti dan keaslian. Hal ini menyebabkan masa hadapan dan
kemakmuran negara bergantung kepada kemahiran tenaga kerjanya (k-worker) yang
meliputi aspek menterjemahkan idea yang kompleks, mengambil peluang daripada
perkembangan sains dan teknologi serta menyelesaikan masalah yang belum pernah

11
dihadapi. Tambahan pula, golongan k-worker ini diharapkan akan dapat memberikan nilai
tambah kepada sebarang bentuk produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sehubungan
itu, sekolah dan guru adalah diharapkan dapat memainkan peranan penting dengan
sebaiknya dalam menyediakan murid dengan kualiti tersebut dan memperkembangkan
pengajaran tentang kreativiti dan keaslian. Justeru, guru dan sekolah adlah diharapkan
akan dapat melahirkan modal insan yang berfungsi untuk kesejahteraan diri dan
menyumbang ke arah pembangunan negara.

6.6 Cabaran Dalam Diri Guru Terhadap Profesion Keguruan

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru ialah untuk memotivasikan diri menjadi
pendidik selaras dengan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara. Tekanan beban kerja,
penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan yang agak hambar serta imbuhan
pendapatan yang tidak setanding dengan golongan profesional lain boleh dikaitkan
dengan tahap motivasi dalaman guru. Faktor bebanan tugas yang boleh menimbulkan
fenomena burn out dalam kalangan guru, imbuhan kerja yang kurang menarik dan
kekurangan peluang kenaikan pangkat menjadi faktor penolak kepada guru untuk terus
kekal dalam profesion yang mulia ini.
Namun demikian, telah wujud usaha oleh pihak kerajaan untuk menangani isu ini
dengan mempelbagaikan peluang kenaikan pangkat dan penyediaan struktur gaji yang
lebih menarik serta penyediaan persekitaran kerja yang lebih kondusif demi kebajikan
guru di samping untuk menarik lebih ramai individu menyertai profesion keguruan. Hal
ini turut dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) di
bawah teras strategik Memartabatkan Profesion Keguruan.

7.0 Teori Motivasi Dan Keperluan

Motivasi kerja merupakan aspek penting dalam bidang pentadbiran dan boleh
didefinisikan sebagai kuasa, faktor pendorong, faktor penggerak yang terdiri daripada
keperluan atau needs, tekanan atau pressure yang menggerakkan dan meneruskan usaha
di tempat kerja. Hal ini dapat dikesani menerusi pelbagai tingkah laku yang ditunjukkan

12
dalam persekitaran organisasi. Herzberg (1987) telah mengemukakan Teori Motivator
Hygiene yang turut dikenali sebagai teori dua faktor atau dual-factor theory.
Herzberg (1987) menyatakan terdapat dua set faktor dalam pengurusan sesebuah
organisasi. Set faktor asas yang dikenali sebagai hygiene yang perlu ada bagi
membolehkan seseorang pekerja untuk berfungsi adalah seperti berikut:
i. pertalian antara ketua dengan orang bawahan;
ii. pertalian antara ketua dengan pihak atasan;
iii. polisi dan peraturan pentadbiran;
iv. syarat-syarat kerja; dan
v. pengawasan kerja.
Set faktor motivator pula berfungsi sebagai penggerak atau pendorong kepada
pekerja untuk meningkatkan usaha dan menghasilkan kerja yang lebih baik. Antara faktor
motivator tersebut adalah seperti berikut:
i. pencapaian yang diperolehi;
ii. pengiktirafan yang diberikan;
iii. cabaran dan kesan terhadap minat seseorang;
iv. tanggungjawab yang dipegang; dan
v. peluang kenaikan pangkat.
Apabila faktor motivator tiada atau tidak dipenuhi, maka pekerja akan berasa
kurang puas dan tidak berasa seronok untuk bekerja.
Kombinasi atau gabungan kedua-dua set faktor motivator dan hygiene akan
menentukan motivasi dan kepuasan seseorang pekerja. Teori ini berpegang kepada
beberapa andaian seperti berikut:
i. Pekerja memerlukan keadaan persekitaran yang sesuai dan selesa bagi
mendatangkan rasa kepuasan bekerja;
ii. Apabila kepuasan persekitaran kerja dicapai, seseorang pekerja memerlukan
faktor tertentu untuk memotivasikannya bekerja dengan lebih baik, rajin, cermat
dan produktif;
iii. Motivasi ialah penggerak bagi individu untuk bertindak. Tindakan yang dibuat
adalah berasaskan motif tertentu;
iv. Manusia bertindak membuat sesuatu kerana didorong oleh sesuatu kehendak; dan

13
v. Manusia didorong bertindak jika ia berpendapat tindakannya akan menghasilkan
sesuatu yang diingini.

