You are on page 1of 5

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai

suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Maklumat berkaitan adat resam masyarakat etnik Sarawak dalam laman web ini akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian yang hanya merujuk kepada tiga suku kaum utama di Sarawak iaitu masyarakat Iban, Melanau dan Bidayuh.

IBAN

Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian.

Pengenalan

Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin. Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut;

Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja.

Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak.

Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah.

Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan.

Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.

Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh.

Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.

BERSALIN

Berikut merupakan beberapa adat yang dilakukan oleh masyarakat Iban semasa menyambut kelahiran bayi.

Pontong

Dalam masyarakat Iban, sebaik sahaja bayi dilahirkan, buluh yang dipanggil Pontong akan dipalu untuk memanggil jiran-jiran. Selain pontong, tembakan senapang juga turut digunakan.

Potong Tali Pusat dan Berurut

Sejurus selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan segera dipotong dan bayi akan dimandikan. Seterusnya bayi dibedung dengan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ketika bersalin, si isteri akan dibantu oleh seorang bidan dan dia akan memastikan ibu dan bayi dalam keadaan baik dan teratur. Seterusnya badan si ibu akan diurut oleh bidan bertujuan untuk menghilangkan rasa sengalsengal badan akibat bersalin tadi. Selepas diurut, badan si ibu akan diusap pula dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu yang dibalut dengan tekalung, sejenis kain yang dibuat daripada kulit kayu.

SELEPAS LAHIR

Adat-adat berikut diamalkan oleh kaum wanita Iban selepas bersalin.

Berpantang

Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak. Dalam tempoh berpantang itu, ibu akan diberi makan nasi dan ikan salai atau ikan kering yang kadang-kadang dicampur dengan pucuk paku dan buah pulur. Semua makanan tersebut pula perlu dicampurkan dengan halia atau air rebusan halia supaya dapat memanaskan badan.

Berdiang/Bersalai

Selepas bersalin, wanita kaum Iban perlu menjalani satu amalan yang dipanggil berdiang atau bersalai, di mana si ibu perlu duduk dekat dengan unggun api. Kayu yang digunakan untuk unggun api ini mestilah dari jenis kayu yang baik. Antara jenis kayu yang lazim digunkan ialah kayu malam, manding atau langsat. Kayu-kayu ini juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit ibu yang baru bersalin. Jika kayu yang digunakan untuk berdiang tersebut basah atau dari jenis beracun, dibimbangi asapnya akan memudaratkan si ibu dan bayi. Si ibu perlu berdiang atau bersalai selama empat puluh satu hari. Dalam tempoh itu, si ibu perlu menggariskan kapur pada tiang atau dinding rumah untuk menghitung hari kelahiran. Kesihatan si ibu dianggap pulih seperti sediakala apabila selesai menjalani adat-adat ini.

Tanggal Pusat

Adat melihat matahari atau merasa garam dijalankan apabila bayi sudah tanggal pusat iaitu ketika bayi berusia empat hari. Bayi tersebut akan dibawa oleh nenek atau saudara perempuannya ke tanju atau luar anjung untuk melihat matahari sambil mulut bayi tersebut dirasakan dengan garam. Pada masa itu juga, doa atau mentera dibacakan agar kesihatan bayi sentiasa terpelihara.

Menamakan Bayi

Kaum Iban begitu mementingkan adat memberi nama kepada anak-anak mereka yang baru lahir. Ini kerana, nama yang baik dan elok mempunyai kesan ke atas masa hadapan kanak-kanak tersebut. Lazimnya sebelum memberi nama yang rasmi, anak-anak kaum Iban akan diberi nama timangan. Bayi yang baru lahir itu seterusnya akan diberi nama sempena nama salah seorang daripada nenek moyangnya yang pernah berjasa dan handal. Tujuannya supaya bayi itu akan mewarisi jasa serta mengikut jejak langkah nenek moyangnya itu. Seterusnya upacara memilih nama akan dijalankan di mana kepalan nasi akan diletak di atas papan yang tertulis nama-nama yang dipilih itu. Kemudian seekor

ayam akan dilepaskan untuk membuat pilihan dan ini dikenali sebagai Manok Tawai. Kepalan nasi yang dipatuk oleh ayam tersebut akan menjadi pilihan untuk menamakan bayi tersebut. Kemudian barulah nama itu dihebohkan kepada saudara mara yang terdekat.

Mandi Sungai

Upacara mandi sungai dijalankan selepas bayi diberi nama. Ia dijalankan semasa bayi itu berumur satu bulan dan adat ini dijalankan bagi membiasakan bayi dengan air sungai. Permulaannya, jiran-jiran akan dimaklumkan untuk meraikan adat tersebut dengan meriah. Dua orang lelaki akan membawa seekor ayam dan panji-panji. Kebiasaannya mereka ini ditugaskan membaca mentera dan menetak air sungai. Dua orang perempuan pula akan mengiringi lelaki tersebut. Seorang akan membawa ancak dan seorang lagi mengendong bayi. Bayi tersebut dipakaikan kain pua belantan dan kumpulan itu akan diikuti pula oleh orang ramai. Ketika ini doa atau mentera dibaca meminta supaya bayi itu menjadi orang yang sempurna dan berguna. Sebaik sahaja mentera dibaca, dua orang lelaki tadi akan menetak air dan ayam disembelih. Nama bayi juga akan diumumkan ketika itu. Bagi bayi lelaki, sayap ayam akan diikat dengan benang merah yang digantung pada galah berayang. Manakala bagi bayi perempuan pula, benang tersebut digantung pada galah laletan.

Selepas bayi dimandikan, dia akan dibawa pulang sambil gendang dipalu. Bayi itu akan dipangku dan pemangku duduk di atas tawak atau gong yang diletakkan di tengah-tengah ruai. Kemudian, bayi dan pemangkunya diselimutkan dengan kain pua kumbu dan disiram dengan air rendaman batu penawar burung, cincin emas atau wang ringgit lama. Selepas upacara mandi selesai, tetamu-tetamu akan dijamu dengan air tuak dan makanan yang ringkas. Upacara ini diakhiri dengan kenduri mandi anak iaitu menjamu tetamu dan ahli rumah panjang dengan makanan yang lebih banyak.

Berkhatan

Kanak-kanak lelaki kaum Iban akan berkhatan ketika berumur sepuluh tahun. Berkhatan lazimnya dilakukan secara senyap dan tidak disertai dengan kenduri. Kanak-kanak yang tidak berkhatan akan digelar sebagai lelaki kulup di kalangan kaum Iban.

You might also like