You are on page 1of 17

Situasi Multibahasa Yang Unggul: Antara Jati Diri Dengan

Globalisasi

Oleh
Nik Safiah Karim
Profesor Emiritus, Universiti Malaya.

Mukadimah

Ikan gelama ikan sepat,


Ikan todak ikan keli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak berjual beli.

1. Pendahuluan: Arus Globalisasi


1.1 Kita kini dilanda arus globalisasi. Hidup kita tidak terlepas
daripada pengaruh luar. Tembok yang memisahkan Negara
kita daripada dunia telah lama runtuh. Melalui kemajuan
sains dan teknologi rumah kita dan kehidupan kita telah
dikelilingi oleh unsure-unsur asing yang ada kalanya baik
tetapi ada kalanya membawa kesan yang buruk.

1.2 Beberapa aspek globalisasi


a. Perhubungan dengan dunia luar telah meningkat; keluar
masuk manusia dan maklumat berlaku dengan luasnya
disebabkan sistem komunikasi yang sangat maju.
b. Keperluan untuk berhubung dengan dunia luar juga
telah meningkat kerana faktor-faktor seperti hubungan
diplomatik, kerjasama akademik dan penyelidikan,
perdagangan antarabangsa dan sukan.
c. Di samping bahasa tempatan (bahasa kebangsaan dan
bahasa-bahasa etnik lain), perlu satu bahasa
PROSIDING SETALING II

antarabangsa atau lebih untuk berhubung dengan dunia


luar, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa
Jerman, dan lain-lain.
d. Dunia pendidikan turut berubah wajah, membuat
penyesuaian dengan arus globalisasi:
• bahasa antarabangsa untuk menimba ilmu
pengetahuan
• Proses mengkomersialkan pendidikan, iaitu
penawaran kursus dan ijazah kepada
masyarakat dunia.
e. Situasi monobahasa tidak lagi sesuai. Globalisasi
memerlukan multibahasa, iaitu penggunaan bahasa
kebangsaan, bahasa-bahasa tempatan lain dan satu
bahasa antarabangsa atau lebih.

2. Pergolakan Bahasa Dalam Negara-negara Sedang


Membangun

2.1 Dalam negara-negara sedang membangun seperti Malaysia


dan Brunei Darussalam, sedang berlaku pergolakan bahasa
yang amat menarik.
2.2 Pada sebelah pihak, negara-negara ini mempunyai bahasa
kebangsaan yang berkait dengan maruah dan jati diri bangsa.
Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi negara dan bahasa
perhubungan masyarakat pelbagai latar belakang. Bahasa
kebangsaan juga menjadi bahasa tinggi, bahasa wahana ilmu
pengetahuan dan bahasa pengungkapan perasaan halus.
Dengan kata lain, bahasa kebangsaan diharapkan juga
berperanan sebagai wahana pengucapan ilmu pengetahuan
dan saluran untuk berpantun, bersyair, dan dalam karya-
karya sastera yang lain. Oleh itu, bahasa kebangsaan perlu
dipupuk perkembangannya dan disemai di kalangan
warganegara supaya mencintai dan membanggakannya.
Dalam konteks ini bahasa kebangsaan dikaitkan dengan
emosi dan cita rasa kenegaraan.
Di samping itu, terdapat bahasa-bahasa kumpulan etnik
lain dalam negara yang perlu digalakkan penggunaannya
sebagai bahasa perhubungan intraetnik. Bahasa-bahasa ini
tidak harus dipinggirkan, ditinggalkan dalam keadaan yang

