You are on page 1of 2

KESTABILAN POLITIK MALAYSIA DORONG PELABURAN

SEJAK 50 tahun lalu, Malaysia menikmati kerancakan ekonomi dengan pertumbuhan


purata 6.5 peratus setahun dengan dua tahun saja ekonomi negara mengalami
penguncupan.

Kekuatan negara ini ialah mempunyai kerajaan fleksibel, berpijak di bumi nyata serta
mampu membuat pelarasan dasarnya sesuai dengan perubahan yang berlaku pada
peringkat serantau dan global.

Pada era 1970-an, sesuai dengan persekitaran domestik dan ekonomi global ketika
itu, kerajaan memperkenalkan dasar serta melaksanakan pelbagai langkah dan
insentif bagi menarik pelaburan dalam sektor pekilangan, terutama dalam sektor
elektrik dan elektronik.

Hasilnya, Malaysia muncul antara penerima pelaburan langsung asing (FDI) terbesar
dan salah sebuah negara pengeksport utama barang pekilangan.

Bagaimanapun, berikutan kemajuan yang dicapai dan meningkatnya mutu kehidupan


rakyat, pada masa sama, kemunculan negara seperti China, India dan Vietnam yang
menawarkan buruh murah, kerajaan menyedari Malaysia tidak lagi boleh bergantung
kepada industri berintensifkan buruh, tetapi bergerak ke arah industri berteknologi
tinggi.

Justeru, bersesuaian persekitaran berkenaan, semua dasar serta insentif kerajaan


dijuruskan ke arah itu. Namun menuju ke depan, cabaran yang menunggu Malaysia
adalah jauh lebih mencabar.

“Malaysia tidak akan mampu mempertahankan prestasi ekonomi dicatatkan sejak 50


tahun lalu dalam tempoh 50 tahun akan datang tanpa membina kekuatan dan
membuat transformasi ekonominya kerana keadaan ekonomi dunia akan sama sekali
berubah,” kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu, Malaysia membina kekuatan dalam
perbankan dan kewangan Islam dan terus mencatatkan prestasi yang baik dalam
bidang itu.

Ini, katanya dapat dilihat apabila aset perbankan Islam kini merangkumi 12.3 peratus
daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di negara ini atau bernilai RM146.5
bilion.

Malaysia juga, katanya menjadi pendahulu pengenalan beberapa produk kewangan


Islam. Antaranya, Malaysia adalah negara pertama menerbitkan sukuk kedaulatan
pada 2002 bernilai AS$600 juta dan pada September 2006 menerbitkan bon boleh
tukar Islam pertama di dunia bernilai AS$250 juta.

Bon Islam diterbitkan di Malaysia kini merangkumi 76 peratus daripada jumlah bon
yang masih belum matang di dunia.

“Kerana kekuatan dalam bidang ini, kita kini menjadi tumpuan pelaburan dari Asia
Barat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam tempoh 50 tahun akan datang isu besar yang
perlu ditangani Malaysia ialah untuk menarik pekerja berpengetahuan bekerja di
negara ini dan mengekalkan pekerja berpengetahuan kita sendiri.

1
Bagi tujuan itu, katanya dasar kerajaan kini adalah ke arah mempersiapkan diri bagi
berdepan isu berkenaan, iaitu melakukan transformasi bagi menjadikan Malaysia
sebuah ekonomi bergaji tinggi dan mempunyai persekitaran yang dapat menarik
pekerja berpengetahuan daripada seluruh dunia bekerja di negara ini.

“Ia penting, kerana sebelum pelabur memutuskan mahu melabur di mana-mana


negara, mereka lihat dulu sama ada kita mempunyai pekerja sesuai untuk mereka.

“Jadi bergerak ke depan, kita perlu mewujudkan pekerja berpengetahuan dan


menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu menarik pekerja sedemikian.

“Inilah yang diberikan tumpuan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak
dilantik sebagai Perdana Menteri, iaitu memberikan tumpuan kepada pembangunan
modal insan kerana beliau sedar daripada awal lagi bahawa kita boleh menyediakan
semua prasarana dan dasar, tetapi yang membezakan Malaysia dengan negara lain
pada masa depan ialah mutu modal insan,” katanya.

Nor Mohamed berkata, sejajar dengan meningkatnya tahap globalisasi, sumber


utama yang akan menggerakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara ialah
sektor swasta, tempatan dan juga asing.

Katanya, menyedari hakikat itulah mengapa Perdana Menteri sejak awal lagi turut
memberikan penekanan kepada menyediakan persekitaran yang mampu menarik
pelabur daripada seluruh dunia melabur di negara ini.

Ini termasuk, penurunan cukai pendapatan korporat dan pelbagai langkah lain bagi
mengurangkan kerenah birokrasi.

Nor Mohamed berkata, dalam tempoh jangka pendek dan sederhana, kedudukan
ekonomi makro negara cukup kukuh untuk berdepan cabaran semasa ekonomi dunia
seperti kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat.

Katanya, harga komoditi utama negara kekal tinggi berikutan permintaannya yang
dijangkakan kekal tinggi. Harga minyak mentah yang terus meningkat juga akan
memberi manfaat kepada Malaysia dari segi pelancongan dan pelaburan.

“Bila pendapatan negara di Asia Barat meningkat, mereka akan cari tempat melabur
dan kerana kedudukan Malaysia sebagai negara mengamalkan dua sistem
perbankan, Islam dan konvensional, kita akan meraih manfaat besar,” katanya.

Nor Mohamed juga menegaskan, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia adalah
tinggi kerana mereka tahu mengenai kestabilan politik di negara ini.

“Tetapi risikonya ialah jika berlaku ketidakstabilan dalam politik negara kerana ia
menyebabkan pelabur menjauhkan diri. Justeru, jika kerajaan sedia ada terus
mendapat mandat rakyat, kita boleh mempertahankan ekonomi daripada sebarang
risiko,” katanya.

Berita Harian, Jumaat 15 Feb 2008

You might also like