You are on page 1of 4

Semangat Kejiranan

Marcapada ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih


bersifat nafsi ataupun individualistic. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan warga
Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti di bibir ke bibir
rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya, sebelum nasi sudah menjadi bubur,
langkah-langkah pragmatic perlu diambil bagi menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi
masyarakat Malaysia kembali.
Pertama, pihak kerajaan boleh menjalankan kempen-kempen bersesuaian di peringkat
kebangsaan. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menanam sifat
perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tamsilannya, proklamasi Perdana Menteri
Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia sangat menekankan semangat perpaduan
antara semua kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh
dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh.
Bak kata pepatah, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Justeru, kempen-kempen
anjuran kerajaan ini amat vital bagi menyemai semangat kejiranan.
Selain itu, pihak kerajaan juga boleh melaksanakan program-program yang melibatkan
semua kaum di setiap peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana
punca utama kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat bertitik tolak daripada
kurangnya semangat perpaduan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti
Rumah Terbuka Kebangsaan bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan
nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, ibarat kata pepatah,
serumpun bagai serai, seikat bagai sirih, sedencing bagai besi. Hal ini dikuatkan lagi dengan
kajian dari Universiti Sains Malaysia, menunjukkan keberhasilan penganjuran program Rumah
Terbuka Kebangsaan dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah
kawasan perumahan di sekitar negara. Jelaslah, usaha kerajaan ini amat sesuai bagi memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan warga Malaysia.
Di samping itu, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan
semangat kejiranan. Sarwajagat mengetahui, media merangkumi media cetak dan media
elektronik. Sehubungan dengan itu, pelbagai kaedah boleh diusahakan bagi menyuburkan
semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh memaparkan artikel-artikel mengenai
kepentingan semangat kejiranan manakala media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari
dan rancangan yang menarik dan menekankan peri pentingnya semangat kejiranan. Usaha
Majalah 3 yang menyiarkan Colours of Malaysian, sebuah dokumentari mengenai semangat
kejiranan dan perpaduan di Malaysia wajar disokong. Justeru, semangat hati gajah sama
dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
Seterusnya, persatuan-persatuan penduduk juga perlu peka akan masalah ini. Bagi
memupuk semangat kejiranan semula, persatuan ini seperti Rukun Tetangga perlu berbincang
dan bersepakat melaksanakan program bersesuaian demi kemaslahatan penduduk. Sebagai
contoh, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan
silaturahim antara penduduk. Sepakat membawa berkat, begitulah kata-kata filsuf silam.
Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang

diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Pengiktirafan sebegini


menunjukkan bahawa perpaduan yang dijana melalui aktiviti kemasyarakatan sememangnya
merupakan jalan yang terbaik bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam
mencipta satu resipi makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi
hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan semangat kejiranan yang ingin dibentuk.
Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan. Nescaya, kerjasama
dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan bagi memanifestasikan sebuah
komuniti yang bersatu. Janganlah menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing. Malah, hasil kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap
mementingkan diri merupakan factor utama kelunturan semangat kejiranan. Lantaran itulah,
sesebuah organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan
bersama.
Secara tuntasnya, segala usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat. Namun, ingatlah, tiada gunung yang
tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni. Justeru, demi melahirkan masyarakat
yang bersatu padu, semua pihak perlu berganding bahu ke arah itu. Kenanglah kembali
perjuangan tokoh-tokoh patriot negara. Jika mereka boleh lakukan, kenapa kita tidak? Tepuk
dada, tanyalah minda.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi


potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara."
Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali
sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan
diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang
mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah
hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat
pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan
yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang
warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan
yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang
paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan
kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan
semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia
terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak
yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan
warganegara yang baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu
dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang
berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu,
tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat
manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan
sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan
manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan
kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu
tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan
pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk
pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan
keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.
Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh
segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh
dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara
yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit


USM, 2007

You might also like