2
PROSIDING SETALING II

terbiar. Rasa cinta terhadap bahasa etnik perlu dipupuk,


untuk digunakan dalam domain atau ranah tersendiri, yang
saling melengkapi domain atau ranah bahasa kebangsaan.
2.3 Pada pihak yang lain pula ialah kesan globalisasi yang
memerlukan negara-negara ini berhubung dengan dunia luar
untuk pelbagai tujuan. Untuk itu, satu bahasa antarabangsa
atau lebih perlu dikuasai. Lazimnya bahasa antarabangsa
yang dipilih ialah bahasa Inggeris, walaupun bahasa-bahasa
lain juga dianggap penting, misalnya bahasa Arab, bahasa
Jerman dan bahasa Perancis.
Lama kelamaan keadaan bahasa antarabangsa ini,
terutama bahasa Inggeris, dilihat dalam konteks yang lebih
luas. Bahasa Inggeris bukan sahaja menjadi bahasa
perhubungan dengan dunia luar tetapi dikaitkan dengan ilmu
pengetahuan. Banyak buku tentang ilmu pengetahuan
moden, terutama dalam bidang sains dan teknologi, ditulis
dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris dikaitkan
dengan ilmu dan dengan pengajian tinggi.
2.4 Dengan demikiansituasi bahasa dalam negara-negara
membangun seperti Malaysia dan Brunei Darussalam berupa
situasi multibahasa, iaitu yang warganegaranya mengetahui
dan menggunakan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris dan
bahasa-bahasa tempatan lain, dalam konteks yang berlainan
untuk memenuhi pelbagai keperluan.
Situasi multibahasa ini hendaklah dilihat dalam konteks
yang positif. Dari satu sudut, tidak salah dan tidak
merugikan sesebuah masyarakat mempunyai situasi
multibahasa. Bahkan beberapa kajian telah menunjukkan
bahawa otak manusia berupaya mempelajari dan menguasai
banyak bahasa, terutama jika dilakukan sejak kecil lagi.
Maka tidak hairanlah jika banyak negara sedang membangun
pada masa ini mengamalkan dasar multibahasa.
Dari sudut yang lain pula, telah terbukti bahawa situasi
monobahasa tidak lagi sesuai. Sesebuah negara tidak wujud
bersendirian, terpisah daripada jiran-jirannya. Dalam konteks
kemajuan pada masa ini, tiada lagi sempadan antara negara.
Ungkapan ‘perkampungan global’ memang amat tepat. Oleh
itu, mengetahui dan menggunakan hanya satu bahasa sahaja,
iaitu bahasa tempatan, yang walaupun berstatus bahasa

3
PROSIDING SETALING II

kebangsaan, tidak lagi mencukupi. Dasar multibahasa


didapati lebih menguntungkan, terutama dari segi
mengetahui dan menguasai bahasa antarabangsa.
Ini ditambah pula dengan sifat heterogen di kalangan
kebanyakan negara. Dunia satu bangsa yang homogen
sifatnya sudah berlalu. Kini kita berhadapan dengan negara-
negara yang bersifat pluralistik. Anggota masyarakat yang
menjadi warga negara sedemikian berasal dari pelbagai latar
belakang, mengamalkan pelbagai agama dan cara hidup dan
menuturkan pelbagai bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini,
di samping mempelajari dan menggunakan bahasa
kebangsaan, mereka juga mempelajari dan menguasai bahasa
kumpulan masing-masing dalam konteks tertentu. Dalam hal
ini, mereka benar-benar berada dalam masyarakat
multibahasa.
Dalam konteks sedemikian, bahasa-bahasa etnik ini juga
turut mengalami perkembangan. Bahasa-bahasa ini
mempunyai tempat dalam domain-domain tertentu seperti di
rumah, antara ahli-ahli keluarga dan dalam acara-acara adat
dan agama. Bahasa-bahasa ini juga menyumbang kepada
perkembangan bahasa kebangsaan. Satu contoh di Malaysia
ialah perkataan ‘merarau’ daripada bahasa Iban telah masuk
ke dalam bahasa Melayu untuk membawa pengertian ‘makan
tengah hari’. Penutur-penutur bahasa etnik mempunyai
semangat cinta akan bahasa sendiri dan berasa bangga
sewaktu menggunakannya.

3. Beberapa Masalah
Dunia kita tidak unggul. Walaupun situasi multibahasa
didapati amat sesuai dalam zaman globalisasi, namun dalam
pelaksanaannya berlaku kepincangan, yang akan dihuraikan
di bawah.
3.1 Keghairahan terhadap bahasa Inggeris
Bahasa Inggeris telah mendapat kedudukan yang tinggi
kerana menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa yang
digunakan oleh beberapa buah negara besar dan maju seperti
Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan
New Zealand. Dalam dunia yang menekankan ilmu sains
teknologi, bahasa utama yang menampung dan menyebarkan