Abraham Maslow (1954) telah cuba menerangkan tingkah laku manusia berasaskan
keperluan individu yang berbentuk konsep hirarki seperti Jadual 1 berikut:
Jadual 1 Hirarki Keperluan Manusia
Keperluan dan Tahap Petunjuk jenis fisiologi dan psikologi
Tahap 5: Pencapaian Pencapaian perkembangan individu yang
kendiri/Self actualization tertinggi. Tahap kreativiti dan perasaan
sendiri.
Keperluan di Tahap 4: Keperluan Harga diri – bukti pencapaian, kecekapan dan
untuk dihargai keyakinan. Boleh dihargai oleh orang lain –
tahap tinggi diberi pangkat, penghargaan dan penghayatan
Tahap 3: Keperluan Perhubungan yang memuaskan dengan yang
keanggitaan, dikasihi dan lain. Menganggotai kumpulan tertentu.
aktiviti sosial Memberi dan menerima kasih sayang.
Tahap 2: Keperluan Perlindungan dari bahaya dan ancaman,
keselamatan dan kebebasan dari perasaan takut, runsing dan
ketenteraman kacau bilau. Keperluan terhadap struktur,
peraturan undang-undang, sempadan dan
Keperluan di kekukuhan.
tahap rendah Tahap 1: Berbentuk Memenuhi keperluan fisiologi seperti
fisiologi berikut:
Rasa dahaga Rasa tidur
Rasa lapar Bau yang selesa
Keperluan seks Sentuhan

Menurut Maslow (1954) lagi, terdapat lima tahap keperluan dalam diri manusia
apabila bekerja. Pertama, keperluan berbentuk fisiologi; kedua, berbentuk keperluan
keselamatan dan ketenteraman; ketiga, keperluan untuk dikasihi dan dipunyai; keempat,
keperluan untuk dihargai; dan kelima, keperluan untuk memperoleh kebebasan
mengembangkan diri mengikut acuan dan dorongan sendiri.
Keperluan asas fisiologi seperti makan dan minum adalah tahap keperluan yang
terendah manakala keperluan untuk memenuhi kehendak seumur hidup, kehendak yang
diasaskan oleh personaliti sendiri atau self-actualization merupakan tahap tertinggi dalam
hirarki tersebut. Apabila individu memenuhi keperluan fisiologi, ia mempunyai keperluan
di tahap keselamatan, seterusnya keperluan untuk disayangi, dihargai dan akhirnya

14
keperluan untuk mencapai self-actualization. Usaha untuk memenuhi keperluan di tahap
yang lebih tinggi adalah agak sukar untuk dicapai sekiranya keperluan di tahap yang
rendah tidak dipenuhi sepenuhnya. Jika keperluan di tahap yang rendah itu tidak dipenuhi
dan ditinggalkan, ia akan timbul semula dan mengawal tingkah laku individu. Mengikut
Maslow lagi, bagi kebanyakan manusia, keperluan di tiga tahap pertama memang selalu
dicapai dan tidak dianggap sebagai penggerak (motivator) manakala keperluan di tahap
keempat dan kelima adalah jarang-jarang dipenuhi.
Dalam konteks profesion keguruan, kedua-dua teori yang dinyatakan mempunyai
hubungkait dalam menentukan tahap kualiti guru. Guru yang bermotivasi akan dapat
melaksanakan tugas dengan lancar dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri dan
pengetahuannya untuk menjadi guru yang berkualiti. Motivasi yang lahir daripada
hubungan yang baik dengan pentadbir dan rakan sejawat, persekitaran kerja yang selesa
dan kondusif, pengiktirafan dan penghargaan yang diterima akan mendatangkan kepuasan
kepada guru. Gabungan faktor hygiene dan motivator mengikut teori dua faktor Herzberg
dan tahap keperluan yang dipenuhi mengikut teori keperluan Maslow akan mendorong
guru untuk memajukan dirinya dalam profesion serta dapat menghasilkan murid yang
cemerlang. Model analisis input-output mengenai tahap motivasi guru dan pencapaian
murid boleh digambarkan seperti Rajah 1 berikut:

