You are on page 1of 9

NUR FARIKHA BT ABD RAOP D20081032344

Apakah kebimbangan matematik? Didalam Marzita Puteh(2002) kebimbangan Matematik boleh ditakrifkan sebagai perasaan tertekan dan kerisauan yang mengganggu disebabkan oleh manipulasi nombor dan masalah yang dihadapi dalam menyelesaikan masalah matematik dalam kehidupan seharian dan akademik. Kebimbangan Matematik boleh menyebabkan seseorang individu lupa dan kehilangan keyakinan diri (Tobias, 1978). Hal ini disokong oleh Lindquist (1981) yang menyifatkan kebimbangan matematik melibatkan perasaan ketegangan dan kebimbangan yang mengganggu manipulasi nombor dalam menyelesaikan masalah matematik dalam pelbagai kehidupan atau situasi pembelajaran. Orang yang mengalami kebimbangan matematik merasakan bahawa mereka tidak berupaya melakukan aktiviti dan menghadiri kelas yang melibatkan matematik. Sigmund Freud (1936) adalah orang yang pertama yang cuba untuk menjelaskan takrifan kebimbangan sebagai sesuatu emosi yang tidak menyenangkan dan sesuatu yang universal yang dialami oleh individu. Freud juga menyatakan kebimbangan mempunyai tiga kriteria. Kriteria pertama ialah sesuatu yang tidak menyenangkan. Sebagai contoh, individu akan mempunyai perasaan yang tidak menyenangkan apabila mendengar perkataan matematik dan tidak menyenangi untuk melakukan aktiviti yang berkaitan dengan matematik. Kriteria kedua, mempunyai tindakbalas fisiologi seperti ketegangan otot, menggeletar, berpeluh, denyutan

jantung menjadi kencang dan kesukaran untuk bernafas. Kriteria ketiga ialah individu berada dalam keadaan sedar. Menurut model Gangguan yang dikemukakan oleh Liebert dan Morris(1967) dan Wine(1971) telah menerangkan kebimbangan matematik sebagai gangguan mengingat kembali pengetahuan dan pengalaman matematik terdahulu. Akibatnya, berlaku peningkatan terhadap tahap kebimbangan menyebabkan tahap pencapaian matematik yang rendah. Dalam Model defisit, Tobias(1985) mengaitkan kebimbangan matematik sebagai ingatan lalu tentang prestasi matematik yang rendah dan dipercayai prestasi ini disebabkan oleh kebimbangan yang tinggi.

Mengapa fenomena ini berlaku?

Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah pencapaian yang rendah dalam matematik dan mempunyai sejarah yang buruk dalam matematik seperti kegagalan didalam peperiksaan walaupun telah banyak berusaha untuk mempelajari matematik. Hal ini disebabkan oleh kekurangan pemahaman terhadap matematik justeru mengheret pelajar menjadi fobia terhadap matematik. Antara sebab lain yang dikenalpasti menyebabkan pelajar fobia dalam matematik ialah ketakutan pelajar terhadap angka dan manipulasinya yang dikatakan berlaku dalam kalangan pelajar. Fenomena ini juga berlaku apabila pelajar atau seseorang individu tidak dapat menguasai kemahiran asas matematik. Ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk mempelajari matematik dengan lebih lanjut seterusnya menyebabkan individu takut untuk mempelajari matematik. Hujah ini disokong oleh Tobias(1985) dalam Model Defisit, pelajar yang

berpencapaian rendah disebabkan oleh tabiat belajar yang lemah dan kurang kemahiran dalam ujian. Kebimbangan matematik juga wujud disebabkan oleh kurang persediaan dalam matematik. Kebanyakkan pelajar dan individu yang menganggap matematik sukar dan menyelesaikan masalah matematik merupakan perkara yang mustahil juga boleh menyebabkan pelajar fobia matematik. Menurut Ernes dalam Marzita Puteh(2002) sikap guru adalah satu kuasa di dalam kelas, sikap mereka dan semangat mereka terhadap subjek yang diajar mempunyai kesan yang besar terhadap sikap pelajar. Oleh itu, guru yang mencintai dan menyukai subjek matematik akan menyebabkan para pelajarnya juga menyukai matematik, manakala guru yang membenci dan tidak menyukai matematik akan mempengaruhi pelajarnya untuk membenci dan tidak menyukai matematik. Di sini kita mendapati bahawa guru dapat memindahkan sikapnya dan tanggapannya terhadap matematik kepada pelajar. Oleh itu, jika seseorang guru memiliki fobia dalam matematik, maka pelajarnya juga akan cenderung untuk memiliki fobia dalam matematik.