4
PROSIDING SETALING II

ilmu-ilmu ini ialah bahasa Inggeris. Bukan tidak ada dan


tidak dapat bahasa-bahasa lain memperkatakan ilmu-ilmu
ini, misalnya bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Jepun
dan bahasa Cina, tetapi bahasa yang tersebar luas ialah
bahasa Inggeris. Oleh sebab faktor sejarah (melalui
penjajahan), lebih banyak negara di dunia ini menggunakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa
wahana ilmu pengetahuan.
Satu kesan ialah wujud perasaan ghairah yang amat
sangat terhadap keupayaan dan kepentingan bahasa Inggeris
di kalangan ahli-ahli masyarakat negara-negara membangun,
termasuk golongan terpelajar dan pucuk pimpinan. Bagi
mereka bahasa Inggeris ialah segala-galanya. Menguasai dan
menggunakan bahasa Inggeris, bagi mereka, bererti
memegang kejayaan di dalam genggaman. Sikap ini amat
ketara di Malaysia tidak lama dahulu, tetapi telah reda
sedikit pada masa ini, walaupun masih belum hilang.
Kesan selanjutnya daripada sikap ini ialah hilang
kepercayaan kepada bahasa kebangsaan. Ini ditambah pula
dengan rasa sangsi di kalangan setengah-setengah
warganegara terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai
bahasa dunia moden. Mereka dengan gembiranya
menyambut dan menyokong dasar mengembalikan
kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam
negara, terutama sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
Lebih menyulitkan lagi ialah salah tanggap di kalangan
beberapa pihak, yang melihat gejala ini sebagai langkah
untuk benar-benar menjadi global, dengan globalisasi dilihat
dari sudut penggunaan bahasa Inggeris. Maka lahirlah situasi
di mana bahasa Inggeris, secara perlahan-lahan, mengambil
alih semua peranan bahasa kebangsaan.
Sikap mempunyai perasaan ghairah terhadap bahasa
Inggeris ini perlu diperbetul, yang akan diulas sebentar lagi.

3.2 Kurang mahu menerima dasar multibahasa


Masih terdapat segolongan kecil ahli-ahli masyarakat yang
berpegang pada dasar bahasa kebangsaan sahaja. Mereka
tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam situasi global,
peranan bahasa antarabangsa penting. Golongan ini tidak

5
PROSIDING SETALING II

mahu menerima persaingan daripada bahasa-bahasa lain dan


tidak berusaha untuk belajar bahasa-bahasa tersebut,
terutama bahasa antarabangsa.
Dalam kes ini, sikap sedemikian merugikan dan tidak
kena pada tempat. Seperti yang telah dihuraikan, dunia
sekarang dunia multibahasa. Jika kita masih mahu tinggal di
bawah tempurung satu bahasa, kitalah yang kerugian.

3.3 Sikap yang tidak tepat


Masalah yang ketiga berkait dengan sikap yang tidak tepat
yang dipegang oleh ahli-ahli masyarakat terhadap peranan
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pada satu pihak ialah mereka yang dibincangkan dalam
para 3.2 di atas, iaitu yang terus menolak bahasa Inggeris
dan hanya mahu mempertahankan bahasa Melayu.
Sebenarnya golongan ini tidak diberikan penjelasan tentang
kedudukan sebenar bahasa Inggeris dalam konteks negara.
Bahasa Inggeris digunakan untuk keperluan antarabangsa,
iaitu stu alat yang amat perlu demi survival negara kita. Kita
tidak perlu mencintai bahasa Inggeris tetapi kita mengakui
hakikat bahawa kita perlu menguasai bahasa itu untuk
berhubung dengan dunia luar dan untuk menimba ilmu
pengetahuan moden.
Pada pihak yang lain pula ialah sikap mereka yang
menolak golongan yang memperjuangkan bahasa
kebangsaan. Golongan pejuang bahasa kebangsaan ini
dipandang sebagai golongan kolot dan tidak mahu maju.
Sebaliknya, mereka yang tidak pernah belajar tentang sejarah
kegemilangan bahasa Melayu ini menganggap bahasa
Melayu itu lemah, tidak bertenaga dan tidak berupaya
mengungkapkan ilmu pengetahuan. Yang tidak disedari oleh
mereka ialah, pihak yang lemah ialah mereka sendiri, yang
kerana tidak kenal akan bahasa Melayu, tidak tahu
menghargai bahasa tersebut.
Sikap yang salah ini juga perlu diperbetul, yang juga
akan dihuraikan nanti.

