High Quality
Open the downloaded document, and select print from the file menu (PDF reader required).
Bukan Lagi Pelakon Tambahan BY JINAKJI
Bukan Lagi Pelakon Tambahan
Bab 1
“Woi Black!”
Alamak nampak jugak dia. Punyalah susah payah aku menyeronot dibalik orang ramai, di dalam
kegelapan malam dengan dibantu kegelapan kulitku, dia perasan juga. Dan seperti diduga diberikan
sekeping sampul berwarna putih untukku. Ops, maaf, bukan untukku. Nama yang tertera diatas sampul
itu Nurhayati. Yang pastinya aku bukanlah insan yang bernama Nurhayati. Lagipun nama Nurhayati
memang bukan sahaja sedikit hatta sebesar kuman pun tidak sesuai dengan aku, seorang lelaki yang
hanya sesuai dengan panggilan Black.
Seumur hidup aku tak pernah dalam sejarah dunia atau sejarah Malaysia sekali pun aku cuba untuk
mengorat untuk diri sendiri apatah lagi untuk diri orang lain. Bukannya aku tak pernah terberkenan
dengan mana-mana awek, kalau dikira dah beribu-ribu kali aku terberkenan dengan anak dara orang,
tapi yang paling aku tak berkenan untuk terima ialah kenyataan bahawa beribu-ribu kali itulah anak-
anak dara itu tak terberkenan dengan aku. Sebelum aku ditolak setelah mengorat lebih baik aku menolak
untuk mengorat.
Juga amat menghairankan aku sekarang ialah, pertolongan untuk mengorat diminta oleh mamat nan
seorang ni, Fitri namanya. Kalau nak dibandingkan kulit aku dan dia, mesti lah aku yang menang dari
segi siapa yang lebih hitam dan kalau dari segi rupa masih aku yang menang jika dikira dari aspek
negatifnya. Yang aku pasti menang secara positifnya ialah kenyataan aku lebih manis dipandang. Itupun
mak aku yang kata semasa aku buat kali pertama dan terakhir memakai baju melayu lengkap bersampin
untuk bersembahyang hari raya sepuluh tahun yang lalu. Lebih menghairankan lagi pertolongan ini
diminta oleh seorang yang boleh dianggap pakar dalam bidang urat-mengurat dan mempunyai rekod
kerjaya yang cemerlang sebelum ini. Sebelum dia kenal Nurhayati.
Jawapan yang aku berikan untuk memuaskan hati kedua-dua pihak, aku dan Fitri. Jawapan yang
membuatkan Fitri tersenyum lebar, lebih lebar dari senyuman Demang Lebar Daun. Aku pun tumpang
tersenyum mengenangkan makan malam free esok. Tapi tidaklah lebar sangat, sekadar menampakkan
barisan gigi yang putih umpama maskot Darkie sebelum ditukar namanya kepada Darlie.
Kalau bukan Fitri itu kawan teramat rapat aku, tak hendaknya aku nak buat kerja-kerja tak berfaedah
seperti ini. Kalau setakat kawan rapat sahaja tanpa teramat yang meminta tolong aku untuk benda-benda
macam ini, mahunya sampul di tangan aku ini terlepas masuk ke dalam mulutnya yang tersenyum lebar.
Nak tahu betapa teramat rapatnya? Fitri yang aku kenal sejak dari sekolah menengah lagi sering
berkongsi susah senang dengan aku. Sama-sama dirotan kerana keluar asrama untuk menonton gigs
underground dan sama-sama digantung sekolah kerana membelasah budak junior juga sama-sama
berkongsi habuan memecah masuk kantin sekolah. Tapi itu dulu. Sekarang ini kami sekadar sama-sama
berkongsi universiti tanpa aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Dan kami juga masih berkongsi band dimana
dia menjadi vokalis dan aku sekadar dibelakangnya sebagai bassist.
Sambil berjalan menuju ke bilik akumasih berfikir. Macam manalah aku nak buat besok. Dalam banyak-
banyak makhluk di alam semesta ini dengan Nurhayatilah, atau nama pendeknya Yati untuk lebih
senang aku tulis, aku paling tidak selesa untuk berbual. Suruhlah aku bercakap dengan sesiapa sahaja
atau binatang atau benda apapun pun aku senang sahaja berbual. Tetapi dengan Yati, isk susahlah. Nak
tahu sebab apa susah, itu nanti aku bagitau. Nak tahu sebab apa orang sehensem Fitri pun terpaksa
menggunakan taktik lama dan posmen untuk mengorat, itupun nantilah aku beritahu. Buat masa
sekarang aku nak tidur. Semoga esok hari yang bertuah untuk aku. Semoga malam ini aku bermimpi
indah. Mimpi dapat berkonsert bersama-sama Sepultura dan Morbid Angel, antara kumpulan idolaku
yang kini telah lebur dimamah usia.
