You are on page 1of 5

Keselamatan kanak-kanak - Jangan jadikan rumah perangkap maut Oleh MERAN ABU BAKAR ANAK merupakan anugerah Tuhan

yang tidak ternilai. Sebagai ibu bapa, kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak dan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kita sering bimbang tidak menentu tentang pemakanannya, tumbesaran, kesihatan, perkembangan, pelajaran dan bermacam-macam lagi. Bagaimanapun, satu daripada kebimbangan yang paling ketara ialah keupayaan kita sebagai ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada kecelakaan dan bahaya. Demikian menurut Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Profesor Dr. Zulkifli Ismail di tutorial Kempen Pencegahan Kecederaan Kanak-kanak di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tutorial tersebut adalah salah satu aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen berlangsung. Menurut Zulkifli, kebimbangan itu meliputi apa sahaja daripada batuk berpanjangan dan demam denggi hinggalah kepada kecederaan yang disebabkan oleh perlakuan kejam. ``Hakikatnya pada hari ini, ancaman paling besar kepada kanak-kanak ialah kecederaan,'' katanya. Beliau menambah, di negara-negara membangun, kecederaan di kalangan kanak-kanak meragut lebih banyak nyawa jika dibandingkan dengan penyakitpenyakit yang biasa dihadapi. Katanya, data antarabangsa menunjukkan bagi setiap seorang kanak-kanak yang mati akibat kecederaan, lebih kurang 40 lagi dimasukkan ke hospital dan 1,000 orang dirawat di bilik kecemasan. ``Di Malaysia, kecederaan adalah punca utama kematian di kalangan kanakkanak yang berumur di bawah 14 tahun,'' jelasnya. Menurutnya, situasi yang menjurus kepada kecederaan berlaku setiap hari, di dalam dan luar rumah. Kanak-kanak yang berumur di bawah empat tahun katanya lebih berisiko mendapat kecederaan di dalam rumah.

Beliau berkata, banyak perbuatan atau kegiatan di rumah yang dianggap oleh orang dewasa sebagai selamat sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Kecederaan boleh berlaku tanpa amaran, tetapi semuanya boleh dicegah jika setiap orang mengambil sikap berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan dalam segala hal. ``Menjadikan rumah sebagai tempat yang selamat memberi peluang kepada anak-anak untuk menerokai dunianya dengan selamat. Ini juga memberikan ketenangan kepada ibu bapa dalam menjalani kehidupan harian,'' katanya. Zulkifli juga memberikan beberapa panduan yang boleh diikuti oleh ibu bapa untuk mempastikan keselamatan anak-anak. Panduan Keselamatan Utama: - Jangan sesekali membiarkan anak anda seorang diri di dalam bilik. Simpan semua bahan pencuci, peluntur atau sebarang bahan kimia yang berbahaya di dalam kabinet yang berkunci. Jangan simpan bahan-bahan tersebut dalam bekas yang membuatkan kanak-kanak terkeliru dan menyangka makanan atau minuman. - Simpan barang kemas yang kecil-kecil, minyak wangi, tali pinggang, skaf dan tali leher di tempat yang tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak kerana barangbarang ini boleh menyebabkan kanak-kanak terjerut dan tercekik. - Semasa memasak sama ada di dalam rumah atau di luar (barbeku, kenduri dan sebagainya), jangan biarkan anak berada berdekatan. Mancis dan lilin harus dijauhkan daripada kanak-kanak. - Pastikan pendawaian elektrik di dalam rumah selamat. Jangan letakkan wayar elektrik di bawah ambal. - Gunakan pelindung soket plug untuk menghalang anak anda daripada memasukkan jarinya atau objek lain ke dalam lubang plug. - Lap segera tumpahan air di lantai untuk mengelakkan anak daripada tergelincir. - Simpan kotak kecemasan di dalam rumah dan pastikan penghuni dewasa lain mengetahui di mana ia disimpan. - Anda digalakkan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu pemadam kebakaran dan pengesan asap di dalam rumah. Ikuti cara penjagaannya.

