You are on page 1of 2

KGBK PENYELESAI MASALAH TIDAK BOLEH MEMBACA Berita Harian, 1 Mac 2005

Prof. Datuk Dr Isahak Haron, pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menjalankan kajian mengenai mengajar murid membaca melalui Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK). Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, Hassan Omar dengan beliau.

MENGAPAKAH Prof. Isahak menjalankan kajian Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)? Saya dan beberapa rakan menjalankan kajian kaedah mengajar awal membaca dalam bahasa Melayu dengan menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) kerana mahu menyumbang kepada pelaksanaan dasar pendidikan prasekolah yang dimulakan pada 2003 di mana awal membaca bahasa Melayu, satu daripada komponennya. Kami juga mahu mengatasi masalah murid sekolah rendah yang lemah membaca. Adakah perangkaan yang boleh menyokong dakwaan murid tidak boleh membaca? Kementerian Pelajaran pada 2001 melaporkan ada 33,533 murid Tahun 4 dan 19,515 pelajar menengah lemah membaca dalam bahasa Melayu. Pada 1 Oktober 2003, dilaporkan, hampir 520,000 pelajar daripada keseluruhan 5.1 juta pelajar di negara ini menghadapi disleksia. Walaupun wujud kontroversi mengenai disleksia dan sebabnya, biasanya hal itu membayangkan pelajar itu menghadapi masalah sukar atau tidak boleh membaca. Kami mencadangkan KGBK sebagai kaedah alternatif kepada Kaedah Abjad/Fonik dan kaedah seluruh perkataan/kaedah cerakin yang kerap digunakan sekarang untuk mengajar kanakkanak prasekolah membaca dan memulihkan murid sekolah rendah yang tidak boleh membaca. Kami ingin menguji keberkesanan KGBK ini. Bilakah kajian ini dilaksanakan dan tempoh yang diambil untuk melaksanakannya? Kajian menguji keberkesanan KGBK bagi kanak-kanak prasekolah dijalankan dari Julai hingga September 2002 di 12 buah tadika Kemas di daerah Hulu Selangor. Kajian ini membabitkan 326 kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun. Kajian ini dibantu Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang ingin mencari pendekatan alternatif untuk mengajar kanak-kanak membaca dalam bahasa Melayu. Kajian ini turut membabitkan murid yang tidak boleh membaca di sekolah rendah di Perak dan Pulau Pinang yang dijalankan dari Mac hingga Oktober 2003 dengan kerjasama beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru pemulihan di negeri itu. Apakah yang menyebabkan seseorang murid itu tidak boleh membaca? Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kecacatan visual, disleksia dan pendengaran. Murid-murid khas ini memerlukan perhatian dan kaedah khusus bagi mengatasi kelemahannya. Tetapi kebanyakan murid lain lemah membaca kerana tercicir. Mereka lemah sedikit pada peringkat awal persekolahan berbanding rakan sebaya. Mereka terus ke Tahun 2, Tahun 3 dan akhirnya tertinggal. Apakah kaedah pengajaran yang boleh digunakan untuk membantu mereka? Kami menggunakan KGBK. Kaedah ini adalah gabungan kaedah bunyi dengan kaedah seluruh perkataan. Kaedah ini disusun secara mudah dan sistematik untuk mengajar murid mula membaca dan menulis bahasa Melayu. Dalam kaedah ini, kanak-kanak yang baru belajar membaca bahasa Melayu tidak perlu tahu dan hafal semua huruf a, b, c hingga ke z, sebelum mereka diajar membaca. Kanak-kanak diajar bunyi huruf vokal a, e, i, o, u, bunyi

satu atau dua konsonan seperti b, k dan terus membentuk suku kata seperti ba bi bu, ka ki ku. Kemudian mereka terus membina dan membaca perkataan atau frasa seperti bubu baba, ibu abu atau kuku kaki, buku abu, abu buka buku. Ini boleh diajar dalam satu atau dua pelajaran saja. Kami dapati murid gembira apabila mereka boleh membaca walau satu atau dua patah perkataan. Murid menulis apa-apa yang mereka baca. Saya menggubal KGBK pada 1979, sebagai usaha mengatasi masalah tidak boleh membaca di sekolah rendah. Kaedah ini dijadikan salah satu kaedah dan panduan guru mengajar awal membaca bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil KBSR (1981). Tetapi bagi sekolah kebangsaan, Kaedah Cerakin dijadikan asas panduan guru mengajar awal membaca bahasa Melayu. Saya menulis beberapa buku untuk mengajar awal membaca dan menulis Rumi dan Jawi dengan menggunakan kaedah ini. Apakah keistimewaan kaedah ini? Dalam kaedah KGBK, kanak-kanak yang baru belajar bahasa Melayu tidak perlu diajar mengenal dan menghafal turutan semua huruf dalam abjad sebelum diajar membaca. Mereka boleh diajar membaca beberapa perkataan dengan mengetahui huruf vokal a e i o u dan beberapa huruf konsonan saja. Satu kepercayaan yang sukar disingkir daripada pemikiran kebanyakan orang dan guru ialah selagi kanak-kanak tidak kenal huruf a, b , c sampai z, mereka tidak boleh diajar membaca. KGBK boleh digunakan untuk mengajar awal membaca bahasa Melayu kerana sistem ejaan bahasa Melayu mempunyai hubungan yang jelas antara bunyi dan huruf dan suku kata bahasa Melayu jelas. Ini berbeza dengan sistem ejaan bahasa Inggeris yang bercelaru. Kita tidak boleh meniru cara mengajar awal membaca bahasa Inggeris atas sebab ini. Belajar membaca bahasa Melayu lebih mudah. Kanak-kanak normal berumur 5 hingga 6 tahun, boleh membaca ayat dan cerita mudah dalam masa kira-kira dua atau tiga jam. Jika diajar setengah jam sehari, empat kali seminggu, secara sequential dan developmental seperti dalam buku saya Mudah Membaca Bahasa Malaysia Siri Genius terbitan Fajar Bakti. Adakah kaedah ini digunakan secara meluas di Malaysia? Tidak. Kebanyakan guru masih menggunakan kaedah abjad untuk prasekolah atau Tahun 1 atau pemulihan. Bagaimanapun, guru yang tahu kaedah KGBK, kebanyakannya terus mengamalkannya. Tadika swasta yang pernah terdedah dengan KGBK turut menggunakan kaedah ini. Kaedah ini bertambah popular berdasarkan ramai guru prasekolah menghadiri seminar atau bengkel KGBK dari semasa ke semasa. Kami berharap Jabatan tertentu di Kementerian Pelajaran berminat dengan kaedah ini untuk pendidikan prasekolah dan pemulihan. Adakah KGBK boleh digunakan untuk mengajarkan Jawi? Ya. Sejak 1993 saya menulis kertas kerja dan buku mengajar Jawi dengan menggunakan kaedah ini. Pada 1994, saya dan Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr. Hasan Basri membuat kajian mengenai tahap pelajar Tingkatan 1 dan 4, membaca teks Jawi Pendidikan Islam. Kami dapati lebih 40 peratus tidak dapat membaca dan menjawab soalan kefahaman mudah berdasarkan petikan daripada buku teks Tahun 6. Antara 50 hingga 60 peratus lemah menulis Jawi. Kami mencadangkan KGBK. Saya berpendapat kaedah ini boleh digunakan sebagai salah satu kaedah pengajaran awal Jawi dalam Program j-QAF yang akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

You might also like