Faktor kendiri pelajar atau guru pelatih juga boleh menyumbang kepada kebimbangan matematik. Pelajar yang tidak menyukai cabaran tidak akan menyukai matematik. Ini kerana soalan matematik mempunyai pelbagai cabaran yang berlainan. Kebimbangan matematik juga boleh berlaku tidak kira sama ada pada kaum lelaki mahupun kaum perempuan. Namun begitu terdapat stereotaip bahawa wanita kurang berkebolehan dalam matematik berbanding lelaki. Menurut Puteh(1998), terdapat lima aspek imej kendiri pelajar(guru pelatih) dengan mengambil kira sikap terhadap matematik. Antaranya ialah tidak suka pada cabaran, keyakinan diri rendah, pelajar yang perlahan proses pembelajarannya , pelajar yang mudah putus asa dan pelajar yang sentiasa menyalahkan diri sendiri. Kelima-lima faktor ini boleh menyebabkan pelajar(guru pelatih) cenderung untuk mengalami fobia matematik. Kebanyakkan guru pelatih tidak sukakan cabaran. Hal ini boleh menyebabkan mereka tidak suka akan matematik kerana latihan matematik mempunyai cabaran dalam menyelesaikannya. Selain itu, mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah akan cenderung untuk mudah berputus asa tanpa berusaha. Mereka yang mempunyai sejarah matematik yang lemah akan sentiasa tidak bersemangat dan mengalami fobia matematik. Disebalik imej kendiri tersebut pelajar juga berasa kurang mampu dalam mempelajari matematik kerana dianggap rumit, menakutkan mereka bahkan sebahagian daripadanya mungkin akan membenci matematik sehingga matematik mungkin akan menghantui mereka. Hal ini menyebabkan pelajar fobia terhadap matematik. Siapakah yang mempunyai kebimbangan matematik? Kebimbangan matematik boleh dimiliki oleh setiap individu tidak kira sama ada kanakkanak, pelajar, guru, ahli akademik dan sebagainya Satu kajian yang telah dijalankan oleh Betz (1998), diperoleh dalam Marzita Puteh(2002), kebimbangan dalam matematik banyak dimiliki oleh pelajar-pelajar kolej termasuk mereka yang mempelajari matematik aras tinggi yang memerlukan latar belakang yang luas dalam matematik. Selain itu, kajian lain yang dilakukan oleh English(1989) mengenai guru-guru yang dalam perkhidmatan menunjukkan guru-guru mempunyai tahap kebimbangan matematik yang lebih tinggi. Hal ini lebih cenderung kepada guru perempuan, guru yang mempunyai sikap yang negatif terhadap matematik, guru yang tidak mempunyai prestasi yang baik dalam kursus matematik, guru yang lebih meminati untuk mengajar gred yang rendah dan kurang meempunyai rasa berwibawa dalam pengajaran matematik.

Menurut Briggs dan Crook, guru-guru sekolah rendah sering didapati mengalami masalah kebimbangan matematik. Ini mungkin kerana mereka mempunyai asas yang kurang kukuh dalam matematik, ditambah pula dengan sifat subjek itu sendiri. Corak pembelajaran pelajar sekolah rendah juga berbeza jika dibandingkan dengan pelajar sekolah menengah yang lebih berdikari dalam pelajaran. Guru yang kurang menguasai kandungan pengetahuan pedagogi dalam mengajar pelajar ini boleh menyebabkan mereka tidak memahami apa yang diajar oleh guru dan seterusnya boleh menyebabkan guru menjadi bimbang dan seterusnya mengheret pelajar juga terjebak dalam kebimbangan dalam matematik. Antara ciri-ciri pelajar yang mempunyai kebimbangan dalam matematik ialah pelajar yang terus bimbang setiap kali bercakap atau berfikir tentang matematik ataupun apabila menghadiri kelas matematik. Pelajar ini juga tidak dapat menguasai matematik walaupun telah tekun mempelajarinya dan sentiasa gemuruh setiap kali menjawab soalan berkaitan dengan matematik. Antara ciri lain(Burton, 1979) ialah berpeluh tapak tangan, perut mual, panik, takut, tergenggam tangan , peluh sejuk, tidak berdaya, stress, mulut kering, rasa malu dan ketidakupayaan untuk menangani ciri-ciri tersebut dan sebagainya