Input Proses Output


Guru yang bermotivasi Pelaksaanaan pengajaran Pencapaian murid yang
(hasil daripada pemenuhan dan pembelajaran yang cemerlang, berakhlak mulia
tahap teori keperluan berkualiti dan berkesan dan berkemahiran selaras
Maslow dan persekitaran, dengan Falsafah Pendidikan
hubungan serta Kebangsaan.
penghargaan yang diterima
mengikut teori dua faktor
Herzberg)
Rajah 1 Model Analisis Input – Output

8.0 Memartabatkan Profesion Keguruan di bawah Pelan Induk Pembangunan


Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP)

15
Dalam usaha untuk memotivasikan guru serta meletakkan profesion keguruan setanding
dengan golongan profesional lain, Kementerian Pelajaran melalui Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP), telah menggariskan teras strategik khas
berkaitan dengan profesion keguruan iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan.
Di bawah teras ini, KPM telah menggubal dasar untuk memartabatkan profesion
keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Bagi
mencapai matlamat dan dasar tersebut, fokus untuk memartabatkan profesion keguruan
adalah:
i. menambah baik sistem pemilihan calon guru;
ii. memantapkan latihan perguruan;
iii. memantapkan kerjaya guru;
iv. menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru; dan
v. memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.
Selain daripada meneruskan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti, KPM
turut berhasrat untuk memastikan guru yang berkualiti akan kekal dalam sistem
pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPM telah menggariskan beberapa strategi
berdasarkan fokus yang ditetapkan seperti berikut:
i. Menambah baik sistem pemilihan calon guru dengan memperketat syarat dan
kriteria pengambilan calon guru.
ii. Memantapkan latihan perguruan dengan:
a) menaik taraf maktab perguruan kepada IPG yang menawarkan program pada
peringkat ijazah sarjana muda pendidikan;
b) mereka bentuk serta menggubal kurikulum IPG secara berpusat dan mendapat
kelulusan Majlis Kurikulum Pendidikan Guru;
c) meningkatkan pemantapan dan peluasan kursus dan latihan; dan
d) memperluas dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan
(R&D).

16
iii. Memantapkan kerjaya guru dengan menambah baik perjawatan guru dan
menambah perjawatan dan peluasan kenaikan pangkat untuk PPPS di
KPM/JPN/PPD/G.
iv. Menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru dengan menyediakan
persekitaran kerja yang kondusif serta menempatkan guru mengikut opsyen dan
keperluan.
v. Memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia dengan penyediaan
mekanisme bekalan guru.

9.0 Skim Perkhidmatan Profesion Keguruan

Terdapat dua kategori skim perkhidmatan profesion keguruan iaitu skim Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dan skim Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Siswazah (PPPS).
Gred perkhidmatan di bawah skim PPPBS dan PPPS adalah seperti dalam rajah 2
berikut:

PPP Lepasan Diploma

DGA29 DGA32 DGA34 DGA38

PPP Siswazah

DG41 DG44 DG48 DG52 DG54 JUSA C

Rajah 2 Gred Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Menurut amalan sebelum ini, guru di bawah skim PPPLD akan ditugaskan untuk
mengajar di sekolah rendah manakala guru di bawah skim PPPS akan ditugaskan di
sekolah menengah. Namun demikian, di bawah inisiatif dan dasar pensiswazahan guru

17
dan selaras dengan hasrat KPM untuk menempatkan 50% guru siswazah di sekolah
rendah dan 100% guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2010, amalan
tersebut telah diubah bagi meningkatkan lagi kualiti guru dan kualiti pendidikan yang
diberikan kepada murid.
Sehingga 31 Januari 2007, terdapat seramai 198,894 orang guru yang berkhidmat
di 7,621 buah sekolah rendah manakala terdapat seramai 140,988 orang guru yang
berkhidmat di 2,055 buah sekolah menengah.