Pagi ini aku bangun awal. Sebenarnya aku tak berapa lena tidur semalam. Ini semua angkara Fitri dan
kadnya. Nasib baiklah semua ini tidak disedari oleh rakan sebilikku. Kalau tidak mesti mampus aku
digelakkannya. Ayat yang aku pasti keluar dari mulut laser rakan sebilikku semestinya begini : “Harap
baju saja yang brutal, penuh tengkorak, nak cakap dengan perempuan pun dah kecut.” Memang selalu
dia gelakkan aku dengan baju t-shirt kegemaranku, baju yang penuh lukisan dan tulisan yang tidak
menyenangkan mata yang melihat.
Ops! Terlupa aku kenalkan. Rakan sebilikku, nama glamernya, Mat Pearl, budak nogori. Nama
glamernya tu aku yang berikan, sebab minat betul dia dengan lagu satu kumpulan rock jiwang karat,
Pearl nama kumpulan tu. Aku dan Mat Pearl selalu tak setuju angin kata orang tua-tua. Sebabnya, genre
muzik yang kami minati amat berlainan sekali. Aku dengan tape Disharmonic Orchestra dan
Blastpherionku manakala dia dengan tape Scan dan Ukay’s nya. Tapi kami tetap rapat. Sudahlah sikit-
sikit cerita tentang mamat nogori ni. Bukannya aku nak cerita pasal dia. Aku nak cerita tentang aku, Yati
dan Fitri. Tapi selingan tu ada lah jugak terselit nama mamat nogori nan sebatang ini.
hendak dipakai, tapi hari ini berlainan. Pakaianku serba tak kena. Seluar dan baju siap digosok sejak dari semalam, waktu tengah malam, waktu aku tak boleh lena. Aku pilih tie dari koleksi Mat Pearl. Cuma dia sahaja aku rasakan di universiti ini mempunyai koleksi tie yang melebihi daripada koleksi The Tie Shop. Kerana falsafah yang dia pegang, “biar tak hensem, janji tie matching dengan baju.” Hari ini pakaianku paling matching dalam kriteria Mat Pearl aku rasakan. Baju kemeja tangan pendek belang-belang yang baru aku beli dari kedai bundle, seluar slack hitam dan tie hitam polka dot. Kasut, bak kata Mat Pearl, tak dapek den nak nolong, kasut kanvas hitam. Satu-satunya kasut yang aku ada.
Memang awal hari ini aku ke kelas. Nasib baiklah Mat Pearl belum bangun dari tidurnya yang panjang.
Kalau tidak mesti dia dah bermaaf-maafan dengan aku, sebab sikapku hari ini tak ubah seperti orang dah
buang tabiat. Ya, buang tabiat. Kerana aku terlalu awal ke kelas hari ini. Sepanjang sejarahku di
universiti ini, sehinggalah sekarang, inilah hari yang paling awal aku ke kelas. Semuanya kerana Fitri
dan Yati. Sebab utamanya adalah kerana aku nak berikan kad ini kepada Yati sebelum mula kelas.
Sebelum orang lain ada di kelas. Sebelum orang lain nampak aku memberi sesuatu kepada Yati dan
demi menjaga kebrutalanku supaya tidak berganti kejiwangan di mata kawan-kawanku. Kerana Yati
memang antara orang terawal yang datang dalam setiap kelas.
Tapi bak kata orang tua-tua, langit tak selalunya cerah. Walaupun pagi ini langit begitu cerah, tapi bagi
aku hari ini mendung, bukan setakat mendung tetapi hujan lebat. Yati tidak seawal seperti selalunya.
Hari ini Yati adalah orang yang terakhir masuk ke kelas. Masuk selepas pensyarah memulakan kuliah.
Rancangan aku tak berjaya. Penat sahaja aku bangun awal hari ini. Tak sempat lagi bersarapan dah
tercongok di depan kelas.
Pelan A musnah. Kini aku terpaksa berjumpa Yati selepas kelas. Di depan orang ramai. Di depan kawan-
kawan Yati. Oh, tidak. Kalau diikutkan hati kecilku yang mulai bertanduk dan berekor sambil
memegang serampang tiga mata, aku buang sahaja kad dari Fitri ini. Nasib Fitri hari ini memang baik.
Di atas kepalaku masih ada lingkaran cahaya kebaikan. Demi seorang kawan, aku sanggup merenangi
lautan kawan-kawan Yati, juga lautan kawan-kawanku yang sentiasa mencari peluang untuk gelakkan
aku.
Selepas kelas aku menunggu Yati di satu sudut yang tidak mempunyai ramai orang. Hati aku terus
berdebar-debar laju. Aku pun hairan. Padahal aku cuma menjalankan amanah untuk memberi kad ini
kepada Yati. Bukannya aku nak merenung mata Yati dan mengucapkan “Yati, aku cinta padamu”.
Perasaan tidak selesa aku setiap kali bercakap dengan perempuan kini makin kronik bila aku melihat
Yati bersama segerombolan kawannya menuju ke arahku yang keseorangan dan aku rasakan diri aku ini
semakin mengecil.
“Yati!” panggilku sekuat hati. Tapi hanya di dalam hati. Tak terluah dari mulut aku ini walau hanya
empat abjad yang perlu aku ucapkan. Aku mampu menjerit sekuat Derrick Green atau Steve Tucker, tapi
sekarang aku tidak mampu memanggil nama Yati.
Add a Comment