Bilakah kebimbangan dalam matematik berlaku? Kebimbangan matematik berlaku apabila minda pelajar menjadi kosong seketika semasa menjawab soalan matematik, walaupun sebelum ini beliau telah mempelajari tajuk matematik tersebut. Pada masa yang sama pelajar juga mempunyai ciri-ciri seperti rasa mual, takut, bimbang, ketidakupayaan untuk menjawab soalan berkaitan dengan matematik dan sebagainya. Kebimbangan matematik juga akan berlaku apabila individu mengalami kurang selesa apabila diminta melakukan sesuatu aktiviti yang berkait dengan matematik. Hal ini disokong oleh Richardson&Suinn (1972) kebimbangan matematik berlaku apabila individu berasa tertekan, rasa kurang upaya dan minda tidak terancang untuk memanipulasikan nombor dan bentuk. Ia juga boleh dikenalpasti dan diukur dalam pelbagai bentuk elemen sikap, kognitif dan emosi seperti tidak suka, bimbang dan takut. Seseorang pelajar atau individu akan mengalami kebimbangan matematik yang tinggi apabila dia tidak benar-benar memahami beberapa bahagian dalam matematik padahal beliau

ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam matematik. Hal ini mendorong mereka untuk belajar dan cuba memahami topik tersebut, namun disebabkan kebimbangan mereka terhadap metematik menyebabkan mereka sukar untuk memahami topik tersebut. Kebimbangan ini boleh mengalahkan diri sendiri kerana ia boleh mengurangkan keberkesanan usaha pelajar belajar. Semakin bimbang pelajar terhadap matematik, semakin kuat mereka belajar dan mencuba tetapi semakin kurang mereka memahami, justeru menyebabkan mereka menjadi lebih bimbang. Kebimbangan matematik juga akan berlaku apabila wujud perasaan umum atau mitos dalam kalangan pelajar bahawa hanya pelajar yang dianugerahkan kepintaran dan kepandaian dalam matematik sahaja yang akan bijak dalam matematik, manakala pelajar tidak dianugerahkan kepintaran dalam matematik akan terus gagal dalam matematik. Ini menyebabkan pelajar yang mempunyai latar belakang matematik yang lemah akan berputus asa dan tidak akan berusaha untuk mempelajari matematik dan meyebabkan mereka mengalami kebimbangan matematik. Seperti yang kita tahu keluarga juga mempengaruhi pelajar terhadap kebimbangan dalam matematik. Bagi faktor ini pelajar akan mengalami kebimbangan matematik apabila ahli keluarga atau rakan memberitahu bahawa matematik adalah subjek yang susah dan sukar untuk dikuasai. Latar belakang seperti, tiada seorang ahli keluarga yang berjaya dalam subjek matematik juga boleh menyebabkan pelajar menjadi bimbang terhadap matematik. Hal ini boleh menyebabkan masalah ini berjangkit hingga ke generasi akan datang terutamanya bagi keluarga yang mempunyai salasilah masalah fobia terhadap matematik. Hal ini juga boleh berlaku apabila ibubapa atau keluarga sudah menetapkan target untuk anak mereka supaya anak mereka mesti mendapat gred yang terbaik dalam matematik. Hal ini menyebabkan pelajar berasa tertekan dan seterusnya takut akan matematik. Apabila pelajar bersaing untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam matematik ia kadang kala boleh menyebabkan pelajar bimbang akan matematik. Lebih malang jika rakanrakannya memperoleh keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran matematik berbanding beliau. Namun, jika pelajar menganggap itu merupakan satu saingan yang harus dimenangi maka pelajar akan cuba sedaya upaya untuk mempelajarinya supaya memperoleh keputusan yang lebih

baik pada masa akan datang sehingga kadangkala menyebabkan mereka berasa tertekan dan seterusnya mengakibatkan kebimbangan dalam matematik.