9.0 Pewujudan Perjawatan dan Peluang Kenaikan Pangkat Dalam Profesion


Keguruan

Kementerian Pelajaran menyedari akan keluhan dan rintihan yang disuarakan oleh
golongan guru mengenai peluang kenaikan pangkat yang amat terhad dalam profesion
keguruan. Amalan yang diguna pakai tentang peluang kenaikan pangkat adalah
berdasarkan kekananan atau seniority dalam perkhidmatan. Sehubungan itu beberapa
insentif dan perjawatan baru telah diperkenalkan bagi memperluas peluang guru untuk
menikmati kenaikan pangkat berdasarkan prestasi dan merit, dan bukan hanya
berdasarkan kekananan semata-mata. Antara insentif dan peluang kenaikan pangkat
adalah seperti berikut:

9.1 Kenaikan pangkat secara time-based Khas Untuk Penyandang (KUP)

Di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuatkuasa pada tahun 2002, guru akan
diberi kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka. Seorang guru yang
berada pada gred DGA29 akan menikmati kenaikan pangkat ke gred DGA32 setelah
berkhidmat bagi tempoh 10 tahun. Begitu juga dengan guru yang berada pada gred DG41
dan telah berkhidmat selama 10 tahun akan menerima kenaikan pangkat secara time-
based pada gred DG44.

18
9.2 Memperluas Konsep Pengetua Kanan Gred DG52 (KUP) dan Pengetua
Cemerlang Gred DG54(KUP) serta Pengetua Cemerlang Gred Jusa C

Jawatan Pengetua Kanan Gred DG52(KUP) dan Pengetua Cemerlang DG54(KUP) serta
Pengetua Cemerlang Gred Jusa C diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada pengetua
sekolah yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam aspek pentadbiran dan pengurusan
sekolah. Pemilihan dilakukan oleh Panel Penilai di peringkat KPM berdasarkan
pencalonan dan perakuan yang dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri mengikut syarat
yang telah ditetapkan.
Sehingga bulan Jun 2007, kuota yang diluluskan bagi jawatan Pengetua
Cemerlang ialah sebanyak 10 jawatan diperuntukkan untuk gred JUSA C, 200 jawatan
untuk gred DG54 dan 400 jawatan untuk gred DG52.
Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah meluluskan lapisan gred baru
DGA38 bagi jawatan Guru Besar Cemerlang. Dalam tempoh lima tahun disasarkan
sebanyak 1700 jawatan DGA38 akan diisi.

9.3 Memperluas Konsep Guru Cemerlang Gred Khas C di Institut Pendidikan


Guru dan Kolej Matrikulasi Serta Menambah Kuota Guru Cemerlang
DGA32 dan DGA34

“Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran
yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas
dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.”
(Petikan daripada Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang)

Jawatan Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Pendidikan


merupakan antara jawatan yang tertinggi dalam profesion keguruan. Kenaikan pangkat
dalam profesion keguruan cenderung untuk menjauhkan guru daripada melibatkan diri
dalam pengajaran di bilik darjah. Secara tidak langsung, profesion keguruan akan
kehilangan guru pakar yang berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila mereka

19
dinaikkan pangkat. Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat sebagai Guru
Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat yang lebih baik.
bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah
Objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang adalah seperti berikut:
i. Memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang
pengkhususan masing-masing;
ii. Meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P);
iii. Menjadikan Guru Cemerlang sebagai role model kepada guru lain;
iv. Meningkatkan motivasi guru;
v. Meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran
Guru Cemerlang;
vi. Memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran;
vii. Membolehkan guru dinaikkan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau
bertukar ke jawatan pentadbiran; dan
viii. Menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan
laju (fast track) Khas Untuk Penyandang (KUP).

