You are on page 1of 2

SOLAT JEMAAH PUPUK PERPADUAN UMMAH SOLAT berjemaah bermaksud solat dilakukan lebih daripada seorang atau secara

beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Ringkasnya, solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Shafie, hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat muakad, iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu, Hari Raya, Tarawih dan Witir. Tetapi bagi Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah. Sebelum membincangkan soal kelebihan dan keistimewaan solat secara berjemaah ini adalah wajar ditinjau mengenai konsep solat secara berjemaah itu. Pada dasarnya solat berjemaah disyariatkan adalah untuk menyatu dan mempereratkan hubungan sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak, terutama dalam melakukan ibadah kepada Allah. Solat secara berjemaah walau di mana saja adalah dilakukan oleh kumpulan sesama Muslim. Perlakuan itu diketuai oleh seorang imam. Tegasnya, imam itu berperanan sebagai pemimpin dan bertanggungjawab terhadap makmumnya dalam solat secara berjemaah. Makmum pula wajib mengikut imam dengan tertib. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia solat dalam keadaan duduk, solatlah dalam keadaan duduk." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Perlakuan antara imam dan makmum dalam solat berjemaah itu jelas menunjukkan satu keadaan bersatu hati dalam peribadatan. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk kenal mengenali antara satu sama lain melalui amalan bersalaman selepas solat. Dalam perkataan lain, solat berjemaah adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan persaudaraan sesama Muslim. Keadaan ini secara tidak langsung menggambarkan umat Islam sama-sama berganding bahu mengangkat darjat, kemuliaan, kebenaran dan kesucian agama Allah. Melalui solat secara berjemaah, makmum berkesempatan untuk bermuzakarah dengan imam bagi tujuan menambah pengetahuan dari segi ilmu agama. Perkara ini adalah satu keistimewaan. Umpamanya apabila terjadi kemusykilan mengenai ketentuan saf dan kedudukan di antara makmum dan imam dalam solat berjemaah, secara mudah ia dapat diselesaikan. Meskipun perkara ini nampak ringan dan mudah tetapi kesempurnaan pelaksanaan amat dituntut.

studiedandshared.blogspot.com

Perkara ini ditegaskan dalam beberapa hadis Rasulullah bermaksud, "Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Selain itu, jika ada di antara makmum yang secara ikhlas ingin mendalami ilmu berkaitan ibadat khususnya, kesempatan selepas solat secara berjemaah inilah masa yang paling sesuai untuk mengajukan beberapa pertanyaan kepada imam. Umpamanya, mengenai tertib pergerakan imam dan makmum yang sepatutnya dalam solat secara berjemaah. Sifat ingin tahu seperti tersebut amatlah digalakkan. Ia sebagai cara mempertingkat segala kekurangan dan kelemahan dalam ibadat iaitu dengan tujuan supaya dapat mengelakkan dari timbulnya kekeliruan yang membawa ketidaksempurnaan sesuatu ibadat. Perlakuan antara imam dan makmum yang betul dan tertib amat dituntut. Ia juga antara ciri keistimewaan solat secara berjemaah. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra katanya: Rasulullah pernah mengadu sakit, lalu sahabat mendapatkan baginda seterusnya membawa pulang. Baginda mendirikan solat dalam keadaan duduk, sebaliknya sahabat mengikutinya dalam keadaan berdiri. Baginda kemudiannya mengisyaratkan agar sahabat duduk. Selepas selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia bangkit daripada rukuk, bangkit dan apabila dia solat duduk, maka solatlah juga dalam keadaan duduk. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Nabi Muhammad bersabda: Adakah orang (makmum) yang mengangkat kepalanya sebelum imam tidak takut kepalanya akan diganti oleh Allah dengan kepala keldai? (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

studiedandshared.blogspot.com

You might also like