Siapa dan apakah yang mewujudkan kebimbangan matematik? Puteh (1998) mendapati faktor yang menyumbang kepada kebimbangan matematik ialah disebabkan oleh personaliti guru dan gaya pembelajaran mereka, peperiksaan awam dan kesannya, domain afektif seperti faktor diri sendiri, seperti personaliti, persepsi perasaan, kebimbangan, kesukaran seperti memori ataupun kecacatan semula jadi, aspirasi ibu bapa terhadap jangkaan kepada mereka dan piawaian kumpulan sebaya dan kaitan penggunaan matematik dalam kehidupan seharian. Sebenarnya faktor utama yang mewujudkan kebimbangan terhadap matematik ialah individu itu sendiri. Seseorang individu yang tidak boleh mengawal emosi dan selalu berfikiran negatif secara tidak langsung menyebabkan diri beliau terjebak dalam kebimbangan matematik. Kegagalan mengawal emosi diri sendiri juga menyumbang kepada kebimbangan matematik. Jika seseorang individu dapat mengawal emosi dan setiasa berfikiran positif mereka tidak akan terjebak dalam kebimbangan matematik. Menurut Marzita Puteh (2002), gred yang baik dalam matematik adalah tiket bagi manamana pelajar untuk membolehkan mereka diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi dan pada masa yang sama ia juga mempengaruhi skop pemilihan kursus-kursus yang boleh mereka ambil. Oleh itu, peperiksaan merupakan penentu masa depan pelajar dan pelajar harus mendapatkan keputusan yang baik jika ingin mencapai cita-cita yang dihajati. Oleh itu, pelajar akan berusaha-bersungguh untuk mendapatkan yang terbaik dalam peperiksaan. Seringkali kita dengar pelajar tidak dapat memasuki cabang pendidikan yang diminati disebabkan oleh kegagalan mereka untuk mendapatkan keputusan matematik yang terbaik dalam peperiksaan. Ini kerana jika hanya sekadar lulus dalam subjek matematik belum tentu pelajar layak untuk memasuki institusi pengajian yang lebih tinggi terutamanya semasa Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Oleh itu, pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya subjek matematik akan mengalami fobia matematik.

Kaedah pengajaran guru yang menampakkan kesukaran dalam mempelajari matematik juga boleh menyebabkan pelajar takut untuk mempelajari matematik. Guru yang tidak mempunyai strategi yang menarik dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menampakkan kesukaran dalam mempelajari matematik. Lebih malang jika guru itu sendiri mempunyai fobia terhadap matematik kerana masalah tersebut dikhuatiri akan mempengaruhi para pelajarnya juga. Antara amalan guru yang menyumbang kepada kebimbangan dalam matematik iaitu penegasan penghafalan, kaedah pengajaran authoritarian dan tidak mempelbagaian proses pengajaran dan pembelajaran mengikut gaya pembelajaran pelajar. Bagaimanakah cara untuk mengurangkan kebimbangan matematik? Ibu bapa juga berperanan dan bertanggungjawab dalam usaha megurangkan kebimbangan anak mereka terhadap mata pelajaran matematik. Sememangnya galakan dan keperihatinan ibu bapa akan menambahkan minat anak mereka terhadap matapelajaran matematik yang mencabar ini. Ibu bapa juga harus menanam sikap pelajar yang positif iaitu rajin, tekun dan bermotivasi. Ibu bapa tidak seharusnya terlalu menekan anak mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang tanpa memikirkan hak anak mereka untuk belajar dengan tenang tanpa diasak oleh pihak lain. Selain itu, pihak kementerian juga seharusnya tidak terlalu fokus kepada peperiksaan sahaja dalam usaha untuk menilai pelajar dalam subjek matematik. Pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar tidak seharusnya dilihat dari aspek kognitif sahaja seperti keputusan peperiksaan malah faktor-faktor bukan kognitif juga boleh digunakan untuk mengukur pencapaian kejayaan pelajar. Jika penekanan hanya diberikan terhadap peperiksaan semata-mata ini akan menyebabkan pelajar menjadi runsing dan takut terhadap matematik kerana hanya peperiksaan yang dapat menentukan kecemerlangan mereka dalam subjek tersebut. Seharusnya, kanak-kanak perlu diberi pendedahan dari kecil lagi tentang ilmu matematik dan diberi penekanan terhadap kemahiran literasi dan numerasi. Kanak-kanak seharusnya diwajibkan mengikuti mana-mana pra-sekolah kerajaan atau pra-sekolah berdaftar supaya mereka mempunyai pengetahuan sedia ada mengenai nombor. Apabila mereka memasuki darjah satu, mereka menjadi tidak kekok kerana memiliki pengetahuan sedia ada tentang nombor. Oleh itu, ia akan memudahkan mereka mempelajari matematik dengan lebih lanjut. Justeru ia dapat