6
PROSIDING SETALING II

3.4 Sikap terhadap bahasa-bahasa etnik


Dalam keghairahan memperjuangkan bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris, pemupukan bahasa-bahasa etnik kadangkala
terabai. Keadaan demikian amat merugikan. Tanpa
menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa
tempatan perlu dipupuk. Generasi muda perlu diperkenalkan
dan diajarkan bahasa etnik masing-masing kerana bahasa-
bahasa itu mendekatkan mereka kepada budaya mereka
sendiri. Pendedahan kepada pelbagai budaya tidak akan
merosakkan perkembangan peribadi seseorang, bahkan akan
mengayakan jiwanya, menjadikan orang itu lebih toleran
kepada kepelbagaian kebudayaan di kelilingnya.
Seperti yang telah dijelaskan, bahasa-bahasa etnik
dengan latar belakang warisan lama mereka dapat pula
menyumbang kepada perkembangan bahasa kebangsaan.
Potensi ini perlu sentiasa digunakan.

4. Situasi Multibahasa Yang Unggul


Setelah melihat latar belakang situasi bahasa dan beberapa
masalah yang dihadapi oleh negara-negara membangun
seperti Malaysia dan Brunei Darussalam, berikut
dibincangkan beberapa ciri utama bagi menjayakan dasar
multibahasa di negara-negara tersebut.
4.1 Sikap terhadap bahasa
Ahli-ahli masyarakat hendaklah mempunyai sikap yang betul
dan sihat terhadap kedudukan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris.
Pertama, mereka yang tidak menyokong penggunaan
bahasa Inggeris hendaklah menerima hakikat bahawa dalam
arus globalisasi, dunia monobahasa tidak lagi sesuai, dan
bahawa dunia sekarang ialah dunia multibahasa.
Kedua, dunia multibahasa bererti dunia yang bahasa
kebangsaan harus berkongsi peranan dengan satu bahasa
antarabangsa atau lebih, dan juga dengan bahasa-bahasa
etnik lain, masing-masing dengan tugas dan domain
penggunaan yang berbeza-beza.
Ketiga, dalam konteks negara, tidak ada mana-mana
satu bahasa yang lebih penting, kerana kepentingan setiap
bahasa terletak pada peranan yang dimainkan. Namun

7
PROSIDING SETALING II

begitu, dalam konteks pemberatan, penekanan perlulah


diberikan kepada bahasa kebangsaan negara.
Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan
kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Bahasa kebangsaan
hendaklah dihormati dan disanjung dalam konteks
kenegaraan. Setiap warganegara wajib menguasai bahasa
kebangsaan dengan baik dan menggunakannya dalam semua
situasi formal dan yang bersifat kebangsaan.
Bahasa antarabangsa (bahasa Inggeris) ialah bahasa
untuk perhubungan dengan dunia luar dan untuk menimba
ilmu pengetahuan. Jikalau kita mau perhubungan kita dengan
dunia luar berkesan, kita perlu menguasai bahasa
antarabangsa itu dengan baik. Jikalau kita mahu menimba
ilmu dengan cepat dan berkesan, melalui apa jua medium
(cetak, elektronik, dll.), kita perlu menguasai bahasa Inggeris
dengan baik. Oleh itu, demi kepentingan-kepentingan ini,
kita perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Tetapi sikap kita hendaklah munasabah. Kita tidak perlu
penguasaan bahasa Inggeris yang baik jikalau kita hendak
menjual ikan atau sayur-sayur di pasar, atau untuk bertugas
di kaunter menjual setem atau untuk bercucuk tanam di
ladang. Maka jangan kita membuat dasar supaya semua
warganegara menguasai bahasa Inggeris yang tinggi. Mereka
yang perlu menguasai bahasa Inggeris ialah mereka yang
berhubung dengan dunia luar, seperti golongan diplomat,
mereka yang berdagang di pasaran antarabangsa, mereka
yang berbincang dan membentang kertas kerja di
persidangan antarabangsa dan golongan-golongan seperti itu.
Bagi masyarakat biasa, penguasaan bahasa Inggeris yang
sederhana sudah mencukupi.
Beberapa langkah untuk diusahakan:
i. Sikap menang-menang
Selama ini kebanyakan orang mempunyai sikap menang-
kalah terhadap persoalan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris. Pada sebelah pihak, yang memperjuangkan bahasa
Melayu melihat situasi bahasa Inggeris-bahasa Melayu
sebagai keadaan yang akan meminggirkan bahasa Melayu,
iaitu bahasa Inggeris menang dan bahasa Melayu kalah. Ini

