You are on page 1of 1

Doa Muhasabah Diri

Ya allah, ampunkanlah dosa kami, dosa yang nampak dan yang tidak nampak, dosa yang sengaja dan yang tidak sengaja, dosa besar dan dosa kecil, dosa yang zahir dan juga batin. Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, dosa guru-guru kami, para pemimpin kami seterusnya kaum muslimin dan muslimat. Ya Allah, dipetang yang mulia ini kami bermohon agar Engkau memberkati peperiksaan PSRA hari kedua yang akan anak didik kami jalani. Ya Allah Rahman, berilah kekuatan kepada kami untuk kami sentiasa mengagungkan kebesaranMu, taat akan perintahMu dan meninggalkan laranganMu. Engkaulah yang menghidup dan mematikan kami, engkaulah yang memberi kejayaan dan kegagalan kepada kami. Kami tidak ada daya upaya melainkan dengan izinMu semata-mata. Ya Allah berilah kekuatan kepada anak didik kami agar mereka patuh dan taat akan perintahMu serta mengamalkan sunnah baginda Rasulullah SAW di dalam kehidupan mereka. Ya Allah berilah keyakinan kepada anak didik kami agar mereka berani dan bersedia menghadapi peperiksaan yang akan dijalani. Terangkan lah hati mereka, mudahkanlah mereka memahami pelajaran dan bantulah mereka ketika menghadapi peperiksaan. Ya Allah berilah kekuatan kepada anak didik kami agar mereka taat menunaikan solat 5 waktu sehari dan semalam. Dengan solat itu Kau kurniakanlah rezki ilmu yang bermanfaat kepada mereka. Dengan solat juga Kau lepaskan kami dari Azab kubur, diberi buku catatan amalan melalui tangan kanan,melintas jambatan sirat sepantas kilat dan memasukkan kami ke dalam Syurga tanpa hisab. Ya Allah Ya Rahim, berilah kekuatan kepada anak didik kami agar mereka belajar bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu. Dengan ilmu itu ya Allah mudahmudahan mereka tahu yang manakah suruhan dan laranganMu. Ya Allah ya.. berilah kekuatan kepada anak didik kami agar mereka sentiasa mengingatimu dalam setiap masa dan keadaan. Semasa senang dan semasa susah, semasa lapang dan semasa sempit, semasa muda dan semasa tua, semasa sihat ataupun sakit. Ya Allah berilah keikhlasan kepada anak didik kami agar mereka melakukan dan meninggalkan sesuatu semata-mata kerana Allah, bukan kerana dipaksa atau disuruh oleh sesiapa. Ya Allah, kau berilah kekuatan kepada anak didik kami agar mereka berjuang bersungguh-sungguh di dalam menghadapi peperiksaan yang akan dijalani. Jadikanlah mereka bukan sahaja pelajar yang cemerlang di dunia bahkan juga di akhirat nanti. Ya Allah sebenarnya banyak lagi yang ingin kami minta, tetapi kami tidak pandai berdoa. Cukuplah apa yang nabi minta untuk kebaikan umatnya itu yang kami minta dan apa yang nabi minta jauhkan itu jualah yang kami minta jauhkan. Rabbana.

You might also like