mengurangkan ketakutan mereka terhadap matematik disebabkan mereka sudah mempunyai kemahiran asas matematik.

Bagaimana untuk menghapuskan kebimbangan matematik? Piaget (1951) dalam Marzita Puteh(2002) menekankan kepentingan motivasi sebagai satu komponen penting dalam pembelajaran. Menurut beliau, pelajar yang dibenarkan untuk meneruskan pembinaan mereka sendiri didorong oleh perbuatan pembinaan itu sendiri, yang merupakan sebahagian daripada daya maju dan pertumbuhan.Untuk menghapuskan fobia matematik haruslah bermula daripada kemahuan individu itu sendiri. Individu seharusnya meyakinkan dirinya sendiri bahawa subjek matematik bukanlah umpama sesuatu yang mengerikan ataupun merupakan satu kebolehan atau kepandaian semulajadi setiap insan sejak lahir. Pelajar juga tidak seharusnya memaksa diri untuk belajar dengan terlalu kuat, namun strategi pelajar belajar supaya lebih efektif harus dilakukan oleh pelajar itu sendiri. Contohnya semasa ingin menjawab soalan matematik elakkan menjawab soalan yang sukar dahulu. Sebaliknya, mulakan dengan soalan asas matematik sehingga ke tahap seterusnya. Setiap individu yang mempunyai fobia matematik harus kuatkan semangat dan sokonglah diri sendiri apabila berjaya mendapat jawapan yang betul. Janganlah berputus asa jika gagal menyelesaikannya. Jika tidak memahami apa yang diajar oleh guru janganlah berasa tertekan dan individu boleh mengambil langkah lain seperti mengambil kursus ulangkaji matematik di kelaskelas tuisyen atau dapatkan bantuan daripada keluarga terdekat dan kawan-kawan yang mahir dalam matematik. Mereka boleh mengajar individu secara persendirian dan ianya lebih baik kerana individu akan lebih fokus dalam mempelajari matematik. Bagi mengatasi perasaan takut matematik ini, individu harus memberi persoalan terhadap diri sendiri dari mana perasaan takut ini berakar umbi dan pastikan dari mana datangnya "ketakutan" itu dan cuba untuk hapuskannya. Selain itu, kebimbangan dalam matematik dapat dihapuskan jika guru mempunyai sikap yang lebih proaktif seperti guru mempelbagaikan kaedah mengajar bagi membantu murid meningkatkan kefahaman terhadap matematik. Ini kerana punca utama kebimbangan dalam matematik adalah disebabkan oleh ketidakupayaan individu untuk memahami ilmu matematik. Guru juga harus menitik beratkan pemahaman pelajar semasa proses pengajaran dan

pembelajaran. Harus diingat dalam usaha meningkatkan pemahaman dalam pengajaran guru harus menjaga sikap seperti tidak memarahi pelajar jika tidak memahami matematik terutamanya pelajar yang mempunyai tahap IQ yang rendah. Guru juga harus menanggani fobia terhadap matematik dalam diri mereka terlebih dahulu sebelum mereka cuba membantu pelajar menghilangkan fobia matematik. Kesimpulannya, bagi menghapuskan kebimbangan matematik kesemua langkah untuk mengurangkan dan menghapuskan kebimbangan matematik haruslah dilakukan.

You might also like