You are on page 1of 2

NIKMAT KELAPANGAN ITU DATANGNYA DARI ALLAH S.W.T.

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. dengan sesungguh-sungguhnya kerana Dia telah memberikan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Sudah lama KAMZ tidak menulis kerana kekangan tugas, kerja, amanah yang datang menyebabkan masa seolah-olah tidak mencukupi. Bahkan masa tidur juga terganggu dan ingin dimanfaatkan untuk diselesaikan tugas-tugas ini.

KAMZ banyak menilai dan melihat serta berfikir tentang apa sahaja yang telah Allah s.w.t. tontonkan dalam perjalanan kehidupan yang amat panjang serta amat memedihkan. Melihat suasana hingar-bingar ummat dengan keruntuhan akhlak, kerosakan pemikiran serta kekecohan siasah yang semakin hari semakin menyesakkan dan membimbangkan. Semalam, KAMZ membuka lembaran sms 1400 tahun dahulu, dari Allah s.w.t. kepada kita ummat manusia melalui perantaraan Jibrail dan Nabi Muhammad s.a.w.. Bacaan yang cuba mencari makna dalam kehidupan, yang dirasakan semakin mencabar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 53 hingga ke 55 yang bermaksud; (53) Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepada Nyalah kamu meraung meminta pertolongan. (54) Kemudian, apabila Ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak di antara kamu mempersekutukan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka. (55) (Mereka melakukan yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang Kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk yang akan menimpa kamu).

Demikianlah sahabatku, Allah s.w.t. memberikan peringatan pada setiap masa dan ketika, cuma kita yang cuba untuk menolak pesanan-pesanan ini. Dia telah menghapuskan kesusahan yang ditimpa oleh kita, tetapi kita tidak bersyukur bahkan menduakan Allah s.w.t. apabila percaya bahawa ada sebab lain yang menyebabkan kesusahan itu dipermudahkan. Ini petanda kita ini bukan orang yang bersyukur. Persoalannya adakah kita ummat yang sentiasa mengingati Allah s.w.t. di kala kita senang?

Apabila kita bersama fikirkan dan kenangkan, sudah berapa banyak kemudahan yang Allah s.w.t. berikan kepada kita dan berapa banyak ucapan syukur yang keluar dari mulut kita? Nikmat itu bukan sesuatu yang memudahkan dan menyenangkan sahaja, bahkan bagi seorang Mukmin, setiap kesusahan itu juga nikmat yang tidak terhingga kerana bagi mereka, apabila kesusahan menimpa maka itu akan menambah ingatan mereka kepada Allah s.w.t. dan mereka yakini bahawa Allah s.w.t. sedang melihat dan menghampiri mereka.

KAMZ mengharap segala kesusahan ini akan terlerai bukan maknanya dalam kehidupan kerana bagi Mukmin, itu sudah pasti satu dongengan untuk hidup tanpa ujian. Tetapi lerainya adalah di dalam hati sanubari, yang diberikan nikmat senang dan lapang dalam mendepani kehidupan yang sangat mencabar ini. Terima kasih kepada teman, yang datang entah dari mana tiba-tiba mengingatkan, La tahzan abang KAMZ, ringkas dan penuh makna. KAMZ sedar pada ketika itu Allah s.w.t. sedang memberikan peringatan dan penyegaran dalam fikir hati insan bahawa Dia sedang melihat kamu. Ingatilah segala nikmat yang telah Dia berikan dan bersyukurlah.

KAMZ, Kuala Selangor 27 Disember 2011

You might also like