8
PROSIDING SETALING II

menjadikan mereka marah kerana tidak mahu melihat bahasa


Melayu diketepikan.
Pada pihak yang lain pula, yang memperjuangkan
bahasa Inggeris melihat keadaan yang sebaliknya. Bagi
mereka, kemenangan bahasa Melayu akan meminggirkan
bahasa Inggeris. Ini merisaukan mereka yang melihat bahasa
Inggeris penting dalam dunia yang global ini.
Pada hemat saya, sikap kedua-dua golongan ini tidak
tepat. Mengapa mesti dilihat persoalan ini dari sudut
menang-kalah? Mengapa tidak menang-menang? Kita
mementingkan bahasa Melayu dengan menerima hakikat
bahawa bahasa ini bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
bahasa yang melambangkan jati diri dan maruah bangsa.
Maka itu bahasa Melayu mesti diberi kedudukan yang tinggi
dan dihormati. Kita hendaklah mempunyai rasa cinta akan
bahasa Melayu dan kita semaikan rasa bangga terhadapnya
di kalangan warganegara kita, terutama di kalangan anak-
anak sekolah.
Demikian juga, pada waktu yang sama kita menerima
hakikat bahawa dalam senario globalisasi, bahasa Inggeris
amat penting. Kita dapat maju dengan lebih cepat jikalau kita
menggunakan bahasa Inggeris bagi situasi-situasi tertentu,
terutama untuk berhubung dengan dunia luar dan untuk
menimba ilmu pengetahuan. Bahasa Inggeris bukan untuk
dipuja atau untuk digunakan bagi mencipta karya-karya
kreatif, tetapi sebagai bahasa yang berguna, yang
mempunyai nilai utiliti.
Sikap menang-menang ini, pada hemat saya, akan
membawa keuntungan kepada semua pihak. Di sekolah dasar
dwibahasa kita gunakan; kita belajar dalam dua bahasa dan
kita berhubung dan berbincang tentang ilmu pengetahuan
dalam dua bahasa. Tetapi bagi ilmu-ilmu yang lebih banyak
rujukannya dalam bahasa Inggeris, kita menimba ilmu
tersebut dalam bahasa Inggeris.
4.2 Tahap penguasaan bahasa
Penguasaan sesuatu bahasa wujud pada pelbagai tahap,
misalnya amat baik, baik dan kurang baik. Untuk tujuan
perhubungan yang berkesan, penguasaan bahasa lazimnya
hendaklah baik atau dapat difahami.

9
PROSIDING SETALING II

i. Dalam konteks bahasa Melayu, tahap penguasaan


pada tahap formal, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi negara, hendaklah baik dan betul dalam
semua aspek. Di samping itu, bentuk bahasa hendaklah
indah. Ini merupakan satu masalah buat masa ini, kerana
banyak penutur bahasa Melayu tidak mementingkan
unsur yang baik, betul dan indah ini. Kebanyakan
mereka mempunyai sikap asalkan dapat difahami sudah
mencukupi, lantas menggunakan sejenis bahasa Melayu
yang berada pada tahap yang amat sederhana.
Masalah kedua berkaitan dengan tahap
penguasaan bahasa Melayu ialah kewujudan variasi
bahasa yang digunakan dalam situasi-situasi tidak
formal, seperti dalam penggunaan di rumah, sewaktu
bersantai dan antara golongan-golongan tertentu,
misalnya para remaja. Antara variasi-variasi yang
digunakan ialah bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa
sms, bahasa rojak dan pelbagai lagi.
Persoalannya ialah bukan variasi-variasi bahasa
Melayu ini tidak boleh digunakan, tetapi apabila
pengguna bahasa tidak tahu tentang domain-domain
penggunaan setiap variasi bahasa tidak formal ini. Lebih
teruk lagi ialah apabila dicampuradukkan penggunaan
bahasa ini, menghasilkan situasi bahasa rojak yang amat
memalukan.
Pada masa ini, masalah ini semakin ketara,
sehingga ada yang membawa kepada penggunaan jenis-
jenis bahasa tidak formal ini ke dalam situasi ucapan-
ucapan formal dan dalam jawapan-jawapan peperiksaan.
Ramai guru, misalnya, mengeluh tentang pencerobohan
bahasa sms ke dalam karangan pelajar-pelajar mereka.
Dalam konteks ini, satu perkara yang perlu
ditekankan ialah penguasaan bahasa Melayu pada tahap
tinggi. Demi kedaulatan bahasa kebangsaan kita, demi
menjaga maruah dan jati diri kita, kita mesti
menekankan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi di
kalangan warganegara kita, terutama dalam situasi-
situasi formal dan rasmi. Ini bererti bahawa para

