You are on page 1of 2

Kepentingan Mempelajari Sejarah Negara.

Laungan kemerdekaan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman merupakan sebuah catatan peristiwa yang sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia. Sejarah adalah suatu catatan peristiwa lampau. Di Malaysia semua pelajar diwajibkan mempelajari subjek Sejarah. Persoalannya apakah semua pelajar sedar mengenai kepentingan mempelajari sejarah negara? Melalui pembelajaran Sejarah negara kita dapat menyedari kepentingan mengekalkan perpaduan antara berbilang kaum. Subjek Sejarah memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kerjasama yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Hal ini dapat dilihat melalui pembentukan Parti Perikatan yang menggabungkan parti MIC, MCA, dan UMNO. Hal ini membuktikan untuk mencapai sesuatu kejayaan, perpaduan dan kerjasama antara kaum sangat penting. Selain itu, melalui pembelajaran Sejarah, para pelajar dapat mengambil iktibar daripada peristiwa lalu. Peristiwa Francis Light yang telah mengambil Pulau Pinang telah mengajar kita untuk tidak terlalu bergantung kepada negara luar dalam menyelesaikan sesuatu masalah negara. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya dan sebagai warganegara bertuah ini kita mesti berusaha menyelesaikannya sendiri. Sesungguhnya melalui pembelajaran sejarah, seseorang itu tidak akan mengulangi kesilapan lalu,seperti kata Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Muhamed, mereka ynag tidak mempelajari sejarah, berkemungkinan untuk mengulangi kesilapan lalu. Semangat patriotik dalam kalangan remaja juga dapat ditingkatkan melalui pembelajaran subjek Sejarah. Melalui subjek Sejarah, para pelajar akan didedahkan kepada kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang mempertahankan negara. Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di Bukit Kepong. Para anggota polis telah bersusah payah untuk menentang pihak komunis sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepentingan mempelajari subjek Sejarah dalam usaha untuk melahirkan generasi berjiwa bangsa yang bakal melakar sejarah negara yang gemilang.

You might also like