You are on page 1of 2

'Jangan sentuh kontrak sosial'

Majlis Raja-Raja bersuara lindung hak Islam, Melayu

KUALA TERENGGANU: Majlis Raja-Raja mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak lagi
mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial, apa lagi menyemak semula atau
mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

Dalam kenyataan khas selepas mesyuarat ke-215 di Istana Maziah di sini semalam, Majlis
Raja-Raja menegaskan, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka
kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-undang
Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di
kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling
hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman
negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,
Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan dikeluarkan oleh Bernama.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu
dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mesyuarat dua hari
yang berakhir semalam, dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Engku Ibrahim menjelaskan, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk


melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama
Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di
negara ini.

“Tindakan pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara itu yang menjadi asas
utama pembentukan negara dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, telah
menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

“Sebagai tindak balas, beberapa pihak terutama pemimpin Melayu, sama ada dalam kerajaan
atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan, telah menyuarakan rasa tidak
puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan
menganjurkan forum-forum berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, gejala itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan negara terjebak
dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum hingga menjejaskan
keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan
kejayaan kepada negara.

“Untuk itu, Raja-Raja Melayu wajar mengingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak
sekali-kali cuba diuji dan dicabar.
“Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu padu untuk
mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu,
melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah
kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari
kepentingan politik atau kelompok,” katanya.

Engku Ibrahim berkata, perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi


negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim
Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya turut
dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor,
Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan
Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja
Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku
Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin
Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili
Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Berita Harian, Jumaat 17/10/2008

You might also like