10
PROSIDING SETALING II

pemimpin kita, golongan intelek kita, para penulis kita,


sasterawan dan budayawan kita hendaklah secara sedar
berusaha ke arah menggunakan bahasa Melayu yang
baik, betul dan indah. Dalam masyarakat yang
berpegang pada cogan kata ‘kepimpinan melalui
teladan’, tingkah laku golongan pemimpin amat penting.
Mereka selalunya mendahului mana-mana gerakan,
apatah lagi gerakan menggunakan bahasa Melayu yang
baik.
Saya kerap dilantik menjadi hakim
pertandingan pidato, debat dan forum yang dikendalikan
di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Dalam pertandingan
ini, terbukti dengan jelas keupayaan bahasa Melayu
sebagai bahasa untuk mengungkapkan ilmu dan buah
fikiran yang tinggi dan indah-indah, yang disampaikan
oleh para pelajar yang memang terpilih. Persoalan
sebenarnya ialah bukan ketidakupayaan pada bahasa
Melayu tetapi, sebaliknya, ketidakupayaan pada pihak
pengguna-pengguna bahasa tertentu.
Oleh itu, antara beberapa langkah yang perlu
diambil dalam konteks penguasaan bahasa Melayu
ialah:
a. Mewujudkan tekad untuk semua pihak membaiki taraf
penguasaan bahasa Melayu masing-masing, daripada
golongan pemimpin kepada rakyat jelata.
b. Mengadakan kempen-kempen peningkatan penguasaan
bahasa Melayu sebagai usaha meningkatkan kemahiran.
Di Malaysia, gerakan menggalakkan orang-orang
kenamaan mendeklamasikan sajak (nukilan sendiri atau
oleh orang lain) didapati sangat berjaya.
c. Menggalakkan mereka yang berucap menyelitkan unsur-
unsur keindahan bahasa Melayu dalam ucapan mereka,
misalnya dengan pantun, peribahasa dan gurindam.
d. Sistem pendidikan hendaklah secara sedar menekankan
penggunaan bahasa Melayu yang baik, sama ada melalui
kelas-kelas bahasa Melayu atau menerusi konsep bahasa
Melayu merentas kurikulum.

11
PROSIDING SETALING II

e. Pihak-pihak lain terutama media massa dan agensi-


agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan institusi
pengajian tinggi hendaklah sentiasa menganjurkan
program-program yang bertujuan meningkatkan
penggunaan bahasa Melayu.

ii. Dalam konteks bahasa Inggeris pula, penguasaan yang


baik juga perlu diberikan tekanan, terutama di kalangan
mereka yang ada hubungan dengan dunia luar dan
mewakili negara di pentas antarabangsa, seperti para
diplomat dan golongan cendekiawan serta ahli-ahli
profesioanl. Kita berhak mengharapkan penguasaan
bahasa Inggeris mereka baik. Jika didapati penguasaan
bahasa mereka tidak mencapai tahap, maka hendaklah
mereka menjalani kursus dan latihan yang sesuai.
Dengan kata lain, menjadi tanggungjawab golongan ini
menguasai bahasa Inggeris dengan baik disebabkan
tugas dan tanggungjawab mereka dan hakikat bahawa
mereka mewakili negara di dunia antarabangsa.
Demikian juga bagi para pelajar yang ingin
menimba ilmu melalui buku-buku rujukan dalam bahasa
Inggeris. Penguasaan bahasa mereka juga hendaklah
baik, sekurang-kurangnya pada tahap pembacaan.
Dengan kata lain, oleh sebab mereka menimba ilmu
daripada sumber-sumber berbahasa Inggeris mereka
hendaklah memahami apa yang dibaca. Hal ini menjadi
lebih penting apabila mereka melanjutkan pelajaran ke
luar negara, ke universiti asing yang menggunakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Beberapa langkah yang perlu diambil dalam
konteks penguasaan bahasa Inggeris termasuklah:
a. Menimbulkan sikap positif di kalangan masyarakat
tentang penguasaan bahasa Inggeris dan fungsinya yang
sebenarnya. Pada masa ini, terdapat banyak salah
tanggap yang merugikan.
b. Meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris di
sekolah agar taraf penguasaan para pelajar menjadi lebih
tinggi. Mereka perlu diterangkan sebab mengapa mereka
perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

12
PROSIDING SETALING II

c. Mengadakan rangsangan tambahan di luar bilik darjah


untuk membolehkan para pelajar meningkatkan
penguasaan bahasa Inggeris mereka, misalnya Kelab
Bahasa Inggeris dan menonton drama dan pementasan
dalam bahasa Inggeris.
d. Menyemai kesedaran bahawa penguasaan bahasa
Inggeris yang baik perlu bagi mereka yang ingin
melanjutkan pelajaran di luar negara (yang berbahasa
Inggeris) dan ingin menceburi bidang-bidang yang
melibatkan perhubungan dengan dunia luar, misalnya
perkhidmatan diplomatik.

