You are on page 1of 2

POLITIK DULANG PAKU SERPIH

DARI segi isu, politik Malaysia sebenarnya tidak sofistikated. Ahli-ahli politik dan parti politik
kita, termasuk aktor dan aktres politik yang masih muda, bertarung dan berebut kuasa
menggunakan isu-isu zaman lampau.

Politik kita, tidak terkecuali politik pembangkang, barangkali tidak dinamik perkembangannya.
Acuan dan kuihnya masih sama. Isu-isu dalam politik yang sedang kita tonton sekarang
umpama ulang tayang filem lama.

Kira-kira lima puluh tahun lalu, pada tahun 1959, Almarhum Tunku Abdul Rahman
menghadapi pilihan raya pertama selepas merdeka. Pilihan raya terakhir sebelum Tanah
Melayu bebas daripada zaman kolonial diadakan pada 1955 sewaktu semangat
kemerdekaan begitu memuncak. Rakyat memberikan Tunku Abdul Rahman kemenangan
besar pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, pendapat umum terhadap Tunku dan Perikatan berubah dengan mendadak
pada tahun 1959.

Dalam pilihan raya itu, Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC cuma
menguasai 51.5 peratus undi popular, merosot daripada undi popular sebanyak 81.7 peratus
pada tahun 1955.

Daripada hanya satu wakil pembangkang di Parlimen pada 1955, dalam pilihan raya 1959,
para pengundi telah memberikan parti-parti pembangkang sebanyak 39 kerusi Parlimen
daripada 113 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Perikatan masih mengekalkan penguasaan di Parlimen dengan 74 kerusi. Sungguhpun


bilangan wakil rakyat pembangkang ramai, ketika itu tidak kedengaran pula cerita pakatan
pembangkang hendak membentuk kerajaan Persekutuan melalui cara mempengaruhi ahli
Parlimen Perikatan lompat parti.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana secara tiba-tiba pendapat umum
terhadap Tunku menjadi begitu merosot dan betapa berkesannya ahli-ahli politik
pembangkang mengeksploitasi sesetengah isu sehingga mereka hampir-hampir dapat
menjatuhkan kerajaan dan kemudian, seperti yang dicatatkan dalam sejarah, turut
bertanggungjawab membentuk persepsi politik orang ramai sehingga ke beberapa generasi.

Pada masa itu UMNO diserang dengan hebat oleh sesetengah orang Melayu kerana
dikatakan tidak cukup memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan mengkhianati bangsa dan
tanah air sendiri. Pas dan Parti Negara memanfaatkan isu-isu berkaitan orang Melayu
sebagai umpan pilihan raya.

Pas, misalnya, menuntut hanya orang Melayu yang boleh menjadi Menteri Besar, menteri-
menteri dan ketua-ketua tertinggi angkatan tentera dan polis - suatu pendirian yang jika
dibesar-besarkan pada zaman ini akan menimbulkan kemarahan pemimpin pembangkang
Cina dan India.

Sejak tahun 1950-an lagi Pas telah pun menggunakan cita-cita pembentukan 'negara Islam'
sebagai ayam denak untuk mencari sokongan orang Melayu, khususnya penduduk luar
bandar, dengan mendakwa UMNO tidak cukup Islamik. Beberapa tahun selepas itu, setelah
mendapat sedikit kuasa, mereka tidak juga mendirikan 'negeri Islam' sepenuhnya.

Isu-isu politik yang bersifat perkauman juga menjadi wajah politik pada masa itu.

Para pemimpin bukan Melayu dengan berani mempersoalkan peruntukan perlembagaan


mengenai keistimewaan Melayu, hak untuk layanan sama rata serta mengusik pelaksanaan
dasar pendidikan dan dasar mendaulatkan bahasa Melayu. Malah ada tuntutan supaya
bahasa Cina juga diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

1
Pada zaman itu, ketika gerakan komunis yang diharamkan berada pada kekuatan tertinggi,
Tunku Abdul Rahman melihat sesetengah tuntutan tersebut dipengaruhi oleh komunis, yang
bergerak di dalam hutan dan secara bawah tanah di bandar-bandar.

Tunku Abdul Rahman yang memimpin UMNO yang berfahaman sederhana dan percaya
pada kompromi - satu prinsip yang selepas kematiannya amat disanjung tinggi oleh banyak
pihak - pada pilihan raya 1959 nyaris-nyaris kehilangan kuasa serta menjadi mangsa
kerakusan politik agama parti Melayu dan agenda perkauman parti Cina.

Apabila direnung semula bagaimana pendapat umum menjadi begitu negatif terhadap Tunku
Abdul Rahman, UMNO dan Perikatan pada tahun 1959, kita akan mendapati bahawa tidak
banyak yang berubah dalam politik Malaysia.

Kita tidak sofistikated kerana pada hari ini untuk menjadi jaguh dan menang pilihan raya,
ramai di kalangan kita masih sanggup memperalatkan isu agama dan perkauman selain
bersembunyi di sebalik perjuangan ke arah kesamarataan. Atas nama hak asasi manusia dan
keadilan, kita tergamak tanamkan dalam diri orang bukan Melayu pembohongan bahawa
mereka didiskriminasikan di negara sendiri.

Yang berlainan antara zaman Tunku Abdul Rahman dan sekarang ialah pada tahun 1959,
bekas Perdana Menteri itu baru beberapa tahun membenarkan beratus-ratus ribu kaum Cina
dan India memperoleh hak kerakyatan secara jus soli, satu proses yang kemudian dikaitkan
dengan apa yang dipanggil kontrak sosial.

Langkah membenarkan mereka menjadi warganegara memberi kesan drastik kepada politik
tanah air. Daripada kira-kira 84 peratus pengundi adalah orang Melayu pada 1955, komposisi
pengundi Melayu telah berkurangan kepada 56.8 peratus pada 1959.

Dengan budaya lama, teknologi komunikasi kuno dan kaedah berkempen tradisional, selepas
mendengar kempen-kempen pembangkang, sebahagian orang Melayu berasa marah
terhadap UMNO manakala ramai orang bukan Melayu mula percaya mereka tidak dilayan
dengan cukup saksama oleh Perikatan.

Semangat mereka diapi-apikan oleh parti-parti politik pembangkang. Kemarahan mereka juga
dibarakan, terima kasih kepada propaganda berasaskan kaum. Kesan akhirnya ialah
keputusan pilihan raya umum 1959.

Amat menyedihkan apabila memikirkan hal ini. Masyarakat Malaysia memperlihatkan kita
belum berganjak daripada garis-garis politik zaman lampau itu, dan kita tidak berasa malu
untuk terus kekal dengan pemikiran lapuk sedemikian.

Kira-kira 69 hari lagi kita akan menyambut tahun baru 2009. Selepas lima dekad, kita
seharusnya berasa terhina kerana gagal mencetuskan pembaharuan dalam politik dan masih
lagi mempertahankan taktik dan pola pemikiran yang tidak sepatutnya membiak pada zaman
ini.

Banyak pihak dalam parti pembangkang akan membuat generalisasi popular dengan
menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai punca fenomena itu berlaku.

Sebagaimana yang dialami Tunku Abdul Rahman ketika berhadapan dengan cabaran
pembangkang pada tahun 1950-an, ada banyak bukti bahawa dakwaan tersebut tidak
sepenuhnya benar. Acapkali ia umpama kata peribahasa, tepuk dulang paku serpih.

UTUSAN MALAYSIA 24/10/2008

You might also like