Sehingga bulan Jun 2007, peruntukan kuota bagi guru cemerlang ialah sebanyak
24 jawatan untuk gred Khas C, 100 jawatan untuk gred DG54, 250 jawatan untuk gred
DG52, 1000 jawatan untuk gred DG48 dan 4000 jawatan untuk gred DG44. Manakala
bagi Guru Lepasan Diploma pula 800 jawatan untuk gred DGA34 dan 3200 jawatan
untuk gred DGA32.

Pelan tindakan KPM di bawah fokus memantapkan kerjaya guru turut


mengandungi perancangan berikut:

i. Menetapkan sekurang-kurang seorang Guru Cemerlang bagi setiap sekolah menengah


pada gred DG44;
ii. Mewujudkan gred kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di
Kementerian Pelajaran Malaysia/Jabatan Pelajaran Negeri;
iii. Mewujudkan pelan pembangunan staf, guru cemerlang dan staf sokongan;

20
iv. Menyediakan laluan fast track untuk guru berasaskan merit dan prestasi, bukan hanya
menggunakan kekananan sebagai asas utama;
v. Mewujudkan gred baru Guru Besar Cemerlang DG41;
vi. Mewujudkan dasar yang lebih jelas bagi program pensiswazahan;
vii. Menyediakan unjuran jangka panjang bagi program sarjana dan PhD;
viii. Menyediakan kaedah kenaikan pangkat untuk mempercepatkan KUP pegawai di
KPM/JPN memegang jawatan hakiki (dalam tempoh 2 tahun);
ix. Menambah baik norma perjawatan guru iaitu norma baru 1:1.7 menjelang tahun 2010;
x. Menetapkan pemberian elaun kepada guru tugas-tugas khas; dan
xi. Mengkaji cuti rehat dan waktu bekerja guru.

Perancangan yang komprehensif yang digariskan oleh KPM dalam usaha


memartabatkan profesion keguruan melalui pewujudan jawatan, peluang kenaikan
pangkat serta insentif lain merupakan satu inisiatif mulia yang mengambilkira keperluan
profesion serta pembelaan hak dan nasib guru yang sudah sekian lama dipinggirkan jika
dibandingkan dengan golongan profesional lain. Adalah diyakini, golongan guru akan
beroleh kepuasan bekerja dan bermotivasi tinggi apabila segala perancangan ini dapat
direalisasikan melalui PIPP.

10.0 Penutup

Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut
perubahan perspektif masyarakat terhadap profesion keguruan. Profesion keguruan tidak
boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja. Hanya
mereka yang mempunyai kualiti, keterampilan, kewibawaan, kelayakan, minat, iltizam
dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut kesungguhan dan
tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan
kebajikan dan kerjaya harus terus diberi penekanan oleh pihak kerajaan. Skim
perkhidmatan keguruan perlu terus diperbaiki bermula daripada aspek pengambilan,
latihan dan penempatan bagi memastikan guru-guru berpeluang menikmati skim yang
setara atau lebih baik daripada skim perkhidmatan profesional yang lain. Pendekatan yang

21
mewujudkan laluan kerjaya profesion keguruan yang lebih menarik akan meningkatkan
persepsi masyarakat terhadap profesion keguruan, menarik minat individu lain untuk
menyertai profesion ini serta akan dapat melahir dan mengekalkan guru-guru berkualiti
dan sekali gus memartabatkan profesion keguruan yang mulia ini.

RUJUKAN

22
Bakhtiar Mansor. 1993. “Perguruan: Satu Perspektif Perkembangan Kerjaya” dalam
Jurnal Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur: Institut Aminuddin Baki.
Hoy, K.W. & Miskel, G.C. 1991. Educational Administration: Theory, Research &
Practice.(ed. 4) New York: McGraw Hill Inc.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-
2010. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2005. Pendidikan Di Malaysia. Putrajaya: Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Risalah Maklumat Asas Pendidikan. Putrajaya:
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Norzaini Azman & Mohammed Sani Ibrahim. 2007. Profesion Perguruan. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan:Satu Pengenalan. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Shuib Dirwan & Johari Seman. 2001. Profesyen Keguruan Di Malaysia: Sejauh Manakah
Martabatnya Kini? dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 40 – 48.
Yazid Abdul Manap. 2001. “Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab
Bersama” dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 15 – 33.

23

You might also like