4.3 Pencernaan dan Pewahanaan Ilmu pengetahuan Melalui


Multibahasa
Mana-mana bahasa yang digunakan oleh penuturnya menjadi
alat bagi meyalurkan buah fikiran dan perasaan, dari tahap
yang serendah-rendahnya hinggalah sebagai wahana
pengucapan idea yang kompleks dan seni. Telah terbukti
bahawa semua bahasa yang digunakan di dunia ini mampu
memikul tugas sedemikian, tidak kira siapa yang
menuturkannya dan di daerah mana sekalipun dia berada.
Yang berbeza ialah bahan yang diperkatakan, iaitu sama ada
tentang unsur-unsur budaya biasa atau yang amat kompleks
sifatnya dan memerlukan istilah dan ungkapan yang banyak
dan pelbagai.
Pada suatu ketika manusia hidup dalam lingkungan yang
agak terhad dan mereka menggunakan bahsa sendiri. Jikalau
ada masyarakat lain mendatangi mereka, berlaku
penyesuaikan yang kadang-kadang bersifat pinjam-
meminjam. Dari segi bahasa, orang yang mendatang
lazimnya belajar bahasa tempatan, kecuali orang yang
mendatangi itu kuasa yang menakluki masyarakat tempatan,
maka bahasa orang yang menakluk selalunya dipaksa ke atas
orang yang ditakluk. Jikalau yang mendatang membawa
unsur-unsur baharu, orang tempatan akan menerima unsur
itu dan kadang kala menerima juga perkataan yang
menghuraikan unsur itu. Kadang-kadang dicari perkataan
daripada bahasa sendiri, jika ada. Proses pinjam-meminjam

13
PROSIDING SETALING II

ini berlaku secara perlahan-lahan dan dalam masa yang


panjang.
Tetapi halnya tidak demikian pada masa ini.
Perpindahan manusia telah meningkat dan kawasan
penduduknya bersifat heterogen semakin kurang. Yang
lazimnya ialah masyarakat yang multibahasa sifatnya.
Namun demikian, dari segi pola penggunaan bahasa,
terdapat perbezaan yang ketara. Ada bahasa yang luas
penggunaannya, ada bahasa yang tidak. Ada bahasa yang
berstatus rasmi, ada yang tidak. Namun setiap bahasa
mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Dalam keadaan yang demikian, situasi multibahasa
banyak manfaatnya, asalkan wujud penerimaan oleh semua
pihak dalam masyarakat berkenaan kewujudan situasi
multibahasa itu. Dengan kata lain, semua ahli masyarakat
senang dengan situasi itu dan berusaha ke arah mencari
manfaat daripadanya dan tidak menghabiskan masa dan
tenaga bertengkar sesama sendiri mengenai isu tersebut.
Berikut dibincangkan beberapa perkara berkait dengan
manfaat yang akan diperoleh dalam situasi multibahasa.
a. Dari satu segi, masyarakat multibahasa amat pelbagai
sifatnya. Kerana kepelbagaian anggotanya, maka input
yang diberikan ke arah pembinaan negara juga pelbagai.
Ini suatu sifat yang menguntungkan dan, pada akhirnya,
menambah proses pembangunan masyarakat berkenaan.
b. Dasar masyarakat multibahasa yang memberikan
penekanan kepada bahasa kebangsaan dan bahasa
antarabangsa serta yang tidak mengetepikan bahasa-
bahasa tempatan lain amat wajar, bahkan amat bijak.
Sesebuah negara perlu mempunyai bahasa
kebangsaan sendiri yang berupa bahasa anak negeri dan
tidak bahasa penjajah. Perkara ini penting dan
diperlukan dalam konteks kedaulatan negara dan jati diri
bangsa. Maka itu, dasar bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara amat wajar.
Namun, dalam konteks globalisasi, dasar
menerima dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa untuk perhubungan dengan dunia luar juga
bersifat praktikal. Kita tidak mahu ketinggalan, dan satu