- Merokok tidak elok untuk kesihatan. Ia juga boleh mengakibatkan kebakaran. Demi keselamatan dan kesihatan kanak-kanak, keluarga dan diri anda sendiri, berhenti merokok. - Jangan biarkan anak berada berdekatan air tanpa ditemani. Ini termasuklah kolam mandi kerana kanak-kanak boleh lemas dalam hanya beberapa sentimeter air. - Buat laluan kecemasan untuk keluar dari rumah jika terjadi kebakaran. Beritahu semua penghuni rumah termasuk kanak-kanak mengenai laluan ini. - Simpan semua ubatan dalam kabinet berkunci dan sukar dicapai kanak-kanak. Jangan biarkan botol vitamin atau ubatan lain di atas meja makan atau di meja tepi katil. Jangan beritahu anak bahawa ubat adalah `gula-gula' dan jangan ambil ubatan anda di hadapan anak-anak. http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp? y=2004&dt=1203&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_03.htm&arc=hiv e Persekitaran selamat - Kualiti kehidupan kanak-kanak terjamin Permata Hati Oleh Roslah Othman SEBAGAI pewaris masa depan negara, kanak-kanak sewajarnya mendapat jaminan untuk hidup dan membesar dengan sempurna . Ini bagi memastikan generasi harapan bangsa ini mampu menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada negara. Merealisasikan matlamat itu, persekitaran yang sihat dan selamat haruslah disediakan kepada golongan berkenaan. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berkata, antaranya ialah mewujudkan persekitaran yang menjamin kualiti hidup kanak-kanak dalam masyarakat. Menurutnya, setiap anak terdedah dengan segala bentuk ancaman dan bahaya baik ketika mereka berada di rumah, sekolah mahupun di tempat permainan. ``Keupayaan dan kemampuan ibu bapa menyedarkan setiap anak-anak mengenainya perlunya menjaga dan mengutamakan keselamatan diri akan dapat membantu mereka memberi jaminan keselamatan anak-anak,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Kesihatan Peringkat Kebangsaan di ibu negara, baru-baru ini. Seminar dua hari anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) itu membincangkan isu-isu kesihatan membabitkan setiap peringkat usia. Dr. Siti Hasmah Ali berkata, ibu bapa berperanan penting dalam memastikan keadaan dan persekitaran rumah selamat untuk anak-anak terutama sepanjang ketiadaan mereka. Memberi contoh penderaan seksual merupakan gejala sosial yang harus dipandang serius oleh ibu bapa masa kini, beliau berkata, risiko tersebut lebih terdedah kepada ibu bapa yang bekerja. ``Terutama bagi pasangan bekerja yang terpaksa meninggalkan anak sendirian atau diletakkan di bawah pengawasan pengasuh,'' katanya. Menerangkan lebih lanjut mengenainya, Dr. Siti Hasmah berkata, mengenal pasti peranan sebenar ibu bapa secara tidak langsung dapat membantu mereka melakukan persediaan awal yang bersesuaian mengikut keupayaan dan kemampuan diri sendiri. ``Selain melaksanakan pelbagai peranan, ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu dipikul secara bersama. ``Ini termasuklah menyediakan tempat tinggal yang selesa dan bersih, makanan dan minuman yang bersih, pakaian serta persekitaran yang selamat,'' ujarnya. Menurut beliau, dalam kehidupan seharian, kanak-kanak sentiasa berhadapan dengan keadaan dan peristiwa berkaitan keselamatan yang memerlukan mereka diawasi dan dilatih dalam aspek-aspek berkaitan. Antara aspek keselamatan asas yang perlu diketahui ialah berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali terutamanya ketika tidak bersama-sama ibu bapa atau orang yang lebih dewasa. Sementara itu Dr. Siti Hasmah juga mengingatkan, kelalaian orang dewasa kerap menjadi punca kematian dan kecederaan di kalangan kanak-kanak. Ini termasuk kejadian-kejadian membabitkan terkena renjatan elektrik, terbakar, melecur, terjatuh, lemas dan sebagainya. ``Bagi keselamatan anak-anak di pusat jagaan, ibu bapa bukan hanya perlu memilih pusat yang berdaftar dan berkelayakan, tetapi juga memenuhi ciri-ciri keperluan keselamatan kanak-kanak,'' ujarnya.

Perkara seumpama itu kata Dr. Siti Hasmah, perlu dititik beratkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti penderaan, pengabaian serta kelalaian terhadap keselamatan anak-anak di bawah jagaan. Menyentuh mengenai kesihatan kanak-kanak, beliau berkata, pembangunan dan perancangan kesihatan yang strategik yang dilaksanakan di negara ini secara tidak langsung telah mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk kanak-kanak. Malah, peningkatan kualiti hidup, ekonomi yang kukuh dan perkhidmatan kesihatan bermutu telah berjaya mewujudkan kesejahteraan di negara ini. ``Menjadi hasrat negara mewujudkan sesebuah negara sihat dan mempunyai sistem kesihatan bermutu dan sama rata. ``Kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan seiring dengan kemajuan negara,'' ujarnya. http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp? y=2003&dt=0626&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_05.htm&arc=hiv e

You might also like