14
PROSIDING SETALING II

bahasa yang akan mendekatkan kita dengan dunia


antarabangsa dan sumber ilmu pengetahuan ialah bahasa
Inggeris. Maka itu, dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa juga amat wajar.
Demikian juga, dasar memupuk dan
menggalakkan bahasa-bahasa tempatan lain juga wajar
dalam konteks kepelbagaian anggota masyarakat kita.
Dalam semua aspek, kita berada dalam situasi menang-
menang.
c. Masyarakat yang multibahasa bererti masyarakat yang
mempunyai pelbagai sumber untuk mencari dan
mengembangkan khazanah ilmu pengetahuannya.
Sumber untuk menimba ilmu banyak, bukan sahaja
daripada khazanah bahasa kebangsaan tetapi juga
melalui khazanah ilmu bahasa antarabangsa. Demikian
juga, sumbangan bahasa-bahasa tempatan lain tidak
harus diperkecil. Tiap-tiap kumpulan etnik kaya raya
dengan tradisi budaya sendiri dengan pengalaman yang
diperoleh sejak zaman berzaman. Koleksi khazanah
ilmu yang banyak ini akan mempercepat proses
pemantapan ilmu dan sekali gus proses
pengembangannya.
d. Situasi multibahasa lazimnya disertai sikap toleransi
yang amat tinggi terhadap bahasa-bahasa lain yang
wujud dan digunakan dalam masyarakat. Ini
menggalakkan sifat pinjam meminjam dan penerapan
unsur-unsur bahasa lain. Dengan demikian, proses
pengembangan bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa
tempatan akan berlaku dengan licin dan cepat.
Pengaliran ilmu pengetahuan akan berlangsung dengan
lebih sempurna. Yang diterima melalui bahasa Inggeris
akan segera disampaikan dalam bahasa kebangsaan dan
bahasa-bahasa tempatan lain kepada ahli-ahli
masyarakat.
e. Mendekatkan diri dengan bahasa Inggeris yang lebih
maju dan begitu mendalam diselidiki dan dikaji juga
membawa keuntungan sampingan. Bahasa Inggeris
digunakan dan dikembangkan oleh negara-negara maju
dan kemajuan yang dicapai oleh bangsa itu amat pesat.

15
PROSIDING SETALING II

Kita yang menggunakannya sebagai bahasa ilmu


pengetahuan dan bahasa perhubungan antarabangsa
akan mendapat manfaat daripada kemajuan yang dicapai
oleh bahasa tersebut.

5. Penutup
Situasi multibahasa tidak merugikan. Dapat dilihat bahawa
dasar ini amat wajar dilaksanakan pada masa ini, pada waktu
kita dilanda globalisasi tetapi masih mahu mempertahankan
kedaulatan dan jati diri negara sendiri. Dasar multibahasa
berjaya mengekalkan maruah bangsa dan sekali gus
mendekatkan kita kepada dunia antarabangsa dan sumber
ilmu pengetahuan yang kaya raya. Dasar multibahasa juga
memberi ruang kepada pelbagai kumpulan etnik dalam
negara mengekalkan bahasa ibunda masing-masing, sekali
gus mengeratkan ciri keakraban dengan budaya sendiri.

Akhir kata,

Umpama berjalan dah sampai ke batas


Umpama berkayuh dah sampai ke pulau
Umpama memanjat dah sampai ke pucuk

Entah saya salah sapa


Entah duduk salah tempat
Entah sirih salah sorong
Entah kain salah ikat

Saya memohon ampun dan maaf


Disusun jari nan sepuluh
Sambutlah salam saya
Salam nan minta maaf.

16
PROSIDING SETALING II

Senarai Rujukan

Abdullah Hassan (pent).1999. Perancangan bahasa di Asia


Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Ahmad. 1988. Bahasa sastera buku – Cetusan fikiran
Hassan Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Nik Safiah Karim. 2000. Bahasa Melayu dalam dekad 90-an.
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya.
Nik Safiah Karim. 2003. Bahasa Melayu sebagai bahasa
tamadun moden: Program pengisiannya. Syarahan Raja
Ali Haji. Kuala Lumpur: Persatuan Linguitik Malaysia.
Nik Safiah Karim. 2003. “Sastera dalam pengajaran Bahasa
Melayu” dalam Melayu Jilid 1, Bil.1.
Shaharir Mohd Zain. 1991. Pembangunan sains dan teknologi di
Malaysia menerusi Bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali
Haji. Kuala Lumpur: Persatuan Linguitik Malaysia.
Tenas Effendy. 1989. Ungkapan tradisional Melayu Riau. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

17

You might also like